Mengapa saya menulis novel perisikan
MENGAPA SAYA MENULIS
NOVEL PERISIKAN
SAYA begitu teruja bila membaca buku, artikel mahupun berita mengenai agensi-agensi perisikan atau polis rahsia sesebuah negara. Episod dan insiden di sebalik tirai CIA-US, MI5-Britain, KGB-Russia, MOSSAD-Israel, SAVAK-Iran (di zaman Shah Iran), ISI (Pakistan) termasuk juga Cawangan Khas PDRM jauh lebih hebat dari fiksyen.
Ada rahsia di sebalik rahsia, operasi di sebalik operasi, pembunuhan di sebalik pembunuhan yang berlaku dan diperlakukan oleh mereka yang terlibat di dalam agensi-agensi perisikan ini. Justifikasi apa yang mereka laksanakan hanya bertunjangkan premis ‘demi mempertahankan negara’ masing-masing. Filem-filem perisikan ringan seperti triologi Bourne, James Bond (khususnya lakonan Daniel Craig), Enemy of the State ~ Will Smith, Shooter ~ Mark Wahlberg, The Kingdom ~ Jamie Foxx, malah Infernal Affairs ~ Tony Leung, boleh membuat saya menontonnya berkali-kali kerana saya tak jemu cerita-cerita sebegini.
Begitu juga filem-filem perisikan berat seperti Charlie Wilson’s War ~ Tom Hanks, The Good Shepard ~ Matt Damon, A Mighty Heart ~ Angelina Jolie, Body of Lies ~ Leonardo de Caprio dan Syriana ~ George Clooney; menjadi filem-filem koleksi saya. Bila saya bosan, saya akan tonton filem-filem yang membosankan ini!
Saya tak sedar, minat menonton saya beranjak paradigma dari filem-filem komedi, kemudian terhadap filem-filem superhero, kepada filem-filem psikologi dan akhirnya kepada filem-filem perisikan. Saya juga tak sedar yang saya sebenarnya berminat dan ada banyak idea untuk menulis cerita-cerita perisikan.
MENITI MAUT, meskipun cubaan pertama, namun ia adalah ramuan yang terperam selama bertahun-tahun. Saya mengambil masa yang lebih lama untuk menggarap cerita ini. Idea yang terlahir pun agak pekat, mengikut penilaian editor. Justeru itu, saya perlu cairkan sedikit supaya lebih lancar masuk ke perut minda. Kini, novel ketiga saya ini sudah lulus untuk diterbitkan setelah ada beberapa olahan.
0 comments:
Post a Comment