Sunday, March 6, 2011

FRAGMEN 63: DETIK DEBAR


Photo credit: ibnismail.wordpress.com

ALI
tersenyum sendirian bila sedar helikopter-helikopter yang melintasi kepalanya tadi hanya membuat lintas hormat sebagai salah satu acara Hari Merdeka. Dengan segera dia merangkak keluar daripada rusuk simen seraya memerhati helikopter-helikopter yang kian menjauh.

Dia membuka kembali plastik hitam yang menutupi Al-Hada’ 338nya. Rifelnya dilurut-lurut. Seolah-olah menumpahkan kasihnya kepada senjata itu. Pandangannnya kini mencerun ke kawasan Pentas Utama di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Kelihatan perbarisan lintas hormat masih berjalan.

“Ali… kamu dah siap?” kedengaran suara Moussa.
“Insya-ALLAH!” jawab Ali sambil menekan punat mendengar handsfree agar kejap ke telinganya. “Kau ke mana? Kenapa tiba-tiba senyap?”
“Tak ke mana. Ada sedikit gangguan tadi…” jawab Moussa tanpa menceritakan apa yang terjadi kepadanya.

Sebentar tadi, dia sempat memboloskan dirinya daripada tindihan Palie. Wartawan muda yang gempal itu dapat ditolaknya ke samping ketika pihak polis menghampiri.
“Kelajuan angin masih sama iaitu 0.7 knot. Teruskan rancangan!” kata Moussa.
“Hmm,” jawab Ali.

Dia menghela nafas dengan tenang. Bagi penembak tepat, pernafasan yang teratur amat penting. Target boleh tersasar seandainya seseorang itu menembak dalam keadaan beremosi. Perlahan-lahan, Ali melekapkan matanya ke teropong rifelnya. Jejari telunjuknya perlahan-lahan melekap ke picunya.

Melalui teropong, Ali nampak John Martinez sedang tersengih-sengih seraya melambaikan tangannya ke arah kontingen perbarisan yang melintasi Pentas Utama.

TANPA disedari John Martinez, muncung sepucuk pistol kelihatan terjulur dari lantai berkarpet merah hampir dengan tempatnya berdiri. Daripada bawah pentas, Alvaro memandang John Martinez sedang melambai-lambaikan tangannya kepada kontinjen perarakan dengan senyuman.

Muncung pistol Alvaro hanya kira-kira setengah meter daripada kaki John. Pistol yang akan menamatkan riwayat John Martinez itu juga mempunyai periskop kecil yang membolehkan Alvaro melihat sasaran daripada bawah pentas. Pandangan Alvaro kini menjalar ke arah kasut John.

‘Sayang sekali kalau darah kau terpercik ke kasutmu yang berkilat,’ kata Alvaro sambil memandang kasut jenama Cole Haan yang dipakai John Martinez.

TUAN PRESIDEN benar-benar tidak mengetahui nyawanya kini terancam. Dua orang pembunuh sedang membidik senjata masing-masing untuk menamatkan riwayatnya. Seorang penembak sedang menyasarkan senjatanya kira-kira satu kilometer dari atas sebuah bangunan. Seorang lagi sedang menghalakan senjata automatiknya dari lantai tempatnya berdiri.

Ali adalah anggota Gerakan Lashkar Jihad, sebuah pertubuhan yang anti-Amerika. Sementara Alvaro pula adalah pembunuh upahan yang ditugaskan oleh The Group, sebuah kumpulan pelobi yang berpusat di Amerika.

Gerakan Lashkar Jihad mahu John tidak bernyawa agar dunia sedar akan kesombongan Amerika menyokong rejim Zionis di Israel. The Group pula ingin John maut kerana mengancam sistem ekonomi riba yang selama ini mencengkam ekonomi dunia. Ironinya, kedua-dua penembak tepat yang mahu membunuh John Martinez tidak mengetahui akan kehadiran masing-masing.

Siapakah yang terlebih dahulu menembak John Martinez tidak penting. Yang penting ialah apabila Presiden Amerika itu tumbang menyembah bumi. Ali dan Alvaro akan sama-sama gembira apabila John Martinez terbunuh. Namun, masing-masing tidak akan tahu apakah peluru mereka yang menamatkan riwayat pemimpin dunia itu.

HELIKOPTER-HELIKOPTER TUDM yang meluncur semakin menjauh menuju ke Lapangan Terbang Sungai Besi, kini kelihatan begitu halus seolah-olah bintik-bintik di langit. Orang ramai di Dataran Merdeka mula menumpukan perhatian kembali ke perbarisan. Sebentar lagi acara tarian dan jimrama oleh pelajar-pelajar sekolah menengah Kuala Lumpur akan berlangsung di Padang Kelab Selangor.

Mereka semua tidak menyedari, salah sebuah helikopter, iaitu yang membawa bendera Jalur Gemilang telah berpaling arah dan terbang kembali ke Dataran Merdeka. Ia berpatah balik kerana mendapat arahan untuk melakukan satu tugasan semerta dan tergempar di luar jangka!

Bersambung pada minggu hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, February 26, 2011

FRAGMEN 62: DETIK DEBAR


Photo Credit: Lai-adventure-group.blogspot

Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

LANGKAHNYA terhenti sebaik sahaja dia menapak untuk membantu Jennifer.
Palie! Dia datang sebagai penyelamat. Wartawan Sinar Harian yang berbadan gempal itu berjaya menarik Moussa. Meleraikannya daripada Jennifer yang sedang merangkak untuk menyelamatkan dirinya. Palie mengilas tangan lelaki Arab itu dan menolaknya hingga rebah ke jalanraya. Langsung menggunakan berat badannya untuk menindih Moussa hingga tidak bergerak. Kelihatan dua orang anggota polis berlari menghampiri.

Fariz menghembus nafas lega. Jennifer akan selamat. Lantas dia berlari dan merempuh mereka di depannya lalu melangkah parit untuk melintasi Padang Kelab Selangor. Beberapa orang awam kedengaran menjerit marah-marah dengan tindakan kasarnya. Namun, Fariz tidak mempedulikan. Keadaan amat genting. Dia perlu cepat sampai ke destinasi.

Di padang, Fariz bergegas melintasi. Kacamata megavision viewer dipakainya. Pandangannya tidak lepas melangut ke bumbung bangunan Dewan Usahawan Malaysia. Kini, dia tidak nampak kelibat Ali. Ke mana perginya lelaki itu? Tiba-tiba, dia ternampak beberapa buah helikopter jauh di kaki langit Kuala Lumpur.

Terdapat 15 buah helikopter TUDM yang akan melintasi Dataran Merdeka sebagai acara pertunjukan sambutan Hari Merdeka. Tiap sebuah mengibarkan bendera negeri-negeri di Malaysia di bahagian bawah badannya. Helikopter yang paling hadapan pula mengibarkan Jalur Gemilang.

Bagai sekawan beburung, ia terbang menghampiri. Bunyi kipas helikopter menimbulkan rasa keterujaan para penonton yang menyaksikan. Masing-masing terdongak ke langit dan mula bertepuk tangan beramai-ramai dengan perasaan bangga.

Fariz turut mendongak ke langit. Melihat helikopter yang semakin mendekat. Suatu idea muncul di fikiran Fariz. Dia mesti lakukan sekarang. Jika tidak dia terlepas peluang keemasan. Sekali lagi dia mendail. Kali ini dia mendail Suren, Ketua Penyelidik di BISIK.

“Suren! Kau mesti tolong aku! Urgent!” kata Fariz dengan suara yang termengah-mengah.
“Apa dia?” tanya Suren.
“Aku ternampak seseorang berada di atas bangunan Dewan Usahawan Malaysia. Aku menjangka dia tu sharp shooter!”
“Biar betul! Kau pasti?” soal Suren.
“Ini jangkaan aku berdasarkan agakan!”

“Agakan? Kau gila! Kau mesti pasti, Fariz. Silap bertindak, boleh diambil tindakan disiplin atau dibuang kerja, tau?” Suren memberi amaran.
“Aku tak takut dikenakan apa-apa tindakan! Apa… kau takut ke?”
Soalan Fariz tidak mendapat jawapan. Beberapa ketika Suren terdiam.
“Okey, okey! Apa yang kau nak aku buat?”

“Dengar sini…”

Jalan Tuanku Abdul Rahman, K. Lumpur

SUASANA di sini mula tegang apabila ahli-ahli SAKA mula bergerak dalam satu kumpulan padu. Mereka meregang lengan masing-masing agar tidak terpisah. Lagu-lagu patriotik termasuk lagu Berjaya, Bahtera Merdeka dan Saya Anak Malaysia dinyanyikan beramai-ramai. Suara mereka menggaung dan menggamatkan suasana. Semakin kuat mereka bernyanyi, semakin tinggi semangat mereka.

Pasukan FRU yang memerhati daripada arah Dataran Merdeka mula berdiri rapat-rapat. Perisai masing-masing dicantum supaya menjadi benteng. Bersedia untuk menahan ahli-ahli SAKA daripada terus mara ke Dataran Merdeka. Seandainya mereka dapat membolos sekatan, mereka akan muncul bertentangan dengan pasukan-pasukan perbarisan Hari Merdeka yang melakukan lintas hormat. Pergerakan pasukan-pasukan itu akan terhalang.

Dan, sambutan Hari Merdeka akan menjadi haru-biru. Jika ini terjadi, sambutan Hari Merdeka yang berlangsung secara aman dan gilang gemilang sejak berpuluh-puluh tahun akan tercemar buat pertama kali!

“Anda semua diminta bersurai!” Kedengaran seruan Komisioner Polis, Datuk Farush Khan Akbar Khan, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam menerusi hailer. Dia berdiri di atas lori FRU. “Baliklah. Tidak elok mencemar Hari Merdeka… hari gembira seluruh rakyat Malaysia…”

Datuk Farush Khan cuba menggunakan cara diplomatik. Seboleh mungkin, beliau tidak mahu mencemarkan sambutan Hari Merdeka. Lebih-lebih lagi kerana pada hari ini agensi-agensi berita antarabangsa datang membuat liputan secara langsung berikutan dengan kehadiran Presiden Amerika, John Martinez. Apa jua yang terjadi akan terakam dan tersebar ke seluruh dunia.

“Saka, Saka, Saka. Bara, bara, bara. Mara, mara, mara. Jahanam Amerika! Jahanam Amerika! Jahanam Amerika!”

Seruan pegawai tertinggi polis itu tidak dihiraukan. Malah, ahli-ahli SAKA semakin bersemangat membuat sorakan. Berulang-ulang, berkali-kali hingga suara Komisioner Polis itu tenggelam dalam gegak gempita sorakan keramat SAKA.

Gerakan mereka begitu tersusun. Lautan ahli-ahli SAKA yang berbaju corak jalur gemilang kelihatan di mana-mana. Jumlah mereka sudah menjangkau ribuan. Akhirnya menimbulkan kesukaran pasukan polis untuk mengawal keadaan.

Mereka sudah menghampiri pasukan FRU yang bertahan merentangi jalanraya. SAKA juga mempunyai pasukan kawalan mereka yang menjadi pemandu arah ahli-ahli yang berdemonstrasi. Mereka yang memakai songkok motif Jalur Gemilang kini bergerak ke hadapan para pengikutnya. Kini. jarak yang memisahkan mereka dengan pasukan FRU hanya sedepa!

“Saka, Saka, Saka. Bara, bara, bara. Mara, mara, mara. Jahanam Amerika! Jahanam Amerika! Jahanam Amerika!”

Beberapa orang ahli SAKA mula merempuh sekatan. Diikuti dengan yang lain. Pasukan FRU yang membentengi mereka dengan perisai terpaksa bertahan. Masing-masing mengentalkan hati dan perasaan.

Satu pihak memperjuangkan kepetualangan Amerika. Satu pihak lagi mempertahankan keamanan. Maka berlakulah tolak menolak dan jerit menjerit. Orang ramai yang pada mulanya menonton drama itu dengan seronok mula panik. Ramai yang lari bertempiaran kerana ketakutan.


Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, February 19, 2011

FRAGMEN 61: DETIK DEBAR


Photo credit: life.com

FARIZ
memulas lensa alatnya untuk memfokus imej. Ya! Dia nampak seperti kepala seseorang yang terselindung di sebalik tembok! Kelihatan terhendap-hendap.
‘Siapa, tu?’ kata hatinya lagi. ‘Apa kena mengena lelaki di atas bangunan itu dengan Pak Arab ini?’

Pelbagai gambaran terus bersimpang-siur di mindanya. Lokasi tinggi dan tersembunyi biasanya dilakukan untuk menyerang. Itulah yang pernah Fariz pelajari di dalam latihan. Dengan cepat, dia dapat menelah kemungkinan yang akan terjadi.

‘Penembak curi! Sharp shooter! Senjata sniper!’ desak hatinya lagi. ‘Aku mesti pergi ke bangunan itu. Mesti cepat. Tapi… macam mana?’

DARI bumbung bangunan Dewan Usahawan Malaysia, Ali sudah tersandar di tembok. Sepucuk senapang sniper jenis Al-Hada’ 338 buatan Iran sudah terdiri di sisinya. Senapang bersaiz 1.5 meter itu menggunakan bolt action, dengan feed system 5 hingga 7 round. Al-Hada’ 338 berkuasa menuju ke sasaran sejauh dua kilometer. Teropongnya pula menggunakan gelas fiber multi-coated optic yang jelas penglihatannya.

Untuk menjamin ketepatan misi ini, Ali memerlukan bantuan wind velocity meter, iaitu alat yang menyukat kelajuan angin. Bacaan kelajuan angin di kawasan sasaran akan membantu ketepatan agar apabila peluru meledak, sasarannya menepati 99 peratus! Moussalah yang memainkan peranan sebagai penyampai maklumat mengenai keadaan angin di hadapan pentas utama.

Ali yang berpakaian kelabu, warna yang sama dengan warna simen di bumbung bangunan ini meneguk minuman. Kemudian dia mengambil kurma dari poket bajunya. Perlahan-lahan dia mengunyah sambil mendongak ke langit. Tiba-tiba dia ternampak beberapa buah helikopter menuju arah tempatnya bersembunyi.

Lekas-lekas Ali menutup senapang snipernya dengan plastik hitam. Kemudian dia menyusup ke bawah rusuk simen untuk melindungi dirinya. Matanya tetap mengintai ke langit. Memerhati helikopter yang semakin menghampiri dengan rasa cemas.

FARIZ memerhati Moussa yang sedang bercakap dengan seseorang menerusi fonselnya. Pasti lelaki itu sedang merancang sesuatu dengan orang yang berada di atas bangunan Dewan Usahawan Malaysia. Dan dia mesti mematahkan rancangan itu. Fariz menoleh ke sekelilingnya.

Orang ramai berhimpit-himpit. Tiada ruang untuknya membolos dan bergerak. Daripada posisinya di hadapan pentas utama, dia perlu menyelit untuk ke Padang Kelab Selangor.
Dari situ, dia harus berlari ke belakang padang, menyeberangi jalanraya sebelum sampai ke bangunan Dewan Usahawan Malaysia. Dalam kesesakan ini, dia memerlukan lebih sepuluh minit untuk ke puncak bangunan itu. Fariz mengeluh dalam kerana berasa bimbang akan terlewat sampai ke bangunan itu.

“Halo…” Akhirnya Fariz memanggil ke ibu pejabat BISIK untuk meminta bantuan.
“Halo…” kedengaran suara yang menjawab.
“Ini ejen Fariz… ejen Fariz…”
“Halo…”

“Saya nampak seseorang… saya ulang… seseorang yang mencurigakan berada di puncak bangunan Dewan Usahawan Malaysia.”
“Halo… tak dengar!” kata suara yang menjawab.
“Saya nampak seseorang di puncak bangunan Dewan Usahawan Malaysia. Hantar unit untuk bertindak. Saya ulang... unit untuk bertindak.”
“Halo... tak dengar, tak dengar, tak dengar!” jawab suara itu lagi.

Fariz mendengus. Fonsel segera dimatikan. Dia terpaksa ke bangunan itu sendiri. Lantas dia berpaling untuk berlari.

“RIZAL!”
Kedengaran suara Jennifer. Langkah Fariz terhenti. Dia berpaling. Darahnya berderau. Cemas bila terlihat Moussa sedang bergelut dengan Jennifer. Orang ramai di sekeliling hanya memerhati drama itu. Masing-masing tidak berani meleraikan.

‘Bila masa pulak, Pak Arab ni nampak Jennifer? Apa yang aku nak buat, ni?’ kata hati Fariz.
Dia serba salah. Sepatutnya dia menjaga Jennifer. Bukan melakukan apa-apa perkara lain yang tidak ditugaskan. Tetapi, apa yang dia nampak di puncak bangunan Dewan Usahawan Malaysia lebih berbahaya.
Sesungguhnya Fariz berada di dalam dilema. Benar-benar dalam dilema!


Bersambung pada minggu hadapan, insya-ALLAH.

Saturday, February 12, 2011

FRAGMEN 60: DETIK DEBAR


Foto credit: saifulrizan.com

LELAKI
itu sedang memegang sesuatu alat berbentuk silinder seperti lampu suluh.
‘Dengan siapa dia bercakap?’ tanya Jennifer di dalam hati.
Dia cuba memerhati ke sekitar lelaki itu. Namun dia tidak nampak dengan siapakah Moussa sedang bercakap. Setelah mengamati sekali lagi, baharulah dia ternampak alat Bluetooth di sebelah telinga lelaki itu. Fahamlah dia yang Moussa sedang bercakap dengan seseorang menggunakan alat itu.

“Sar at raiha ana 0.7 acard” kata Moussa.
'Kelajuan angin di sini ialah 0.7 knot,' Jennifer menterjemah lagi di dalam hati.

“A’taqad ansar at raiha lamyat ghairi alal madda tawil.”
'Aku rasa kelajuan angin tak berubah dalam tempoh yang lama,' terjemah Jennifer lagi.

Jennifer yang berdiri di belakang Moussa mengintai untuk melihat apa yang sebenarnya dilakukan oleh lelaki itu. Moussa menekan-nekan butang pada alat itu dan kemudian dia angkat tangannya ke udara dan mengibar-ngibarkannya lagi. Kemudian dia menekur dan membaca sesuatu yang tertera pada alat itu. Dalam keadaan kesesakan orang ramai, mudah bagi Jennifer untuk berselindung dan tidak disedari.
‘Alat yang dipegang lelaki itu kelihatan pelik. Yang pasti, ia bukannya fonsel. Tapi, itu alat apa? Apa tujuan alat itu digunakan?’ bisik hati Jennifer.

“Naaam. Waana la urya laghuyum tataharaqu abrar assama. Yusyiruli tira wanaka tirah,” kata Moussa lagi seraya mendongak ke langit yang semakin cerah disinari mentari.
'Ya, aku nampak awan tidak bergerak di langit. Menandakan tidak ada gangguan angin.'

“Wayuhithu hazal majalana khilal almabani alaliah. Alriyah alqadhinah wainqasamah. Watahabbu fi’an taqabiluth.”

'Kawasan ini di kelilingi bangunan tinggi. Angin yang datang akan terpecah dan bertiup perlahan ke kawasan ini. Tugas kamu tidak akan terganggu.'

‘Alat tu seperti penyukat angin! Tapi untuk apa dia menyukat kelajuan angin? Dan, dengan siapa dia bercakap, tu? Nampaknya lelaki ini tidak berniat baik,’ kata Jennifer lagi.

Kali ini Moussa menoleh ke arah kemuncak bangunan Dewan Usahawan Malaysia. Sambil berbisik, Moussa mengangkat ibu jarinya mengunjukkan isyarat 'bagus.' Pandangan Jennifer turut tertumpu ke arah bangunan itu. Dia mula menjangka Moussa berkata sesuatu pada seseorang yang berada di atas bangunan itu. Siapakah yang berada di atas bangunan itu?

DARI jarak yang tidak disedari Jennifer, Fariz memerhati. Dia nampak Moussa yang terkibar-kibar tangannya dan Jennifer yang terhendap-hendap di belakang lelaki itu. Dia kenal Moussa sebagai lelaki yang disyaki hendak membunuh John Martinez. Malah, sebelum itu Fariz pernah bergelut dengannya di parkir Masjid Putrajaya.

Dia sengaja membiarkan Moussa dengan gelagatnya kerana pada firasatnya, Moussa sedang merancang sesuatu. Namun, dia bersedia untuk bertindak andainya Moussa ternampak Jennifer lalu mengapa-apakan gadis itu. Tugas utamanya adalah untuk mengawal Jennifer, bukan melakukan tugasan yang lain.

SEKALI lagi Moussa memandang ke puncak bangunan Dewan Usahawan Malaysia. Jennifer turut tertoleh. Cuma kali ini, Jennifer turut mensasarkan digicamnya ke arah bangunan biru itu. Perlahan-lahan dia memfokuskan lensa kameranya untuk melihat dengan siapakah Moussa berbual.

Dengan teliti, lensa digicamnya menyusur puncak bangunan itu. Jarak 500 meter di antara tempatnya berdiri dengan bangunan itu memaksa Jennifer memicingkan matanya. Dia tidak nampak apa-apa kecuali kaca-kaca tingkap bangunan yang kelihatan seperti titik-titik hitam yang kecil.

FARIZ turut melontarkan pandangannya ke puncak bangunan itu. Dengan mata kasar, dia tidak nampak sesiapa pun yang berada di sana. Perlahan-lahan dia menyeluk poket dan mengeluarkan megavision viewer.

Dia terus menyangkut alat yang berbentuk kacamata itu di atas dahi. Wayar kecil daripada kacamatanya itu terus disambung ke port di fonselnya. Seketika sahaja, imej yang dibesarkan 1,000 kali ganda terpapar di fonselnya.

Fariz menyusurkan pandangannya daripada satu ruang ke satu ruang. Dia memerhati dengan penuh teliti dan perlahan. Tiba-tiba pandangannya terhenti. Dia nampak sesuatu sedang bergerak-gerak seperti tubuh manusia.

‘Ya, ALLAH!’ seru hatinya.

Bersambung minggu hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, February 6, 2011

FRAGMEN 59: DETIK DEBAR


Foto credit: Ibnismail.files.wordpress

“MAAFKAN saya, tuan!” kedengaran satu suara.
“Wanita ini adalah rakan media yang bertugas di syarikat saya dalam program pertukaran wartawan.”

Jennifer menoleh. Dia mengeluh lega kerana Fariz datang untuk menyelamatkannya. Lantas Fariz mengeluarkan kad medianya kepada lelaki yang rupanya seorang pegawai polis yang berpakaian preman. Lelaki itu meneliti kad yang diserahkan kepadanya. Kemudian dia terangguk-angguk sebagai isyarat yang dia berpuashati dengan dokumen yang ditunjukkan Fariz.

“TERIMA KASIH,” ujar Jennifer ketika kedua-duanya menuruni tangga pondok polis bergerak itu. “Kenapa Rizal lambat sampai?”
“Jalan jem. Saya ke mari pun dengan LRT. Kereta saya di parkir di KLSentral.” Fariz memberi alasan. Padahal, dia ke mari dengan kenderaan BISIK.

“Saya pulak datang dengan monorel. Dari Medan Tuanku, saya berjalan ke mari. Oh, saya lihat ramai sekali anggota SAKA yang berhimpun di situ. Mereka akan mengadakan demonstrasi anti-Amerika. Ramai anggota polis berkawal di sana.” Jennifer pula menceritakan apa yang dilaluinya tanpa disoal.

Bunyi deram tiba-tiba berkumandang dari arah Jalan Raja. Menandakan perarakan lintas hormat akan berlangsung.
“Upacara hendak bermula... jom kita ke sana,” kata Fariz seraya mengunjuk ke arah pentas utama. “Jangan lupa, awak kena berada berhampiran dengan pentas. Presiden awak mengharapkan awak berada berhampiran dengannya. I’ll be around. Telefon saya jika awak hendak ke mana-mana!”
“Ya, Rizal,”jawab Jennifer.

Setelah Fariz berlalu entah ke mana, Jennifer melontarkan pandangannya ke atas pentas. Di sana, dia nampak John bersama-sama dengan PM Malaysia. Berdiri di antara mereka berdua ialah DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong. Matanya menyusur ke arah barisan Menteri-menteri Kabinet Malaysia yang turut berada di atas pentas. Pandangannya kemudian teralih ke arah dif-dif kehormat yang lain. Di antara mereka yang sama-sama berdiri menyaksikan perarakan ialah Ed Arden dan David Doron.

Dengan menggunakan kamera digitalnya, Jennifer memfokus untuk merakam imej mereka di pentas utama. Imejan itu akan dihantar ke ibupejabat WLL di Cleveland, Ohio. Beberapa kali tubuhnya disenggol secara tidak sengaja oleh mereka yang berhimpit atau lalu lalang di belakangnya. Walaupun suasana sesak dan tidak selesa, Jennifer terus menjalankan tugasnya.

Sesekali dia kerap tertoleh-toleh memandang John Martinez yang kelihatan tersenyum riang berbual dengan baginda tuanku. Apa yang John mahu dia perhatikan, Jennifer sendiri tidak pasti. Setakat yang dilihat, keadaan adalah biasa sahaja. Dia tahu, keselamatan Tuan Presidennya pasti dipantau oleh pegawai-pegawai keselamatan Presiden dan juga pihak polis Malaysia.

Satu demi satu pasukan pancaragam melintasi pentas utama. Masing-masing memainkan lagu-lagu patriotik. Secara berselang-seli, kontingen daripada pelbagai jabatan kerajaan dan swasta turut sama berbaris dengan gaya pakaian beranika warna dengan pelbagai gaya. Jennifer begitu teruja menyaksikan perarakan itu. Walaupun dalam keadaan sesak dan disenggol oleh orang yang lalu lalang, tangannya tak henti-henti memfokus kamera untuk mengambil gambar melalui digicamnya.

“Hal annata alas ta’dad?" kedengaran satu suara dalam bahasa Arab.
'Apakah kau sudah bersedia?' Secara spontan, Jennifer menterjemahkan kata-kata itu di dalam hatinya. Pengalamannya bertahun-tahun bertugas di Palestin membuatkan dia petah berbahasa Arab. Perlahan-lahan Jennifer menoleh untuk mengenalpasti siapakah orang yang berkata-kata itu.

Darahnya berderau. Dia kenal dengan siapakah itu. Dialah lelaki yang pernah cuba mencederakannya beberapa hari lalu di parkir Masjid Putrajaya. Apa yang Moussa Arafat buat di sini?
Bersambung minggu hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, January 29, 2011

FRAGMEN 58: DETIK DEBAR


Foto credit: lokatgame.com

Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

DATARAN Merdeka mula dipenuhi orang ramai. Masing-masing berwajah ceria dan berhimpit-himpit di sebahagian Jalan Raja, Jalan Raja Laut dan juga di sekeliling Padang Kelab Sulaiman. Ibubapa, kanak-kanak dan remaja kelihatan ceria sekali menanti saat-saat sambutan penuh gilang gemilang yang bakal berlangsung.

Jennifer Miles tertoleh ke arah bunyi siren kereta peronda PDRM yang berkumandang dari hala Jalan Raja. Bunyi hon motorsikal polis trafik juga kedengaran. Semua mata yang berada di kawasan berhampiran terpaling juga melihat kereta peronda polis yang memasang lampu hazard berkelip-kelipan yang menghampiri. Lampu LED lightbar di bumbung kereta itu membiaskan cahaya biru yang berkeliling ke kawasan sekitarnya. Mempinarkan mata sesiapa yang melihatnya.

‘Itu PM Malaysia dan John Martinez,’ kata Jennifer di dalam hati.
Lantas dia melangkah mendekati kereta peronda polis itu bergerak perlahan diikuti dengan sebuah kereta Proton Perdana, kereta rasmi kerajaan Malaysia. Kenderaan-kenderaan itu pun berhenti di hadapan pentas utama. Empat buah motorsikal polis trafik yang mengiringi turut berhenti. Si pemandu dan rakannya yang duduk di kerusi hadapan keluar bergegas membuka pintu penumpang. Kedengaran bunyi tepukan mereka yang berada di sekeliling kenderaan itu.

Para wartawan terus berkerumun menerpa. Jennifer Miles tidak ketinggalan sama-sama berhimpit untuk merakam foto PM Malaysia dan Presiden Amerika, John Martinez yang keluar daripada kenderaan itu.

Kedua-duanya melambaikan tangan kepada orang ramai yang sudah membanjiri jalanraya. Para jurufoto dengan gaya masing-masing mengambil kesempatan untuk merakamkan pos menarik mereka untuk dipaparkan di dada akhbar dan layar kaca masing-masing. Tidak lama kemudian, kedua-duanya berjalan beriringan menaiki pentas utama.

Sebaik sahaja konvoi kenderaan yang membawa PM dan John Martinez berlalu, kedengaran lagi siren sebuah kenderaan kereta peronda polis yang lain menghampiri pentas utama. Sekali lagi, para jurufoto berkalih pandangan dan meluru ke arah sebuah kereta Maybach 62S buatan German yang mendatang. Itulah kenderaan rasmi Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong.

Jennifer juga tidak melepaskan peluang untuk melangkah ke hadapan jurufoto yang lain untuk merakam gambar DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong. Baginda turut berangkat mencemar duli untuk menyaksikan sambutan Hari Merdeka pada pagi ini. Baginda kelihatan tersenyum lebar sambil melambaikan tangannya ke arah rakyat jelata.

“Excuse me, ma’am…” kedengaran satu suara menegur Jennifer.
Jennifer menoleh. Seorang lelaki beruniform biru gelap dan bertubuh tegap merenungnya dengan wajah serius. Jennifer sempat memandang tiga paku yang terletak kemas di kanan dan kiri bahunya.
'Police officer...' seru Jennifer di dalam hatinya.

“Can you please follow me?” pelawa lelaki itu.
Meskipun hatinya tertanya-tanya, mengapakah dia dipanggil mengekori lelakim itu, namun Jennifer melangkah mengekori lelaki itu ke belakang sebuah pondok polis bergerak.
“Puan ini seorang wartawan? Boleh saya tengok pengenalan puan?”

“Boleh…” jawab Jennifer. Dia terus meraba ke dalam beg sandangnya untuk mencari pas media. Puas mencari, baru dia sedari yang dia tidak membawa apa-apa dokumen. “Err… maafkan saya. Sebenarnya saya seorang wartawan. Saya tak bawa kad pengenalan media saya...”

“Kalau begitu, sila naik ke atas pejabat bergerak ini. Saya terpaksa ambil sedikit keterangan....” kata lelaki itu.

Jennifer mengetap bibirnya. Tidak menyangka kealpaannya membawa kad pengenalan media menimbulkan masalah. Apa akan terjadi andainya dia ditahan? Bagaimana dengan permintaan John Martinez agar dia memerhati keadaan presidennya itu? Dengan perasaan kesal, dia melangkah menaiki tangga pondok polis bergerak itu.

'Patutkah aku lari sahaja dari sini?' usik hatinya.


Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, January 22, 2011

DETIK DEBAR: FRAGMEN 57


Credit foto: rusdi3713fotopagescom

Stesen STAR-LRT Titiwangsa

SEJAK jam 6.00 pagi lagi ramai para penumpang sudah membanjiri stesen ini. Mereka ke mari untuk bertolak ke Dataran Merdeka bagi menyaksikan sambutan perayaan Hari Merdeka. Di kalangan mereka adalah ibubapa yang membawa anak-anak kecil, para pelajar sekolah dan para remaja. Masing-masing menanti tren yang akan membawa mereka ke Stesen Masjid Jamek iaitu stesen LRT yang paling hampir dengan Dataran Merdeka.

Mereka berwajah ceria, berpakaian cantik lagi berwarna-warni. Pelbagai kaum dan agama kelihatan berpusu-pusu ke pletform. Mereka bangga menjadi rakyat Malaysia, negara tumpah darah yang tercinta. Terdapat juga pelbagai kaum pendatang seperti daripada India, Bangladesh, Vietnam, Kemboja dan tentu sekali pendatang daripada Indonesia yang ingin tumpang bergembira.

Di antara ratusan manusia yang membanjiri pletform itu, terdapat sekumpulan penumpang yang memakai baju yang mempunyai corak jalur gemilang. Baju yang mengikut potongan cekak musang itu kelihatan menarik bila dipakai beramai-ramai.

Ada di antara mereka yang mengenakan songkok, kupiah, topi berambu-rambu, tudung atau ikat kepala ~ juga bermotifkan jalur gemilang. Mereka juga kelihatan ceria sekali berbual sesama mereka dengan rancak dengan suara yang kuat. Sekali imbas seperti sekumpulan penyokong pasukan bolasepak ataupun sekumpulan peminat yang ingin menghadiri konsert.

Bunyi deru enjin tren yang menghampiri stesen membuatkan para penumpang berhimpit-himpit ke tepi pletform. Apabila tren berhenti, kelihatan di dalamnya kosong kerana stesen ini terletak di hujung laluan.

Sekumpulan mereka yang berpakaian motif jalur gemilang tadi segera menaiki gerabak yang paling hadapan. Membuatkan lain-lain penumpang pergi ke gerabak-gerabak lain kerana berasa terasing dengan kumpulan itu.

“Okey semua?” Seorang lelaki berambut panjang, bermisai tebal dan berikat kepalanya dengan bendera jalur gemilang bersuara lantang di bahagian hadapan gerabak. Daripada gayanya, jelas sekali dia adalah ketua bagi kumpulan itu.
“Okey!” tempik yang lain secara serentak.

“Mari kita mulakan… satu, dua, tiga!”
“Malaysia kita sudah berjaya… aman makmur bahagia… Malaysia abadi selamanya… berjaya dan berjaya. Berbagai kaum sudah berikrar… menuju cita-cita… satu bangsa satu bahasa… Malaysia berjaya.

Dari Perlis sampailah ke Sabah… kita sudah merdeka… negara makmur rakyat mewah… kita sudah berjaya. Dengan semboyan kita berikrar… gemuruh di angkasa… satu bangsa satu bahasa… Malaysia berjaya.”

Seiring dengan gerakan tren, lagu Malaysia Berjaya ciptaan composer Saiful Bahari pun berkumandang dinyanyikan oleh kumpulan itu. Suara mereka lantang, membingitkan, namun meriakan suasana. Para penumpang di gerabak yang lain begitu teruja dengan nyanyian itu hinggakan ramai para penumpang yang lain turut bernyanyi bersama.

Melihatkan itu, beberapa anggota kumpulan berpakaian jalur gemilang itu mula bergerak ke gerabak belakang sambil menggalakkan para penumpang yang lain turut bernyanyi bersama-sama. Suasana menjadi riuh-rendah, bersemangat dan begitu menggembirakan.

Kini, seluruh para penumpang bernyanyi beramai-ramai lagu itu berulang-ulang kali. Mana-mana penumpang yang tidak tahu senikata lagu turut sama ternganga-nganga ikut bernyanyi.
Siapakah mereka? Dari manakah kumpulan ini?

Mereka adalah ahli-ahli Sekretariat Anti-Keganasan Amerika ~ SAKA! Pada pagi ini, mereka akan berhimpun di Dataran Merdeka untuk menunjuk perasaan di depan John Martinez untuk memaksa Presiden Amerika itu meninggalkan majlis sambutan Hari Merdeka.

Mereka datang daripada seluruh pelosok Lembah Kelang hingga Negeri Sembilan. Kenderaan tren komuter dan LRT menjadi pengangkutan kerana kereta dan bas akan diperiksa oleh pihak polis yang menjalankan sekatan jalanraya menghala ke Kuala Lumpur agar ahli-ahli SAKA tidak dapat berdemonstrasi. Pakaian baju bertemakan jalur gemilang juga menyukarkan pihak polis mengenalpasti mereka daripada satu kumpulan kerana ramai juga warga kota yang lain berpakaian bertemakan jalur gemilang sempena Hari Merdeka.

Di stesen sebelah timur, Putraline Taman Melati dan stesen-stesen lain hingga ke stesen Kelana Jaya di barat Lembah Kelang, stesen komuter selatan dari Seremban dan Rawang di utara, ahli-ahli SAKA sudah berhimpun bersama-sama dengan para penumpang yang lain menuju ke Dataran Merdeka.

Sebelum jam 7.00 pagi, beribu-ribu anggota SAKA sudah menderu-deru tiba dan berhimpun di kompleks membelibelah SOGO di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Mereka menanti arahan Presiden SAKA, Bakar Buang untuk bergerak ke Jalan Raja.

Satu drama bakal terjadi di hadapan pentas utama di Dataran Merdeka pada Hari Merdeka pada pagi ini!
Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, January 15, 2011

FRAGMEN 56: DETIK DEBAR


Foto hiasan: http://www.designshare.com/
index.php/projects/school-art-design-media/images@4515


BISIK, Putrajaya

SEBAIK sahaja pintu pejabat terkuak dan tetamu Tuan Aziz keluar, Fariz meluru sebelum sempat bosnya menggamitnya masuk. Lantas Fariz menyampaikan maklumat penting yang diperolehi daripada Jennifer. Maklumat kebimbangan John Martinez mengenai keselamatannya.

Tuan Aziz tenang di sepanjang waktu. Dia memerhati dan mengangguk tanda memahami apa sahaja yang Fariz sampaikan. Tiada reaksi risau yang terpamer di wajahnya. Seolah-olah apa yang Fariz taklimatkan itu tidak mengujanya. Membuatkan rasa cemas yang dirasai Fariz ketika mula-mula memasuki bilik ini menjadi kendur dan sejuk.

Keadaan ini membuatkan Fariz pula yang mati akal. Tidak tahu apa lagi yang mesti dilakukannya apabila Tuan Aziz tidak melontarkan persoalan, bertelingkah dengan hujah mahupun merangka kebarangkalian yang bakal terjadi seandainya apa yang disampaikan Jennifer itu benar-benar terjadi.

“Kita mesti lakukan sesuatu, Tuan!” kata Fariz akhirnya setelah mereka membisu buat “Hmm…” jawab Tuan Aziz pendek.
“Apa perintah tuan? Bagaimana kita hendak mengenalpasti kalau-kalau ada rancangan membunuh Presiden Amerika itu di khalayak ramai? Kita pasang ejen? CCTV? Selidik kawasan perimeter satu kilometer Dataran Merdeka?” soal Fariz yang berupa desakan kepada bosnya. Di dalam hatinya, Fariz ingin terlibat sama di dalam operasi itu. Sudah lama benar dia tidak beraksi.

“Tuan… apa yang patut kita buat?” soal Fariz lagi pabila Tuan Aziz masih mendiamkan dirinya.
“Kita tak perlu buat apa-apa, Fariz.”
“Apa maksud Tuan?” tanya Fariz dengan perasaan kaget.
“Kes ini sudah jadi kes polis! BISIK sudah tidak terlibat!” jawab Tuan Aziz.
“Kenapa?” Mata Fariz mencerlang. Dia terkejut.
“Pihak polis telah ternampak Pak Arab yang bertiga itu mencuri Proton Saga setelah keluar daripada kenderaan pacuan empat roda mereka. Polis mengejar dan hanya menemui kereta Proton Saga itu tersadai di Bukit Bintang. Ketiga-tiga mereka sudah lari.

Bila mereka menyelidik kenderaan pacuan empat roda kepunyaan Pak Arab itu pula, mereka jumpa sebuah spycam. Mereka tanya kita bila mendapati, jenis spycam itu adalah model yang BISIK gunakan.

Saya mesti mengaku dengan pihak polis yang spycam itu kita yang punya. Walaupun berlainan organisasi, kita mesti bekerja dalam satu pasukan. Dalam mesyuarat khas dengan Ketua Polis Negara semalam, saya kenalah bentang fakta kes ini. Akhirnya, kami setuju kes ini diserahkan kepada Special Branch!”

“Cawangan Khas? Bukankah kes ini melibatkan perisikan di peringkat antarabangsa? Justeru itu, kes ini BISIK yang punya!” bantah Fariz.
“Kita tidak boleh berfikiran macam tu. Tidak ada istilah, ini kes engkau... dan ini kes aku. Yang penting, saling bantu membantu di antara satu bahagian dengan satu bahagian yang lain demi kepentingan negara,” jawab Tuan Aziz dengan perlahan tetapi tegas.

“Apa peranan BISIK?” soal Fariz lagi.
“BISIK hanya fokus kepada tujuan asal iaitu Pintas 3 buat Jennifer. Dan tugas itu diserahkan kepada awak.”

Fariz terdiam mendengar penerangan itu. Pintas 3 adalah kategori pengintipan yang berupa kawalan di mana subjek sasaran hanya dikepung dan dikawal hingga meninggalkan negara.
“Bagaimana jika apa-apa berlaku pada Hari Merdeka, esok?”
“Pihak Cawangan Khas sudah berkeliaran di KL, sekarang. Mereka lebih cekap dalam mengendalikan kes berskala besar seperti ini. Awak temankan sahaja Jennifer, okey?” kata Tuan Aziz seraya bangun.

Fariz tahu yang ia adalah isyarat agar Fariz keluar sahaja daripada bilik bosnya itu. Perlahan-lahan dia bangkit dan melangkah ke pintu.
“Fariz…”
Fariz menoleh memandang bosnya. Mungkin ada arahan baru yang ingin disampaikan kepadanya. Mana tahu kalau Tuan Aziz mengubah fikiran dan memintanya memantau keselamatan Presiden Amerika pula!

“Semalam, saya jumpa Tan Sri Daud dalam satu majlis makan malam…”
Wajah Tan Sri Daud, ayah Faryna segera menjelma di layar mindanya. Tokoh korporat itu amat baik dengannya. Setiap kali dia bertemu dengan Faryna, gadis itu pasti menyampaikan salam ayahnya kepada Fariz.

“Dia tanya saya tentang awak. Katanya, dah lama awak tidak berkunjung ke rumah dia.”
Fariz hanya tersenyum sedikit. Tidak mahu mengulas apa-apa.
“Bagaimana dengan Faryna?” tanya Tuan Aziz dengan nada mengusik.

“Okey, tuan,” jawab Fariz selamba. Dia tiada mood untuk melayani usikan bosnya itu. Hatinya masih tidak dapat menerima hakikat mengapa tugasan BISIK diserahkan kepada pihak Cawangan Khas pula.


Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Saturday, January 8, 2011

FRAGMEN 55: DETIK DEBAR


Foto: kyspeaks.com

Avenue K, Kuala Lumpur

SETELAH berkunjung ke Petrosains, Fariz mengajak Jennifer menjamu selera. Suasana sesak di KLCC menyukarkan mereka bergerak, apatah lagi mencari restoran yang mempunyai tempat duduk yang kosong. Akhirnya Fariz mengajak Jennifer ke Avenue K yang terletak bersebelahan KLCC. Di sana keadaannya tidaklah begitu sibuk.

Di sepanjang pertemuan kali ini, Jennifer kelihatan sugul. Tidak petah seperti biasa. Tidak rajin mempersoal kembali apa yang diperkatakan Fariz. Sikap ini menggusarkan Fariz sendiri. Dia mati akal memikirkan bagaimana untuk menarik kembali agar Jennifer berbual dengan rancak atau bertanya itu dan ini. Malah, dia lebih gemar mendiamkan diri.

Piza yang terhidang pun tidak dinikmati wanita itu. Jennifer hanya mengambil sepotong. Fariz cuba untuk makan dengan berselera agar suasana tidak dingin di antara mereka.
“I have something to tell you…” kata Jennifer perlahan.

Fariz terhenti mengunyah. Matanya tepat memandang Jennifer. Hatinya teruja sedikit kerana akhirnya ada tanda-tanda yang wanita itu akan melahirkan apa yang terbuku di sanubarinya.
“You want to talk about it?” soal Fariz dalam bentuk pujukan.

“Fariz tahu, kan? Semalam saya menemui John Martinez…”
Fariz mengangguk sebagai tanda supaya Jennifer terus bercerita.“John menceritakan kepada saya yang dia menerima tekanan hebat dari pihak Yahudi akibat pendiriannya menyokong sistem kewangan Islam. Sebenarnya, dia sedang menghitung hari…”
“Maksud awak?” tanya Fariz.
“Dia sudah bersedia untuk mati!”

Lalu Jennifer pun menceritakan apa yang diceritakan oleh John dalam pertemuan empat mata itu. Sungguh. Apa yang disampaikan Jennifer itu adalah maklumat yang amat penting.
Seandainya berlaku pembunuhan Presiden Amerika di bumi Malaysia, pada Hari Merdeka yang bukan sahaja disaksikan oleh rakyat Malaysia, malah seluruh dunia, ia adalah satu peristiwa sejarah. Sejarah hitam bagi Amerika yang turut membabitkan imej Malaysia. Malah, pihak keselamatan Amerika bukan sahaja akan menuduh Malaysia cuai tetapi menuding telunjuknya dengan mengatakan ia adalah angkara pengganas yang bersarang di negara ini.

Memori Fariz bersimpang siur menghantar maklumat ke layar mindanya. Dia teringat peristiwa penggunaan racun polonium untuk membunuh John Martinez melalui makanannya.
Dia tahu peranan Omar, Moussa dan Ali yang terlibat dengan komplot untuk membunuh Presiden Amerika itu. Sebentar tadi, Fariz menerima maklumat mengenai kehilangan ketiga-tiga lelaki itu. Hingga kini, BISIK masih menjejaki mereka. Di mana mereka?

“Kalau begitu, mengapa Presiden awak tidak mahu pulang sahaja?”
“Katanya, mati ada di mana-mana. Dia akan terus bertugas seolah-olah tiada apa-apa yang akan terjadi. Katanya, kalau sudah ajalnya di sini, maka dia tidak akan melarikan diri,” jawab Jennifer.
“Bagaimana dengan pihak keselamatan Presiden? Tentu mereka tahu akan perkara ini dan meningkatkan kawalan.”
“John ada memberitahu saya, hanya ada seorang sahaja pegawai yang dia percayai. Namanya Ed Arden, Ketua Keselamatan Presiden.”

“Tak ada orang lain?” tanya Fariz lagi.
“Orang kedua, mungkin tukang masaknya.”
“Kalau begitu, hanya ada tiga orang yang boleh dipercayainya.”
“Siapa yang seorang lagi?”

“Awak!”
Bersambung lagi, insya-ALLAH...

Saturday, January 1, 2011

FRAGMEN 54: DETIK DEBAR


Foto: puteramahsuri.blogspot.com

Bangunan Dewan Usahawan Malaysia,
Kuala Lumpur

BANGUNAN
ini adalah satu-satunya bangunan persatuan yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur. Dengan ketinggian 28 tingkat, bangunan ini tampak gah seperti lain-lain bangunan tinggi berhampiran seperti bangunan Bank Rakyat, Agrobank, Dewan Bandaraya, Dayabumi dan juga Bangunan Bukit Aman iaitu ibu pejabat PDRM. Daripada segi warna, ia dicat biru, berbeza dengan lain-lain bangunan yang dicat dengan warna putih.

Omar, Moussa dan Ali melangkah pantas mendaki tangga besar bangunan itu. Langkah mereka terpaksa diperlahankan apabila melewati seorang tukang cuci yang sedang mengelap lantai tangga besar di pintu masuk bangunan. Oleh kerana bangunan ini berhampiran dengan Dataran Merdeka, ia juga perlu kelihatan bersih untuk menyambut Hari Merdeka.

Hampir-hampir sahaja Ali tertendang baldi yang terletak di sisi pintu cermin. Wanita itu berhenti bekerja sejenak untuk memberi laluan kepada Omar, Moussa dan Ali yang melewati kawasan kerjanya.

Dia mengeluh dalam kerana kerjanya terganggu. Matanya menjeling melihat tapak-tapak kasut Omar, Ali dan Moussa yang sudah memudarkan bahagian yang telah dilapnya berkilat.
“Mana Pak Jono?” tanya Omar kepada wanita itu.

Wanita itu hanya menuding jarinya ke arah sebelah dalam bangunan. Dia tampak malas menjawab kerana sudah rasa jengkel dengan perangai ketiga-tiga Pak Arab yang tidak menghormati susah payahnya mengelap lantai.

“Pak Jono...” sapa Omar apabila terpandang seorang lelaki gempal yang berkupiah. Lelaki separuh usia itu menoleh lantas tersengih. Dia adalah mandor kepada para pekerja di bangunan itu.

“Ini dua orang kawan saya, Moussa dan Ali seperti yang saya janjikan. Mereka akan bekerja mulai hari ini. Pas kerja mereka sudah saya uruskan. Pak Jono tak usah bimbang,” kata Omar.
“Mari sini...” seru Pak Jono seraya menggamit mereka bertiga menghampiri. “Ikut aku.”

Mereka berempat memasuki lif. Pak Jono menekan butang yang paling atas. Sebentar sahaja mereka sudah tiba ke aras 28 iaitu tingkat tertinggi bangunan itu. Keempat-empat mereka keluar. Pak Jono mendahului mereka berjalan hingga ke hujung koridor di mana terdapat sebuah pintu.

Pintu dikuak. Menampakkan sebuah bilik kecil dengan sebuah tangga besi di ruang yang agak sempit dan suram. Pak Jono mendahului dengan memanjat tangga itu diikuti dengan yang lain. Di hujung tangga, terdapat sebuah pintu lagi.

Sebaik sahaja Pak Jono menguaknya, cahaya yang terang benderang menyelinap masuk. Angin kencang mula menyerbu. Mereka berempat memanjat keluar. Kini mereka berada di bumbung bangunan. Pakaian masing-masing berkibaran ditiup angin.

Buat seketika, mereka terpegun melihat panorama indah Kuala Lumpur. Sayup di bawah kelihatan Bangunan Sultan Abdul Samad dengan jam besarnya. Di hadapan bangunan itu kelihatan pentas utama yang sudah siap dengan berlatarkan jalur gemilang. Di seberang pentas kelihatan pula Padang Kelab Selangor yang menghijau. Kelihatan juga jalur gemilang yang besar berkibaran di sudut padang itu.

Di belakang Bangunan Sultan Abdul Samad pula kelihatan bangunan ibu pejabat Agrobank dan Dayabumi di sebelah kanan sementara di sebelah kiri pula bangunan Dewan Bandaraya.
Pak Jono melangkah ke hujung ruang. Ketiga-tiga mereka mengekori. Di situ terdapat sebuah kotak besar berisi jalur gemilang. Berhampiran dengan kotak itu terdapat bergulung-gulung tali belati daripada nylon.

“Hari ini kita kena ikat jalur gemilang,” ujar Pak Jono seraya membuka bidang bendera yang amat besar yang lebarnya seperti sebuah bilik darjah dan panjangnya melebihi 100 meter. “Pangkalnya kita tambat di sini… kemudian bahagian yang hujung kita tebarkan sahaja ke bawah.”

Mereka berempat melilit pangkal bendera ke sebatang besi panjang. Tali nylon itu pula ditambat di kerangka besi yang terdapat di bumbung bangunan. Sebentar sahaja kesemuanya sudah siap dan bahagian bendera yang lain sedia untuk dilepas dan dijulurkan ke bawah.

“Biar aku turun ke tingkat lima. Kawan-kawan kita yang lain sedang menanti di sana untuk mengikat bahagian hujung bendera. Tunggu panggilan saya sebelum kamu lepaskan bendera itu,” kata Pak Jono lalu bergegas ke bawah.

Omar, Moussa dan Ali hanya mengangguk. Apabila Omar mendapat panggilan, ketiga-tiga mereka mengheret jalur gemilang ke hujung bangunan. Setelah mengikat pemberat di hujung bendera, sedikit demi sedikit jalur gemilang dijulurkan ke bawah. Tiupan angin mula mengibarkan bendera itu, menarik perhatian semua warga kota yang melihat dari sekitar Dataran Merdeka.

Yang berjalan kaki terhenti melangkah sementara yang berkereta pula memperlahankan kenderaan masing-masing untuk memerhati fenomena indah itu. Masing-masing kelihatan teruja menatap satu fenomena yang indah. Akhirnya, jalur gemilang berkibar dan beralun menyelimuti sebahagian daripada bangunan itu.

“Lepas ini, kita berpisah!" ujar Omar yang lebih berbentuk perintah. "Kamu buatlah apa yang disuruh Pak Jono. Aku nak buat persiapan. Esok, kamu berdua datang ke tempat ini. Lakukan mengikut apa yang dirancang! Satu dunia teringin lihat otak John Martinez berkecai!”
Bersambung lagi, insya-ALLAH...

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP