Friday, July 31, 2009

DETIK DEBAR: FRAGMEN 6

FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:

Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap.

Jalur 2: Kampung Al-Muntaseer, pusat penyeludupan melalui terowong, dibom oleh jet Israel beberapa minit yang lalu. Dua orang kanak-kanak, Naeem dan Nazeem menjadi mangsa.


Foto: backspin/typepad.com

FRAGMEN 6:
DETIK DEBAR

Al-Muntaseer, Selatan Gaza, Palestin

SEBUAH van bergerak begitu perlahan merentasi kawasan runtuhan. Selain daripada mengelak halangan-halangan berupa batu dan perabot rumah yang berselerakan akibat dimusnah bom, kenderaan itu juga dipandu berhati-hati kerana tidak mahu menggelek mayat-mayat yang bergelimpangan.

Seorang wanita kulit putih hanya duduk bertenggek di kerusi belakang. Matanya liar memerhati kawasan sekeliling menerusi pintu van yang sentiasa terbuka. Jennifer Miles, 27 tahun, adalah wartawan perang bagi stesen WLL atau World Live Line, sebuah stesyen TV yang terkenal. Sesekali Jennifer menekur ke arah jam tangannya kerana buatnya, masa begitu penting. Sebagai wartawan peperangan, dia perlu mengirim berita secepat dan sekerap yang boleh.

“Lima minit lagi… lima minit lagi kita ke udara! Takkanlah tak ada apa-apa yang menarik hari ini, Ahmed?” leternya kepada pemandu merangkap jurukamera upahannya.
“Awak suka peperangan, Jenny?” tanya Ahmed seraya menjeling.

“Aku tak sukakan peperangan. Tapi aku sukakan konfliknya! Konflik akan membawa berita. Berita adalah cerita. Seperti plot dalam filem!”
“Apa kau fikir, peperangan ini satu lakonan?” perli Ahmed.
“Kau diamlah! Jangan nak mulakan balik perdebatan, ya? Aku yang bayar kamu! Kamu ikut saja!” jawab Jennifer seraya mencebir.

SUDAH hampir sebulan Jennifer berkampung di kawasan Selatan Gaza. Kerana minatnya terhadap profesion ini, Jennifer tidak mahu pulang ke Amerika. Sementelah pula, berita liputannya sentiasa dinanti-nanti oleh para penonton di merata dunia. Tidak hairanlah, dia digelar Roxana Seberi Palestin kerana keberaniannya seperti wartawan yang tertangkap di Iran suatu ketika dahulu.

“Stop, Ahmed! Stop!” jeritnya tiba-tiba.
Tanpa menanti van itu betul-betul berhenti, Jennifer sudahpun terjun dan meluru ke satu timbunan batu-batan. Di situ, dia terbongkok-bongkok mengangkat dan mengenepikan batu dan kayu untuk menyerlahkan dua orang kanak-kanak yang cedera dalam keadaan berpelukan. Jennifer segera berlari untuk menyongsong Ahmed yang baru sahaja menutup pintu van.

“Kau ni lembab sangatlah, Ahmed!” leternya sambil menarik tangan lelaki itu.
“Engkau tak nampak ke apa yang aku bawak ni?” jawab Ahmed dengan termengah-mengah.
Sambil berlari menghampiri Jennifer, dia memegang camcordernya kemas-kemas. Bimbang kalau-kalau ia terhempas ke tanah seperti yang pernah terjadi minggu lalu. Sehari suntuk dia menelan sumpah seranah wanita berperangai kasar itu. Sebagai jurufoto merangkap pemandu Jennifer, kerjanya ialah mengambil gambar atau video seperti yang dikehendaki oleh Jennifer.

Jennifer menuding ke satu arah. Meminta Ahmed memandang sama. Ahmed memperlahankan langkah. Camcordernya segera dihalakan ke kawasan yang diunjukkan Jennifer. Dia terus memerhati skrin LCD untuk memfokus subjek. Jejarinya sedia menekan punat untuk merakam.

Namun, Ahmed segera menghentikan tindakannya. Camcordernya diletak perlahan-lahan ke tanah. Mulutnya ternganga dan wajahnya kelihatan cemas. Lekas-lekas dia berlari sambil memegang kupiahnya kerana tidak mahu ia terjatuh ditiup angin.
Lalu Ahmed terus meniarap dan melekapkan telinganya ke dada kedua-dua kanak-kanak yang malang itu.

“Subhan-ALLAH! Jenny! Mereka masih bernyawa! Kita mesti tolong mereka! Panggil ambulan!”
“Yang penting, selesaikan kerja kita dahulu. Kemudian barulah kita hantar mereka ke hospital!” bantah Jennifer.
“Ini soal nyawa, Jenny!”

“Tutup mulut kamu! Ikut arahan aku!” pekik Jenny hingga tegang urat di lehernya.
Wartawan mat salih ini lebih mementingkan kerjayanya. Yang mustahak, dia mesti buat laporan secara langsung. Berjuta-juta penonton ingin menatap wajahnya sebentar lagi. Ya, seminit lagi dia mesti ke udara!
“Pikul kamera! Halakan ke mari!” perintah Jennifer lalu bertinggung membelakangkan tubuh kanak-kanak itu. Mahu jadikan tubuh kanak-kanak itu sebagai gimik penggambarannya!

Dengan hati yang membengkak, Ahmed pun duduk melutut agar dapat mengambil video yang separas dengan wajah Jennifer. Tidak guna bertengkar dengan wanita ini. Ia membuang masa. Lebih baik menyelesaikan penggambaran ini supaya kanak-kanak yang cedera itu dapat segera dihantar ke hospital.
“Okey, Jenny… three… two… one… action!”

DAN, Jennifer Miles mempamerkan senyuman yang paling menawan sebaik sahaja camcorder merekod…

The Making of fragmen 6:
Inspirasi latar tempat : Independent.co.uk/smugglers
Musik cadangan ketika membaca fragmen ini: You.Tube.Kitaro The Silk Road

Friday, July 24, 2009

DETIK DEBAR: FRAGMEN 5

FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:

Jalur 1:
FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap.

Jalur 2: Bermula di fragmen ini



Foto: annies-letter.blogspot

FRAGMEN 5:
DETIK DEBAR

Al-Muntaseer, Selatan Gaza, Palestin

SUASANA perkampungan ini begitu sunyi. Sesekali angin hangat 35 darjah selsius bertiup dan menerbangkan pasir-pasir halus ke seluruh kawasan penempatan rakyat Palestin ini. Di salah sebuah rumah batu di penjuru penempatan ini, suasananya sunyi bagai tiada berpenghuni.

Ruang dapur rumah ini kecil sahaja. Yang ada hanyalah sebuah tempat masak yang mempunyai dua tungku, beberapa buah pinggan daripada pelbagai warna kerana bukannya daripada set yang sama. Di dinding, terdapat kepingan-kepingan roti taboun, sejenis roti sebesar roti tempayan yang disangkut di dalam sebuah beg plastik.

Namun, ruang dapur di rumah ini ada satu kelainan. Di sudut lantainya terdapat sebuah lubang yang boleh memuatkan tubuh seorang dewasa. Lubang itu bukannya sebarang lubang. Ia sebenarnya lubang terowong sepanjang satu kilometer yang menembusi ke kawasan Rafah, Mesir. Malah, beberapa buah rumah di penempatan ini mempunyai terowong penyeludupan seperti di rumah ini. Apa sahaja barangan di seludup dari kawasan Rafah melalui terowong ini kerana laluan jalanraya telah ditutup oleh pihak keselamatan Mesir. Makanan, pakaian, peralatan elektrik, wang, malah senjata dibawa melalui terowong ini.

KEDENGARAN batuk-batuk kecil seorang kanak-kanak bergema dari dalam lubang itu. Jejari-jejari kecil kanak-kanak itu mula muncul ke permukaan lantai. Tangannya menggagau ke tepi lubang, tercari-cari tempat berpaut agar dia boleh keluar dari lubang itu. Kemudian Naeem menerpa ke tubir lubang lalu menjongkong. Tangannya terhulur untuk menyambut sesuatu.

‘Mbekkk…’
Muncul seekor anak kambing yang dihulur oleh abangnya Nazeem. Kanak-kanak itu menyambutnya dengan gembira. Lantas anak kambing itu dikendong dan dicium-ciumnya. Menumpahkan sayangnya kepada haiwan yang baru diperolehi daripada seberang sempadan.

“Jangan main-main aje, Naeem. Masukkan kambing tu ke dalam kandang,” kata si abang yang menjengulkan kepalanya dari dalam lubang itu.

Kemudian dia menghempuk sebuah bungkusan besar yang diikat dengan kain keluar dari lubang itu. Kerana tolakannya agak kuat, ikatan kain itu terburai. Mengeluarkan isi dalamnya iaitu buku-buku pelajaran sains dan matematik yang kelihatan kusam dan lunyai. Si abang kemudian menolak dirinya keluar daripada lubang itu. Di tangannya tergenggam sebuah radio kecil yang mendesah bunyinya kerana tidak menentu penerimaan gelombang siarannya. Radio itu diletakkan di tepi singki sebelum dia mengelap peluh di mukanya dengan kaki jubahnya.

“Kenapa tak ambil senapang dan peluru kat bawah tu?” soal Naeem kepada abangnya dengan selamba. Seolah-olah senapang dan peluru yang berada di dalam kolong terowong itu barang mainan dan bukannya barang berbahaya.
“Ah, biarkan kat dalam lubang tu. Biar ayah yang ambil pada malam nanti,” jawab Nazeem sambil dengan susah payah menolak sebuah tong kayu untuk menutup lubang terowong itu.

“Bang! Bunyi jet!” kata Naeem tiba-tiba dengan matanya yang membulat.
Si abang menghentikan pergerakannya lalu memasang telinga.
“Musuh, Naeem !” seru si abang lalu menerpa pula ke luar pintu dapur. Pandangannya terarah ke langit. Tertoleh-toleh dan tercari-cari pesawat musuh.

“Kita masuk ke dalam lubang!” cadang Naeem lalu cuba mengengsot tong kayu untuk membuka kembali permukaan lubang itu.
“Jangan! Lubang itu nanti jadi liang lahad kamu!” pekik si abang lalu menggagau tangan Naeem.

Langkah kedua-duanya terhenti dan tangan masing-masing secara spontan menutup telinga bila kedengaran bunyi letupan bom. Hanya sesaat mereka begitu. Sesaat kemudian mereka sudah keluar dari rumah itu dan berlari lintang-pukang mencari tempat perlindungan bersama lain-lain penghuni kawasan penempatan itu. Suasana menjadi hingar bingar.

Naeem yang berusia enam tahun lebih muda daripada abangnya terpaksa mengayuh langkah dua kali ganda lebih pantas daripada abangnya kerana langkah-langkah kakinya yang kecil. Bunyi bom kedengaran lagi. Mereka terus berlari ke arah kawasan perbukitan batu yang berhampiran.

Tiba-tiba Naeem menepis tangan abangnya. Lantas dia berpaling arah. Lantas berlari menuju ke rumahnya kembali. Si abang begitu terkejut dengan perlakuan adiknya.
“Naeem ! Naeem ! Kamu hendak ke mana?”
“Selamatkan kambing!” jerit Naeem tanpa menoleh. Kakinya yang tidak berkasut itu dibuka luas-luas agar cepat sampai ke rumahnya semula. Namun sebesar manalah langkah-langkah yang kecil itu.

“Jangan! Bahaya!”
Dengan wajah yang cemas, si abang terpaksa berpatah balik mengejar Naeem . Tiba-tiba bunyi jet mengaum di atas kepala. Bunyinya membingit telinga dan menggegar bumi. Kaca-kaca tingkap dan pintu kawasan penempatan itu mula pecah berderai kerana bunyi yang membingitkan itu.

“Naeemmmmmmmm…”
Belum pun habis laungannya, si abang melihat sebutir bom gugur dan menembusi bumbung rumah mereka. Satu letupan yang dahsyat kedengaran. Seluruh bumi bergegar. Si abang nampak Naeem melantun dan melayang ke belakang.

“Naeemmmmmmmm…”

The Making of fragmen 5:
Inspirasi latar tempat : Independent.co.uk/smugglers
Musik cadangan ketika membaca fragmen ini: You.Tube.Muadz Amrullah (BaitulMaqdis)

Friday, July 17, 2009

DETIK DEBAR: FRAGMEN 4

KISAH SETAKAT INI:
FARIZ ZAFAR,
ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand sebagai penyeludup manusia. Tiba-tiba sebuah kenderaan pacuan empat roda mengejarnya dan laluannya dihalang oleh sebuah treler. Fariz terperangkap dan terpaksa menyerah...



Foto: legionofighters

Fragmen 4:

DETIK DEBAR


Jalanraya Narathiwat-Pattani, Selatan Thailand

“LETAKKAN senjata tu! Kalau tidak kami tembak!”
Dengan gaya longlai untuk membuatkan musuh berasa menang, Fariz melonggarkan pegangan ke atas kedua-dua senjata dan menghulurnya kembali kepada kedua-dua lelaki di hadapannya. Perlahan-lahan, Fariz mengangkat kedua-dua tangannya tanda menyerah kalah. Untuk sementara waktu hingga Normala bertindak! Begitulah niatnya.

“Bagus! Kamu ada otak,” kata lelaki yang bermisai tebal dan berambut panjang itu. “Siapa kamu?”
“Aku orang suruhan!” jawab Fariz. Perlahan-lahan dia berundur sedikit. Cukup jaraknya agar tangan lelaki itu tidak dapat menggagau dan merentap alat komunikasi di telinganya.

“Bohong! Bohong! Kamu ejen dari Malaysia, bukan?”
Fariz menggeleng selamba.
“Apa yang ada kat dalam bonet ini, ha?” tanya salah seorang dari mereka yang berada berhampiran dengan kereta sambil menumbuk-numbuk bonetnya. Berdebum-debum bunyinya.

Fariz terpaku sambil berdoa di dalam hati. Mudah-mudahan Normala sudah bersedia dengan senjatanya. Dalam diam, Fariz menanti saat-saat untuk bertindak buat kali kedua. Pada kali ini, dia mesti tangkas mengalahkan lelaki-lelaki itu. Kalau tidak, operasi dia dan Normala akan gagal.

“Mala… bersedia…” bisik Fariz melalui alat komunikasinya. Kata-kata itu diucapkan sehabis perlahan dan seboleh mungkin dengan tidak menggerakkan bibirnya.
“Fariz jangan bimbang… aku dah bersedia…” jawab Normala. Kedengaran suara ejen itu bercampur baur dengan dengusan nafasnya. Suaranya bernada cemas tetapi tegas.

“Kami tau apa yang ada kat dalam bonet tu…” kata lelaki yang bermisai sambil menjeling dan tersengih-sengih ke arahnya.
“Dalam bonet tu tak ada apa-apa!” jerit Fariz. Kali ini dengan suara yang lebih keras agar Normala mendengarnya.
“Bohong! Bohong!”
“Kalau tak percaya, sudah! Arghhhhhhhhhhhhh….”

DENGAN pantas, Fariz menyerang lelaki yang bermisai itu. Tubuhnya merempuh lelaki itu hingga rebah. Senjata lelaki itu dirampas dan dengan pantas dia mengacunya ke arah lelaki yang seorang lagi.
“Mala! Now!!!!” pekik Fariz dengan lantang agar rakannya keluar dari bonet dan membantunya.
“Now, what?” jerkah salah seorang musuh yang berada berhampiran dengan kereta Fariz.

Fariz menoleh. Langkahnya terhenti bila terpandang salah seorang daripada lelaki itu menendang bonet keretanya hingga ia tersungkap! Dan kedua-dua lelaki terus mengacu senjata masing-masing ke arah dalam bonet. Dari arah hadapan, dia tak nampak bagaimanakah keadaan Normala. Dia hanya dapat membayangkan Normala dalam keadaan ketakutan.
“La ilaha ilallah…” kedengaran suara Normala berbisik perlahan.
“Mala… Kak Mala…”

SERENTAK dengan itu, kedengaran bunyi tembakan bertali arus. Fariz yang terkejut segera meluru ke arah keretanya. Namun, dia tersungkur bila kakinya dibentes dari belakang. Dia cuba merangkak tetapi terasa tubuhnya ditendang. Bila dia cuba bangkit, sekali lagi dia dihenyak. Usahanya untuk bangun lagi menerima kegagalan kerana sepak terajang hingga tubuhnya sakit-sakit kerana didera.

Akhirnya dia terbaring terlentang di tanah dengan nafas yang termengah-mengah. Dua muncung senjata AK-47 kini tersasar ke wajahnya. Fariz menutup mata dan telinganya. Bukannya takut, tetapi tidak sanggup untuk mendengar bunyi tembakan yang seolah-olah tidak mahu berhenti.
“Kak Mala… Kak Mala…”
“ALLAH… ALLAH… ALLAH…”

Itu sahaja bisikan Normala yang didengar Fariz melalui alat komunikasinya. Airmatanya berlinangan. Di layar mindanya terbayang tubuh Normala meronta-ronta dihujani peluru yang tidak bermata dan hati. Berakhirlah riwayat mentor yang juga menjadi rakan sekerjanya. Wanita itu amat berjasa padanya. Fariz berasa seperti kehilangan separuh nyawanya bila wanita itu pergi buat selama-lamanya. Semoga rohnya meninggalkan dunia fana ini dengan penuh bahagia menemui Penciptanya.

BUNYI tembakan itu akhirnya berhenti. Suasana jadi sunyi dan sepi. Fariz membuka mata dan memandang ke langit. Menatap bayang mentari di balik awan. Matanya terpandang seekor burung helang yang melebarkan sayapnya dan terbang bersendirian. Ia mengepak dan melayangkan tubuhnya di sekitar kawasan itu. Itulah burung yang hampir-hampir dirempuh Fariz seketika tadi. Sang burung itu telah menonton seluruh insiden yang berlaku. Kini ia seolah-olah bersimpati dan ingin menemani Fariz yang kini kelihatan tidak berdaya.

“Bawak dia balik ke kem. Malam ini kita habiskan dia!”
Serentak dengan itu Fariz terasa satu pukulan mengenai tengkuknya. Kepalanya terasa sengal. Telinganya terus berdesing. Sebentar sahaja pandangannya jadi gelap

The Making of fragmen 4:
Inspirasi latar tempat :
wikipedia/narathiwat
Musik cadangan ketika membaca fragmen ini:
youtube/bourne identity soundtrack

Tuesday, July 14, 2009

INTERMISSION

EMEL DARIPADA SALMAH

Salam kepada semua,
Di bawah ini saya paparkan komen Salmah
mengenai MENITI MAUT. ~ EymanHykal

Date: Thu, 2 Jul 2009 17:47:29 +0800
From:
manja881@yahoo.com.sg
Subject: Meniti MAUTTo: eymanhykal@hotmail.com

Salam Abang Eyman,

Moga sentiasa dalam kesejahteraan dan ceria selalu.

TAHNIAH dan SYABAS dari Salmah dengan terbitnya MENITI MAUT.

Komen Salmah....BEST! Sebab tidak membosankan!
Apalagi tidak mudah untuk mendapat bahan bacaan beraksi begini dalam bahasa Melayu.

Mengujakan dan sentiasa ikut sama berlari bersaing dengan Fariz sebab nak tau intrig seterusnya. Qalaupun ada beberapa babak yang boleh dijangka apa yang akan terjadi, namun tetap seronok semasa menikmatinya. Ketangkasan watak-watak 'berlakon' dalam cerita ini membuat mata tidak mahu lepas dari adegan seterusnya, hatta watak Ryna sekalipun yang ditonjolkan sebagai anak manja dan mengada-ngada.

Membaca dari bab ke bab membuat Salmah terkenang siri 'The BEAST'.
Kalau MENITI MAUT ni dijadikan siri, pasti seronok kerana pembaca dah mula kenal akan BISIK dan para agennya. Tentu jadi seperti Fariz...yang ternanti-nanti apakah tugasan seterusnya.

Salmah sebagai pembaca akan ternanti-nanti apakah 'permainan dan percaturan' seterusnya yang bakal ditonjolkan. Pada Salmah, karya Abang Eyman kali ini cukup memuaskan dari dua yang terdahulu. Semoga Abang Eyman akan terus menulis genre ini.

Banyak moral yang Salmah dapat dari cerita ini.
Salah satu darinya ~ dalam menjalankan amanah tugas, kita tidak perlu takut dan mempunyai kemusykilan diri. Berhati-hati itu perlu, tidak memperlekehkan amanah itu penting.

Terimakasih untuk hidangan yang sangat menyelerakan.
Salmah menunggu nukilan yang lebih menarik dari Eyman Hykal!

Salam hormat,
Salmah,

Kota Singa.

Friday, July 10, 2009

DETIK DEBAR: FRAGMEN 3

KISAH SETAKAT INI:
FARIZ ZAFAR, ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand sebagai penyeludup manusia. Tiba-tiba sebuah kenderaan pacuan empat roda mula mengejarnya. Ketika menoleh untuk menembak, sebuah treler muncul dari arah hadapan! Fariz terpaksa membrek agar keretanya tidak dirempuh treler itu...

___________________________________________________________________________________


Foto: truckswallpapers.wordpress.com

Fragmen 3:
DETIK DEBAR

Jalanraya Narathiwat-Pattani, Selatan Thailand
BUNYI keempat-empat tayar yang menggeser jalanraya kedengaran seperti satu raungan yang amat panjang. Menggemakan suasana sekitar. Keretanya menggelongsor jauh ke depan. Namun, takdir menentukan ia betul-betul berhenti sejengkal dari bumper treler besar itu!

Enjin keretanya tiba-tiba mati. Suasana sepi seketika. Fariz mengucap panjang di dalam hati. Lantas tangannya tertadah mengucap syukur kepada Illahi. Lalu melekapkan kepalanya ke stereng dengan matanya yang terpejam. Melepaskan sesak di dadanya. Hatinya benar-benar lega bila keretanya tidak bertembung dengan kenderaan gergasi itu. Jika tidak, nahas jadinya.

“Fariz, okey?” tanya Normala.
“Saya okey… Mala, okey?”
“Aku, okey. Jangan bimbang.”

Fariz memerhati dua orang lelaki terjun dari treler yang tinggi itu dan melangkah ke arahnya. Pada mulanya Fariz mengagak yang kedua-dua lelaki itu mahu melihat keadaannya sama ada cedera atau tidak apa-apa. Namun tekaannya meleset bila masing-masing mengacu senjata.
“Mala… ada dua orang lelaki bersenjata yang keluar dari treler! Dia orang ada AK-47! Siapa mereka ni?” bisik Fariz sambil menyampaikan maklumat kepada Normala.

“Tolong berikan gambaran tentang pakaian dia orang, Fariz. Mungkin aku boleh agak mereka dari kumpulan mana…” jawab Normala.
“Mereka berpakaian serba hitam. Baju dan seluar jenis yang banyak poket! Kepala dia orang pun berbalut dengan kain hitam… macam kain semutar orang Kelantan!” bisik Fariz lagi.
“Hmm, macam uniform. Setahu aku, pejuang PULO pun tak pakai uniform! Siapa mereka, ya?” tanya Normala kembali kerana dia juga tidak pasti siapakah mereka itu.

Salah seorang daripada mereka menguis muncung senjata sebagai isyarat agar Fariz keluar dari kenderaannya. Dengan bahasa tubuh yang universal, Fariz melangkah keluar daripada kereta dengan kedua-dua tangannya memangku kepala sebagai isyarat menyerah diri.

Salah seorang daripada mereka yang bermisai tebal dan berambut panjang menghampiri Fariz. Senjatanya terus dihala ke tubuh Fariz. Wajahnya garang tetapi kelihatan kedut-kedut di pipinya. Pasti usianya sudah melangkaui 50 tahun. Tampak urat-urat di matanya yang memerah.

Fariz berwajah tenang. Dia tahu, kalau dirinya mahu ditembak, awal-awal lagi nyawanya sudah dihabiskan. Mereka mengejarnya kerana mengesyaki dia punyai maklumat. Maklumat yang berharga yang dimilikinya. Setelah memperolehinya, dirinya mungkin akan dibunuh. Demikian mengikut teori yang dipelajarinya.

“Ambil dan buang pistol kamu ke tanah!” Perintah lelaki yang sama. “Aku tau kau ada simpan pistol kat situ!” Kali ini senjata AK-47nya disasar pula ke betis Fariz.
Fariz tiada pilihan. Perlahan-lahan dia membongkok dan menyingsing kaki seluarnya. Memperlihatkan sepucuk pistol yang terbalut di kakinya. Dia membuka ikatan senjata itu. Kemudian pistolnya itu dicampakkan sahaja ke tanah. Lelaki itu terpandang wayar yang melingkar daripada telinga Fariz ke dalam bajunya.

“Oooo… ada alat perhubungan, ya?”
Lantas lelaki yang bermisai tebal itu melangkah menghampiri Fariz. Perlahan-lahan, Fariz berdiri tegak ke posisi asal. Dengan kedua-dua tangan memanggung kepalanya. Bila tangan lelaki itu menggagau mahu mencapai alat perhubungan, sepantas kilat Fariz memutar kepalanya sekuat hati lalu melibas tangan lelaki itu dengan sikunya. Tangan lelaki itu tersasar dan tubuhnya mula tidak seimbang. Ekor mata Fariz menjeling lelaki yang seorang lagi sudah bersedia mengacukan senjata AK-47nya.

Tanpa membuang masa, Fariz merebahkan tubuhnya dengan menarik lelaki yang bermisai itu tumbang bersamanya. Lelaki itu langsung menindih tubuhnya. Itulah yang dimahu Fariz. Lelaki itu sebagai perisai manusia yang membuatkan rakannya yang seorang lagi teragak-agak hendak menembak Fariz kerana khuatir terkena rakannya pula.

Fariz terus bertindak. Pisau belati yang terselit di poket kecil di pahanya dikeluarkan. Tanpa teragak-agak, pisau itu dibenam ke betis lelaki yang bermisai itu. Lelaki itu meraung panjang. Dalam sekelip mata, Fariz sudah menindih lelaki itu. Tangan dan kaki lelaki itu sudah terkunci mati. Senjata AK-47 kini sudah bertukar tangan!

“Tembaklah aku kalau berani!” jerkah Fariz lalu menoleh ke arah lelaki yang seorang lagi dengan mata yang terbelalak.
Lantas dia berdiri sambil muncung senjata sudah tertekan dan sedikit terbenam ke pipi lelaki yang bermisai itu. Lelaki itu hanya terdiam dan terkelip-kelip tidak melawan. Bagai ayam yang sudah dikepit kepaknya dan menanti masa untuk disembelih.

“Kalau kau tembak aku, kawan engkau ni mati!” Fariz mengugut. “Letakkan senjata kamu!”
Dengan teragak-agak, rakan lelaki yang sedang membidik senjatanya beransur-ansur meletakkan senjatanya ke tanah. Fariz lekas-lekas mengambil senjata itu. Situasi sudah benar-benar bertukar. Si pemburu sudah menjadi mangsa. Kini kedua-dua lelaki itu pula yang berdiri dengan kedua-dua tangan memanggung kepala masing-masing.

Fariz merenung kedua-dua lelaki itu dengan pandangan yang tajam. Namun kedua-dua lelaki itu memandang ke arah lain kerana tidak mahu bertentang mata. Lelaki yang bermisai tebal itu terhembus-hembus nafasnya mempamerkan geramnya kerana tertewas. Kelihatan pipinya bergerak-gerak bila dia mengetap giginya menahan amarah.
“Woi! Apa yang kau buat tu?”

Tengkingan satu suara di belakangnya membuatkan Fariz tertoleh. Rupa-rupanya kenderaan pacuan empat roda yang mengekorinya tadi sudah berada kira-kira 3 meter di belakang keretanya. Dua orang lelaki juga sedang melangkah perlahan ke arahnya. Masing-masing menghunus senjata AK-47.

“Mala… musuh yang mengejar kita tadi dah sampai. Pakaian mereka pun serupa. Mereka macam dari kumpulan yang sama. Biar saya tangani yang depan… Mala tangani yang di belakang. Double impact! Sediakan pistol! Tembak sebaik sahaja bonet terbuka,” bisik Fariz dengan alat komunikasinya.

The Making of fragmen 3:
Inspirasi latar tempat : wikipedia/narathiwat
Musik
ketika menulis bab ini: youtube/the rock movie theme

Saturday, July 4, 2009

DETIK DEBAR: FRAGMEN 2

KISAH SETAKAT INI:
FARIZ ZAFAR, ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand sebagai penyeludup manusia. Dirinya yang releks ketika memandu bertukar cemas bila sebuah kenderaan pacuan empat roda mula mengekori...
_______________________________________________________________________________



Foto: fajrinrashid.wordpress.com
FRAGMEN 2

DETIK DEBAR


Jalanraya Narathiwat-Pattani, Selatan Thailand

‘TAM! TAM!’

Bunyi letupan senjata api mengalih lamunan Fariz ke situasi kini dan di sini. Dia cuba memandang kenderaan yang mengekorinya melalui cermin sisi di kanan keretanya. Matanya terkebil-kebil bila mendapati cermin sisi itu sudah hilang! Malah, bingkainya sudah lesap. Pasti ia ditembak pemandu yang mengejarnya. Pandangannya teralih pula ke cermin di sisi kiri kenderaannya. Peluh dingin mula merembes di tengkuknya bila mendapati cermin itu juga telah ghaib ditembak!

Dadanya mula berdebar kencang. Suara hatinya berkata yang dia kini dalam bahaya! Ya. Kenderaan di belakangnya ini bukan muncul secara kebetulan. Tetapi ia mendatang secara terancang! Soalnya, siapa pemandu itu? Orang-orang Awut Chaovalit? Mustahil. Dia ke mari kerana menyamar sebagai penyeludup manusia untuk Awut. Untuk apa, Awut menyuruh talibarutnya mengganggu Fariz?

Musuh-musuh Awut? Tak mungkin. Awut menguasai keseluruhan kawasan di Selatan Thailand ini. Tak ada sesiapa yang berani memasuki wilayah Awut di sini, apatah lagi cuba mengganggu perniagaannya. Polis Thailand? Tak masuk akal. Operasi untuk membongkar rangkaian Awut Chaovalit ini adalah sebuah misi dengan kerjasama Polis Thailand. Maklumat ini diberitahu oleh bosnya sendiri, Tuan Aziz Tuan Ghani. Kalau begitu, siapa yang mengejarnya?

‘Tam! Tam! Tam!’

Kedengaran cermin belakang keretanya pecah berderai. Fariz tak menoleh. Sebaliknya, dia menarik nafas. Tubuhnya dikeraskan. Pemegangannya di stereng dikejapkan.Tapak kakinya terus menekan pedal minyak hingga jejak ke lantai kereta. Dan kenderaan empat rodanya meluncur laju. Pandangannya kini tertumpu ke hadapan. Mengecam struktur jalan. Ekor matanya mengimbas di kiri dan kanan jalan. Mana tau ada kenderaan lain yang muncul untuk menyekat kenderaannya.

“Bunyi apa tu, Fariz? Orang nak tidur pun tak senang!” kedengaran suara Normala, rakan setugasnya melalui alat komunikasi yang terselit di telinganya.

“Mala… baring diam-diam! Bahaya! Nanti terkena peluru sesat. Ada musuh mengejar kita!” jerit Fariz.

Dalam misi ini, Fariz menyamar sebagai penyeludup manusia. Mangsanya pula adalah Normala, rakan setugasnya. Wanita itu kini berada di dalam bonet keretanya dalam keadaan terikat dan kononnya ditidurkan dengan suntikan dadah. Bila wang dan manusia bertukar tangan, Normala akan bertindak dari dalam sementara Fariz akan mengekori dari luar bersama BISIK dan pihak Polis Thailand.

Kejayaan misi itu akan dapat merungkai rangkaian penyeludupan manusia Malaysia-Thailand Awut Chaovalit. Kejayaan misi BISIK melalui gabungan Fariz-Normala adalah melengkap sebuah jigsaw puzzle yang rumit. Begitulah taklimat yang diterima mereka daripada Tuan Aziz di Bilik Gerakan BISIK.

“Siapa dia orang tu?” tanya Normala.

“Tak tau! Tapi dia orang tu sharp shooters! Dia orang boleh menembak dengan tepat,” jawab Fariz tanpa menerangkan lebih lanjut bahawa tembakan tepat yang dimaksudkannya adalah bedilan ke atas kedua-dua cermin sisi kenderaannya.

“Habis tu, engkau nak suruh aku duduk diam-diam? Biar aku ajar dia orang!”

“Jangan!. Jangan tarik perhatian orang lain. Biar saya acah kenderaan tu. Pekan Sai Buri pun tak jauh lagi. Kat sana, ada banyak lorong! Saya boleh ciluk mereka!”

“Mana sempat sampai kat pekan tu! Dia orang dah dekat sangat dengan kereta kita! Kalau dia orang dapat himpit kereta kita, habislah, Riz!” bantah Normala.

“Dengarlah cakap saya. Saya tau apa saya nak buat. Percayalah!”

Normala tidak menjawab. Mungkin bersetuju dengan cadangannya.

‘Tam! Tam! Tam! Tam!’

Bunyi peluru berdesir di kiri dan kanannya membuatkan darah Fariz menyirap! Secara spontan, dia mengepal pistolnya kemas-kemas lalu berpaling untuk menembak! Tetapi gerakannya terkaku bila mendapati kenderaan pacuan empat roda yang mengekorinya sudah berada jauh kira-kira 50 meter di belakang kerana dipandu perlahan. Seperti enggan mengekori keretanya lagi.

‘Apa muslihat dia orang pulak?’ Fariz tertanya-tanya di dalam hati.

‘Ponnnnnnnnnnnnnnnnnnn…’

Bunyi hon kenderaan yang membingitkan membuatkan Fariz menoleh kembali ke hadapan. Matanya terbuntang bila terpandang kemunculan sebuah treler. Semakin mendekat, bentuknya semakin membesar. Bagai raksaksa yang mendatang! Dengan tergopoh-gapah, Fariz terus menekan brek secepat dan sekuat hatinya

“Mala! Ada treler kat depannnnn… ALLAHuakbarrrrrrr…” takbir Fariz sekuat hatinya bila treler itu kian menghampiri. Dia sudah bersedia menghadapi impak pertembungan keretanya dengan treler itu.


Kunjungi laman ini kembali pada Sabtu, 11.7.09 untuk fragmen 3 , insya-ALLAH...



The Making of fragmen 2:
Inspirasi latar tempat : http://www.youtube.com/watch?v=QXJiYV9K77Q
Muzik ketika menulis bab ini: http://www.youtube.com/watch?v=pRpFBFzE9xM

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP