Sunday, December 25, 2011

FRAGMEN 14: GERAK GEMPAR




Photo credit: images.businessweek.com

Ibupejabat Extron, Houston, Amerika


ABRAM WILLIAMIbupejabat Extron, Houston, Amerika

ABRAM WILLIAM
merenung ke luar jendela. Memantau pandangannya ke seluruh panorama bandaraya Houston. Sebuah demi sebuah bangunan pencakar langit singgah di matanya. Setiausaha Peribadinya, Theo Simon hanya membiarkan bosnya diam menyepi.

Theo tahu perangai Abram. Lelaki itu akan memandang ke luar jendela setiap kali dia mahu berfikir panjang. Setelah puas dia bersoal-jawab dengan dirinya sendiri ketika memantau panorama sekeliling, baharulah dia mengeluarkan pandangannya.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Extron Corporation, berita yang disampaikan Theo itu memeranjatkan. Dia tidak menyangka Datuk Rauzah menjadi mangsa penculikan lanun di laut. Baru dua minggu lalu dia di pejabat Quando Jabuti, Menteri Petroliam Ghanesia. Dalam pertemuan itu, nama Datuk Raudhah disebut-sebut. Bukan dalam konotasi yang indah. Sebaliknya, dalam nada keras dan tegang.

Imbas kembali: Pejabat Petroliam Ghanesia, Bandaraya Bahara

PINTU PINTU bilik dikuak. Abram William melangkah masuk tanpa mengetuk pun. Menyebabkan Quando berdiri dengan mulut tercebir.
“Saya tak rasa, kita ada temu janji, Mr. William...” katanya.

Abram tidak mempedulikan kata-kata itu. Malah, dia terus melangkah sambil mencekak pinggangnya. Mempamerkan wajahnya yang memerah kerana amarahnya. Dia menapak mundar-mandir di dalam bilik itu. Seolah-olah dia seorang sahaja yang berada di sini. Seolah-olah bilik ini dia pula yang punya. Quando jelas tidak selesa dengan perangai Abram. Dia berdiri berpeluk tubuh. Menanti masa untuk menyuarakan ketidaksenangannya terhadap sikap kurang ajar pegawai minyak Amerika itu.

“Mengapa awak begitu mudah mungkir janji?” selar Abram. Pandangannya tidak tertancap pun ke arah Quando. Sebaliknya dia hanya memandang sebuah lukisan abstrak di dinding bilik itu.
“Janji apa yang awak maksudkan, Mr. William?” soal Quando kembali dengan suara tenang.
“Nampaknya awak juga seorang yang pelupa!”

“Kalau saya pelupa, awak patut ingatkan saya!” tingkah Quando.
Abram berpaling. Dia memanahkan pandangannya ke wajah Quando. Perlahan-lahan dia melangkah menghampiri Menteri Petroliam Ghanesia itu. Quando tidak beranjak. Malah, dia juga sudah bersedia untuk berlawan kata dengan Ketua Pegawai Eksekutif Extron itu.
“Okey... kalau begitu, biar saya ingatkan, Mr. Quando...”

Quando mahu sahaja tertawa kerana Abram seperti orang gila meroyan. Bukannya dia tidak tahu apa yang hendak dibebelkan oleh lelaki itu. Tetapi, biarlah. Biarlah Abram meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Selepas mendengar segala, biar dia pula membelasah lelaki itu dengan hujah-hujah balasan.

“Lima tahun lalu, kami datang ke negara awak untuk menunjukkan di manakah terdapatnya emas hitam yang terpendam di perut bumi Ghanesia. Ketika itu, tiada seorang pun pemimpin di negara ini yang tahu Ghanesia mempunyai minyak. Malah, tiada sesiapa pun yang percaya. Kami ditertawakan pada waktu itu.

Tetapi kami datang juga membawa teknologi eksplorasi. Kami meneroka jauh ke dalam hutan Ghanesia untuk membuktikan apa yang kami tahu. Akhirnya kami menemui kekayaan yang boleh mengubah Ghanesia dari sebuah negara miskin menjadi negara yang terkaya di benua Amerika Selatan ini.

Malangnya setelah segala-galanya hampir menjadi kenyataan, Ghanesia memungkiri janjinya! Segala jerih perih kami diketepikan begitu sahaja. Sebaliknya Ghanesia membuka tawaran kepada syarikat-syarikat lain hingga Petromal mendapat hak komprehensif!

Di manakah janji kerajaan Ghanesia kepada kami... bahawa segala usaha sama kita selama ini akan berterusan hingga minyak yang digali dapat diproses dan dijual lalu keuntungannya dibahagi sama rata? Apakah Ghanesia tidak mempunyai etika untuk menghormati kami sebagai pengusaha asal? Mengapa kerajaan awak mengadakan rundingan dengan Petromal dan menamatkan kontrak cari gali dengan kami? Adilkah?”

“Adil!” jawab Quando, ringkas. “Kita hanya tandatangani perjanjian penerokaan untuk tujuan eksplorasi sahaja, Mr. Abram. Tidak ada perjanjian cari gali, tidak ada perjanjian memproses, tidak ada perjanjian mengeksport. Dan tentu sekali tidak ada apa-apa perjanjian bertulis agar keuntungannya dibahagi sama rata!”

Jawapan itu membuatkan mata Abram terbelalak. Marahnya kian membuak-buak. Mahu sahaja muka Quando yang separuh botak itu diluku sekuat hatinya. Mulutnya ternganga-nganga ingin menyatakan sesuatu. Namun, tiada satu perkataan pun yang terhambur.

“Tapi bukankah kita sudah sama-sama mengadakan perbincangan demi perbincangan mengenai eksplorasi, memproses dan mengeksportnya?” soal Abram.

“Kita hanya ada perjanjian eksplorasi. Tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.” Quando mengembalikan hujah kepada pokok persoalan. “Yang lain-lain hanyalah perbincangan.”
“Tidak adil! Tidak adil bila Ghanesia membawa kami berbincang tetapi kemudian membuka tender cari gali, memproses dan mengeksportnya kepada semua pihak! It doesn’t make sense!”

“We are always sensible, Mr. William... Extron juga menyertai tender terbuka ini. Tetapi akhirnya kabinet Ghanesia mendapati syarikat Malaysia, Petromal menawarkan pakej komprehensif kepada kami. Petromal bukan sahaja menawarkan kos cari gali percuma.

Malah mereka menjanjikan perkongsian keuntungan yang berpatutan, membantu membangunkan industri minyak Ghanesia serta memindahkan teknologi petroliam kepada rakyat Ghanesia. Perkongsian menang-menang inilah yang membuat Petromal menjadi syarikat cari gali minyak favourite bagi Ghanesia, sedangkan Extron dan lain-lain syarikat minyak hanya mahu berkongsi hasil pengeluaran semata-mata.

Kalau awak dalam kedudukan kami, saya percaya awak juga akan memilih Petromal!”
Abram tertunduk. Matanya terkelip-kelip memandang lantai. Liurnya ditelan. Seketika kemudian dia memandang Quando. Lantas dia menghampiri dan duduk. Membuatkan Quando juga turut duduk di kerusinya.

“Saya tahu perjanjian belum lagi ditandatangani...” bisik Abram lantas tersenyum-senyum. “Apa kata kalau Extron tawarkan apa yang Petromal janjikan? Extron akan bangunkan industri minyak Ghanesia, lakukan pemindahan teknologi petroliam dan kami sanggup lupuskan semua kos eksplorasi yang lebih US 500 juta itu. Maknanya, Ghanesia tidak berhutang apa-apa dengan Ekstron sebelum perjanjian cari gali ditandatangani. Setuju?”

“Setuju!” jawab Quando.
“Wow!” Abram tergelak-gelak bila mendengar respon Menteri Petroliam Ghanesia itu. Hatinya melonjak riang.

“Saya setuju kalau perkara ini dinyatakan sebelum kami membuka tender tempohari...” jawab Quando dengan senyuman perli. “Bukankah itu yang kami pinta sebelum ini kepada Extron? Tapi kamu tidak melayaninya. Kini segala-galanya sudah terlewat!”

Abram menumbuk meja! Berdentum bunyinya. Dengan wajahnya yang masih memerah, dia bangkit berdiri.
“Petromal! I hate that group!” jerit William. “Saya akan lakukan apa yang saya boleh untuk gagalkan perjanjian di antara Ghanesia dan Petromal! You just be careful!”

‘Klik’
Pintu sisi di bilik Quando terkuak. Datuk Rauzah kelihatan berdiri berpeluk tubuh! Mata Abram terbelalak. Dia tidak menyangka Ketua Pegawai Operasi Petromal itu ada di bilik sebelah. Pasti wanita itu mendengar apa yang terlontar di antara dia dengan Quando.

“Err... Datuk Rauzah...” sapa Quando. Sebenarnya dia juga turut terkejut bila wanita itu membuka pintu. Sebentar tadi ketika mendapat tahu akan kedatangan Abram, dia menangguhkan perbincangan dengan wanita itu lalu memintanya menanti sahaja di bilik sebelah.
“Tak mengapa, Mr. Quando...” kata Datuk Rauzah.

“Err... Datuk Rauzah... Kami hanya berbincang mengenai industri minyak,” tiba-tiba Abram bersuara. “Tahniah kerana Petromal terpilih dan akan menandatangani perjanjian dengan Ghanesia. Extron turut berbesar hati kerana kita bakal melihat Ghanesia maju sebagai negara pengeluar minyak. Saya ke mari untuk mengucapkan tahniah secara peribadi kepada Mr. Quando.”

“Oh, ya ke?” jawab Datuk Rauzah dengan senyuman paling manis. “Saya tidak sedar awak berbicara mengenai itu. Saya ke bilik ini tadi kerana menjawab panggilan peribadi.”

Kata-kata Datuk Rauzah itu membuat Quando tertawa berdekah-dekah di dalam hati. Wanita itu pandai sekali menjaga air muka William yang kelihatan menggelabah bila tembelangnya pecah!


* Watak Tan Sri Rauf saya tukar kepada Datuk Rauzah

Bersambung lagi, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP