Friday, July 31, 2009

DETIK DEBAR: FRAGMEN 6

FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:

Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap.

Jalur 2: Kampung Al-Muntaseer, pusat penyeludupan melalui terowong, dibom oleh jet Israel beberapa minit yang lalu. Dua orang kanak-kanak, Naeem dan Nazeem menjadi mangsa.


Foto: backspin/typepad.com

FRAGMEN 6:
DETIK DEBAR

Al-Muntaseer, Selatan Gaza, Palestin

SEBUAH van bergerak begitu perlahan merentasi kawasan runtuhan. Selain daripada mengelak halangan-halangan berupa batu dan perabot rumah yang berselerakan akibat dimusnah bom, kenderaan itu juga dipandu berhati-hati kerana tidak mahu menggelek mayat-mayat yang bergelimpangan.

Seorang wanita kulit putih hanya duduk bertenggek di kerusi belakang. Matanya liar memerhati kawasan sekeliling menerusi pintu van yang sentiasa terbuka. Jennifer Miles, 27 tahun, adalah wartawan perang bagi stesen WLL atau World Live Line, sebuah stesyen TV yang terkenal. Sesekali Jennifer menekur ke arah jam tangannya kerana buatnya, masa begitu penting. Sebagai wartawan peperangan, dia perlu mengirim berita secepat dan sekerap yang boleh.

“Lima minit lagi… lima minit lagi kita ke udara! Takkanlah tak ada apa-apa yang menarik hari ini, Ahmed?” leternya kepada pemandu merangkap jurukamera upahannya.
“Awak suka peperangan, Jenny?” tanya Ahmed seraya menjeling.

“Aku tak sukakan peperangan. Tapi aku sukakan konfliknya! Konflik akan membawa berita. Berita adalah cerita. Seperti plot dalam filem!”
“Apa kau fikir, peperangan ini satu lakonan?” perli Ahmed.
“Kau diamlah! Jangan nak mulakan balik perdebatan, ya? Aku yang bayar kamu! Kamu ikut saja!” jawab Jennifer seraya mencebir.

SUDAH hampir sebulan Jennifer berkampung di kawasan Selatan Gaza. Kerana minatnya terhadap profesion ini, Jennifer tidak mahu pulang ke Amerika. Sementelah pula, berita liputannya sentiasa dinanti-nanti oleh para penonton di merata dunia. Tidak hairanlah, dia digelar Roxana Seberi Palestin kerana keberaniannya seperti wartawan yang tertangkap di Iran suatu ketika dahulu.

“Stop, Ahmed! Stop!” jeritnya tiba-tiba.
Tanpa menanti van itu betul-betul berhenti, Jennifer sudahpun terjun dan meluru ke satu timbunan batu-batan. Di situ, dia terbongkok-bongkok mengangkat dan mengenepikan batu dan kayu untuk menyerlahkan dua orang kanak-kanak yang cedera dalam keadaan berpelukan. Jennifer segera berlari untuk menyongsong Ahmed yang baru sahaja menutup pintu van.

“Kau ni lembab sangatlah, Ahmed!” leternya sambil menarik tangan lelaki itu.
“Engkau tak nampak ke apa yang aku bawak ni?” jawab Ahmed dengan termengah-mengah.
Sambil berlari menghampiri Jennifer, dia memegang camcordernya kemas-kemas. Bimbang kalau-kalau ia terhempas ke tanah seperti yang pernah terjadi minggu lalu. Sehari suntuk dia menelan sumpah seranah wanita berperangai kasar itu. Sebagai jurufoto merangkap pemandu Jennifer, kerjanya ialah mengambil gambar atau video seperti yang dikehendaki oleh Jennifer.

Jennifer menuding ke satu arah. Meminta Ahmed memandang sama. Ahmed memperlahankan langkah. Camcordernya segera dihalakan ke kawasan yang diunjukkan Jennifer. Dia terus memerhati skrin LCD untuk memfokus subjek. Jejarinya sedia menekan punat untuk merakam.

Namun, Ahmed segera menghentikan tindakannya. Camcordernya diletak perlahan-lahan ke tanah. Mulutnya ternganga dan wajahnya kelihatan cemas. Lekas-lekas dia berlari sambil memegang kupiahnya kerana tidak mahu ia terjatuh ditiup angin.
Lalu Ahmed terus meniarap dan melekapkan telinganya ke dada kedua-dua kanak-kanak yang malang itu.

“Subhan-ALLAH! Jenny! Mereka masih bernyawa! Kita mesti tolong mereka! Panggil ambulan!”
“Yang penting, selesaikan kerja kita dahulu. Kemudian barulah kita hantar mereka ke hospital!” bantah Jennifer.
“Ini soal nyawa, Jenny!”

“Tutup mulut kamu! Ikut arahan aku!” pekik Jenny hingga tegang urat di lehernya.
Wartawan mat salih ini lebih mementingkan kerjayanya. Yang mustahak, dia mesti buat laporan secara langsung. Berjuta-juta penonton ingin menatap wajahnya sebentar lagi. Ya, seminit lagi dia mesti ke udara!
“Pikul kamera! Halakan ke mari!” perintah Jennifer lalu bertinggung membelakangkan tubuh kanak-kanak itu. Mahu jadikan tubuh kanak-kanak itu sebagai gimik penggambarannya!

Dengan hati yang membengkak, Ahmed pun duduk melutut agar dapat mengambil video yang separas dengan wajah Jennifer. Tidak guna bertengkar dengan wanita ini. Ia membuang masa. Lebih baik menyelesaikan penggambaran ini supaya kanak-kanak yang cedera itu dapat segera dihantar ke hospital.
“Okey, Jenny… three… two… one… action!”

DAN, Jennifer Miles mempamerkan senyuman yang paling menawan sebaik sahaja camcorder merekod…

The Making of fragmen 6:
Inspirasi latar tempat : Independent.co.uk/smugglers
Musik cadangan ketika membaca fragmen ini: You.Tube.Kitaro The Silk Road

3 comments:

eyman hykal August 1, 2009 at 8:51 PM  

Komen ciklie:
Salam eyman. Detik Eebar semakin hari semakin mendebarkan. Harap dapat teruskan yang terbaik. Tak sabar menanti novel Meniti Maut 2. Tahniah.

Komen saya:
Wslm, Ciklie. Terima kasih. Kini kian rancak menggarapnya. Mudah-mudahan lancar ideanya. :)

Linda Amri August 2, 2009 at 9:04 PM  

salam saudara eyman,

saya dah baca fragmen2 meniti maut 2 setakat ini.

komen saya - penulisan saudara semakin baik dengan konflik yang pelbagai mampu untuk mencetuskan pelbagai perasaan pada saat membacanya.

Saya akui, saya tidak sabar untuk mengetahui pertembungan dua jalur ini dan tidak sabar untuk mengetauhi pengakhirannya.

Bila terbitnya buku ini?

Tahniah saudara!

eyman hykal August 3, 2009 at 5:19 PM  

Wslm, Linda,

Terima kasih di atas komen yang positif. Alhamdulilah kerana Detik Debar dapat dihayati. Saya juga tak sabar untuk menyudahkan kisah kali ini.

Bila terbit? Ah, sebaik sahaja fragmen-fragmen ini 'dicliffhangerkan,' maknanya novelnya sudah dihantar ke Alaf.
Editorial Alaf yang putuskan samaada ia lulus dan bila lulus, bila pula ia terbit.

Sebenarnya kedudukan saya ini membuatkan piawaian karya saya lebih ketat daripada penulis lain. Peranan saya sebagai penulis akan saya patuhi.

Terima kasih Linda dan singgah lagi, ya?

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP