Saturday, April 30, 2011

FRAGMEN 71: DETIK DEBAR





Photo credit: hospitalmaponline.com

Hospital Pantai Kuala Lumpur

SEBAIK sahaja ambulan sampai di Unit Kecemasan, para petugas yang sedia menunggu bergegas membuka pintu belakangnya. Pengusung Presiden John Martinez ditarik keluar dengan segera. Kereta rasmi PM yang mengekori turut tiba sejurusnya. PM segera bergegas untuk membantu tugas pihak hospital.

PM sudah tidak mempedulikan protokol. John Martinez bukan sahaja Presiden Amerika Syarikat. John Martinez adalah sahabatnya sejak di zaman kampus lagi. Seketika sahaja pengusung yang beroda itu sudah ditolak ke foyer. David Doron turut berlari mengekori. Pengusung beroda itu turut ditolaknya hingga ke bilik bedah.

“Doron…” kata John Martinez seraya membuka matanya.
“Ya, Tuan Presiden…”
“Cukuplah setakat di sini sahaja kamu membantu saya…”

“Saya mesti berada di mana Tuan Presiden pergi. Tuan Presiden cedera parah! Ini tugas saya,” jawab David Doron.
“Saya faham…” ujar John lalu tersenyum. “Tapi saya kini berada di tempat yang selamat kerana Perdana Menteri Malaysia ada bersama saya. Biarlah saya di bilik bedah ditemani PM Malaysia.”

Buat beberapa ketika, David Doron termangu. Kemudian dia mengangguk perlahan tanda bersetuju dengan saranan Presidennya. Namun, sebenarnya hati David melonjak kegembiraan. Berharap sangat agar John Martinez menemui ajalnya secepat mungkin!

Hotel Savana International, Jalan Kelang Lama, Selangor

ALVARO menolak pintu yang tidak berkunci. Dia menjenguk ke dalam. Terpandang seseorang sedang duduk tersandar di depan TV. Jelas sekali dia keletihan. Matanya layu. Kerana itu, lelaki itu tidak menoleh pun. Lagipun, sedar siapakah yang masuk ke biliknya.

“Aku dah tembak! Tepat ke jantungnya.” Alvaro menekur ke jam tangannya. “Pada saat ini, menurut jangkaan aku, John Martinez sudah meninggal dunia 10 minit yang lalu! Ya! Dia dah mati!”

Alvaro menumbuk-numbuk ke udara. Persis seorang ahli tinju yang sedang berlatih sebelum sesuatu pertandingan. Tidak cukup dengan itu, kakinya pula menendang-nendang ke udara. Riang sungguh dia. Tetapi lelaki yang sedang melayan matanya itu hanya mencebir kerana meluat dengan aksi lelaki berbangsa Chicano itu. Apabila lelaki itu tidak melayaninya, Alvaro mengacah-acah penumbuk di depan muka temannya itu.

“Jangan kacau akulah. Aku nak berehat.”
Alvaro tertawa mengekek. Gembira sangat kerana telah berjaya melaksanakan tugasnya. Tawanya yang kuat itu membingitkan telinga.
“Bisinglah, kamu ni!” Lelaki itu berpaling ke arah lain. Kepalanya ditutup dengan kusyen kecil untuk menghalang bunyi bising menyucuk telinganya.

“Okeylah, okeylah. Aku tak nak kacau kau. Jom… kita bersalaman. Aku nak ucapkan tahniah di atas kejayaan rancangan kita,” kata Alvaro seraya menghulurkan tangannya.
Lelaki itu membuka matanya. Lantas dia duduk tegak lalu menyambut tangan Alvaro. Mereka sama-sama berjabat salam.

“Tahniah, Alvaro di atas kejayaan kamu,” kata lelaki itu.
“Tahniah juga di atas usaha kamu menyediakan laluan untuk aku. Tanpa bantuan kamu, aku tak akan dapat ruang untuk menghampiri John Martinez. Terima kasih, Omar!”

Lelaki yang dipanggil Omar itu menarik tangannya. Wajahnya mencuka.
“Jangan panggil nama itu lagi. Operasi dah tamat! Panggil nama asal aku… Menahem!”
“Oh, okey… okey. Kau tidurlah dulu. Aku nak mandi. Lepas itu, aku pun nak tidur. Malam ini, kita pulang ke Amerika, okey!” jawab Alvaro. Tidak mahu mengganggu temannya itu.

Omar berkalih dan berbaring pula di sofa. Sambil itu, tangannya mencapai fonselnya untuk melihat jam. Lalu terpandang ikon menandakan ada panggilan untuknya. Lekas-lekas dia membuka fonselnya untuk mengetahui siapakah yang memanggil.

Dia mencebir kerana si pemanggil adalah Moussa Arafat. Baginya, Moussa telah mati. Mana mungkin dia akan bercakap dengan orang yang dah mati?

Seri Perdana, Putrajaya

SUASANA sedikit kecoh di pekarangan kediaman rasmi Perdana Menteri. Kecoh kerana kira-kira 50 orang wartawan TV, akhbar dan media baru tiba hampir serentak di Seri Perdana. Walaupun hujan renyai-renyai, masing-masing meredahnya pantas menuju ke bangunan itu.

Ketibaan mereka disambut oleh para petugas. Sememangnya mereka kesemuanya dipanggil ke Seri Perdana kerana Perdana Menteri hendak membuat satu sidang akhbar khas.
“Aku rasa, PM buat PC mengenai keadaan John Martinez. Sumber aku di hospital kata keadaan Tuan Presiden parah,” kata Palie, wartawan Sinar Harian.

“Jangan-jangan PM buat sidang akhbar untuk umumkan John dah mati, Palie!” kata rakannya, seorang wartawan Bernama TV.
“Kalau dah mati, tak mungkin dia buat sidang akhbar kat Seri Perdana. Tak mungkin juga PM panggil semua media termasuk dari luar negara. Tentu dia panggil RTM saja untuk buat pengumuman,” jelas Palie menurut andaian berdasarkan pengetahuannya.

Rakannya terangguk-angguk menerima andaian Fazli. Sambil itu masing-masing memerhati beberapa orang jurukamera memikul tripod kamera masing-masing sambil berdiri di hadapan pintu Dewan Jamuan Khas. Dewan ini digunakan untuk jamuan Ketua-ketua Negara.

Para wartawan mula berkerumun sebaik sahaja seorang petugas Seri Perdana menghampiri pintu. Masing-masing memerhati petugas itu memutar tombolnya. Sebaik sahaja pintu terkuak, masing-masing terpaku. Mulut mereka ternganga kerana tidak percaya apa yang mereka lihat!

“Dipersilakan semua,” PM kelihatan tersenyum.
Dia tahu para wartawan yang datang terkejut apa yang mereka lihat. Mereka bagai tidak percaya melihat John Martinez yang tersenyum sama. Lelaki itu kelihatan begitu santai sambil mengunyah goreng pisang menggunakan sudu dan garfu.

“Anda semua kelihatan terkejut seperti ternampak hantu!” John Martinez melawak.
Para wartawan tertawa serentak. Dewan itu gamat dengan hilai tawa. Jika sebelum itu, mereka kesemuanya kelihatan serius, kini mereka tertawa lega apabila melihat John Martinez sihat sejahtera.

“Eh, aku nampak dia luka parah kat Dataran Merdeka. Baju dia habis lencun dengan darah. Macam mana dia nampak okey aje?” bisik Palie kepada rakan wartawan di sebelahnya.
“Aku pun sama nampak dia cedera. Dada dia berombak macam dah nak mati. Macam mana boleh jadi sihat walafiat pulak ni?” tingkah rakan Palie.

Bukan Palie dan rakannya sahaja yang kehairanan. Malah wartawan-wartawan lain pun kelihatan berbisik-bisik sesama sendiri kerana mereka merakam setiap detik cemas yang terjadi di Dataran Merdeka pagi tadi. Apa yang sebenarnya terjadi?

Bersambung minggu hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, April 24, 2011

FRAGMEN 70: DETIK DEBAR




Photo credit: filmotion.com

Dataran Merdeka

MOUSSA mendengus. Rasa marah menyelinap di hatinya. Bersusah payah dia datang ke negara ini untuk melaksanakan satu tugasan yang telah dirancang begitu rapi. Tiba-tiba ia tidak menjadi kenyataan. Meskipun orang lain yang tidak diketahui telah berjaya membunuh John Martinez, namun Moussa benar-benar tidak puas hati. Baginya, biarlah Gerakan Laskhar Jihad yang menyudahkan tugas membunuh pemimpin dunia itu.

Moussa mundar-mandir di tengah-tengah orang ramai. Memikirkan apa yang harus dilakukannya. Dan, dia teringatkan Omar. Lantas fonselnya dicapai untuk menghubungi lelaki yang menjadi kontaknya di Malaysia.

Moussa mendail. Fonsel dilekap ke telinganya. Kedengaran nada berdering beberapa kali hingga ia terputus. Moussa mendail lagi. Kedengaran kembali nada dering. Kali ini kedengaran bunyi panggilannya bersambut.

“Omar… ini Moussa…”
Panggilannya tidak bersahut. Kedengaran talian diputuskan. Moussa mendail semula. Beberapa ketika dia melekapkan fonsel ke telinganya. Matanya terkelip-kelip sambil telinganya menanti bunyi nada dering. Tetapi kali ini kedengaran nada dengut menandakan panggilannya tidak kesampaian.

Moussa mendail lagi. Dan lagi, dan lagi. Namun panggilannya tiada jawapan. Moussa mendengus. Hatinya membengkak kerana Omar tidak mahu mengangkat telefon. Kini dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Moussa menoleh ke kiri dan ke kanan. Memerhati keadaan di sekeliling sementara otaknya ligat berfikir apa yang harus dilakukannya.

Tiba-tiba pandangannya tertancap ke arah seseorang. Perlahan-lahan sebuah senyuman terukir di bibirnya. Dengan berhati-hati dia mengatur langkah menghampiri Jennifer dari arah belakang.

‘Sebelum aku pulang, baik aku selesaikan dendam ini. Sebenarnya dialah yang boleh membuat hati aku puas! Dialah menjadi penyebab aku ke mari!’ kata hati Moussa.

Darahnya mula mendidih. Dia teringat bagaimana anak-anaknya Naeem dan Nazeem menemui ajal. Jikalau Jennifer membawa kedua-dua anaknya ke hospital, tentu mereka masih hidup.
Tetapi Jennifer lebih mementingkan tugas dan glamournya sebagai wartawan yang terkenal. Lalu anak-anaknya dijadikan hiasan siaran agar dunia seronok melihat liputannya. Dan, Naeem dan Nazeem dinafikan kehidupan. Mereka mati di tangan perempuan ini!

Dada Moussa berombak kencang. Dia semakin menghampiri. Jelas sekali Jennifer tidak sedar akan kehadirannya. Biarlah. Biarlah nyawa Jennifer disudahkan di tengah-tengah khalayak ramai. Biarlah nyawanya juga menjadi taruhan. Andainya dia ditakdirnya ditangkap kerana perbuatannya membunuh Jennifer, itu tidak mengapa asalkan kematian kedua-dua anaknya terbela.

Langkah Moussa terhenti sebaik sahaja tangannya hendak menggapai tengkuk Jennifer. Sepantas kilat, Moussa berpaling dan melangkah perlahan-lahan menjauhi wanita itu. Kira-kira lima meter dia menapak, Moussa menjeling dan menoleh.

Mulutnya berkerinyut kerana ternampak Fariz bersama dengan wanita itu.

“FARIZ! Kenapa lewat sangat? Ke mana awak pergi?” soal Jennifer.
“Kita tak ada masa, Jenny. Teruskan kata… apa yang membuat awak cemas mencari saya?”
Jennifer terggeleng-geleng. Bagai orang mamai yang ingin menyedarkan dirinya. Lantas tangan Fariz ditarik. Lelaki itu diheret ke pentas utama.

“Saya nampak! Saya nampak muncung pistol muncul dari permukaan lantai tempat John Martinez berdiri. John membongkok apabila terpandang muncung pistol itu. Ketika itulah saya nampak John ditembak. Saya pasti ada seseorang yang berada di bawah pentas itu!”

“Okey. Kalau mana-mana pihak keselamatan inginkan maklumat dari awak, jangan beritahu apa-apa sebelum awak beritahu saya dulu. Jumpa lagi!”
“Awak hendak ke mana?”

Fariz tidak menjawab. Keterangan ringkas itu adalah maklumat awal yang cukup untuk Fariz bertindak. Dia menerpa ke sisi pentas, menyelak kain skirting yang menutupi lalu memboloskan dirinya. Meninggalkan Jennifer terpinga-pinga kehairanan kerana tindakan tangkas Fariz.

‘Siapa dia? Dia muncul dan menghilang pada setiap ketika. Apakah dia polis Malaysia seperti yang Ed Arden kata?’ soalan itu terlintas di benak fikiran Jennifer.

FARIZ menyarung kacamata night vision yang turut mempunyai fungsi pemantauan infra-merah. Dengan hati-hati dia memantau kawasan sekeliling. Mengecam cahaya merah yang melintas di pandangannya. Cahaya merah adalah haba yang menandakan sesuatu yang panas ada berhampiran. Yang ingin dikenalpasti adalah haba yang datang dari tubuh manusia, bukan haba dari sumber lain seperti binatang atau struktur lain yang mengeluarkan haba seperti generator.

‘Mudah-mudahan target tak sempat lari jauh…’ kata hatinya.
Sekilas garisan-garisan merah mengusik pandangannya. Petanda ada sesuatu yang berhaba pernah berada di kawasan berhampiran dengannya. Fariz menjuruskan pandangannya ke satu arah di tanah. Di situ terdapat lagi kesan-kesan haba.

Fariz menghampiri dan ternampak lubang perparitan yang sudah terbuka. Dengan pantas dia memboloskan dirinya ke dalam terowong. Menuruni tangga besi dari ketinggian tiga meter. Fariz menahan nafas. Bau di kawasan sekeliling menyesakkan hidungnya.

Dia memandang ke bawah. Dia nampak parit yang menjulur ke hadapan. Dengan berhati-hati Fariz melangkah. Untuk mengelak becak yang akan mengeluarkan bunyi hingga menarik sesiapa yang berada berhampiran.

Tiba-tiba kedengaran ngauman bunyi yang turut menggegarkan suasana sekeliling.Telinganya lekas mengekori bunyi yang semakin menghampiri. Angin deras menyerbu ke tubuhnya. Matanya cepat sekali menangkap cahaya yang tiba-tiba menyuluh tubuhnya.

‘LRT!’ getus hatinya.

Fariz segera menyandarkan dirinya ke tembok. Kedua-dua tangannya mencengkap kuat dinding batu di belakangnya. Angin yang menyerbu turut menggoyangkan tubuhnya. Matanya terpejam rapat kerana bunyi deru dan keriutan nyaring roda LRT yang menggesel rel membingitkan telinganya. Tren itu melintasi hanya sedepa jaraknya daripada tubuhnya. Di saat itu, dirinya terasa bagai ingin digilis LRT itu.

Seketika sahaja tren itu menjauh. Fariz menggeleng. Sedikit kesal kerana tidak memantaukan pandangannya lebih jauh. Oleh kerana terlalu asyik ingin mencari targetnya, dia tidak sedar yang dia berada di laluan LRT.

Fariz mula melangkah pantas. Sambil itu pandangannya memantau dan tercari-cari haba merah di sekelilingnya. Cahaya yang terang berbalam di hujung terowong menangkap pandangannya.
‘Itu stesen LRT. Kalau tak silap stesen Pasar Seni,’ kata hatinya lagi. ‘Mungkin target sudah tiba di sana.’

‘Zzzzup!’
“Argh!” Fariz terjerit.

Dadanya bergegar. Nafasnya sesak bila sesuatu terasa menghenyaknya. Fariz segera menyedut nafas dalam-dalam. Matanya melingas mencari cahaya haba. Kini cahaya itu dilihatnya berada di mana-mana. Petanda targetnya sedang berlegar-legar di sekelilingnya. Fariz menoleh ke sisinya. Kini, dia jelas nampak seorang lelaki bertubuh sasa sedang mencega untuk menyerangnya. Lelaki itu turut memakai kacamata night vision.

‘Hmm… yang diburu sudah ada di sini!’ kata hati Fariz.
‘Zzzup!’

Satu tendangan melintas di depan matanya. Fariz mengelak, namun tendangan itu terkena sisi kepalanya. Kacamata night visionnya terpelanting jatuh. Belum sempat dia mengecam siapakah yang menyerangnya, pandangannya sudah gelap! Tidak nampak apa-apa. Tidak tahu orang yang menyerangnya adalah Alvaro, lelaki Yahudi yang bertubuh sasa.

‘Ceh!’ Fariz mendengus di dalam hati.
Tanpa menunggu lagi, Fariz terpaksa membuka langkah seribu sebagai helah ke arah cahaya di hujung terowong. Dia berlari sekuat tenaganya menyusur di sisi rel LRT. Kilauan cahaya besi rel itu sahaja yang dapat membantu hala tujunya.

Tiba-tiba dia terasa kakinya dibentes. Fariz jatuh tertiarap. Namun dia dapat mengagak tubuhnya akan dihempap. Lantas dia menggolekkan dirinya. Benar jangkaannya, musuhnya sedaya upaya cuba memijak tubuhnya.

Fariz tidak boleh bertahan begitu. Penyerang yang berada di kedudukan yang lebih tinggi berpeluang untuk memenangi pertarungan. Dengan pantas, Fariz menggunakan kakinya untuk menendang kepala Alvaro. Giliran lelaki itu pula yang tumbang. Kacamata night visionnya juga terpelanting.

‘Padan muka!’ Fariz sempat tersenyum sedikit bila melihat Alvaro terkial-kial mencari kacamatanya di dalam kegelapan. Mata Fariz yang lebih lama tiada berkacamata sudah dapat menyesuaikan pandangannya di dalam kegelapan.

Pada saat ini, Fariz segera bangkit dan berlari kembali ke arah stesen Pasar Seni. Sambil berlari, tangannya mengambil sesuatu yang terselit di kepala talipinggangnya. Suatu alat kecil sebesar kepala mancis yang akan membantu tugasnya kelak. Pendengarannya menangkap bunyi tapak kasut Alvaro yang kini mengejarnya.

Kini Fariz sudah bersedia dengan alatnya. Lalu dia memperlahankan lariannya. Seperti jangkaannya, sekali lagi kakinya dibentes. Namun pada kali ini Fariz sudah bersedia.
Sebaik sahaja tubuhnya mencecah ke tanah, dia melakukan monkey walk, iaitu teknik pergerakan parkour yang menggunakan kaki dan tangan untuk bergerak pantas ke pelbagai arah.

Dari ekor matanya, dia nampak Alvaro terkeliru dengan pergerakannya yang pelbagai. Sebaik sahaja dia nampak Alvaro teragak-agak untuk menyerangnya, Fariz menerjah seperti harimau dan menolak Alvaro ke tanah. Lelaki itu jatuh terlentang. Fariz menindihnya.

Tangan kiri Fariz segera menampar pipi Alvaro untuk mengalih perhatian sementara tangan kanannya lekas-lekas menampar telinga lelaki itu. Pada saat impak tamparan itu mencecah telinga Alvaro, jejarinya menolak alat kecil itu ke dalam telinga Alvaro.

Kemudian, sepantas kilat Fariz bangkit dan lari lagi ke arah stesen LRT Pasar Seni. Meninggalkan Alvaro yang masih terpinga-pinga. Bunyi deruman tren LRT yang mendatang membuatkan Fariz tersenyum. Dengan segera dia melompat ke atas tren itu.

Fariz sempat memandang ke luar tingkap ketika tren melewati Alvaro yang kelihatan baru bangkit sambil berjalan terhenjut-henjut. Beberapa ketika tren bergerak, Fariz membuka fonselnya.

Satu butang di tepi fonselnya ditekan. Kelihatan lampu kecil berwarna hijau berkelip-kelip. Itulah lampu isyarat yang melontarkan gelombang dari alat yang berada di dalam telinga Alvaro ke skrin fonsel Fariz. Alat itu menghantar maklumat di manakah lokasi Alvaro.

‘Engkau tunggu, ya? Sekejap lagi aku datang cari engkau!’ bisik Fariz seraya tersenyum lagi.


Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, April 16, 2011

FRAGMEN 69: DETIK DEBAR



Photo credit: heng-gref.com


NAFAS John kini tercungap-cungap. Bagai nyawa-nyawa ikan. Mulutnya ternganga. Matanya terbuntang. Hhitamnya sudah tidak kelihatan. PM mengampu tubuh John. Kot John Martinez dileraikan dari tubuhnya. Darah merah mula kelihatan meresap membasahi kemeja putihnya. Beberapa orang menteri lain terus berkerumun dan kelihatan terkejut. Masing-masing membantu mengangkat tubuh John. Suasana jadi kelam-kabut.

“Mana ambulan? Mana bantuan?” tanya PM. Masing-masing menoleh ke kiri dan kanan mencari bantuan. Kelihatan dua orang anggota Persatuan Bulan Sabit Merah berlari menaiki pentas. Lalu tubuh John segera diangkat ke atas stretcher. Anggota pasukan keselamatan mula memenuhi kawasan pentas utama.


“John… John…” David Doron yang menerpa terus menepuk-nepuk pipi Tuan Presidennya. Berpura-pura cemas. Padahal, dia juga yang empunya angkara. Ed Arden pun ada sama.

“Kita kena bawa dia ke hospital!” kata Ed pula separuh memerintah.


Orang ramai mula mengalihkan tumpuan daripada pergelutan SAKA dan FRU ke pentas utama pula. Jarak mereka dengan pentas utama menyebabkan mereka tidak nampak dengan jelas apa yang terjadi. Masing-masing terlangut-langut memerhati. Mereka berbisik-bisik sesama sendiri ingin mencari maklumat mengenai apa yang sedang berlaku di atas pentas utama.


Sementara itu, lensa-lensa kamera yang pada mulanya terhala merakam pergelutan di antara pengikut SAKA dan FRU mula teralih ke arah pentas utama. Jennifer pula telah nampak apa yang terjadi. Dia nampak John Martinez tertoleh dan menekur ke lantai. Dia nampak John membongkok. Dan dia nampak kilatan cahaya yang menyusup ke dada John. Beberapa saat Jennifer Miles berdiri kaku. Tidak tahu berbuat apa-apa. Tubuhnya menggigil.


Benar. Meskipun pembunuhan di depan mata pernah dilihatnya berpuluh-puluh kali sebelum ini ketika bertugas sebagai wartawan perang, tetapi ini lain sama sekali. Kejadian ini bukan pembunuhan biasa. Ia melibatkan John Martinez, Tuan Presiden sebuah negara yang paling berkuasa di dunia ini. Jennifer sendiri dipinta John untuk memantau keadaannya kerana John tahu sesuatu bakal terjadi ke atas dirinya. Meskipun Jennifer berasa pelik dengan permintaan John, namun wartawan itu akur dan berjanji untuk memantau keadaan John.


Pada sangkaannya, permintaan John hanya sekadar pemanis kata biasa seorang presiden terhadap seorang wartawan senegaranya. Rupa-rupanya permintaan itu mempunyai maksud besar yang di luar jangka. Pandangan Jennifer kini tertumpu ke arah beberapa petugas mengusung tubuh John Martinez menuruni pentas utama. Mengiringi John ialah PM Malaysia. Para VIP-VIP yang lain turut mengekori.


Di kala inilah Jennifer perasan yang dia hanya tergamam sejak tadi. Lantas dia berkejar ke arah ambulan yang menanti.

“No media!” kedengaran David Doron menjerit ke arah para wartawan yang berkerumun mengelilingi ambulan. “I said, no media! Don’t you all understand?”


Siren mengaum nyaring. Ambulan mula bergerak. Para wartawan TV tidak mempedulikan arahan David. Mereka mengejar kenderaan itu. Masing-masing cuba memfokus ke dalam ambulan. Seboleh mungkin ingin mengambil wajah John Martinez. Namun, apabila van mula bergerak laju, mereka semakin ditinggalkan. Hanya mampu mengambil visual ambulan yang semakijn menjauh. Jelas kehampaan terbayang di wajah-wajah mereka, termasuklah Jennifer.


Bangunan Dewan Usahawan Malaysia


'TRITT… tritt…’ bunyi fonsel kedengaran. Dengan penuh kepayahan, Ali menyeluk sakunya. Terkial-kial dia mencapai fonsel yang terletak di poket kiri dengan tangan kanannya kerana lengan tangan kirinya sudah dibelit tali nylon. Mujurlah Fariz tidak mengikat kedua-dua tangannya.

“Helo…”

“Ali!” Kedengaran suara Moussa terjerit gembira. “Tahniah! Alhamdulilah! Kau telah berjaya menembak John Martinez! Tepat mengenai dadanya!”

Kata-kata itu hanya disambut dengan satu dengusan kecil.

“Ali…” tanya Moussa. Dia hairan mengapa Ali mendiamkan dirinya. “Ali…”


"Itu bukan kerja aku…” jawab Ali perlahan.

“Bukan kamu? Masya-Allah… mana mungkin? Aku lihat John Martinez tersungkur tadi! Dia sudah dibawa ke hospital. Daripada kecederaannya, aku tahu John Martinez di ambang maut!” Beriya-iya Moussan menerangkan.


“Moussa… aku tahu bukan aku yang melakukan. Pasti ada orang lain yang melaksanakan tugas itu.”

“Siapa orang lain itu?” soal Moussa.

“Sudahlah! Polis Malaysia akan menahan aku. Perjuangan aku berhenti di sini. Moussa… kau bersendirian sekarang. Cari Omar. Hanya dia yang boleh membawa kau keluar daripada Malaysia!”

“Tapi… tapi…” Soalan Moussa tidak dijawab. Ali memutuskan talian. Dengan susah payah, Ali membuka fonselnya. Simkadnya diambil. Lalu dia mengunyah dan menelannya! Wajahnya berkerinyut menelan logam yang keras itu. Dengan cara itu, Ali ingin menyembunyikan bukti. Kemudian, fonselnya dibaling jauh melayang melewati bangunan dan gugur ke bumi di celah-celah rumput di pekarangan bangunan.


Ali telah melaksanakan tugas mengikut kemampuannya. Dia tahu dia gagal. Namun dia tidak akan memberitahu walau sedikit rahsia operasinya kepada sesiapa pun. Itulah sumpah janji setianya. Sumpah atas nama Allah untuk menyembunyikan identiti kumpulan yang dia anggotai. Ternoktahlah perjuangan seorang wira yang tidak bernama.

Bersambung minggu hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, April 10, 2011

FRAGMEN 68: DETIK DEBAR



Photo credit: greenbog.blogspot


Dataran Merdeka

PADA saat ini, satu platun anggota FRU telah tiba untuk mengawal keadaan daripada sebarang kemungkinan yang ditimbulkan SAKA. Mereka berlari, menyusup dan kini berada di antara kereta-kereta perisai dan pendemonstrasi itu. Bersiap sedia dengan perisai yang tersusun rapat-rapat, membentuk seperti tembok.

“Kamu baliklah dulu Bakar…” nasihat Datuk Farush Khan dengan suaranya yang merendah. Menampilkan perwatakan yang tenang tetapi tegas. Dalam keadaan yang genting itu, dia masih ingin mengawal keadaan. Umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berkecai.


“Anak Melayu pantang berundur, Datuk…” bantah Buang Bakar. “Janganlah berdegil. Malu orang tengok…”

“Apa nak dimalukan? Itu…” kata Bakar seraya menuding ke arah John Martinez. “Apakah membawa ketua syaitan dunia itu ke mari… dalam sambutan Hari Merdeka kita yang berdaulat ini pulak tidak memalukan?” ujar Bakar lagi.

“Kalau kamu berdegil… saya terpaksa bertindak. Jangan paksa saya bertindak…” Datuk Farush memberi amaran. “Cubalah! Jangan cakap aje,” jawab Bakar seraya menapak ke hadapan.

Tindakannya itu diikuti oleh mereka di belakangnya. Apabila dia cuba melintasi Datuk Farush, pegawai polis itu terpaksa menahannya. Berlakulah pergelutan di antara keduanya. Beberapa pengikut SAKA yang nampak kejadian itu mula menyerbu ke arah Datuk Farush untuk melepaskan Bakar dari kekangan pegawai polis itu. Ini diikuti dengan yang lain. Anggota FRU yang siap siaga terus menghampiri dan cuba melerai mereka.

Pergelutan di antara pengikut SAKA dan anggota FRU disaksikan oleh orang ramai, para VIP di pentas utama dan lensa-lensa TV yang tentunya terpancar ke seluruh dunia. Ramai yang panik melihat keadaan itu. Namun, tidak kurang juga mereka yang bertepuk tangan kerana menganggap ia adalah salah satu persembahan di Hari Merdeka.

“Apakah itu juga sebahagian daripada demonstrasi?” tanya John Martinez kepada PM. “Ya. Realistik…” jawab PM perlahan.

Namun, hatinya bercampur baur di antara berasa bangga dengan persembahan berani yang dipertontonkan dan rasa tidak sedap melihat keadaan itu. Terasa ada sesuatu yang tidak kena dengan apa yang ditontonnya. Para VIP yang lain turut bergerak dan berasak-asak ke bahagaian hadapan pentas untuk mendapat sudut pandangan yang lebih jelas.

DI BAWAH pentas, Alvaro membidik senjatanya ke arah John Martinez. Bibir kanannya terangkat sedikit apabila muncung pistolnya sudah tersasar ke arah dada John. Dalam kedudukan dari bawah, sudut yang dicarinya amat sukar. Sedikit pergerakan John akan menyasarkan peluru melepasi kepala. Dia hanya mempunyai satu peluang. Dan peluang itu tidak boleh terlepas begitu sahaja. Apabila picu ditarik, dia mesti pergi dari situ, tidak kira sama ada sasaran menepati atau sebaliknya.

Jari telunjuk Alvaro kini berada di picu. Menanti saat untuk memetik pistol automatiknya. Pandangannya sekali lagi menjalar daripada muncung pistol, terus ke dada John. Lelaki itu berdiri tegak dan memandang ke hadapan. Alvaro mengeluh kerana dari sudutnya, kebarangkalian tembakannya tersasar adalah besar. Alvaro mula geram.

Tiba-tiba dia mendapat satu idea. Perlahan-lahan, dia mengetuk-ngetuk lantai berhampiran dengan kaki John dengan tapak tangannya. Ketukannya memberi sedikit gegaran. Namun, John jelas tidak menyedarinya. Alvaro mengetuk lagi lantai dengan penumbuknya pula. Kali ini lebih kuat. Alvaro nampak John tertunduk. Dia memandang ke lantai kerana perasan lantai di kakinya bergegar.

Pada kesempatan itu, Alvaro mengetuk lebih kuat. Kali ini John membongkok kerana perasan ada sesuatu yang terjulur berhampiran dengan tempatnya berdiri. Tidak sedar benda yang terjulur itu sebenarnya muncung pistol! Sebaik sahaja John semakin menghampirkan tubuhnya dengan membongkok, Alvaro mula tersenyum sumbing. Kini, dada John berada bertepatan dengan muncung pistolnya. Sasarannya kini lebih hampir dari apa yang dirancang. Point blank! Dengan tenang, Alvaro melaksanakan tugasnya!

“ARGHHHH!” John terjerit sambil memegang dada kirinya.

“John! Apa dah jadi?” PM segera tertoleh dan menerpa. “Ya, ALLAH. Apa dah jadi ni?”

Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, April 3, 2011

FRAGMEN 67: DETIK DEBAR


Photo credit: gametactics.com


“ALLAH!” Fariz terjerit. Belum pun sempat dia menyentuh buntut rifel itu, kelengkangnya ditendang. Rasa sengal menyentap hingga ke kepalanya. Fariz terundur. Belum sempat dia membalas, satu lagi tendangan singgah ke pergelangan kakinya. Fariz dibentes dan jatuh terduduk.


“Jangan ganggu aku!” bentak Ali.

“Walau siapa pun kau, aku tahu kau berniat jahat! Tugas aku ialah menghalang kau!” jawab Fariz. Dari ekor matanya, Fariz nampak musuhnya menghampiri. Jangkaannya benar. Dalam pertarungan, seseorang itu tidak boleh terlalu yakin apabila telah menjatuhkan lawan. Dengan kedua-dua tangannya di lantai, Fariz membuat gerakan airswipe, persis seorang penari breakdance dengan memutar kakinya dalam bentuk bulatan. Cuma gerakannya pantas dan jitu. Kedua-dua kakinya mengepit kaki Ali. Kali ini giliran Ali pula yang jatuh terduduk.

Ali bingkas bangun. Tangannya pantas memncapai sebuah pisau belati yang tersisip di betisnya. Ali mengibas-ngibas pisau itu untuk menakut-nakutkan Fariz. Membuatkan Fariz terundur-undur kerana berhati-hati. Seperti biasa di dalam pertarungan, orang yang bersenjatalah yang lebih agresif. Fariz hanya menunggu untuk menjimatkan tenaga. Sebaik sahaja Ali menyerang, Fariz menyendengkan tubuhnya dan menyentap pergelangan tangan Ali lalu dihentak ke lututnya sekuat hati. Pisau tercampak ke lantai.

Namun, Ali juga mahir dalam pertempuran tanpa senjata. Dengan pantas dia memutar tubuhnya dan kini berada di belakang Fariz. Lengannya menjerut leher Fariz. Sungguh, lelaki Arab ini tidak kurang tangkasnya. Dia mengasak dan menghimpit Fariz hingga ke tembok. Dengan pantas, lebihan tali nylon yang digunakan untuk mengikat Jalur Gemilang dililit ke leher Fariz. Perlakuannya begitu pantas hinggakan Fariz tidak sempat mengeluskan dirinya. Ali menyentap tali itu dengan kejap.

Serentak dengan itu, nafas Fariz juga tersekat. Lehernya sudah terjerut. Ali menarik tali itu dengan sekuat tenaganya. Membuatkan pandangan Fariz berpinar kerana tidak boleh bernafas. Akhirnya Fariz jatuh terkulai. Lalu Ali menolak tubuh Fariz ke tepi tembok.

Tugasnya belum selesai. Dia perlu menyudahkannya dengan segera. Ali mencapai rifel al-Hada’ 338nya.

“Moussa! Engkau di mana?” panggil Ali melalui fonsel handsfreenya.

“Aku ada di sini! Mana kau pergi?” jawab Moussa. “Okey. Macam mana dengan kelajuan angin?” “Macam biasa. Macam biasa. Cepatlah!” desak Moussa. “Hmm…” jawab Ali.

Muncung rifelnya disasarkan ke arah pentas utama. Ali memfokus teropongnya. Wajah John Martinez kian jelas pada pandangannya. Perlahan-lahan, muncung rifel disasarkan ke leher John. Jejarinya sudah melekap di picu. Bersedia untuk memetiknya.

“Aghhhhh!” Kepala Ali terasa sengal. Belum sempat dia menoleh, satu lagi tendangan singgah ke kepalanya. Fariz menyerangnya bertubi-tubi tanpa memberi peluang Ali mempertahankan dirinya.

“Kau bukan jantan! Kau menyerang hendap!” Ali sempat membebel.

Baru seketika tadi, Ali begitu yakin yang dia dapat menewaskan Fariz. Tetapi ejen itu penuh helah. Dia berpura-pura tewas untuk menyusun serangan hendap.

Dalam pertempuran, helah itu berguna. Tidak mustahak sama ada seseorang itu gentleman atau tidak dengan menyerang hendap. Yang penting ialah memenangi pertempuran. Kali ini, Ali benar-benar terkejut dengan serangan yang bertubi-tubi Fariz. Beberapa kali dia terundur-undur dan cuba mengelak dengan menepis setiap serangan Fariz. Namun, Fariz tidak lengsung memberinya peluang menyerang balas.

Akhirnya Ali terpaksa membuka langkah seribu untuk menyelamatkan dirinya. Peluang itu diambil Fariz untuk menerjah dengan satu tendangan padu di belakang Ali. Menyebabkan Ali jatuh tersungkur. Ali cuba bangun dan berlari lagi. Namun, Fariz lebih pantas. Kakinya terus menujah lutut Ali.

‘Tup!’ Bunyi letupan kecil kedengaran.

Dan Ali pun meraung jatuh tertiarap. Dia cuba bangun lagi dan berlari. Tetapi kakinya terdengkut-dengkut kerana kepala lututnya sudah beralih! Akhirnya Ali tertiarap. Dengan kasar, Fariz menyeret pergelangan tangan Ali. Kemudian tangan itu diikat dengan tali nylon yang digunakan untuk meregang Jalur Gemilang. Fariz menyeluk saku dan mengeluarkan fonselnya. Barulah disedarinya yang Jennifer sudah beberapa kali cuba menghubunginya.

“Jen…” ucap Fariz apabila panggilannya dijawab.

“Rizal! Awak di mana? Cepat ke mari! Satu pembunuhan bakal terjadi!”

Tanpa menjawab, Fariz mematikan fonselnya. Walaupun dia masih tertanya-tanya apakah maksud Jennifer, namun dia terus berlari menuju ke Pentas Utama.

Bersambung minggu hadapan, insya-ALLAH...

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP