Sunday, September 4, 2011

FRAGMEN 7: GERAK GEMPAR


Photo credit: bestourism.com

Dataran Masjid Nabawi, Madinah


HINGGA ke saat ini, Fariz masih ternanti-nanti neneknya yang tak kunjung tiba. Sesekali, dia menekur memandang jam tangannya. Sudah dekat 11.00 malam. Bererti hampir sejam dia menunggu. Fariz mengeluh lagi. Lalu dia bangun bersiar-siar di dataran untuk melancarkan peredaran darah di kakinya sambil terjeling-jeling ke arah tempat duduknya. Mana tahu, Nek Tijah sudah sampai. Dia tidak mahu wanita itu tercari-carinya pula.

‘Kenapa nenek tak sampai lagi, ni? Dia terpisah dari kumpulan ke? Dia sesat jalan, ke? Entah-entah… capal dia hilang…’ detik hati Fariz yang kian bimbang.

Fariz teringat peristiwa semalam. Apabila rasa resahnya kian mengganggu hatinya, Fariz bergegas ke masjid. Di ruang masuk pintu untuk jemaah wanita, dia terintai-intai mencari Nek Tijah. Mereka yang satu rombongan dengannya pun dicarinya. Namun, tiada seorang pun orang Malaysia yang lalu berhampirannya itu dikenalinya.

Akhirnya apabila puas menunggu, Fariz kembali ke tiang, tempat yang berhampiran dengan pintu keluar. Rasa bimbang di hati terbang menghilang apabila ternampak Nek Tijah duduk bersimpuh sambil berwirid sendirian di situ. Bila teringatkan insiden semalam, Fariz tak jadi ke mana-mana. Biarlah dia menunggu dan menunggu. Pokoknya, dia perlu bersabar. Dan bersabar di tanah haram adalah satu ujian yang harus dihadapi dengan tenang dan bersahaja.

Getaran fonselnya menarik perhatian. Fariz segera membukanya. Wajah Tuan Aziz jelas terpapar.
“Fariz… apa khabar? Dah solat?” tanya bosnya itu.
“Dah, bos,” jawab Fariz ringkas.

“Maaf mengganggu awak. Tapi kita sedang mencari orang penting…”
“Siapa dia, bos?”

“Saleem Amare… pengendali syarikat Hedaya Travel and Tours. Orang Somalia.”
“Orang Somalia?” tanya Fariz. Dahinya berkerut kurang mengerti.

“Kita ada maklumat yang dia kini berada di Madinah; membawa jemaah dari negaranya. Cari dia. Sahkan lokasi penginapannya. Hubungi saya. Urgent. Itu saja.”
“Itu saja?”

“Tugas seterusnya, biar ejen lain bereskan. Saya tak mahu ganggu ibadah awak.”
“Umrah saya dah selesai, bos. Esok saya balik ke Malaysia…”

“Tak mengapa. Saya belum bercadang nak minta awak bertugas lebih daripada yang patut. Okey, tunggu kiriman imej Saleem Amare. Kemudian laksanakan tugas.”

Fonsel dimatikan. Seketika sahaja kiriman MMS berupa foto Saleem Amare tiba ke fonselnya. Fariz tidak mengambil masa yang lama untuk meneliti raut wajah lelaki kulit hitam yang bersongkok berbunga-bunga itu. Setelah pengecaman dibuat, Fariz menutup fonselnya.
‘Kat mana aku nak cari dia? Masjid ni besar,’ cetus hatinya.

Fariz menoleh ke kawasan luar dataran. Di sana terdapat berpuluh-puluh bangunan-bangunan pejabat, gedung dan hotel. Bagaimana dia hendak mencari pejabat Hedaya Travel and Tours pada malam buta ini?

Sekumpulan jemaah kulit hitam melintasinya. Fariz mahu sahaja bertanya kalau-kalau mereka orang Afrika daripada Somalia. Bila memikirkan, cara begitu terlalu cerewet, Fariz tak jadi menegur mereka. Dia melangkah ke hulu ke hilir mencari idea.

‘Aku kena cari balai polis… atau pejabat pentadbiran umrah Arab Saudi…’ bicara hatinya lagi. ‘Hmm… baik aku tanya ustaz yang jadi mutawwif aku… tapi di mana dia?’
Fariz menggaru kepalanya. Hatinya mula tidak sabar untuk memulakan tugas. Dia tidak mahu menanti hari esok. Kerja hari ini, harus dibereskan hari ini. Akhirnya, Fariz melangkah menuju ke masjid.

‘Baik aku jalan aje. Mana tau, tiba-tiba Saleem Amare mendatangi aku, bukannya aku mencarinya. Hal-hal ajaib memang biasa terjadi kat tanah haram…’ kata hatinya penuh harapan.
Sambil berjalan, dia memerhati ke sekeliling kalau-kalau Saleem Amare benar-benar berjalan berhampiran dengannya. Gerombolan-gerombolan jemaah yang bergegas melintasinya terus diamati. Tercari-cari wajah Saleem Amare. Wajah Nek Tijah sudah hilang daripada layar mindanya.

Satu suara parau menarik deria telinganya. Lalu Fariz menoleh. Matanya mencerlang. Lantas dia menarik nafas. Mulutnya terbuka sedikit kerana takjub. Memang dia tidak sangka sama sekali apa yang dilihatnya.

‘Saleem Amare!’ jerit hatinya apabila ternampak lelaki yang dicarinya. Dia hampir tidak percaya, betapa mudahnya mencari Saleem Amare. Belum pun dia menapak lebih daripada sepuluh langkah, orang yang dicarinya sudah muncul di depan mata!


Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP