FRAGMEN 4: GERAK GEMPAR
Photo credit: an.com
BISIK, Putrajaya
SELURUH Dewan Operasi Biro Risikan Negara yang dikenali sebagai BISIK gempar bila menerima pancaran satelit Majlis Keselamatan Negara. Imej kapal Lancang Kuning, sebuah kapal penapis minyak milik Petromal terpampang di skrin gergasi. Masing-masing berlari menghampiri skrin itu untuk menatap paparan yang lebih jelas. Imej yang besar memaparkan keadaan yang mencemaskan!
Kelihatan berbelas anggota lanun menaiki kapal daripada empat buah bot. Masing-masing mengacu senjata yang kelihatan seperti senjata rifel. Ada juga yang menghunus pisau. Mereka memekik mengarahkan kesemua anak kapal berhimpun di dek. Kelihatan juga anak-anak kapal yang ditolak dan dihalau berkumpulan bagai binatang ternakan.
Ketua lanun kelihatan turun daripada tangga tali yang dilepaskan daripada helikopter yang terapung-apung kira-kira enam meter daripada permukaan dek. Lelaki yang menggunakan hailer itu tampak mengarahkan kepada mereka yang ditawan.
Tan Sri Rauf yang berada di antara anak-anak kapal terus meluru ke arah lelaki itu. Dia kelihatan marah apabila bercakap sambil menuding jarinya. Tanpa apa-apa amaran, ketua lanun itu menendangnya. Tan Sri Rauf jatuh tersungkur dan ketua lanun terus menghunus pistolnya.
Kelihatan kapten kapal menarik tangan Tan Sri Rauf. Sejurus, dia pula yang berdiri melindungi Ketua Operasi Petromal itu sambil merayu kepada ketua lanun itu agar bertenang. Semua para petugas BISIK di Dewan Operasi itu terpaku menyaksikan drama yang terjadi beribu-ribu kilometer dari Malaysia itu.
Di bilik Ketua Pengarah BISIK, Tuan Aziz Tuan Ghani duduk tersandar dengan jejari bersilang. Memandang skrin TV yang menayangkan imej yang serupa. Meskipun wajahnya kelihatan tenang, fikirannya sedang berkecamuk. Pelbagai tafsiran, andaian dan tanggapan berlumba-lumba singgah di minda sedarnya.
Otaknya laju mencongak tindakan yang harus dilakukan. Pada bila-bila masa Majlis Keselamatan Negara akan memanggil mesyuarat tergempar bagi membincangkan apakah strategi yang harus diaplikasikan. Setiap ahli MKN terutamanya pihak tentera, polis dan Wisma Putera akan dipinta memberi cadangan operasi menyelamat. BISIK juga perlu memberi input.
Dan, Tuan Aziz sebagai bos BISIK sudah terbayang cadangan yang akan dikemukakan pada mesyuarat tergempar nanti. Namun, sebagai pegawai yang proaktif, Tuan Aziz sudahpun mempersiapkan anggota-anggota BISIK supaya memulakan kerangka dan sesawang operasi menyelamat meskipun mesyuarat Majlis Keselamatan Negara belum pun mendengar cadangannya.
Lantas dia menekan tetikus. Imej kapal penapis minyak Lancang Kuning terus menghilang. Yang terpapar kini adalah laman rasmi BISIK. Tuan Aziz segera mengklik butang yang tertulis ‘medan.’ Peta dunia pun terbentang. Imej negara Mesir diklik dan wajah seorang ejen BISIK di negara itu pun terpapar.
Hotel Hyatt Regency, Sharm El Sheikh
HOTEL yang terletak di kawasan seluas 35 hektar di kawasan pantai Laut Merah ini adalah destinasi popular untuk aktiviti sukan laut dan menyelam. Para pelancong yang ke mari lazimnya adalah dari kalangan ekspatriat. Selepas bermesyuarat, mereka bersantai di hotel ini untuk bermandi manda di laut terutamanya pada waktu petang.
Di bilik Sea View, seorang lelaki berusia 47 tahun terbaring memangku kepala sambil menonton TV. Seketika sahaja dia mengeluh kerana bosan. Kerana matanya semakin layu, dia terus menekan alat kawalan jauh lalu menutup TV. Selimut terus ditarik menutup seluruh tubuhnya kerana dia hendak menyambung tidur. Tiba-tiba matanya terkelip-kelip bila terasa getaran fonselnya. Tangannya teraba-raba ke dalam selimut. Mencari fonselnya yang entah di mana.
“Helo…” sapanya dengan suara yang parau sebaik sahaja fonsel itu dalam genggamannya.
“Jeff… Jeffri Zain…”
Suara itu membuatkan dia mengeluh perlahan. Dia kenal suara itu. Skrin fonselnya ditatap. Benar seperti agakannya. Dahinya berkerut apabila wajah Tuan Aziz ditatapnya.
“Bos…” gumamnya.
“Engkau, apa khabar?” tanya Tuan Aziz. Dengan ejen yang senior, Tuan Aziz hanya ber’aku’ dan ber’engkau’ sahaja.
“Baik aje, bos.”
“Kau buat apa kat Sharm-el-sheikh?”
“Releks aje. Goyang kaki. Makan gaji buta!”
Mulut Tuan Aziz terkerinyut mendengar jawapan sinis ejennya itu.
“Okey. Engkau dah banyak sangat berehat. Kali ini ada tugasan menarik…” ujar Tuan Aziz.
“Mana ada tugasan menarik, bos? Kalau setakat nak bawak rombongan dari Malaysia pegi shopping, macam selalu tu, pegawai kedutaan pun boleh buat, bos. Saya dah penatlah. Balik Malaysia, lagi bagus.” Jeffri membebel.
“Straight to the point. Dapatkan penerbangan paling cepat ke Somalia!”
“Somalia?” Mata Jeff terus mencerlang. “Nak buat apa? Nak suruh saya risik tentang perang saudara kat sana ke?”
“Bila sampai kat Somalia esok, aku akan beri maklumat seterusnya,” kata Tuan Aziz.
“Dekat sini, dah petang, bos. Tak sempat nak ke airport,” Jeffri memberi alasan seraya menguap panjang.
“Engkau jangan kelentonglah, Jeff. Airport Sharm-el-sheikh tu 10 minit aje perjalanan dari hotel tu. Aku dah pernah duduk kat sana.”
“Tak ada tugasan kat tempat lain ke, selain daripada Somalia? London ke… Paris ke…” Jeffri sengaja menyakitkan hati bosnya.
“Jangan banyak songeh, Jeff. Bila engkau tiba di airport, tiket ke Somalia dah aku tempah.”
Jeffri Zain tersengih-sengih sebaik sahaja menutup fonselnya. Dia sengaja menyakitkan hati Tuan Aziz untuk meluahkan rasa bosan berada di Mesir. Padahal dia tahu, kehidupan sebagai perisik bukannya sentiasa menarik seperti ejen perisik James Bond yang penuh aksi.
Sebagai ejen yang ditugaskan di zon timur tengah, tidak banyak aktiviti perisikan yang harus dilakukan melainkan sebagai pemberi maklumat mengenai aktiviti kumpulan-kumpulan jihad yang disyaki mempunyai rangkaian di Malaysia. Setelah berbulan terperap di negara Mesir, tugasan baru di Somalia tentunya akan mengubah pola kehidupannya yang penuh bosan itu.
“Somalia? Yes!” jeritnya tiba-tiba.
Selimutnya disingkap. Gebar itu terkibar dan melayang ke samping. Jeffri Zain melonjak bangun dan melompat ke lantai. Dia hinggap ke situ dalam kedudukan merangkak. Senaman pumping terus dilakukan bertubi-tubi. Seketika sahaja peluh merembes dan mengalir di tubuhnya meskipun pendingin udara di bilik ini masih menderu-deru meniupkan angin sejuk.
Sambil melakukan senaman sit-up pula, Jeffri Zain sempat tersenyum melihat susuk tubuh sasanya yang tidak berbaju. Menampakkan otot-otot pejal yang masih kelihatan berselirat dengan urat meskipun usianya hampir menjangkau ke separuh abad.
Getaran fonselnya menarik perhatian. Jeffri Zain berhenti bersenam. Fonselnya digapai. Wajah seorang lelaki kulit hitam yang bersongkok penuh berbunga-bunga terpapar di skrinnya. Nama lelaki itu dibacanya.
“Wehliye Amare… Saleem Amare... siapa mereka ni?”
Berkarya dengan inspirasi dari lagu Globus Europa, Instrumental version
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...


0 comments:
Post a Comment