Saturday, January 29, 2011

FRAGMEN 58: DETIK DEBAR


Foto credit: lokatgame.com

Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

DATARAN Merdeka mula dipenuhi orang ramai. Masing-masing berwajah ceria dan berhimpit-himpit di sebahagian Jalan Raja, Jalan Raja Laut dan juga di sekeliling Padang Kelab Sulaiman. Ibubapa, kanak-kanak dan remaja kelihatan ceria sekali menanti saat-saat sambutan penuh gilang gemilang yang bakal berlangsung.

Jennifer Miles tertoleh ke arah bunyi siren kereta peronda PDRM yang berkumandang dari hala Jalan Raja. Bunyi hon motorsikal polis trafik juga kedengaran. Semua mata yang berada di kawasan berhampiran terpaling juga melihat kereta peronda polis yang memasang lampu hazard berkelip-kelipan yang menghampiri. Lampu LED lightbar di bumbung kereta itu membiaskan cahaya biru yang berkeliling ke kawasan sekitarnya. Mempinarkan mata sesiapa yang melihatnya.

‘Itu PM Malaysia dan John Martinez,’ kata Jennifer di dalam hati.
Lantas dia melangkah mendekati kereta peronda polis itu bergerak perlahan diikuti dengan sebuah kereta Proton Perdana, kereta rasmi kerajaan Malaysia. Kenderaan-kenderaan itu pun berhenti di hadapan pentas utama. Empat buah motorsikal polis trafik yang mengiringi turut berhenti. Si pemandu dan rakannya yang duduk di kerusi hadapan keluar bergegas membuka pintu penumpang. Kedengaran bunyi tepukan mereka yang berada di sekeliling kenderaan itu.

Para wartawan terus berkerumun menerpa. Jennifer Miles tidak ketinggalan sama-sama berhimpit untuk merakam foto PM Malaysia dan Presiden Amerika, John Martinez yang keluar daripada kenderaan itu.

Kedua-duanya melambaikan tangan kepada orang ramai yang sudah membanjiri jalanraya. Para jurufoto dengan gaya masing-masing mengambil kesempatan untuk merakamkan pos menarik mereka untuk dipaparkan di dada akhbar dan layar kaca masing-masing. Tidak lama kemudian, kedua-duanya berjalan beriringan menaiki pentas utama.

Sebaik sahaja konvoi kenderaan yang membawa PM dan John Martinez berlalu, kedengaran lagi siren sebuah kenderaan kereta peronda polis yang lain menghampiri pentas utama. Sekali lagi, para jurufoto berkalih pandangan dan meluru ke arah sebuah kereta Maybach 62S buatan German yang mendatang. Itulah kenderaan rasmi Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong.

Jennifer juga tidak melepaskan peluang untuk melangkah ke hadapan jurufoto yang lain untuk merakam gambar DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong. Baginda turut berangkat mencemar duli untuk menyaksikan sambutan Hari Merdeka pada pagi ini. Baginda kelihatan tersenyum lebar sambil melambaikan tangannya ke arah rakyat jelata.

“Excuse me, ma’am…” kedengaran satu suara menegur Jennifer.
Jennifer menoleh. Seorang lelaki beruniform biru gelap dan bertubuh tegap merenungnya dengan wajah serius. Jennifer sempat memandang tiga paku yang terletak kemas di kanan dan kiri bahunya.
'Police officer...' seru Jennifer di dalam hatinya.

“Can you please follow me?” pelawa lelaki itu.
Meskipun hatinya tertanya-tanya, mengapakah dia dipanggil mengekori lelakim itu, namun Jennifer melangkah mengekori lelaki itu ke belakang sebuah pondok polis bergerak.
“Puan ini seorang wartawan? Boleh saya tengok pengenalan puan?”

“Boleh…” jawab Jennifer. Dia terus meraba ke dalam beg sandangnya untuk mencari pas media. Puas mencari, baru dia sedari yang dia tidak membawa apa-apa dokumen. “Err… maafkan saya. Sebenarnya saya seorang wartawan. Saya tak bawa kad pengenalan media saya...”

“Kalau begitu, sila naik ke atas pejabat bergerak ini. Saya terpaksa ambil sedikit keterangan....” kata lelaki itu.

Jennifer mengetap bibirnya. Tidak menyangka kealpaannya membawa kad pengenalan media menimbulkan masalah. Apa akan terjadi andainya dia ditahan? Bagaimana dengan permintaan John Martinez agar dia memerhati keadaan presidennya itu? Dengan perasaan kesal, dia melangkah menaiki tangga pondok polis bergerak itu.

'Patutkah aku lari sahaja dari sini?' usik hatinya.


Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, January 22, 2011

DETIK DEBAR: FRAGMEN 57


Credit foto: rusdi3713fotopagescom

Stesen STAR-LRT Titiwangsa

SEJAK jam 6.00 pagi lagi ramai para penumpang sudah membanjiri stesen ini. Mereka ke mari untuk bertolak ke Dataran Merdeka bagi menyaksikan sambutan perayaan Hari Merdeka. Di kalangan mereka adalah ibubapa yang membawa anak-anak kecil, para pelajar sekolah dan para remaja. Masing-masing menanti tren yang akan membawa mereka ke Stesen Masjid Jamek iaitu stesen LRT yang paling hampir dengan Dataran Merdeka.

Mereka berwajah ceria, berpakaian cantik lagi berwarna-warni. Pelbagai kaum dan agama kelihatan berpusu-pusu ke pletform. Mereka bangga menjadi rakyat Malaysia, negara tumpah darah yang tercinta. Terdapat juga pelbagai kaum pendatang seperti daripada India, Bangladesh, Vietnam, Kemboja dan tentu sekali pendatang daripada Indonesia yang ingin tumpang bergembira.

Di antara ratusan manusia yang membanjiri pletform itu, terdapat sekumpulan penumpang yang memakai baju yang mempunyai corak jalur gemilang. Baju yang mengikut potongan cekak musang itu kelihatan menarik bila dipakai beramai-ramai.

Ada di antara mereka yang mengenakan songkok, kupiah, topi berambu-rambu, tudung atau ikat kepala ~ juga bermotifkan jalur gemilang. Mereka juga kelihatan ceria sekali berbual sesama mereka dengan rancak dengan suara yang kuat. Sekali imbas seperti sekumpulan penyokong pasukan bolasepak ataupun sekumpulan peminat yang ingin menghadiri konsert.

Bunyi deru enjin tren yang menghampiri stesen membuatkan para penumpang berhimpit-himpit ke tepi pletform. Apabila tren berhenti, kelihatan di dalamnya kosong kerana stesen ini terletak di hujung laluan.

Sekumpulan mereka yang berpakaian motif jalur gemilang tadi segera menaiki gerabak yang paling hadapan. Membuatkan lain-lain penumpang pergi ke gerabak-gerabak lain kerana berasa terasing dengan kumpulan itu.

“Okey semua?” Seorang lelaki berambut panjang, bermisai tebal dan berikat kepalanya dengan bendera jalur gemilang bersuara lantang di bahagian hadapan gerabak. Daripada gayanya, jelas sekali dia adalah ketua bagi kumpulan itu.
“Okey!” tempik yang lain secara serentak.

“Mari kita mulakan… satu, dua, tiga!”
“Malaysia kita sudah berjaya… aman makmur bahagia… Malaysia abadi selamanya… berjaya dan berjaya. Berbagai kaum sudah berikrar… menuju cita-cita… satu bangsa satu bahasa… Malaysia berjaya.

Dari Perlis sampailah ke Sabah… kita sudah merdeka… negara makmur rakyat mewah… kita sudah berjaya. Dengan semboyan kita berikrar… gemuruh di angkasa… satu bangsa satu bahasa… Malaysia berjaya.”

Seiring dengan gerakan tren, lagu Malaysia Berjaya ciptaan composer Saiful Bahari pun berkumandang dinyanyikan oleh kumpulan itu. Suara mereka lantang, membingitkan, namun meriakan suasana. Para penumpang di gerabak yang lain begitu teruja dengan nyanyian itu hinggakan ramai para penumpang yang lain turut bernyanyi bersama.

Melihatkan itu, beberapa anggota kumpulan berpakaian jalur gemilang itu mula bergerak ke gerabak belakang sambil menggalakkan para penumpang yang lain turut bernyanyi bersama-sama. Suasana menjadi riuh-rendah, bersemangat dan begitu menggembirakan.

Kini, seluruh para penumpang bernyanyi beramai-ramai lagu itu berulang-ulang kali. Mana-mana penumpang yang tidak tahu senikata lagu turut sama ternganga-nganga ikut bernyanyi.
Siapakah mereka? Dari manakah kumpulan ini?

Mereka adalah ahli-ahli Sekretariat Anti-Keganasan Amerika ~ SAKA! Pada pagi ini, mereka akan berhimpun di Dataran Merdeka untuk menunjuk perasaan di depan John Martinez untuk memaksa Presiden Amerika itu meninggalkan majlis sambutan Hari Merdeka.

Mereka datang daripada seluruh pelosok Lembah Kelang hingga Negeri Sembilan. Kenderaan tren komuter dan LRT menjadi pengangkutan kerana kereta dan bas akan diperiksa oleh pihak polis yang menjalankan sekatan jalanraya menghala ke Kuala Lumpur agar ahli-ahli SAKA tidak dapat berdemonstrasi. Pakaian baju bertemakan jalur gemilang juga menyukarkan pihak polis mengenalpasti mereka daripada satu kumpulan kerana ramai juga warga kota yang lain berpakaian bertemakan jalur gemilang sempena Hari Merdeka.

Di stesen sebelah timur, Putraline Taman Melati dan stesen-stesen lain hingga ke stesen Kelana Jaya di barat Lembah Kelang, stesen komuter selatan dari Seremban dan Rawang di utara, ahli-ahli SAKA sudah berhimpun bersama-sama dengan para penumpang yang lain menuju ke Dataran Merdeka.

Sebelum jam 7.00 pagi, beribu-ribu anggota SAKA sudah menderu-deru tiba dan berhimpun di kompleks membelibelah SOGO di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Mereka menanti arahan Presiden SAKA, Bakar Buang untuk bergerak ke Jalan Raja.

Satu drama bakal terjadi di hadapan pentas utama di Dataran Merdeka pada Hari Merdeka pada pagi ini!
Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, January 15, 2011

FRAGMEN 56: DETIK DEBAR


Foto hiasan: http://www.designshare.com/
index.php/projects/school-art-design-media/images@4515


BISIK, Putrajaya

SEBAIK sahaja pintu pejabat terkuak dan tetamu Tuan Aziz keluar, Fariz meluru sebelum sempat bosnya menggamitnya masuk. Lantas Fariz menyampaikan maklumat penting yang diperolehi daripada Jennifer. Maklumat kebimbangan John Martinez mengenai keselamatannya.

Tuan Aziz tenang di sepanjang waktu. Dia memerhati dan mengangguk tanda memahami apa sahaja yang Fariz sampaikan. Tiada reaksi risau yang terpamer di wajahnya. Seolah-olah apa yang Fariz taklimatkan itu tidak mengujanya. Membuatkan rasa cemas yang dirasai Fariz ketika mula-mula memasuki bilik ini menjadi kendur dan sejuk.

Keadaan ini membuatkan Fariz pula yang mati akal. Tidak tahu apa lagi yang mesti dilakukannya apabila Tuan Aziz tidak melontarkan persoalan, bertelingkah dengan hujah mahupun merangka kebarangkalian yang bakal terjadi seandainya apa yang disampaikan Jennifer itu benar-benar terjadi.

“Kita mesti lakukan sesuatu, Tuan!” kata Fariz akhirnya setelah mereka membisu buat “Hmm…” jawab Tuan Aziz pendek.
“Apa perintah tuan? Bagaimana kita hendak mengenalpasti kalau-kalau ada rancangan membunuh Presiden Amerika itu di khalayak ramai? Kita pasang ejen? CCTV? Selidik kawasan perimeter satu kilometer Dataran Merdeka?” soal Fariz yang berupa desakan kepada bosnya. Di dalam hatinya, Fariz ingin terlibat sama di dalam operasi itu. Sudah lama benar dia tidak beraksi.

“Tuan… apa yang patut kita buat?” soal Fariz lagi pabila Tuan Aziz masih mendiamkan dirinya.
“Kita tak perlu buat apa-apa, Fariz.”
“Apa maksud Tuan?” tanya Fariz dengan perasaan kaget.
“Kes ini sudah jadi kes polis! BISIK sudah tidak terlibat!” jawab Tuan Aziz.
“Kenapa?” Mata Fariz mencerlang. Dia terkejut.
“Pihak polis telah ternampak Pak Arab yang bertiga itu mencuri Proton Saga setelah keluar daripada kenderaan pacuan empat roda mereka. Polis mengejar dan hanya menemui kereta Proton Saga itu tersadai di Bukit Bintang. Ketiga-tiga mereka sudah lari.

Bila mereka menyelidik kenderaan pacuan empat roda kepunyaan Pak Arab itu pula, mereka jumpa sebuah spycam. Mereka tanya kita bila mendapati, jenis spycam itu adalah model yang BISIK gunakan.

Saya mesti mengaku dengan pihak polis yang spycam itu kita yang punya. Walaupun berlainan organisasi, kita mesti bekerja dalam satu pasukan. Dalam mesyuarat khas dengan Ketua Polis Negara semalam, saya kenalah bentang fakta kes ini. Akhirnya, kami setuju kes ini diserahkan kepada Special Branch!”

“Cawangan Khas? Bukankah kes ini melibatkan perisikan di peringkat antarabangsa? Justeru itu, kes ini BISIK yang punya!” bantah Fariz.
“Kita tidak boleh berfikiran macam tu. Tidak ada istilah, ini kes engkau... dan ini kes aku. Yang penting, saling bantu membantu di antara satu bahagian dengan satu bahagian yang lain demi kepentingan negara,” jawab Tuan Aziz dengan perlahan tetapi tegas.

“Apa peranan BISIK?” soal Fariz lagi.
“BISIK hanya fokus kepada tujuan asal iaitu Pintas 3 buat Jennifer. Dan tugas itu diserahkan kepada awak.”

Fariz terdiam mendengar penerangan itu. Pintas 3 adalah kategori pengintipan yang berupa kawalan di mana subjek sasaran hanya dikepung dan dikawal hingga meninggalkan negara.
“Bagaimana jika apa-apa berlaku pada Hari Merdeka, esok?”
“Pihak Cawangan Khas sudah berkeliaran di KL, sekarang. Mereka lebih cekap dalam mengendalikan kes berskala besar seperti ini. Awak temankan sahaja Jennifer, okey?” kata Tuan Aziz seraya bangun.

Fariz tahu yang ia adalah isyarat agar Fariz keluar sahaja daripada bilik bosnya itu. Perlahan-lahan dia bangkit dan melangkah ke pintu.
“Fariz…”
Fariz menoleh memandang bosnya. Mungkin ada arahan baru yang ingin disampaikan kepadanya. Mana tahu kalau Tuan Aziz mengubah fikiran dan memintanya memantau keselamatan Presiden Amerika pula!

“Semalam, saya jumpa Tan Sri Daud dalam satu majlis makan malam…”
Wajah Tan Sri Daud, ayah Faryna segera menjelma di layar mindanya. Tokoh korporat itu amat baik dengannya. Setiap kali dia bertemu dengan Faryna, gadis itu pasti menyampaikan salam ayahnya kepada Fariz.

“Dia tanya saya tentang awak. Katanya, dah lama awak tidak berkunjung ke rumah dia.”
Fariz hanya tersenyum sedikit. Tidak mahu mengulas apa-apa.
“Bagaimana dengan Faryna?” tanya Tuan Aziz dengan nada mengusik.

“Okey, tuan,” jawab Fariz selamba. Dia tiada mood untuk melayani usikan bosnya itu. Hatinya masih tidak dapat menerima hakikat mengapa tugasan BISIK diserahkan kepada pihak Cawangan Khas pula.


Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, January 8, 2011

FRAGMEN 55: DETIK DEBAR


Foto: kyspeaks.com

Avenue K, Kuala Lumpur

SETELAH berkunjung ke Petrosains, Fariz mengajak Jennifer menjamu selera. Suasana sesak di KLCC menyukarkan mereka bergerak, apatah lagi mencari restoran yang mempunyai tempat duduk yang kosong. Akhirnya Fariz mengajak Jennifer ke Avenue K yang terletak bersebelahan KLCC. Di sana keadaannya tidaklah begitu sibuk.

Di sepanjang pertemuan kali ini, Jennifer kelihatan sugul. Tidak petah seperti biasa. Tidak rajin mempersoal kembali apa yang diperkatakan Fariz. Sikap ini menggusarkan Fariz sendiri. Dia mati akal memikirkan bagaimana untuk menarik kembali agar Jennifer berbual dengan rancak atau bertanya itu dan ini. Malah, dia lebih gemar mendiamkan diri.

Piza yang terhidang pun tidak dinikmati wanita itu. Jennifer hanya mengambil sepotong. Fariz cuba untuk makan dengan berselera agar suasana tidak dingin di antara mereka.
“I have something to tell you…” kata Jennifer perlahan.

Fariz terhenti mengunyah. Matanya tepat memandang Jennifer. Hatinya teruja sedikit kerana akhirnya ada tanda-tanda yang wanita itu akan melahirkan apa yang terbuku di sanubarinya.
“You want to talk about it?” soal Fariz dalam bentuk pujukan.

“Fariz tahu, kan? Semalam saya menemui John Martinez…”
Fariz mengangguk sebagai tanda supaya Jennifer terus bercerita.“John menceritakan kepada saya yang dia menerima tekanan hebat dari pihak Yahudi akibat pendiriannya menyokong sistem kewangan Islam. Sebenarnya, dia sedang menghitung hari…”
“Maksud awak?” tanya Fariz.
“Dia sudah bersedia untuk mati!”

Lalu Jennifer pun menceritakan apa yang diceritakan oleh John dalam pertemuan empat mata itu. Sungguh. Apa yang disampaikan Jennifer itu adalah maklumat yang amat penting.
Seandainya berlaku pembunuhan Presiden Amerika di bumi Malaysia, pada Hari Merdeka yang bukan sahaja disaksikan oleh rakyat Malaysia, malah seluruh dunia, ia adalah satu peristiwa sejarah. Sejarah hitam bagi Amerika yang turut membabitkan imej Malaysia. Malah, pihak keselamatan Amerika bukan sahaja akan menuduh Malaysia cuai tetapi menuding telunjuknya dengan mengatakan ia adalah angkara pengganas yang bersarang di negara ini.

Memori Fariz bersimpang siur menghantar maklumat ke layar mindanya. Dia teringat peristiwa penggunaan racun polonium untuk membunuh John Martinez melalui makanannya.
Dia tahu peranan Omar, Moussa dan Ali yang terlibat dengan komplot untuk membunuh Presiden Amerika itu. Sebentar tadi, Fariz menerima maklumat mengenai kehilangan ketiga-tiga lelaki itu. Hingga kini, BISIK masih menjejaki mereka. Di mana mereka?

“Kalau begitu, mengapa Presiden awak tidak mahu pulang sahaja?”
“Katanya, mati ada di mana-mana. Dia akan terus bertugas seolah-olah tiada apa-apa yang akan terjadi. Katanya, kalau sudah ajalnya di sini, maka dia tidak akan melarikan diri,” jawab Jennifer.
“Bagaimana dengan pihak keselamatan Presiden? Tentu mereka tahu akan perkara ini dan meningkatkan kawalan.”
“John ada memberitahu saya, hanya ada seorang sahaja pegawai yang dia percayai. Namanya Ed Arden, Ketua Keselamatan Presiden.”

“Tak ada orang lain?” tanya Fariz lagi.
“Orang kedua, mungkin tukang masaknya.”
“Kalau begitu, hanya ada tiga orang yang boleh dipercayainya.”
“Siapa yang seorang lagi?”

“Awak!”
Bersambung lagi, insya-ALLAH...

Saturday, January 1, 2011

FRAGMEN 54: DETIK DEBAR


Foto: puteramahsuri.blogspot.com

Bangunan Dewan Usahawan Malaysia,
Kuala Lumpur

BANGUNAN
ini adalah satu-satunya bangunan persatuan yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur. Dengan ketinggian 28 tingkat, bangunan ini tampak gah seperti lain-lain bangunan tinggi berhampiran seperti bangunan Bank Rakyat, Agrobank, Dewan Bandaraya, Dayabumi dan juga Bangunan Bukit Aman iaitu ibu pejabat PDRM. Daripada segi warna, ia dicat biru, berbeza dengan lain-lain bangunan yang dicat dengan warna putih.

Omar, Moussa dan Ali melangkah pantas mendaki tangga besar bangunan itu. Langkah mereka terpaksa diperlahankan apabila melewati seorang tukang cuci yang sedang mengelap lantai tangga besar di pintu masuk bangunan. Oleh kerana bangunan ini berhampiran dengan Dataran Merdeka, ia juga perlu kelihatan bersih untuk menyambut Hari Merdeka.

Hampir-hampir sahaja Ali tertendang baldi yang terletak di sisi pintu cermin. Wanita itu berhenti bekerja sejenak untuk memberi laluan kepada Omar, Moussa dan Ali yang melewati kawasan kerjanya.

Dia mengeluh dalam kerana kerjanya terganggu. Matanya menjeling melihat tapak-tapak kasut Omar, Ali dan Moussa yang sudah memudarkan bahagian yang telah dilapnya berkilat.
“Mana Pak Jono?” tanya Omar kepada wanita itu.

Wanita itu hanya menuding jarinya ke arah sebelah dalam bangunan. Dia tampak malas menjawab kerana sudah rasa jengkel dengan perangai ketiga-tiga Pak Arab yang tidak menghormati susah payahnya mengelap lantai.

“Pak Jono...” sapa Omar apabila terpandang seorang lelaki gempal yang berkupiah. Lelaki separuh usia itu menoleh lantas tersengih. Dia adalah mandor kepada para pekerja di bangunan itu.

“Ini dua orang kawan saya, Moussa dan Ali seperti yang saya janjikan. Mereka akan bekerja mulai hari ini. Pas kerja mereka sudah saya uruskan. Pak Jono tak usah bimbang,” kata Omar.
“Mari sini...” seru Pak Jono seraya menggamit mereka bertiga menghampiri. “Ikut aku.”

Mereka berempat memasuki lif. Pak Jono menekan butang yang paling atas. Sebentar sahaja mereka sudah tiba ke aras 28 iaitu tingkat tertinggi bangunan itu. Keempat-empat mereka keluar. Pak Jono mendahului mereka berjalan hingga ke hujung koridor di mana terdapat sebuah pintu.

Pintu dikuak. Menampakkan sebuah bilik kecil dengan sebuah tangga besi di ruang yang agak sempit dan suram. Pak Jono mendahului dengan memanjat tangga itu diikuti dengan yang lain. Di hujung tangga, terdapat sebuah pintu lagi.

Sebaik sahaja Pak Jono menguaknya, cahaya yang terang benderang menyelinap masuk. Angin kencang mula menyerbu. Mereka berempat memanjat keluar. Kini mereka berada di bumbung bangunan. Pakaian masing-masing berkibaran ditiup angin.

Buat seketika, mereka terpegun melihat panorama indah Kuala Lumpur. Sayup di bawah kelihatan Bangunan Sultan Abdul Samad dengan jam besarnya. Di hadapan bangunan itu kelihatan pentas utama yang sudah siap dengan berlatarkan jalur gemilang. Di seberang pentas kelihatan pula Padang Kelab Selangor yang menghijau. Kelihatan juga jalur gemilang yang besar berkibaran di sudut padang itu.

Di belakang Bangunan Sultan Abdul Samad pula kelihatan bangunan ibu pejabat Agrobank dan Dayabumi di sebelah kanan sementara di sebelah kiri pula bangunan Dewan Bandaraya.
Pak Jono melangkah ke hujung ruang. Ketiga-tiga mereka mengekori. Di situ terdapat sebuah kotak besar berisi jalur gemilang. Berhampiran dengan kotak itu terdapat bergulung-gulung tali belati daripada nylon.

“Hari ini kita kena ikat jalur gemilang,” ujar Pak Jono seraya membuka bidang bendera yang amat besar yang lebarnya seperti sebuah bilik darjah dan panjangnya melebihi 100 meter. “Pangkalnya kita tambat di sini… kemudian bahagian yang hujung kita tebarkan sahaja ke bawah.”

Mereka berempat melilit pangkal bendera ke sebatang besi panjang. Tali nylon itu pula ditambat di kerangka besi yang terdapat di bumbung bangunan. Sebentar sahaja kesemuanya sudah siap dan bahagian bendera yang lain sedia untuk dilepas dan dijulurkan ke bawah.

“Biar aku turun ke tingkat lima. Kawan-kawan kita yang lain sedang menanti di sana untuk mengikat bahagian hujung bendera. Tunggu panggilan saya sebelum kamu lepaskan bendera itu,” kata Pak Jono lalu bergegas ke bawah.

Omar, Moussa dan Ali hanya mengangguk. Apabila Omar mendapat panggilan, ketiga-tiga mereka mengheret jalur gemilang ke hujung bangunan. Setelah mengikat pemberat di hujung bendera, sedikit demi sedikit jalur gemilang dijulurkan ke bawah. Tiupan angin mula mengibarkan bendera itu, menarik perhatian semua warga kota yang melihat dari sekitar Dataran Merdeka.

Yang berjalan kaki terhenti melangkah sementara yang berkereta pula memperlahankan kenderaan masing-masing untuk memerhati fenomena indah itu. Masing-masing kelihatan teruja menatap satu fenomena yang indah. Akhirnya, jalur gemilang berkibar dan beralun menyelimuti sebahagian daripada bangunan itu.

“Lepas ini, kita berpisah!" ujar Omar yang lebih berbentuk perintah. "Kamu buatlah apa yang disuruh Pak Jono. Aku nak buat persiapan. Esok, kamu berdua datang ke tempat ini. Lakukan mengikut apa yang dirancang! Satu dunia teringin lihat otak John Martinez berkecai!”
Bersambung lagi, insya-ALLAH...

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP