Saturday, March 12, 2011

FRAGMEN 64: DETIK DEBAR


Photo credit: rotaryaction.com

FARIZ tidak perlu menunggu lama. Panggilannya ke Dewan Operasi BISIK meminta bantuan helikopter untuk menerbangkannya ke bumbung bangunan Dewan Usahawan Malaysia telah mendapat respons semerta. Pihak keselamatan penganjur Hari Merdeka terus menghubungi TUDM untuk membantu.

Fariz akan diterbangkan ke bangunan itu. Tetapi, oleh kerana kehadiran helikopter itu akan mengundang pelbagai persoalan khalayak ramai, ejen-ejen BISIK sudah sedia membantu dengan cara penyamaran yang simple.

Fonsel Fariz bergetar.
“Ya!” jawabnya.
“Kami akan mendarat. Bersedia untuk berlepas,” kedengaran suara pilot helikopter memberi arahan kepada Fariz.
“Siap!” jawab Fariz yang kini terbaring di sebuah pengusung, seolah-olah seorang pesakit yang perlukan bantuan kecemasan.

Dua orang anggota BISIK yang menyamar sebagai petugas Persatuan Bulan Sabit Merah yang beruniform putih sudah sedia mengusung Fariz. Beberapa orang para petugas yang mengendalikan tarian dan gimrama kelihatan ke hulu ke hilir meminta berpuluh-puluh pelajar yang menyertai pertunjukan agar beranjak ke tepi padang bagi memberi ruang pendaratan pesawat.

Kemunculan helikopter yang berlegar-legar di udara mencuri kembali tumpuan orang ramai. Masing-masing memerhati burung besi itu dengan kagum. Ada yang menunjuk-nunjuk ke arah helikopter seraya bercakap dengan teman-teman berhampiran. Agaknya mereka tertanya-tanya apakah jenis pertunjukan yang bakal dipertontonkan pada pagi ini. Sedikit pun mereka tidak menyangka kehadiran helikopter itu adalah untuk menjalankan satu operasi tergempar.

Kipas helikopter yang semakin merendah itu mengibarkan kostum para pelajar yang berambu-rambu dan beranika warna. Mereka tidak panik, sebaliknya begitu gembira bila tubuh mereka ditiup angin. Beberapa orang pelajar perempuan tertawa terkekeh-kekeh kerana begitu seronok melawan angin yang menyerbu ke tubuh mereka.

Sebaik sahaja helikopter itu mendarat, dua orang anggota BISIK yang beruniform Persatuan Bulan Sabit Merah segera mengusung Fariz.

“Apa yang sedang berlaku?” tanya John Martinez kepada PM yang sudah pun melangkah ke hujung pentas kerana cuba melihat dengan lebih dekat. Dari jarak kira-kira 80 meter, mereka, seperti lain-lain dif-dif kehormat turut tertanya-tanya akan apa yang berlaku kerana tidak dapat melihat dengan jelas.
“Mungkin kecederaan serius peserta. Helikopter terpaksa dipanggil untuk membuat penerbangan ihsan,” jawab PM tenang apabila melihat Fariz diusung ke arah helikopter.

Sebaik sahaja Fariz memasuki pesawat, helikopter itu terus terambang-ambang sebelum menaik tinggi ke udara. Sekali lagi, para penonton bertepuk tangan kerana kagum dengan kecekapan para petugas. PM dan John Martinez serta semua para tetamu turut memberi tepukan yang bergemuruh. Pandangan masing-masing mengekori penerbangan pesawat itu hingga menjauh.

DI BAWAH pentas, Alvaro menyumpah seranah. Apabila John Martinez melangkah ke penjuru pentas, kedudukan lubang pistol sudah agak jauh. Kalau lelaki itu beralih tempat berdiri, segala rancangannya akan punah. Tetapi, Alvaro mengeluh lega apabila John berundur kembali ke tempat asal dia berdiri. Namun, Alvaro tidak mahu mengambil risiko lagi. Dengan berhati-hati Alvaro menebuk sebuah lagi lubang kecil kira-kira satu meter dari lubang asal.

Kini, terdapat dua lubang kecil. Satu di kiri, dan satu lagi di kanan tempat John Martinez berdiri. Kalau John bergerak ke kiri, Alvaro akan menggunakan lubang di sebelah kanan. Jika John melangkah ke kanan, dia akan menggunakan lubang di sebelah kiri. Maknanya, John Martinez tak boleh lari ke mana pun. Dan, tugas Alvaro akan beres pada pagi ini dengan jayanya.

“SAKA, Saka, Saka! Bara, bara, bara! Mara, mara, mara! Jahanam Amerika! Jahanam Amerika! Jahanam Amerika!”
Begitu padu dan bergemuruh suara pengikut-pengikut SAKA bertempik dengan sorakan keramat mereka. Jumlah mereka yang kini menjadi ribuan membuatkan pasukan polis berhati-hati bertindak. Suasana Hari Merdeka itulah yang menyukarkan mereka.

Walaupun kelompok utama telah disekat oleh pasukan FRU, ratusan lagi pengikut-pengikut SAKA muncul dari celah-celah lorong yang menghala ke Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju ke Dataran Merdeka. Oleh kerana sebahagian besar wargakota turut mengenakan pakaian bertemakan Jalur Gemilang, sukar pihak polis menahan mereka yang disyaki pengikut-pengikut SAKA.

Semburan air dan gas pemedih mata tidak dapat langsung digunakan. Dengan suasana menyambut Hari Merdeka, ketegasan pihak polis mudah sahaja diputarbelit oleh pihak media bagi menimbulkan sensasi. Akhirnya pihak polis terpaksa melonggarkan sedikit sekatan agar keadaan tidak kelam kabut.

“Saka, Saka, Saka! Bara, bara, bara! Mara, mara, mara! Jahanam Amerika! Jahanam Amerika! Jahanam Amerika!” jerit Bakar Buang yang berada di barisan hadapan demonstrasi diikuti oleh yang lain. Mereka melangkah sederap kaki penuh bersemangat dengan nyanyian dan sorakan.

HELIKOPTER yang membawa Fariz terpaksa berpirau jauh agar tidak menimbulkan kecurigaan orang ramai, lebih-lebih lagi daripada pengetahuan Ali yang berada di bumbung Dewan Usahawan Malaysia. Apabila ia melewati di sebalik pohon-pohon berhampiran dengan kawasan belakang bangunan itu, Fariz segera menuruni tangga tali.

Helikopter itu memperlahankan penerbangan, memberi kesempatan kepada Fariz untuk melakukan landing dari ketinggian 8 meter. Sebagai seorang ahli pakour Fariz dapat melakukan terjunan dengan mudah. Lututnya dibengkokkan sebaik sahaja dia mencecah bumi untuk menyerap impak penerjunan sebelum dia berguling beberapa kali.

Kemudian dia berlari dan memasuki bangunan melalui pintu sisi. Di lobi, dengan pantas Fariz bergerak daripada satu tiang kepada satu tiang. Dia perlu berhati-hati agar tidak menarik perhatian pengawal keselamatan. Tidak mahu bersoal jawab dengan mereka. Dalam keadaan yang genting sebegitu, soal jawab dan penerangan tentang siapakah dia dan apa tujuannya ke situ hanya membuang masa. Tetapi...

“Helo!”
Kedengaran suara parau dan menggaung memanggilnya.
Langkah Fariz terhenti.

Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP