Sunday, July 24, 2011

FRAGMEN 1: GERAK GEMPAR





Photo credit: rusnah.files.wordpress

Dataran Masjid Nabawi, Madinah

HAMPIR
jam 12.00 malam waktu Madinah. Malam Jumaat. Dataran Masjid Nabawi masih terang benderang. Cahaya lampu-lampunya yang terpasang di tiang-tiang di sekitar dataran ini menerangi ke segenap sudut. Simbahan cahayanya akan terpancar hingga ke siang esok.

Meskipun sudah hampir ke tengah malam, para jemaah yang mengunjungi masjid ini masih ramai. Pada satu-satu ketika, beratus-ratus manusia dari merata pelosok dunia kelihatan di dataran menuju atau meninggalkan masjid ini.

Yang sedang melangkah pulang, menapak dengan perlahan menuju ke hotel akibat keletihan setelah melaksanakan ibadah. Yang bergegas menuju ke masjid pula kelihatan teruja. Mungkin masing-masing ingin mencari peluang untuk bersolat di Raudhah, yang disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w laksana taman syurga di masjid ini.

JAUH di hujung dataran, Fariz duduk bersandar di salah sebuah tiang di dataran ini. Sambil memerhati suasana sekeliling, dia memamah sebutir kurma yang dibawa bersamanya. Suhu di waktu ini sudah menurun hingga ke 29 darjah selsius. Tiba-tiba angin berpuput kencang menyapu wajahnya. Fariz lekas-lekas menyibak kain selendang menutupi lehernya. Sesekali tubuhnya menggigil. Sejuknya angin persis berdiri di depan alat penyaman udara yang berhembus kuat. Lantas dia beralih di balik tiang untuk mengelak tubuhnya disapu angin.

Kelihatan empat orang kanak-kanak sedang bermain bola. Suara mereka yang terjerit-jerit hilang dibawa angin dingin yang bertiup kencang. Sepasang ibu bapa muda kelihatan sedang bersiar-siar di dataran ini. Secara tidak sengaja, bola yang ditendang kanak-kanak itu singgah ke jubah si suami. Dengan tersenyum, si suami menggelecek bola di depan kanak-kanak yang tertendang bola ke arahnya hingga yang lain tertawa mengekek. Si isteri pula turut tersengih sambil berjalan perlahan menolak kereta sorong. Di dalam kereta itu, seorang bayi sedang nyenyak tidur. Tidak peduli dengan kebisingan di sekitarnya.

Fariz turut tersenyum melihat insiden itu. Sesekali dia tertoleh-toleh ke hala masjid. Cuba memerhati dan mengecam kalau-kalau neneknya sudah keluar daripada masjid. Apabila sebahagian besar para jemaah menyarung jubah dan telekung putih, mereka kesemuanya kelihatan sama. Hanya cara berjalan yang boleh dicam. Fariz mengeluh perlahan kerana kelibat Nek Tijah masih belum kelihatan lagi. Dia bimbang kalau-kalau Nek Tijah tersesat atau mendapat halangan. Sebentar tadi, Nek Tijah mengikuti dengan para jemaah wanita daripada kumpulan umrah mereka.

“Lepas solat, saya tunggu di tempat yang sama, ya nek? Hati-hati, tau?” Fariz teringat pesanannya kepada Nek Tijah sebentar tadi ketika mereka ingin berpisah. Jemaah lelaki memasuki melalui pintu King Fahd di sebelah kiri sementara jemaah perempuan pula memasuki mengikut pintu An-Nisa di sebelah kanan. Wanita tua itu hanya mengangguk. Dia hanya melontarkan sekilas pandang ke arah Fariz sedangkan mulutnya terkumat-kamit berzikir. Fariz berasa tidak puas hati. Dia bimbang kalau-kalau Nek Tijah tidak perasan akan ingatannya.

“Nek...” ujar Fariz seraya menyentuh lengan Nek Tijah.
“Iyalah... iyalah, Paris. Nek tau,” jawab Nek Tijah dengan wajah yang mencuka. Membuatkan Fariz lantas menarik tangannya dari lengan Nek Tijah. Mungkin orang tua itu kecil hati kerana seolah-olah tidak tahu menjaga dirinya.

Mulutnya berkerinyut kesal apabila Fariz teringat apa yang dilakukan terhadap neneknya. Sungguh. Dia tidak mahu melukakan hati satu-satunya wanita yang paling disayangi ini. Lebih-lebih lagi di tanah suci Madinah, tempat mereka melakukan ibadah umrah bersama. Kalau neneknya terus berkecil hati kerana kebimbangannya, Fariz risau kalau itu akan mengganggu tumpuan neneknya melakukan ibadahnya pada malam ini. Seharusnya dia tidak perlu lagi mengingatkan Nek Tijah.

Wanita berusia itu sudah lima kali melakukan ibadah umrah dan sudah dua kali menunaikan haji. Sepatutnya Farizlah yang harus berhati-hati kerana ini adalah kali pertama dia menjejakkan kakinya di bumi penuh barakah ini.

BUNYI enjin sebuah kenderaan mengganggu lamunannya. Fariz tertoleh ke sisi. Melihat sebuah lori kecil yang membawa tong-tong air zam-zam berhenti tidak jauh daripadanya. Lori itu membawa dua gerabak kecil. Tiap satu boleh mengisi sepuluh buah tong. Air zam-zam yang disediakan di banyak tempat di dalam masjid ini perlu ditambah pada setiap masa kerana para jemaah tidak putus-putus datang mengerjakan ibadah.

Sebentar tadi, Fariz perasan lori ini dipandu ke hulu ke hilir di dataran ini membawa tong-tong air zam-zam. Pasti petugas yang membawa air zam-zam ini kerja tiada henti. Dan, pahala baginya tentu tidak putus-putus juga. Mengalir seperti air zam-zam di telaganya.

“Assalamualaikum...” tegur satu suara.
“Waalaikumsalam,” Fariz menjawab seraya menoleh lalu tersenyum.
Si pemandu lori mengangkut air zam-zam melangkah menghampirinya. Sejurus dia bersalam dengan Fariz.
“Izinkan saya bersolat di sini, ya?” kata lelaki itu seraya terus berdiri dan mengangkat takbir tanpa menanti jawapan Fariz. Seolah-olah ayatnya tadi bukannya meminta izin, bahkan hanya memberitahu yang dia ingin bersolat di sini.

“Hmm...” Fariz bergumam.
Lalu Fariz berensot kembali ke ruang yang menghadap ke masjid. Di sebalik tiang ini, angin deras menyapu kembali wajah dan tubuhnya. Kali ini, Fariz menggigil kesejukan. Kedua-dua tapak tangannya digosok laju-laju untuk memanaskan lalu diraup ke wajahnya.

Seketika kemudian, Fariz menyorotkan lagi pandangannya ke arah para jemaah wanita yang berjalan ke arahnya. Namun, kelibat Nek Tijah tiada lagi kelihatan. Ke mana pula wanita itu? Rasa bimbang mula menyelinap di sanubarinya.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP