Sunday, August 21, 2011

FRAGMEN 5: GERAK GEMPAR


Photo credit: photographersdirect.com


Weynee Restaurant, Baraawe, Somalia


BANDAR pelabuhan yang terletak di tenggara Somalia ini mempunyai pantainya yang cantik. Sayangnya, pantai yang indah ini nampaknya tidak terbela. Rumput rampai dan bangkai bot kelihatan di merata tempat di persisiran pantai ini. Menggambarkan pihak berkuasa tempatan tiada wang untuk mencantikkan pantainya untuk tujuan pelancongan. Apa yang hendak diperkatakan lagi pada sebuah negara yang miskin ini?

Jeffri Zain mendongak ke langit yang tiada berawan dari tingkap restoran yang menghadap ke laut ini. Namun ekor matanya masih mengawasi lelaki yang duduk di hadapannya. Lelaki kulit hitam yang berambut kusut masai, berjambang dan berwajah cengkung itu tampak gugup.

Nafas lelaki itu bagai tertahan-tahan. Dia merenung Jeffri yang berada di hadapannya. Tekaknya berasa haus akibat terkejut. Gelas di atas meja dipandangnya. Perlahan-lahan tangannya menggagau. Hendak mencapai gelas itu. Ingin meneguk air dari gelas itu hingga habis dengan sekali nafas.

‘Klik!’ bunyi picu pistol terpasang.

Lelaki itu menarik kembali tangannya. Jejarinya kini menutup mulutnya. Menyesal dengan tindakannya. Dia menelan liur. Perlahan-lahan matanya menjeling ke celah pahanya. Tidak dapat dibayangkan apa yang akan terjadi bila pistol Jeffri meledak dan meletup di kelengkangnya!

Pagi tadi, dia mendapat tahu ada seorang lelaki yang datang ke kampungnya kerana mencari saudara-mara Wehliye Amare. Khabarnya, lelaki itu datang membawa pesan dan wang dari Wehliye. Ketika itu, dia ke pekan.

Sebaik sahaja berita itu dikhabarkan oleh orang kampung kepadanya, dia bergegas ke restoran ini. Ingin sangat bertemu dengan orang yang membawa khabar mengenai Wehliye yang sudah berbulan tidak pulang. Risau hatinya bukan kepalang memikirkan untung nasib Wehliye. Mana tidaknya. Dia adalah ayah saudara Wehliye yang membela lelaki itu sejak kecil.

Dia tidak menyangka bertemu dengan lelaki yang gila ini. Sebaik sahaja dia duduk, Jeffri menempeleng pipinya. Belum sempat dia bertanya mengapa, Jeffri sudah mengacukan pistol ke kepalanya. Sungguh tidak masuk akal apa yang dihadapinya. Fikirnya, tentulah kedatangannya disambut dengan baik. Namun, dia berdepan dengan situasi yang mendebarkan.

“Saya… saya datang untuk dapat berita tentang Wehliye. Tapi… tapi… kenapa buat saya macam ni?” Lelaki itu bertutur perlahan. Hampir-hampir tidak terkeluar suaranya. Mujurlah restoran kecil ini tidak ramai pelanggannya. Jika tidak, suara lelaki itu tidak kedengaran.

Jeffri Zain menoleh. Menyasarkan pandangannya tepat ke wajah lelaki tua itu. Membuatkan lelaki itu tersentak dan tersandar kerana benar-benar takut. Persis melihat singa merenungnya.

“Di mana Wehliye?” soal Jeffri.

Mata lelaki itu terbelalak. “Tapi, saya dapat tahu, tuan ke kampung saya kerana hendak menyampaikan pesan daripada Wehliye kepada keluarganya. Sayalah, keluarganya. Saya bapa saudaranya. Kenapa tuan tanya saya pula di mana Wehliye?”

“Kau jawab sajalah soalan aku…” kata Jeffri seraya mengetap bibirnya.

Lelaki itu tersandar. Kalau boleh dia ingin menjauhkan dirinya daripada Jeffri. Takut sangat dengan cara Jeffri memandangnya. Semakin bingung dengan apa yang diingini oleh Jeffri.

“Di mana Wehliye?” jerkah Jeffri.

“Dia ke laut. Jadi nelayan!” jawab lelaki itu, spontan. Nampaknya lelaki itu tidak tahu, Wehliye sebenarnya menjadi lanun, bukannya nelayan. Jeffri pun tahu. Mana mungkin seorang anak hendak memberitahu kerjanya sebagai lanun kepada saudaranya?

“Kau tak bohong?”
“Tak. Betul.”
“Apa yang betul, apa yang tidak?”
“Tak. Aku tak bohong!”
“Kau tak bohong?”
“Ya…”
“Ya, kau bohong?”
“Tidak! Tidak! Aku berbohong! Ahh…”

Lelaki itu menghantukkan kepalanya ke meja. Berdentum bunyinya. Dia meratap dan bergumam entah apa-apa. Bahunya terhenjut-henjut. Melihatkan itu, Jeffri hendak tertawa. Mahu sahaja dia meledakkan suaranya kerana geli hati melihat lelaki di depannya ini sudah stres. Namun, dia mengulum senyumnya. Perlahan-lahan, Jeffri menyisip kembali pistol ke belakang pinggangnya.

“Hei… hei… pandang sini…” seru Jeffri dengan suara yang sehabis lembut.

Lelaki itu mendongak perlahan-lahan. Namun dia masih tidak berani bertentang mata dengan Jeffri. Takutnya persis tikus yang berdepan dengan sang singa.

“Aku percaya kata kamu…” kata Jeffri seraya menepuk lengan lelaki itu perlahan.

Mendengarkan itu, lelaki itu memandangnya. Dia meneguk liur kerana berasa lega. Ombak di dadanya kian teratur.

“Wehliye kata, dia akan pulang tak lama lagi…”
“Ya, ke?” Lelaki tua itu bertanya inginkan kepastian. Wajahnya kelihatan berseri riang.

“Hmm… Wehliye adalah kawan lama aku. Abangnya, Saleem pun berkawan dengan aku. Di mana Saleem sekarang?”

“Oh, Saleem sudah lama tak pulang ke kampung. Sejak dia serahkan bot nelayannya pada Wehliye, dia buka syarikat membawa jemaah haji dan umrah dari Somalia ke tanah suci. Dia ada beritahu saya yang dia sudah buka syarikat haji dan umrah di Mekah dan Madinah.”

Mata Jeffri mencerlang sedikit mendengar maklumat daripada orang tua itu. Inilah tujuan sebenar dia datang ke mari. Kisah Wehliye hanya helahnya untuk mencari maklumat mengenai Saleem. Dia tidak tahu pun mengenai Wehliye kecuali melalui maklumat yang sedikit yang BISIK sampaikan kepadanya.

Nama Wehliye, adik kepada Saleem digunakan untuk mengaburi hasrat sebenar. Tindakannya menggertak dan menggempar sudah cukup untuk menggugat pertimbangan lelaki itu hingga segala rahsia boleh terlahir dengan mudah. Soalan sekali lalu, dan maklumat yang sedikit tetapi penting mengenai Saleem sudah cukup baginya untuk bertindak.

Jeffri bangun seraya membetulkan bajunya. Poketnya diseluk dan dikeluarkan sekeping syiling lima euro. Wang itu disorongkan ke depan lelaki tua itu.

“Aku perlu berangkat sekarang. Terima kasih.”

“Nanti dulu! Bukankah awak ada bawa wang dari Wehliye?” Lelaki itu teringat pesanan yang dikhabarkan oleh orang kampung kepadanya sebelum dia bergegas ke restoran ini. “Wehliye biasa beri wang lebih banyak daripada ini,” kata lelaki itu kehairanan.

“Itu saja wang yang Wehliye berikan kepada saya…” jawab Jeffri seraya melangkah.

“Mana cukup belanja dengan wang sebanyak ini?” lelaki itu pula menjerkah. Membuatkan Jeffri berhenti melangkah. Kemudian dia menoleh dan merenung lelaki itu. Reaksi Jeffri itu membuatkan lelaki itu terundur. Perutnya kecut kembali.

“Kata Wehliye, wang itu cukup buat belanja minum kita!” jawab Jeffri seraya mengulum senyuman.

Dengan kata-kata itu, Jeffri melangkah meninggalkan lelaki yang terpinga-pinga itu.


Nota penulis: Berkarya dengan lagu Beat #6: Game Over
Bersambung lagi minggu hadapan, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP