FRAGMEN 10: DETIK DEBAR
FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.
KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap.
Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya. Ayah kedua kanak-kanak itu merintih akibat kehilangan dua cahaya matanya.
DETIK DEBAR
‘MOOOOOOOOO…’
Mata Fariz tercelik bila terdengar suara anak lembu. Tetapi dia tidak nampak apa-apa. Malah, pandangannya gelap. Fariz cuba menggenyeh matanya. Namun, dia tidak dapat menggerakkan tangannya kerana berasa terikat ke belakang. Pergelangan tangannya mula berasa pedih. Terasa kulit tangannya melecet. Pinggangnya terasa bisa, mungkin kerana terlalu lama dia tertiarap. Kepalanya berdenyut-denyut.
Fariz mula menggagau ingatan mengapa kepalanya berasa seperti dihempap batu. Perlahan-lahan, memorinya terkumpul. Ya, sebentar tadi, tengkuknya telah dihentak sesuatu yang keras. Pukulan itulah yang membuatkan kepalanya terasa berdengung hingga kini.
Fariz menelan liur. Tekaknya berasa kering. Tubuhnya kini terasa panas membakar kerana cahaya mentari terus menerus menikam tubuhnya. Fariz cuba berguling dengan segala kepayahan untuk baring menelentang. Dengan susah payah, Fariz menggunakan kakinya untuk membantunya berdiri. Beberapa kali dia mencubanya namun tidak berjaya.
'ALLAH...' Nama agung itu melintas di hatinya lalu menerawang di fikirannya.
Tiba-tiba tergambar imej-imej kejadian yang berlaku pada hari ini. Jelas di layar mindanya. Tertayang, bagai pancaran di layar perak.
................................
Imbaskembali: Pusat Pemeriksaan Imigresen Rantau Panjang, Kelantan
FARIZ memandu perlahan mendekati pos pemeriksaan imigresen. Seorang pegawai muncul dari tepi bangunan dan mengisyaratkan dia memarkir kenderaan di petak letak kereta yang agak jauh daripada pejabat pentadbiran. Anggukan perlahan pegawai itu adalah isyarat bahawa dia adalah anggota BISIK. Dialah yang akan mengawal kenderaan Fariz. Kerana itu, Fariz tidak bimbang meninggalkan Normala di dalam bonet untuk ke pejabat pemeriksaan untuk mengecop dokumen perjalanan.
TIBA-TIBA bunyi tembakan yang bertali arus mengasak fikirannya. Wajah Fariz berkerut menahan bunyi kebisingan yang menerpa di mindanya. Dadanya terasa sesak. Jantungnya mula berdegup kencang.
“Mala… Mala…”
Itu sahaja yang mampu diucapkan. Di layar mindanya terbayang wajah Normala yang menyeringai menahan sakit bila tubuhnya ditembusi berpuluh-puluh butir peluru. Ditembak oleh dua orang lelaki yang tidak berhati dan berperasaan. Akhirnya bunyi tembakan itu terhenti. Suasana jadi sepi.
“Bawak dia balik ke kem. Malam ini kita habiskan dia!”
Serentak dengan itu Fariz terasa satu pukulan mengenai tengkuknya. Kepalanya terasa sengal. Telinganya terus berdesing. Pandangannya jadi gelap.
................................
'DUM!'
Rayauan fikirannya terhenti bila telinganya menangkap bunyi pintu kenderaan ditutup. Fariz tidak menyedari sejak bila ada kenderaan berhampiran dengannya. Dia mematikan diri sambil memasang telinga. Kedengaran bunyi derap tapak kaki menghampiri. Berat bunyi hentakannya seperti but yang menggeser tanah. Semakin lama, bunyi itu kian menghampiri. Kedengaran bunyi batu-batu berkeretup dipijak kasut mendekati dirinya. Bau tengik lumpur tiba-tiba menangkap hidungnya.
“Dia dah bangun?” kedengaran satu suara.
Dalam keadaan berbaring, Fariz dapat berasakan yang suara itu datang dari lelaki yang berdiri betul-betul berhampiran dengan kepalanya.
“Belum,” jawab satu suara lain dari arah kakinya.
“Bibir dia dah kering! Bagi dia air.”
'Air?' kata hati Fariz. Tekaknya mula berasa haus. 'Alhamdulilah, ada peluang hilangkan dahaga.'
Fariz terasa bahunya ditunjal dengan but. Membuatkan tubuhnya bergolek dan menelentang.
'Wooooooosh…'
Serentak dengan itu, Fariz terasa tubuhnya dibasahi air. Dia terdongak-dongak menangkap titisan air yang menghujaninya. Agaknya kerana kasihan, Fariz dapat rasakan yang jirusan air mula dicurahkan ke mulutnya. Dengan lahap, Fariz membuka mulutnya luas-luas. Mengemam dan meneguk air yang dijirus dengan sepuas-puasnya.
Bila hausnya hilang, Fariz memalingkan wajahnya sebagai isyarat tidak mahu minum lagi . Namun, sebaik sahaja dia mengiringkan tubuhnya, rambutnya ditarik hingga kepalanya terdongak. Ketika itu juga semburan air menerpa ke wajahnya. Fariz tercungap-cungap. Lantas meronta-ronta menggerakkan kakinya untuk bangun.
“Arghhh...” pekik Fariz bila terasa kedua-dua kepala lututnya dihenyak agar lurus ke tanah. “Arghhh...” jeritnya lagi bila terasa kedua-dua pergelangan kakinya pula dihempap sesuatu. Mungkin dengan batang kayu agar kakinya tidak dapat bergerak. Kemudian dia berasa seseorang yang beertubuh berat sedang duduk di atas pahanya.
“Woi! Sakitlah!”
Bantahannya tidak mendapat jawapan. Fikiran Fariz berlari-lari mencari jalan untuk melepaskan diri. Namun dengan matanya yang tertutup, dia tidak dapat meneka berapa orangkah yang berada di sekelilingnya, di manakah dia berada dan apakah keadaan sekeliling membolehkan dia mengeluskan dirinya.
Rambut Fariz dicengkam kuat bagai hendak tercabut hingga dia tidak dapat berpaling lagi. Jirusan air yang pada mulanya perlahan sudah bertukar menjadi semburan yang tiada hentinya. Membuatkan Fariz sukar bernafas hingga dia terbatuk-batuk.
'Waterboarding...' kata hati Fariz dalam kepayahan. Mengingatkan dirinya mengenai sejenis deraan di mana jirusan air yang tiada henti dihalakan ke wajah mangsa hingga menimbulkan perasaan lemas.
Hidung Fariz kembang kempis menahan nafas. Mungkin penderanya menyedari akan tindakannya menahan nafas. Serta-merta hidungnya berasa dipicit. Memaksa dirinya ternganga kembali untuk bernafas melalui mulut.
“Arghhhhhhhhh...” Dia meraung panjang.
6 comments:
Salam perkenalan buat Tuan rumah. Apakhabar ? Semoga kita mendapat lebih barakah di bulan Ramadan ini. :)
Salam..
Fariz dah muncul..
Tapi satu penyeksaan padanya..
Tetibe teringat pada tahanan2 yang senasib macam Fariz..
huh..
Teruskan menggarap, En. Eyman..
Sdra Anonymous,
Saya menelusuri foto dan video mengenai siksaan di internet. Sakit dada menatapnya. Kerana itu, yang saya tulis, disenikan agar tidak terlalu brutal dan barbaric.
Daripada LINDA AMRI:
Sayadoakan all the best to you & nak bagitau, saya dah tak sabar2 membaca MM2 nih, dah berdebar2 dah nih, hehe!
Daripada EymanHykal:
Terima kasih, Linda. Saya turut berdebar2 kerana lambat pulak idea ni mengalir. Sekarang sudah September, bah! :)
Daripada BUDAKHUTAN:
Salam tak sabar menanti Meniti Maut 2.
Daripada EymanHykal:
Sdra BudakHutan... terima kasih kerana meminati. Novel masih digarap. Sukar juga mencari formula yang maut! ;)
Daripada PAKCIKNIK:
Harap2 saudara Eyman jgn tergopoh gapah. Nanti tak best pulak novel. Biar lambat asal sedap.
Satu lagi, harap jugak kekal menulis novel genre aksi sbb ia akan mempelbagaikan pilihan saya di kedai buku selain Ramlee Awang Murshid.
Jawapan EymanHykal:
PakCikNik,
Saya cuba untuk tidak gopoh dan akan terus menulis novel aksi, insya-ALLAH.
Post a Comment