Wednesday, August 18, 2010

FRAGMEN 38: DETIK DEBAR


Foto: jetson.com.my
FRAGMEN 38
DETIK DEBAR


Seri Perdana, Putrajaya

JOHN Martinez dan Perdana Menteri Malaysia sedang berehat di Bilik Tamu Khas setelah makan malam. Inilah bilik yang digunakan untuk perbincangan tertutup para pemimpin tertinggi negara. Para pegawai Malaysia dan Amerika kini sedang berbual-bual di ruang bersebelahan.

“Apakah agenda pada hari esok?” tanya John secara berbasa-basi. Walhal, dia sendiri sudah dimaklumkan oleh para pegawainya mengenai agenda forum WIEF esok.

“Para pegawai negara peserta, kesemuanya sedang merangka memorandum persefahaman," jawab PM. "Pagi tadi, mereka semuanya bersetuju untuk mewujudkan sistem ekonomi Islam. Kami akan mulakan dengan sistem takaful. Kemudian barulah kami wujudkan sistem matawang emas dan dinar.”

“Where do I come in?” tanya John.
Kata-kata itu mengundang senyuman PM. “Seperti yang awak tahu, Kesatuan Eropah sedang meneliti perkembangan di WIEF. Malah, ada yang menghantar Menteri Kewangan masing-masing sebagai pemerhati.

Dan, tumpuan mereka juga adalah pada acara petang esok. Kemunculan awak akan menjadi pertimbangan pendirian Kesatuan Eropah untuk mengadaptasi sistem kewangan Islam dan meninggalkan sistem kewangan konvensional.”

“Nampaknya Kesatuan Eropah amat serius kerana mengambilkira pendirian saya dalam hal ini.” ujar Tuan Presiden.
“Itulah yang pasti, Tuan Presiden. Awaklah yang akan diikut. Kerana, awaklah bintang pada petang esok!”

Kedua-duanya tertawa. Tidak sedar yang tawa mereka mengundang David Doron untuk mengintai kedua-duanya dari celah langsir pintu dengan wajah yang berkerut seribu.

Precint 3, Putrajaya

SEBUAH pacuan empat roda meluncur perlahan merentasi Jambatan Seri Wawasan. Baru tiga minit ia bergerak daripada kawasan parkir Masjid Sultan Zainal Abidin, meninggalkan Jennifer setelah tidak berjaya mengapa-apakan gadis itu.

“Kamu bodoh!” jerkah Ali.

Sedari tadi, Ali yang duduk di kerusi hadapan tidak habis-habis berleter. Mengutuk tindakan Moussa yang tidak sabar-sabar untuk melempiaskan amarahnya terhadap Jennifer.

“Aku tunjukkan pada kamu di mana Jennifer supaya kamu percaya bahawa apa yang aku perkatakan selama ini adalah benar. Aku tidak suruh kamu cekik leher dia!” bebel Ali lagi.
“Biarlah aku buat apa yang aku suka. Apa kamu peduli?” jawab Moussa dengan kasar.
“Hei!” Ali menoleh ke kerusi belakang. Matanya membulat memandang Moussa. “Jangan melawan dengan apa yang aku cakap! Bila aku beri arahan, kamu mesti patuh. Mengerti?”

“Ah! Sudahlah!” bantah Moussa.
“Apa? Kau melawan? Kau nak mati?”
Ali terus bangun dan menjongkongkan tubuhnya. Leher Moussa cuba digapai. Namun, Moussa menjauhkan dirinya. Tali pinggang keledar yang terikat kemas menyukarkan Ali untuk bergerak. Dengan terkial-kial, Ali melekangkan selak tali pinggang keledar. Baru sahaja dia mahu merangkak ke kerusi belakang...

“Woi! Duduk!” jerkah si pemandu yang sedari tadi hanya mendiamkan diri..
Tangannya yang besar menunjal kepala Ali hingga menyebabkan lelaki itu tersandar ke pintu.
“Aku tak peduli! Aku tak peduli! Aku nak kerjakan dia. Biar aku...”

Belum pun sempat Ali bangkit kembali dari tempat duduknya, si pemandu menekan brek kecemasan. Mengakibatkan Ali tersembam ke dashboard. Ali menekup wajahnya. Kepalanya terasa bengang. Hidungnya terasa sengal. Menyebabkan dia terdiam seperti murid yang baru dimarahi cikgu.


Bersambung lagi...

Sunday, August 8, 2010

FRAGMEN 37: DETIK DEBAR


Foto: Damara.yourjournal
FRAGMEN 37
DETIK DEBAR
DALAM cahaya yang suram, Fariz nampak seorang lelaki yang membongkok. Cuba menarik Jennifer keluar daripada kereta. Kedengaran suara Jennifer tertahan-tahan, seperti dalam kelemasan.

‘Siapa pulak, tu? Musuh? BISIK tak cakap pun Jennifer ada musuh.’ ujar Fariz di dalam hati. ‘Mana fonsel aku?’
Ketika berlari, memang sukar Fariz menyeluk poket mendapatkan fonselnya untuk menghubungi BISIK atau Normala. Belum sempat Fariz dapat melakukannya, dia sudah menghampiri kereta.

Fariz terus menggagau kolar baju lelaki itu. Sebelah tangannya cuba menariknya daripada belakang. Sebelah tangan lagi cuba merentap tangan lelaki itu daripada terus mencekik leher Jennifer. Semakin dia cuba meleraikan, rangkulan lelaki itu semakin kejap
‘Kuat sangat cengkamannya,’ kata Fariz di dalam hati. ‘Silap-silap pengsan minah salih ni dicekiknya.’

Mindanya segera mencari akal. Dengan pantas, dia menyeluk ke celah kelengkang lelaki itu. Kemaluan musuhnya disentap. Lelaki itu melaung dan terundur. Peluang itu tidak dibiarkan. Fariz merentap pula leher lelaki itu lalu tubuh lelaki itu diputar dan ditolak ke tanah. Lututnya menyendal pinggang lelaki itu. Membuatkan tubuhnya menggeleding. Sekali lagi lelaki itu meraung. Kali ini lebih kuat dan panjang.

Cahaya lampu tiba-tiba menyorot ke arahnya. Fariz menoleh. Pandangannya berpinar memandang lampu yang terang daripada sebuah kenderaan pacuan empat roda.
‘Musuh lain!’ hati Fariz berdetik. Menyedari risiko yang boleh terjadi, Fariz segera melepaskan lelaki yang kini sudah terbaring di tanah.

Seperti ikan yang terlepas dari tangguk, lelaki itu bangun dan mencicit lari menuju ke kenderaan pacuan empat roda itu. Sebentar sahaja kenderaan itu sudah meninggalkan kawasan ini. Menjadikan suasana di sekitar suram kembali.

“What happenned?” tanya Fariz.
Memandang Jennifer yang menutup wajahnya sambil menangis tersedu-sedu. Fariz memasang lampu di dalam kenderaan. Kepala Jennifer ditelengkan ke kiri untuk memeriksa leher gadis itu. Hendak melihat kalau ada kecederaan di situ.

“Don’t touch me! Leave me alone!” pekik Jennifer lalu menolak jejari Fariz yang menyentuh wajahnya. Mukanya berang. Matanya membulat memandang Fariz.
Fariz mengeluh perlahan. Berasa terkilan kerana Jennifer enggan dibantu meskipun dalam keadaan trauma.

“Hantarkan saya balik. Saya nak rehat,” bisik Jennifer kemudiannya.
Fariz hanya mengangguk. Lalu dia menghidupkan enjin kereta. Dia perlu menghantar Jennifer pulang ke hotel penginapannya di Kuala Lumpur. Seketika sahaja, keretanya kini merentas Lebuhraya Putrajaya~Kuala Lumpur.
“Maafkan saya...” ujar Jennifer perlahan.

Fariz tidak menjawab pun. Tetapi dia memasang telinga. Nada suara Jennifer menggambarkan yang kata-kata maaf itu hanya permulaan bicara. Fariz menanti apa lagi yang akan diperkatakan oleh gadis ini.
“Maafkan saya kerana fikiran ini terganggu. Dua tahun lalu, ketika membuat penggambaran latihan pejuang Hamas di kebun zaitun di pekan Habla, kenderaan yang saya naiki ditahan. Saya ditangkap oleh pejuang Hamas.

Saya diseret ke tengah kebun. Kamera saya dirampas dan dipecahkan tanpa soal. Mujurlah, saya boleh berbahasa Arab Levantine, iaitu slanga orang-orang Palestin. Jika tidak, tentu saya akan didera. Insiden ditarik daripada tempat duduk kereta sama seperti yang saya alami sebentar tadi. Oh, sungguh menakutkan.”

Fariz mula faham mengapa Jennifer bertindak sedikit ganas bila dia cuba membantu sebentar tadi. Tetapi dia tidak mahu bertanya apa-apa lagi. Sebaliknya, tumpuan pandangannya hanya ke lebuhraya. Dari ekor matanya, Fariz terperasan Jennifer memandang tepat ke wajahnya. Seolah-olah ingin berbual dengannya. Kalau diikutkan hatinya yang terkedu, dia ingin sahaja berdiam diri. Namun, bila mengenangkan yang kini dia sedang bertugas, Fariz cuba menenangkan hatinya.

“Siapa lelaki itu?” tanya Fariz. “Saya nampak seperti lelaki Arab.”
“Benar. Lelaki Arab. Orang Palestin,” jelas Jennifer.
“Mana awak tahu daripada Palestin? Awak kenal dia?”
“Tak. Saya cam yang lelaki itu dari Palestin.”

“Ya, ke?” Fariz tersenyum. Sedikit hairan. “Saya tak dapat bezakan. Wajah orang Arab semuanya lebih kurang sama. Saya tak dapat kenal sama ada dia daripada Arab Saudi, Iran, Iraq atau Palestin. Macam mana awak boleh bezakan?”
Jennifer tersengih. “Kalau awak dah biasa bertemu dengan orang-orang Arab, awak akan kenal dari negara mana mereka berasal. Saya percaya, awak boleh kenal yang mana satu orang Malaysia atau orang Indonesia... orang India atau Pakistan, orang Cina atau orang Korea kerana awak selalu nampak dan bergaul dengan mereka. Saya pun begitu.”

Kata-kata Jennifer ada logiknya. Dalam diam, Fariz mengakuinya. Lantas dia memberi segaris senyuman tanda setuju dengan andaian Jennifer.
“Tapi, apakah awak kenal, orang Palestin manakah yang menyerang awak?”
“Hell, no!”
“Dan mengapa ada orang Palestin mengekori awak hingga ke mari?”
“Saya tak tahu, Fariz.”

Jennifer memandang tepat ke arah Fariz. Ada sesuatu yang berlegar-legar di fikirannya. Begitu juga Fariz. Dia mula gusar. Sebentar lagi, dia perlu menghubungi Normala untuk bertanyakan daripada manakah datangnya lelaki Palestin ini. Apa yang mereka buat di sini. Dan apa yang mereka hendak lakukan nanti!
Bersambung di minggu hadapan, Insya-ALLAH

Sunday, July 25, 2010

FRAGMEN 36: DETIK DEBAR


FOTO: ESEMPOI.COM
FRAGMEN 36
DETIK DEBAR

FARIZ turut melangkah pantas meninggalkan hotel. Nyata, Jennifer amat kecewa kerana David Doron tidak mahu membuat apa-apa ulasan mahupun membayangkan apa yang akan dinyatakan oleh Tuan Presiden berhubung dengan insiden di Selat Melaka.

Nampak gayanya, Jennifer hanya akan memperoleh jawapan biasa daripada John Martinez bila berpeluang menghadiri sidang akhbar Tuan Presiden pada hari esok. Mungkin sekali setelah John Martinez berucap di persidangan WIEF. Dia tidak akan dapat berita scoop daripada lelaki itu andainya dapat menemui John Martinez secara berasingan daripada para wartawan-wartawan yang lain.

Jennifer berjalan menonong mengekori Fariz. Tidak mahu bertutur apa-apa pun kerana bengang dengan David Doron yang tidak mahu bekerjasama. Fariz hanya diam. Membiarkan Jennifer melayani perasaannya yang membengkak itu. Tiba-tiba fonsel Fariz berbunyi.
“Ya, kak…” jawab Fariz sebaik sahaja nama Normala terpapar di skrin fonselnya.
“Kereta dah ada. Ambil kunci daripada kaunter parkir,” pesan Normala.

“KERETA siapa, ni?” soal Jennifer kehairanan sebaik sahaja melihat Fariz memasuki kereta Proton Rentas Sports dua pintu.
“Sepupu saya,” jawab Fariz, ringkas. “Jom, naiklah.”
“Sepupu awak?”
Fariz dapat mengagak yang Jennifer tertanya-tanya bagaimana dia boleh mendapat kereta daripada sepupunya. Gadis itu kehairanan dengan kebetulan ini.
“Sepupu saya bertugas sebagai chef di hotel ini. Tiap kali bila saya perlukan kenderaan selepas membuat liputan akhbar di sini, saya akan pinjam sahaja keretanya.”

Dari ekor matanya, Fariz nampak kerutan di dahi Jennifer mula mengendur. Sesungguhnya gadis wartawan ini amat sensitif dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Nalurinya sebagai wartawan menjadikan dia peka dengan perkara sekecil ini.
“Maafkan saya kalau bertanya lagi,” seulas senyuman diberikan kepada Fariz. “Macam mana sepupu awak tu nak balik selepas kerja nanti?”

“Oh, dia tak balik ke rumah.”
“Kenapa?”
“Presiden Amerika sedang menginap di hotelnya. Dia tidak boleh balik ke rumah sehingga Presiden awak pulang.”
Dengan kata-kata itu, Fariz menukar ke gear lima dan kereta itu meluncur laju menghala ke Presint 3.

AZAN yang berkumandang membuatkan Jennifer terdiam. Dia terus tertoleh-toleh mencari arah datangnya azan itu. Wajahnya kelihatan terpempan bila terpandang Masjid Sultan Zainal Abidin yang dikenali juga sebagai masjid besi yang tersergam indah di depan matanya.

Fariz tersenyum melihat reaksi wartawan ini. Ada wajah seronok tetapi takjub yang terbayang di wajah gadis ini. Jika sebentar tadi, bibirnya memuncung, kini kelihatan senyuman di bibirnya. Seolah-olah hatinya kini berbunga bila mendengar suara azan yang berkumandang. Menyedari itu, Fariz terus memperlahankan kenderaan. Membiarkan Jennifer mengimbau sesuatu dari denai kenangannya.

“Azan mengingatkan saya tentang Palestin…” ucap Jennifer perlahan. “Azan menjadi satu-satunya lagu yang kerap saya dengar di bumi itu. Selain daripada waktu solat, azan akan dilaungkan apabila bumi Palestin dihujani bom yang muntah daripada jet-jet Israel.

Azan juga berkumandang apabila kebakaran berlaku. Azan menyambut setiap kelahiran. Tetapi bagi saya, azan adalah ucapan semangat. Hayya 'alal falah… Ia menusuk ke hati saya tiap kali ayat ini dilaungkan. Seolah-olah semangat kemenangan yang begitu diingini oleh rakyat Palestin turut meresap ke jiwa saya.”

Fariz merenung wanita yang bertutur dengan penuh perasaan. Mungkin kerana dia begitu lama bertugas di Palestin, jiwa rakyat Palestin turut dapat dihayatinya. Mungkin sekali roh keislaman sudah meresap ke jiwanya.

Tiba-tiba Jennifer menoleh setelah sedar Fariz merenungnya.
“What?” soal Jennifer, lantas tersengih.
“Emm… nothing!” jawab Fariz spontan. Dia turut terkejut kerana termalu bila disergah begitu. Fikirannya hanya membayangkan apa yang dilalui oleh Jennifer. Tidak sedar menungannya itu seolah-olah seperti memerhati gadis ini.
“Go, on! It’s time for your solat. It’s maghrib!” Jennifer mengingatkan.

Fariz segera memarkir kereta. Kemudian dia terlari-lari ke pekarangan masjid. Tidak mahu terlewat solat kerana azan sudahpun selesai.

USAI bersolat, Fariz berdoa panjang sendirian setelah Pak Imam memimpin doa. Setiap kali memohon kepada ALLAH setelah solat, Fariz tidak lupa untuk berdoa agar neneknya di kampung berada dalam keadaan sihat walfiat. Dia juga mendoakan agar roh kedua-dua ibu dan bapanya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Setelah memakai kasut, Fariz duduk seketika di tangga. Fikirannya mula melayang memikirkan akan tugasnya ini. Tertanya-tanya sampai bila dia mesti menjadi peneman Jennifer. Tugas Pintas 3, iaitu kod di mana subjek sasaran hanya dikepung dan dikawal hingga meninggalkan negara begitu menjemukan. Ia tidak mencabar langsung berbanding dengan tugasan Pintas 2 di mana subjek diekori dan kemudian ditangkap atau dilarikan. Atau, Pintas 1yang bermakna subjek dihapuskan serta merta.

Seharusnya tugasan ini diberikan sahaja kepada agen wanita seperti Normala atau mana-mana agen yang lain. Tugas menemani tidak langsung mencabar mental, apatah lagi fizikalnya. Fonsel dikeluarkan daripada poketnya. Nombor Normala didail untuk meminta pandangan daripada rakan setugasnya itu.

“Ada arahan terbaru?” tanya Fariz sebaik sahaja mendengar panggilannya diterima.
“Tak ada. Tugas Fariz hanya ikut aje Jennifer,” jawab Normala.
“Sampai bila?”
“Sampai dia balik ke negara asal.”
“Kalau macam ni, saya bosanlah, kak. Tugas macam pengawal peribadi ni sepatutnya dibuat oleh orang lain.” kata Fariz lagi.
“Ewah, ewah… dah pandai eksyen. Tunggulah arahan susulan. Tak mungkin Tuan Aziz suruh kita pantau Jennifer macam tu aje. Kalau tak ada kes, tentu dia dah suruh kita buat tugasan lain. Bersabarlah.”

Fariz mengeluh. Dia benar-benar berasa bosan. Sepatutnya dia diberikan cuti setelah tamat latihan di Thailand. Tetapi, dia diberi tugasan ini. Tugasan apa kalau hanya menjadi pak pacak. Tidak mencabar langsung!
‘Ponnnnnnnnnn…’
Bunyi hon kereta kedengaran menggema. Fariz memanjangkan lehernya. Memantau ke arah parkir kenderaan. Kelihatan sebuah kereta dengan lampu hazardnya dihidupkan. Berkelip-kelipan. Seolah-olah dalam keadaan cemas. Fariz mula pasti yang bunyi hon itu datang daripada kereta yang mana.

‘Eh, itu kereta aku!’
Peluh dingin mula merembes di tengkuknya.
“Jennifer!” Fariz menyeru nama itu sambil berlari pantas ke arah kereta yang sudah mula kelihatan bergerak itu!

Bersambung di lain minggu, insya-ALLAH...

Friday, July 16, 2010

FRAGMEN 35: DETIK DEBAR


FRAGMEN 35
DETIK DEBAR


Restoran Saba, Dataran Jelatek, Wangsa Maju


MOUSSA dan Ali sedang menikmati hidangan di restoran masakan Arab ini. Moussa yang kelaparan terus menjamah Lamb Kabsah, iaitu nasi berdaging kambing. Rupa hidangannya sama seperti nasi beriyani Johor yang mana kambingnya diselimuti nasi. Ali pula menjamah kebab ayam. Kedua-duanya meminum air Barbican, iaitu air berperisa nenas dan malt.

“Aku tak sangka, di Malaysia pun ada banyak restoran seperti di negara kita,” ujar Moussa seraya melingas ke arah restoran-restoran masakan Arab yang berhampiran.

Mungkin kerana lokasinya berhampiran dengan UIA, terdapat ramai warga Timur Tengah yang tinggal di kawasan ini. Kerana itu, kompleks perniagaan tiga tingkat ini dipenuhi dengan pelbagai restoran masakan Arab seperti Souk Beirut dan Al-andalus.

“Fokus, Moussa. Jangan bercakap hal-hal yang membuang waktu. Kalau kau nak jadi pelancong, kau boleh balik, Moussa,” jawab Ali sambil matanya terlekat di skrin TV Flatscreen yang tergantung di hujung restoran. “Kita bukannya datang ke mari nak makan, makan. Kita ada tugas!”

Moussa mencebir. Kecil hati dengan kata-kata temannya itu. Namun setelah beberapa ketika termenung, Moussa faham Ali benar-benar tidak mahu fikirannya menerawang jauh. Teguran Ali membuatkan fikirannya tertumpu kembali terhadap misinya datang ke negara ini.

Lantas layar mindanya terus menayangkan imej-imej dirinya yang menjalani latihan di sebuah kawasan tersembunyi berhampiran dengan Empangan Karaj, di Iran. Di kawasan padang pasir yang berbatu, Moussa diajar menembak menggunakan senapang sambil berlari, memetik pistol tanpa henti hingga kehabisan peluru dan melontar bom ke arah kawasan berkepung yang dibentuk seperti rumah.

Selain daripada latihan fizikal, Moussa turut dilatih berkomunikasi menggunakan telefon, komputer, menggunakan biasan cahaya yang dipantul daripada cermin dan juga bahasa isyarat. Selebihnya, Moussa digalakkan melaksanakan solat sunat dan berzikir di segenap waktu. Komunikasi secara getaran rasa juga dipelajarinya.

Fonsel Ali bergetar. Perlahan-lahan lelaki itu mencapainya. Sebaik sahaja dia terpandang nombor yang terpapar di skrin fonselnya, dia segera mematikannya dengan jari telunjuk.

“Dah tiba,” ujar Ali selamba.

Tanpa berkata apa-apa lagi dia menapak meninggalkan Moussa yang masih menjamu selera. Melihatkan itu, Moussa mengeluh dan menggeleng. Ali memang sengaja menderanya. Makan sedap tanpa rasa nikmat pun adalah satu latihan yang dilaluinya.

Ali turut bingkas bangun. Minuman Barbicannya dicapai. Sambil berjalan, dia menonggang minumannya. Seketika kemudian, dia berlari anak mengejar Ali yang sudahpun sampai ke aras B1.

Dalam pada itu, fikirannya terus tertanya-tanya, apa yang ‘sudah tiba’, seperti yang dinyatakan oleh Ali.

The Grand Suite, Prominent Hotel

JOHN Martinez masih memegang fonselnya ketika melangkah keluar dari bilik mandi. Dengan selamba, dia hanya memegang tuala yang melilit tubuhnya. Tidak mempedulikan pembantu peribadinya yang baharu sahaja meletak sepasang pakaiannya di atas katil.

Lelaki separuh usia itu segera beredar. Dia tidak mahu mengganggu Tuan Presidennya apabila lelaki itu berbual sambil berbisik-bisik. Dia pernah diherdik John ketika berada berhampiran. John menuduhnya mencuri dengar. Padahal, dia tidak berniat pun untuk ambil tahu apa yang diperbualkan oleh Tuan Presidennya.

“Aku ada jamuan makan malam dengan Perdana Menteri Malaysia. Bila engkau nak sampai? Lama sangat aku menunggu kau! Datanglah cepat. Bilik di sebelah bilik aku memang sudah disediakan untuk kau. Datanglah, Jack. Datanglah, ya?”

John mengeluh dalam. Lega hatinya apabila orang yang dinanti-nantinya akan datang juga untuk menemuinya pada malam ini. Tidurnya pada malam ini akan lena…

“John…” David Doron muncul di ambang pintu. “Makan malam, jam 8.00.”
“Ya, ya. Aku sedang bersiap ni.”
“Dunia masih marah. Rakyat Malaysia masih marah. Jangan lupa pujuk PM Malaysia mengenai insiden di Selat Melaka,” David mengingatkan di antara agenda perbincangan.

“Ya, ya. Aku tahulah!”

Seri Perdana, Putrajaya

SEPERTI biasa, konvoi Tuan Presiden diiringi dengan beberapa buah kereta yang didahului dengan empat buah motorsikal polis trafik dan diapit dua buah motorsikal anggota Unit Tindakan Khas. John tersenyum bila terpandang teman lamanya sudah tercegat menanti di ambang pintu.

“Helo, apa khabar?” John menyapa seraya menghulur tangannya.
“Khabar baik, John. Long time, no see. Come right in, my friend!” jawab PM sambil menjabat tangannya.

David Doron dan Ed Arden hanya memerhati. Kedua-dua pemimpin ini berkawan ketika sama-sama menuntut di University of Cambridge, United Kingdom dalam jurusan Kejuruteraan Kimia. Hubungan mereka terputus setelah tamat belajar, sehinggalah mereka menjadi pemimpin di negara masing-masing.

Kepentingan perniagaan Amerika-Malaysia, peranan Malaysia dalam OIC, NAM, dan ASEAN serta pendirian vokal Malaysia terhadap isu-isu keamanan dan isu-isu alam sekitar membuatkan mereka sering berhubung. World Islamic Economic Forum memberi peluang bagi John Martinez untuk menemui teman lamanya di Malaysia.

“Apa yang kau dah buat dengan ilmu yang kau pelajari? Kau nak buat loji uranium di Malaysia?” John bergurau.
“Kalau aku nak buat loji uranium, orang pertama yang akan aku pinta nasihat, mestilah kau, John! Kau memang pakar membakar makmal!”

“Ha, ha, ha!” Kedua-duanya tertawa serentak kerana teringatkan insiden bagaimana John tersilap mengalirkan suhu eletrik ke atas wayar plasma hingga slapper detonator, menghasilkan letupan kecil di dalam makmal. Kejadian itu mengakibatkan seluruh blok makmal sains mengalami putus bekalan elektrik dan peperiksaan semester ditangguhkan.

“Apa yang kita nak bincangkan ketika makan?” tanya PM.
John sempat menjeling ke arah David Doron. Lelaki itu mengangkat keningnya sebagai isyarat agar John tidak melupai mengenai insiden di Selat Melaka. Kes itu amat penting untuk meredakan kemarahan rakyat Malaysia terhadap Amerika. John hanya tersenyum kembing bila melihat wajah suspens David.

“Apa lagi yang kita nak cakapkan melainkan kesedapan makanan Malaysia!” jawab John. "Aku suka roti canai dan nasi lemak!"
"Oh, kalau kau suka hidangan itu, esok kau datang bersarapan di sini aje," jawab PM.
David Doron jelas kecewa dengan reaksi Tuan Presidennya yang degil tidak mahu mendengar nasihatnya.


Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, June 27, 2010

FRAGMEN 34: DETIK DEBAR


Foto: militaryphotos

FRAGMEN 34

DETIK DEBAR

Lebuhraya Putrajaya

SETELAH disambut secara rasmi oleh Perdana Menteri Malaysia, konvoi Presiden Amerika terus berangkat ke hotel penginapan, tidak jauh dari lapangan terbang. Kereta Presiden yang dikenali sebagai The Beast adalah kereta yang paling hadapan diiringi dua motorsikal polis trafik PDRM.

Di belakang The Beast, sebuah kenderaan SUV buatan Amerika iaitu Sierra GMC mengekori. Kenderaan itu dinaiki empat orang ejen Secret Service. Selain daripada si pemandu, tiga orang ejen berdiri dengan senjata terhunus ke arah hadapan, kiri dan kanan kenderaan. Dua buah kenderaan lain yang ditumpangi para pegawai Presiden turut mengekori. Sebuah kereta PDRM berada di belakang sekali bersama dua buah motorsikal berkuasa besar yang ditunggangi oleh anggota-anggota UTK.

Di langit, sebuah helikopter PDRM mengawasi pergerakan konvoi itu. Malah, di kiri dan kanan lebuhraya yang dilalui oleh konvoi Presiden dikawal dengan polis trafik serta kereta-kereta peronda jenis Evo di setiap persimpangan.

Begitulah pentingnya keselamatan Tuan Presiden. Setiap pergerakannya diiring dan dikawal rapi. Kehadiran pasukan PDRM yang lebih ramai daripada ejen-ejen Secret Service itu pun dapat dilakukan setelah Ed Arden, Ketua Secret Service diyakinkan dengan kecekapan prestasi PDRM sendiri.

Pekarangan Hotel Prominent

SATU pemandangan yang kurang menarik mula terserlah sebaik sahaja The Beast membelok perlahan ke lobi hotel tempat Tuan Presiden menginap. Kelihatan lebih 200 orang penunjuk perasaan berkumpul dan mengibar-ngibarkan sepanduk anti-Amerika. John Martinez yang duduk tersandar di kerusi belakang terus duduk menegak. Matanya meliar memandang wajah-wajah yang kelihatan marah. Meskipun keretanya kalis peluru dan kalis bunyi, John dapat mengagak mereka terjerit-jerit mengutuk negaranya. John sudah terbiasa dengan fenomena anti-Amerika sebegini.

“Tak sangka saya… di Malaysia pun, saya punyai ramai peminat,” ujarnya perlahan.
Ed Arden yang duduk di kerusi hadapan, nyata terganggu dengan apa yang didengarinya. Dia terus menghubungi David Doron.

DARI kaca cermin lobi hotel, David Doron memerhati pergerakan The Beast yang bergerak perlahan menghampiri pintu masuk hotel apabila dihampiri oleh penunjuk perasaan. Dia nampak beberapa orang anggota polis yang membina benteng agar para penunjuk perasaan tidak dapat menghampiri konvoi Tuan Presiden. Tiba-tiba fonselnya bergetar.

“Kau kata, semuanya sudah beres! Apa ni, David?” kedengaran suara Ed yang berbisik tetapi nyata menggeram. “Aku tak sepatutnya percaya dengan janji kau yang semuanya terkawal.”

“Biasalah, Ed. Mana ada negara yang benar-benar sukakan Amerika kecuali Israel? Demonstrasi yang kecil-kecil sebegini bukannya perkara baru bagi kita. Jangan bimbang. Pihak polis Malaysia dah jamin demonstrasi ini terkawal.

Budak-budak yang berdemonstrasi tu hanya hendak muncul di TV di serata dunia. Mereka bukannya serius! Percayalah cakap aku,” jawab David sambil tersengih-sengih. Geli hati mendengar alunan suara bimbang Ed.

Di hujung talian, Ed tidak menjawab. Mungkin kerana meluat dengan sikap ambil mudah David. Apabila tiada suara yang mencelah, David mematikan panggilan dan menutup fonselnya. Belum pun dia menyimpan fonselnya ke dalam poket, telefon itu bergetar semula.

Wajah David berubah menjadi serius bila terpandang wajah si pemanggil yang terpapar di skrin fonselnya. Wajah Gluke Chayim, Pengerusi The Group, sebuah kumpulan pelobi Yahudi yang berpengaruh di Amerika kelihatan serius. Malah, seingat David, lelaki itu tidak pernah tersenyum.

“Ya, tuan,” ujar David.
“Pagi esok, aset kita akan mendarat di KLIA melalui penerbangan Thai Airways. Dia adalah tetamu kamu. Sambut dan raikan dia,” kata Gluke.
“Esok? Di sini?” tanya David dengan nada yang teruja kerana faham bahawa istilah ‘aset’ adalah ganti nama bagi ‘ejen upahan’.
“Namanya Alvaro.”
“Mengapa lakukan di sini? Di Malaysia? Mengapa di Malaysia?”
“Jangan bertanya sebab aku tak akan beri jawapan.”

Wajah Gluke tiba-tiba menghilang dari skrin fonselnya. David mengeluh apabila talian diputuskan. Dia mengetap bibir. Berfikir-fikir mengapa orang bernama Alvaro dihantar ke Malaysia pada saat ini. Tertanya-tanya apakah operasi yang diura-urakan akhirnya akan terlaksana? Apakah masa yang ditunggu-tunggu sudah tiba? Sungguh. Dia tidak menyangka Gluke Chayim benar-benar inginkan rancangannya dilaksanakan secepat ini.

Pemandangan di luar hotel menangkap perhatiannya. Kelihatan mereka yang berdemonsrasi bercempera lari dan berpecah apabila terpandang dua buah trak FRU tiba. David tersenyum bila ternampak, salah seorang daripada mereka yang cabut menyelamatkan diri adalah Bakar Buang.

PERCIKAN lampu dan decitan bunyi petikan kamera kedengaran bertali arus. John Martinez hanya berhenti seketika dan tersenyum memberi pos yang menarik untuk media sebelum terus mengatur langkahnya.

Para pekerja hotel dan orang awam bagai terpukau memandang rombongan presiden yang berjalan pantas menuju ke lif. Mereka kesemuanya menghentikan apa yang dilakukan kerana buat kali pertama menatap wajah Presiden Amerika di depan mata. Pandangan mereka menelusuri langkah pemimpin itu hingga pintu lif. Hanya apabila pintu lif tertutup, baharulah mereka menyambung tugas masing-masing.

David Doron yang menyambut presidennya seketika tadi tidak ikut sama ke aras penthouse kerana perlu menguruskan set sidang akhbar dengan pihak media di sebuah bilik khas sebelum John menghadiri majlis Santapan di Raja di Istana Negara. Dia kelihatan bercakap-cakap dengan para petugasnya agar ruang sidang akhbar itu selesa dihadiri berpuluh-puluh orang wartawan. Setelah berpuas hati dengan persediaannya, David melangkah untuk naik ke biliknya.

“David...”
Langkahnya mati bila terdengar namanya disapa perlahan. Lantas David menoleh. Wajahnya jadi mencuka bila melihat Jennifer Miles tersenyum padanya.

Dia sempat menjeling ke arah seorang lelaki yang ada bersama wartawan wanita itu.

Bersambung di minggu mendatang, insya-ALLAH.

Wednesday, May 26, 2010

FRAGMEN 33: DETIK DEBAR


FRAGMEN 33
DETIK DEBAR

“HI! Syasya! You kat mana sekarang?”
Fariz menoleh secara sembunyi-sembunyi. Melihat Faryna menegur seorang gadis yang sedang minum bersama seorang teman lelaki di meja belakangnya. Nampaknya Faryna tidak menyedari akan kehadirannya di restoran ini.

Fariz tidak dapat menangkap perbualan mereka. Namun, dia dapat mengagak Syasya adalah kenalan Faryna yang lama tidak bertemu. Fariz menghela nafas lega apabila Faryna melangkah meninggalkan restoran itu tanpa menyedari akan kehadirannya.

“Do you see that?” kata Jennifer seraya menuding ke arah peti televisyen yang tergantung dari siling di atas kaunter restoran itu. Menyedarkan Fariz daripada mengelamun mengingatkan peristiwa lalu di antara dirinya bersama gadis itu.
“Itu KLIA… kenapa?” kata Fariz.

KLIA, Sepang, Selangor

DUA buah jet MiG29N milik TUDM merentas membelah langit. Membingitkan suasana sekitar. Menenggelamkan bunyi sebuah helicopter Blackhawk UH-60 yang berligar-ligar di angkasa KLIA di ketinggian yang lebih rendah.

Di lapangan terbang, beberapa buah trak tentera sudah tersusun berhampiran dengan landasan mendarat. Berpuluh-puluh anggota tentera sedang berlari-lari ke arah kiri dan kanan landasan lalu bersiap siaga. Di kala itu, landasan berlepas ditutup. Tiada sebuah pun kapalterbang dibenarkan berlepas untuk tempoh ini. Persiapan sedang dilakukan dengan tersusun. Tanda semua mereka yang terlibat sudah menjalani raptai keselamatan yang cukup rapi.

Di menara kawalan, beberapa orang pegawai tinggi polis, tentera dan pasukan keselamatan yang lain sedang memerhati. Di antaranya ialah Tuan Aziz Tuan Ghani, Pengarah BISIK. Masing-masing berwajah serius. Tanda mereka kesemua sedang bersedia menghadapi sesuatu yang amat penting. Penting kerana kesilapan atau kekurangan yang terserlah akan menjejaskan imej negara tercinta.

“Itu dia…” kata Tuan Aziz seraya memfokus teropongnya ke angkasa. Mereka yang lain pun mengangkat teropong masing-masing lalu memerhati ke horizon dengan tekun. Kelihatan kelipan-kelipan lampu dari sebuah kapalterbang Boeing 747. Dalam beberapa saat sahaja, muncung kapalterbang putih dan bergaris biru muda itu semakin jelas kelihatan. Itulah dia Air Force One, kapalterbang yang dinaiki John Martinez Presiden Amerika.

Kota Damansara, Selangor

DI RUANG makan sebuah apartment, Ali dan Moussa sedang asyik menonton siaran langsung ketibaan Presiden Amerika untuk lawatan bekerjanya di Malaysia. Mata mereka seolah-olah tidak berkelip-kelip menatap skrin. Melihat John Martinez tersengih dan bersalaman dengan PM dan para menteri kabinetnya. Melihat puluhan para wartawan dan jurukamera berhimpit-himpit untuk merakam peristiwa yang bersejarah ini. Melihat orang ramai bersorakan dan melambai tangan masing-masing ke arah pemimpin dunia itu.

“Itu… bapa syaitan!” kata Ali seraya mendengus.
“Ya, bapa syaitan!” sahut Moussa mengiyakan.

Sejak mendapat latihan ala komando di Palestin, Moussa semakin kering hatinya. Dia sudah mengenepikan sejarah hitam kehilangan isteri dan anak-anaknya. Apa yang dilihat hanyalah perjuangan. Jihad menentang kejahatan. Dan kejahatan berpunca daripada Amerika. Paksinya adalah manusia Zionis! Ali lah yang melatih dirinya agar mempunyai pandangan sebegitu.

Mereka berdua melihat kereta yang membawa Presiden Amerika yang dikenali sebagai Cardillac One meluncur laju meninggalkan lapangan terbang dengan diikuti konvoinya.
“Ali…” seru Moussa perlahan tanpa memandang rakannya itu.
“Hmm…”
“Bila aku boleh bertemu dengan Jennifer Miles?”
Ali tidak menyahut.

“Ali!”
Ali tetap membisu.
“Sampai bila mesti aku tunggu?” bentak Moussa sambil menumbuk meja makan.
Wajah Moussa memerah menahan amarah. Tetapi bibir Ali hanya berkerinyut sedikit. Seolah-olah tidak tergugat langsung dengan bentakan Moussa.
“Sabarlah, sahabat…”
“Sabar? Sampai bila aku hendak bersabar? Sekarang pun aku sudah bersedia untuk bertemunya! Aku sudah tak boleh tunggu untuk mematahkan leher perempuan itu!”
“Aku boleh tunjukkan pada kau di mana dia berada. Tapi ada satu syarat.”
“Syarat apa, Ali? Aku sanggup penuhi asalkan aku dapat cekik leher Jeniffer Miles!”
“Itu…” kata Ali seraya menuding ke arah skrin TV yang memaparkan imej kenderaan Presiden Amerika yang meluncur laju di lebihraya.

Moussa menoleh ke arah Ali. Menanti kata-kata seterusnya.
“Bunuh bapa syaitan itu dahulu sebelum aku bawa kau temui Jeniffer Miles!”

Mata Moussa terbuntang mendengar kata-kata rakannya itu.


Bersambung di minggu mendatang, insya-ALLAH

Monday, May 17, 2010

FRAGMEN 32: DETIK DEBAR


FRAGMEN 32:
DETIK DEBAR

MEREKA bertentang mata. Seperti semalam, Fariz terpesona dengan kecantikan Jennifer. Dia juga dapat merasakan yang gadis ini juga terpaku menatapnya. Buat beberapa saat, mereka terhenti kaku sebelum mereka berbalas senyuman.

“Awak kelihatan cantik sekali, Jennifer,” Fariz memuji. Jujur.
“Terima kasih. Kita bersarapan di mana?” tanya Jennifer. Masih dengan senyuman.
“Di mana-mana,” jawab Fariz.
“Saya dah lama tak merasa hidangan masakan Arab sejak pulang dari Palestin.”
“Kalau begitu, kita ke Bangsar.”

Dengan gaya gentleman, Fariz membuka pintu teksi. Mendahulukan Jennifer sebelum dia mengikuti.
“Wow! Bendera!” tegur Jennifer bila terpandang beberapa orang pekerja memasang bendera di tiang-tiang lampu ketika teksi mereka melintasi Dataran Merdeka. Matanya meliar melihat jalur-jalur gemilang yang menyelimuti Bangunan Sultan Abdul Samad, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Agro Bank dan juga Dayabumi.


“Ada perayaan Hari Kebangsaan tiga hari lagi,” jawab Fariz. “Saya harap awak masih ada di Malaysia untuk menikmati hari perayaan yang berwarna-warni ini.”
“Ya, tentu sekali saya akan menyaksikannya. Sebab… saya bercadang untuk berada di Malaysia buat beberapa ketika,” jawab Jennifer tanpa menoleh ke arah Fariz. Masih teruja dengan apa yang dilihatnya.

“Tinggallah seberapa lama awak hendak di Malaysia, Jennifer. Saya akan bantu awak, jika perlu.” Fariz membuang pelawa.
“Oh, really?”
Fariz tergelak-gelak bila melihat Jennifer begitu selesa menerima pelawaannya. Nampak gayanya, tugasnya untuk memperoleh maklumat, mengapa gadis ini ke mari akan menjadi mudah.

SARAPAN khubz Arabi ataupun roti Arab sungguh menyelerakan. Jennifer tidak kelihatan kekok memamah roti yang dicicah dengan kuah berempah.
“Saya menonton berita kiriman Jennifer mengenai insiden di Selat Melaka di saluran WorldLiveLine,” ujar Fariz seraya mengelap mulutnya dengan kertas tisu. “Laporan itu segar dan berani. Awak tangkas sekali memperoleh pelbagai bahan. Skop liputan awak amat luas. Seolah-olah awak sudah lama berada di Malaysia. Seolah-olah ia dilakukan oleh sepasukan wartawan. Padahal, kesemuanya awak lakukan sendirian.”

Jennifer tersenyum mendengar pujian itu. Dia senang sekali. Di sepanjang perkhidmatannya di Palestin, tiada sesiapa pun yang memuji laporannya secara berdepan. Paling tidak, dia hanya menerima pujian berupa teks di dalam SMSnya. Tidak pernah dia menerima pujian secara bersemuka sepertimana sekarang.

“Apa tugasan berikutnya? Kalau boleh saya bantu…”
“Saya hendak berjumpa dengan pihak pemerintah awak, seperti Menteri Pertahanan, ketua demonstrasi jalanan yang saya kerap tonton di TV di sini, dan saya ingin sekali bertemu dengan PM awak. Saya ingin memperolah respons mereka semua terhadap apa yang terjadi. Apakah insiden itu menjejaskan perhubungan diplomatik Malaysia-US atau sekadar ribut di cawan kopi.”

“Bila pula masanya awak hendak membuat liputan mengenai perniagaan Malaysia-US? Bukankah itu tugasan utama awak di sini?”
Kata-kata itu membuatkan Jennifer merenung tajam ke arah Fariz. Wajahnya memerah. Kata-kata itu bagai menyentap kebebasannya sebagai seorang wartawan. Dia kelihatan begitu marah.

“Mana awak tau tugasan saya? Who are you?” soal Jennifer dengan wajah yang berkerut. Menghilangkan langsung seri di wajahnya.
Kata-kata itu membuatkan Fariz terpempan. Tidak menyangka soalan itu bagai menjolok sarang tebuan. Namun dia menyembunyikan reaksi wajahnya dengan menghulurkan sebuah senyuman.

“Saya mendapat maklumat mengenai awak di internet, Jennifer. Khususnya di laman WLL. Awak ditukarkan daripada jawatan sebagai wartawan perang kepada wartawan bisnes. Dan tugasan pertama awak sebagai wartawan bisnes adalah di negara ini. Maaf, kalau saya menceroboh ke persoalan peribadi awak, Jennifer.”

“Kenapa awak nak tahu apa yang saya lakukan? Soal kerja adalah soal peribadi saya,” ujar Jennifer sambil mencebir bibirnya.
“Maafkan saya…” sambil bertutur, Fariz menghela nafasnya dalam-dalam. “Saya juga wartawan. Kerana itu saya amat mengagumi kebolehan awak. Itulah yang membuatkan saya teruja ingin mengetahui latar belakang awak,”

Kata-kata itu membuatkan Jennifer tersenyum-senyum. Keruh di wajahnya berubah kembali. Kini wajahnya yang putih berseri menjelma kembali.
“Really?” tanya Jennifer perlahan.
Dia mencapai gelas minuman. Sambil meneguk, matanya menjeling memandang Fariz. Fariz hanya tersenyum. Dalam diam, dia menghela nafas lega.

Di dalam hatinya, Fariz berasa sedikit kesal kerana tersilap kata hingga menyinggung perasaan gadis ini. Nampaknya Jennifer boleh berubah daripada seekor arnab kepada seekor singa dalam sekelip mata. Justeru, di lain waktu, dia harus berhati-hati menyusun kata.

Satu suara yang amat dikenali menangkap ke pendengarannya. Fariz menoleh. Darahnya berderau di dada. Dia terkejut melihat si empunya suara. Fariz menunduk. Khuatir kalau-kalau di empunya suara itu perasan akan kehadirannya di restoran ini. Dalam jarak 5 meter, pasti gadis itu boleh sedar akan dirinya.

Gadis itu sedang bercakap-cakap dengan dua orang rakannya di kaunter. Mungkin dia telahpun menjamu selera dan ingin membuat pembayaran, sebelum berlalu. Sambil bersembang, sekali-sekala, pandangannya terjeling-jeling ke arah Fariz. Membuatkan Fariz berdoa di dalam hati agar kehadirannya tidak disedari.

Apa yang dibimbangi bakal menjadi kenyataan. Dari ekor matanya, Fariz nampak si gadis melangkah ke arahnya. Fariz menahan nafas. Lalu tertunduk-tunduk menyedut minuman. Bagaimana kalau si gadis menyapanya dengan nama sebenar? Apa reaksinya?

‘Kenapalah kau ada kat sini, Faryna?’ bisik hati Fariz.

Bersambung di minggu mendatang, insya-ALLAH...

Sunday, April 25, 2010

FRAGMEN 31, DETIK DEBAR


Foto hiasan: Melissa Theuriau, world's most beautiful reporter

FRAGMEN 31

DETIK DEBAR

KEDENGARAN jeritan ketakutan beberapa pengunjung wanita. Dalam suasana yang gelap itu, masing-masing mula berhimpit-himpit ke satu arah. Masing-masing juga tidak tahu ke mana hendak dituju. Hanya naluri mereka yang memandu mengikut gerak tubuh orang yang di hadapan. Bagai orang buta yang hanya menurut tanpa soal.

Di celah-celah asakan orang ramai itu, Normala turut berlakon seolah-olah dia juga di antara pengunjung disko itu. Setelah memadam lampu dengan mencabut wayar di kotak fius, perlahan-lahan Normala mengepilkan dirinya ke tepi dinding dan beransur-ansur melangkah keluar melalui pintu belakang disko itu.

JERKAHAN Deputi Supritendant agar mereka tidak bertolak-tolak sudah tidak dipedulikan. Jennifer juga begitu. Tidak suka terperangkap begini. Baginya, dia perlu memboloskan dirinya. Dia tidak takut akan situasi sebegitu.

Di wilayah Palestin, keadaan gawat seperti itu seringkali diharunginya. Insiden ditawan tentera Israel, dikepung pejuang Palestin atau menyelamatkan diri dalam hujan peluru sudah menjadi sebahagian daripada skrip kehidupannya sebagai wartawan perang. Justeru itu, dalam diam-diam dia berundur menjauhi kelompok yang berkerumun di bahagian tengah dewan disko itu. Berkira-kira untuk lari dari situ.

"This way,” bisik satu suara. Belum pun sempat dia menoleh, Jennifer terasa tangannya ditarik.
“I’m not going anywhere,” bantah gadis itu seraya merentap tangannya.
“You’d better follow me, Jennifer Miles, crime reporter from World Live Line… come on!”

Bila mendengar nama dan identitinya disebut, naluri gadis itu berbisik yang dia harus mempercayai orang yang masih memegang lengannya. Tanpa berlengah-lengah lagi, Jennifer mengekori lelaki itu menuju ke sebuah bilik pejabat di bahagian belakang disko itu.

FARIZ menguak pintu yang terdapat di sudut bilik pejabat itu. Benar seperti jangkaannya. Terdapat empat orang anggota RELA yang berkawal di lorong belakang. Sambil mengisyaratkan agar Jennifer bersembunyi, Fariz berteriak, “Lampu disko terpadam! Black-out. Ramai yang lari ikut pintu depan!”

Mereka yang berkawal segera menerpa ke arah pintu di mana Fariz berdiri. Namun, dia menghalang.
“Kepung melalui pintu depan!” jerit Fariz lalu segera menutup pintu.
Buat beberapa saat, Fariz mendiamkan diri sambil terus menegakkan jari telunjuk ke atas bibirnya. Mengarahkan Jennifer berdiam diri. Setelah kedengaran bunyi larian anggota RELA kian menjauh, Fariz membuka pintu. Sambil terhendap-hendap, dia menarik lengan Jennifer agar mengekorinya untuk memboloskan diri di celah-celah kegelapan.

KINI mereka berdua sudah agak jauh dari kawasan hotel. Malah, mereka berjalan beriringan di kawasan pejalan kaki jalanraya yang sibuk. Kebisingan kenderaan di jalanraya menghilangkan rasa cemas yang mereka alami sebentar tadi.

“Awak, siapa?” tanya Jennifer.
Pandangan matanya tajam menikam. Fariz terkesima seketika memandang wajah bujur sirih itu. Apatah lagi bila Jennifer menatap wajahnya dengan mata yang tidak berkelip-kelip. Walaupun berketurunan mat salih, Jennifer tidaklah tinggi. Malah, ukurannya sebaya dengan ketinggian Fariz.

“Saya… Amrizal. Wartawan akhbar Sinar Harian.”
“Wartawan? Oh, wartawan apa, Amrizal?”
“Wartawan jenayah. Tapi, mengapa Jennifer ke mari? Bercuti?”
“Begitulah lebih kurangnya,” jawab Jennifer seraya tersenyum mendengar tekaan Fariz. Belum masanya dia menceritakan keadaan sebenar di antara dia dan ayahnya.
“Emm… ada kejadian yang menarik sedang berlaku di Selat Melaka yang membabitkan Malaysia. Awak tahu mengenainya?”
“Ya, saya tahu,” jawab Fariz perlahan.

Soalan Jennifer membuatkan Fariz terdiam. Dia sebenarnya tidak tahu dengan mendalam mengenai insiden di Selat Melaka itu. Kerana itu dia perlu mendapat maklumat mengenainya daripada BISIK.

Sebentar tadi, Fariz menerima panggilan daripada Normala dengan arahan agar segera membawa Jennifer keluar daripada disko itu. Itu sahaja arahan yang diterimanya. Tidak lebih daripada itu.

Bagi kebanyakan operasi risikan, arahan yang diterima begitu mudah dan ringkas. Seseorang ejen hanya perlu melaksanakan apa yang diarahkan. Dia tidak tahu sama ada tugasan seterusnya akan dia laksanakan atau diambil alih oleh ejen lain. Ini menjadikan seolah-olah seorang ejen itu hanya dibenarkan memegang secebis imej untuk sebuah gambaran yang besar bagi sebuah lukisan. Kerahsiaan adalah intipati setiap operasi yang dilaksanakan.

“Boleh kita bertemu esok, atau pada bila-bila masa yang sesuai buat Jennifer?” Fariz memberi cadangan.
“Tentu sekali. Saya bersendirian di sini. Maksud saya, saya akan lama berada di negara anda. Boleh kita berjumpa esok untuk sarapan?” cadang Jennifer.
“Ini kad saya.”
“Saya akan telefon awak dulu, okey?” jawab Fariz sebaik sahaja menerima kad niaga Jennifer. Tidak mahu komited dengan janji yang belum tentu dapat ditunaikan.

Kedua-duanya berpandangan buat seketika. Hinggakan kedua-duanya tidak sedar yang mereka asyik memandang di antara satu sama lain. Malah, setelah berpisah arah pun, masing-masing tertoleh-toleh.

“EWAH, ewah, ewah…” usik Normala sebaik sahaja Fariz menghubunginya.
“Oh, dah pandai nak menggatal. Dah pandai main renung-renung. Siap nak berdating pulak!”
Fariz mengulum senyuman.
“Alah, kerja lah, kak. Bukannya ada apa-apa.”
“Pergi balik tidur! Biar akak seorang yang perhati dia dari bilik hotel ni.”
“Baik, kak.”

“Ha, dalam kereta Fariz ada maklumat mengenai insiden di Selat Melaka. Baca dan hafal. Esok senang nak bercerita dengan Jennifer.”
“Maknanya, saya boleh bertemu lagi dengan Jennifer, ke?”
“Jangan nak mengada, ya? Kalau tak berubah laku, akan akan cadangkan kat Tuan Aziz supaya hantar semula Fariz ke Thailand untuk ulang latihan!”

Fariz tergelak-gelak geli hati mendengar bebelan rakan setugasnya itu.

Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH.

Sunday, April 18, 2010

FRAGMEN 30, DETIK DEBAR


Foto: civilised.spice

FRAGMEN 30

DETIK DEBAR


Disco Glow, Klang Valley Hotel

JAM 1.00 pagi. Mata Jennifer masih belum mengantuk walaupun setelah penat menulis artikel mengenai insiden di Selat Melaka. Kejadian itu amat menarik hatinya kerana ia melibatkan kapal perang Amerika USS Lakota yang menembak sebuah kapal kecil Iran al-Bahr.

Satu nyawa anak Malaysia melayang. Dan, ia membangkitkan kemarahan rakyatnya. Kedatangan Presiden Amerika ke negara ini bakal menghangatkan suasana. Ia akan menjadi bahan berita yang menarik perhatian dunia. Hampir empat jam dia menulis dan menyelidik. Selain daripada merujuk akhbar-akhbar tempatan, Jennifer turut melayari internet.

Derianya sebagai wartawan perang tidak mampu dipendam. Seharusnya dia menghabiskan masanya membuat penyelidikan mengenai hubungan bisnes Malaysia-Amerika. Inilah gesaan ayahnya bila menghantarnya ke dunia sebelah sini. Namun saranan itu diketepikan sahaja. Biarlah. Dia lebih teruja dengan berita mengenai konflik. Jika ayahnya mengamuk nanti, tahulah dia memberi apa sahaja alasan. Biarlah masalah itu difikirkan kemudian.

Untuk melayan mata, Jennifer turun ke disko ini. Dia hanya berkemeja, berjean dan berkasut sneakers kerana tidak ingin menari pun. Sambil meneguk minuman, matanya menyorot ke suasana sekeliling. Bunyi muzik yang bergema hingga memecahkan telinga, keriuhan dan kesewelan manusia diperhatikan sahaja tanpa apa-apa perasaan. Dia hanya ingin bersendirian dalam kebisingan.

Di satu sudut, Fariz duduk bersendirian memerhati gadis itu. Menanti kalau-kalau Jennifer membuat apa-apa kontak dengan sesiapa. Dalam pada itu, dia juga menjadi mata dan telinga Normala yang sedang menyelinap di bilik Jennifer untuk menggodam komputer bagi mengenalpasti laman-laman yang dilayari oleh wartawan itu.

Seorang lelaki muncul. Fariz segera mengenalinya. Palie. Apa yang dibuatnya di sini, malam-malam buta ini? Apakah Palie mencari Jennifer untuk memperoleh berita? Jika itulah sebabnya, bagaimana Palie tahu di manakah Jennifer menginap? Fariz bangkit dan melangkah perlahan-lahan menuju ke pemuda itu.

“Buat apa kat sini, Palie?” sapa Fariz seraya menepuk bahu wartawan Sinar Harian itu.
“Eh, abang Amrizal,” jawab Fazli seraya menoleh.
"Apa khabar? Abang pun, buat apa kat sini?”
Soalan Palie hanya dijawab dengan senyuman.
“Palie cari sesiapa?”
“Nak cari siapa pulak?” soalan Fariz dijawab dengan soalan.

Sambil menjawab, sesekali Palie tertoleh-toleh ke arah pintu masuk.
“Palie tunggu girlfiend, ya?”
“Eh, taklah. Saya ke mari kerana bertugas.”
“Bertugas?” tanya Fariz.

Belum sempat Palie mengangguk, tiba-tiba suasana di disko ini menjadi terang benderang. Muzik serta merta terhenti. Para pengunjung terjerit-jerit marah. Tetapi hanya seketika. Sesaat kemudian, para pengunjung kedengaran terjerit-jerit ketakutan.

“Semua duduk! Jangan ke mana-mana!” kedengaran suatu suara lantang dan parau.
“Spot check!” bisik seseorang berhampiran.

Para pengunjung mula menggelabah. Baru mereka sedari akan serbuan dan pemeriksaan pihak berkuasa. Beberapa orang cuba melarikan diri keluar tetapi langkah mereka mati bila menyedari pintu masuk sudah dihadang oleh pasukan RELA.

Seorang lelaki berbadan tegap cuba bersikap kasar. Dia menengking-nengking anggota polis. Bila dia dijerkah oleh pegawai polis berpangkat Deputi Supritendan yang mengetuai serbuan, baharulah dia menikus.

Melihatkan keadaan itu, para pengunjung yang lain terus terundur-undur dan berhimpit-himpit. Masing-masing cuba menjauhkan diri daripada anggota keselamatan yang memeriksa. Cuba mengelak daripada dipanggil dahulu untuk pemeriksaan.

“Ini ke tugas kamu, Palie?” bisik Fariz.
“Iyalah, bang. Buat liputan serbuan ini. Apa lagi?” jawab Palie sambil tersengih-sengih.
Sambil berbual-bual, Fariz memanjangkan lehernya tercari-cari di manakah Jennifer. Kelihatan gadis itu dalam barisan pemeriksaan. Tampak Jennifer begitu tidak senang dengan suasana yang dialaminya. Dia sibuk bertanya-tanya dengan mereka di sekelilingnya.

“Palie… kau kenal perempuan itu?” tanya Fariz.
“Apa tak kenal pulak? Saya dah tau dia tu siapa, bang. Masa balik kat ofis semalam, bos saya ada tunjuk foto dia pada saya. Itu Jennifer Miles, wartawan hebat dari World Live Line. Eh, macam mana dia ada kat sini?”
“Bagus. Tapi, saya nak mintak tolong kat Palie…”
“Kalau boleh saya tolong, mestilah saya akan tolong. Tapi, tolong apa?”
“Tolong bawak minah saleh tu keluar dari tempat ini…”
“Eh, biar betul. Mana boleh saya buat macam tu? Saya ni bertugas. Tugas saya pun buat liputan serbuan ini. Mana boleh saya ganggu kerja polis ni?”

“Palie nak tak berita yang lebih hebat daripada berita serbuan ini?” pancing Fariz.
“Memanglah saya hendak. Tapi mana boleh saya buat perkara yang melanggar undang-undang? Kalau saya bawak wartawan tu lari, saya akan kena caj menghalang tugas polis. Lagi pun, saya tak betul-betul kenal dengan abang. Macam mana saya boleh percaya?” petah Palie menjawab.

Fariz mengeluh perlahan. Nampaknya, Palie belum hendak membantunya. Apabila dia menoleh ke arah barisan pengunjung yang hendak diperiksa, Fariz jadi suspens apabila melihat Jennifer melangkah keluar daripada barisan.

Seorang anggota polis menahannya. Namun Jennifer menepis bila anggota polis itu cuba memegang lengannya. Fariz tahu perangai gadis wartawan itu. Kalau dia tidak menjaga tingkahlakunya, pasti gadis itu akan ditangkap dan dibawa ke balai.

“Awak tiada hak untuk menangkap saya!”
Pekikan Jennifer menarik perhatian orang lain. Masing-masing menumpukan perhatian terhadapnya. Anggota polis itu cuba menenangkan Jennifer. Namun gadis itu bersikap kasar. Dia membentak-bentak.

Fariz mula gelisah. Dia mencari akal bagaimana hendak menyelamatkan gadis itu daripada ditangkap kerana cuba menghalang pihak polis menjalankan tugas mereka. Kemarahan Jennifer sudah tidak boleh ditahan-tahan.

Pegawai polis yang berpangkat Deputi Superitenden dipanggil anggotanya. Lelaki tegap dan bermisai melintang itu segera tampil. Dia bercakap perlahan kerana ingin menenangkan suasana. Tetapi Jennifer masih berkeras. Membuatkan pegawai itu tergeleng-geleng bosan.

Akhirnya, pegawai polis itu menggamit pegawainya. Tanpa berlengah-lengah lagi seorang anggota polis tampil membawa sepasang gari. Jennifer semakin menyinga. Suaranya kuat kembali mengisi ruang disko itu.
"Hey! What do you think you’re doing? Do you know who I am? Do you? I have the right to make one phone call… I have the right to remain silent. And I have the right to…”

Tiba-tiba lampu terpadam!
Suasana di disko ini semakin hingar.

Sunday, April 11, 2010

FRAGMEN 29, DETIK DEBAR


Foto: upload.wikipedia

FRAGMEN 29
DETIK DEBAR


Aras 5, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya

PERDANA MENTERI begitu relaks menerima kunjungan Maria Stable, Duta Besar Amerika ke Malaysia di pejabatnya. Meski pun duta itu tidak mengikut protokol dengan terus menghubungi PM, pemimpin negara ini masih sudi menerima kunjungan beliau. Dua temujanji lain terpaksa PM tangguhkan demi menerima kunjungan wanita itu.

PM faham, Maria Stable terpaksa menemuinya secara tergesa-gesa kerana Presidennya John Martinez menukar keputusan untuk datang lebih awal ke Malaysia. Memang begitulah Presiden Amerika. Di atas sebab-sebab keselamatan, pejabat presiden negara itu biasanya akan mengubah-ubah jadual penerbangan khususnya ke luar negara.

Maria tidak datang bersendirian. Dia membawa bersama Ed Arden, Ketua Secret Service dan David Doron, Setiausaha Akhbar Presiden. PM pula, meskipun mempunyai barisan pegawainya, dia lebih selesa memilih Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ramlee Awang Murshid dan Tuan Aziz Tuan Ghani, Ketua Pengarah BISIK.

Sambil berbual-bual, Tan Sri Ramlee dan Tuan Aziz sempat bertukar jelingan melihat gelagat Ed Arden. Ketika melabuhkan punggung pun, Ketua Secret Service itu terus teraba-raba ke bawah kerusi. Kemudian ke bawah permukaan meja. Seolah-olah ada alat curi dengar yang diletakkan berhampiran untuk memantau perbualannya.

Pandangannya melilau memandang ke sekeliling lantai dan ke siling. Tercari-cari peralatan keselamatan seperti CCTV dan juga alat pengesan kebakaran. Duduknya seperti orang yang tidak selesa. Sekejap menyenget ke kiri, sekejap tersandar ke kanan.

Walaupun dia adalah ketua keselamatan, Ed Arden sengaja mempamerkan ketidakselesaan dan kebongkakannya sebagai mesej kepada para pegawai PM yang dia sebenarnya curiga dengan standard kawalan keselamatan Malaysia. Bimbang akan keselamatan nyawa presidennya.

Pandangannya kini teralih ke luar jendela. Melihat senario Putrajaya dari bangunan Perdana Putera ini. Perlahan-lahan, dia bangun.

“Can I smoke?” tanya Ed selamba.

Maria Stable menoleh ke arahnya. Mulutnya membulat. Dahinya terkerut sedikit menahan amarah kerana pegawai kerajaannya dari Amerika sungguh tidak berdiplomatik. Padahal, Ed Arden sengaja ingin mencari alasan untuk keluar daripada bilik ini untuk membuat pemantauan sendiri. Bukannya hendak merokok pun.

“Tuan Aziz…” ujar PM lalu mendepangkan tangannya meminta ketua BISIK itu membawa Ed keluar bilik. Dia hanya tersenyum melihat ulah Ketua Secret Service itu.

Tuan Aziz terus mengerti. Dengan penuh hormat, dia mempersilakan Ed Arden keluar daripada bilik PM. Lalu kedua-duanya melangkah beriringan ke jendela kaca.

“Ah, cantiknya pemandangan!” Ed melayangkan pandangannya ke sekeliling kawasan yang terjangkau matanya. “Penuh kehijauan.”

Kini pandangannya terus tertancap ke bangunan Putrajaya International Convention Centre yang betul-betul terletak di hujung jalan. Seolah-olah terletak di horizon. Oleh kerana saiznya yang besar, ia kelihatan begitu hampir.

Senibinanya yang cantik menggunakan motif wau dan pending perak kelihatan begitu unik. Dari jauh ia persis sebuah kapal angkasa yang sudah sedia untuk berlepas. Namun, bukan itu yang dilihat oleh Ed Arden. Dia merenung bangunan itu tanpa berkelip-kelip. Tuan Aziz dapat mengagak apa yang sedang berligar di fikiran pegawai Amerika itu tak lain tak bukan hanyalah soal keselamatan.

“Ada apa-apa yang tak kena, Mr. Ed Arden?” tanya Tuan Aziz.
“Apakah itu... PICC?”
“Tentu sekali. Di sanalah tempat persidangan.”

Ed Arden semakin gusar. Dagunya diusap-usap. Gelisah di hatinya sudah terpamer di wajahnya.
“Bangunan itu berbahaya!” bisik Ed tanpa menoleh.
“Kenapa?”
“Apakah pihak yang membangunkan Putrajaya ini tidak mengambilkira soal keselamatan?” tanyanya lagi dengan bibir yang terjuih.

“Mengapa?” soal Tuan Aziz pula.
“Mengapa? Apakah awak tak nampak ruang lapang daripada PICC ke mari? Bagaimana kalau ada musuh negara awak, pihak militan atau orang gila menggunakan bangunan itu sebagai tempat persembunyian? Perdana Menteri awak dan juga Presiden saya boleh ditembak dari jarak jauh! Ataupun, bagaimana jika ada kapalterbang yang… yang…”

“…yang merempuh bangunan ini seperti Tragedi September 11?” sambung Tuan Aziz.
“Yup, I am just about to say that. Awak tidak ambil kira langkah-langkah keselamatan?” tanya Ed Arden. Matanya membulat.

Tuan Aziz mengulum senyuman. Lalu dia melangkah setapak menghampiri dinding. Jejarinya menekan sebuah butang kecil yang tersembunyi di sisi bingkai sebuah lukisan.
Ed Arden terundur selangkah kerana terkejut bila dinding di sisinya terkuak perlahan. Menampakkan sebuah alat berupa batang-batang yang diperbuat daripada besi. Tuan Aziz mencapai alat itu dan mendirikannya. Sebentar sahaja, sebuah teropong siap terpasang di atas tripodnya.

“Saya persilakan tuan melihat ke mana-mana arah yang tuan inginkan.”
Meskipun kehairanan, Ed Arden akur dengan pelawaan itu. Matanya terus memantau ke seluruh kawasan terutamanya bangunan PICC.
“Biar saya demonstrasikan sesuatu,” ujar Tuan Aziz seraya menekan sebuah lagi butang kecil. Tiba-tiba kelihatan seekor burung terbang melintasi kawasan itu. “Itu burung mekanikal, bukannya burung sebenar.”

Pandangan Ed Arden terus tertumpu ke arah burung itu. Daripada sudut kiri bangunan, tiba-tiba burung itu mengalih arahnya lalu terbang mendekati bangunan ini. Ed sedikit kaget. Imej di teropong menampakkan imej burung yang terbang menghampirinya.

Sesuatu yang tidak disangka-sangka terjadi. Burung yang terbang itu tiba-tiba disambar api. Tubuhnya terbakar dan ia terus melayang ke bumi. Ed mengalihkan pandangannya ke arah Tuan Aziz.
“What the…”

“Well, Mr. Ed Arden… burung itu telah mati terbakar. Sebenarnya, apa sahaja yang melintasi ruang udara kawasan bangunan ini akan dipanah gelombang micro-infrasonic. Kami memancarkan gelombang ini di aras 200 meter dalam keluasan perimeter 7 kilometer.
Kerana itu, bangunan PICC yang berada dilingkungan 5 kilometer dari sini turut dilindungi dengan gelombang ini. Gelombang micro-infrasonic ini persis jaringan keselamatan di langit Putrajaya!”

“Wow! Anda sudah dapat mempraktikkan senjata canggih.”
Ketakjubannya mula menghakis rasa bongkak di hatinya. Malah, dia berasa terpukul dengan kecanggihan teknologi keselamatan negara ini.

“Di Amerika, senjata gelombang seperti ini masih di peringkat konsep. Err… dari manakah tuan peroleh teknologi ini?”
“Tuan fikir, daripada negara mana?”
Ed Arden terdiam seketika. “Err… Rusia?”
Tuan Aziz menggeleng.
“Cina?
Tuan Aziz menggeleng lagi.
“Kalau bukan teknologi Rusia atau Cina, saya tak boleh fikir lagi.”
“Tuan mahu tahu?”
“Pasti, Tuan Aziz… pasti. Teknologi daripada mana, ya?”

“Iran!”

Mudah-mudahan dapat disambung pada minggu hadapan.
................................................................................................................
BEHIND THE SCENE:
Sememangnya saya berhasrat menyambung Detik Debar dengan scene di pejabat PM. Terbayang-bayang bagaimanakah suasana di bilik PM yang sebenarnya. Bingung juga memikirkannya. Alhamdulilah, kerana tugas, saya dapat ke pejabat PM, Datuk Seri Najib pada suatu petang Jumaat.
Meskipun temujanji diadakan pada jam 3.00 petang, saya dan bos-bos saya sudah terpacak di pintu masuk pejabat PM pada jam 2.25 petang. Sambil berbincang apa yang akan dibicarakan dengan Datuk Seri Najib di bilik menanti, saya merakam kesemua sudut dan suasana pejabat PM, khususnya aras 5 ke dalam kotak memori.
*Keindahan PICC yang dapat dilihat jelas daripada bangunan Perdana Putra adalah benar. Tetapi gelombang micro-infrasonic itu adalah rekaan semata-mata.

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP