Monday, August 30, 2010

FRAGMEN 39


Foto:travalo.com

FRAGMEN 39:
DETIK DEBAR

Klang Valley Hotel, Kuala Lumpur

SETELAH membiarkan Jennifer naik ke bilik 2021, Fariz memasuki bilik 2023 sepuluh minit kemudian kerana tidak mahu gadis itu sedar yang dia sebenarnya mengintip dari bilik sebelah. Bunyi pintu terbuka membuatkan Normala menoleh ke arahnya.

“Ada maklumat mengenai penyerang Jennifer, tu?” tanya Fariz merujuk kepada Moussa yang mencekik Jennifer di pekarangan masjid Sultan Zainal Abidin di Putrajaya selepas maghrib tadi.
“Belum. Tak tau kenapa BISIK lambat sangat beri maklumat. Padahal, Putrajaya tu kawasan kita,” jawab Normala yang sedang menekur ke skrin melihat pergerakan Jennifer di biliknya.

Fariz hanya tersenyum tawar bila mendengar jawapan itu kerana rimas menanti. Akibat keletihan, Fariz terus merebahkan dirinya di katil dengan kakinya terjuntai ke lantai. Sambil itu, fikirannya tertanya-tanya daripada manakah datang lelaki itu.

“Wei, kalau nak tidur, balik aje ke rumah kau,” tegur Normala.

Fariz tidak peduli. Fikirannya masih menayangkan wajah lelaki yang mencekik Jennifer. Meskipun gadis itu mengatakan yang lelaki itu berbangsa Palestin, namun Fariz tidak pasti kerana dia tidak dapat membezakan negara asal seseorang Arab berdasarkan struktur wajahnya. Barangkali telahan Jennifer itu betul kerana dia sudah lama berada di bumi Palestin.

Matanya terasa berat, langsung terkatup. Dia terniat hendak melelapkan mata barang seketika. Angin daripada alat penghawa dingin yang berhembus perlahan terasa begitu melenakan.

“Fariz! Tengok ni,” ajak Normala.
Fariz bingkas bangun dan memandang skrin. Menatap imej Jennifer yang masih belum tidur lagi tetapi sedang mendail seseorang di fonselnya.

“Dia telefon siapa malam, malam buta ni?” bisik Fariz.
“Mungkin ke Amerika, sebab di sana masih siang, kan?” jawab Normala.
Fariz dan Normala saling pandang memandang bila fonselnya pula yang berbunyi.

“Helo…” sapa Fariz.
“Rizal… awak di mana?” tanya Jennifer.
“Saya belum tiba di rumah,” Fariz berbohong. Kononnya dia sedang memandu pulang.
“Saya tak boleh tidur,” Jennifer berbisik. “Boleh temankan saya?”
“Hmm… Beri saya 15 minit, saya akan sampai ke hotel,” jawab Fariz sebelum mencampak fonselnya ke atas tilam.

“Jennifer telefon? Apa yang dia hendak?” tanya Normala seraya menoleh.
“Dia nak jumpa,” jawab Fariz lalu menguap.
“Hei!” pekik Normala bila melihat Fariz melompat ke atas tilam. “Orang nak jumpa, tu. Pergilah…”

“Masa ni saya tengah memandu daripada Petaling Jaya, kak. Sekejap lagi, barulah saya tiba di Bukit Bintang ni. Saya nak tidur, 15 minit,” jawab Fariz dengan matanya yang terkatup.

Apartmen Selesa, Kota Damansara

SEBAIK sahaja tiba di apartment, Omar terus mengajak Moussa duduk di meja makan. Seketika kemudian, Ali muncul dari bilik. Di tangannya terdapat bungkusan bola boling yang dia ambil daripada Pusat Boling U-Bowl, One Utama. Sebaik sahaja dia menyerahkan bola itu, Ali masuk kembali ke dalam bilik.

Bungkusan itu dibuka. Moussa memandangnya dengan kehairanan. Dia teringat bagaimana Ali mengatakan kepadanya yang bola boling itu boleh digunakan untuk memecah kepala orang. Bagaimana bola sebesar itu hendak dibawa ke hulu ke hilir? Tidakkah ada senjata lebih kecil yang boleh digunakan ~ misalannya pistol?

Omar memasukkan jari telunjuknya ke salah satu daripada tiga lubang yang ada pada bola itu. Kelihatan mulutnya berkerinyut ketika jarinya menyentuh dan tercari-cari sesuatu di dalam lubang itu. Moussa kaget bila bola itu tiba-tiba merekah dan terbelah dua bila jari Omar dapat menekan butang yang menjadi ensel kepada bola itu. Terdapat sebuah bungkusan kecil di dalamnya. Omar membuka bungkusan itu dan mengeluarkan sebuah botol kecil berwarna hitam.

“Apa yang ada di dalam botol itu?” tanya Moussa penuh teruja.
“Botol ini mengandungi polonium-210. Polonium-210 adalah bahan radioaktif berbentuk debu alpha. Satu gram debu ini menghasilkan tenaga 140 watt. Ia digunakan dalam industri angkasa lepas khususnya untuk satelit,” jawab Omar panjang lebar.

“Kita nak buat apa pulak dengan serbuk ini?” tanya Moussa.
“Membunuh,” jawab Omar.
“Macam mana caranya?”

“Serbuk polonium di dalam botol ini disediakan dalam bentuk semburan. Apabila isi kandungannya disembur… psssst… racunnya akan mematikan seseorang dalam masa tiga jam.”
“Kita nak bunuh siapa?”
“John Martinez. Presiden Amerika,” jawab Omar sambil tersenyum. Janggutnya diusap-usap.
“Siapa yang nak membunuh dia?” soal Moussa kehairanan.
“Kamulah!”

“Hah? Aku tak percaya. Ia bukan main-main?”
“Siapa yang kata kita tidak serius?”
“Err… selama ini, aku ingat, kata-kata anti-kapitalis, anti-Amerika dan anti-Presidennya itu semuanya retorik. Hanya simbolik. Mana mungkin kita bunuh Presiden Amerika. Dia dikawal oleh ejen-ejen yang handal dan terlatih!” soal Moussa dengan wajah cemas.
“Jangan bimbang, Moussa…” Ali muncul dari bilik dengan sehelai kertas sebesar sejadah. Lalu membentangkannya ke atas meja.

“Tengok sini, Moussa… ini adalah peta Hotel Prominent…”
Bersambung lagi, insya-ALLAH...

Wednesday, August 18, 2010

FRAGMEN 38: DETIK DEBAR


Foto: jetson.com.my
FRAGMEN 38
DETIK DEBAR


Seri Perdana, Putrajaya

JOHN Martinez dan Perdana Menteri Malaysia sedang berehat di Bilik Tamu Khas setelah makan malam. Inilah bilik yang digunakan untuk perbincangan tertutup para pemimpin tertinggi negara. Para pegawai Malaysia dan Amerika kini sedang berbual-bual di ruang bersebelahan.

“Apakah agenda pada hari esok?” tanya John secara berbasa-basi. Walhal, dia sendiri sudah dimaklumkan oleh para pegawainya mengenai agenda forum WIEF esok.

“Para pegawai negara peserta, kesemuanya sedang merangka memorandum persefahaman," jawab PM. "Pagi tadi, mereka semuanya bersetuju untuk mewujudkan sistem ekonomi Islam. Kami akan mulakan dengan sistem takaful. Kemudian barulah kami wujudkan sistem matawang emas dan dinar.”

“Where do I come in?” tanya John.
Kata-kata itu mengundang senyuman PM. “Seperti yang awak tahu, Kesatuan Eropah sedang meneliti perkembangan di WIEF. Malah, ada yang menghantar Menteri Kewangan masing-masing sebagai pemerhati.

Dan, tumpuan mereka juga adalah pada acara petang esok. Kemunculan awak akan menjadi pertimbangan pendirian Kesatuan Eropah untuk mengadaptasi sistem kewangan Islam dan meninggalkan sistem kewangan konvensional.”

“Nampaknya Kesatuan Eropah amat serius kerana mengambilkira pendirian saya dalam hal ini.” ujar Tuan Presiden.
“Itulah yang pasti, Tuan Presiden. Awaklah yang akan diikut. Kerana, awaklah bintang pada petang esok!”

Kedua-duanya tertawa. Tidak sedar yang tawa mereka mengundang David Doron untuk mengintai kedua-duanya dari celah langsir pintu dengan wajah yang berkerut seribu.

Precint 3, Putrajaya

SEBUAH pacuan empat roda meluncur perlahan merentasi Jambatan Seri Wawasan. Baru tiga minit ia bergerak daripada kawasan parkir Masjid Sultan Zainal Abidin, meninggalkan Jennifer setelah tidak berjaya mengapa-apakan gadis itu.

“Kamu bodoh!” jerkah Ali.

Sedari tadi, Ali yang duduk di kerusi hadapan tidak habis-habis berleter. Mengutuk tindakan Moussa yang tidak sabar-sabar untuk melempiaskan amarahnya terhadap Jennifer.

“Aku tunjukkan pada kamu di mana Jennifer supaya kamu percaya bahawa apa yang aku perkatakan selama ini adalah benar. Aku tidak suruh kamu cekik leher dia!” bebel Ali lagi.
“Biarlah aku buat apa yang aku suka. Apa kamu peduli?” jawab Moussa dengan kasar.
“Hei!” Ali menoleh ke kerusi belakang. Matanya membulat memandang Moussa. “Jangan melawan dengan apa yang aku cakap! Bila aku beri arahan, kamu mesti patuh. Mengerti?”

“Ah! Sudahlah!” bantah Moussa.
“Apa? Kau melawan? Kau nak mati?”
Ali terus bangun dan menjongkongkan tubuhnya. Leher Moussa cuba digapai. Namun, Moussa menjauhkan dirinya. Tali pinggang keledar yang terikat kemas menyukarkan Ali untuk bergerak. Dengan terkial-kial, Ali melekangkan selak tali pinggang keledar. Baru sahaja dia mahu merangkak ke kerusi belakang...

“Woi! Duduk!” jerkah si pemandu yang sedari tadi hanya mendiamkan diri..
Tangannya yang besar menunjal kepala Ali hingga menyebabkan lelaki itu tersandar ke pintu.
“Aku tak peduli! Aku tak peduli! Aku nak kerjakan dia. Biar aku...”

Belum pun sempat Ali bangkit kembali dari tempat duduknya, si pemandu menekan brek kecemasan. Mengakibatkan Ali tersembam ke dashboard. Ali menekup wajahnya. Kepalanya terasa bengang. Hidungnya terasa sengal. Menyebabkan dia terdiam seperti murid yang baru dimarahi cikgu.


Bersambung lagi...

Sunday, August 8, 2010

FRAGMEN 37: DETIK DEBAR


Foto: Damara.yourjournal
FRAGMEN 37
DETIK DEBAR
DALAM cahaya yang suram, Fariz nampak seorang lelaki yang membongkok. Cuba menarik Jennifer keluar daripada kereta. Kedengaran suara Jennifer tertahan-tahan, seperti dalam kelemasan.

‘Siapa pulak, tu? Musuh? BISIK tak cakap pun Jennifer ada musuh.’ ujar Fariz di dalam hati. ‘Mana fonsel aku?’
Ketika berlari, memang sukar Fariz menyeluk poket mendapatkan fonselnya untuk menghubungi BISIK atau Normala. Belum sempat Fariz dapat melakukannya, dia sudah menghampiri kereta.

Fariz terus menggagau kolar baju lelaki itu. Sebelah tangannya cuba menariknya daripada belakang. Sebelah tangan lagi cuba merentap tangan lelaki itu daripada terus mencekik leher Jennifer. Semakin dia cuba meleraikan, rangkulan lelaki itu semakin kejap
‘Kuat sangat cengkamannya,’ kata Fariz di dalam hati. ‘Silap-silap pengsan minah salih ni dicekiknya.’

Mindanya segera mencari akal. Dengan pantas, dia menyeluk ke celah kelengkang lelaki itu. Kemaluan musuhnya disentap. Lelaki itu melaung dan terundur. Peluang itu tidak dibiarkan. Fariz merentap pula leher lelaki itu lalu tubuh lelaki itu diputar dan ditolak ke tanah. Lututnya menyendal pinggang lelaki itu. Membuatkan tubuhnya menggeleding. Sekali lagi lelaki itu meraung. Kali ini lebih kuat dan panjang.

Cahaya lampu tiba-tiba menyorot ke arahnya. Fariz menoleh. Pandangannya berpinar memandang lampu yang terang daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda.
‘Musuh lain!’ hati Fariz berdetik. Menyedari risiko yang boleh terjadi, Fariz segera melepaskan lelaki yang kini sudah terbaring di tanah.

Seperti ikan yang terlepas dari tangguk, lelaki itu bangun dan mencicit lari menuju ke kenderaan pacuan empat roda itu. Sebentar sahaja kenderaan itu sudah meninggalkan kawasan ini. Menjadikan suasana di sekitar suram kembali.

“What happenned?” tanya Fariz.
Memandang Jennifer yang menutup wajahnya sambil menangis tersedu-sedu. Fariz memasang lampu di dalam kenderaan. Kepala Jennifer ditelengkan ke kiri untuk memeriksa leher gadis itu. Hendak melihat kalau ada kecederaan di situ.

“Don’t touch me! Leave me alone!” pekik Jennifer lalu menolak jejari Fariz yang menyentuh wajahnya. Mukanya berang. Matanya membulat memandang Fariz.
Fariz mengeluh perlahan. Berasa terkilan kerana Jennifer enggan dibantu meskipun dalam keadaan trauma.

“Hantarkan saya balik. Saya nak rehat,” bisik Jennifer kemudiannya.
Fariz hanya mengangguk. Lalu dia menghidupkan enjin kereta. Dia perlu menghantar Jennifer pulang ke hotel penginapannya di Kuala Lumpur. Seketika sahaja, keretanya kini merentas Lebuhraya Putrajaya~Kuala Lumpur.
“Maafkan saya...” ujar Jennifer perlahan.

Fariz tidak menjawab pun. Tetapi dia memasang telinga. Nada suara Jennifer menggambarkan yang kata-kata maaf itu hanya permulaan bicara. Fariz menanti apa lagi yang akan diperkatakan oleh gadis ini.
“Maafkan saya kerana fikiran ini terganggu. Dua tahun lalu, ketika membuat penggambaran latihan pejuang Hamas di kebun zaitun di pekan Habla, kenderaan yang saya naiki ditahan. Saya ditangkap oleh pejuang Hamas.

Saya diseret ke tengah kebun. Kamera saya dirampas dan dipecahkan tanpa soal. Mujurlah, saya boleh berbahasa Arab Levantine, iaitu slanga orang-orang Palestin. Jika tidak, tentu saya akan didera. Insiden ditarik daripada tempat duduk kereta sama seperti yang saya alami sebentar tadi. Oh, sungguh menakutkan.”

Fariz mula faham mengapa Jennifer bertindak sedikit ganas bila dia cuba membantu sebentar tadi. Tetapi dia tidak mahu bertanya apa-apa lagi. Sebaliknya, tumpuan pandangannya hanya ke lebuhraya. Dari ekor matanya, Fariz terperasan Jennifer memandang tepat ke wajahnya. Seolah-olah ingin berbual dengannya. Kalau diikutkan hatinya yang terkedu, dia ingin sahaja berdiam diri. Namun, bila mengenangkan yang kini dia sedang bertugas, Fariz cuba menenangkan hatinya.

“Siapa lelaki itu?” tanya Fariz. “Saya nampak seperti lelaki Arab.”
“Benar. Lelaki Arab. Orang Palestin,” jelas Jennifer.
“Mana awak tahu daripada Palestin? Awak kenal dia?”
“Tak. Saya cam yang lelaki itu dari Palestin.”

“Ya, ke?” Fariz tersenyum. Sedikit hairan. “Saya tak dapat bezakan. Wajah orang Arab semuanya lebih kurang sama. Saya tak dapat kenal sama ada dia daripada Arab Saudi, Iran, Iraq atau Palestin. Macam mana awak boleh bezakan?”
Jennifer tersengih. “Kalau awak dah biasa bertemu dengan orang-orang Arab, awak akan kenal dari negara mana mereka berasal. Saya percaya, awak boleh kenal yang mana satu orang Malaysia atau orang Indonesia... orang India atau Pakistan, orang Cina atau orang Korea kerana awak selalu nampak dan bergaul dengan mereka. Saya pun begitu.”

Kata-kata Jennifer ada logiknya. Dalam diam, Fariz mengakuinya. Lantas dia memberi segaris senyuman tanda setuju dengan andaian Jennifer.
“Tapi, apakah awak kenal, orang Palestin manakah yang menyerang awak?”
“Hell, no!”
“Dan mengapa ada orang Palestin mengekori awak hingga ke mari?”
“Saya tak tahu, Fariz.”

Jennifer memandang tepat ke arah Fariz. Ada sesuatu yang berlegar-legar di fikirannya. Begitu juga Fariz. Dia mula gusar. Sebentar lagi, dia perlu menghubungi Normala untuk bertanyakan daripada manakah datangnya lelaki Palestin ini. Apa yang mereka buat di sini. Dan apa yang mereka hendak lakukan nanti!
Bersambung di minggu hadapan, Insya-ALLAH

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP