Saturday, December 26, 2009

FRAGMEN 23: DETIK DEBAR


nurnana.wordpress

FRAGMEN 23
DETIK DEBAR




Lebuhraya Persekutuan, Kuala Lumpur

SEBAIK sahaja teksinya memasuki Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kelang, Fariz mula hilang sabar. Sudah 30 minit dia meminta maklumat tambahan mengenai Jennifer Miles daripada Suren, Pegawai Penyelidik yang berada di ibupejabat BISIK. Namun, Suren masih belum menghubunginya meskipun melalui SMS.

Fariz memandang limosin yang membawa Jennifer Miles yang kini berada kira-kira 15 meter di hadapannya. Sebentar tadi, sebaik sahaja mendapat akhbar, Jennifer kelihatan tercari-cari sesuatu berita di dalamnya. Tidak lama kemudian, dia kelihatan menelefon seseorang sebelum bergegas menaiki sebuah teksi. Sepantas Jennifer, Fariz turut mendapatkan sebuah teksi untuk mengekorinya.

BISIK telah mengarahkan Fariz melakukan intipan ke atas Jennifer Miles di tahap Pintas 3. Pintas 3 adalah kod di mana subjek sasaran hanya dikepung tetapi pergerakkannya dilorongkan agar dapat melepaskan diri. Ia dilakukan untuk mengelak kesan yang mengakibatkan masalah lebih besar kepada negara. Ia berbeza dengan kod Pintas 2 di mana subjek diekori dan kemudian ditangkap atau dilarikan. Pintas 1 pula bermakna subjek dihapuskan serta merta. Fariz terasa fonselnya bergetar.

“Kenapa lambat sangat, Suren?” soal Fariz sebaik sahaja fonselnya dilekap ke telinga.
“Sibuklah, Fariz. Aku sedang berurusan dengan kedutaan Amerika. Kau tak tau ke, Presiden US nak datang ke Malaysia?,” jawab Suren, Pegawai Penyelidik yang kini berada di ibupejabat BISIK.

“Aku pernah dengar dari Tuan Aziz. Tapi, apa kena mengena Jennifer Miles dengan lawatan Presiden tu?”
“Engkau fikirlah sendiri, Riz. Kau ini pun... aku benar-benar sibuk, Riz. Yang aku boleh beritahu engkau ialah... Jennifer Miles adalah wartawan terkenal yang pernah menggemparkan dunia dengan laporannya dari bumi Palestin.”
“Apa yang dia dah buat?” tanya Fariz.
“Engkau carilah sendiri dalam internet. Yang penting ialah... BISIK mahu kau bayangi dia sehingga ada arahan seterusnya.”
“Tapi, kenapa aku asyik kena jaga orang perempuan? Dulu, aku disuruh menjaga Faryna, anak Tan Sri, tu,”

“Eh, patutnya engkau seronok. Lagipun, engkau tu hensem, Jennifer pun lawa. Padanlah dengan engkau,” jawab Suren sambil tergelak-gelak.
“Iyalah tu. Eh, Suren! Aku nampak kereta Jennifer dah membelok ke Taman Sri Andalas. Apa cerita ni, Suren?”
“Wei, engkau tu ejen perisik. Aku ni penyelidik. Ha, engkau carilah sendiri. Aku dah dapat banyak mesej dari ejen-ejen lain ni. Okey, bye!”

Fariz mematikan fonsel dengan rasa jengkel. Teksi yang dinaiki Jennifer kelihatan berhenti berhampiran sebuah simpang. Kelihatan wanita itu tergesa-gesa keluar dan melangkah pantas. Fariz terus mengarahkan pemandunya berhenti. Setelah membayar tambangnya, Fariz segera keluar mengekori Jennifer. Kelihatan ramai orang di sebuah rumah berbandung di hujung jalan. Fariz mematikan langkah bila terpandang suasana di rumah itu.

‘Ada kematian? Siapa yang mati? Kenapa Jennifer ke mari?’ kata Fariz di dalam hati seraya memandang Jennifer memasuki pekarangan rumah itu.
“Assalamualaikum... boleh tumpang tanya?” sapa Fariz kepada seorang pemuda yang berdiri berhampiran dengannya.
“Saya...” pemuda itu menoleh.

“Brother ni, wartawan Sinar Harian, ya?” soal Fariz sebaik sahaja terpandang baju-T berwarna merah yang tertera logo akhbar itu.
“Ya, saya bertugas buat berita follow-up. Boleh saya bantu, bang?” Pemuda itu tersenyum manis seraya menghulurkan tangannya. “Nama saya Fazli... panggil saja Pali.”
“Amrizal...” Fariz memperkenalkan dirinya dengan menggunakan nama samaran yang terlintas di hatinya. “Siapa yang meninggal, Pali?”

“Jenazahnya adalah kelasi kapal dagang Iran. Kapal itu pulak ditembak kapal perang Amerika kerana disyaki kapal lanun di Selat Melaka, dua hari lepas. Dah jadi isu diplomatik Iran-Amerika. Eh, abang tak baca paper ke?” Sambil tersenyum, Pali menempelak.
“Err... tak. Tak sempat sebab baru balik dari oversea. Dalam Sinar Harian, ada ke ceritanya?” kata Fariz lalu membuka akhbar Sinar Harian yang dibawanya.

“Ada. Ceritanya, saya yang tulis,” jawab wartawan itu sambil tersenyum bangga melihat Fariz membuka akhbar tempatnya bertugas. Dia segera menghampiri dan membantu Fariz membuka halamannya.

Fariz segera membaca berita yang diunjukkan Pali. Tanpa disedarinya, Jennifer sudah pun keluar daripada rumah itu. Sambil berjalan, Jennifer segera menyimpan kamera kecil ke dalam tas tangannya. Bunyi pintu kereta ditutup menyedarkan Fariz.

‘Alamak...’ kata Fariz sebaik sahaja terpandang teksi yang dinaiki Jennifer berlalu. Baharu dia tersedar yang Jennifer meminta pemandunya menunggu, sedangkan dia telah pun membayar tambang teksinya. Bagaimana dia mahu mengekori Jennifer?
“Awat kelam kabut, bang. Nak pi mana?” tegur Pali bila nampak Fariz tidak tentu arah.
“Err, nak ke KL.”

“Abang ni pelik sungguh. Saya perhati tadi abang turun dari teksi. Saya ingatkan abang saudara si mati. Bila abang nampaknya tak tau apa yang berlaku, mungkin abang ke taman ini untuk ke rumah saudara.
Sekarang ni, abang nak balik pulak bila nampak mat salih tu naik teksi. Saya mula tertanya, apa kaitan abang dengan mat salih tu?”

Fariz berasa bengang kerana ditanya dengan pelbagai soalan. Mahu sahaja dia menengking wartawan yang baru dikenalinya itu. Namun, dia tidak mati akal.
“Ha, kenapa Pali tak tanya siapakah mat salih perempuan tu? Mungkinkah dia wakil dari majikannya? Mungkinkah dia daripada kedutaan Amerika? Atau yang paling menarik, mungkinkah dia kekasih gelap si mati?”

Fariz merenung Pali. Menanti reaksi. Seketika sahaja mata Pali mencerlang. Nampaknya wartawan itu sudah menghidu berita susulan menarik yang boleh ditulisnya. Fariz tersenyum di dalam hati kerana berjaya mengalih perhatian wartawan muda itu.
“Eh, menarik jugak story tu bang. Err... macam mana saya nak contact mat salih tu?”

“Abang tau caranya. Jom! Kita naik kereta kau.”


Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Friday, December 18, 2009

FRAGMEN 22: DETIK DEBAR


FRAGMEN 22:
DETIK DEBAR


KLIA, Sepang, Selangor


FARIZ ZAFAR berasa lega setelah melewati pintu pemeriksaan. Hatinya gembira sebaik sahaja menjejakkan kakinya ke tanah tumpah darahnya. Tiada kata yang boleh dilafazkan betapa bahagianya apabila berada di negara sendiri. Keletihannya setelah menamatkan latihan di Narathiwat, Thailand terus menghilang apabila menara KLIA dapat dilihat dari angkasa sebentar tadi.

Dia bercadang untuk ke pejabat BISIK terlebih dahulu untuk membuat laporan sebelum pulang ke rumah. Pada petang esok, dia bercadang hendak pulang ke kampungnya pula di Terengganu. Nenek yang dirindui terasa lama tidak ditemui meskipun baru dua minggu dia meninggalkan tanah air untuk mengikuti latihan.

“Saya nak ke kedai surat khabar sekejap, Mala. Tunggu saya, ya? Kita naik teksi sama-sama,” ujar Fariz kepada rakan setugasnya.

Normala yang berjalan mendahuluinya hanya mengangguk tanpa menoleh. Fariz memandang wanita itu menolak troli dan begnya menuju ke kaunter teksi sebelum dia berpaling dan terus menapak ke kedai akhbar untuk mendapatkan akhbar Sinar Harian.

Fonselnya bergetar. Fariz menyeluk saku dan mengeluarkannya. Wajah seorang wanita berkulit putih terpapar di skrin. Dahi Fariz terkerut. Fikirannya deras menyimpangsiurkan soalan-soalan mengenai siapakah wanita ini. Fariz mencuit-cuit skrin fonselnya untuk membaca teks yang disertakan.

‘Jennifer Miles, wartawan WorldLiveLine, kini di KLIA. Bayangi dia.’

Fonsel segera dimatikan. Kacamata hitamnya dibuka dan disisip ke dalam poketnya. Fariz mencari kerusi dan terus duduk memangku kepalanya. Kepalanya diramas-ramas. Kemudian dia mengeluh. Penat belum hilang, satu tugas baru sudah menyusul. Belum pun sempat dia berehat, kerja baru sudah sampai. Ah, penatnya.

Beberapa ketika dia tertunduk dengan matanya yang terpejam. Fariz cuba merasionalkan fikirannya. Ya. Betapa penat pun tubuh, dia mesti patuh kepada arahan. Tugas tetap tugas. Ia adalah tanggungjawab yang mesti dipikul. Dia mesti memegang amanah. Jenis tugasnya bukan kerja yang mudah.

‘Selain saya, hanya kamu sahaja yang tahu arahan yang diterima. Setiap arahan mestilah dipatuhi. Ia adalah tugas yang mesti dibereskan. Tidak boleh tidak. Amanah ke atas kamu adalah satu jihad fisabilillah. Dengan lafaz bismillah… dengan sumpah la illaha illallah, bangun dan melangkahlah!’

Bisikan Tuan Aziz ke telinganya mula terngiang-ngiang. Fariz menghembuskan nafasnya. Matanya terbuka luas. Secara spontan, Fariz mendongak dan memandang ke sekeliling. Matanya berlari-lari untuk mengimbas mana-mana wanita berambut perang yang terjangkau pandangannya.

Wajah Jennifer Miles yang terpapar di skrin fonselnya sudah terakam di mindanya. Sebagai ejen yang terlatih, dia cepat menangkap dan mengingat sesuatu imej yang terpapar walaupun muncul secara sekali imbas. Namun, tiada seorang pun wanita kulit putih yang kelihatan ketika itu.

Fariz mula berjalan. Pandangannya terhala ke hadapan. Namun, ekor matanya menyaring imej-imej orang ramai yang melewati pergerakannya. Dia menoleh ke arah kaunter teksi yang sudah kelihatan sayup pada pandangan mata. Mencari kelibat Normala. Namun, bayang wanita itu sudah tidak kelihatan.

JENNIFER MILES berasa amat letih. Penerbangan Royal Dutch Airlines daripada Hopkins International Airport Cleveland, Ohio ke KLIA mengambil masa 33 jam setelah transit di Memphis, Tennessee dan juga di Amsterdam. Di sepanjang perjalanan, dia hanya menonton video yang terpasang di belakang kerusi di hadapannya. Bila bosan menonton, dia tidur untuk menghabiskan masa.

Kedatangannya ke Malaysia adalah untuk membuat liputan mengenai pelaburan syarikat-syarikat Amerika di Malaysia. Dia perlu ke Kedutaan Amerika di Ampang sebelum ke pejabat Majlis Perniagaan Malaysia-Amerika.

Sebagai wartawan meja bisnes, ayahnya mahukan dia membuat liputan berita perniagaan semata-mata. Tidak lagi melaporkan pergolakan politik dan juga peperangan. Ayahnya, Miles Steward, sengaja mahu dia pergi jauh dari Amerika dan juga Timur Tengah. Lagi jauh, lagi bagus! Biarlah isu anaknya ini akan tenggelam dan dilupakan. Orang tua itu tidak mahu kehilangan Jennifer, sepertimana dia kehilangan isterinya, Nancy.

Kini, setelah mengalas perut di The Coffee Bean, dia berehat seketika di salah sebuah kerusi menanti. Sambil itu, jejarinya menekan-nekan butang fonselnya untuk membuat tempahan hotel menerusi internet. Paparan siaran televisyen Bernama TV di ruang legar menarik perhatiannya.

‘Kelasi kapal al-Bahr yang tercedera akibat tembakan dari kapal perang Amerika USS Lakota, telah meninggal dunia. Nizam Abdul Samad, 27 tahun, warganegara Malaysia, sebelum ini mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Kelang kerana cedera parah akibat terkena serpihan peluru senjata dari kapal Amerika tersebut…’

“What the…” gumam Jennifer.

Dia bingkas bangun dan berjalan pantas. Beg pakaiannya diheret. Sesekali beg berlerengnya tergolek-golek apabila hilang imbangan. Jennifer tidak peduli. Dia terus berjalan kerana mahu cepat. Matanya tertoleh-toleh mencari kedai surat khabar. Dia mahu dapatkan akhbar tempatan untuk memperoleh berita terperinci mengenai kapal al-Bahr itu. Sejurus dia tiba ke kedai yang dicari.

“Give me a newspaper… any newspaper, quick!” kata Jennifer kepada petugas di situ.

Suaranya menarik perhatian seseorang. Fariz menolak kacamata hitamnya dan memandang tepat ke arah Jennifer dari jarak tiga meter daripada wanita itu. Setelah memperoleh The Star, Jennifer lantas berjalan ke luar kedai surat khabar itu. Sambil mengepit Sinar Harian, Fariz turut melangkah menjejaki wanita itu.

Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Friday, December 11, 2009

FRAGMEN 21: DETIK DEBAR


fOTO: SPACE4SPACE
FRAGMEN 21
DETIK DEBAR


The White House, Washington DC
JOHN MARTINEZ menatap skrin televisyen dengan wajah sugul. Di situ terpapar imej beberapa orang Palestin sedang meratap dan meraung. Mereka bersedih kerana 15 anggota keluarga mereka maut setelah dihujani peluru dari sebuah jet pejuang Israel.

Wartawan melaporkan bahawa rakyat Palestin itu sebenarnya sedang dalam perjalanan dari sebuah upacara pengkebumian keluarga di kawasan perbukitan. Setelah mengkebumikan mayat, mereka berjalan kaki beramai-ramai membawa peralatan seperti pengusung dan cangkul. Tiba-tiba mereka diserang oleh jet Israel kerana disangkakan mereka kumpulan pengganas yang sedang merancang melancarkan bedilan roket ke arah Israel.

“Bila benda-benda seperti ini hendak tamat, David?” soal John separuh merungut.
“Presiden-presiden sebelum Tuan pun bertanya soalan yang serupa, John,” jawab David Doron yang berada di sisinya.

John Martinez mengeluh dalam bila mendengar jawapan itu. Dia tahu, masalah Israel dan Palestin tidak akan berkesudahan sehingga kiamat.
“Tapi yang pasti, masyarakat antarabangsa akan salahkan Amerika,” ujar David lagi seraya menukar saluran televisyen untuk menjelaskan apa yang dimaksudkan.

Kali ini terpapar pula imej-imej demonstrasi masyarakat Islam dari merata dunia. David Doron sengaja menukar-nukar saluran televisyen agar bosnya mendapat gambaran betapa seriusnya reaksi masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman Israel lalu memalingkan kebencian mereka kepada Amerika kerana berasakan Amerika adalah pelindung Israel.

‘And now... breaking news...’ umum seorang wartawan ketika skrin televisyen memaparkan saluran WorldLiveLine. John dan David terus menumpukan perhatian.
‘Sebuah kapal perang Amerika, USS Lakota telah tertembak kapal kecil Iran di perairan Selat Melaka. Kapal yang pada mulanya dipercayai kapal lanun Selat Melaka itu ditembak kerana dikatakan cuba melarikan diri. Dua orang anak kapal dilaporkan terkorban.’

“Apa yang dibuat oleh kapal kita kat Selat Melaka, tu?” tanya John.
“Agaknya... meronda.”
“Meronda? Mana mungkin? Negara-negara Malaysia, Singapura dan Indonesia tidak pernah setuju dengan kehadiran kita di situ!”

“Secara rasminya, kita hormati pendirian negara-negara itu. Tapi secara praktiknya, kita perlu hadir di situ kerana kepentingan kita.”
“Sejak bila kita tidak hormati persefahaman dengan negara-negara di sana? Dapatkan Ketua Turus Angkatan Tentera!”
“Err... Tuan Presiden...” David cuba menjelaskan...
“Now!” bantah John dengan wajah yang memerah.

LEFTENAN JENERAL Tack Scott muncul di pintu. John Martinez hanya mendepangkan tangannya sebagai tanda mengizinkan Tack Scott duduk. David Doron sempat menjeling ke arah pegawai tinggi tentera itu lalu kedua-duanya saling bertukar-tukar pandangan. Kedua-duanya mengangguk perlahan.

“Perjelaskan...” ujar John dengan nada mendatar sebelum Tack Scott sempat menghela nafasnya.
“Kami hanya belayar di sana menuju ke Singapura lalu terserempak dengan kapal itu. Kapal al-Bahar didaftarkan di Iran, Tuan Presiden.”

“Ia bukan kapal lanun seperti yang dinyatakan dalam berita?” desak John.
“Itu laporan kami kepada pihak maritim Malaysia,” jawab Tack dengan tenang. Atas sebab-sebab keselamatan, dia yang menyampaikan kepada pihak media seolah-olah mereka tersilap tembak. Padahal, mereka tahu sejak mula ia adalah kapal Iran.

“Kenapa kamu tembak?”
“Ia mencurigakan, Tuan Presiden. Sebab itu kami terpaksa membedil ketika ia cuba lari.”
“Soalnya, apa hak kamu bertindak di sana?” Suara John mula meninggi. “Malaysia, Indonesia dan Singapura adalah negara-negara berdaulat. Mengapa kamu membelakangkan mereka? Tidak bolehkah kamu menghubungi pihak maritim mereka kalau benar kapal Iran itu mendatangkan masalah?”

“Keadaan memaksa, Tuan Presiden!”
“Apakah saya tidak penting? Sebuah kapal perang Amerika, menembak sebuah kapal dagang Iran di perairan Selat Melaka. Mengapa saya tidak diberitahu?”
“Ia rahsia, Tuan!”

“Rahsia? Sebuah kapal perang Amerika menembak sebuah kapal dagang di selat yang paling sibuk di dunia... kamu kata itu rahsia? Apa yang kamu buat di sana?” desak John.
“Mempastikan keselamatan Tuan Presiden!”

“Apa? Keselamatan saya? Kalau begitu, tentera Amerika boleh menembak sesiapa sahaja di dunia ini dan meletakkan alasan bahawa ia adalah untuk menjaga keselamatan saya? Apakah kamu ni siuman, Tacky?”
“Err... sepatutnya David sudah beritahu Tuan...” jawab Tack Scott seraya menjeling ke arah David Doron.

John Martinez menjadi terpinga-pinga. “Apa ni, David? Saya tak mengerti...”
David Doron terus mengukir sebuah senyuman bagi menenangkan hati Presidennya.
“Apakah Tuan sudah lupa yang Tuan akan ke Malaysia pada minggu hadapan?”

“Well...” John terdiam seketika. Wajahnya berubah tenang. Baru dia sedar mengapa pihak tenteranya sudah berada di perairan Selat Melaka. “Saya tau yang saya akan di Malaysia selama setengah hari. Forum Ekonomi Dunia Islam itu tidak lama. Tidak perlulah berkawal sampai begitu...”

“Itu adalah tanggungjawab kami, Tuan Presiden. Walaupun Tuan akan berada di sesebuah tempat dalam masa seminit... kami tidak sekali-kali akan berkompromi dengan prosedur keselamatan Presiden kami!” celah Tack Scott dengan nada penuh bersemangat.
Kata-kata itu membuatkan John Martinez kembang dada kerana berasa bangga dengan kecekapan anak buahnya.

“Kalau begitu, saya boleh terima jawapan awak, Tacky,” ujar John seraya menumbuk perlahan lengan pegawai tinggi tentera itu sebagai tanda bergurau. “Tapi, apa yang perlu saya nyatakan pada dunia nanti? Satu lagi maaf?”

“Bukan maaf, Tuan...” celah David. “Hanya penyataan kesal di atas kesilapan pihak tentera Amerika. Sebuah kenyataan yang umum sahaja.”
“Bagaimana kalau kerajaan Iran membuat bantahan?” tanya John.

“Lewatkan permohonan maaf sehingga dunia terlupa.
Bila dunia terlupa, maaf sudah tidak perlu lagi!” jawab David.
Bersambung di minggu hadapan...

Friday, November 27, 2009

FRAGMEN 20: DETIK DEBAR


FRAGMEN 20
DETIK DEBAR


Kawasan Hutan Sipo, Narathiwat, Thailand

FARIZ menyusun langkah. Begitu juga lelaki itu. Pada jarak dua langkah di antara satu sama lain, masing-masing mula menapak berkeliling. Bagai dua ekor ayam laga yang hendak berjuang. Kedua-dua tangan lelaki itu tersilang di depan wajahnya. Fariz mengagak, tindakan lelaki itu bukannnya untuk melindungi diri, tetapi sebenarnya ingin menyembunyikan gerak mata untuk mengabui tekaannya.


Fariz mula melibaskan kakinya. Sambil melibas, Fariz bergerak mengacah untuk menolak lelaki itu ke tepi dinding. Apabila menyedari dirinya terhimpit, tiba-tiba lelaki itu memutarkan tubuhnya lalu melompat melintasi kepala Fariz. Tindakannya membuatkan Fariz tergamam.


Tanpa sempat melakukan apa-apa, Fariz terasa bahunya diterajang dari arah belakang. Meskipun hentaman lelaki itu sungguh padu, Fariz sempat mempersiapkan kuda-kudanya. Dia hanya terlangkah setapak ke hadapan untuk menyerap impak tendangan.


Fariz segera memutar tubuhnya menghadap lelaki itu. Namun, tindakannya lambat. Belum sempat dia mendaratkan kedua-dua kakinya, Fariz hanya nampak tapak kasut deras menghampiri wajahnya. Kepalanya tertolak ke belakang dan Fariz jatuh terlentang.


Lelaki itu terus melompat untuk mendaratkan kedua-dua kakinya ke tubuh Fariz yang terngadah. Dia bergolek. Namun lelaki itu lebih pantas. Dia terus merebahkan tubuhnya lalu menghenyak belakang Fariz dengan kedua-dua lututnya pula. Dengan pantas lelaki itu mengilas kedua-dua tangannya dan menghantukkan kepalanya ke kepala Fariz. Mata Fariz berpinar-pinar.


‘Ini bukan Muay Thai!’ kata hati Fariz.
“Ini bukan Muay Thai!” kata lelaki itu seolah-olah mendengar suara hati Fariz.
“Ini seni mempertahankan diri orang Khmer. Pradal Serey.”
Dengan kata-kata itu, lelaki itu terus memancung leher Fariz dengan tangannya !

FARIZ tersedar bila berasa tubuhnya dihumban ke atas meja simen. Dia memandang tubuhnya yang tidak berbaju. Lalu terasa yang dia juga tidak berseluar, kecuali seluar dalam! Tangannya sudah terikat dan terkilas ke belakang.
‘Apa dah jadi?’ Fariz tertanya di dalam hati.
‘Sretttttt…’


Bunyi itu menangkap telinga dan pandangan Fariz. Matanya mencerlang memandang sebilah parang yang berkilat yang dilenser ke tubir meja simen ini oleh lelaki yang bertubuh rendang itu. Dialah lelaki yang menetak lehernya sebentar tadi. Lelali itu mengetuk-ngetuk parang itu ke simen meja. Berdenting-denting bunyinya.


Dada Fariz berdegup kencang. Bila tubuhnya ditelanjangkan dan diletak di tempat seperti meja, Fariz dapat mengagak apakah kesudahannya. Dia tahu apa akan terjadi kerana dia pernah menonton video-video siksaan tawanan. Situasi begini menandakan yang dia akan dibunuh. Lebih tepat lagi, dia akan disembelih sebagai korban!


“Masanya dah sampai…” tenang sahaja lelaki itu bertutur.
“Sampai? Sampai ke mana?” soal Fariz inginkan kepastian walaupun dia sudah dapat mengagak maksud lelaki itu.
“Kamu orang Islam… mengucap sahajalah…” kata lelaki itu sambil melurut mata parangnya dengan ibu jari.
“Wei! Apa ni?” pekik Fariz spontan.


Fariz segera meronta-ronta untuk bangun. Tetapi dia terasa ada tangan-tangan yang menangkap tubuhnya. Dia menggelupur. Cuba untuk melepaskan dirinya. Namun, tangan-tangan yang menekan tubuhnya semakin kuat menghenyak. Malah, paha, pinggang dan bahunya dipukul berkali-kali hingga Fariz terasa tubuhnya kebas.


Akhirnya Fariz keletihan. Dalam keadaan pandangannya yang berpinar, Fariz nampak empat wajah-wajah yang menekan tubuhnya memandangnya dengan mata terbelalak. Dia terasa dirinya seperti bermimpi. Mimpi buruk yang mengerikan.


‘Inikah kesudahan aku? Apa sebab aku tiba-tiba disiksa begini? Aku tidak tahu apa-apa mengenai Tuan Aziz atau Khunpol Rachotai. Sebenarnya aku tak perlu disiksa sampai begini. Seharusnya mereka tangkap sahaja Tuan Aziz di Putrajaya. Habis cerita. Mengapa mereka siksa aku sampai begini. Sungguh tak maksud akal! Gila! Ya, mereka ini semuanya gila!’


“Arghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh…” Fariz melaung. Melontarkan suaranya. Menggaung dan menggema di sekitar kawasan berbatu ini.
Fariz terasa pandangannya gelap. Kepalanya sudah disarung dengan kain guni berwarna hitam. Tali yang mengikat mulut kain itu terus dijerut ke lehernya. Fariz ditelentangkan. Dada Fariz semakin berdegup kencang. Peluh sudah membasahi tubuhnya yang telanjang.
“Lepaskan aku!”


“Apa kamu mau?” tanya lelaki yang berambut putih dan bertrubuh rendang itu. Fariz dapat mengecam suara lelaki itu walaupun dengan mata yang tertutup.
“Lepaskan aku. Aku tak tahu menahu tentang semua ini.”
“Apa yang kamu mahu!”
“Aku mahu dilepaskan!”
“Kau tak boleh lepas. Aku sembelih kau.”
“Hei! Lepaskan aku!”
“Apa kamu mahu?”
“Lepaskan aku! Lepaskan aku! Lepaskan aku!”
“Itu saja yang kamu mahu?”
“Ya, lepaskan aku!”
“Apa kamu mahu?”


Soalan sama yang bertubi-tubi itu membuatkan Fariz naik darah. Dia memekik panjang hingga suaranya serak. Tanpa disedari, air matanya mengalir deras. Biarlah. Ajalnya sudah sampai kali ini. Sebagai seorang ejen perisik dia rela mati demi negara. Cuma, dia tidak mengerti apakah nilainya sebagai ejen hingga hendak dibunuh seperti ini. Bukankah mudah kalau dia ditembak sahaja?
“Arghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh…”
“Jangan susah hati, kawan. Mati hanya sekali!”


Suara yang perlahan itu membuatkan Fariz terhenti meraung. Tiba-tiba dia teringatkan ALLAH. Tuhan yang menghidupkannya. Tuhan yang mematikannya. Ya Muhyi! Ya Mumiit!
Tiba-tiba telinganya tidak mendengar apa-apa. Hanya bunyi desingan di dalam telinga. Sayup-sayup dia terdengar suara lelaki itu memerintah agar mereka yang lain terus memegang tubuhnya kerana dia hendak melaksanakan tugasnya.


Fariz mula terasa lehernya sejuk disentuh mata parang. Fariz menahan nafas. Airmatanya seolah-olah terus terhenti. Bulu roma di seluruh tubuhnya terasa berdiri. Dia harus sabar menerima hukuman. Dia harus reda dengan ketentuan. Dia harus pasrah menghadapi mati. Demi Tuhan yang menjadikannya. Dia sudah bersedia untuk mengucap sebaik sahaja terasa lehernya dihiris!


“Apa yang kamu mahu?” bisik suara lelaki itu.
Fariz tidak menjawab.
“Apa yang kamu mahu?”
Fariz terus mendiamkan diri.
“Apa yang kamu mahu?”
“A-L-L-A-H…”
“Apa yang kamu mahu?”
“ALLAH! ALLAH!”
“Apa dia? Apa yang kamu mahu?”
“ALLAH! ALLAH! ALLAH!”
“Apa?”
“ALLAH! ALLAH! ALLAH! Lailahailallah….”


FARIZ terasa mata parang yang sejuk menyusur di lehernya. Dia menahan nafas. Menanti rasa pedih dan sakit mengiringi. Sungguh. Dia sudah bersedia untuk mati. Mati untuk bertemu dengan Illahi. Mata parang sudah terangkat daripada lehernya. Rasa bisa akan mengiringi seketika lagi. Fariz menunggu rasa sakit itu. Sesaat… dua saat… tiga saat…
“Subhanallah walhamdulilah walailahaillah wallah huakbar!” kedengaran suara yang dikenalinya. Bukan suara lelaki yang berambut putih dan bertubuh rendang itu. Tetapi…


Tiba-tiba, kain yang menutup kepalanya disentap. Serta merta pandangannya terang benderang. Tubuhnya terus dilingkari dengan selimut.
“Alhamdulilah, Fariz!”
Seorang lelaki terus menerpa dan memeluk tubuhnya. Mengusap kepalanya. Fariz kenal siapakah lelaki ini.
“Tu… Tuan Aziz?”
“Ya, ya, Fariz. Mengucap, Fariz… mengucap…”


Fariz memeluk lelaki itu sambil mengucap dua kalimah syahadah di dalam hati. Dia memejam mata untuk melafazkan ucapan itu sepenuh jiwanya. Agar kalimah itu meresap dan beredar ke seluruh pembuluh darahnya. Kedengaran bunyi tepukan di sekelilingnya. Fariz membuka mata. Lalu bertembung pandangan dengan Tuan Aziz yang merenungnya dengan senyuman bangga.


Fariz memandang mereka yang berada di sekelilingnya. Lelaki-lelaki yang menyiksanya turut tersengih-sengih sambil bertepuk tangan. Lelaki yang berambut putih dan lelaki yang berambut panjang, kedua-dua lelaki yang menyiksanya terus tampil dan bersalaman dengannya.
“Apa semua ini, tuan?” tanya Fariz kehairanan.
“Selamat datang ke Pusat Latihan BISIK di Narathiwat!” ujar Tuan Aziz.
“Latihan? Oh, tidak!” ujar Fariz sambil menepuk dahinya.
“Smile! You are on candid camera!”


Suara itu membuatkan Fariz berpaling. Dia sempat menangkap tangan yang hendak menumbuk bahunya. Lalu memutar jejarinya untuk bersalaman dengan orang ini.
“Kak Mala? Saya ingat akak dah…”
“Ha-ah, akak dah mati. Ini hantu dia!” jawab Normala selamba.
Kata-kata itu mengundang hilai tawa mereka di sekeliling.
“Tapi, macam mana…”


“Ala… sejak kat Rantau Panjang lagi akak dah keluar dari bonet kereta. Akak bersembang dengan engkau menggunakan alat komunikasi, kan? Sejak dari sempadan lagi akak dah duduk kat bilik operasi untuk pantau pergerakan engkau, Fariz!”
“Oh, selama ini, rupa-rupanya…”
“Apa, engkau ingat, Hollywood aje yang pandai buat trick?”
Tawa mereka semua berderai lagi.


“Fariz…” kata Tuan Aziz.
Mereka semua mendiamkan diri bila bos memulakan kata.
“Tidak ada yang lebih besar dan utama daripada menyerah diri kepada ALLAH. Apabila kamu disiksa, rahsia boleh terbongkar kalau kamu hanya memegang rahsia kerana ikrar BISIK. Ikrar profesyen tidak kukuh sebenarnya.


Yang kuat dan padu adalah ikrar kita sebagai hamba-NYA. Sumpah kita sebagai hamba ALLAH adalah ikrar yang tak boleh dimakan oleh apa jua siksaan. Dengan lafaz laillahailallah, apa jua siksaan dan kepedihan akan terubat. Bila kita berserah nyawa kepada Yang Maha Hidup, insya-ALLAH kita akan dapat menyimpan rahsia sampai ke mati. Oleh itu, bila berdepan dengan interogasi, deraan dan siksaan… jangan lupa kepada ALLAH!”


Fariz dan mereka yang lain terangguk-angguk mendengar tazkirah daripada Tuan Aziz.
“Okey… Ini adalah hari pertama latihan Fariz. Kamu akan jalani dua minggu latihan di sini bersama lain-lain anggota BISIK. Selesai sahaja latihan, kamu akan pulang ke Kuala Lumpur. Ada tugas besar sedang menanti!”
“Apa dia tugas tu, Tuan?”


Tuan Aziz menoleh. Menerkamkan pandangannya ke arah ejen muda itu.
Membuatkan Fariz tidak berani bertanya lagi.


Bersambung di minggu hadapan...


FROM ME TO YOU:
Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.


KISAH SETAKAT INI:

Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap dan diinterogasi.


Jalur 2: Oleh kerana menimbulkan masalah, Jennifer Miles, seorang wartawan perang telah ditukarkan ke meja bisnes. Namun, sikapnya yang tegas dan lantang tetap mengundang kurang senang orang walau di mana dia berada.

Sunday, November 22, 2009

FRAGMEN 19: DETIK DEBAR


Foto: diytrade.com
FRAGMEN 19
DETIKDEBAR


Denver Convention Center, USA
CAHAYA lampu di dewan ini mula dimalapkan. Ratusan para jemputan yang asyik berbual mula berpaling dan menumpukan perhatian ke hadapan. Cahaya terang sebuah lampu sorot memancar ke arah sebuah skrin yang mula bergerak perlahan-lahan berlabuh dari lelangit pentas.
Cahaya dari pelbagai warna mula memanah bersilang-seli ke layar perak. Dan sebuah animasi untuk gimik persembahan pelancaran produk pun terpapar. Sejurus asap ais kering terhembus meliputi pentas dan kerlipan cahaya laser pun menyilau. Dengan iringan bunyi dentuman muzik, maka muncul produk yang dinanti-nantikan ~ sebuah kasut sukan terkini ciptaan syarikat NeoSteps Corporation.

Semua para hadirin bertepuk tangan bila seorang lelaki muncul di pentas seraya melambaikan tangannya. Paparan di skrin terus menukar imej daripada produk kasut ke wajah lelaki yang kelihatan begitu ceria itu.

Dialah Smith Dawson, CEO NeoSteps Corporation. Dan tepukan semakin bergemuruh bila dia berdiri di samping produk syarikatnya. Tersenyum simpul bergaya santai sambil membiarkan kerlipan kamera para jurufoto memercik ke wajahnya. Sambil berdehem, dia membetulkan mikrofon. Petanda dia akan memulakan ucapan untuk memperkenalkan produknya.

Jennifer Miles tersenyum sinis memerhatikan semua ini. Dia sudah kerap sangat menghadiri majlis-majlis sebegini. Baginya, ia tidak mempunyai apa-apa makna melainkan sebuah majlis promosi yang klise. Sebuah majlis keraian yang tampaknya gah, tetapi belum tentu menjamin produk yang benar-benar berkualiti.

Jika pun ia sebuah produk yang bagus, belum tentu lagi pengeluarannya menuruti peraturan dan undang-undang di tempat ia dibuat. NeoSteps Corporation juga adalah sebuah syarikat antarabangsa yang mempunyai kilang-kilang pengeluaran di merata dunia khususnya di negara-negara membangun. Jennifer tahu cerita di sebalik kehebatan syarikat itu. Dan Jennifer mahukan jawapannya.

“And now... question time...” kata CEO NeoSteps Corporation menghabiskan ucapan lalu melangkah turun dari pentas ke ruang sofa di mana satu sidang akhbar akan berlangsung.
Mendengarkan itu, Jennifer melangkah ke hadapan. Dia ingin bertanyakan soalan. Soalan-soalan yang menarik perhatian CEO itu. Soalan-soalan yang bakal merobah wajah lelaki yang kelihatan begitu seronok itu!

Jennifer hanya mengukir senyuman plastik bila mendengar para wartawan lain bertanya pelbagai soalan. Kesemua soalan-soalan yang dikemukakan berbaur puji-pujian yang mengundang rasa gembira dan kembang hidung lelaki itu. Dan para hadirin bertepuk tangan setiap kali lelaki itu menyudahkan jawapan. Hebatnya NeoSteps Corporation. Seolah-olah ia begitu gemilang dan tiada danu.

“One last question...” ujar lelaki itu sambil tersenyum lagi.
“Ya... one more question, Mr. Smith...”
Wajah Smith Dawson serta merta berubah bila bertembung mata dengan Jennifer. Dia tertunduk seketika memandang ke lantai. Ada riak bimbang diwajahnya. Sambil mengusap dagunya yang tentunya tidak gatal, Smith mengukir senyuman. Senyuman plastik.

“Saya terbaca laporan sebuah NGO mengenai reban kasut tuan di Indonesia...”
Perkataan 'reban' sudah cukup membuatkan Smith berasa terpukul. Para wartawan yang berada berhampiran dengan Jennifer mula memandang sinis ke arah wanita itu. Mereka kenal siapakah Jennifer Miles. Lalu mereka menginjak untuk menjauhi Jennifer kerana berasa tidak selesa dengan perkataan yang dipilih wartawan wanita itu.

“Dia ni tak sudah-sudah dengan kontroversi,” bisik seorang wartawan kepada rakan sejawatnya. “Sepatutnya dia berada di neraka Palestin. Tempatnya bukan di sini,” jawab rakannya pula.

Jennifer terdengar kata-kata memperli itu. Namun dia tidak peduli. Baginya, wartawan-wartawan yang membuat liputan dunia perniagaan adalah mereka yang mudah digula-gulakan dengan material. Mereka yang membuat liputan produk akan menerima pelbagai cenderahati yang dipanggil 'door gift.'

Akibatnya, mereka yang termakan budi akan melaporkan yang muluk-muluk mengenai syarikat penaja majlis. Kerana hadiah yang diterima, pelancaran yang gah itu akan diberi ruang lalu tersebar sebagai sebuah berita yang dibaca dan ditonton ramai. Padahal, ia adalah sebuah gimik pemasaran di mana si tuan punya majlis tidak perlu mengeluarkan bajet yang besar. Cukup sekadar memberikan cenderahati yang murah harga dan nilainya.

“What is your name, young lady?” Smith bertanya nama Jennifer. Seolah-olah dia tidak mengenali wartawan yang terkenal itu.
“Jennifer... Jennifer Miles...”
“The Legendary Jennifer?”
Jennifer hanya mengukir sekilas senyuman kerana diberi gelaran 'lagenda.' Dia tahu lelaki itu sengaja cuba memujinya untuk melengah-lengahkan masa. Sengaja tidak mahu menjawab soalannya. Satu petanda yang dia akan berdolak-dalik.

“Maafkan saya, err... Jennifer. Saudari mengistilahkan kilang pengeluaran saya di Indonesia sebagai reban? Reban ayam? Maaf. Saya tidak mengeluarkan bulu tangkis!”

Jawapan Smith membuatkan keseluruhan para hadirin tertawa. Namun, perasaan Jennifer tidak berasa tergugat pun. Dengan lantang dia bersuara, “NeoSteps adalah jenama global. Jenamanya sudah mengatasi lain-lain jenama kasut di dunia. Produknya berkualiti. Malah, NeoSteps memperoleh keuntungan berbilion ringgit. Dan, saham NeoSteps kini di antara saham yang paling menguntungkan di Bursa Saham New York.

Tetapi, mengapa NeoSteps menganiaya tenaga buruhnya? Mengapa membayar mereka gaji harian yang kecil yang nilainya lebih rendah daripada sebuku roti? Oleh kerana gaji yang kecil, mereka tinggal merempat di dalam rumah-rumah yang diperbuat daripada kotak kertas!

Mereka tinggal di tepi-tepi sungai dan mandi di celah-celah timbunan sampah sarap. NeoSteps sebagai jenama global yang kaya raya, apa yang NeoSteps lakukan untuk masa depan para pekerjanya? Dan tuan sebagai CEOnya, apakah yang tuan pernah saksikan sendiri kehidupan daif mereka?” soal Jennifer dengan suara yang lantang.

“NeoSteps tidak bertanggungjawab dengan kehidupan peribadi para pekerjanya di Indonesia. Apa yang penting, mereka setuju dengan bayaran gaji yang diberi. Kalau mereka tidak mahu, mereka boleh sahaja berhenti kerja.

Kalau mereka berhenti kerja, ada ramai lagi mereka yang mahu bekerja di kilang kami di sana. Bagaimana pun, kami telah memenuhi tuntutan piawaian antara bangsa hak-hak para pekerja. Jadi, apa masalah awak, Jennifer?” soal Smith dengan matanya yang mula mencerlang.

“Saya tiada apa-apa masalah... sebaliknya, tuan yang punyai masalah! Tuan sudah hilang jiwa sebagai manusia! Kerana wang dan keuntungan, tuan membiarkan para pekerja yang membuat kasut syarikat tuan hidup bagai gelandangan.”

“Apa yang awak cakapkan ini, Jennifer?” soal Smith.
“Laporan NGO Workers World menunjukkan NeoSteps adalah salah sebuah konglomerat Amerika yang menganiaya para pekerja!” bantah Jennifer.
“Workers World? Kamu kata, Workers World? Rupa-rupanya kamu membaca laporan NGO yang itu ke?” soal Smith.
“Ya!”

“Sebenarnya, saya sudah membaca laporan itu. Kami dapati Workers World telah tersilap lapor! Peguam kami telah menghubungi mereka dan mereka akan menarik balik laporan kaji selidik itu. Err... kebetulannya, pemimpin Workers World, Mr. Roger Parker ada di sini sebagai tetamu saya. Roger... dipersilakan Mr. Roger Parker ke mari...”

Para hadirin yang asyik mendengar perdebatan Jennifer dan Smith tertoleh-toleh mencari orang yang bernama Roger Parker. Lampu sorot di lelangit dewan turut berkeliaran mencari pemimpin NGO itu. Akhirnya, kelihatan seorang lelaki mengangkat tangan. Dengan malu-malu, dia melangkah perlahan ke pentas. Smith terus merangkul bahu lelaki yang menghampirinya.

“Ini dia, Mr. Roger Parker. Beliau telah membuat kaji selidik mengenai tanggungjawab NeoSteps ke atas para pekerja di Indonesia. Pada mulanya, Workers World berpendapat NeoSteps telah melanggar hak asasi para pekerja.
Tetapi setelah mereka menyelidik kembali dengan bantuan Jabatan Sumber Manusia kami, Workers World mendapati NeoSteps telah memenuhi piawaian antara bangsa hak asasi para pekerja!”

Kata-kata Smith disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin. Jennifer ternganga memandang drama yang berlaku di depan matanya. Hatinya semakin memberontak.
“Oleh kerana seorang wartawan terhormat telah mempersoalkan kredibiliti kami, biarlah pemimpin Workers World, Mr. Roger Parker menerangkan kedudukan sebenar. Dipersilakan...” ujar Smith lalu menghulurkan mikrofon kepada pemimpin NGO itu.

‘Oh, my God... rupa-rupanya Workers World telah dibeli. Ia sudah tiada roh perjuangan...’ desis Jennifer di dalam hati.
Dengan perasaan yang membungkam, Jennifer berpaling dan melangkah keluar dari dewan itu. Dia tidak mahu mendengar pengakuan palsu ketua NGO itu. Di laluan keluar, Jennifer disapa oleh seorang petugas NeoSteps.
“Maafkan saya, puan...”
“Hmm...” jawab Jennifer sambil tersenyum sebagai tanda hormat.

“Saya tengok, puan masih belum lagi memperoleh cenderahati sepasang kasut daripada NeoSteps. Silalah pilih mana satu kasut yang puan ingini...” kata petugas itu seraya mengunjuk ke arah susunan kasut yang tersedia sebagai cenderahati.
“Thank you. How I wish I don’t have any legs!” jawab Jennifer dengan wajah yang mencuka. Meninggalkan petugas yang terpinga-pinga itu.

BARU sahaja Jennifer membuka pintu kereta, dia menerima panggilan daripada ayahnya.
“Ya, papa...”
“Jenny... apakah sayang hendak melancong?”
“Melancong? Alah, papa ni janganlah bergurau!”
“Maksud papa, Jenny hendak tak ke sebuah negara di Asia Tenggara?”
“Indonesia?”
“Bukan Indonesia, tetapi ke sebuah negara yang berhampiran dengannya.”
“Malaysia?”
“Ya, Malaysia!”
Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...




FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap dan diinterogasi.

Jalur 2: Oleh kerana menimbulkan masalah, Jennifer Miles, seorang wartawan perang telah ditukarkan ke meja bisnes. Namun, sikapnya yang tegas dan lantang tetap mengundang kurang senang orang walau di mana dia berada.

Wednesday, November 11, 2009

FRAGMEN 18: DETIK DEBAR


Foto:film-forward.com


FRAGMEN 18
DETIKDEBAR


“TENGOK sana!” perintah lelaki yang bertubuh besar itu seraya mencekak rambutnya. Memaksa kepala Fariz terdongak memandang skrin. Paparan di layar bertukar kepada ketika dia berkunjung ke rumah Tuan Aziz di Putrajaya pada satu malam. Pasti imej itu dirakam menerusi CCTV. Oleh kerana dia menyamar di dalam tugasnya, waktu yang sesuai bagi Fariz menemui bosnya itu hanyalah pada waktu malam.

Fariz nampak dirinya menyelit di celah-celah pokok, melangkahi parit dan mengepil di balik tembok. Menanti sehingga Tuan Aziz pulang. Kehadirannya nyaris disambut dengan peluru bila bosnya terkejut dengan kemunculannya. Fariz dibawa masuk ke dalam rumah dan keluar untuk menghilang seketika kemudian.

“Khunpol adalah penyangak besar. Dia menjadi jutawan dengan kerjanya itu! Khunpollah yang memalsukan kad pengenalan mereka yang diculik dan diseludup supaya mudah dibawa keluar ke Thailand. Dari Thailand, mangsa-mangsa culik akan dibawa ke merata dunia.

Khunpol juga membuat money laundering kesemua wang yang dibawa masuk ke Malaysia untuk dilaburkan ke dalam pelbagai perusahaan. Dan Khunpol membunuh sesiapa sahaja yang menentangnya! Kau tengok siapa tali barut Khunpol!”

Paparan di skrin bertukar sekali lagi. Wajah Normala yang melambaikan tangannya muncul. Fariz terkedu melihat wajah itu. Normala mengenyitkan matanya dan memberi senyuman menggoda. Kelihatan wanita itu menuju ke kereta limosin. Lalu dia mengetuk cermin kereta itu. Apabila cermin kereta itu melorot, tampil wajah Tuan Aziz atau Khunpol!

Fariz menelan liurnya. Memerhati imej tayangan yang beralih lagi. Kali ini terpampang wajah dua orang lelaki dengan AK-47 mengarahkan senjata masing-masing ke but kenderaan pacuan empat roda!
“Argh!” Fariz terjerit.

Dia tahu apakah adegan yang akan dimainkan selepas ini. Bunyi dentuman mesin gun mula menghingari bilik itu. Tampak jelas di matanya bagaimana dua orang lelaki berpakaian hitam memuntahkan peluru ke arah but kenderaan. Babak itu begitu menyesak jiwanya. Fariz meronta-ronta hingga dia dapat tunduk untuk menutup matanya dari memandang ke layar perak.

Namun telinganya boleh mendengar rentetan dentuman muntahan peluru dari senjata itu. Mata hatinya dapat melihat tubuh Normala meronta-ronta bila dihujani peluru yang tak bermata dan hati.

“Sudahhhhhhhhhhh...” jerit Fariz.
Dadanya berombak kencang. Fariz benar-benar keliru. Hatinya tidak mahu percaya, tetapi fikirannya mengiyakan. Manusia perisikan boleh sahaja berlakon menjadi baik ataupun jahat hingga sebati ke dalam jiwa. Tentu tidak mustahil jika seseorang yang jahat pun berlakon baik! Dan, Tuan Aziz pun tidak terkecuali!

Tanpa disedari, air matanya mengalir. Geram dan sedih bercampur baur. Di antara percaya dengan tidak. Di antara sayangkan Normala atau membencinya. Apakah selama ini dia tertipu? Tertipu dengan sandiwara mereka yang telah membina keyakinan dirinya terhadap nilai-nilai amanah untuk mempertahankan bangsa dan negaranya? Ah, fikirannya berkecamuk dan bergumpal dengan pelbagai persoalan. Namun, tiada jawapan yang melintas di fikirannya yang semakin kusut.

“Apa yang kau sedihkan? Apa yang kau tangiskan? ” ujar lelaki yang bertubuh besar itu dengan lantang. “Tuan Aziz bukan bos kamu! Sebab dia adalah Khunpol! Khunpol akan kami hapuskan. Sebelum itu, kami sudah hapuskan Normala.”

Lelaki itu menghampiri Fariz dan merentap rambutnya. Memaksa Fariz bertentang mata dengannya. Fariz bingung. Sama ada untuk mempercayai atau sebaliknya. Lelaki itu menghampirkan mulutnya ke telinga Fariz. Lalu dia berbisik, “Kau kena tolong kami, Fariz. Bersihkan BISIK dari ancaman pembelot besar seperti Tuan Aziz atau nama Siamnya, Khunpol.”
“Siapa kamu?” Fariz juga bertanya perlahan.
Kata-kata itu sendiri terluah tanpa Fariz sedari. Meskipun video yang terpapar begitu meyakinkan, hati kecilnya masih ragu-ragu dengan tiga lelaki yang mengelilinginya.

“Kami semua bekas anggota BISIK yang telah disisihkan oleh Khunpol. Kami diarahkan oleh PM sendiri untuk membersihkan BISIK. Kami sayang pada BISIK, Fariz.” Lelaki itu berkata perlahan diiringi dengan satu keluhan yang panjang. Dia berpaling dan melontarkan pandangannya ke arah skrin. Melihat babak dua orang lelaki melepaskan tembakan ke arah kenderaan panduan empat rodanya yang kini sudah terhenti.

“Aku tak percaya!” kata Fariz tegas.
Lelaki itu menoleh. Merenung Fariz buat beberapa ketika lalu menggeleng kesal.
“Okey, teruskan...” perintah lelaki itu seraya memetik jarinya beberapa kali.

Tayangan di skrin bertukar lagi. Kali ini pandangan dari halaman sebuah rumah kampung. Mulut Fariz ternganga kerana dia tahu rumah siapakah yang tertayang di depan matanya. Itulah rumahnya di Kampung Rhu Teduh, Terengganu. Sejurus kelihatan seorang wanita berusia lanjut menuruni tangga rumah itu sambil memegang sebuah bakul.
“Nek...” ucapan itu terpacul dari mulutnya.

Fariz terpaku melihat wajah neneknya. Wanita itu tenang melangkah ke tepian rumah untuk menyidai baju. Sejurus, wanita itu menjejak tangga memasuki rumah kembali. Fariz memerhati keadaan rumah neneknya yang kelihatan begitu sunyi. Kelihatan pepohon kelapa melambai ditiup angin. Kedengaran bunyian ombak melanda pantai. Tiba-tiba kedengaran pekikan nyaring.

Mata Fariz terbelalak. Fikirannya sudah membayangkan sesuatu yang buruk bakal ditontonnya. Sejurus kelihatan dua orang lelaki menuruni rumah sambil mengendong sesusuk tubuh yang dibalut seluruhnya dengan kain batik. Tubuh itu kelihatan meronta-ronta.
“Wei! Apa tu? Wei! Tu nenek aku!” Fariz terpekik.

Darah menyirap ke kepalanya. Dadanya berombak semula. Dia cemas bercampur marah bila melihat neneknya diperlakukan begitu. Kedua-dua lengan yang terlekap di kerusi cuba direntap dari ikatan. Tubuhnya digoyang-goyang agar terlepas dari ikatan. Dia bangun. Membawa kerusinya sekali. Dia duduk dan bangun beberapa kali. Menghentak-hentak kaki kerusi ke lantai untuk melahirkan kemarahannya.

“Nek Tijah akan dilepas kalau kau membantu kami,” kata lelaki itu sambil tersengih.
“Mana boleh macam tu! Tugasan adalah tugasan! Tidak perlu anggota keluarga dijadikan tebusan. Kamu kata kamu bekas anggota BISIK. Mana ada BISIK bertindak begini ke atas anggota keluarganya?” bantah Fariz.

“Kau diam! Kau siapa yang hendak mengajar aku? Bodoh!” jerkah lelaki itu sambil menjegil matanya.
“Arghhhh...”

DENGAN sekali rentap, ikatan di pergelangan tangannya tercabut. Mereka yang berada di sekelilingnya jadi panik. Kini hanya kakinya sahaja yang terikat di kaki kerusi. Dengan menggunakan kemahiran parkour yang dimilikinya, Fariz menggunakan kedua-dua tangannya untuk melekap ke lantai. Tindakan pantasnya menghasilkan momentum. Bagai seorang penari breakdance, yang melakukan gerak coffee grinder, Fariz memutar kerusi dengan kakinya sebelum menghayunnya mengenai dua orang yang ada berhampiran.

Hentaman kerusi itu membuatkan kerusi itu patah dan tali ikatan pun terburai. Kini Fariz telah bebas kembali. Dia sudah bersedia untuk menyerang. Melihatkan Fariz mengamuk, dua orang lelaki itu bingkas bangun dan mengorak langkah seribu.

Tanpa membuang masa, Fariz melompat dan menendang kaki skrin menyebabkan layarnya tumbang dan koyak menghempap kedua-dua lelaki itu. Sekali lagi Fariz melompat dan menggunakan kedua-dua kakinya untuk mengacip kedua-dua kepala lelaki yang masih bingung itu. Kedua-dua kepala mereka terhantuk dan mereka rebah. Fariz tersenyum seketika melihat hasil kerjanya.

“Dek chaiiiiii!”
Kedengaran suara di belakangnya. ‘Budak?’ Fariz mentafsir bahasa Thai itu seraya menoleh. Memandang lelaki yang bertubuh besar berdiri gagah. Jari telunjuk lelaki itu terkuit-kuit menggamitnya.

“Gert keun!”
‘Mari sini...’ Fariz menterjemah lagi bahasa itu.
Lelaki itu lalu terus mengepalkan kedua-dua penumbuknya. Kakinya terangkat-angkat silih berganti melibas-libas ke udara.
‘Muay Thai?’ kata Fariz di dalam hati.
“Rao.... gaan dtor soo!” jawab Fariz, tidak mahu kalah.

Mata lelaki itu mencerlang bila mendengar jawapan Fariz yang bermaksud ‘mari kita berlawan.’
“Huh!” Begitulah reaksinya sambil mencebir bibir.
Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH.
........................................
FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.
KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap dan diinterogasi.
Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya. Akibatnya demonstrasi mengutuk Jennifer dan Amerika terjadi di mana-mana. Ia turut menjadi perhatian The Group, sebuah kumpulan pelobi Yahudi...

Wednesday, October 28, 2009

FRAGMEN 17: DETIK DEBAR

FROM ME TO YOU:
Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala

terkorban dan Fariz ditangkap dan ditempatkan di sebuah sel. Menanti masa untuk diinterogasi.

Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya. Akibatnya demonstrasi mengutuk Jennifer dan Amerika terjadi di mana-mana. Ia turut menjadi perhatian The Group, sebuah kumpulan pelobi Yahudi...



FRAGMEN 17
DETIK DEBAR

Kawasan Hutan Sipo, Narathiwat, Thailand

BUNYI deguman pintu besi menggema dalam kesunyian. Dengan mata yang tertutup dan tangan yang bergari, Fariz ditolak untuk melangkah. Meskipun penuh dengan pelbagai persoalan, Fariz patuh pada arahan. Berdasarkan kuliah yang dikuti di BISIK, Fariz tahu dia akan dibawa ke bilik soalsiasat.

Di situ, dia akan disoal. Biasanya, akan ada dua orang yang akan menyoalsiasatnya. Orang pertama akan memainkan peranan sebagai orang jahat atau the bad guy. Dia akan menggertak, mengugut, malah memukulnya. Bila maklumat gagal diperoleh daripadanya, orang kedua pula akan muncul.

Orang ini pula akan memainkan peranan sebagai orang baik atau the good guy yang bersikap lembut. Dia akan memujuk, menasihat dan akan mengumpannya dengan hadiah andainya dia bekerjasama. Jika dia berkeras, orang pertama akan muncul kembali.

Jika dia terus berdegil, orang ketiga dipanggil. Orang yang ketiga ini tidak akan menyoal. Tetapi tugasnya adalah untuk menyiksanya. Andainya dia masih berkeras, orang yang ketiga ini akan membawanya ke sebuah tempat lain untuk dihapuskan!

Suara raungan dari arah kanan menggema ke telinganya. Fariz terpaling ke arah itu. Bunyi tubuh dipukul kedengaran bertubi-tubi diiringi dengan suara rintihan yang begitu menyayat hati.

Tiba-tiba bunyi desah seperti dapur gas menerkam dari arah kirinya. Kedengaran pula bunyi percikan seperti dari bunga api. Tetapi bunyinya begitu kuat di sisinya. Fariz terkejut bila terasa bintik-bintik kecil yang panas mengenai lengannya. Walaupun dia boleh menahan kesakitan percikan api itu, namun dia tidak dapat meneka dengan pasti apakah api-api kecil yang menyentuhnya itu benar-benar api yang datang daripada alat memateri logam.

Kedengaran bunyi selak pintu ditarik. Bunyi besi berdentum menandakan beratnya pintu. Fariz diasak lagi untuk melangkah. Kedengaran bunyi jentera yang mengaum. Serta merta, deruan angin yang kuat menerpa ke tubuhnya. Seolah-olah datang dari sebuah kipas angin yang besar. Fariz terasa kedinginan. Pakaiannya berkibaran.

“Dudukkan dia!” kedengaran satu suara memerintah.
Fariz ditolak untuk duduk. Gari di tangannya dibuka. Tetapi ia tidak dilepaskan begitu sahaja. Sebaliknya kedua-dua tangannya dilekap dan diikat ke tempat pemegang kerusi. Kakinya diikat. Kemudian penutup matanya direntap.

Cahaya putih yang terang menyilaukan matanya. Fariz terus memejam mata. Tetapi kepalanya disentap dari belakang oleh seseorang. Fariz mendengus dan meronta-ronta. Kelopak matanya mula ditarik dengan jari orang yang mendongakkan kepalanya. Memaksa matanya terbuka untuk menerima panahan cahaya dari lampu sorot yang amat menyakitkan itu.

“Kunphol Rachotai? Kau kenal dia?” tengking satu suara.
Meskipun Fariz tidak dapat melihat siapakah yang bertanya, Fariz pasti, si penyoal berdiri di belakang lampu sorot itu.
“Tak. Tak pernah dengar nama dia,” jawab Fariz seraya menggeleng.

“Bohong!” kata si penyoal lalu melangkah menghampirinya. Tubuh lelaki itu besar dan tinggi. Namun Fariz tidak dapat mengecam wajah yang bertopeng itu. “Kamu berbohong!”
“Buat apa aku berbohong?”
“Sebab kamu talibarut dia!” Satu tamparan keras hinggap ke pipi Fariz.
“Kenal Kunphol?”
“Tak tahu!”

Satu tumbukan lain singgah ke pipi Fariz. Tangan yang memegang kepalanya kini mengemaskan cengkaman agar Fariz tidak dapat bergerak. Akibat tumbukan itu, pipinya terasa kebas dan sengal.
“Kenal dia?”
“Tak tahu!”
Kali ini tiga penumbuk sampai ke kiri dan kanan dagunya.

“Aku tak tahulah! Sampai mati pun aku tak boleh beritahu siapa dia Kunphol Rachotai sebab aku tak kenal dia!” jawab Fariz dengan suara yang terteran-teran menahan sakit. Fariz terasa bibirnya masin. Dia tahu mulutnya telah berdarah.
“Kamu kena beritahu aku siapa dia Kunphol Rachotai!”
“Aku tak tahu…”

“Kalau kau tak beritahu aku, kau akan diseksa dengan lebih berat lagi!” gertak lelaki itu.
“Jangan seksa, seksa. Bunuh sahaja aku!” bantah Fariz. Giginya berkeretup menahan geram.
“Hei! Apa hal kau buat macam tu? Tak payah seksa dia.”
Entah dari mana, muncul seorang lelaki yang bertubuh gempal. Dia tersenyum-senyum menghampiri. Wajahnya tidak menggambarkan langsung yang dia seorang penjahat. Bahu Fariz ditepuk-tepuk. Membuatkan lelaki yang bertubuh tinggi dan besar itu memandang dengan jelek. Seolah-olah cara yang digunakannya itu salah.

Walhal, Fariz sudah mengerti taktik dan teknik menyeksa tawanan. Dia tahu, lelaki yang baru muncul itu adalah the good guy yang hanya memainkan peranan sebagai orang baik sedangkan dia juga penyeksa yang berlakon baik. Fariz yang dapat menghidu taktik itu hanya berbuat selamba.

“Padamkan lampu tu!” Lelaki itu mengarahkan seseorang.
Serta merta, lampu terpadam. Suasana jadi gelap gelita. Tetapi, pandangan Fariz masih lagi belum pulih. Dia nampak kesan cahaya berwarna putih pada pandangannya.
“Jom, tengok wayang…” kata lelaki itu lagi.
Sebuah skrin perlahan muncul dari sisi. Kemudian cahaya projektor bernyala dan tumpah ke skrin. Muncul wajah seorang lelaki.

“Mari saya perkenalkan… inilah dia wajah Kunphol Rachotai… penyangak nombor satu yang paling dikehendaki oleh perisikan Thailand! Kami tahu, awak kenal dia!”
Fariz bagai tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Matanya membulat memandang imej itu. Mulutnya ternganga terkejut.

“Tidakkkkkkkkkkk!” jerit Fariz secara spontan.
Tidak mahu melihat wajah di skrin yang seolah-olah tersenyum mengejek kepadanya.
Tidak mungkin Tuan Aziz sebenarnya adalah Kunphol Rachotai!

Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Wednesday, October 21, 2009

FRAGMEN 16: DETIK DEBAR

FROM ME TO YOU:
Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1:
FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normalaterkorban dan Fariz ditangkap dan ditempatkan di sebuah sel.

Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya. Akibatnya demonstrasi mengutuk Jennifer dan Amerika terjadi di mana-mana. Ia turut menjadi perhatian The Group, sebuah kumpulan pelobi Yahudi...



Foto: whitehouse.gov

FRAGMEN 16:
DETIKDEBAR


The White House, Washington DC

JOHN Martinez menekur melihat monitor CCTV. Memandang Jennifer Miles berjalan pantas diiringi dua orang pegawai keselamatan keluar daripada perkarangan White House. Satu keluhan kecewa terhembus perlahan. Kecewa kerana wartawan itu tidak mahu langsung duduk minum kopi bersamanya di laman.

Kalaulah gadis itu setuju, sekurang-kurangnya imej beliau bersama dengan Jennifer akan dirakam lensa kamera dan TV para wartawan di dalam dan di luar negara. Foto dan shot video akan tersebar dan akan menjadi bahan berita serta spekulasi siapakah yang sedang mempengaruhi siapa?

Apakah Jennifer Miles dipanggil John Martinez untuk diberi amaran secara berdiplomasi ataupun Jennifer Miles pula berjaya mengadakan pertemuan dengan Tuan Presidennya. Yang lebih penting, kritikan terhadap Jennifer Miles diharap akan dilupakan oleh dunia. Sebaliknya, gosip pertemuan itu akan menjadi isu mainan media.

Bertindak ke atas Jennifer akan memberi mesej bahawa Amerika tidak menghormati kebebasan suara walaupun tindakan ke atas Jebnniferlah yang dunia Islam dan NGO-NGO mahukan. Membiarkan isu Jennifer menjadi semakin hangat pula akan mengakibatkan folus dunia adalah ke atas hal-hal Israel dan Palestin. Krisis yang sudah melebihi separuh abad itu cukup memeningkan kesemua presiden Amerika yang berdepan dengannya termasuk dirinya. John Martinez mengeluh lagi memikirkannya. Tidak menyedari bila David Doron menonong memasuki biliknya.

“Jack is on the line,” kata David Doron. “Jangan berbual panjang. The Group sedang menunggu!”

John menyambut fonsel dari tangan David dengan selamba. Tidak mahu David menyedari yang lelaki itu mengganggu lamunannya.

“Apa khabar, Jack?” bisik John sambil melangkah ke jendela. Menjauhi David agar lelaki itu tidak dapat mendengar biji butir perbualannya. “Suara awak serak... awak sakit? Awak kenalah makan ubat, Jack. Kalau awak sakit, saya pula yang akan susah.” Sambil bertutur perlahan, John terjeling-jeling ke arah David. Tampak khuatir kalau-kalau pegawainya itu dapat mencuri dengar perbualannya.

“Okey... nanti kita bertemu. Saya akan ke luar negara pada minggu hadapan. Awak kenalah ikut, ya?” kata John mengakhiri perbualan.

David tegak berdiri sambil memerhati. Bibirnya tercebir-cebir bagai mahu mencelah perbualan John. Tidak sabar menyambut fonsel sebaik sahaja John menghulurkan kepadanya. Lalu David melangkah dan menolak pintu ke bilik mesyuarat. John turut mengekori. Sebaik sahaja memasuki bilik itu, John sedikit terkejut kerana disambut tidak kurang daripada 20 orang tetamu dari The Group. Inilah kali pertama dia menemui kumpulan pelobi Yahudi yang berpengaruh itu.

“Oh, nampaknya, saya mempunyai ramai sekali tetamu,” kata John seraya bersalaman dengan anggota The Group, seorang demi seorang.

Masing-masing bangun serentak dan bersalaman dengan Tuan Presiden. Kemudian, hampir serentak, mereka terus duduk. Ada keseragaman dari segi pakaian mereka. Kesemuanya memakai kot dan seluar hitam, berkemeja putih dan bertali leher putih berbelang biru. Keseragaman itu menampakkan kesatuan hati mereka.

“Sudah enam bulan Tuan Presiden memimpin Amerika.” Seorang lelaki yang berusia lebih separuh abad memulakan perbualan tanpa bertangguh-tangguh. Dia tahu, masa amat penting buat seorang pemimpin seperti John. Kerana itu, dia terus bercakap kepada topik perbualan.

“Kami amat menyanjungi ketokohan dan kepetahan tuan memerintah dalam tempoh tersebut. Cuma...” Lelaki itu berhenti berkata-kata lalu tersenyum-senyum.

Kelakuannya mengundang perhatian John. Dia menjongkongkan tubuhnya sebagai tanda ingin menumpukan perhatian. Sesekali John menoleh ke arah lain-lain tetamu lalu menghulurkan senyuman manis. Untuk menyedapkan hatinya dan para hadirin. Perlahan-lahan, John Martinez menelan liurnya.

“Err... sejak dua minggu ini, isu mengenai Jennifer Miles terus menjadi perhatian dunia. Dan kami kurang selesa dengan keadaan ini. Apa kata...”

“Saya sudah pun bertindak. Saya sudah minta pihak World Live Line mengambil tindakan untuk mengeluarkan Jennifer daripada Palestin,” jawab John seraya teringat perbualannya dengan Miles Steward, CEO WLL yang juga bapa Jennifer.

“Ya, ya... dan sebentar tadi dia nyaris mendapat perhatian dunia!” celah lelaki yang berkening tebal sambil tertawa dan diikuti oleh mereka yang lain.

John menjadi serba-salah dengan reaksi itu.
“Jangan risau, John. Imej awak tidak akan terjejas. Kami akan menjaga imej itu. Kami sudah aktifkan virus di dalam kesemua komputer bimbit dan kamera para wartawan yang membuat liputan di White House sebentar tadi. Imej tuan tidak akan tercalar.”

“Apa yang harus saya katakan, melainkan ucapan terima kasih,” jawab John dengan keningnya yang terangkat.

Walaupun insidennya dengan Jennifer di sidang media sebentar tadi boleh menjejaskan imejnya, namun dia kurang setuju dengan tindakan The Group yang padanya kurang demokratik.

“Well... kami hanya mahukan imej Tuan Presiden bersih. Dalam pada itu, kami juga mahukan sokongan tuan ke atas Israel diteruskan sepertimana yang dilakukan oleh presiden-presiden sebelum ini.”

“Untuk pengetahuan tuan, saya sudah bersumpah bahawa saya akan melaksanakan tugas presiden dengan penuh amanah dan sedaya mungkin memelihara, menjaga dan mempertahankan perlembagaan Amerika,” kata John.

Dia sengaja mengulangi Sumpah Presiden Amerika sebagai mesej bahawa dia tetap berpegang kepada prinsip. Kata-kata itu mengundang kemarahan lelaki separuh usia itu. Wajahnya berkerut seribu bila John tidak mengendahkan manipulasi katanya.

“Kalau begitu, kita amat menghormati pendirian Tuan Presiden. Teruslah memimpin Amerika dengan adil, amanah dan saksama.”

Lelaki itu terus bangun lalu membutang kotnya. Lain-lain para hadirin juga turut bangun.

“Saya memimpin kerana undi rakyat!” jawab John. Wajahnya memerah kerana diperli.

“Ya, kami tahu mengenainya kerana kami juga bukan sahaja mengundi kamu, tetapi menaja seluruh kempen kamu! Nampaknya, kami terpaksa pergi kerana masing-masing ada urusan.”

Menyedari keterlanjurannya, John segera menghulurkan tangannya untuk berjabat.
“Maafkan saya. Saya berjanji akan terus membantu The Group,” kata John.

“Hmm... kami akan terus menyokong kamu,” jawab lelaki itu dengan suara yang mendatar. “Jumpa lagi...”

John terpegun memerhati seluruh anggota The Group beransur-ansur keluar dari bilik mesyuarat.

“See you, Mr. Gluke Chayim...” gumam John Martinez perlahan.

Bersambung minggu hadapan, insya-ALLAH...

Wednesday, October 14, 2009

FRAGMEN 15: DETIK DEBAR

FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normalaterkorban dan Fariz ditangkap dan ditempatkan di sebuah sel.


Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya. Akibatnya demonstrasi mengutuk Jennifer dan Amerika terjadi di mana-mana hingga pihak media memaksa Presiden Amerika membuat kenyataan. Pada sidang akhbar itu, Tuan Presiden terkejut bila Jennifer Miles muncul...


Foto: doshi-urfriend.blog

FRAGMEN 15:
DETIKDEBAR

Kawasan Hutan Sipo, Narathiwat, Thailand
FARIZ membuka matanya. Tidak perasan langsung sejak bila dia tidur tersandar di dinding sel ini. Kepenatan dan kesakitan membuatnya terlelap. Tiba-tiba telinganya menangkap satu suara laungan yang panjang. Suara itu datang dari arah atas. Fariz mendongak.


Kelihatan ruang besar sayup di atas kepalanya. Tingginya separas bumbung bangunan dua tingkat. Tampak dedaun pokok yang melitupi sebahagian daripada ruang itu. Fariz terus memeriksa tembok bilik ini. Namun, dia hanya menyentuh tanah lembut yang berlumut mengelilingi bilik ini. Tiada cara untuknya memanjat ke atas untuk melepaskan diri.

Suara itu kedengaran lagi. Fariz memicing telinga. Matanya terkelip-kelip mengamati suara itu. Kedengaran pula bunyi berdetas yang diikuti dengan suara seseorang dalam kesakitan. Kini bunyinya bukan laungan, tetapi raungan.


Matanya terkelip-kelip mengamati suara itu. Kedengaran pula bunyi berdetas yang diikuti dengan suara seseorang dalam kesakitan. Kini bunyinya bukan laungan, tetapi raungan.

Fariz membuat kesimpulan yang bunyi berdetas itu adalah alat menyebat. Dan suara manusia yang meraung itu adalah seseorang yang didera. Setiap kali kedengaran bunyi sebatan, suara meraung itu kedengaran bercakap-cakap dengan penuh ratapan.

Fikirannya menghantar imej seseorang yang sedang diikat dengan kedua-dua tangannya ke atas. Seorang lelaki sedang menderanya dengan tali tas. Siapakah yang didera? Siapa pula yang mendera? Fikirannya mula teringat kembali siapakah mereka yang menangkapnya.
‘Sekejap lagi, aku pulak yang akan jadi mangsa dera...’ detik hatinya.

Fariz duduk dan membuka kasut kanannya. Tangannya meraba tapaknya dan menarik sebuah kompartmen kecil. Lalu mengeluarkan sebuah alat komunikasi sebesar kotak mancis. Alat itu dibukanya. Tiada cahaya lampu yang bernyala.

Dia menjentik-jentik alat itu. Namun ia tetap begitu. Nampaknya alat itu sudah rosak. Fariz mengeluh. Hilang harapannya untuk menghubungi BISIK mahupun melihat lokasinya melalui pancaran GPS daripada alat itu.

Suara raungan dari arah atas semakin kuat bunyinya. Fariz mendongak. Tiba-tiba dia nampak satu lembaga seperti tubuh manusia melayang jatuh dengan lolongan yang menakutkan. Fariz lekas-lekas bergolek. Dan lembaga itu jatuh berdebuk di depan mata.

Fariz melepaskan nafas lega kerana sempat mengelak. Tetapi dia tidak sempat menarik kasutnya yang kini ditindih tubuh itu. Perlahan-lahan dia merangkak menghampiri tubuh yang berbalut kain putih seperti mumia itu. Dengan hati-hati dia menyentuh tubuh yang terbaring kaku itu.

“Bangun!”

Seiring dengan itu, Fariz terasa kolar bajunya ditarik. Kehadiran mengejut musuhnya itu menyebabkan Fariz memberi reaksi spontan. Tangan yang memegang kolar bajunya ditarik. Fariz membongkok dan dengan kekuatan tangannya, dia membanting musuhnya ke lantai. Lelaki itu jatuh terlentang dan mengaduh kesakitan. Belum pun sempat Fariz membetulkan kedudukan tubuhnya, seseorang menendang pinggangnya dari arah belakang. Fariz jatuh tersungkur. Dia mendongak dan melihat seorang lagi musuhnya. Oh, lelaki yang bermisai putih itu muncul lagi untuk menyusahkannya.

‘Klik’
Lelaki itu memetik picu pistolnya.
“Get up!”
Fariz bingkas bangun dan menghampiri lelaki itu.
“Angkat tangan! Kalau kau melawan, aku tembak!” gesa lelaki itu.
Fariz tidak mengendahkan amaran lelaki itu. Tanpa memberi apa-apa amaran, Fariz segera menerpa ke arah lelaki itu. Menekan perutnya ke muncung pistol!

“Tembak aku! Tembaklah!”
Fariz berjaya membuat tindakan yang mengejutkan itu. Lelaki itu terundur-undur. Jelas sekali wajahnya yang garang kini bertukar cemas. Melalui ilmu mengenai modus operandi seseorang tahanan, Fariz tahu, dirinya adalah aset. Sebagai tawanan, dia tidak akan ditembak kecuali setelah maklumat penting diperoleh. Dan, lelaki yang bermisai putih itu adalah petugas biasa yang tidak ada kuasa langsung untuk membunuhnya kecuali setelah maklumat berjaya atau gagal dicungkil daripada dirinya.

Bila mengingatkan itu, Fariz menerpa lagi. Kali ini dengan tujuan yang lain.
“Kalau kau tak mahu tembak aku…”
Dengan kepantasan kilasan jejarinya, pistol digenggaman lelaki itu sudah bertukar tangan! Tanpa membuang masa, Fariz mengasak perut lelaki itu dengan lututnya. Lelaki itu terhenyak ke tembok. Fariz terus menghimpit tubuh lelaki itu. Lalu menekan dahi lelaki itu dengan muncung pistol.

“Aku boleh sahaja bunuh kau, tau tak?”
“Okey… okey… kalau engkau nak keluar dari bilik ini, pergilah. Aku menyerah!” kata lelaki itu dengan suara yang lemah.
Fariz berundur selangkah. Pistol itu diputar-putar seperti seorang hero koboi.
“Pandailah engkau! Engkau ingat aku boleh lepas lari?” Fariz tersenyum sinis. “Engkau pun tahu ada ramai lagi samseng yang menunggu aku di luar sana. Nah!”

Lalu pistol itu dilambung kembali ke arah lelaki itu. Tanpa teragak-agak lelaki itu menyambutnya.
“Jangan risau," kata Fariz. "Aku akan ikut cakap kau! Tapi, oleh kerana aku dah selamatkan nyawa kau, engkau perlu tolong aku…”
“Apa yang kau mahu?”
“Beri aku sebotol air…”

Lelaki itu menoleh ke arah rakannya yang masih terbaring di lantai. Dengan menggunakan isyarat mata, dia menyuruh rakannya itu keluar mendapatkan air. Seketika sahaja rakan lelaki itu muncul kembali dengan sebotol air.

Perlahan-lahan, Fariz membuka tudung botol itu. Dia minum seteguk sebelum melangkah ke sudut bilik. Lelaki yang bermisai putih dan rakannya mengekori dan memerhati apa yang akan dilakukan Fariz. Mereka juga bersedia kalau-kalau Fariz ingin melakukan sesuatu yang akan menyusahkan mereka.

Tanpa menghiraukan mereka yang memerhatinya, Fariz menuang air ke dalam tudung botol itu. Setelah botol itu diletakkan di sisi, Fariz menuang pula air itu ke telapak tangannya. Kemudian, perlahan-lahan Fariz menyapu wajahnya.

Melihatkan itu, kedua-dua lelaki itu berpandangan sesama sendiri sambil terggeleng-geleng. Kemudian mereka tersenyum bila mendapati Fariz berdiri di sudut sel untuk menunaikan solat...
Bersambung pada 18.10.09, insya-ALLAH...

Sunday, October 4, 2009

FRAGMEN 14: DETIK DEBAR

FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normalaterkorban dan Fariz ditangkap dan dibawa ke sebuah tempat.


Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya. Akibatnya demonstrasi mengutuk Jennifer dan Amerika terjadi di mana-mana hingga pihak media memaksa Presiden Amerika membuat kenyataan. Pada sidang akhbar itu, Tuan Presiden terkejut bila Jennifer Miles muncul...


Foto:moonspell.glogster.com


FRAGMEN 14
DETIK DEBAR


Kawasan Hutan Sipo, Narathiwat, Thailand

KENDERAAN yang dinaiki tiba-tiba berhenti. Enjin dimatikan. Suasana menjadi sunyi. Fariz membuka mata lalu memasang telinga. Cuba mengecam di manakah dia berada kini. Kedengaran bunyi riang-riang berdesing panjang berhampiran dengannya. Kemudian suara sekawan monyet terjerit-jerit kedengaran menggaung di kejauhan. Menggema suasana.

‘Kat hutan, agaknya…’ desis hati Fariz.
Dia terggeleng-geleng beberapa kali untuk mempastikan sama ada kepalanya masih pening lagi. Bagus. Peningnya dah hilang. Kesakitan yang membisa di tubuhnya pun telah berkurang. Kali ini dia perlu lebih bersedia. Dia mesti mencari jalan untuk melepaskan diri.

Memorinya segera berlari menyampaikan maklumat ke mindanya. Ya. Kini dia ditawan oleh sekumpulan lelaki yang masih belum memperkenalkan diri dan dari kumpulan manakah yang mereka wakili.

Dia segera tersedar yang matanya ditutup dengan kain hitam, tangannya terikat ke belakang dan dia kini terbaring di atas rumput di dalam sebuah kenderaan pikap bersama dengan seekor lembu yang senang dengan kehadirannya.
Nama Khunpol Rachotai menjelma di layar mindanya bersama dengan suara lelaki yang bertempik ke telinganya.

‘Siapa Khunpol? Musuh Awut Chaovalit? Tapi, aku menyamar sebagai kontak Awut. Kerana itu, mengapa aku pulak ditangkap oleh talibarut Awut? Atau, apakah mereka ini bukan menjalankan sindiket seperti Awut sebagai penyeludup manusia? Apakah mereka militan? Pembalak haram? Mungkin mereka tangkap aku kerana tersilap orang! Ah…’

Fariz tak dapat memikirkan andaian-andaian lain. Buat sementara waktu, biarlah dia mendiamkan diri. Tidak guna membuat telahan-telahan sedangkan dia tiada asas untuk membuat agakan-agakan itu. Namun, nalurinya berasa, dia pasti akan didera lagi.

Deraan dalam proses interogasi adalah bertujuan untuk memperoleh maklumat. Selagi maklumat tidak didapati, maka deraan akan diteruskan. Tahap siksaan akan ditingkat sehingga si kena dera membuka rahsia. Selepas itu, mangsa akan dilepaskan atau dibunuh. Biasanya, mangsa akan dibunuh! Itulah yang dipelajari dalam latihan perisikan di sebuah kem BISIK di puncak Gunung Nuang, Selangor.

Dan yang pasti, matanya akan dibuka ketika diinterogasi selepas ini. Si pendera akan membuat eye contact ketika meneruskan deraan. Mata adalah pintu ke hati. Pembohongan boleh dicam melalui kerdipan mata. Bagi Fariz pula, bila pandangan telah terbuka, banyak helah yang boleh dipergunakan. Gerak mata, meskipun sesaat, boleh dijadikan senjata untuk mengalih perhatian seseorang. Dan detik sesaat juga boleh mengubah keadaan. Yang di atas, boleh terkebawah, yang di kanan, boleh ke kiri, yang kalah, boleh menang, yang hidup, boleh mati!

‘Bila sampai masanya, pandai-pandailah kau semua jaga diri masing-masing!’ Diam-diam Fariz memberi amaran sambil mengetap bibirnya.

KEDENGARAN besi selak dinding penyekat kenderaan dibuka dengan kasar. Berdentam-dentum bunyinya. Fariz yang terlentang, membangunkan tubuhnya bertopangkan siku. Memandang ke arah bunyi itu, meskipun matanya dibutakan dengan kain. Tiba-tiba kakinya terasa direntap. Dalam keadaan terlentang, tubuhnya diheret laju dan kemudiannya dilepaskan. Membuatkan dia terasa tubuhnya melayang dan mendarat menghempap bumi. Pinggangnya terasa sengal. Dia mengaduh kesakitan.

“Bangun!” tempik satu suara parau.
Serentak dengan itu, kolar bajunya ditarik. Memaksanya berdiri. Paksaan itu, membuatkan pinggangnya yang sakit, semakin membisa. Fariz tahu, deraan seterusnya akan dilaluinya. Meskipun dia masih belum dapat mengenalpasti hujung pangkalnya, Fariz sedia mengharunginya. Ya, dia sudah terlatih untuk menghadapi deraan sebegini.

“Jalan!” Kedengaran perintah dari suara itu lagi.
“Argh!” Fariz terjerit bila terasa pinggangnya dihentak dengan but. Rasa bisa menjalar dari pinggang ke kepalanya. Seperti hendak putus saluran pernafasannya. Namun, minda Fariz masih belum mati. Deraan itu memberi peluang kepadanya untuk sengaja melebih-lebihkan raut wajah dalam kesakitan agar memberi kepuasan kepada di pendera. Dengan helah itu, dia tidak akan dipukul dengan lebih teruk.

Lengan Fariz direntap. Memaksanya melangkah. Fariz terasa dia memijak tanah. Sesekali dia terlanggar bonggol. Mungkin akar pokok yang timbul di permukaan tanah. Sesekali dia tersepak dedaun ketika dia melangkah.

Kedengaran bunyi ketukan. Kemudian bunyi besi berlaga. Dan kemudian keriutan seperti daun pintu yang dibuka. Rasa bahang segera menerpa ke tubuh Fariz. Dia ditolak lagi untuk melangkah.
‘Macam dalam bangunan…’ detik hati Fariz.

Ikatan di tangannya terasa dilonggarkan. Kemudian penutup matanya dibuka. Mata Fariz berlaga dengan renungan tajam lelaki yang membuka ikatannya. Tanpa berkata apa-apa pun. Satu tumbukan melayang mengenai pipinya. Belum pun sempat dia berfikir, perutnya pula senak dihunjam lutut lelaki yang bermisai tebal dan tegap itu. Kemudian, dia berpaling melangkah meninggalkan Fariz yang sedang tertunduk-tunduk menekan perutnya. Kali ini, sakitnya benar-benar terasa.

Lelaki itu terus melangkah keluar dari ruang itu. Dia menarik daun pintu dan menutupnya. Kedengaran bunyi selak ditolak. Bunyi rantai yang berlaga bergemerincing menghingari suasana.
‘Aku dalam sel?’ detik hati Fariz.

Dia memandang ke sekeliling kawasan yang suram. Tiada tingkap. Yang ada hanyalah batu mengelilingi ruang tempat dia berdiri. Lantas Fariz berlari ke pintu. Melalui sebuah lubang kecil, dia nampak lelaki itu melangkah meninggalkan selnya.

“Woi!” Fariz memanggil.
Lelaki itu terus melangkah.
“Woiiiii!” Fariz memekik.

Lelaki itu lantas menoleh lalu mencekak pinggangnya. Pandangannya terhala terus ke sel. Seolah-olah dia tahu Fariz sedang memerhatinya. Tangannya terangkat. Lalu dia menuding ke arah pintu sel. Betul-betul menghala ke arah Fariz yang sedang memerhatinya dari lubang di pintu itu.

“Ejen BISIK… bodoh!” pekiknya lantang.
Perlahan-lahan dia menoleh dan meneruskan langkahnya. Meninggalkan Fariz yang kini terpinga-pinga.

Friday, September 25, 2009

FRAGMEN 13: DETIK DEBAR

FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normalaterkorban dan Fariz ditangkap dam disiksa.

Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya. Akibatnya demonstrasi mengutuk Jennifer dan Amerika terjadi di mana-mana hingga pihak media memaksa Presiden Amerika membuat kenyataan. Pada sidang akhbar itu, Tuan Presiden terkejut bila Jennifer Miles muncul...



Foto: blogs.chron.com


FRAGMEN 13
DETIK DEBAR

Media Centre, West Wing, White House, Amerika Syarikat

WAJAH John Martinez berubah-ubah di antara ingin tersenyum atau mempamerkan wajah yang serius. Bila dia mengukir senyuman, senyumannya tidak menjadi. Bila dia berwajah serius, ketegangan wajahnya membuatkan dia mengendur kerana tidak mahu dilihat sebagai orang yang bongkak. Dia tahu, pada saat ini lensa-lensa kamera merakam setiap gerak urat di wajahnya. Malah, titis peluh bimbang yang keluar dari liang romanya pasti akan dapat dirakam kamera dan kemudiannya ditonton oleh semua manusia di dunia ini.

“Well… welcome home, young lady…” Walaupun teragak-agak, John sempat memberi ucap selamat.
“Bolehkah saya lahirkan pandangan saya, Tuan Presiden?” tanya Jennifer.
“Sudah tentu… Silakan!” jawab John seraya mendepangkan kedua-dua tangannya.
“Saya percaya, tuan membiarkan isu Jennifer Miles berlarutan kerana tuan mahukan namanya dilupakan! Bukan begitu?”

Dakwaan itu membuatkan mata John Martinez mencerlang ke arahnya. David Doron mula melangkah menuruni pentas untuk menghalang Jennifer terus mempersoalkan presidennya. Namun, John segera menahan sambil mengisyaratkan agar Jennifer diberi peluang untuk bercakap.

“Ya… oleh kerana saya adalah jurucakap kebebasan dan keadilan khususnya untuk rakyat Palestin, maka bila dunia mencemuh saya, Amerika yang juga menyanjung kebebasan dan keadilan hanya menutup mulutnya kerana mahu Jennifer Miles dilupakan.

Kerajaan tuan mengharapkan nama Jennifer Miles tenggelam dan membawa bersama nilai-nilai kebebasan dan keadilannya! Kemudian, mudahlah kerajaan tuan terus memberi sokongan kepada Israel yang saban hari menceroboh wilayah Palestin!”
“Bukan begitu, Jennifer. Awak salah faham. Sebenarnya saya menyukai cara awak melapor berita. Malah saya adalah salah seorang peminat setia awak,” John cuba memujuk dengan merendahkan suaranya.

“Terima kasih kerana secara peribadi, tuan meminati saya. Namun sebagai Tuan Presiden negara Amerika, tuan punyai banyak sekali janji-janji dengan pihak Israel dan golongan Yahudi. Ia adalah rahsia terbuka yang diketahui oleh dunia. Kerana komitmen terhadap Yahudi, tuan sanggup menghalang saya daripada terus membuat laporan-laporan dari bumi Palestin! Dan…”
“Apa yang awak maksudkan? Awak jangan bermain kata dengan saya!” pintas John Martinez.

Suara John mula meninggi. Malah wajahnya sudah memerah menahan amarah. Mereka yang berada di dalam bilik berita ini turut ditiup dengan rasa suspens. Sekejap mereka memandang ke arah John. Seketika kemudian ke arah Jennifer pula.
“Tuan telah menghalang kebebasan saya, kerjaya saya, malah hubungan saya dengan keluarga apabila tuan masuk campur dengan urusan World Live Line!”
“Ha, ha. Sungguh pandai awak berlawak, Jennifer! Saya tak akan lakukan sampai begitu!” John menyanggah.

“Sebenarnya, tuan yang menyuruh CEO WLL memanggil saya pulang dan berhenti daripada menjadi wartawan perang!”
“Apa buktinya?” John kelihatan berang.
“Habis tu, bagaimana saya boleh berada di sini dan berdepan dengan Tuan Presiden sekarang sedangkan sepatutnya saya berada di bumi Palestin? Tindakan tuan mencampuri urusan tempat saya bekerja adalah cara tuan menutup mulut saya dan membutakan dunia daripada segala maklumat mengenai Palestin! Inikah kebebasan media yang tuan maksudkan?”

“Awak tahu tak dengan siapa yang awak bercakap ni? Awak tak patut bercakap begitu di depan saya. Awak… awak…”
John kehilangan kata-kata. David Doron yang sejak tadi ternanti-nanti untuk bertindak terus mengisyaratkan agar para pengawal peribadi Presiden mendekati Jennifer. Kemudian, dia sendiri memaut bahu John untuk meninggalkan bilik ini.

“Jangan sentuh saya! Awak hendak ke adegan ini terpapar ke seluruh dunia?” pekik Jennifer sambil meronta-ronta bila bahunya diregang oleh para pengawal peribadi Presiden.
“Stop it! Leave her alone!” sanggah salah seorang wartawan wanita.
“Yeah! That is not the way to treat a lady!” desak seorang lagi rakan sejawat Jennifer.
Beberapa orang wartawan terus meluru dan cuba melepaskan pegangan para pengawal peribadi terhadap Jennifer. Berlakulah tolak menolak dan tarik menarik. Namun, para pengawal peribadi hanya mengikut arahan. Seperti robot yang tiada kata-kata, mereka mengheret Jennifer yang terjerit-jerit nyaring. Meninggalkan para petugas media yang terpinga-pinga.

Seketika sahaja David Doron muncul kembali ke rostrum. Sambil mengulas senyuman, dia mengangkat kedua-dua tangannya meminta perhatian para petugas media.
“My dear friends... bersabarlah. Kami tidak melakukan apa-apa terhadap dia. Malah, kami hanya ingin mengajaknya minum kopi bersama Tuan Presiden. Janganlah bimbang.
Bagaimana pun, anda bebas untuk memutuskan sama ada untuk menyiarkan episod tadi di stesen TV, radio mahupun akhbar anda. Tapi saya pohon teman-teman sekalian mempertimbangkannya atas nama negara Amerika yang tercinta dan imej Presiden kita semua.
Janganlah hal-hal peribadi menjadi agenda nasional. Saya dengan ini menutup sidang akhbar ini. Err… jangan lupa untuk menyampaikan ucapan selamat saya kepada ketua-ketua anda yang sentiasa menunggu liputan berita yang tepat, telus tetapi bertanggungjawab daripada anda,” ucap David dengan penuh diplomasi tetapi mengandungi unsur amaran.

“What the **** are you talking about? Do you understand what I mean? Do you understand, huh?” cemuh seorang wartawan berkulit hitam. Wajahnya yang gelap menyerlahkan barisan giginya yang memutih bila dia menyeringai.
“Are you trying to talk us out of this shit? Let me tell you, this! We know exactly what can we do! You don’t have to tell us, my ***” celah seorang lagi petugas dengan wajah yang merah padam.

Bilik itu mula hingar bingar dengan cemuhan para wartawan terhadap David Doron. Lelaki itu hanya terdiam sambil mengetap bibirnya menahan geram. Dia berdiri seperti patung sambil menerima sahaja kutukan para wartawan terhadapnya. Sesekali dia tersenyum seolah-olah menerima segala kritikan walaupun pada hakikatnya semua kata-kata itu hanya melintas dari telinga kanan ke telinga kirinya!
Kerana itu, sebaik sahaja kesemua petugas media sudah beredar, dengan segera dia mendail seseorang...

“Steve... engkau nampak tak, apa yang berlaku melalui CCTV?” katanya seraya memandang ke arah kamera CCTV di sudut bilik itu. “Sekarang, buatlah apa yang kau patut buat!”
Dengan kata-kata itu David melangkah ke luar bilik media itu dengan gaya jalan orang yang bongkak.
Bersambung pada 3.10.09, insya-ALLAH...

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP