Sunday, January 25, 2009

DUA BUKU YANG GANGGU SAYA!

DUA BUKU

YANG GANGGU SAYA!

ECONOMIC HITMAN adalah istilah yang diperkenalkan oleh John Perkins di dalam bukunya Confessions of an Economic Hitman. Tulisan keduanya iaitu The Secret of the American Empire melanjutkan pengakuannya terhadap korupsi dunia yang didalangi US. Kedua-dua buku ini mengganggu saya hingga menulis MENITI MAUT ~ fiksyen, tetapi boleh berlaku pula terhadap Malaysia!

John adalah bekas pakar ekonomi yang pernah bertugas di syarikat perunding MAIN. Setelah bertahun-tahun bertugas sebagai pemutar alam untuk menipu negara-negara mundur, kejadian September 11 membuatkan dirinya kesal dan berhenti dari kerjanya. Kerjanya sebagai economic hitman adalah untuk meyakinkan negara-negara mundur di serata dunia untuk menerima pinjaman bernilai berjuta dolar kononnya untuk membina prasarana seperti logi elektrik, empangan, lebuhraya di dalam negara tersebut.

Pemimpin-pemimpin negara-negara itu akan dirasuah. Pinjaman yang diluluskan oleh Bank Dunia, IMF mahupun bank-bank perdagangan untuk negara tersebut sebenarnya tidak sampai pun kepada negara itu. Sebaliknya ia terus masuk ke kantung syarikat-syarikat kejuruteraan besar untuk membina prasarana seperti Bechtel, Halliburton dan lain-lain. Ini menjebakkan negara-negara mundur itu ke kancah hutang dan muflis.

Apabila ekonomi negara tersebut merudum dan rakyat memberontak, pemimpin yang rasuah itu akan jatuh. Tetapi seandainya dia berpaling dan menentang kembali dengan memiliknegarakan atau menghalang syarikat-syarikat yang beroperasi untuk membaham hasil mahsul negara tersebut, pembunuh sebenar atau apa yang dikenali sebagai jackal akan muncul.

Pemimpin itu akan dibunuh melalui keracunan, diguling, kemalangan seperti helikopter terhempas mahupun ditembak. Siapakah di sebalik semua ini? Menurut John, kerajaan Amerika, bank-bank serta syarikat besar adalah dalangnya. Pendekatan yang digelar corporatocracy inilah yang merosakkan banyak negara-negara di dunia ketiga yang antaranya ialah Indonesia, Panama, Ecuador, Colombia, Guatemala dan Iran.

Justeru itu, economic hitman mahupun jackal, bukan fiksyen, malah perkara benar yang terjadi di dunia hari ini. Akhirnya terlahirlah MENITI MAUT ~ tafsiran kejahatan Amerika mengikut kaca mata saya.




0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP