FRAGMEN 22: DETIK DEBAR
FRAGMEN 22:
DETIK DEBAR
KLIA, Sepang, Selangor
FARIZ ZAFAR berasa lega setelah melewati pintu pemeriksaan. Hatinya gembira sebaik sahaja menjejakkan kakinya ke tanah tumpah darahnya. Tiada kata yang boleh dilafazkan betapa bahagianya apabila berada di negara sendiri. Keletihannya setelah menamatkan latihan di Narathiwat, Thailand terus menghilang apabila menara KLIA dapat dilihat dari angkasa sebentar tadi.
Dia bercadang untuk ke pejabat BISIK terlebih dahulu untuk membuat laporan sebelum pulang ke rumah. Pada petang esok, dia bercadang hendak pulang ke kampungnya pula di Terengganu. Nenek yang dirindui terasa lama tidak ditemui meskipun baru dua minggu dia meninggalkan tanah air untuk mengikuti latihan.
“Saya nak ke kedai surat khabar sekejap, Mala. Tunggu saya, ya? Kita naik teksi sama-sama,” ujar Fariz kepada rakan setugasnya.
Normala yang berjalan mendahuluinya hanya mengangguk tanpa menoleh. Fariz memandang wanita itu menolak troli dan begnya menuju ke kaunter teksi sebelum dia berpaling dan terus menapak ke kedai akhbar untuk mendapatkan akhbar Sinar Harian.
Fonselnya bergetar. Fariz menyeluk saku dan mengeluarkannya. Wajah seorang wanita berkulit putih terpapar di skrin. Dahi Fariz terkerut. Fikirannya deras menyimpangsiurkan soalan-soalan mengenai siapakah wanita ini. Fariz mencuit-cuit skrin fonselnya untuk membaca teks yang disertakan.
‘Jennifer Miles, wartawan WorldLiveLine, kini di KLIA. Bayangi dia.’
Fonsel segera dimatikan. Kacamata hitamnya dibuka dan disisip ke dalam poketnya. Fariz mencari kerusi dan terus duduk memangku kepalanya. Kepalanya diramas-ramas. Kemudian dia mengeluh. Penat belum hilang, satu tugas baru sudah menyusul. Belum pun sempat dia berehat, kerja baru sudah sampai. Ah, penatnya.
Beberapa ketika dia tertunduk dengan matanya yang terpejam. Fariz cuba merasionalkan fikirannya. Ya. Betapa penat pun tubuh, dia mesti patuh kepada arahan. Tugas tetap tugas. Ia adalah tanggungjawab yang mesti dipikul. Dia mesti memegang amanah. Jenis tugasnya bukan kerja yang mudah.
‘Selain saya, hanya kamu sahaja yang tahu arahan yang diterima. Setiap arahan mestilah dipatuhi. Ia adalah tugas yang mesti dibereskan. Tidak boleh tidak. Amanah ke atas kamu adalah satu jihad fisabilillah. Dengan lafaz bismillah… dengan sumpah la illaha illallah, bangun dan melangkahlah!’
Bisikan Tuan Aziz ke telinganya mula terngiang-ngiang. Fariz menghembuskan nafasnya. Matanya terbuka luas. Secara spontan, Fariz mendongak dan memandang ke sekeliling. Matanya berlari-lari untuk mengimbas mana-mana wanita berambut perang yang terjangkau pandangannya.
Wajah Jennifer Miles yang terpapar di skrin fonselnya sudah terakam di mindanya. Sebagai ejen yang terlatih, dia cepat menangkap dan mengingat sesuatu imej yang terpapar walaupun muncul secara sekali imbas. Namun, tiada seorang pun wanita kulit putih yang kelihatan ketika itu.
Fariz mula berjalan. Pandangannya terhala ke hadapan. Namun, ekor matanya menyaring imej-imej orang ramai yang melewati pergerakannya. Dia menoleh ke arah kaunter teksi yang sudah kelihatan sayup pada pandangan mata. Mencari kelibat Normala. Namun, bayang wanita itu sudah tidak kelihatan.
JENNIFER MILES berasa amat letih. Penerbangan Royal Dutch Airlines daripada Hopkins International Airport Cleveland, Ohio ke KLIA mengambil masa 33 jam setelah transit di Memphis, Tennessee dan juga di Amsterdam. Di sepanjang perjalanan, dia hanya menonton video yang terpasang di belakang kerusi di hadapannya. Bila bosan menonton, dia tidur untuk menghabiskan masa.
Kedatangannya ke Malaysia adalah untuk membuat liputan mengenai pelaburan syarikat-syarikat Amerika di Malaysia. Dia perlu ke Kedutaan Amerika di Ampang sebelum ke pejabat Majlis Perniagaan Malaysia-Amerika.
Sebagai wartawan meja bisnes, ayahnya mahukan dia membuat liputan berita perniagaan semata-mata. Tidak lagi melaporkan pergolakan politik dan juga peperangan. Ayahnya, Miles Steward, sengaja mahu dia pergi jauh dari Amerika dan juga Timur Tengah. Lagi jauh, lagi bagus! Biarlah isu anaknya ini akan tenggelam dan dilupakan. Orang tua itu tidak mahu kehilangan Jennifer, sepertimana dia kehilangan isterinya, Nancy.
Kini, setelah mengalas perut di The Coffee Bean, dia berehat seketika di salah sebuah kerusi menanti. Sambil itu, jejarinya menekan-nekan butang fonselnya untuk membuat tempahan hotel menerusi internet. Paparan siaran televisyen Bernama TV di ruang legar menarik perhatiannya.
‘Kelasi kapal al-Bahr yang tercedera akibat tembakan dari kapal perang Amerika USS Lakota, telah meninggal dunia. Nizam Abdul Samad, 27 tahun, warganegara Malaysia, sebelum ini mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Kelang kerana cedera parah akibat terkena serpihan peluru senjata dari kapal Amerika tersebut…’
“What the…” gumam Jennifer.
Dia bingkas bangun dan berjalan pantas. Beg pakaiannya diheret. Sesekali beg berlerengnya tergolek-golek apabila hilang imbangan. Jennifer tidak peduli. Dia terus berjalan kerana mahu cepat. Matanya tertoleh-toleh mencari kedai surat khabar. Dia mahu dapatkan akhbar tempatan untuk memperoleh berita terperinci mengenai kapal al-Bahr itu. Sejurus dia tiba ke kedai yang dicari.
“Give me a newspaper… any newspaper, quick!” kata Jennifer kepada petugas di situ.
Suaranya menarik perhatian seseorang. Fariz menolak kacamata hitamnya dan memandang tepat ke arah Jennifer dari jarak tiga meter daripada wanita itu. Setelah memperoleh The Star, Jennifer lantas berjalan ke luar kedai surat khabar itu. Sambil mengepit Sinar Harian, Fariz turut melangkah menjejaki wanita itu.
Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...
2 comments:
misi fariz zafar telah bermula.. ini membuatkan diri ternanti2 apakah yang bakal terjadi.. semakin mendebarkan..
Ciklie... Ya, misi telah bermula. Tapi bukannya misi menjaga Jennifer Miles. Ada misi yang lebih BESAR! :)
Post a Comment