Saturday, February 26, 2011

FRAGMEN 62: DETIK DEBAR


Photo Credit: Lai-adventure-group.blogspot

Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

LANGKAHNYA terhenti sebaik sahaja dia menapak untuk membantu Jennifer.
Palie! Dia datang sebagai penyelamat. Wartawan Sinar Harian yang berbadan gempal itu berjaya menarik Moussa. Meleraikannya daripada Jennifer yang sedang merangkak untuk menyelamatkan dirinya. Palie mengilas tangan lelaki Arab itu dan menolaknya hingga rebah ke jalanraya. Langsung menggunakan berat badannya untuk menindih Moussa hingga tidak bergerak. Kelihatan dua orang anggota polis berlari menghampiri.

Fariz menghembus nafas lega. Jennifer akan selamat. Lantas dia berlari dan merempuh mereka di depannya lalu melangkah parit untuk melintasi Padang Kelab Selangor. Beberapa orang awam kedengaran menjerit marah-marah dengan tindakan kasarnya. Namun, Fariz tidak mempedulikan. Keadaan amat genting. Dia perlu cepat sampai ke destinasi.

Di padang, Fariz bergegas melintasi. Kacamata megavision viewer dipakainya. Pandangannya tidak lepas melangut ke bumbung bangunan Dewan Usahawan Malaysia. Kini, dia tidak nampak kelibat Ali. Ke mana perginya lelaki itu? Tiba-tiba, dia ternampak beberapa buah helikopter jauh di kaki langit Kuala Lumpur.

Terdapat 15 buah helikopter TUDM yang akan melintasi Dataran Merdeka sebagai acara pertunjukan sambutan Hari Merdeka. Tiap sebuah mengibarkan bendera negeri-negeri di Malaysia di bahagian bawah badannya. Helikopter yang paling hadapan pula mengibarkan Jalur Gemilang.

Bagai sekawan beburung, ia terbang menghampiri. Bunyi kipas helikopter menimbulkan rasa keterujaan para penonton yang menyaksikan. Masing-masing terdongak ke langit dan mula bertepuk tangan beramai-ramai dengan perasaan bangga.

Fariz turut mendongak ke langit. Melihat helikopter yang semakin mendekat. Suatu idea muncul di fikiran Fariz. Dia mesti lakukan sekarang. Jika tidak dia terlepas peluang keemasan. Sekali lagi dia mendail. Kali ini dia mendail Suren, Ketua Penyelidik di BISIK.

“Suren! Kau mesti tolong aku! Urgent!” kata Fariz dengan suara yang termengah-mengah.
“Apa dia?” tanya Suren.
“Aku ternampak seseorang berada di atas bangunan Dewan Usahawan Malaysia. Aku menjangka dia tu sharp shooter!”
“Biar betul! Kau pasti?” soal Suren.
“Ini jangkaan aku berdasarkan agakan!”

“Agakan? Kau gila! Kau mesti pasti, Fariz. Silap bertindak, boleh diambil tindakan disiplin atau dibuang kerja, tau?” Suren memberi amaran.
“Aku tak takut dikenakan apa-apa tindakan! Apa… kau takut ke?”
Soalan Fariz tidak mendapat jawapan. Beberapa ketika Suren terdiam.
“Okey, okey! Apa yang kau nak aku buat?”

“Dengar sini…”

Jalan Tuanku Abdul Rahman, K. Lumpur

SUASANA di sini mula tegang apabila ahli-ahli SAKA mula bergerak dalam satu kumpulan padu. Mereka meregang lengan masing-masing agar tidak terpisah. Lagu-lagu patriotik termasuk lagu Berjaya, Bahtera Merdeka dan Saya Anak Malaysia dinyanyikan beramai-ramai. Suara mereka menggaung dan menggamatkan suasana. Semakin kuat mereka bernyanyi, semakin tinggi semangat mereka.

Pasukan FRU yang memerhati daripada arah Dataran Merdeka mula berdiri rapat-rapat. Perisai masing-masing dicantum supaya menjadi benteng. Bersedia untuk menahan ahli-ahli SAKA daripada terus mara ke Dataran Merdeka. Seandainya mereka dapat membolos sekatan, mereka akan muncul bertentangan dengan pasukan-pasukan perbarisan Hari Merdeka yang melakukan lintas hormat. Pergerakan pasukan-pasukan itu akan terhalang.

Dan, sambutan Hari Merdeka akan menjadi haru-biru. Jika ini terjadi, sambutan Hari Merdeka yang berlangsung secara aman dan gilang gemilang sejak berpuluh-puluh tahun akan tercemar buat pertama kali!

“Anda semua diminta bersurai!” Kedengaran seruan Komisioner Polis, Datuk Farush Khan Akbar Khan, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam menerusi hailer. Dia berdiri di atas lori FRU. “Baliklah. Tidak elok mencemar Hari Merdeka… hari gembira seluruh rakyat Malaysia…”

Datuk Farush Khan cuba menggunakan cara diplomatik. Seboleh mungkin, beliau tidak mahu mencemarkan sambutan Hari Merdeka. Lebih-lebih lagi kerana pada hari ini agensi-agensi berita antarabangsa datang membuat liputan secara langsung berikutan dengan kehadiran Presiden Amerika, John Martinez. Apa jua yang terjadi akan terakam dan tersebar ke seluruh dunia.

“Saka, Saka, Saka. Bara, bara, bara. Mara, mara, mara. Jahanam Amerika! Jahanam Amerika! Jahanam Amerika!”

Seruan pegawai tertinggi polis itu tidak dihiraukan. Malah, ahli-ahli SAKA semakin bersemangat membuat sorakan. Berulang-ulang, berkali-kali hingga suara Komisioner Polis itu tenggelam dalam gegak gempita sorakan keramat SAKA.

Gerakan mereka begitu tersusun. Lautan ahli-ahli SAKA yang berbaju corak jalur gemilang kelihatan di mana-mana. Jumlah mereka sudah menjangkau ribuan. Akhirnya menimbulkan kesukaran pasukan polis untuk mengawal keadaan.

Mereka sudah menghampiri pasukan FRU yang bertahan merentangi jalanraya. SAKA juga mempunyai pasukan kawalan mereka yang menjadi pemandu arah ahli-ahli yang berdemonstrasi. Mereka yang memakai songkok motif Jalur Gemilang kini bergerak ke hadapan para pengikutnya. Kini. jarak yang memisahkan mereka dengan pasukan FRU hanya sedepa!

“Saka, Saka, Saka. Bara, bara, bara. Mara, mara, mara. Jahanam Amerika! Jahanam Amerika! Jahanam Amerika!”

Beberapa orang ahli SAKA mula merempuh sekatan. Diikuti dengan yang lain. Pasukan FRU yang membentengi mereka dengan perisai terpaksa bertahan. Masing-masing mengentalkan hati dan perasaan.

Satu pihak memperjuangkan kepetualangan Amerika. Satu pihak lagi mempertahankan keamanan. Maka berlakulah tolak menolak dan jerit menjerit. Orang ramai yang pada mulanya menonton drama itu dengan seronok mula panik. Ramai yang lari bertempiaran kerana ketakutan.


Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP