Sunday, November 22, 2009

FRAGMEN 19: DETIK DEBAR


Foto: diytrade.com
FRAGMEN 19
DETIKDEBAR


Denver Convention Center, USA
CAHAYA lampu di dewan ini mula dimalapkan. Ratusan para jemputan yang asyik berbual mula berpaling dan menumpukan perhatian ke hadapan. Cahaya terang sebuah lampu sorot memancar ke arah sebuah skrin yang mula bergerak perlahan-lahan berlabuh dari lelangit pentas.
Cahaya dari pelbagai warna mula memanah bersilang-seli ke layar perak. Dan sebuah animasi untuk gimik persembahan pelancaran produk pun terpapar. Sejurus asap ais kering terhembus meliputi pentas dan kerlipan cahaya laser pun menyilau. Dengan iringan bunyi dentuman muzik, maka muncul produk yang dinanti-nantikan ~ sebuah kasut sukan terkini ciptaan syarikat NeoSteps Corporation.

Semua para hadirin bertepuk tangan bila seorang lelaki muncul di pentas seraya melambaikan tangannya. Paparan di skrin terus menukar imej daripada produk kasut ke wajah lelaki yang kelihatan begitu ceria itu.

Dialah Smith Dawson, CEO NeoSteps Corporation. Dan tepukan semakin bergemuruh bila dia berdiri di samping produk syarikatnya. Tersenyum simpul bergaya santai sambil membiarkan kerlipan kamera para jurufoto memercik ke wajahnya. Sambil berdehem, dia membetulkan mikrofon. Petanda dia akan memulakan ucapan untuk memperkenalkan produknya.

Jennifer Miles tersenyum sinis memerhatikan semua ini. Dia sudah kerap sangat menghadiri majlis-majlis sebegini. Baginya, ia tidak mempunyai apa-apa makna melainkan sebuah majlis promosi yang klise. Sebuah majlis keraian yang tampaknya gah, tetapi belum tentu menjamin produk yang benar-benar berkualiti.

Jika pun ia sebuah produk yang bagus, belum tentu lagi pengeluarannya menuruti peraturan dan undang-undang di tempat ia dibuat. NeoSteps Corporation juga adalah sebuah syarikat antarabangsa yang mempunyai kilang-kilang pengeluaran di merata dunia khususnya di negara-negara membangun. Jennifer tahu cerita di sebalik kehebatan syarikat itu. Dan Jennifer mahukan jawapannya.

“And now... question time...” kata CEO NeoSteps Corporation menghabiskan ucapan lalu melangkah turun dari pentas ke ruang sofa di mana satu sidang akhbar akan berlangsung.
Mendengarkan itu, Jennifer melangkah ke hadapan. Dia ingin bertanyakan soalan. Soalan-soalan yang menarik perhatian CEO itu. Soalan-soalan yang bakal merobah wajah lelaki yang kelihatan begitu seronok itu!

Jennifer hanya mengukir senyuman plastik bila mendengar para wartawan lain bertanya pelbagai soalan. Kesemua soalan-soalan yang dikemukakan berbaur puji-pujian yang mengundang rasa gembira dan kembang hidung lelaki itu. Dan para hadirin bertepuk tangan setiap kali lelaki itu menyudahkan jawapan. Hebatnya NeoSteps Corporation. Seolah-olah ia begitu gemilang dan tiada danu.

“One last question...” ujar lelaki itu sambil tersenyum lagi.
“Ya... one more question, Mr. Smith...”
Wajah Smith Dawson serta merta berubah bila bertembung mata dengan Jennifer. Dia tertunduk seketika memandang ke lantai. Ada riak bimbang diwajahnya. Sambil mengusap dagunya yang tentunya tidak gatal, Smith mengukir senyuman. Senyuman plastik.

“Saya terbaca laporan sebuah NGO mengenai reban kasut tuan di Indonesia...”
Perkataan 'reban' sudah cukup membuatkan Smith berasa terpukul. Para wartawan yang berada berhampiran dengan Jennifer mula memandang sinis ke arah wanita itu. Mereka kenal siapakah Jennifer Miles. Lalu mereka menginjak untuk menjauhi Jennifer kerana berasa tidak selesa dengan perkataan yang dipilih wartawan wanita itu.

“Dia ni tak sudah-sudah dengan kontroversi,” bisik seorang wartawan kepada rakan sejawatnya. “Sepatutnya dia berada di neraka Palestin. Tempatnya bukan di sini,” jawab rakannya pula.

Jennifer terdengar kata-kata memperli itu. Namun dia tidak peduli. Baginya, wartawan-wartawan yang membuat liputan dunia perniagaan adalah mereka yang mudah digula-gulakan dengan material. Mereka yang membuat liputan produk akan menerima pelbagai cenderahati yang dipanggil 'door gift.'

Akibatnya, mereka yang termakan budi akan melaporkan yang muluk-muluk mengenai syarikat penaja majlis. Kerana hadiah yang diterima, pelancaran yang gah itu akan diberi ruang lalu tersebar sebagai sebuah berita yang dibaca dan ditonton ramai. Padahal, ia adalah sebuah gimik pemasaran di mana si tuan punya majlis tidak perlu mengeluarkan bajet yang besar. Cukup sekadar memberikan cenderahati yang murah harga dan nilainya.

“What is your name, young lady?” Smith bertanya nama Jennifer. Seolah-olah dia tidak mengenali wartawan yang terkenal itu.
“Jennifer... Jennifer Miles...”
“The Legendary Jennifer?”
Jennifer hanya mengukir sekilas senyuman kerana diberi gelaran 'lagenda.' Dia tahu lelaki itu sengaja cuba memujinya untuk melengah-lengahkan masa. Sengaja tidak mahu menjawab soalannya. Satu petanda yang dia akan berdolak-dalik.

“Maafkan saya, err... Jennifer. Saudari mengistilahkan kilang pengeluaran saya di Indonesia sebagai reban? Reban ayam? Maaf. Saya tidak mengeluarkan bulu tangkis!”

Jawapan Smith membuatkan keseluruhan para hadirin tertawa. Namun, perasaan Jennifer tidak berasa tergugat pun. Dengan lantang dia bersuara, “NeoSteps adalah jenama global. Jenamanya sudah mengatasi lain-lain jenama kasut di dunia. Produknya berkualiti. Malah, NeoSteps memperoleh keuntungan berbilion ringgit. Dan, saham NeoSteps kini di antara saham yang paling menguntungkan di Bursa Saham New York.

Tetapi, mengapa NeoSteps menganiaya tenaga buruhnya? Mengapa membayar mereka gaji harian yang kecil yang nilainya lebih rendah daripada sebuku roti? Oleh kerana gaji yang kecil, mereka tinggal merempat di dalam rumah-rumah yang diperbuat daripada kotak kertas!

Mereka tinggal di tepi-tepi sungai dan mandi di celah-celah timbunan sampah sarap. NeoSteps sebagai jenama global yang kaya raya, apa yang NeoSteps lakukan untuk masa depan para pekerjanya? Dan tuan sebagai CEOnya, apakah yang tuan pernah saksikan sendiri kehidupan daif mereka?” soal Jennifer dengan suara yang lantang.

“NeoSteps tidak bertanggungjawab dengan kehidupan peribadi para pekerjanya di Indonesia. Apa yang penting, mereka setuju dengan bayaran gaji yang diberi. Kalau mereka tidak mahu, mereka boleh sahaja berhenti kerja.

Kalau mereka berhenti kerja, ada ramai lagi mereka yang mahu bekerja di kilang kami di sana. Bagaimana pun, kami telah memenuhi tuntutan piawaian antara bangsa hak-hak para pekerja. Jadi, apa masalah awak, Jennifer?” soal Smith dengan matanya yang mula mencerlang.

“Saya tiada apa-apa masalah... sebaliknya, tuan yang punyai masalah! Tuan sudah hilang jiwa sebagai manusia! Kerana wang dan keuntungan, tuan membiarkan para pekerja yang membuat kasut syarikat tuan hidup bagai gelandangan.”

“Apa yang awak cakapkan ini, Jennifer?” soal Smith.
“Laporan NGO Workers World menunjukkan NeoSteps adalah salah sebuah konglomerat Amerika yang menganiaya para pekerja!” bantah Jennifer.
“Workers World? Kamu kata, Workers World? Rupa-rupanya kamu membaca laporan NGO yang itu ke?” soal Smith.
“Ya!”

“Sebenarnya, saya sudah membaca laporan itu. Kami dapati Workers World telah tersilap lapor! Peguam kami telah menghubungi mereka dan mereka akan menarik balik laporan kaji selidik itu. Err... kebetulannya, pemimpin Workers World, Mr. Roger Parker ada di sini sebagai tetamu saya. Roger... dipersilakan Mr. Roger Parker ke mari...”

Para hadirin yang asyik mendengar perdebatan Jennifer dan Smith tertoleh-toleh mencari orang yang bernama Roger Parker. Lampu sorot di lelangit dewan turut berkeliaran mencari pemimpin NGO itu. Akhirnya, kelihatan seorang lelaki mengangkat tangan. Dengan malu-malu, dia melangkah perlahan ke pentas. Smith terus merangkul bahu lelaki yang menghampirinya.

“Ini dia, Mr. Roger Parker. Beliau telah membuat kaji selidik mengenai tanggungjawab NeoSteps ke atas para pekerja di Indonesia. Pada mulanya, Workers World berpendapat NeoSteps telah melanggar hak asasi para pekerja.
Tetapi setelah mereka menyelidik kembali dengan bantuan Jabatan Sumber Manusia kami, Workers World mendapati NeoSteps telah memenuhi piawaian antara bangsa hak asasi para pekerja!”

Kata-kata Smith disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin. Jennifer ternganga memandang drama yang berlaku di depan matanya. Hatinya semakin memberontak.
“Oleh kerana seorang wartawan terhormat telah mempersoalkan kredibiliti kami, biarlah pemimpin Workers World, Mr. Roger Parker menerangkan kedudukan sebenar. Dipersilakan...” ujar Smith lalu menghulurkan mikrofon kepada pemimpin NGO itu.

‘Oh, my God... rupa-rupanya Workers World telah dibeli. Ia sudah tiada roh perjuangan...’ desis Jennifer di dalam hati.
Dengan perasaan yang membungkam, Jennifer berpaling dan melangkah keluar dari dewan itu. Dia tidak mahu mendengar pengakuan palsu ketua NGO itu. Di laluan keluar, Jennifer disapa oleh seorang petugas NeoSteps.
“Maafkan saya, puan...”
“Hmm...” jawab Jennifer sambil tersenyum sebagai tanda hormat.

“Saya tengok, puan masih belum lagi memperoleh cenderahati sepasang kasut daripada NeoSteps. Silalah pilih mana satu kasut yang puan ingini...” kata petugas itu seraya mengunjuk ke arah susunan kasut yang tersedia sebagai cenderahati.
“Thank you. How I wish I don’t have any legs!” jawab Jennifer dengan wajah yang mencuka. Meninggalkan petugas yang terpinga-pinga itu.

BARU sahaja Jennifer membuka pintu kereta, dia menerima panggilan daripada ayahnya.
“Ya, papa...”
“Jenny... apakah sayang hendak melancong?”
“Melancong? Alah, papa ni janganlah bergurau!”
“Maksud papa, Jenny hendak tak ke sebuah negara di Asia Tenggara?”
“Indonesia?”
“Bukan Indonesia, tetapi ke sebuah negara yang berhampiran dengannya.”
“Malaysia?”
“Ya, Malaysia!”
Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...




FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap dan diinterogasi.

Jalur 2: Oleh kerana menimbulkan masalah, Jennifer Miles, seorang wartawan perang telah ditukarkan ke meja bisnes. Namun, sikapnya yang tegas dan lantang tetap mengundang kurang senang orang walau di mana dia berada.

7 comments:

akimsensei November 22, 2009 at 11:22 AM  

still xdpt agak, kenapa milles tu nak dihantar ke malaysia..

eyman hykal November 22, 2009 at 4:29 PM  

Saya pun x tau, Akim! He3... ;)
Never mind, mudah-mudahan, teka-teki itu menghiburkan. Terima kasih kerana setia ke mari!

Linda Amri November 23, 2009 at 5:53 PM  

Hmmm... sy suka main jigsaw puzzle sebab tu sy suka bermain teka-teki, tp utk menyelesaikan yg ini belum cukup clue lagik. Dan, sy semakin berdebar dah nih :-)

eyman hykal November 24, 2009 at 8:52 AM  

Linda,
Lama Linda tak tinggalkan jejak. Teka-teki pertama akan terurai dalam sehari-dua ini.

MK November 26, 2009 at 1:17 AM  

saya pun macam akim, kurang pasti apa motif(misi) jennifer miles tu dihantar ke malaysia.

eyman hykal November 26, 2009 at 4:46 AM  

MK... Sebenarnya dia hanya dipinta oleh bapanya bertugas di Malaysia, membuat liputan syarikat Amerika di Malaysia. Itu aje. Tapi, Jennifer Miles adalah Jennifer Miles. Wataknya fuh, saya sendiri susah nak control! (cewah!)

MK November 27, 2009 at 7:39 AM  

waa, mcm tu rupanya.

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP