FRAGMEN 12: GERAK GEMPAR

Photo credit: rallyspectating.com.au
“KAMI hendak berhubung dengan Wehliye…” ujar Fariz.
“Oh, apa yang susah sangat? Telefon saja dia…”
“Dia tidak mahu angkat telefon! Sudah banyak kali kami cuba bercakap dengannya!” kata Fariz.
Dahi Saleem berkerut seribu. Dia menekur memandang balutan di dadanya. Lalu dia menggosok dadanya. Mungkin bisa tembakan mula terasa kerana kesan bius ubat sudah berkurangan.
“Mustahil Wehliye tidak mahu bercakap dengan sesiapa. Biasanya, dia akan menanti pihak yang ditawan menghubunginya. Biasanya, dia hendak lekas-lekas tamatkan episod tawanan supaya dia dapat habuan dengan segera,” gumam Saleem.
Saleem meraba ke bawah bantalnya. Sebuah fonsel berwarna keemasan kini dalam genggamannya. Hati Fariz terus lega. Nampaknya tugas menghubungi Wehliye begitu mudah. Mungkin, bila abangnya sendiri yang menghubungi, Wehliye akan melayani.
Sambil terjeling dan tersenyum kepada Fariz, Saleem mula mendail. Kemudian dia melekapkan fonsel itu ke telinganya. Matanya terkelip-kelip menanti nada dering tanda panggilan diterima.
Beberapa ketika dia begitu. Kemudian dia memandang fonselnya. Fariz dapat mengagak, Saleem pun tidak dapat menghubungi adiknya itu. Saleem mencuba lagi. Kali ini, wajahnya berubah serius. Kerut seribu di dahinya kian menyerlah. Dia sendiri tertanya-tanya mengapa Wehliye tidak mahu menjawab panggilannya.
Saleem menekan-nekan lagi butang di fonsel. Nampaknya dia hendak menghubungi nombor yang lain. Atau mungkin juga orang lain.
“Asiya!”
Suara parau Saleem menarik perhatian Fariz. Siapa Asiya?
“Asiya? Di mana suami kamu?”
Dari soalan Saleem, Fariz dapat mengagak Asiya adalah isteri Wehliye.
“Panggil dia! Aku nak bercakap dengannya!”
Nampaknya, Wehliye kini berada bersama Asiya.
“Apa? Oh… hmm…” kata Saleem lalu menutup fonselnya.
Saleem mengeluh dalam. Seolah-olah menyampaikan rasa terkilannya kerana adiknya tidak mahu menjawab panggilan. Rasa keterujaan di hati Fariz pula mula menjunam. Hatinya tertanya-tanya bagaimanakah cara dia hendak menghubungi Wehliye.
Mata mereka bertentangan. Fariz mengharapkan Saleem berkata sesuatu, atau mencadangkan jalan menghubungi adiknya. Namun, Saleem memandang kembali ke luar jendela. Tangannya kembali mengusap-usap lukanya yang berbalut di dada.
‘Lukanya sakit, atau hatinya yang pedih?’ tanya Fariz di dalam hati.
Baraawe, Somalia
“KENAPA abang tak hendak bercakap dengan bang Saleem?” tanya Asiya seraya menghampiri suaminya sambil mengelek anak bongsunya yang berusia setahun. Mata si kecil kelihatan kuyu. Sesekali puting di mulutnya bergerak-gerak dinyonyot kanak-kanak itu.
Wehliye hanya membatu. Dia duduk tersandar dan berlunjur di kerusi malasnya. Namun, dadanya kelihatan naik turun menahan amarah. Tidak suka isterinya campur tangan dengan segala urusannya. Pandangannya tidak berkelip memandang ke laut lepas yang membiru di depan matanya.
“Dia abang awak. Sepatutnya awak jawab panggilannya. Tak patutlah dengan abang sendiri tak mahu bertegur sapa. Awak sebagai adik harus hormat pada abang sendiri.”
Sambil berleter, lengannya digoyang-goyang untuk mendodoi si kecil. Ternyata kanak-kanak itu sudah terbang ke alam mimpi. Seketika sahaja dia terlentuk di bahu ibunya. Wehliye tidak kisah dengan keadaan anaknya itu. Malah dia tidak peduli dengan apa yang terhambur dari mulut Asiya.
“Apakah awak dah sibuk sangat hingga tak sempat lagi nak melayan abang sendiri? Masa kita susah dulu, dialah yang tolong kita. Dialah yang belikan susu untuk anak-anak kita Abas dan Amani yang sekarang semuanya dah besar panjang. Apa, abang tak ingat lagi?”
Wehliye hanya memekakkan telinga. Satu perkataan pun tidak masuk ke dalam fikirannya. Dia sudah biasa dileteri isterinya. Kerana itu dia sudah mangli. Wehliye bersiul-siulan kecil. Jejarinya mengetuk-ngetuk meja kecil di sisinya. Satu gerak-geri tidak peduli yang cukup menyakitkan hati Asiya.
“Huh!” kata Asiya ambil mendengus dan berlalu.
Perlahan-lahan Wehliye menoleh. Memandang hayunan langkah pantas isterinya ke dapur. Sebuah senyuman terukir di bibir Wehliye.
“Bos!” sapa Abdul.
“Hmm!” jawab Wehliye seraya bangkit.
Tidak sedar sejak bila Abdool sampai. Orang kanannya yang gempal itu segera menaiki anak-anak tangga. Di belakangnya empat orang lelaki mengekori. Mereka tidak mengikut Abdool untuk naik ke beranda. Sebaliknya mereka berempat berdiri sebaris di tanah. Abdul tunduk sedikit sebagai tanda hormat kepada ketuanya. Kemudian dia mendepangkan tangannya ke arah empat lelaki yang mengekorinya itu.
“Saya ada bawak empat pekerja baru, bos!” kata Abdool. “Saya dah pilih betul-betul, bos!”
Wehliye melangkah sambil memeluk tubuhnya. Menuruni anak-anak tangga, langsung ke tanah untuk menghampiri keempat-empat lelaki. Sambil menapak, dia memandang wajah-wajah lelaki itu. Bagai seorang jeneral membuat pemeriksaan perbarisan. Direnungi seorang demi seorang. Kesemua lelaki-lelaki itu tegap-tegap belaka. Kesemuanya muda-muda belaka kecuali lelaki yang terakhir. Dia kelihatan berusia.
“Aku tak mahu orang tua, Abdool!” tegas Wehliye.
“Betul dia berusia,” jawab Abdool yang kini mengekori Wehliye. “Tetapi dia kuat! Semalam aku tengok sendiri dia bergaduh dengan enam orang lelaki di bar! Semuanya tergolek dikalahkannya!”
“Hmm?”
Begitulah reaksi Wehliye dengan keningnya yang terangkat. Dengan bibir tercebirnya, dia merenung lelaki berusia di depannya. Lelaki itu membalas renungannya. Pandangannya sengaja dipanah terus ke dalam mata Wehliye. Hati Wehliye tidak tergugat pun. Malah dia menguntum senyuman.
“Siapa nama kamu?”
“Jabril!”
“Kenapa kulit kamu tidak gelap seperti kulit aku?”
“Aku berdarah campuran. Emak, orang Somali, ayah keturunan Arab.”
“Siapa ayah kamu?”
“Aku tak tahu!”
“Tak tahu?”
“Aku tak pernah kenal dia!”
“Oh, maknanya kau ni anak haram lah!”
“Ya. Aku anak haram!”
Jawapan itu membuatkan Wehliye tertawa terbahak-bahak. Semua yang lain tertawa termasuklah Jabril. Namun dengan ekor matanya satu perasaan amarah terpancar.
Ya, Jabril atau nama sebenarnya Jefri Zain hanya menanti masanya yang sesuai untuk bertindak!
Bersambung Ahad hadapan, insya-ALLAH...


0 comments:
Post a Comment