Sunday, March 27, 2011

FRAGMEN 66: DETIK DEBAR


Photo credit: vidrec.com

DARIPADA pentas utama, setelah menyaksikan seorang pesakit diusung ke dalam helikopter, kini sekali lagi tumpuan para VIP teralih ke arah sesuatu yang di luar acara. Mereka berbisik sesama sendiri tatkala menyaksikan sesuatu yang dramatik dan sinematik. Di sebelah kiri pentas, 10 buah kereta kebal Angkatan Tentera Malaysia terhenti pergerakannya kerana di sebelah kanan pentas, ribuan pengikut-pengikut SAKA kini menghalang laluannya.

Di tengah-tengah, di antara kereta-kereta kebal dan pengikut-pengikut SAKA itu, berdiri Komisioner Polis, Datuk Farush Khan Akbar Khan, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam dengan Bakar Buang, Presiden Sekretarian Anti-Keganasan Amerika atau SAKA. Kedua-dua mereka kini menjadi tumpuan perhatian mereka di pentas utama.

Seorang bertubuh tegap, lengkap dengan uniform PDRM berwarna biru gelap. Seorang lagi berpakaian warna biru, putih, merah dan kuning, bertemakan Jalur Gemilang. Wajahnya juga dilitupi dengan bendera. Kedua-duanya kelihatan sedang bertekak dengan tangan masing-masing terkibar-kibar ke udara.

Beberapa orang pengawal peribadi dan anggota polis berpakaian preman mula merapati pentas utama sebagai langkah proaktif seandainya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Mereka yang berkawal berhampiran dengan tetamu kehormat pula kelihatan melingas kerana bersiap siaga.
Bersebelahan pentas utama, David Doron menyelak hujung baju di pergelangan tangannya. Menekur melihat jam. 9.55 pagi. Ya. Lima minit lagi. Lima minit lagi segala-galanya akan berakhir.

“David…” kedengaran suara Alvaro daripada fonsel tanpa wayarnya.
“Hmm…” jawab David, ringkas.
“Aku sudah bersedia. Beri isyarat bila tiba masanya!”
“Hmm…”

Pandangan David teralih ke arah lantai di mana John Martinez berdiri. Kelihatan John melangkah setapak daripada tempatnya berdiri untuk memerhati adegan di hadapannya. Dia kelihatan bercakap-cakap dengan PM.

David Doron mendengus. Dia mesti membawa John untuk berundur kembali ke tempat asal dia berdiri. Jika tidak, tembakan akan tersasar. Lantas dia membetulkan kacamatanya lalu melangkah menghampiri Tuan Presiden.

“John…” kata David seraya menarik bahu John Martinez. “Tuan mesti berlindung sedikit daripada terlalu terdedah.’
Pautan David memaksa John Martinez terundur selangkah. David menjeling seimbas ke tapak yang sepatutnya John berdiri. Setelah dia berpuashati, baharulah bahu John dilepasnya.

SEDIKIT demi sedikit, Fariz membuka pintu ke bumbung bangunan. Cahaya mentari pagi menyimbah tubuhnya. Angin deras menyapu tubuhnya. Sambil mengepilkan dirinya ke tembok dia menyusur perlahan. Matanya melingas memantau kawasan sekitar. Apabila tidak nampak apa-apa, Fariz melangkah keluar.

Dengan berhati-hati, Fariz melangkah ke kanan. Sekali lagi pandangannya meluru ke merata sudut kawasan bumbung banguanan seluas sebuah padang bola ini. Kemudian, dia melangkah ke arah kawasan yang menmghadap ke Dataran Merdeka. Bila menghampiri, bunyi riuh rendah orang ramai sayup-sayup kedengaran. Tetapi, apa yang dicarinya tiada di situ.

‘Mana orang yang aku nampak tadi?’ Fariz bertanya dirinya seraya memerhati ke sekeliling jawasan.
‘Apakah ada orang atau perasaan aku semata-mata?’
Perasaan was-was mula mengusik pertimbangan hatinya.
‘Aku pasti, aku Nampak seseorang di sini…’ tingkah fikirannya pula.

‘A’uzubillahiminasyaitanirrajim…’ Fariz bertaawuz untuk menghindar perasaan was-was bisikan iblis. Dalam keadaan sebegini dia tidak boleh melayani perasaan itu. Silap pertimbangan, buruk padahnya.
Dia melangkah lagi penuh hati-hati. Menghampiri kawasan yang penuh dengan tali temali. Setibanya di situ, Fariz menjenguk ke bawah. Tiada sesiapa di situ. Yang kelihatan hanyalah Jalur Gelilamg yang terjulur ke bawah, menutupi sebahagian daripada bangunan ini.

Suara orang ramai dari Dataran Merdeka semakin jelas kedengaran. Fariz sempat memandang ke arah pentas utama. Melihat orang ramai berpakaian berwarna-warni. Melihat kereta-kereta kebal yang nampaknya tidak bergerak. Namun, dari jarak yang jauh itu, Fariz tidak sedar drama yang terjadi di situ.

Dia menunduk. Darahnya berderau ke dada bila terpandang buntut rifal yang terjojol di sebalik plastik hitam berhampiran dengan tempatnya berdiri. Fariz membongkok dan cuba menyingkap plastik itu..

Tiba-tiba…
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, March 20, 2011

FRAGMEN 65: DETIK DEBAR


Photo credit: chrissrau.wordpress

FARIZ
menoleh. Apa yang ingin dielak, itulah yang dia temui. Seorang pengawal keselamatan berdiri mencekak pinggang.
“Kamu nak ke mana?” soal pengawal itu seraya melangkah menghampiri.
“Saya nak tumpang ke tandas, bang…” jawab Fariz sambil mengusap-usap perutnya. Bibirnya dikerinyut, kononnya menahan sakit.

“Tak boleh. Keluar kamu. Ini kawasan larangan!” kata pengawal itu dengan lantang.
“Sekejap, aje,” jawab Fariz seraya berpaling lalu menonong melangkah.
“Woi!”
‘Sekejap aje,’ kata Fariz lagi di dalam hatinya.

Fariz terasa bahunya dipaut. Inilah yang dinantinya. Pergelangan tangan pengawal itu direntap. Fariz membongkokkan tubuhnya. Pergerakannya menghasilkan momentum. Lalu pengawal itu melayang dan terhenyak ke tembok. Berdebuk bunyinya. Fariz tidak menunggu lagi. Dua jarinya terus menunjal ke titik tekanan leher pengawal itu. Mematikan nadi di situ hingga pengawal itu tidak bergerak lagi buat seketika.

“Sori. Sepuluh minit aje,” kata Fariz perlahan memohon maaf di atas kekasarannya.
Fariz memasang penutup muka untuk melindungi identitinya sambil berlari ke lif. Ketika melintasi bilik kawalan, dia ternampak seorang lagi pengawal yang duduk membelakangkan pintu sedang asyik menonton TV liputan Hari Merdeka.

RAMAINYA pengikut-pengikut SAKA memang tidak dijangka. Bakar Buang semakin galak menapak sambil menjulang genggaman tangan ke udara seraya melaungkan sorakan. Pemandu-pemandu arah SAKA terus membawa pengikut-pengikut SAKA menuju ke Dataran Merdeka. Bagai bala tentera, mereka bergerak beriringan. Ramainya jumlah mereka menjadikan keadaan sudah tidak dapat dikawal.

Pada saat ini, 10 buah kereta kebal PT91-M yang dikenali dengan nama Pendekar daripada Kor Armor DiRaja sedang menghampiri pentas utama. Kereta kebal buatan Poland ini sudah diubahsuai mengikut spesifikasi Angkatan Tentera Malaysia. Ia dilengkapi meriam konstrukta 2A46MS 125mm buatan Slovakia dan mesin gan FN Mag 7.62 dan mesin gan FN Browning M2 HB .50 cal buatan Belgium.

Pergerakan kereta kebal itu tiba-tiba terhenti! Rupa-rupanya di hadapan, pengikut-pengikut SAKA sudahpun berduyun-duyun bergerak menghampiri pentas utama dari hala sebelah kanan pentas. Pengikut-pengikut SAKA masih berdegil untuk meneruskan agenda mereka iaitu untuk menghalau Presiden Amerika, John Martinez.

Jika mereka berjaya memaksa Presiden itu turun daripada pentas, SAKA percaya tindakan itu satu kejayaan simbolik menghalau Amerika daripada tanah air. Walhal, mereka tidak menyedari, ketua mereka sendiri sudah termakan pujukan dan menerima habuan daripada dalang Yahudi yang ingin melihat John Martinez jatuh.

“SAKA, Saka, Saka! Bara, bara, bara! Mara, mara, mara! Jahanam Amerika! Jahanam Amerika!”
“SAKA, Saka, Saka! Bara, bara, bara! Mara, mara, mara! Jahanam Amerika! Jahanam Amerika!”
“SAKA, Saka, Saka! Bara, bara, bara! Mara, mara, mara! Jahanam Amerika! Jahanam Amerika!”
“Assalamualaikum, Bakar…”

Laungan Bakar Buang terhenti, langkahnya mati apabila tiba-tiba, Datuk Farush Khan sudah berdiri di hadapannya. Nyaris dia berlaga hidung dengan Ketua Komisioner Polis itu. Dia tidak sedar bilakah masa pegawai tertinggi polis itu muncul dicelah-celah orang ramai.
“Waalaikumsalam,” jawab Bakar dengan wajah terkejut.

“Aku nak tanya... engkau nak pergi mana?” soal Datuk Farush Khan, tegas.
“Saya hendak turut sama memeriahkan Hari Merdeka,” jawab Bakar Buang dengan lantang.

“Memeriah Hari Merdeka atau mencemarkan Hari Merdeka kita?” sanggah Datuk Farush Khan.
“Memeriah Hari Merdeka yang kini telah tercemar!” patah Bakar.

“Tindakan kamu memalukan negara kita di mata dunia!” nasihat Datuk Farush Khan.
“Tindakan Malaysia menjemput penyangak Amerika juga memalukan negara kita di mata dunia!” jawab Bakar.

Apa yang dihujah oleh Datuk Farush Khan sengaja dikilas Bakar Buang. Mereka bertekak di situ, di hadapan ribuan orang ramai yang memerhati. Malah, jutaan manusia lain daripada seluruh dunia apabila sambutan Hari Merdeka Malaysia pada tahun ini mendapat liputan dunia berikutan dengan kehadiran Presiden Amerika, John Martinez.

Bersambung di Ahad hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, March 12, 2011

FRAGMEN 64: DETIK DEBAR


Photo credit: rotaryaction.com

FARIZ tidak perlu menunggu lama. Panggilannya ke Dewan Operasi BISIK meminta bantuan helikopter untuk menerbangkannya ke bumbung bangunan Dewan Usahawan Malaysia telah mendapat respons semerta. Pihak keselamatan penganjur Hari Merdeka terus menghubungi TUDM untuk membantu.

Fariz akan diterbangkan ke bangunan itu. Tetapi, oleh kerana kehadiran helikopter itu akan mengundang pelbagai persoalan khalayak ramai, ejen-ejen BISIK sudah sedia membantu dengan cara penyamaran yang simple.

Fonsel Fariz bergetar.
“Ya!” jawabnya.
“Kami akan mendarat. Bersedia untuk berlepas,” kedengaran suara pilot helikopter memberi arahan kepada Fariz.
“Siap!” jawab Fariz yang kini terbaring di sebuah pengusung, seolah-olah seorang pesakit yang perlukan bantuan kecemasan.

Dua orang anggota BISIK yang menyamar sebagai petugas Persatuan Bulan Sabit Merah yang beruniform putih sudah sedia mengusung Fariz. Beberapa orang para petugas yang mengendalikan tarian dan gimrama kelihatan ke hulu ke hilir meminta berpuluh-puluh pelajar yang menyertai pertunjukan agar beranjak ke tepi padang bagi memberi ruang pendaratan pesawat.

Kemunculan helikopter yang berlegar-legar di udara mencuri kembali tumpuan orang ramai. Masing-masing memerhati burung besi itu dengan kagum. Ada yang menunjuk-nunjuk ke arah helikopter seraya bercakap dengan teman-teman berhampiran. Agaknya mereka tertanya-tanya apakah jenis pertunjukan yang bakal dipertontonkan pada pagi ini. Sedikit pun mereka tidak menyangka kehadiran helikopter itu adalah untuk menjalankan satu operasi tergempar.

Kipas helikopter yang semakin merendah itu mengibarkan kostum para pelajar yang berambu-rambu dan beranika warna. Mereka tidak panik, sebaliknya begitu gembira bila tubuh mereka ditiup angin. Beberapa orang pelajar perempuan tertawa terkekeh-kekeh kerana begitu seronok melawan angin yang menyerbu ke tubuh mereka.

Sebaik sahaja helikopter itu mendarat, dua orang anggota BISIK yang beruniform Persatuan Bulan Sabit Merah segera mengusung Fariz.

“Apa yang sedang berlaku?” tanya John Martinez kepada PM yang sudah pun melangkah ke hujung pentas kerana cuba melihat dengan lebih dekat. Dari jarak kira-kira 80 meter, mereka, seperti lain-lain dif-dif kehormat turut tertanya-tanya akan apa yang berlaku kerana tidak dapat melihat dengan jelas.
“Mungkin kecederaan serius peserta. Helikopter terpaksa dipanggil untuk membuat penerbangan ihsan,” jawab PM tenang apabila melihat Fariz diusung ke arah helikopter.

Sebaik sahaja Fariz memasuki pesawat, helikopter itu terus terambang-ambang sebelum menaik tinggi ke udara. Sekali lagi, para penonton bertepuk tangan kerana kagum dengan kecekapan para petugas. PM dan John Martinez serta semua para tetamu turut memberi tepukan yang bergemuruh. Pandangan masing-masing mengekori penerbangan pesawat itu hingga menjauh.

DI BAWAH pentas, Alvaro menyumpah seranah. Apabila John Martinez melangkah ke penjuru pentas, kedudukan lubang pistol sudah agak jauh. Kalau lelaki itu beralih tempat berdiri, segala rancangannya akan punah. Tetapi, Alvaro mengeluh lega apabila John berundur kembali ke tempat asal dia berdiri. Namun, Alvaro tidak mahu mengambil risiko lagi. Dengan berhati-hati Alvaro menebuk sebuah lagi lubang kecil kira-kira satu meter dari lubang asal.

Kini, terdapat dua lubang kecil. Satu di kiri, dan satu lagi di kanan tempat John Martinez berdiri. Kalau John bergerak ke kiri, Alvaro akan menggunakan lubang di sebelah kanan. Jika John melangkah ke kanan, dia akan menggunakan lubang di sebelah kiri. Maknanya, John Martinez tak boleh lari ke mana pun. Dan, tugas Alvaro akan beres pada pagi ini dengan jayanya.

“SAKA, Saka, Saka! Bara, bara, bara! Mara, mara, mara! Jahanam Amerika! Jahanam Amerika! Jahanam Amerika!”
Begitu padu dan bergemuruh suara pengikut-pengikut SAKA bertempik dengan sorakan keramat mereka. Jumlah mereka yang kini menjadi ribuan membuatkan pasukan polis berhati-hati bertindak. Suasana Hari Merdeka itulah yang menyukarkan mereka.

Walaupun kelompok utama telah disekat oleh pasukan FRU, ratusan lagi pengikut-pengikut SAKA muncul dari celah-celah lorong yang menghala ke Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju ke Dataran Merdeka. Oleh kerana sebahagian besar wargakota turut mengenakan pakaian bertemakan Jalur Gemilang, sukar pihak polis menahan mereka yang disyaki pengikut-pengikut SAKA.

Semburan air dan gas pemedih mata tidak dapat langsung digunakan. Dengan suasana menyambut Hari Merdeka, ketegasan pihak polis mudah sahaja diputarbelit oleh pihak media bagi menimbulkan sensasi. Akhirnya pihak polis terpaksa melonggarkan sedikit sekatan agar keadaan tidak kelam kabut.

“Saka, Saka, Saka! Bara, bara, bara! Mara, mara, mara! Jahanam Amerika! Jahanam Amerika! Jahanam Amerika!” jerit Bakar Buang yang berada di barisan hadapan demonstrasi diikuti oleh yang lain. Mereka melangkah sederap kaki penuh bersemangat dengan nyanyian dan sorakan.

HELIKOPTER yang membawa Fariz terpaksa berpirau jauh agar tidak menimbulkan kecurigaan orang ramai, lebih-lebih lagi daripada pengetahuan Ali yang berada di bumbung Dewan Usahawan Malaysia. Apabila ia melewati di sebalik pohon-pohon berhampiran dengan kawasan belakang bangunan itu, Fariz segera menuruni tangga tali.

Helikopter itu memperlahankan penerbangan, memberi kesempatan kepada Fariz untuk melakukan landing dari ketinggian 8 meter. Sebagai seorang ahli pakour Fariz dapat melakukan terjunan dengan mudah. Lututnya dibengkokkan sebaik sahaja dia mencecah bumi untuk menyerap impak penerjunan sebelum dia berguling beberapa kali.

Kemudian dia berlari dan memasuki bangunan melalui pintu sisi. Di lobi, dengan pantas Fariz bergerak daripada satu tiang kepada satu tiang. Dia perlu berhati-hati agar tidak menarik perhatian pengawal keselamatan. Tidak mahu bersoal jawab dengan mereka. Dalam keadaan yang genting sebegitu, soal jawab dan penerangan tentang siapakah dia dan apa tujuannya ke situ hanya membuang masa. Tetapi...

“Helo!”
Kedengaran suara parau dan menggaung memanggilnya.
Langkah Fariz terhenti.

Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, March 6, 2011

FRAGMEN 63: DETIK DEBAR


Photo credit: ibnismail.wordpress.com

ALI
tersenyum sendirian bila sedar helikopter-helikopter yang melintasi kepalanya tadi hanya membuat lintas hormat sebagai salah satu acara Hari Merdeka. Dengan segera dia merangkak keluar daripada rusuk simen seraya memerhati helikopter-helikopter yang kian menjauh.

Dia membuka kembali plastik hitam yang menutupi Al-Hada’ 338nya. Rifelnya dilurut-lurut. Seolah-olah menumpahkan kasihnya kepada senjata itu. Pandangannnya kini mencerun ke kawasan Pentas Utama di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Kelihatan perbarisan lintas hormat masih berjalan.

“Ali… kamu dah siap?” kedengaran suara Moussa.
“Insya-ALLAH!” jawab Ali sambil menekan punat mendengar handsfree agar kejap ke telinganya. “Kau ke mana? Kenapa tiba-tiba senyap?”
“Tak ke mana. Ada sedikit gangguan tadi…” jawab Moussa tanpa menceritakan apa yang terjadi kepadanya.

Sebentar tadi, dia sempat memboloskan dirinya daripada tindihan Palie. Wartawan muda yang gempal itu dapat ditolaknya ke samping ketika pihak polis menghampiri.
“Kelajuan angin masih sama iaitu 0.7 knot. Teruskan rancangan!” kata Moussa.
“Hmm,” jawab Ali.

Dia menghela nafas dengan tenang. Bagi penembak tepat, pernafasan yang teratur amat penting. Target boleh tersasar seandainya seseorang itu menembak dalam keadaan beremosi. Perlahan-lahan, Ali melekapkan matanya ke teropong rifelnya. Jejari telunjuknya perlahan-lahan melekap ke picunya.

Melalui teropong, Ali nampak John Martinez sedang tersengih-sengih seraya melambaikan tangannya ke arah kontingen perbarisan yang melintasi Pentas Utama.

TANPA disedari John Martinez, muncung sepucuk pistol kelihatan terjulur dari lantai berkarpet merah hampir dengan tempatnya berdiri. Daripada bawah pentas, Alvaro memandang John Martinez sedang melambai-lambaikan tangannya kepada kontinjen perarakan dengan senyuman.

Muncung pistol Alvaro hanya kira-kira setengah meter daripada kaki John. Pistol yang akan menamatkan riwayat John Martinez itu juga mempunyai periskop kecil yang membolehkan Alvaro melihat sasaran daripada bawah pentas. Pandangan Alvaro kini menjalar ke arah kasut John.

‘Sayang sekali kalau darah kau terpercik ke kasutmu yang berkilat,’ kata Alvaro sambil memandang kasut jenama Cole Haan yang dipakai John Martinez.

TUAN PRESIDEN benar-benar tidak mengetahui nyawanya kini terancam. Dua orang pembunuh sedang membidik senjata masing-masing untuk menamatkan riwayatnya. Seorang penembak sedang menyasarkan senjatanya kira-kira satu kilometer dari atas sebuah bangunan. Seorang lagi sedang menghalakan senjata automatiknya dari lantai tempatnya berdiri.

Ali adalah anggota Gerakan Lashkar Jihad, sebuah pertubuhan yang anti-Amerika. Sementara Alvaro pula adalah pembunuh upahan yang ditugaskan oleh The Group, sebuah kumpulan pelobi yang berpusat di Amerika.

Gerakan Lashkar Jihad mahu John tidak bernyawa agar dunia sedar akan kesombongan Amerika menyokong rejim Zionis di Israel. The Group pula ingin John maut kerana mengancam sistem ekonomi riba yang selama ini mencengkam ekonomi dunia. Ironinya, kedua-dua penembak tepat yang mahu membunuh John Martinez tidak mengetahui akan kehadiran masing-masing.

Siapakah yang terlebih dahulu menembak John Martinez tidak penting. Yang penting ialah apabila Presiden Amerika itu tumbang menyembah bumi. Ali dan Alvaro akan sama-sama gembira apabila John Martinez terbunuh. Namun, masing-masing tidak akan tahu apakah peluru mereka yang menamatkan riwayat pemimpin dunia itu.

HELIKOPTER-HELIKOPTER TUDM yang meluncur semakin menjauh menuju ke Lapangan Terbang Sungai Besi, kini kelihatan begitu halus seolah-olah bintik-bintik di langit. Orang ramai di Dataran Merdeka mula menumpukan perhatian kembali ke perbarisan. Sebentar lagi acara tarian dan jimrama oleh pelajar-pelajar sekolah menengah Kuala Lumpur akan berlangsung di Padang Kelab Selangor.

Mereka semua tidak menyedari, salah sebuah helikopter, iaitu yang membawa bendera Jalur Gemilang telah berpaling arah dan terbang kembali ke Dataran Merdeka. Ia berpatah balik kerana mendapat arahan untuk melakukan satu tugasan semerta dan tergempar di luar jangka!

Bersambung pada minggu hadapan, insya-ALLAH...

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP