Saturday, August 15, 2009

DETIK DEBAR: FRAGMEN 8

FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ lebih satu plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap.

Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya. Ia menjejaskan imej Amerika. Kerana itu, Presidennya terpaksa menghubungi bos WLL.



Foto: traveljournals.net

FRAGMEN 8

DETIK DEBAR
Ibupejabat World Live Line, Cleveland, Ohio

MILES STEWARD duduk tersandar sambil memangku kepalanya. Memandang ke dinding di mana terdapat 20 skrin TV yang memenuhi ruangnya. Matanya meliar sambil memantau dari satu skrin ke satu skrin TV-TV itu. Kesemuanya memaparkan imej-imej tunjuk perasaan. Tunjuk perasaan akibat paparan stesyen Al-Kiraat mengenai Jennifer Miles yang dikatakan tidak berperikemanusiaan kerana membiarkan dua kanak-kanak Palestin mati demi mengejar glamour sebagai wartawan.

Malam tadi, John Martinez, Presiden Amerika menghubunginya secara peribadi. Menyampaikan rasa simpatinya terhadap serangan media terhadap anak dan juga WLL. Namun, dalam pada menyuarakan rasa itu, John sempat membayangkan hasrat sebenarnya.

“Miles…” ujar John dengan suara paraunya. “Apa-apa sahaja boleh berlaku. Saya tidak akan mengirim tentera untuk mencari Jennifer kalau puteri kesayangan kamu hilang tanpa berita!
Do something!”

Miles mengeluh bila suara John Martinez terngiang-ngiang di fikirannya. Mulutnya berkerinyut. Mempamerkan perasaan hatinya yang membungkam. Sesekali, wajah Jennifer Miles menerjah ke layar mindanya.

Tanpa dia sedari, anaknya itu melangkah masuk tanpa mengetuk pintu. Dia memerhati ayahnya yang juga CEO World Live Line sedang resah gelisah. Dia melihat ayahnya asyik memerhati skrin-skrin TV yang memaparkan berita-berita tunjuk perasaan mengenai dirinya. Namun, dia tak peduli. Tidak langsung mahu menatap walaupun satu skrin TV. Biarlah satu dunia berdemonstrasi dan mengecamnya. Egonya mengatakan apa yang dilakukannya itu betul.

JENNIFER berdehem kecil. Menarik perhatian ayahnya. Lelaki itu terus menoleh. Serta merta wajahnya mempamerkan raut yang garang. Bagai singa yang mahu menelan anaknya. Sesekali matanya teralih kembali ke skrin-skrin TV di sebelahnya. Memberi isyarat tubuh bahawa hati dan perasaannya kini terdera dengan apa yang ditontonnya.

“Jenny nampak tak, apa yang terjadi?”
“Nampak, papa,” jawab Jennifer selamba. “So what?”
“So what?” Suara Miles meninggi. Lalu dia terus berdiri sambil mencekak pinggangnya. “Don’t you see, Jenny? Satu dunia sedang memarahi dirimu! Rakyat Muslim di Pakistan, Afghanistan, Iran, Indonesia dan Malaysia semuanya berarak menuntut kamu dikenakan hukuman mati!”
“Dan NGO-NGO di London, Perancis, Sepanyol, Turkey, Jepun dan di negara kita, Amerika turut menuntut kau disingkirkan dari jawatan!
And you said, so what?”

“Seperti yang Jenny cakap pada papa dalam telefon kelmarin… tindakan Jenny tu spontan… tak ada niat pun nak menganiaya kanak-kanak tu! Waktu untuk ke udara ketika itu terlalu singkat. Jenny mesti ambil keputusan. Malah… lepas itu Jenny masih bawa dua kanak-kanak tu ke hospital!”

“Jenny bukan bawa kanak-kanak tu untuk berubat, tapi untuk dibedah siasat! Sebab kedua-duanya dah meninggal dunia, kerana lambat menerima rawatan, bukan?” kata Miles dengan suara yang masih meninggi. Urat-urat di dahi dan lehernya yang memerah sudah timbul.

“I’m not God!” jawab Jennifer seraya mengangkat bahunya. “Saya tak boleh tentukan mereka terus hidup.”
“Sebab Jenny bukan Tuhanlah maka Jenny sepatutnya tangguhkan kerja dan bawa kedua-dua kanak-kanak itu ke hospital!”
“Saya wartawan, ayah! Bukan anggota Palang Merah!” bantah Jennifer. Meskipun suaranya belum meninggi, namun nadanya sudah mula keras.

“Wartawan bukan manusia yang tiada perasaan? Ah, betapa ironinya, Jenny! Kamu melaporkan peristiwa-peristiwa duka tentang ibu-ibu, orang-orang tua, orang-orang yang terlantar, dan kesemuanya, dari medan pertempuran… tiba-tiba kamu tak peduli pada dua orang kanak-kanak yang berdepan dengan maut di depan matamu! Selama ini, satu dunia menangis bersamamu setiap kali melihat laporan-laporanmu!

Tetapi, bila Al-Kiraat memaparkan kebenaran, satu dunia juga melihat realiti personaliti yang mereka puja selama ini. Satu dunia bertanya, di mana kemanusiaanmu? Di mana keprihatinanmu?” ujar Miles dengan tergeleng-geleng kesal. Kedua-dua tangannya sudah mencengkam kepala dan meramas-ramas rambutnya hingga kusut masai.

“Ini hari mereka, papa. You know it! Kalau media kita boleh mengorkestrakan kebongkakan Saddam, Ahmadinejad, Mugabe, Mahathir… hari ini media mereka memainkan pula kejahatan Amerika, keganasan Israel, kelembaban PBB dan korporatokrasi golongan kapitalis!
Ini perang media, papa! Perang media untuk mendapatkan rating kepopularan, imej dan wang iklan! Bukankah ayah sendiri salah seorang daripada maestro peperangan ini?”

Miles tersentap mendengar pandangan anaknya. Dia terpempan. Seolah-olah baru sedar daripada mimpi. Miles kehilangan kata-kata.
“Well…” kata Jennifer seraya bangkit berdiri. “Kalau ini sahaja yang papa hendak katakan pada saya, kenapa tidak telefon sahaja?”
“Where are you going?”
“Penerbangan saya ke Beirut hanya dua jam lagi.
I’ve got to go!”

“You are not going anywhere, Jenny!”
kata Miles tanpa menoleh ke arah anaknya. “Sit down!”
Kini, Jennifer pula yang terkedu dengan kata-kata ayahnya. Perlahan-lahan dia melabuhkan pungungnya kembali. Tergaris wajah bimbang di anak matanya.
“Papa dah tukarkan Jenny ke meja lain!”
“What?” Jenny inginkan kepastian.
“Mulai sekarang, Jenny akan ke meja politik!”

“Papa! Kenapa buat Jenny macam ni?” soal Jenny separuh merengek.
“Untuk kebaikan Jenny jugak,” ujar Miles.
“You can’t do this to me! You are not being fair to me!”
Jenny bingkas bangun. Dia menggumam di sepanjang langkahnya ke pintu. Dengan kasar tombol pintu dipulas. Daun pintu terkuak. Kemudian tertutup dengan satu dentuman yang membingitkan telinga Miles.

Lelaki itu mengeluh dan menekur ke lantai. Rautnya yang yang garang seketika tadi berubah menjadi sugul bila wajah arwah isterinya, Nancy terbayang di mata. Wanita cintanya itu adalah juga seorang wartawan seperti juga anaknya kini. Terlalu banyak persamaan di antara Nancy dan Jennifer.

Kecantikan, kecerdikan, kecekapan, malah sifat keras hati Nancy ada pada Jennifer. Seolah-oleh Jennifer adalah jelmaan Nancy. Namun, Miles amat berharap, biar itulah sahaja persamaan di antara isterinya dan Jennifer. Dia tidak ingin persamaan takdir menimpa Jennifer pula.

“I just don’t want you suffer the same fate as mommy, Jenny,” gumam Miles dengan nafas yang tertahan-tahan.

The Making of fragmen 8:
Inspirasi latar tempat : CNN CEO room
Lagu adangan ketika membaca fragmen ini: You.Tube. Ninja Gaiden, Death of a hero

11 comments:

iStyle Magazine August 14, 2009 at 8:26 PM  

Aku harap Amerika pergi dari Afganistan dan Palestina... amien

eyman hykal August 14, 2009 at 8:29 PM  

Amin...

Anonymous August 16, 2009 at 10:17 PM  

Salam..mana tidak tumpahnya kuah kalu tak ke nasi..
Hrm,kalu jennifer di tukarkan ke meja politik, meletop tu...

menarik2..

all the best en. Eyman

eyman hykal August 17, 2009 at 2:47 PM  

Anonymous,
TQ saudara. Memang Jennifer jenis x mkn saman. She spells trouble. Camne kalau dia dtg ke M'sia, ya? ;)

eyman hykal August 19, 2009 at 7:30 PM  

Salam Eyman,
makin menarik dan mendebarkan. bilalah nak keluar MM2? Tak sabar menanti.

Ciklie,
Terima kasih kerana selalu singgah. Bila MM2 terbit? Belum tau lagi sebab saya masih menulisnya. Saya pun tak sabar untuk menyiapkannya.

Ciklie:
Mesti la, selalu singgah. Antara novel yang memikat hati saya untuk membacanya. Memang tak boleh ketinggalan apa2 jua dalam segmen Detik Debar.

Eyman:
Terima kasih kerana meminati Detik Debar. Ia adalah motivasi untuk saya agar terus menulis.

Anonymous August 20, 2009 at 3:30 AM  

Salam..kalu die datang Malaysia, satu cabaran hebat bagi pengganti arwah Normala...

erm,siapa ek pengganti mala??

Ni tanda2 tak sabar menunggu plot seterusnya..(",)

eyman hykal August 20, 2009 at 5:18 PM  

Sdra Anonymous,

Jennifer mmg mencabar. Mencabar Fariz... :)

eyman hykal August 20, 2009 at 5:20 PM  

Daripada Torpedo: Maaflah kalau soalan saya ini agak awal untuk diutarakan. Sekadar ingin tahu.

Saudara Eyman ada tak perancangan untuk menghasilkan novel aksi selain dari siri Meniti Maut?

Daripada Eyman:
Sdra Torpedo,
Insya-ALLAH semestinya kerana saya memilih genre aksi sebagai padang permainan saya. ;)

akimsensei August 23, 2009 at 11:30 PM  

Wah, Jennifer akan turun ke Msia dan mencabar Fariz.. Ingatkan Linda Amri akan bangkit menggantikan Kak Malam.. Hehe..

Linda Amri August 30, 2009 at 4:46 PM  

Hehe akim, sy memang teringin menjadi salah seorang watak dalam meniti maut nih, tapi nama kita tak glamer lah hahahaha

takpe, at least saudara eyman memenuhi permintaan saya untuk menampilkan watak seorang wartawan wanita, terima kasih saudara eyman :-)

wan September 22, 2011 at 11:26 AM  

kenapa menggunakan perkataan arwah pada org bkan Islam???arwah hnya untuk org ISLAM SAHAJA!!!GUNAKAN PERKATAAN MENDIANG PADA ORG BUKAN ISLAM

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP