Friday, September 4, 2009

FRAGMEN 11: DETIK DEBAR

FROM ME TO YOU:
Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.


KISAH SETAKAT INI:
J
alur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala
terkorban dan Fariz ditangkap dam disiksa.


Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya. Ayah kedua kanak-kanak itu merintih akibat kehilangan dua cahaya matanya.


Foto: redbubble.com

FRAGMEN 11
DETIK DEBAR

SEPERTI orang lemas, nafasnya sesak. Beberapa ketika dalam keadaan begitu, telinganya mula berdesing. Fariz tahu, semakin dia melawan, deraan ke atasnya akan bertambah. Lantas dia berpura-pura pengsan. Membiarkan curahan air menyentuh dan memukul wajahnya. Benar seperti rancangannya, deraaan itu dihentikan.

Fariz ditarik untuk berdiri. Satu, dua dan tiga tamparan mengenai tepat ke pipi kanan dan kirinya. Mungkin untuk menyedarkannya. Mungkin sahaja penderanya hendak melepaskan geram. Wajahnya terasa panas. Darah mula naik ke muka dan kepalanya. Fariz terasa mahu bertempik. Tetapi dia tak jadi melakukannya kerana tahu, dalam keadaan sebegini, dia mesti menyembunyikan emosi.

“Khunpol Rachotai!”
Fariz terkejut bila nama itu dipekik ke telinganya. Bagai hendak pecah gegendang telinganya mendengar sergahan itu.
“Siapa Khunpol Rachotai?” tanya suara itu lagi.
Fariz menggeleng.
“Siapa Khunpol Rachotai?” Suara itu kini merendah tetapi bernada geram.
“Saya tak tahu.”

Pipinya ditampar-tampar lagi. Satu, dua, tiga, empat. Dan pada kali kelima, Fariz menunduk menyebabkan tangan yang menamparnya tersentuh penutup matanya hingga menyebabkan kain itu terlerah.

Dunia Fariz tiba-tiba menjadi terang! Bagai si buta yang dapat melihat. Pandangannya segera tertumpu ke arah lelaki yang menamparnya.
Tanpa amaran tetapi dengan secepat kilat, kaki Fariz melayang dan menunjal kepala musuhnya. Lelaki itu terundur-undur dan mengaduh kesakitan. Dia tergeleng-geleng. Hanya seketika dia kelihatan mamai. Sesaat kemudian dia berada dalam kedudukan bersedia untuk membalas serangan. Tangannya terkepal-kepal. Bibirnya terjuih-juih geram kerana diserang Fariz.

“Kau nak lawan aku, hah? Mari, mari!” kata lelaki itu seraya menggamitnya.
Fariz melangkah menghampiri. Matanya tajam merenung ke dalam mata lelaki itu. Mencega kalau-kalau lelaki itu hilang konsentrasi. Sesaat apabila lelaki itu alpa, serangan bertali arus akan dilakukan.

‘MOOOOOO... ‘ Suara anak lembu kedengaran lagi.
Fariz nampak anak mata lelaki itu teralih ke arah suara itu. Pada saat itulah, Fariz memutar dan melayangkan tubuhnya. Kedua-dua kakinya menyambar dan menyepit leher lelaki itu. Lalu diheretnya kepala itu untuk rebah ke tanah bersama-samanya. Fariz menggunakan tumitnya untuk menghempuk kepala lelaki itu. Berksali-kali. Lelaki itu terjerit-jerit kerana marah dan sakit.

Fariz perlu pantas bertindak. Dia bingkas bangun lalu terus menyepak kepala lelaki itu. Dengan tangannya yang terikat Fariz berlari ke arah jip yang terdapat berhampiran. Pintu kenderaan itu dibukanya.

‘Yes!’ kata hatinya bila terpandang kunci kenderaan masih berada di leher stereng. Dengan segala kepayahan, Fariz membelakangkan pintu kenderaan itu lalu menggeser ikatan di tangannya dengan bahagian sisi pintunya. Sebentar sahaja tali ikatannya terlerai.

Namun, belum sempat dia memasuki kenderaan, kepalanya dipelangkung. Kepalanya terasa berdengung kembali. Pandangan Fariz berpinar. Dia rebah. Seseorang dirasakan menghampirinya lalu mengikat kembali kain untuk menutup matanya. Menggelapkan kembali dunianya. Mulut Fariz berkerinyut menahan sakit bila ikatan kain di kepalanya disimpul ketat-ketat.

“Bawak dia ke kem!” kedengaran suara lelaki yang ditendangnya itu memberi arahan. Tiada kedengaran nada suaranya keletihan mahupun kesakitan. Menandakan yang dia jenis lelaki yang berurat dawai dan bertulang besi.

Kolar baju Fariz direntap dari belakang. Bahagian buah pinggangnya ditumbuk. Menyebabkan Fariz sesak nafas seketika. Dia diheret dan ditolak. Dia dipaksa menaiki kenderaan. Bukan di bahagian dalam, tetapi di bahagian barangan di belakang. Bau tengik tiba-tiba menyesak hidungnya.

‘Mooooooo…’
Suara anak lembu kedengaran begitu hampir ke telinganya. Fariz menahan nafas dan terelak-elak bila terasa pipinya dijilat binatang itu. Dia terasa geli dan hendak tertawa. Dia terhibur dan terlupa seketika keadaannya yang masih dalam bahaya.

Bila kenderaan itu bergerak, Fariz terus berguling untuk menjauhi binatang itu.


Bersambung Sabtu hadapan, 12.5.09. insya-ALLAH...

3 comments:

akimsensei September 7, 2009 at 8:22 PM  

wah, what happen next.. lalala.. diorang nak gi mana ye? dah ada lembu ni, mesti nak bawak gi kawasan ternakan lembu la kot..

Anonymous September 7, 2009 at 8:24 PM  

Salam..
Alhamdulillah..
Watak fariz yang hebat lagi macho dah timbul dengan aksi yang HEBAT..
Seronoknya..
En.Eyman, semoga idea terus mencurah2..
Kehadiran MM2 sentiasa dinanti dengan sabar..(",)

eyman hykal September 11, 2009 at 8:21 PM  

Sdra. Akim...
Benar... depa bawak Fariz ke kawasan ternakan lembu! Tapi... erk...

Sdra Anonymous...
Terima kasih di atas doa saudara. Mudah-mudahan idea benar-benar turun mencurah-curah...

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP