Saturday, July 2, 2011

FRAGMEN 81: DETIK DEBAR


Photo credit: aguidetoasia.com

“BAGAIMANA
pulak dengan lelaki yang ketiga... maksud saya lelaki gempal yang berjanggut itu?” soal Tuan Aziz seraya menuding ke arah skrin. Mengalih perhatian terhadap Omar pula.

“Itu lelaki yang paling berbahaya! Nama sebenarnya Menahem Dekel. Dia Yahudi. Namanya dalam operasi membunuh John Martinez adalah Omar. Dialah yang menjadi orang hubungan kepada Ali dan Moussa di Malaysia.

Selepas kejadian cubaan membunuh John Martinez gagal, BISIK berjaya menjejaki Menahem dan menumpaskannya. Mayatnya sudah diterbangkan kembali ke Amerika,” ujar Ed Arden.

Sekali lagi Fariz tahu apa yang sebenarnya terjadi. Dia bukan sahaja menembak Menahem, tetapi dia juga membunuh Alvaro, penembak tepat yang menembak John Martinez daripada bawah pentas di Dataran Merdeka.

Mungkin Tuan Aziz hanya memaklumkan kematian Menahem dan mengenepikan maklumat kematian Alvaro di atas pertimbangan keselamatan. Ah, terlalu banyak rentetan kerahsiaan dan memutar kata dalam dunia perisikan. Kesemuanya atas nama muslihat operasi. Masih banyak yang harus Fariz pelajari.

Hotel Prominent, Putrajaya

SEBELUM
barangkat pulang ke Amerika, John Martinez dikunjungi PM. Selepas berbincang perancangan kerjasama Malaysia-Amerika khususnya dalam bidang ekonomi Islam, mereka berbual-bual kosong di balkoni. Sebagai sahabat lama, John tidak berselindung meluahkan perasaannya.


“Aku benar-benar terhutang budi dengan kau. Jika tiada bantuan dari pihak Malaysia, tentu sekali usia aku tak panjang,” ujar John dengan wajah yang sugul.

“Jangan cakap macam tu, John. Dah memang tugas aku dan pegawai-pegawai aku untuk menjaga keselamatan kau,” jawab PM.

John merenung ke kejauhan. Melihat panorama Putrajaya yang menghijau pada waktu petang. Ada sesuatu yang bermain di fikirannya. PM yang kenal dengan perawakan John hanya membiarkan sahaja sahabatnya itu bermain dengan perasaannya.

“Aku tak sangka, David Doron, pegawai yang paling aku percayai sanggup menikam aku dari belakang,” ujar John.
“Malang sekali, John… Apa tindakan kau?”
“Aku dah pecat dan hantar dia balik semalam,” jawab John dengan nada tegas.

‘Ting, tong…’ Loceng pintu suite berbunyi.

John dan PM sama-sama tertoleh memandang ke daun pintu. Menanti siapakah yang akan muncul apabila ia terkuak. Ed Arden terjengul. John mengisyaratkan agar Ed Arden masuk.

Tetapi, pegawai itu berundur ke samping. Membiarkan seseorang lain pula yang muncul. Sesusuk tubuh tampil berdiri di ambang pintu. Jennifer Miles! John mengangkat tangannya meminta Jennifer menanti seketika kerana perbualannya dengan PM masih belum tamat.

“Bila aku buang David Doron, aku ambil keputusan untuk melantik Jennifer Miles sebagai Setiausaha Akhbar aku yang baru,” bisik John sambil tersenyum bangga.
“Betul ke? Dia setuju ke?” soal PM seraya terjeling ke arah Jennifer yang masih tercegat berdiri.

John hanya mengangguk.

“Macam mana dengan kerjanya di WLL? Apa kata ayah Jennifer?” tanya PM.
“Itupun aku sudah bereskan. Aku sudah beritahu ayahnya, Miles Stone. Dia tiada halangan.”
“Hei… Aku rasa Jennifer Miles bukan sahaja sesuai sebagai Setiausaha Akhbar kerana dia cekap. Dia tu cantik… boleh juga kau ambil sebagai isteri!”

“Kau ni, mengarutlah…” jawab John seraya tersengih.
“Betul, John. Engkau pun dah lama membujang. Bila lagi nak kahwin?” PM mengusik.

John Martinez mengenyitkan matanya dan tersenyum nakal.

“Kalau dia beragama Islam, sekarang juga aku akan lamar dia,” ujar John. “Tapi, ya… mungkin ia sesuatu yang mustahil. Mungkin bila dia tahu aku beragama Islam, dia akan tolak lamaran aku mentah-mentah.”
“Eh, kau tu jantan. Belum cuba, belum tahu.” PM memberi kata-kata semangat.

John hanya tersenyum mendengar kata-kata perangsang sahabatnya itu. Namun, kedua-dua lelaki itu tidak tahu, Jennifer sebenarnya telah mengucapkan syahadah kelmarin. Dia telah mengakui keesaan ALLAH, dan perakuan-NYA bahawa Islam adalah agama yang diredai.

Dalam yakin, John rasa ragu kalau-kalau Jennifer hanya mahu bekerja dengannya dan tidak lebih daripada itu. PM pula, dalam memberi kata-kata perangsang sebenarnya tidak yakin dengan Jennifer mahu mengahwini John.

Jennifer yang berdiri seperti patung di muka pintu hanya memandang dua orang lelaki itu berbual sambil berbisik-bisik. Hatinya tertanya-tanya mengapa pula sekali-sekala kedua-dua lelaki itu memandangnya dengan penuh makna. Namun, sebagai seorang gadis professional, dia buat-buat tidak mengerti. Berlakon seolah-olah tidak nampak gelagat John dan PM.

Bersambung minggu hadapan, insya-ALLAH...

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP