Saturday, June 4, 2011

FRAGMEN 77: DETIK DEBAR







Photo credit: pakipolitics.blogspot

BAHU
Jennifer terangkat secara spontan kerana terkejut apabila bahunya disentuh. Dia membuka matanya. Ingatannya yang hilang seketika, kembali semula. Nafasnya mula sesak kerana menahan gemuruh di dada. Wajah-wajah mereka yang dikenali bersimpang-siur tertayang di layar mindanya. Wajah ayahnya, Stone Miles dan ibunya Nancy yang tenang kemudiannya terpapar bersilih ganti.

‘Apakah aku akan dibunuh? Apakah aku akan mati? Apakah aku dah sedia untuk mati?’ soal hatinya penuh gusar.
“Jennifer Miles…” bisik Moussa ke telinganya.
Walaupun sarung bantal menutupi matanya, bayang-bayang Moussa masih kelihatan. Malah, nafas lelaki itu kian kedengaran mendengus-dengus.
“Bersiaplah, Jennifer Miles. Hari matimu sudah tiba…” bisik Moussa lagi.

Di saat itu, Jennifer terasa sesuatu yang dingin menyentuh lehernya. Dia tahu ia rasa sejuk mata pisau. Dia tahu, rasa sejuk pisau itu akan diganti dengan hangatnya darah yang akan menyembur dari tengkoroknya apabila pisau itu menghiris lehernya.

Dia dapat bayangkan rasa pedih yang halus akan terasa apabila pisau itu terbenam. Pedih akan bertukar bisa, bisa akan bertukar sengal dan sengal akan bertukar menjadi sakit yang tidak akan tertanggung lagi. Seluruh tubuh akan terasa lemah dan kebas.

“Jennifer Miles… siapakah yang boleh menyelamatkan kamu sekarang?”

Kata-kata itu menyentap Jennifer daripada lamunannya. Membuatkan dirinya terpinga-pinga. Jennifer mula meronta-ronta. Tubuhnya menggeliat dan meliuk lentuk mahu melepaskan dirinya dari simpulan tali. Tetapi tangan dan kakinya yang terikat menyukarkannya untuk bergerak. Rasa pedih di pergelangan tangan dan kaki lama kelamaan melemahkan rontaannya.

“Jennifer Miles… siapakah yang boleh membuat kamu terus hidup?”

'Hidup? Terus hidup?’ Jennifer bertanya dirinya.
“Nyawa kau di tanganku sekarang! Tiada sesiapa pun yang akan dapat menyelamatkan kau!”

Ketukan di pintu tiba-tiba menganggu tumpuan Moussa. Bunyi itu semakin lama semakin kuat. Bagai mahu meruntuhkan pintu itu. Moussa menoleh dengan wajah bengis. Dia mencapai pistol yang tersisip di pinggangnya.

“Diammmmmmm!”
‘Tam!’

Satu das tembakan dia lepaskan ke pintu. Ketukan itu tiba-tiba terhenti. Suasana jadi sepi kembali. Moussa tersenyum puas hati. Kemudian dia menekur ke arah Jennifer semula. Niatnya harus dilampiaskan sekarang juga. Dia tidak mahu membuang masa lagi.

Kepala Jennifer didongakkan. Gadis itu mula meronta-ronta lagi. Tetapi Moussa sudah tidak peduli. Malah, imej wajah-wajah anaknya Naeem dan Nazeem bersilih-ganti di layar mindanya. Wajah-wajah itu kelihatan tersenyum sambil bertepuk tangan. Seolah-olah gembira melihat ayah mereka menuntut bela ke atas kematian mereka.

“Bismillah…” Moussa bergumam.
“Hmphhhh…” Jennifer semakin meronta-ronta. Menggerakkan tubuhnya sehingga kerusinya terhentak-hentak. Mujurlah karpet di lantai menyerap bunyi hentakan kaki kerusi itu.
“Bismillahirahman…”

“ALLAH…” Jennifer berbisik.

Moussa tersentap! Mata pisau itu dilarikan daripada leher gadis itu. Dia memandang wajah Jennifer yang terbungkus itu. Matanya terkelip-kelip bila terdengar nama agung itu terlontar daripada bibir wartawan itu. Atau, apakah dia tersalah dengar? Lalu Moussa mendekatkan telinganya ke bahagian bibir gadis itu.

“Katakan kepadaku… apa yang kau sebutkan tadi?” bisik Moussa.

Moussa menanti sambil memasang telinga. Dia tidak mendengar apa-apa kecuali dengusan nafas Jennifer.
“Katakan lagi…” perintah Moussa. Kali ini suaranya dikeraskan sedikit.
“ALLAH…”
Nama itu terlontar lagi daripada bibir Jennifer.
“Siapa?”

“ALLAH! Dialah yang akan menyelamatkan aku. Nyawa aku di tangannya… bukan di mata pisaumu itu…”

Mata Moussa terbeliak. Nafasnya tersekat-sekat. Tidak menyangka sama sekali Jennifer akan menyebut nama tuhannya. Moussa terundur beberapa langkah. Bulu roma di tengkuknya berdiri.

‘Ya Hayyu, Ya Qayyum…’ Nama ALLAH Yang Maha Hidup dan Yang Maha Berdiri itu terngiang-ngiang di telinganya. ‘Benar kata Jennifer. Bukan aku yang membunuhnya. Bukan juga mata pisau aku. Yang mematikan Jennifer hanyalah ALLAH!’ kata Noussa di dalam hatinya.

“Apakah sungguh yang kau katakan, wahai Jennifer Miles?” soal Moussa.
“Ya…” jawab Jennifer. Suaranya serak kini. Bagai menahan sesuatu yang terlekat di halkumnya. “Ya… Aku bersaksi… tiada tuhan… yang aku sembah… melainkan ALLAH…”

“Kau ucapkan syahadah! Kau ucapkan syahadah!” pekik Moussa.

Moussa terpana. Dia tidak menyangka sama sekali orang yang didendami selama ini akan mengucapkan kata-kata yang membawa maksud mereka bertauhid kepada ALLAH Yang Esa. Tuhan yang Moussa sembah.

“Jika itu yang kau lafazkan, Jennifer Miles… aku tidak boleh membunuhmu. Kau seagama denganku. Justeru, kau adalah saudaraku… dunia dan akhirat! Nyawamu haram buatku!”

Tubuh Moussa mula menggigil. Lututnya jadi goyang. Lalu Moussa jatuh berlutut. Pisau di tangannya terlepas. Dadanya sebak. Dan Moussa menangis. Menangis semahu-mahunya kerana takut menghukum seseorang yang telah mengucap kalimah syahadah. Membunuh orang yang seagama itu dosa besar! Mujurlah. Mujurlah dia belum sempat menghiris leher Jennifer Miles yang didendaminya selama ini.

Jennifer yang mendengar semua itu berasa sebak. Dia sendiri tidak mengerti mengapa dia menyebut nama ALLAH. Dia tidak faham mengapa dia mengucapkan syahadah. Tidak terniat langsung untuk mengucapkan syahadah itu. Lafaz itu meluncur daripada bibirnya bagai air yang mengalir.

Dia bingung. Bingung dengan apa yang dilafazkan tadi. Suara azan tiba-tiba berkumandang di cuping telinganya. Suara itu mendayu-dayu dan meruntun hatinya. Rasa syahdu menjalar di sanubarinya.

‘Perasaan apakah ini?’ tanya Jennifer kepada dirinya.
Sesungguhnya dia tidak mengerti apa yang dialaminya. Perasaan itu menjadikan dia lega selega-leganya. Tanpa dia sedari, airmatanya mula merembes di pipi kerana dia berasa tenang setenang-tenangnya.

‘Dum! Prak!’
Kedengaran daun pintu ditendang.

“Jangan bergerak! Angkat tangan!” kedengaran suara seseorang yang dikenalinya. Fariz!
Pandangannya yang kelam itu tiba-tiba menjadi terang benderang apabila serkup di kepalanya diangkat. Wajah seorang wanita tersenyum menyambut pandangannya. Wanita itu segera merungkai ikatan di tangan dan kakinya.

Jennifer menoleh ke sisi. Dia nampak Fariz sedang menggari Moussa yang hanya terdiam menyerah diri. Fariz juga tertoleh. Pandangan mereka berlaga. Kemudian sama-sama melontarkan senyuman.

“Kak Mala ajak Jennifer minum, ya? Saya nak bawa Moussa ke BISIK!” kata Fariz.

Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH.

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP