FRAGMEN 11: GERAK GEMPAR

Photo credit: networkoverseas.cc
“TUAN mesti bantu kami!” ujar Fariz dengan nada perlahan tetapi mendesak. “Kapal kami…”
“… diserang lanun yang diketuai oleh adik saya, Wehliye Amare? Betul?” sampuk Saleem menyudahkan mukadimah Fariz.
Fariz mengangguk.
Sebuah senyuman kecil terukir di bibir Saleem. Seketika kemudian dia tergeleng perlahan. Tampak sekali dia kecewa dengan khabar yang Fariz bawa. Lalu dia menoleh ke luar jendela. Memandang kenderaan yang melintasi jalanraya di hadapan hospital. Beberapa ketika dia bagai berkhayal. Tidak peduli dengan kehadiran Fariz di sisinya. Sesekali matanya terkelip-kelip. Barangkali mengimbau kenangan lalu ketika dia sendiri menjadi seorang ketua lanun.
Sejak diberhentikan kerja berikutan dengan pemansuhan jabatannya, Saleem kembali ke kampung halamannya di bandar pelabuhan Baraawe. Rakan sekampung yang kasihan kepadanya yang menganggur menawarkannya kerja mengangkut kargo kapal.
Minatnya terhadap laut membuatkan dia bertukar haluan kerjaya menjadi nelayan pula. Dengan sebuah bot yang dibeli dengan wang simpanannya, mulalah dia meneroka ke lautan bersama adiknya, Wehliye dan beberapa orang anak-anak buahnya. Namun, masa depannya sebagai nelayan menjadi kelam apabila lautan Somalia tempat dia mencari rezeki sering dipenuhi dengan tumpahan minyak dari pelbagai kapal antarabangsa yang tidak peduli langsung dengan alam.
Malah, seluruh masyarakat nelayan sakit hati apabila rungutan-rungutan mereka terhadap pihak berwajib tidak dihiraukan. Kalau adapun tindakan diambil terhadap kapal yang melanggar undang-undang maritim, rasuah kepada mereka yang menguatkuasakan peraturan itu begitu berleluasa. Mereka yang bersalah, terlepas begitu sahaja kerana undang-undang boleh dijual-beli.
Akhirnya, apabila lautan dipenuhi minyak, apabila ikan-ikan pun mati dan para nelayan marah kerana tiada masa depan, mereka bertindak sendiri kerana dendam. Kapal-kapal perdagangan yang melalui lautan Somalia diserang. Segala harta benda anak-anak kapal dirampas sebagai balasan.
Lama kelamaan, kegiatan merompak kapal menjadi satu mata pencarian. Rompakan biasa di tengah laut berubah menjadi satu kegiatan yang menguntungkan bila mana bukan sahaja anak-anak kapal yang dirompak, malah anak-anak kapalnya dijadikan sebagai tebusan. Wang jadi pertukaran komoditi yang dibawa kapal. Inilah fenomena sebenar mengapa banyaknya lanun di lautan Somalia.
Saleem bersama anak-anak buahnya juga terlibat. Dengan keuntungan yang diperoleh, Saleem menambah empat lagi bot dan menggajikan nelayan-nelayan yang menganggur untuk menjadi lanun. Banyak wang yang diperoleh dengan cara begitu. Namun, kehidupan sebegitu bukannya pilihan sebenar Saleem. Dia sering mengalami igauan ngeri kerana sentiasa menghimpun dosa.
Dalam satu kejadian yang tidak diingini, Saleem tertembak dua orang anak kapalnya dalam satu kejadian tembak menembak dengan pihak tentera Russia. Kesal dengan apa yang terjadi, Saleem meratapi kematian mereka. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Kekesalan tidak boleh mengubah keadaan. Akhirnya, Saleem mengundur diri dari kegiatan melanun.
Kesemua bot-botnya dibakar di tengah laut. Harta benda rampasannya diberikan sahaja kepada lanun-lanun yang lain. Adiknya Wehliye juga dipujuk untuk berhenti menjadi lanun. Namun, Wehliye berdegil. Dia menyertai sebuah kumpulan lanun yang lain. Saleem pula naik ke darat dan mencuba nasib sebagai seorang usahawan hingga berjaya pada hari ini.
LAMA juga Fariz membiarkan lelaki d depannya mengelamun. Entah apa yang difikirkan oleh lelaki itu. Mahu sahaja dia mengalih perhatian lelaki itu. Seketika kemudian, Saleem mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdoa. Terkumat-kamit bibirnya. Setelah dia meraup wajahnya, Saleem merenung tepat ke wajah Fariz.
“Aku tahu kamu bukan rakyat Somalia. Kamu ini siapa? Bertugas di negara mana? Apa jawatan kamu?”
“Nama saya Fariz. Saya bertugas di sebuah agensi keselamatan di Malaysia….” kata Fariz.
“Oh… kamu seorang perisik. Aku tahu,” ujar Saleem seraya mengukir senyuman.
Kata-kata itu membuatkan Fariz terpana. Tidak menyangka bagaimana lelaki itu tahu jenis tugasnnya. Mungkinkah dia hanya menyerkap jarang? Tetapi, tutur katanya, meskipun hanya meneka begitu meyakinkan.
“Kalau kamu bukan bertugas di bahagian risikan di negara kamu, bagaimana kamu boleh menemui aku, abang Wehliye? Tapi, aku tabik dengan agensi kamu di Malaysia kerana begitu cepat kamu sudah ada di kota Madinah. Tapi, jangan gusar, Fariz…
Sebenarnya, dulu pun aku bertugas dengan National Security Service Somalia. Ia sama macam CIA, KGB atau agensi tempat kau bertugas sekarang. Kerana salah guna kuasa, Presiden kami diguling dalam satu pemberontakan yang tak berkesudahan hingga ke hari ini. Agensi tempat aku bertugas turut dibubarkan.
Aku terpaksa menganggur, bekerja dengan kawan, kemudian menjadi nelayan, menjadi lanun dan menjadi usahawan setelah bertaubat. Ah, cerita aku bukannya menarik, Fariz! Hmm… apa pertolongan yang kau mahu dari aku?”
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...


1 comments:
saya sangat cemburu
Post a Comment