FRAGMEN 9: GERAK GEMPAR

Photo credit: flickr
SAMBIL mengejar, Fariz mentafsir perilaku si penembak. Dia berlari bagai tak tentu arah tujuan. Mengorak langkah seribu sambil menyelit di celah-celah para jemaah yang lalu lalang di dataran itu. Habis mereka yang berada di laluannya dirempuh. Membuatkan ramai yang tertolak menjerit-jerit memarahinya. Nampak sangat lelaki itu tidak tenang dalam bertindak.
‘Bukan profesional… mungkin sekali dia penembak upahan…’ desis hati Fariz.
Ketika berlari, Fariz cuba menelah hala tuju lelaki yang berjubah berbelang-belang itu. Yang pasti, dia tidak menuju ke dalam Masjid Nabawi. Sebaliknya berlari ke arah pintu keluar daripada dataran.
Jaraknya dengan lelaki itu hanya kira-kira 50 meter. Dan lelaki itu berada kira-kira 200 meter daripada pintu keluar. Fariz mesti segera mengejar. Andainya lelaki itu sempat mengeluskan dirinya ke luar dataran, dia sukar menjejaknya. Ribuan orang ramai yang berasak-asak di laluan yang penuh dengan para peniaga jalanan akan menghaibkan lelaki itu di celah-celah orang ramai.
Bunyi hon kenderaan kedengaran di belakangnya. Seperti para jemaah lain, Fariz menoleh dan bergerak ke samping untuk memberi laluan. Lalu terpandang Sudirman sedang memandu lori kecil membawa tong air zam-zam.
‘Abang Man… hmm…’ kata hatinya.
Sebuah idea melonjak di fikirannya. Lantas Fariz menahan lori kecil itu. Sudirman yang baru mengenali Fariz di penjuru dataran sebentar tadi terus memberhentikan lorinya.
“Bang… saya mintak tolong…”
“Ada apa?” Sudirman tertanya-tanya.
“Pinjam lori sekejap… penting, bang”
Meskipun terpinga-pinga, bila Sudirman melihat wajah cemas Fariz, dia segera turun daripada lorinya. Belum sempat dia bertanya, Fariz melompat dan memulakan pemanduan. Meninggalkan Sudirman yang berdiri kaku sambil menggaru kepala.
Pandangan Fariz menyorot jauh. Mencari lelaki berjubah berbelang yang mula menghilang di celah-celah orang ramai. Fariz melajukan kenderaan bila kelibat lelaki itu kelihatan. Kawasan di hujung dataran agak lengang. Memudahkan Fariz melajukan lorinya. Seketika sahaja dia sudah menghampiri lelaki yang kini melangkah pantas. Fariz tahu lelaki itu mengagak dia sudah tidak dikejar lagi.
‘Wei, kau nak pegi mana tu? Jangan lari!’ kata hati Fariz.
Dia memberhentikan lori kira-kira lima meter dari lelaki itu. Ingin mengejar dan menangkap lelaki itu. Namun, sebaik sahaja dia turun daripada lori, lelaki itu perasan dan menoleh. Lantas dia memecut lagi.
“Ceh!”
Fariz menghela nafas. Dia naik kembali ke atas lori. Lori yang masih hidup enjinnya mula bergerak. Berdecit tayarnya. Meninggalkan kesan hitam yang panjang di permukaan dataran. Lelaki itu berlari semakin laju. Seolah-olah dia seorang pelari jarak jauh yang tidak tahu penat. Kini, dia semakin hampir dengan pintu. Penjenayah itu mesti dipintas. Kalau tidak, dia akan terlepas. Fariz mesti lakukan sesuatu.
‘Aku langgar dia?’ Fariz bertanya dirinya.
‘Tak boleh. Nanti kotor masjid dengan darah!’ jawabnya juga di dalam hati.
Dalam keadaan begitu, Fariz tak sempat berfikir logik soal jawab yang terlintas di fikirannya. Apa yang harus dia lakukan? Fariz tertoleh ke belakang. Terpandang tong-tong penuh berisi air zam-zam yang kelihatan bergegar kerana gerakan laju kenderaan. Satu lagi idea terlonjak di mindanya. Fariz menekan minyak.
Enjin lori mengaum. Lelaki itu semakin dihampiri. Sebaik sahaja lori itu berada seiring dengan lelaki itu di sebelah kanannya, Fariz cepat-cepat memutar stereng ke arah kiri. Membuatkan lori itu turut terbelok ke kiri, menyebabkan tong-tong yang berada di belakang lori itu terbuang ke sebelah kanan.
Dua biji tong air zam-zam seberat 20 liter setiap satu jatuh ke atas dataran. Seperti yang dijangka Fariz, kedua-dua tong itu bergolek laju lalu menghentam kaki dan seterusnya melenyek ke atas lelaki yang tersungkur itu.
“ALLAH…”
Itu sahaja jeritan lelaki itu sebelum dia tergolek dan terlentang. Beberapa orang para jemaah yang berada berhampiran menerpa untuk membantu lelaki itu. Dua orang daripada mereka mengangkatnya. Fariz nampak mulutnya berdarah.
“Artukuhu…” tegur Fariz dalam bahasa Arab meminta mereka membiarkan sahaja lelaki itu.
Belum pun sempat Fariz menyentuh lelaki itu, tangannya ditepis oleh seorang anggota polis.
“Yuzibu baiedan,” jerkahnya sambil menguis jejarinya menyuruh Fariz berlalu.
“Atlaq anar alaihi rajil,” jelas Fariz menyatakan lelaki itu telah menembak seorang lelaki.
“Hala sahiyah?” Dia bertanya pinta kepastian.
“Hunaka…” kedengaran satu suara.
Fariz dan anggota polis itu menoleh. Sudirman muncul.
“Hazal rujlu huasadi qaie,” kata Sudirman lagi sambil memaut bahu Fariz.
“Naam?” Anggota polis itu mengangguk-angguk dan tersenyum pula. Nampaknya dia kenal dengan Sudirman.
“Siapa lelaki itu?” tanya Sudirman ketika mereka berdua melangkah menuju ke kenderaan.
“Perampok!” jawab Fariz ringkas.
Dia tidak mahu memanjangkan cerita.


0 comments:
Post a Comment