Friday, July 17, 2009

DETIK DEBAR: FRAGMEN 4

KISAH SETAKAT INI:
FARIZ ZAFAR,
ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand sebagai penyeludup manusia. Tiba-tiba sebuah kenderaan pacuan empat roda mengejarnya dan laluannya dihalang oleh sebuah treler. Fariz terperangkap dan terpaksa menyerah...



Foto: legionofighters

Fragmen 4:

DETIK DEBAR


Jalanraya Narathiwat-Pattani, Selatan Thailand

“LETAKKAN senjata tu! Kalau tidak kami tembak!”
Dengan gaya longlai untuk membuatkan musuh berasa menang, Fariz melonggarkan pegangan ke atas kedua-dua senjata dan menghulurnya kembali kepada kedua-dua lelaki di hadapannya. Perlahan-lahan, Fariz mengangkat kedua-dua tangannya tanda menyerah kalah. Untuk sementara waktu hingga Normala bertindak! Begitulah niatnya.

“Bagus! Kamu ada otak,” kata lelaki yang bermisai tebal dan berambut panjang itu. “Siapa kamu?”
“Aku orang suruhan!” jawab Fariz. Perlahan-lahan dia berundur sedikit. Cukup jaraknya agar tangan lelaki itu tidak dapat menggagau dan merentap alat komunikasi di telinganya.

“Bohong! Bohong! Kamu ejen dari Malaysia, bukan?”
Fariz menggeleng selamba.
“Apa yang ada kat dalam bonet ini, ha?” tanya salah seorang dari mereka yang berada berhampiran dengan kereta sambil menumbuk-numbuk bonetnya. Berdebum-debum bunyinya.

Fariz terpaku sambil berdoa di dalam hati. Mudah-mudahan Normala sudah bersedia dengan senjatanya. Dalam diam, Fariz menanti saat-saat untuk bertindak buat kali kedua. Pada kali ini, dia mesti tangkas mengalahkan lelaki-lelaki itu. Kalau tidak, operasi dia dan Normala akan gagal.

“Mala… bersedia…” bisik Fariz melalui alat komunikasinya. Kata-kata itu diucapkan sehabis perlahan dan seboleh mungkin dengan tidak menggerakkan bibirnya.
“Fariz jangan bimbang… aku dah bersedia…” jawab Normala. Kedengaran suara ejen itu bercampur baur dengan dengusan nafasnya. Suaranya bernada cemas tetapi tegas.

“Kami tau apa yang ada kat dalam bonet tu…” kata lelaki yang bermisai sambil menjeling dan tersengih-sengih ke arahnya.
“Dalam bonet tu tak ada apa-apa!” jerit Fariz. Kali ini dengan suara yang lebih keras agar Normala mendengarnya.
“Bohong! Bohong!”
“Kalau tak percaya, sudah! Arghhhhhhhhhhhhh….”

DENGAN pantas, Fariz menyerang lelaki yang bermisai itu. Tubuhnya merempuh lelaki itu hingga rebah. Senjata lelaki itu dirampas dan dengan pantas dia mengacunya ke arah lelaki yang seorang lagi.
“Mala! Now!!!!” pekik Fariz dengan lantang agar rakannya keluar dari bonet dan membantunya.
“Now, what?” jerkah salah seorang musuh yang berada berhampiran dengan kereta Fariz.

Fariz menoleh. Langkahnya terhenti bila terpandang salah seorang daripada lelaki itu menendang bonet keretanya hingga ia tersungkap! Dan kedua-dua lelaki terus mengacu senjata masing-masing ke arah dalam bonet. Dari arah hadapan, dia tak nampak bagaimanakah keadaan Normala. Dia hanya dapat membayangkan Normala dalam keadaan ketakutan.
“La ilaha ilallah…” kedengaran suara Normala berbisik perlahan.
“Mala… Kak Mala…”

SERENTAK dengan itu, kedengaran bunyi tembakan bertali arus. Fariz yang terkejut segera meluru ke arah keretanya. Namun, dia tersungkur bila kakinya dibentes dari belakang. Dia cuba merangkak tetapi terasa tubuhnya ditendang. Bila dia cuba bangkit, sekali lagi dia dihenyak. Usahanya untuk bangun lagi menerima kegagalan kerana sepak terajang hingga tubuhnya sakit-sakit kerana didera.

Akhirnya dia terbaring terlentang di tanah dengan nafas yang termengah-mengah. Dua muncung senjata AK-47 kini tersasar ke wajahnya. Fariz menutup mata dan telinganya. Bukannya takut, tetapi tidak sanggup untuk mendengar bunyi tembakan yang seolah-olah tidak mahu berhenti.
“Kak Mala… Kak Mala…”
“ALLAH… ALLAH… ALLAH…”

Itu sahaja bisikan Normala yang didengar Fariz melalui alat komunikasinya. Airmatanya berlinangan. Di layar mindanya terbayang tubuh Normala meronta-ronta dihujani peluru yang tidak bermata dan hati. Berakhirlah riwayat mentor yang juga menjadi rakan sekerjanya. Wanita itu amat berjasa padanya. Fariz berasa seperti kehilangan separuh nyawanya bila wanita itu pergi buat selama-lamanya. Semoga rohnya meninggalkan dunia fana ini dengan penuh bahagia menemui Penciptanya.

BUNYI tembakan itu akhirnya berhenti. Suasana jadi sunyi dan sepi. Fariz membuka mata dan memandang ke langit. Menatap bayang mentari di balik awan. Matanya terpandang seekor burung helang yang melebarkan sayapnya dan terbang bersendirian. Ia mengepak dan melayangkan tubuhnya di sekitar kawasan itu. Itulah burung yang hampir-hampir dirempuh Fariz seketika tadi. Sang burung itu telah menonton seluruh insiden yang berlaku. Kini ia seolah-olah bersimpati dan ingin menemani Fariz yang kini kelihatan tidak berdaya.

“Bawak dia balik ke kem. Malam ini kita habiskan dia!”
Serentak dengan itu Fariz terasa satu pukulan mengenai tengkuknya. Kepalanya terasa sengal. Telinganya terus berdesing. Sebentar sahaja pandangannya jadi gelap

The Making of fragmen 4:
Inspirasi latar tempat :
wikipedia/narathiwat
Musik cadangan ketika membaca fragmen ini:
youtube/bourne identity soundtrack

7 comments:

Web Sutera July 17, 2009 at 6:31 AM  

Assalamualaikum bos,

Subhanallah! Semakin maut! Saya terkesima apabila membaca fragmen ke-4 ini.

Sedih & pasrah, bercampur baur...

Anonymous July 17, 2009 at 6:52 AM  

Salam...

Maha suci Allah...tiada kata untuk kuluahkan...sebak didada tatkala membaca frgmen ni...

Seolah2 ia dekat dihati,menusuk kalbu...Tahniah!

eyman hykal July 17, 2009 at 6:12 PM  

Sdra Web & Sdr Anonymous,
Alhamdulilah kerana dpt mnerima hakikat kmatian, meskipun ia hnya fiksyen. Subhanallah.

CikLie July 18, 2009 at 8:27 AM  

Assalamualaikum..

Subahanallah.. makin mendebarkan.. makin selari dgn tajuk Meniti Maut.. memang mendebarkan detik debar fragmen yg ke-4 ini.

tahniah..

eyman hykal July 19, 2009 at 7:33 AM  

Wslm, CikLie... TQ kerana meminatinya.

Anonymous August 20, 2009 at 12:56 AM  

assalamulaikum...

tahniah atas sambungan meniti maut...penuh dengan debaran..lambat lagi ke nak diterbitkan.huhuh tak sabar rasanya nak tahu kesudahan citer fariz and mala...huhhuh....
maut ada dimana² jer....hhuhhu...
teruskan berkarya,,,kerana saya meminati karya anda..

akimsensei August 23, 2009 at 10:53 PM  

innalillah.. sedihnya..

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP