Saturday, June 27, 2009

MENITI MAUT 2: DETIK DEBAR


FROM ME TO YOU:

TERIMA KASIH kepada anda sekalian yang telah memberi komen yang memberangsangkan terhadap MENITI MAUT. Anda yang 17, Hilman, Hannan, Serunai Faqir, Web Sutera, Atim, Linda Amri, Dropmental, Fairuspeng, Cheyaya, Kelubung, Ashraflatif, Norra, Hanys, Ina ALAFfc, Amylina, Torpedo, Cikli serta beberapa pembaca yang memberi komen-komen pendek seperti AKIM dan MIELONG mengenai MENITI MAUT benar-benar membuatkan saya memutuskan memilih genre aksi sebagai medan pengkaryaan saya. Terima kasih, saya amat menghargainya.

DI ATAS penghargaan itulah maka saya mengambil keputusan untuk memaparkan fragmen-fragmen MENITI MAUT 2: DETIK DEBAR mulai hari ini, 27 Jun 2009. Ini adalah kerana, sebilangan daripada anda telah bertanya-tanya bila MENITI MAUT akan disambung. Dan, ada yang memberi cadangan kandungan karya berikutnya. Saranan saudara Websutera yang inginkan saya memaparkan scene di Thailand, saya sambut sebagai cabaran meskipun tidak terfikir untuk membawa anda ke Thailand dalam sambungan ini. Setelah memerap idea untuk beberapa ketika, so here goes.

___________________________________________________________________
FRAGMEN 1
DETIK DEBAR




Jalanraya Narathiwat-Pattani, Selatan Thailand

LANGIT membiru sesaujana mata memandang. Tiada langsung tompokan awan meskipun di ufuk langit. Di saat ini, tiada lakaran seni indah awan gemawan ciptaan ALLAH Al-Musyawwir. Cahaya mentari bebas memanah dan memeritkan bumi. Mengeringkan rumput, mendebukan jalan dan mengontangkan parit. Di sebatang jalan bertar yang melintasi kawasan ini, udara panas bergerak meliuk lentuk memanjat ke udara daripada permukaannya. Sudah dua minggu hujan tak turun. Jika keadaan begini berterusan untuk seminggu lagi, kemarau pasti melanda daerah ini.

Suasana di sini teramat sunyi. Bagai tiada kehidupan yang mendiami. Yang kelihatan hanyalah seekor burung helang yang terbang perlahan melayangkan tubuhnya. Sesekali, bila kedudukannya semakin merendah, ia mengepak beberapa kali untuk meninggikan kembali penerbangannya. Sesekali, kepalanya terteleng-teleng. Memanahkan pandangannya ke bumi, ke celah-celah rumput dan parit yang kering kalau-kalau ada rezekinya untuk hari ini.

ALLAH Maha Menyayangi seluruh makhluk-NYA. Tiba-tiba mata sang helang ternampak bangkai seekor tikus di permukaan jalan raya. Makhluk itu melintasi jalan ini pada malam tadi. Takdir menentukan ia mati dilanggar sebuah kereta. ALLAH yang mengatur kematian sang tikus untuk rezeki sang helang pula pada tengahari ini.

Sang helang tidak mengepak lagi. Sebaliknya sayapnya dilebarkan. Membiarkan tarikan graviti merendahkan kedudukannya. Lalu ia terbang berkeliling menghampiri bangkai tikus itu sambil menoleh-noleh untuk memantau kawasan sekitar demi keselamatannya. Mana tau, jika tiada musuh, ada pula burung lain yang muncul untuk merampas rezeki daripadanya.

Baru sahaja ia berkira-kira untuk mendarat, puputan angin menyerbu dari arah hadapannya! Sang helang terkejut dan berwaspada! Ia tahu jika angin datang dari arah hadapan, itu petanda ada tolakan kuat suatu objek yang menyebabkan angin tersedut ke arah belakangnya! Suatu bunyi yang menderum menangkap pendengarannya. Dengan pantas sang helang mendongakkan kepalanya. Mengibarkan sayapnya beberapa kali. Dalam masa tiga saat, tubuhnya sudah meninggi ke udara melebihi paras pokok semarak api yang ada berhampiran…

“HMPH!” Fariz terdengus kerana konsentrasinya terusik.
Pemanduan lajunya sedikit terganggu bila terpandang seekor burung helang terbang merendah sebaik sahaja keretanya membelok menuruni selekoh ini. Tapak kaki kanannya sudah tergerak mahu menekan brek. Namun pengalamannya mengatakan sang burung akan sempat mengelak membuatkan dia terus memecut. Benar. Helang itu sempat mengeluskan dirinya sesaat sebelum kenderaannya merempuh.

Pandangan Fariz tertumpu ke cermin sisi memerhati kelibat burung yang terbang menjauh. Namun ia hanya seketika. Sesaat kemudian pemerhatiannya teralih kembali ke sebuah kenderaan pacuan empat roda yang muncul mendadak dari selekoh di belakangnya. Kelajuannya membuatkan ia menggelongsor di selekoh bagai aksi drift lagaknya.

Sejak kira-kira setengah kilometer sebelum ini, mata Fariz kerap memantau kenderaan di belakangnya. Sebelum itu, ia muncul secara tiba-tiba dari sebuah lorong di sebelah kiri jalan. Nyaris-nyaris kenderaan pacuan empat roda itu menyondol keretanya.

Meskipun hatinya memberontak marah, Fariz hanya mengelak dan memecut laju meninggalkan kenderaan itu. Dia tidak mahu bertentang mata dengan si pemandu untuk menzahirkan rasa marahnya. Tindakan itu akan mengundang pertengkaran dan membuang masa. Sedangkan pada saat ini, masa amat penting baginya. Penting kerana kini dia sedang menjalankan sebuah misi rahsia.

Fariz Zafar. Pemuda tegap berusia 23 tahun ini adalah seorang ejen perisik. Sudah hampir setahun bertugas dengan Biro Risikan Negara atau BISIK. Ketangkasannya mengendalikan misi dalam mengekang penaklukan penjajah ekonomi ke atas syarikat-syarikat di Malaysia tidak lama dahulu menerima pujian dari pihak atasan. Kini, dia ditugaskan untuk mengendalikan misi kedua.

Layar minda Fariz pantas memutar imej-imej yang memberi ingatan mengenai misinya ini. Bagai tayangan filem yang berulang-ulang di layar perak. Ya. Dia ke mari dengan satu tugasan. Tugasan yang memerlukan dia menyamar. Menyamar sebagai seorang penyeludup. Penyeludup manusia untuk seorang penjenayah. Penjenayah yang bernama Awut Chaovalit!

“Awut Chaovalit?” Fariz bertanya kepada bosnya sewaktu taklimat operasi pada malam kelmarin.
“Hmm,” jawab Tuan Aziz, Ketua Pengarah BISIK.
“Awut Chaovalit tak mati? Mustahil! Saya yang tembak dia, tuan. Peluru saya menembusi jantung, halkum dan dahinya!”

Tuan Aziz tersengih kecil mendengarkan jawapannya. Kemudian dia bertutur perlahan, “Yang awak tembak hari itu bukannya Awut Chaovalit."
"Kalau bukan dia... siapa?" soal Fariz kehairanan.
"Kembarnya!”

Fariz terpempan mendengarkan jawapan itu.

Kunjungi laman ini kembali pada Sabtu, 4.7.09 untuk fragmen 2 , insya-ALLAH...

The Making of...
Rujukan latar tempat : http://en.wikipedia.org/wiki/Narathiwat_Province
Muzik ketika menulis bab ini: http://www.youtube.com/watch?v=9f7K0BQscyQ






Wednesday, June 10, 2009

KOMEN-KOMEN

SUDAH 17 KOMEN MENITI MAUT

Saya menemui komen saudara Torpedo mengenai MENITI MAUT. Antara komennya, " MENITI MAUT memang cukup garam, sedap dan lancar untuk dihadam..." Terima kasih saudara Torpedo kerana meminatinya. Katanya lagi...

Terima kasih kepada Hannan kerana sukakan MENITI MAUT dengan mengatakan di dalam komen awalnya, "...best tau buku ni. smpai nk tdo pun kne pakse diri berhenti bce dan tdo sbb mengenangkan ad kelas awal pagi..."

Begitu juga dengan Hilman kerana meminati MENITI MAUT kerana, "The novel itself is a page turner. I was immersed in a world not quite different with my surrounding, and the realness of it might be one of the factors that I can't put down the novel."

Dua komen awal ini membuatkan saya bersyukur kerana cerita saya menghiburkan mereka.
Terima kasih, Hannan dan Hilman! Saya menghargai komen-komen anda.

Update: 10.6.09, Ia membuka minda dan diri kita dengan gambaran situasi dunia yang dihadapi sekarang, kata Cikli mengenai MENITI MAUT.

Update: 30.5.09, Memang penuh aksi! Dan mendebarkan! Begitulah komen Torpedo mengenai MENITI MAUT.

Update: 20.5.09, Amylina pula teruja dengan MENITI MAUT.

Update: 11.5.09, Ikuti komen daripada alaf21fc yang ditulis oleh Inanazri mengenai MENITI MAUT.

Update: 10.5.09,
Ini komen hanys pula. Katanya, MENITI MAUT terlalu biasa.

Update: 9.5.09, Aku membaca tanpa mahu rasa berhenti. Itulah kata Norra mengenai MENITI MAUT, pada entri 5 Mei lalu.

Update: 8.5.09, Ashraflatif pula tidak puashati dan ingin menulis novel yang lebih baik daripada MENITI MAUT.

Update: 7.5.09, Boleh dibanggakan. Itulah yang dikatakan oleh Kelubung di dalam blognya mengenai MENITI MAUT.

Update: 6.5.09, Cheyaya hilang arah membaca MENITI MAUT.

Update: 20.4.09, Susunan perjalanan MENITI MAUT cukup menarik dengan logik yang sesuai dan aksi-aksi yang mengujakan, ujar fairuspeng.

Update: 11.4.09, bagaimana jika MENITI MAUT ini dilayarperakkan? Demikian pertanyaan dropmental.

Update: 5.4.09, komen daripada myulatbuku yang memberi ulasan memberangsangkan terhadap MENITI MAUT.

Update:30.3.09, sebuah lagi komen bernas dari ATIM mengenai MENITI MAUT.

Update:22.3.09, komen WEBSUTERA yang terkesan dengan novel ini. Alhamdulilah.

Update 12.3.09, sebuah komen daripada Serunai Faqir juga mengenai MENITI MAUT.













Friday, February 27, 2009

MENITI MAUT


Memperkenalkan
MENITI MAUT
GOLD. GLORY. GOSPEL.
Slogan penjajahan barat ini masih menjadi anutan konglomerat imperialis dan neo-kolonialis pada hari ini. Untuk menjajah kembali ke dunia sebelah sini, mereka mula menghantar ejen-ejen untuk menyusup ke dalam syarikat-syarikat utama Malaysia.

Kedatangan ejen-ejen ini disedari BISIK, atau Biro Risikan Negara, sebuah badan yang bertanggungjawab melakukan penyiasatan keselamatan.BISIK segera memaklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri. Namun, PM tidak percaya melainkan jika memperoleh bukti kukuh.Untuk itu, BISIK perlu pantas bertindak untuk memerangkap Bruce McCallum, ejen musuh yang telah dikenal pasti.

Fariz Zafar, seorang petugas muda BISIK diarahkan untuk melaksanakan operasi yang mencabar ini. Bukan mudah untuk mengheret Bruce McCallum yang licik ini. Dan, Fariz Zafar bukan sahaja mempertaruh nyawanya, malah dia kehilangan mereka yang tersayang!

MENITI MAUT ~ sebuah novel aksi yang penuh intrigue.

SEPATAHKATA

SYUKUR ALHAMDULILAH. Syukur kepada Yang Maha Esa kerana mengilhamkan cerita ini. Akhirnya siap juga novel ketiga saya ini setelah dua tahun berdoa sambil memerah fikiran. MENITI MAUT amat bererti buat saya kerana ia menandakan saya akan terus memilih novel aksi sebagai genre tulisan Eyman Hykal.

Harapan saya agar MENITI MAUT yang setebal 432 halaman dan hanya berharga RM17.00 ini dibaca dan dinikmati anda sekalian. Mengikut respon beberapa kenalan yang telah membaca manuskrip novel ini, masing-masing mengatakan MENITI MAUT lebih baik daripada kedua-dua novel sebelum ini.Terima kasih saya kepada semua yang sentiasa memberi galakan kepada saya selama ini.

MENITI MAUT akan ada di pasaran mulai Mac 2009. Dapatkan di kedai-kedai yang menjual buku-buku ALAF 21.

Sunday, January 25, 2009

DUA BUKU YANG GANGGU SAYA!

DUA BUKU

YANG GANGGU SAYA!

ECONOMIC HITMAN adalah istilah yang diperkenalkan oleh John Perkins di dalam bukunya Confessions of an Economic Hitman. Tulisan keduanya iaitu The Secret of the American Empire melanjutkan pengakuannya terhadap korupsi dunia yang didalangi US. Kedua-dua buku ini mengganggu saya hingga menulis MENITI MAUT ~ fiksyen, tetapi boleh berlaku pula terhadap Malaysia!

John adalah bekas pakar ekonomi yang pernah bertugas di syarikat perunding MAIN. Setelah bertahun-tahun bertugas sebagai pemutar alam untuk menipu negara-negara mundur, kejadian September 11 membuatkan dirinya kesal dan berhenti dari kerjanya. Kerjanya sebagai economic hitman adalah untuk meyakinkan negara-negara mundur di serata dunia untuk menerima pinjaman bernilai berjuta dolar kononnya untuk membina prasarana seperti logi elektrik, empangan, lebuhraya di dalam negara tersebut.

Pemimpin-pemimpin negara-negara itu akan dirasuah. Pinjaman yang diluluskan oleh Bank Dunia, IMF mahupun bank-bank perdagangan untuk negara tersebut sebenarnya tidak sampai pun kepada negara itu. Sebaliknya ia terus masuk ke kantung syarikat-syarikat kejuruteraan besar untuk membina prasarana seperti Bechtel, Halliburton dan lain-lain. Ini menjebakkan negara-negara mundur itu ke kancah hutang dan muflis.

Apabila ekonomi negara tersebut merudum dan rakyat memberontak, pemimpin yang rasuah itu akan jatuh. Tetapi seandainya dia berpaling dan menentang kembali dengan memiliknegarakan atau menghalang syarikat-syarikat yang beroperasi untuk membaham hasil mahsul negara tersebut, pembunuh sebenar atau apa yang dikenali sebagai jackal akan muncul.

Pemimpin itu akan dibunuh melalui keracunan, diguling, kemalangan seperti helikopter terhempas mahupun ditembak. Siapakah di sebalik semua ini? Menurut John, kerajaan Amerika, bank-bank serta syarikat besar adalah dalangnya. Pendekatan yang digelar corporatocracy inilah yang merosakkan banyak negara-negara di dunia ketiga yang antaranya ialah Indonesia, Panama, Ecuador, Colombia, Guatemala dan Iran.

Justeru itu, economic hitman mahupun jackal, bukan fiksyen, malah perkara benar yang terjadi di dunia hari ini. Akhirnya terlahirlah MENITI MAUT ~ tafsiran kejahatan Amerika mengikut kaca mata saya.




Saturday, January 24, 2009

Mengapa saya menulis novel perisikan

MENGAPA SAYA MENULIS
NOVEL PERISIKAN


SAYA begitu teruja bila membaca buku, artikel mahupun berita mengenai agensi-agensi perisikan atau polis rahsia sesebuah negara. Episod dan insiden di sebalik tirai CIA-US, MI5-Britain, KGB-Russia, MOSSAD-Israel, SAVAK-Iran (di zaman Shah Iran), ISI (Pakistan) termasuk juga Cawangan Khas PDRM jauh lebih hebat dari fiksyen.

Ada rahsia di sebalik rahsia, operasi di sebalik operasi, pembunuhan di sebalik pembunuhan yang berlaku dan diperlakukan oleh mereka yang terlibat di dalam agensi-agensi perisikan ini. Justifikasi apa yang mereka laksanakan hanya bertunjangkan premis ‘demi mempertahankan negara’ masing-masing. Filem-filem perisikan ringan seperti triologi Bourne, James Bond (khususnya lakonan Daniel Craig), Enemy of the State ~ Will Smith, Shooter ~ Mark Wahlberg, The Kingdom ~ Jamie Foxx, malah Infernal Affairs ~ Tony Leung, boleh membuat saya menontonnya berkali-kali kerana saya tak jemu cerita-cerita sebegini.

Begitu juga filem-filem perisikan berat seperti Charlie Wilson’s War ~ Tom Hanks, The Good Shepard ~ Matt Damon, A Mighty Heart ~ Angelina Jolie, Body of Lies ~ Leonardo de Caprio dan Syriana ~ George Clooney; menjadi filem-filem koleksi saya. Bila saya bosan, saya akan tonton filem-filem yang membosankan ini!

Saya tak sedar, minat menonton saya beranjak paradigma dari filem-filem komedi, kemudian terhadap filem-filem superhero, kepada filem-filem psikologi dan akhirnya kepada filem-filem perisikan. Saya juga tak sedar yang saya sebenarnya berminat dan ada banyak idea untuk menulis cerita-cerita perisikan.

MENITI MAUT, meskipun cubaan pertama, namun ia adalah ramuan yang terperam selama bertahun-tahun. Saya mengambil masa yang lebih lama untuk menggarap cerita ini. Idea yang terlahir pun agak pekat, mengikut penilaian editor. Justeru itu, saya perlu cairkan sedikit supaya lebih lancar masuk ke perut minda. Kini, novel ketiga saya ini sudah lulus untuk diterbitkan setelah ada beberapa olahan.

Friday, January 23, 2009

SELAMAT DATANG

TERIMA KASIH kerana sudi singgah ke blog ini.
TERIMA KASIH kerana datang sebaik sahaja mengetahui alamat blog ini.
TERIMA KASIH kerana sampai ke mari setelah membaca novelnya.

Blog ini saya bina kerana ingin bercerita dan memberi penerangan mengenai novel ketiga saya ini. Tapi, saya tak tahu yang mana satu saya hendak ceritakan. Apakah saya hendak dahulukan perkara-perkara di sebalik MENITI MAUT atau proses penulisannya?

Dan yang ingin saya ketahui juga adalah apakah pandangan anda mengenai MENITI MAUT? Komen atau kritik pun okey, asalkan anda beri komen membina supaya saya boleh menulis cerita yang lebih baik lagi.

Cukup dahulu sebagai pengenalan. Saya akan sambung lagi.

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP