Saturday, June 27, 2009

MENITI MAUT 2: DETIK DEBAR


FROM ME TO YOU:

TERIMA KASIH kepada anda sekalian yang telah memberi komen yang memberangsangkan terhadap MENITI MAUT. Anda yang 17, Hilman, Hannan, Serunai Faqir, Web Sutera, Atim, Linda Amri, Dropmental, Fairuspeng, Cheyaya, Kelubung, Ashraflatif, Norra, Hanys, Ina ALAFfc, Amylina, Torpedo, Cikli serta beberapa pembaca yang memberi komen-komen pendek seperti AKIM dan MIELONG mengenai MENITI MAUT benar-benar membuatkan saya memutuskan memilih genre aksi sebagai medan pengkaryaan saya. Terima kasih, saya amat menghargainya.

DI ATAS penghargaan itulah maka saya mengambil keputusan untuk memaparkan fragmen-fragmen MENITI MAUT 2: DETIK DEBAR mulai hari ini, 27 Jun 2009. Ini adalah kerana, sebilangan daripada anda telah bertanya-tanya bila MENITI MAUT akan disambung. Dan, ada yang memberi cadangan kandungan karya berikutnya. Saranan saudara Websutera yang inginkan saya memaparkan scene di Thailand, saya sambut sebagai cabaran meskipun tidak terfikir untuk membawa anda ke Thailand dalam sambungan ini. Setelah memerap idea untuk beberapa ketika, so here goes.

___________________________________________________________________
FRAGMEN 1
DETIK DEBAR




Jalanraya Narathiwat-Pattani, Selatan Thailand

LANGIT membiru sesaujana mata memandang. Tiada langsung tompokan awan meskipun di ufuk langit. Di saat ini, tiada lakaran seni indah awan gemawan ciptaan ALLAH Al-Musyawwir. Cahaya mentari bebas memanah dan memeritkan bumi. Mengeringkan rumput, mendebukan jalan dan mengontangkan parit. Di sebatang jalan bertar yang melintasi kawasan ini, udara panas bergerak meliuk lentuk memanjat ke udara daripada permukaannya. Sudah dua minggu hujan tak turun. Jika keadaan begini berterusan untuk seminggu lagi, kemarau pasti melanda daerah ini.

Suasana di sini teramat sunyi. Bagai tiada kehidupan yang mendiami. Yang kelihatan hanyalah seekor burung helang yang terbang perlahan melayangkan tubuhnya. Sesekali, bila kedudukannya semakin merendah, ia mengepak beberapa kali untuk meninggikan kembali penerbangannya. Sesekali, kepalanya terteleng-teleng. Memanahkan pandangannya ke bumi, ke celah-celah rumput dan parit yang kering kalau-kalau ada rezekinya untuk hari ini.

ALLAH Maha Menyayangi seluruh makhluk-NYA. Tiba-tiba mata sang helang ternampak bangkai seekor tikus di permukaan jalan raya. Makhluk itu melintasi jalan ini pada malam tadi. Takdir menentukan ia mati dilanggar sebuah kereta. ALLAH yang mengatur kematian sang tikus untuk rezeki sang helang pula pada tengahari ini.

Sang helang tidak mengepak lagi. Sebaliknya sayapnya dilebarkan. Membiarkan tarikan graviti merendahkan kedudukannya. Lalu ia terbang berkeliling menghampiri bangkai tikus itu sambil menoleh-noleh untuk memantau kawasan sekitar demi keselamatannya. Mana tau, jika tiada musuh, ada pula burung lain yang muncul untuk merampas rezeki daripadanya.

Baru sahaja ia berkira-kira untuk mendarat, puputan angin menyerbu dari arah hadapannya! Sang helang terkejut dan berwaspada! Ia tahu jika angin datang dari arah hadapan, itu petanda ada tolakan kuat suatu objek yang menyebabkan angin tersedut ke arah belakangnya! Suatu bunyi yang menderum menangkap pendengarannya. Dengan pantas sang helang mendongakkan kepalanya. Mengibarkan sayapnya beberapa kali. Dalam masa tiga saat, tubuhnya sudah meninggi ke udara melebihi paras pokok semarak api yang ada berhampiran…

“HMPH!” Fariz terdengus kerana konsentrasinya terusik.
Pemanduan lajunya sedikit terganggu bila terpandang seekor burung helang terbang merendah sebaik sahaja keretanya membelok menuruni selekoh ini. Tapak kaki kanannya sudah tergerak mahu menekan brek. Namun pengalamannya mengatakan sang burung akan sempat mengelak membuatkan dia terus memecut. Benar. Helang itu sempat mengeluskan dirinya sesaat sebelum kenderaannya merempuh.

Pandangan Fariz tertumpu ke cermin sisi memerhati kelibat burung yang terbang menjauh. Namun ia hanya seketika. Sesaat kemudian pemerhatiannya teralih kembali ke sebuah kenderaan pacuan empat roda yang muncul mendadak dari selekoh di belakangnya. Kelajuannya membuatkan ia menggelongsor di selekoh bagai aksi drift lagaknya.

Sejak kira-kira setengah kilometer sebelum ini, mata Fariz kerap memantau kenderaan di belakangnya. Sebelum itu, ia muncul secara tiba-tiba dari sebuah lorong di sebelah kiri jalan. Nyaris-nyaris kenderaan pacuan empat roda itu menyondol keretanya.

Meskipun hatinya memberontak marah, Fariz hanya mengelak dan memecut laju meninggalkan kenderaan itu. Dia tidak mahu bertentang mata dengan si pemandu untuk menzahirkan rasa marahnya. Tindakan itu akan mengundang pertengkaran dan membuang masa. Sedangkan pada saat ini, masa amat penting baginya. Penting kerana kini dia sedang menjalankan sebuah misi rahsia.

Fariz Zafar. Pemuda tegap berusia 23 tahun ini adalah seorang ejen perisik. Sudah hampir setahun bertugas dengan Biro Risikan Negara atau BISIK. Ketangkasannya mengendalikan misi dalam mengekang penaklukan penjajah ekonomi ke atas syarikat-syarikat di Malaysia tidak lama dahulu menerima pujian dari pihak atasan. Kini, dia ditugaskan untuk mengendalikan misi kedua.

Layar minda Fariz pantas memutar imej-imej yang memberi ingatan mengenai misinya ini. Bagai tayangan filem yang berulang-ulang di layar perak. Ya. Dia ke mari dengan satu tugasan. Tugasan yang memerlukan dia menyamar. Menyamar sebagai seorang penyeludup. Penyeludup manusia untuk seorang penjenayah. Penjenayah yang bernama Awut Chaovalit!

“Awut Chaovalit?” Fariz bertanya kepada bosnya sewaktu taklimat operasi pada malam kelmarin.
“Hmm,” jawab Tuan Aziz, Ketua Pengarah BISIK.
“Awut Chaovalit tak mati? Mustahil! Saya yang tembak dia, tuan. Peluru saya menembusi jantung, halkum dan dahinya!”

Tuan Aziz tersengih kecil mendengarkan jawapannya. Kemudian dia bertutur perlahan, “Yang awak tembak hari itu bukannya Awut Chaovalit."
"Kalau bukan dia... siapa?" soal Fariz kehairanan.
"Kembarnya!”

Fariz terpempan mendengarkan jawapan itu.

Kunjungi laman ini kembali pada Sabtu, 4.7.09 untuk fragmen 2 , insya-ALLAH...

The Making of...
Rujukan latar tempat : http://en.wikipedia.org/wiki/Narathiwat_Province
Muzik ketika menulis bab ini: http://www.youtube.com/watch?v=9f7K0BQscyQ






Wednesday, June 10, 2009

KOMEN-KOMEN

SUDAH 17 KOMEN MENITI MAUT

Saya menemui komen saudara Torpedo mengenai MENITI MAUT. Antara komennya, " MENITI MAUT memang cukup garam, sedap dan lancar untuk dihadam..." Terima kasih saudara Torpedo kerana meminatinya. Katanya lagi...

Terima kasih kepada Hannan kerana sukakan MENITI MAUT dengan mengatakan di dalam komen awalnya, "...best tau buku ni. smpai nk tdo pun kne pakse diri berhenti bce dan tdo sbb mengenangkan ad kelas awal pagi..."

Begitu juga dengan Hilman kerana meminati MENITI MAUT kerana, "The novel itself is a page turner. I was immersed in a world not quite different with my surrounding, and the realness of it might be one of the factors that I can't put down the novel."

Dua komen awal ini membuatkan saya bersyukur kerana cerita saya menghiburkan mereka.
Terima kasih, Hannan dan Hilman! Saya menghargai komen-komen anda.

Update: 10.6.09, Ia membuka minda dan diri kita dengan gambaran situasi dunia yang dihadapi sekarang, kata Cikli mengenai MENITI MAUT.

Update: 30.5.09, Memang penuh aksi! Dan mendebarkan! Begitulah komen Torpedo mengenai MENITI MAUT.

Update: 20.5.09, Amylina pula teruja dengan MENITI MAUT.

Update: 11.5.09, Ikuti komen daripada alaf21fc yang ditulis oleh Inanazri mengenai MENITI MAUT.

Update: 10.5.09,
Ini komen hanys pula. Katanya, MENITI MAUT terlalu biasa.

Update: 9.5.09, Aku membaca tanpa mahu rasa berhenti. Itulah kata Norra mengenai MENITI MAUT, pada entri 5 Mei lalu.

Update: 8.5.09, Ashraflatif pula tidak puashati dan ingin menulis novel yang lebih baik daripada MENITI MAUT.

Update: 7.5.09, Boleh dibanggakan. Itulah yang dikatakan oleh Kelubung di dalam blognya mengenai MENITI MAUT.

Update: 6.5.09, Cheyaya hilang arah membaca MENITI MAUT.

Update: 20.4.09, Susunan perjalanan MENITI MAUT cukup menarik dengan logik yang sesuai dan aksi-aksi yang mengujakan, ujar fairuspeng.

Update: 11.4.09, bagaimana jika MENITI MAUT ini dilayarperakkan? Demikian pertanyaan dropmental.

Update: 5.4.09, komen daripada myulatbuku yang memberi ulasan memberangsangkan terhadap MENITI MAUT.

Update:30.3.09, sebuah lagi komen bernas dari ATIM mengenai MENITI MAUT.

Update:22.3.09, komen WEBSUTERA yang terkesan dengan novel ini. Alhamdulilah.

Update 12.3.09, sebuah komen daripada Serunai Faqir juga mengenai MENITI MAUT.













  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP