Sunday, September 26, 2010

FRAGMEN 41


Foto: 4bp.blogspot

FRAGMEN 41

DETIK DEBAR

Klang Valley Hotel, Kuala Lumpur

JENNIFER berbaring melintang di katilnya. Menyebabkan bahagian kaki dan kepalanya terjuntai. Seketika kemudian dia menelentang menatap siling biliknya. Perasaannya bosan. Rancangan di TV tidak menarik hatinya. Lantas TV ditutup sahaja. Dia memandang pula lampu dinding di atas TV. Lampu tembaga yang bermotifkan daun papaya kelihatan menarik. Cahaya yang menembusi celah-celah motif daun itu menghasilkan corak bebunga di dinding.

Jennifer ingin membuat satu permainan bagi menghilangkan bosan sementara menanti ketibaan Fariz. Lalu dia meraba kepala katil. Dia memetik suis di hujung kepalanya. Lampu dinding pun terpadam. Corak-corak di dinding sudah hilang. Dia membuka semula lampu kembali. Corak-corak putih dan kelabu yang cantik terdampar kembali ke dinding. Jennifer membuka dan menutup semula suis lampu beberapa kali. Klik-klak-klik-klak. Dan corak-corak itu muncul dan menghilang dalam sekelip mata. Lama-lama Jennifer bosan kembali.

Kini dia berkalih dan meniarap. Memejamkan mata. Telinganya hanya mendengar deru halus alat penghawa dingin. Dan bunyi siren ambulan di lebuhraya yang menyelinap dan singgah ke telinganya. Jennifer menggeliat pula. Lalu tangannya tergapai dan tersentuh laci di meja sisi katilnya. Matanya terbuka. Kemudian terkelip-kelip. Dia teringat sesuatu. Dalam keadaan meniarap tangannya menyentuh laci lalu membukanya. Jejarinya terus teraba-raba mencari isi laci itu. Tetapi apa yang dicarinya tidak ditemuinya.

Lantas dia bangun. Laci itu ditarik luas-luas. Barulah dia nampak apa yang diingininya ~ senaskhah tafsir al-Quran oleh Yusuf Ali. Kitab suci itu diambil lalu dibeleknya. Sesuatu terlintas di hatinya. Jennifer menarik bantal dan disandarkan ke kepala katil. Dan dia duduk berlunjur lalu membuka kitab tafsir itu selembar demi selembar halamannya. Perasaan bosannya mula menghilang kerana dia mula berminat untuk mencari sesuatu jawapan di dalamnya.

SETELAH lima belas minit, Fariz menghubungi Jennifer memaklumkan yang dia sudah pun menanti di lobi. Konon-kononnya dia baru sampai ke hotel. Padahal, dia baru turun daripada bilik 2022. Namun, Jennifer tidak turun-turun ke bawah. Setelah jenuh menanti, Fariz menelefon sekali lagi.

“Rizal…” panggil Jennifer menggunakan nama samaran Fariz. “Silalah naik ke bilik. Saya menanti. Ada sesuatu yang saya hendak tanyakan kepada awak.”
Perlahan-lahan, Fariz menapak ke tingkat dua. Bilik 2021 tidak bertutup rapat. Hanya disendal dengan ensel. Perlahan-lahan, Fariz mengetuk. Tiada jawapan. Yang kelihatan hanya cahaya suram. Dengan ucapan bismillah dan beristighfar, Fariz menguak daun pintu luas-luas lalu melangkah ke dalam.

Di bawah cahaya lampu sudut, kelihatan Jennifer duduk menekur sambil membaca. Apabila diamati, Fariz dapati Jennifer sedang menatap al-Quranul Karim. Fariz melabuhkan punggungnya di kerusi yang ada di pinggir katil. Dilakukan perlahan-lahan kerana tidak mahu mengganggu tumpuan bacaan gadis itu.

“Saya tak jumpa cerita azan di dalam kitab ini…” kata Jennifer perlahan tanpa mengangkat kepalanya memandang Fariz.
Soalan itu membuatkan Fariz terkedu. Mengapa soalan itu dikemukakan gadis itu? Namun, dia perlu menjawab. Jika tidak, tentu persoalan itu akan tertinggal tanpa jawapan, walaupun dia bukan orang yang selayaknya menjawab soalan itu. Dia bukannya orang yang berkelulusan dalam ilmu wahyu. Namun, dia perlu meyakinkan Jennifer. Sekurang-kurangnya buat masa ini. Dia tidak mahu Jennifer mempunyai sangkaan tidak baik terhadap kitab suci agamanya.

“Saya pernah terbaca satu atau dua ayat di dalam al-Quran yang menyebut azan sebagai cara menyeru orang-orang Islam mengerjakan sembahyang. Sepengetahuan saya, tidak ada keterangan yang mendalam mengenai sejarah azan itu sendiri di dalam al-Quran,” jawab Fariz.
“Bukankah al-Quran dikatakan sebagai kitab yang sempurna? Mengapa tiada menceritakan sesuatu yang penting seperti azan?” tanya Jennifer pula.

Fariz tenggelam punca. Sesungguhnya dia tidak berani menjawab persoalan ini. Jennifer bertanya mengenai sesuatu yang dia sendiri belum pasti akan jawapannya. Dia tidak mahu memandai-mandai. Tersilap bercakap mengenai sesuatu yang tidak diketahuinya itu akan mengundang masalah jika apa yang diperkatakannya itu tidak betul. Nanti berdosa jadinya. Dia mengeluh dalam, lalu menjawab perlahan…

“Maafkan saya kerana tidak berani menjawab. Saya tidak begitu tahu mengenai al-Quran itu sendiri. Dan saya tak berani berkata sesuatu yang tidak benar mengenai agama saya. Bagaimana pun, saya akan cari jawapan dan esok, saya akan dapatkan jawapan kepada persoalan awak.”

“Ha, ha, ha,” Jennifer tertawa kuat. Mengekek-ngekek. Kelakuannya mengkagetkan Fariz. Mengubah wajahnya yang suram kerana kecewa tidak dapat menjawab soalan Jennifer kepada wajah yang penuh tanda tanya. Baru seketika tadi, Jennifer kelihatan begitu serius. Tiba-tiba dia tertawa separuh histeris. Ini yang menghairankan Fariz.

“Al-Quran adalah buku mengenai arahan, pengkisahan dan panduan. Ia bukannya manual. Kerana itu, di dalam al-Quran, hal azan hanyalah kenyataan mengenai fungsinya. Tidak lebih daripada itu. Begitu juga dengan solat. Di dalam kitab umat Islam ini, peraturan solat sendiri tidak dinyatakan secara khusus. Yang ada hanyalah perintah bersembahyang. Tetapi, perincian solat seperti berapa rakaat, cara takbir dan sujud disampaikan sendiri oleh Nabi Muhammad melalui hadisnya,” kata Jennifer kemudiannya.

Hati Fariz tersentap. Malu rasanya bukan kepalang kerana gadis itu tahu apa yang seharusnya dia tidak tahu secara mendalam mengenai agamanya. Wajahnya terasa sebar. Mujurlah, cahaya yang suram di bilik itu tidak mempamerkan pipinya yang memerah menahan malu.

“Maafkan saya, Rizal. Saya bukannya hendak memalukan awak. Saya banyak membaca mengenai agamamu. Saya ada ramai kawan-kawan yang beragama Islam. Malah, saya mengenali Sheikh Fakhiri, salah seorang imam agung Palestin sebelum beliau mati disembelih Mossad Israel.

Awak jangan berasa malu. Ramai orang yang mengaku menganut sesebuah agama tidak tahu isi kitab agamanya. Seperti saya sendiri… walaupun mengaku beragama Kristian, tetapi saya tidak tahu sangat mengenai kitab itu. Seharusnya, saya lebih tahu mengenai injil daripada al-Quran!”

Bersambung, insya-ALLAH...

Tuesday, September 7, 2010

FRAGMEN 40


FRAGMEN 40
DETIK DEBAR

Biro Risikan Negara, Putrajaya

SETELAH mematikan enjin kereta di parkir, Tuan Aziz menguap. Matanya mula terasa berat. Mungkin kerana keletihan. Mungkin juga kerana terlebih makan ketika jamuan tadi. Sebaik sahaja dia melangkah keluar, fonselnya bergetar. Apa yang terpapar di skrin fonselnya membuat matanya menjadi segar kembali. Lalu dia berlari ke lif.

“Kita dah jumpa sarang mereka, Tuan!” kata Suren, Ketua Pegawai Penyelidik, sebaik sahaja Tuan Aziz muncul di Bilik Gerakan.

Mereka yang berada di Bilik Gerakan kesemuanya menoleh ke arah Suren. Masing-masing kaget dengan kemunculan Tuan Aziz secara tiba-tiba itu. Yang berada hampir dengan Tuan Aziz terus berdiri sebagai tanda hormat. Tuan Aziz hanya mengangguk sedikit kepada mereka sebagai tanda membalas hormat. Kemudian dia berdiri terpaku memandang ke skrin layar lebar di depannya. Memandang tayangan-tayangan video pendek yang dihantar oleh ejen-ejen BISIK dari lokasi masing-masing.

Video menayangkan pergerakan kenderaan pacuan empat roda yang membawa Moussa, Ali dan Omar yang ditangkap oleh beberapa kamera CCTV yang terpasang di merata sudut Putrajaya. Imej-imej bertukar ganti bagai montaj iklan.

Dan akhirnya tayangan video diambil dari dalam kenderaan terpapar, menandakan pacuan empat roda itu berjaya diekori oleh ejen BISIK dari Putrajaya hingga ke Kota Damansara. Paparan selanjutnya menunjukkan ketiga-tiga lelaki itu memasuki sebuah apartmen. Tayangan berakhir di situ.

“Itu aje? Visual sahaja? Audionya mana?” soal Tuan Aziz dengan wajah yang berkerut.
“Ejen-ejen kita sudah memasang kamera di dalam kenderaan mereka…” jawab Suren dengan pantas.

Dia faham, Tuan Aziz mahu segala maklumat sampai ke pengetahuannya secepat mungkin. Dia mula berjalan ke hulu ke hilir Bilik Operasi, memanifestasikan rasa kurang puas hati dengan sedikit maklumat yang diperoleh. Gelagatnya menggusarkan semua petugas yang berada di bilik itu.

“Ada skuad yang sedang memasang alat curi dengar di pintu apartmen… tapi perbualan tidak dapat dirakam dengan jelas. Mungkin mereka berada jauh daripada pintu hadapan. Tetapi Unit Siber kita sudah sampai ke lokasi. Angka protokol internet telah dikenalpasti dan gelombang frekuensi audio telah terpasang. Sehingga saat ini, kita belum lagi memintas isyarat komunikasi mereka sama ada melalui internet mahupun telefon. Menandakan yang mereka masih belum menggunakan peralatan itu.”

“Mana imej mereka?” tanya Tuan Aziz. “Fariz kata, lelaki itu Pak Arab Palestin!”
“Kita dah pasang kamera di tembok bertentangan dengan pintu bilik mereka. Dalam lif pun ada kamera. Saya akan hantar imej-imej mereka pada bos bila kita perolehinya esok pagi.”
“Hmm…” Tuan Aziz terangguk-angguk.

Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke pintu. Sambil berjalan, dia memperbetul dan membutangkan kotnya. Udara di Bilik Gerakan ini sungguh dingin. Tanpa menoleh, dia mengangkat tangannya tinggi, tinggi dan menegakkan ibu jarinya menunjukkan syarat ‘bagus ~ tanda dia berpuas hati dengan apa yang diperolehi setakat ini.’ Suren tersengih kerana mendapat pujian dari bosnya, meskipun lelaki itu tidak memujinya secara berdepan. Petugas-petugas yang lain turut tersenyum-senyum lega kerana Tuan Aziz tidak naik angin pada malam ini.

KETIKA menanti lif, Tuan Aziz menerima panggilan. Dahinya berkerut kerana memperoleh panggilan daripada nombor yang tidak kenalinya.

“Helo…”
“Helo… siapa ni?” sapa Tuan Aziz.
“Tuan Aziz… awak ada di pejabat?”
Tuan Aziz mengenali suara si pemanggil. “Ed Arden? Ya… mengapa?”
“Saya nak tunjukkan sesuatu kepada awak.”

TANPA berkata-apa-apa, Ed Arden menghulurkan thumbdrivenya. Tuan Aziz mengerti apa yang dimaksudkan. Sebaik sahaja fail dibuka, Tuan Aziz memancarkan imej di skrin komputernya ke layar di dinding. Memaparkan imej sebuah kapal yang diambil daripada angkasa.

“Itu imej kapal Iran Al-Bahr… yang kami ambil melalui satelit,” ujar Ed Arden.
Slaid bertukar satu demi satu dan Ed Arden pun memberi taklimat.
“Imej slaid berikutnya sudah dibesarkan. Lihat imej seseorang terjun dan berenang setelah bot komando kami membedil al-Bahr… dan dia terdampar di pantai Pulau Lalang… seorang lelaki muncul… dan mereka menaiki bot pendatang haram ke pantai Lenggong, Perak.”

Slaid tamat. Pancaran ke skrin pun dipadam. Tuan Aziz dan Ed Arden saling berpandangan. Namun minda masing-masing sedang bekerja membuat telahan-telahan apa yang ditayangkan sebentar tadi.

“Al-Bahr pernah diusir kerana dipercayai cuba mengintip kapal perang kami di Teluk Parsi…” ujar Ed Arden. “Itulah sebab mengapa kami mengusirnya bila ia cuba mengintip kapal kami di Selat Melaka pula.

“Rakaman pergerakan seorang anak kapal yang berenang ke Pulau Lalang dan kemudiannya menyeludup ke Malaysia menimbulkan tanda tanya pihak keselamatan Amerika. Yang pasti, tetamu itu tidak berniat baik. Lebih-lebih lagi ketika Presiden kami ada di tanahair tuan.”

“Saya setuju sangat dengan ada yang awak katakan, Mr. Arden. Sekarang saya akan kongsi dengan awak maklumat yang saya ada…”

Tuan Aziz menekan-nekan papan kekunci komputernya. Dia mencapai dan membuka pelayan di Bilik Gerakan. Kemudian menyusurkan cursor untuk mencari fail berkaitan dengan insiden Jennifer Miles diserang di Putrajaya. Seketika sahaja tayangan di skrin pun terpapar. Ed Arden meneliti rakaman dari awal sehingga tamat.

“Kita sudah memperoleh dua maklumat yang mungkin penting,” kata Ed Arden.
“Saya setuju. Naluri saya mengatakan maklumat kita ada kaitan di antara satu sama lain. Cuma kita belum dapat gabungkan maklumat itu menjadi hipotesis. Mungkin esok kita mendapat jawapannya,” ulas Tuan Aziz dengan panjang lebar.

“Apa maksud Tuan?”
“Esok, kita akan peroleh imej wajah-wajah mereka yang kita bayangi. Dari situ, mungkin awak boleh bantu kami mengenal pasti siapa mereka,” kata Tuan Aziz.
“Itu sudah pasti. Kami punyai data terperinci mereka, dari kumpulan mana, negara mana serta rangkaian mereka. Maklumat kami lengkap seperti katalog buku di Amazon!” jawab Ed Arden.

Bersambung lagi, insya-ALLAH...

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP