Sunday, September 25, 2011

FRAGMEN 10: GERAK GEMPAR


Photo credit: mouwasat.com

“PERAMPOK di Madinah? Mana boleh ada perampok di bumi ini kalau tidak dipotong tangannya! Tadi, Abang Man nampak seseorang terjatuh di hujung sana sebelum lihat kamu mengejar orang itu,” ujar Sudirman.

“Apa yang berlaku? Apakah lelaki itu mencederakan teman kamu lantas kamu mengejar orang itu? Katakan sahaja. Kalau ingin pertolongan, abang Man bisa membantu.”

Kata-kata itu membuatkan Fariz terkelip-kelip memandangnya. Fikirannya laju sekali berputar-putar mencongak baik buruk dia menceritakan apa yang sebenarnya terjadi. Setelah mempertimbangkan, Fariz berkata, “Orang yang saya cederakan itu telah menembak seorang lelaki.”

Terbeliak mata Sudirman mendengarnya, “Apa, benar kata-katamu?”
“Saya tidak berbohong, bang. Dan lelaki yang tertembak itu adalah orang yang saya cari-cari!”
“Kalau begitu… mari!”

Sudirman tidak bertanya lanjut mengapa Fariz mencari lelaki itu. Baginya, biarlah dia bertindak dahulu. Yang penting baginya ialah ke tempat di mana Saleem Amare tertembak. Dia akan bertanya lagi mengapa Fariz mencari lelaki itu bila tiba masanya.

Enjin kenderaan dihidupkan. Sebentar sahaja kenderaan itu tiba di tempat Saleem Amare tertembak. Namun, tempat itu sudah seperti biasa. Tiada lagi orang ramai berkerumun.

Kelihatan seorang pekerja sedang mengelap lantai. Fariz segera menekur ke dalam baldi. Tertanya-tanya andainya air yang mencuci lantai itu berwarna merah kerana bercampur dengan kesan darah. Namun, oleh kerana suasana tidak terang, dia tidak nampak warna air di dalam baldi itu.

“Waqatala syahkh ma huna. Hal ta’rafal anhu?” Sudirman bertanya kepada seorang anggota polis sama ada dia tahu siapakah yang tertembak di situ. Dialah anggota polis yang sama di tempat lelaki jubah berbelang itu tersungkur.

“Naama. Qala li ahaduhum anihi Saleem Amare!” jawab anggota polis itu.


“Saleem Amare?” tanya Sudirman kepada anggota polis itu. Pegawai itu mengangguk lagi. “Kata pak polisi itu, lelaki yang tertembak itu Saleem Amare,” ujar Sudirman seraya menoleh kepada Fariz.

“Ya, memang dialah orangnya.” Fariz mengangguk perlahan.
“Mari!” kata Sudirman seraya mengheret lengan Fariz.
“Ke mana?”
“Ah… ikut aje!”

Al-Mouwasat Hospital, Madinah

SUDIRMAN memang kenal ramai orang. Sebaik sahaja melangkah ke dalam bangunan hospital, ada sahaja orang yang ditegurnya. Ada sahaja orang yang menyapanya. Beberapa kali juga langkah mereka terhenti apabila ada kakitangan hospital yang mengajaknya berbual barang seketika. Fariz yang mengekori Sudirman sesekali tersenyum sendirian melihat keramahan lelaki ini.

Mungkin, oleh kerana Masjid Nabawi adalah pusat ibadah, ramai kakitangan hospital yang datang ke masjid itu pasti akan terpandang Sudirman melakukan tugas-tugasnya. Dari situ, mereka berkenalan dan menjalin persahabatan. Menjadikan Sudirman orang yang terkenal di sini.

“Abang Man sememangnya kenal Saleem Amare. Dia tuanpunya sebuah syarikat haji dan umrah. Selalu ke Madinah membawa para jemaah haji dan umrah ke sini…” kata Sudirman ketika mereka menanti lif.

“Setiap kali di sini, Saleem pasti meminta saya menghantar air zam-zam untuk jemaahnya di hotel.”

‘Perbuatan itu, haram!’ bentak hati Fariz.

Dahi Fariz berkerut mendengar penerangan Sudirman. Apakah Sudirman mengambil tong-tong air zam-zam yang digunakan di masjid untuk jemaah Saleem Amare? Jika itu yang dilakukan lelaki itu, sesungguhnya tindakan itu menyalahi kerana Sudirman mengambil barangan masjid untuk kegunaan orang lain.

“Nggak! Saya tidak gunakan tong-tong daripada syarikat saya…” jawab Sudirman. Seolah-olah dia mendengar bisikan di hati Fariz. “Saya beli tong-tong saya sendiri. Air zam-zam itu saya ambil melalui pertolongan kawan-kawan saya yang berkunjung ke kota Mekah!”

Fariz hanya tersenyum. Malu juga rasanya kerana berfikiran serong dengan lelaki ini.

SEBAIK sahaja pintu kamar terkuak, Saleem Amare menoleh. Dia tampak tenang dan duduk di katilnya. Dadanya kelihatan berbalut. Wajahnya sedikit terkejut melihat kedatangan Sudirman. Tiga orang lelaki yang mengeruminya bergerak ke samping memberi ruang kepada Sudirman dan Fariz.

“Sudirman… marilah duduk di sini…” kata Saleem seraya mengunjuk kerusi berhampiran dengan katilnya. Seorang lelaki yang menduduki kerusi itu lantas bangun untuk memberi peluang Sudirman pula mendudukinya.

Sudirman bersalaman dan memeluk lelaki itu. Kemudian tiba pula giliran Fariz berjabat salam dengan lelaki berusia lebih separuh abad itu.

“Hei… saya kenal awak!” kata Saleem sebaik sahaja menyambut salam Fariz. “Tadi, awaklah yang datang untuk mengambil saya bersama para jemaah…”

Fariz terangguk-angguk mengiyakan seraya tersenyum. Dia teringat kembali arahan yang diperoleh dari BISIK sebaik sahaja mengkhabarkan insiden itu. Dia perlu memperkenalkan dirinya kepada lelaki itu untuk meminta bantuan segera.

“Kami datang dengan satu tujuan penting,” kata Sudirman perlahan.

Ketika dalam perjalanan ke hospital, Fariz telah menceritakan serba sedikit mengenai tujuannya menemui Saleem Amare dan meminta bantuan Sudirman untuk menyampaikan hasratnya.

“Apa yang pentingnya? Boleh saya tahu?” soal Saleem dengan tenang. Di wajahnya tergambar sedikit rasa hairan kerana Sudirman tidak pernah berbicara dengannya perkara yang lain, selain daripada urusan penghantaran air zam-zam ke hotelnya.

“Rakan saya ini ingin bertanya sesuatu..” ujar Sudirman.
“Sesuatu? Sesuatu apa?” soal Saleem seraya mengintai Fariz yang kebetulannya berdiri di belakang Sudirman.

Fariz lantas menghampiri Saleem dan berbisik, “Saya nak bercakap mengenai Wehliye! Wehliye Amare!”

Kening Saleem tarangkat. Dia merenung Fariz dengan dahinya yang berkerut. Bagai tidak percaya apa yang dituturkan Fariz. Saleem mengeluh dalam. Kemudian mengisyaratkan kepada lelaki-lelaki yang berada di kamar itu untuk keluar daripada bilik itu.

Dengan isyarat mata, Sudirman juga memandang Fariz sebelum melangkah perlahan meninggalkan kamar itu.


Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP