Saturday, June 25, 2011

FRAGMEN 80: DETIK DEBAR




Photo credit: aulakhz.com

“TERIMA
kasihlah kerana sudi hadir walaupun menerima notis yang singkat,” Tan Sri Ramlee memulakan majlis dengan berbasa-basi. “Terima kasih juga kepada Ed Arden, Ketua Pegawai Keselamatan John Martinez, Presiden Amerika kerana sudi meluangkan masa.

Saya bawa Mr. Ed Arden ke mari untuk memberi taklimat mengenai sebuah kumpulan yang kini dianggap militan oleh Jabatan Pertahanan Amerika. Kumpulan ini bukannya rangkaian al-Qaeda yang dianggotai oleh militan Islam, tetapi sebuah kumpulan lain yang tidak kurang hebatnya. Apakah kumpulan itu? Mari kita dengar dan saksikan taklimat Mr. Ed Arden."

Lampu bilik mesyuarat disuramkan. Ed Arden memetik alat kawalan jauh dan slaid daripada komputer mula terpancar di skrin-skrin yang terdapat di bilik mesyuarat ini. Nama ‘Gerakan Lashkar Jihad’ terpapar besar.

“Gerakan Lashkar Jihad adalah kumpulan militan yang baru!” Ed Arden memulakan taklimat. “Usia pertubuhan ini tak sampai setahun. Walaupun tak lama ditubuhkan, ia cepat merekrut ahli-ahli baru.”

Slaid bertukar dan memapar wajah dua orang lelaki berserban dan berjanggut lebat.

“Gambar di sebelah kiri adalah Othman Hussaini, pemimpin Gerakan Lashkar Jihad. Gambar di sebelah kanan pula adalah Ruwais ben Khalaf, pemimpin kumpulan al-Khaleefa. Othman adalah bekas orang kanan Ruwais. Analisa awal kami menjangkakan Othman meninggalkan al-Khaleefa untuk menubuhkan Gerakan Lashkar Jihad kerana tamakkan kuasa kepimpinan.

Tetapi penyelidikan kami menemukan sesuatu yang sukar dipercayai. Sebenarnya, Othman Hussaini bukannya menubuhkan Gerakan Lashkar Jihad kerana mahu jadi pemimpin sebuah pertubuhan sendiri. Sebaliknya, Othman rupa-rupanya telah diperdaya oleh sebuah kumpulan Zionis! Malah, Gerakan Lashkar Jihad sudah bukan hasil cetusan idea Othman!"


Para hadirin saling pandang memandang sesama sendiri. Mereka belum faham apa yang dimaksudkan oleh Ed Arden. Slaid bertukar lagi dan wajah seorang lelaki berusia tiga suku abad terpampang.

Meskipun wajahnya dipenuhi kedut, tetapi matanya yang kelihatan merenung tajam. Alis keningnya yang tebal menggambarkan personaliti yang tegas. Bibirnya yang tipis mempamerkan personaliti yang keras.

“Itulah Gluke Chayim…” Ed Arden meneruskan taklimat. “Beliau adalah ketua The Group, sebuah kumpulan pelobi Zionis yang menguasai sebahagian besar daripada ekonomi Amerika!

Apabila The Group mengetahui John Martinez mula condong kepada ekonomi Islam, The Group merancang untuk menamatkan riwayatnya. Salah satu caranya ialah menubuhkan gerakan jihad Islam yang palsu yang diberi nama Gerakan Lashkar Jihad yang diketuai oleh Othman Husaini.

Othman Hussaini yang tidak tahu pertubuhannya ditaja The Group mula memperdaya sebilangan ahli-ahli kumpulan al-Khaleefa untuk menyertai Gerakan Lashkar Jihad. Pada waktu yang sama, terdapat juga mereka yang direkrut oleh The Group untuk menyusup masuk bagi meneruskan agenda tersembunyi kumpulan pelobi itu.”

“Apa pula kaitan Gerakan Lashkar Jihad dan Malaysia?” soal Tuan Aziz.

Ed Arden kenal suara itu. Lalu dia memantaukan pandangannya ke seluruh bilik itu. Tercari-cari Tuan Aziz. Apabila pandangan mereka bertembung, mereka saling tersenyum dan terangguk. Ed Arden mengerti, soalan Tuan Aziz bukan bertujuan hendak tahu, tetapi ia dilontar agar mereka di dalam dewan itu mendapat maklumat selanjutnya. Ed Arden menekan alat kawalan jauh slaid. Terpapar wajah Moussa, Ali, Omar dan Jennifer Miles!

“Lelaki yang paling kiri adalah Moussa Arafat… bekas askar Iraq berpangkat Sarjan. Setelah Saddam Hussein tewas, dia pulang ke Al Muntaseer, Palestin di kampung halaman isterinya. Keluarganya semua mati dalam serangan Israel.

Dalam sebuah insiden, anak-anaknya yang nazak telah dijadikan hiasan set oleh seorang wartawan wanita Amerika. Nama wanita itu Jennifer Miles, imej yang paling kanan di skrin. Tuan-tuan juga tentu tahu mengenai insiden yang menggemparkan dunia tak lama dulu…

Apabila Gerakan Lashkar Jihad mendapat tahu insiden itu, mereka mencari dan merekrut Moussa menyertai kumpulan mereka. Dendam Moussa terhadap Jennifer Miles membuatkan beliau sampai ke mari. Beliau dijanjikan akan diberi peluang menghapuskan Jennifer yang datang ke Malaysia seandainya beliau membunuh John Martinez terlebih dahulu.”

Ed Arden mencapai minuman lalu meneguknya. Perbuatannya itu dituruti oleh beberapa orang pegawai yang lain. Masing-masing menangguhkan niat untuk minum kerana asyik mendengar taklimat itu sehinggalah Ed Arden sendiri meneguk air.

“Bagaimana dengan dua lelaki lagi?” tanya Datuk Amsyairi dari Kor Risik ATM.
“Wajah lelaki kedua di sebelah Moussa ialah Ali Fattah. Beliaulah yang membawa Moussa masuk ke Malaysia. Ali adalah seorang operator yang licik. Dua kali kami dapat mengesannya iaitu di Pashtun, Afghanistan dan di Ottawa, Kanada. Dia hilang bila menyedari yang dia diekori.

Tetapi, Ali terperangkap di Malaysia kerana cuba membunuh John Martinez. BISIK, yang kami di Amerika gelar sebagai CIA Malaysia telah menangkapnya. Terima kasih kepada pegawai Tuan Aziz, iaitu Fariz Zafar, kerana telah berjaya menumpaskan musuh yang paling dikehendaki Amerika!”

Para hadirin terus memandang Tuan Aziz. Mereka tertanya-tanya siapakah Fariz Zafar yang dikatakan sebagai pegawai BISIK. Tuan Aziz menoleh ke arah Fariz lalu membisikkan sesuatu. Sejurus, Fariz berdiri dan tunduk tanda hormat.

“Yes! Fariz Zafar. Give him a big hand!” ujar Ed Arden seraya mendepangkan tangannya ke arah Fariz sebagai tanda memperkenalkan beliau kepada hadirin.

Para hadirin memberi tepukan penuh bersemangat. Mereka bangga, seorang anak Malaysia berjaya menumpaskan seorang angota militan yang dikehendaki Amerika. Perhatian para hadirin terhadapnya membuatkan Fariz tersenyum malu. Sekali lagi Fariz tunduk penuh hormat sebelum duduk kembali.

“Apa yang terjadi pada Moussa pula?” tanya seorang pegawai.
“Soalan ini sepatutnya ditujukan kepada The Three Musketeers anda,” jawab Ed Arden seraya tersenyum.

Para hadirin tergelak-gelak seraya menoleh memerhati Tuan Aziz, Datuk Amsyairi dan Datuk Badruldin. Ketua BISIK, Cawangan Khas dan Kor Risik Angkatan Tentera adalah tiga organisasi perisikan negara yang penting. Di kalangan pegawai-pegawai tinggi kerajaan, malah di peringkat kabinet, mereka digelar pahlawan The Three Musketeers, sempena nama tiga pahlawan berani dalam novel Alexandre Dumas.

“Biar saya jawab soalan itu…” kata Tuan Aziz.
“Please…” jawab Ed Arden.
“Saya ingin nyatakan, pihak kami masih belum dapat mengesan di mana Moussa berada.

Tetapi kami percaya beliau masih berada di dalam Malaysia. Fotonya juga telah dikirim ke semua pintu keluar sama ada di darat, laut dan udara. Seperti Ali, kami akan ekstradisi Moussa ke Amerika seandainya kami menemuinya.”

Ringkas sahaja jawapan Tuan Aziz. Mereka di dalam dewan itu terangguk-angguk tanda faham. Namun, Fariz tahu kedudukan sebenarnya. Dia yang menewaskan Ali dan Moussa. Kedua-duanya kini ada dalam tahanan BISIK.

Dia pasti Ali akan di ekstradisi ke Amerika. Tetapi dia mengagak ada sesuatu tujuan mengapa Tuan Aziz menyatakan Moussa masih belum ditemui. Pasti ada muslihat di sebalik kata-kata Tuan Aziz itu.

Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...





0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP