Sunday, July 25, 2010

FRAGMEN 36: DETIK DEBAR


FOTO: ESEMPOI.COM
FRAGMEN 36
DETIK DEBAR

FARIZ turut melangkah pantas meninggalkan hotel. Nyata, Jennifer amat kecewa kerana David Doron tidak mahu membuat apa-apa ulasan mahupun membayangkan apa yang akan dinyatakan oleh Tuan Presiden berhubung dengan insiden di Selat Melaka.

Nampak gayanya, Jennifer hanya akan memperoleh jawapan biasa daripada John Martinez bila berpeluang menghadiri sidang akhbar Tuan Presiden pada hari esok. Mungkin sekali setelah John Martinez berucap di persidangan WIEF. Dia tidak akan dapat berita scoop daripada lelaki itu andainya dapat menemui John Martinez secara berasingan daripada para wartawan-wartawan yang lain.

Jennifer berjalan menonong mengekori Fariz. Tidak mahu bertutur apa-apa pun kerana bengang dengan David Doron yang tidak mahu bekerjasama. Fariz hanya diam. Membiarkan Jennifer melayani perasaannya yang membengkak itu. Tiba-tiba fonsel Fariz berbunyi.
“Ya, kak…” jawab Fariz sebaik sahaja nama Normala terpapar di skrin fonselnya.
“Kereta dah ada. Ambil kunci daripada kaunter parkir,” pesan Normala.

“KERETA siapa, ni?” soal Jennifer kehairanan sebaik sahaja melihat Fariz memasuki kereta Proton Rentas Sports dua pintu.
“Sepupu saya,” jawab Fariz, ringkas. “Jom, naiklah.”
“Sepupu awak?”
Fariz dapat mengagak yang Jennifer tertanya-tanya bagaimana dia boleh mendapat kereta daripada sepupunya. Gadis itu kehairanan dengan kebetulan ini.
“Sepupu saya bertugas sebagai chef di hotel ini. Tiap kali bila saya perlukan kenderaan selepas membuat liputan akhbar di sini, saya akan pinjam sahaja keretanya.”

Dari ekor matanya, Fariz nampak kerutan di dahi Jennifer mula mengendur. Sesungguhnya gadis wartawan ini amat sensitif dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Nalurinya sebagai wartawan menjadikan dia peka dengan perkara sekecil ini.
“Maafkan saya kalau bertanya lagi,” seulas senyuman diberikan kepada Fariz. “Macam mana sepupu awak tu nak balik selepas kerja nanti?”

“Oh, dia tak balik ke rumah.”
“Kenapa?”
“Presiden Amerika sedang menginap di hotelnya. Dia tidak boleh balik ke rumah sehingga Presiden awak pulang.”
Dengan kata-kata itu, Fariz menukar ke gear lima dan kereta itu meluncur laju menghala ke Presint 3.

AZAN yang berkumandang membuatkan Jennifer terdiam. Dia terus tertoleh-toleh mencari arah datangnya azan itu. Wajahnya kelihatan terpempan bila terpandang Masjid Sultan Zainal Abidin yang dikenali juga sebagai masjid besi yang tersergam indah di depan matanya.

Fariz tersenyum melihat reaksi wartawan ini. Ada wajah seronok tetapi takjub yang terbayang di wajah gadis ini. Jika sebentar tadi, bibirnya memuncung, kini kelihatan senyuman di bibirnya. Seolah-olah hatinya kini berbunga bila mendengar suara azan yang berkumandang. Menyedari itu, Fariz terus memperlahankan kenderaan. Membiarkan Jennifer mengimbau sesuatu dari denai kenangannya.

“Azan mengingatkan saya tentang Palestin…” ucap Jennifer perlahan. “Azan menjadi satu-satunya lagu yang kerap saya dengar di bumi itu. Selain daripada waktu solat, azan akan dilaungkan apabila bumi Palestin dihujani bom yang muntah daripada jet-jet Israel.

Azan juga berkumandang apabila kebakaran berlaku. Azan menyambut setiap kelahiran. Tetapi bagi saya, azan adalah ucapan semangat. Hayya 'alal falah… Ia menusuk ke hati saya tiap kali ayat ini dilaungkan. Seolah-olah semangat kemenangan yang begitu diingini oleh rakyat Palestin turut meresap ke jiwa saya.”

Fariz merenung wanita yang bertutur dengan penuh perasaan. Mungkin kerana dia begitu lama bertugas di Palestin, jiwa rakyat Palestin turut dapat dihayatinya. Mungkin sekali roh keislaman sudah meresap ke jiwanya.

Tiba-tiba Jennifer menoleh setelah sedar Fariz merenungnya.
“What?” soal Jennifer, lantas tersengih.
“Emm… nothing!” jawab Fariz spontan. Dia turut terkejut kerana termalu bila disergah begitu. Fikirannya hanya membayangkan apa yang dilalui oleh Jennifer. Tidak sedar menungannya itu seolah-olah seperti memerhati gadis ini.
“Go, on! It’s time for your solat. It’s maghrib!” Jennifer mengingatkan.

Fariz segera memarkir kereta. Kemudian dia terlari-lari ke pekarangan masjid. Tidak mahu terlewat solat kerana azan sudahpun selesai.

USAI bersolat, Fariz berdoa panjang sendirian setelah Pak Imam memimpin doa. Setiap kali memohon kepada ALLAH setelah solat, Fariz tidak lupa untuk berdoa agar neneknya di kampung berada dalam keadaan sihat walfiat. Dia juga mendoakan agar roh kedua-dua ibu dan bapanya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Setelah memakai kasut, Fariz duduk seketika di tangga. Fikirannya mula melayang memikirkan akan tugasnya ini. Tertanya-tanya sampai bila dia mesti menjadi peneman Jennifer. Tugas Pintas 3, iaitu kod di mana subjek sasaran hanya dikepung dan dikawal hingga meninggalkan negara begitu menjemukan. Ia tidak mencabar langsung berbanding dengan tugasan Pintas 2 di mana subjek diekori dan kemudian ditangkap atau dilarikan. Atau, Pintas 1yang bermakna subjek dihapuskan serta merta.

Seharusnya tugasan ini diberikan sahaja kepada agen wanita seperti Normala atau mana-mana agen yang lain. Tugas menemani tidak langsung mencabar mental, apatah lagi fizikalnya. Fonsel dikeluarkan daripada poketnya. Nombor Normala didail untuk meminta pandangan daripada rakan setugasnya itu.

“Ada arahan terbaru?” tanya Fariz sebaik sahaja mendengar panggilannya diterima.
“Tak ada. Tugas Fariz hanya ikut aje Jennifer,” jawab Normala.
“Sampai bila?”
“Sampai dia balik ke negara asal.”
“Kalau macam ni, saya bosanlah, kak. Tugas macam pengawal peribadi ni sepatutnya dibuat oleh orang lain.” kata Fariz lagi.
“Ewah, ewah… dah pandai eksyen. Tunggulah arahan susulan. Tak mungkin Tuan Aziz suruh kita pantau Jennifer macam tu aje. Kalau tak ada kes, tentu dia dah suruh kita buat tugasan lain. Bersabarlah.”

Fariz mengeluh. Dia benar-benar berasa bosan. Sepatutnya dia diberikan cuti setelah tamat latihan di Thailand. Tetapi, dia diberi tugasan ini. Tugasan apa kalau hanya menjadi pak pacak. Tidak mencabar langsung!
‘Ponnnnnnnnnn…’
Bunyi hon kereta kedengaran menggema. Fariz memanjangkan lehernya. Memantau ke arah parkir kenderaan. Kelihatan sebuah kereta dengan lampu hazardnya dihidupkan. Berkelip-kelipan. Seolah-olah dalam keadaan cemas. Fariz mula pasti yang bunyi hon itu datang daripada kereta yang mana.

‘Eh, itu kereta aku!’
Peluh dingin mula merembes di tengkuknya.
“Jennifer!” Fariz menyeru nama itu sambil berlari pantas ke arah kereta yang sudah mula kelihatan bergerak itu!

Bersambung di lain minggu, insya-ALLAH...

Friday, July 16, 2010

FRAGMEN 35: DETIK DEBAR


FRAGMEN 35
DETIK DEBAR


Restoran Saba, Dataran Jelatek, Wangsa Maju


MOUSSA dan Ali sedang menikmati hidangan di restoran masakan Arab ini. Moussa yang kelaparan terus menjamah Lamb Kabsah, iaitu nasi berdaging kambing. Rupa hidangannya sama seperti nasi beriyani Johor yang mana kambingnya diselimuti nasi. Ali pula menjamah kebab ayam. Kedua-duanya meminum air Barbican, iaitu air berperisa nenas dan malt.

“Aku tak sangka, di Malaysia pun ada banyak restoran seperti di negara kita,” ujar Moussa seraya melingas ke arah restoran-restoran masakan Arab yang berhampiran.

Mungkin kerana lokasinya berhampiran dengan UIA, terdapat ramai warga Timur Tengah yang tinggal di kawasan ini. Kerana itu, kompleks perniagaan tiga tingkat ini dipenuhi dengan pelbagai restoran masakan Arab seperti Souk Beirut dan Al-andalus.

“Fokus, Moussa. Jangan bercakap hal-hal yang membuang waktu. Kalau kau nak jadi pelancong, kau boleh balik, Moussa,” jawab Ali sambil matanya terlekat di skrin TV Flatscreen yang tergantung di hujung restoran. “Kita bukannya datang ke mari nak makan, makan. Kita ada tugas!”

Moussa mencebir. Kecil hati dengan kata-kata temannya itu. Namun setelah beberapa ketika termenung, Moussa faham Ali benar-benar tidak mahu fikirannya menerawang jauh. Teguran Ali membuatkan fikirannya tertumpu kembali terhadap misinya datang ke negara ini.

Lantas layar mindanya terus menayangkan imej-imej dirinya yang menjalani latihan di sebuah kawasan tersembunyi berhampiran dengan Empangan Karaj, di Iran. Di kawasan padang pasir yang berbatu, Moussa diajar menembak menggunakan senapang sambil berlari, memetik pistol tanpa henti hingga kehabisan peluru dan melontar bom ke arah kawasan berkepung yang dibentuk seperti rumah.

Selain daripada latihan fizikal, Moussa turut dilatih berkomunikasi menggunakan telefon, komputer, menggunakan biasan cahaya yang dipantul daripada cermin dan juga bahasa isyarat. Selebihnya, Moussa digalakkan melaksanakan solat sunat dan berzikir di segenap waktu. Komunikasi secara getaran rasa juga dipelajarinya.

Fonsel Ali bergetar. Perlahan-lahan lelaki itu mencapainya. Sebaik sahaja dia terpandang nombor yang terpapar di skrin fonselnya, dia segera mematikannya dengan jari telunjuk.

“Dah tiba,” ujar Ali selamba.

Tanpa berkata apa-apa lagi dia menapak meninggalkan Moussa yang masih menjamu selera. Melihatkan itu, Moussa mengeluh dan menggeleng. Ali memang sengaja menderanya. Makan sedap tanpa rasa nikmat pun adalah satu latihan yang dilaluinya.

Ali turut bingkas bangun. Minuman Barbicannya dicapai. Sambil berjalan, dia menonggang minumannya. Seketika kemudian, dia berlari anak mengejar Ali yang sudahpun sampai ke aras B1.

Dalam pada itu, fikirannya terus tertanya-tanya, apa yang ‘sudah tiba’, seperti yang dinyatakan oleh Ali.

The Grand Suite, Prominent Hotel

JOHN Martinez masih memegang fonselnya ketika melangkah keluar dari bilik mandi. Dengan selamba, dia hanya memegang tuala yang melilit tubuhnya. Tidak mempedulikan pembantu peribadinya yang baharu sahaja meletak sepasang pakaiannya di atas katil.

Lelaki separuh usia itu segera beredar. Dia tidak mahu mengganggu Tuan Presidennya apabila lelaki itu berbual sambil berbisik-bisik. Dia pernah diherdik John ketika berada berhampiran. John menuduhnya mencuri dengar. Padahal, dia tidak berniat pun untuk ambil tahu apa yang diperbualkan oleh Tuan Presidennya.

“Aku ada jamuan makan malam dengan Perdana Menteri Malaysia. Bila engkau nak sampai? Lama sangat aku menunggu kau! Datanglah cepat. Bilik di sebelah bilik aku memang sudah disediakan untuk kau. Datanglah, Jack. Datanglah, ya?”

John mengeluh dalam. Lega hatinya apabila orang yang dinanti-nantinya akan datang juga untuk menemuinya pada malam ini. Tidurnya pada malam ini akan lena…

“John…” David Doron muncul di ambang pintu. “Makan malam, jam 8.00.”
“Ya, ya. Aku sedang bersiap ni.”
“Dunia masih marah. Rakyat Malaysia masih marah. Jangan lupa pujuk PM Malaysia mengenai insiden di Selat Melaka,” David mengingatkan di antara agenda perbincangan.

“Ya, ya. Aku tahulah!”

Seri Perdana, Putrajaya

SEPERTI biasa, konvoi Tuan Presiden diiringi dengan beberapa buah kereta yang didahului dengan empat buah motorsikal polis trafik dan diapit dua buah motorsikal anggota Unit Tindakan Khas. John tersenyum bila terpandang teman lamanya sudah tercegat menanti di ambang pintu.

“Helo, apa khabar?” John menyapa seraya menghulur tangannya.
“Khabar baik, John. Long time, no see. Come right in, my friend!” jawab PM sambil menjabat tangannya.

David Doron dan Ed Arden hanya memerhati. Kedua-dua pemimpin ini berkawan ketika sama-sama menuntut di University of Cambridge, United Kingdom dalam jurusan Kejuruteraan Kimia. Hubungan mereka terputus setelah tamat belajar, sehinggalah mereka menjadi pemimpin di negara masing-masing.

Kepentingan perniagaan Amerika-Malaysia, peranan Malaysia dalam OIC, NAM, dan ASEAN serta pendirian vokal Malaysia terhadap isu-isu keamanan dan isu-isu alam sekitar membuatkan mereka sering berhubung. World Islamic Economic Forum memberi peluang bagi John Martinez untuk menemui teman lamanya di Malaysia.

“Apa yang kau dah buat dengan ilmu yang kau pelajari? Kau nak buat loji uranium di Malaysia?” John bergurau.
“Kalau aku nak buat loji uranium, orang pertama yang akan aku pinta nasihat, mestilah kau, John! Kau memang pakar membakar makmal!”

“Ha, ha, ha!” Kedua-duanya tertawa serentak kerana teringatkan insiden bagaimana John tersilap mengalirkan suhu eletrik ke atas wayar plasma hingga slapper detonator, menghasilkan letupan kecil di dalam makmal. Kejadian itu mengakibatkan seluruh blok makmal sains mengalami putus bekalan elektrik dan peperiksaan semester ditangguhkan.

“Apa yang kita nak bincangkan ketika makan?” tanya PM.
John sempat menjeling ke arah David Doron. Lelaki itu mengangkat keningnya sebagai isyarat agar John tidak melupai mengenai insiden di Selat Melaka. Kes itu amat penting untuk meredakan kemarahan rakyat Malaysia terhadap Amerika. John hanya tersenyum kembing bila melihat wajah suspens David.

“Apa lagi yang kita nak cakapkan melainkan kesedapan makanan Malaysia!” jawab John. "Aku suka roti canai dan nasi lemak!"
"Oh, kalau kau suka hidangan itu, esok kau datang bersarapan di sini aje," jawab PM.
David Doron jelas kecewa dengan reaksi Tuan Presidennya yang degil tidak mahu mendengar nasihatnya.


Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP