Sunday, August 7, 2011

FRAGMEN 3: GERAK GEMPAR




Photo credit: somalia-pirates.com



Dataran Masjid Nabawi, Madinah



TIUPAN angin masih tiada hentinya. Dinginnya seperti air batu. Tetapi Fariz tidak boleh berengsot ke bahagian belakang tiang untuk mengelak tiupan angin yang menggigit hingga ke tulang hitamnya. Pemandu lori membawa tong air zam-zam sedang bersolat di situ. Mahu sahaja Fariz beranjak dari tiang ini untuk ke mana-mana tiang yang banyak di dataran ini. Tetapi dia bimbang Nek Tijah pula tidak akan menemuinya kalau dia beralih ke tiang lain. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menahan kesejukan sementara menunggu lelaki itu selesai solat.





“Anak ini dari Malaysia?”

Fariz segera menoleh. Memandang si pemandu lori air zam-zam sedang melipat sejadah seraya tersenyum kepadanya. Fariz membalas senyuman itu.

‘Eh, pakcik ni cakap Melayu. Rupa macam orang Melayu… orang Indon, kot?’ kata hatinya.

Lantas dia berengsot kembali ke sebalik tiang untuk menghadap lelaki itu. Direnungnya lelaki yang bertubuh kecil itu. Memang lelaki di hadapannya ini keturunan Melayu. Oleh kerana dia memakai kain yang menudungi kupiahnya, Fariz tidak perasan bangsa lelaki itu ketika dia muncul untuk bersolat tadi.



“Saya dari Indonesia…” kata lelaki itu seraya menghulurkan tangannya.

“Eh? Oh, maaf pakcik!” jawab Fariz lantas berdiri untuk menyambut salaman lelaki itu. Termalu kerana dia lambat menunjukkan adab menghormati orang tua. Seharusnya dialah yang bangun dan menghulurkan salam terlebih dahulu.

“Nama saya Fariz. Ya, saya dari Malaysia…”
“Nama saya Sudirman. Panggil Pak Man saja,” kata lelaki itu. “Saya berasal dari Bayan, Indonesia.”
“Bayan tu, di mana pakcik?” tanya Fariz ingin tahu.

“Di Pulau Lombok. Emangnya datuk nenek saya di antara mereka yang membawa Islam ke sana pada kurun ke-17. Mereka juga membina masjid yang paling tua di pulau itu; Masjid Bayan Beleq. Masjid itu sudah tidak digunakan lagi kecuali apabila datang Ramadan,” jelas Sudirman tanpa ditanya.

“Sudah lama pakcik bekerja di sini?”
“Sudah lebih lima tahun.”

Mereka rancak berbual seperti kenalan lama. Mungkin kerana serumpun, mereka mudah mesra walaupun baru mengenali di antara satu sama lain. Sudirman juga bertanya Fariz, dengan siapa dia datang untuk menunaikan umrah. Dan, Fariz tidak ketinggalan bertanya kepada orang tua separuh usia itu mengenai tugas sebagai pembawa air zam-zam di masjid yang mulia itu.

Lautan India, Perairan Somalia

SUASANA sudah tegang. Bot-bot lanun Somalia kian menghampiri. Anak-anak kapal dipinta segera mencari pelindungan. Sebahagian besar daripada mereka sudah bergerak ke bahagian kabin. Masing-masing berdoa tiada serangan akan terjadi. Satu percikan kecil api boleh mengakibatkan sebuah letupan besar yang membakar kapal yang membawa minyak itu.

Kapten kapal sudahpun ke bilik operasi untuk mendapatkan bantuan. Walaupun dinasihatkan melindungi diri, namun Tan Sri Rauf masih tidak berganjak. Sebaliknya dia menggunakan teropong untuk memantau lanun-lanun Somalia yang berada di bot masing-masing. Tidak puas hati jika dia bertindak pasif dengan bersembunyi. Sesungguhnya, dia seorang tokoh korporat yang bukan sahaja komited dengan tugasnya, malah dia juga seorang insan yang berani.

Satu dentuman kuat kedengaran. Menggegar kapal. Tan Sri Rauf lekas-lekas meniarap di atas dek. Dia menoleh dan terpandang lubang kecil di dinding state room atau bilik tamu tempat dia menginap.

‘Letupan dari pelancar roket!’ katanya di dalam hati.

Belum pun sempat bangun, sebuah lagi letupan dari pelancar roket kedengaran berhampiran dengan tempat yang sama sebagai sasarannya. Memaksa dia tertiarap kembali. Dia mengerti, melalui tontonan video dan pembacaannya mengenai serangan lanun Somalia, Tan Sri Rauf dapat menjangka modus operandi lanun-lanun itu.

Mereka akan melepaskan tembakan menggunakan pelancar roket sebelum mendekati dan menyerang sesebuah kapal yang dijadikan sasaran. Bila-bila masa, lanun-lanun itu akan menaiki kapal untuk menawannya. Tan Sri Rauf memandang kembali ke arah bot-bot lanun itu. Tidak kelihatan sebuah bot pun yang menghampiri. Sebaliknya bot-bot itu kelihatan seperti berlabuh di hadapan anjungan kapal hanya untuk menyekat laluan kapal penapis minyak Petromal ini.

“Tan Sri! Tengok tu!” kedengaran suara kapten kapal.

Tan Sri Rauf tidak sedar sejak bila kapten kapal sudah menghampirinya. Matanya menyusur ke hujung telunjuk kapten yang terarah ke langit. Dia nampak lampu kecil berwarna merah yang berkelip-kelip.

“Heli TLDM!” kata kapten. “Saya dah kontak kapal KD Gempur. Mereka memang ada di perairan ini! Mereka datang untuk membantu!”

“Alhamdulilah! Agaknya, sebab itulah lanun-lanun itu tidak menyerang! Mereka takut dengan TLDM yang nak bantu kita,” ujar Tan Sri Rauf seraya tersenyum.
Kapten kapal turut tersengih lalu terangguk lega.

SEKETIKA sahaja lampu kecil yang berkelip-kelip itu kian menghampiri. Muncullah sebuah helikopter yang mengibarkan pakaian mereka. Kapten kapal terpaksa memegang topinya kerana tidak mahu ia melayang ke laut.

“Kapten! Itu… itu bukan kapal Super Lynx TLDM!” jerit Tan Sri Rauf seraya mengunjuk ke arah helikopter yang menghampiri. Suaranya hampir tenggelam dek deruan angin dan kuatnya bunyi kipas helikopter yang berputar.

“Apa?” soal kapten kapal kerana tidak dengar apa yang diucapkan Tan Sri Rauf.

Namun dia turut mendongak dan mengamati helikopter yang mengambang di atas kepalanya. Matanya mencerlang kerana bentuk helikopter itu bukan daripada jenis yang dimaksudkan Tan Sri Rauf.

“Good evening, gentlemen!” kedengaran suara daripada hailer yang digunakan oleh seseorang yang berdiri di pintu helikopter.

Kapten kapal dan Tan Sri Rauf kehairanan. Tidak tahu siapakah yang bersuara itu.

“I am the chief of the Somalian pirates! And, I am hijacking your ship!” kata suara itu lagi.
“Apa? Lanun pakai helikopter?” kata kapten kapal.
“Nampaknya, kita terpaksa menyerah buat sementara!” cadang Tan Sri Rauf.

“Tan Sri! Tengok!” gesa kapten kapal yang mengunjuk ke langit. Kelihatan dua buah helikopter Super Lynx kepunyaan TLDM menghampiri.
“PASKAL datang!” jawab Tan Sri Rauf. “Alhamdulilah! Kita akan selamat.”

PASKAL adalah Pasukan Khas Laut adalah pasukan komando TLDM. Sebagai orang yang gemar membaca, Tan Sri Rauf dapat menelah apa yang bakal terjadi.

“Drop your weapons! I repeat, drop your weapons or we will shoot!” kedengaran suara daripada hailer helikopter TLDM yang paling hampir.

Angin tiga buah helikopter yang begitu dekat dengan kapal membuatkan suasana di atas dek kapal seperti mengalami ribut taufan. Membuatkan kapten kapal dan Tan Sri Rauf tertunduk-tunduk mengelak tiupan angin kencang. Helikopter lanun kelihatan tidak berganjak. Malah, ia semakin menurun ke permukaan dek kapal.

“Move off or we will shoot! I repeat! We will shoot you!” pekik suara daripada helikopter TLDM memberi perintah agar helicopter lanun itu beredar atau menghadapi ancaman ditembak.

“Shoot us down! Shoot us down and this ship will burst into flames!” balas lanun yang masih berdiri di pintu helikopter.

Buat beberapa saat, ketiga-tiga helikopter itu masih terumbang-ambing di atas kapal tangki minyak itu. Tiba-tiba kedua-dua buah helikopter TLDM itu bergerak menjauhi helikopter lanun itu.

Melihat keadaan itu, lanun yang berdiri di pintu helikopternya terkinja-kinja lalu menari.
“Hahahahahaha…” dia melaungkan tawanya menerusi hailer. Suara tawanya cukup membingit dan menimbulkan rasa meluat Tan Sri Rauf dan kapten kapal.

Si kapten menggeleng kecewa melihat kedua-dua helicopter TLDM yang terbang semakin jauh.
"Mari kita ke bawah bersama anak-anak kapal, Tan Sri,” ujar kapten dengan suara lemah. “Kita kena tenangkan mereka sebelum lanun-lanun itu naik ke kapal ini.”

Tan Sri Rauf tersenyum tawar lalu mengekori kapten melangkah menuruni anak-anak tangga menuju ke kabin. Sejurus dia menoleh dan menyasarkan pandangannya. Tercari-cari kelibat helikopter TLDM dalam kelam malam.

‘Kau akan kembali. Aku tahu kau semua akan kembali…’ Tan Sri Rauf menaruh harapan.




* Nota penulis: berkarya dengan lagu The End: Epic Instrumental sebagai iringan.
http://www.youtube.com/watch?v=-9gY_V7-qec&feature=relmfu





Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

1 comments:

kudabesi September 7, 2011 9:02 AM  

memang lahanat lanun somali nih, banyak makan daun 'khat'

tu yg berani melampau tu

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP