Sunday, August 28, 2011

FRAGMEN 6: GERAK GEMPAR


Photo credit: visitmoabutah.com

Bilik Mesyuarat, Majlis Keselamatan Negara, Putrajaya

KESEMUA ahli-ahli majlis membetulkan duduk apabila skrin mula terbentang. Terdapat kira-kira 20 orang yang berada di dalam dewan ini. Sebaik sahaja Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri mengambil tempat, lampu-lampu di bilik ini mula diredupkan. Menjadikan suasana yang sudah sedia dingin menjadi sejuk. Kesemua mata tertumpu ke wajah yang terpancar di skrin.

Raut seorang lelaki kulit hitam yang berikat kepalanya dengan kain berwarna-warni menarik perhatian para hadirin. Lelaki berkaca mata hitam itu kelihatan tersenyum. Di tangan kanannya tergenggam sebuah pistol, sementara tangan kirinya pula memegang seketul paha ayam goreng.
“Inilah Wehliye Amare… Ketua lanun Somalia dari kumpulan Bad Holac atau bermaksud, Api Lautan.” Datuk Taufek Asmadi, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri memulakan taklimat.

Kedengaran suara mereka di dalam bilik ini berbisik-bisik.

“Muka dia nampak baik, aje… macam badut pun, ada!” komen Datuk Taufek hingga mengundang mereka di dalam bilik ini tertawa serentak. “Tapi jangan tak tahu, ya? Dia inilah ketua lanun yang paling licik. Dah lapan buah kapal dagang ditawannya. Kapal Jepun, Perancis, Amerika, Filipina, India, Korea, Australia dan Malaysia kesemua dibahamnya.

Modus operandinya tak pernah sama. Selain daripada menyamar sebagai kumpulan nelayan sebelum menyerang, dia orang pernah menyamar seolah-olah kapal yang mereka naiki mengalami kerosakan. Bila kapal dagang yang menjadi sasaran itu mendekat, mereka tawan kapal itu.

Sewaktu mereka menyerang kapal dagang Australia, mereka hampiri kapal itu dengan menggunakan kapal Korea yang ditawan sebelum itu. Memang kapal dagang Australia tertipu kerana tidak menyangka kapal Korea yang datang mendekat itu sebenarnya dinaiki anak-anak buah Wehliye yang licik.

Serangan ke atas Lancang Kuning adalah modus operandi Wehliye Amare yang pertama menggunakan helikopter. Dia dah kaya… sebab itulah dia makin canggih dalam melanun!” kata Datuk Taufek.

Tayangan slaid kini bertukar kepada tayangan video. Memaparkan adegan mencemaskan dari udara. Kelihatan helikopter Wehliye Amare mula mendarat di kapal Lancang Kuning.

“Video ini diambil dari salah sebuah heli TUDM…” ujar Datuk Taufek.

Adegan menunjukkan lanun-lanun menaiki Lancang Kuning dan menawan anak-anak kapalnya. Fokus video menunjukkan Wehliye Amare terjun dari helikopter dan bertengkar dengan Tan Sri Rauf sebelum Pengarah Operasi Petromal itu ditendang hingga tersungkur.

Sejurus apabila Kapten Johari cuba menghalang, Wehliye menghunus pistolnya. Lelaki itu diheret ke bawah dek dengan pistol tersasar di kepala pegawai Petromal itu.

“RM50 juta! Itulah jumlah yang dipinta Wehliye,” jelas Datuk Taufek. “ Pihak Petromal memang bersedia untuk membayar. Tapi mereka juga hendak bekerjasama dengan kita dengan apa cara sekali pun. Lagi pun, Tan Sri Rauf adalah orang penting Petromal.”

Seiring dengan kata-kata itu, lampu bilik mesyuarat dicerahkan kembali. Skrin yang terbentang perlahan-lahan menaik dan bergulung secara automatik. Mereka kini menumpukan perhatian kepada Datuk Taufek yang kini duduk tersandar memerhati mereka seorang demi seorang. Matanya tercari-cari siapakah di kalangan anggota mesyuarat yang akan mula bersuara memberi idea.

“Sudah lebih 24 jam Lancang Kuning ditawan. Kita mesti cari jalan untuk berbincang dengan lanun-lanun itu. Kita mesti bermain dengan masa untuk melengahkan mereka bertindak ganas.

Wehliye Amare masih di atas kapal itu. Maklumat yang kita peroleh mendapati Wehliye baru sahaja mengepalai kumpulan itu. Dia sebenarnya mengambil alih operasi melanun daripada abangnya, Saleem Amare!” jelas Datuk Taufek.

“Di mana Saleem Amare?” tanya Datuk Amsyairi Ismail, Ketua Pengarah Risikan ATM.
“Mengapa datuk tanya?” soal Datuk Taufek.
“Kita perlu berunding, kan? Kita boleh tahu mengenai Wehliye melalui Saleem. Mengapa Saleem berikan bisnesnya kepada Wehliye. Apa pula kerja Saleem sekarang?” jawab Datuk Amsyairi.

“Mengapa kita tidak cari dulu maklumat latar belakang Wehliye? Bagaimana pula maklumat daripada Interpol, Datuk?” soal Datuk Taufek seraya menoleh ke arah Datuk Badruddin Zakaria, Ketua Pengarah Cawangan Khas PDRM.

“Interpol pun tak ada maklumat lengkap mengenai Wehliye kerana dia lanun baru. Tapi mereka hanya ada maklumat kampung asal Wehliye dan Saleem iaitu di Baraawe, Somalia,” jawab Datuk Badruddin.

“Nampaknya, maklumat kita sedikit sangat. Ada apa-apa pandangan lain?” soal Datuk Taufek seraya memantaukan pandangannya ke setiap mata yang memandangnya.

“Asalamualaikum…” kedengaran suara Tuan Aziz memulakan bicara.
Kesemua mata menoleh ke arahnya. Masing-masing ingin tahu apakah idea Tuan Aziz sebagai bos BISIK.

“Sebenarnya, sebelum masuk ke bilik mesyuarat ini, saya sudahpun mendapat maklumat di mana Saleem! Orang saya sudah menemui bapa saudara Wehliye di Baraawe,” ujar Tuan Aziz.

“Wah, awak memang cekaplah…” puji Datuk Badruddin.
“Memang hebat…” sampuk Datuk Amsyairi.

Datuk Badruddin dari PDRM, Datuk Amsyairi dari ATM dan Tuan Aziz daripada BISIK terkenal sebagai The Three Muskeeteers di kalangan anggota Majlis Keselamatan Negara, kerana mereka saling berganding bahu dalam kerja-kerja perisikan dan keselamatan. Keakraban itu membuatkan mereka tidak kekok bergurau meskipun dalam suasana serius.

“Saya rasa, Saleem dah bertaubat sebab kini dia berada di Madinah kerana membawa rombongan umrah. Sejak berhenti menjadi lanun, Saleem mengusahakan syarikat membawa jemaah haji dan umrah Somalia,” kata Tuan Aziz lagi.

“BISIK perlu hantar ejen awak ke sana!” celah Datuk Taufek.
Sambil tersenyum, Tuan Aziz menjawab, “Kita sudahpun ada orang di sana!”

Di saat itu, wajah Fariz Zafar sudah tertayang di layar mindanya.

Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP