Tuesday, January 26, 2010

FRAGMEN 27: DETIK DEBAR


Foto: muslimdaily.net

FRAGMEN 27

DETIK DEBAR


Andrews Air Force Base, Maryland

PUSAT Kawalan Lapangan Terbang Andrews baharu sahaja memberi kebenaran kapal terbang kargo C141 Starlifter untuk berlepas menongkah udara dan membelah malam. Kini, yang masih tampak di mata hanyalah kelip-kelipan lampu keselamatan daripada kapalterbang itu di langit. Deru enjinnya mula semakin sayup-sayup kedengaran.

Kapal terbang yang membawa lima buah limosin termasuk Cadillac One ~ kenderaan rasmi Presiden Amerika diarahkan berlepas terlebih dahulu. Ia adalah prosedur standard pihak Secret Service demi keselesaan presiden mereka.

Seperti biasa, pihak keselamatan akan membekalkan pengangkutan kereta untuk presiden mereka walau di mana pun pemimpin itu menjejakkan kakinya di merata pelosok dunia.
Sebentar lagi, kapal terbang Air Force One, iaitu dari jenis Boeing 747 pula akan berlepas. Enjinnya pun sudah dihidupkan. Mereka hanya menanti helicopter yang dikenali sebagai Marine One membawa Presiden Amerika daripada White House untuk mendarat. Beliau dalam rangka kunjungannya ke Malaysia.

Di bilik menanti, Ed Arden, Ketua Secret Service yang bertanggungjawab menjaga presiden sedang duduk tersandar dengan kedua-dua kakinya tersilang di atas sofa di hadapannya. Sesekali dia meneguk Coke di dalam tin yang sentiasa dalam genggamannya.

Ed menekur melihat jam tangannya. Lalu menoleh ke dinding untuk membandingkan ketepatan waktu jam di dinding dengan jam tangannya. Kemudian dia mengeluh. Sesekali matanya teralih ke sebuah beg yang dikenali sebagai the football. Beg itu kini di bawah kelolaannya.

The football adalah sebuah beg kulit khas yang berwarna hitam. Seberat 18 kilogram, ia bukan sembarangan beg. Malah, ia sebuah beg yang boleh menghancurkan dunia kerana di dalamnya mengandungi kod-kod untuk meledakkan bom nuklear. Dalam waktu-waktu kecemasan, Presiden Amerika mempunyai kuasa mutlak di tangannya untuk melancarkan serangan mahupun pertahanan demi keselamatan Amerika.

Fonsel Ed bergetar.

“Ya… Dave. Aku dah bosan menanti presiden engkau tu. Dah 17 minit dia terlewat. Menyusahkan orang.”
“Macamlah engkau tak tahu dia, Ed,” jawab David Doron dari Malaysia.
“Apa cerita di Malaysia tu? Aku dengar ada demonstrasi…” tanya Ed Arden.
“Ya, keadaan semakin mendidih di sini. Demonstrasi di mana-mana. Semakin ramai rakyat Malaysia yang marah kerana insiden di Selat Melaka.”
“Hei, itu akan menjadi masalah aku nanti!”

“Ah, biarkan saja. Lagi ramai orang marahkan Amerika, ertinya mereka akan ingat pada John Martinez. Itu bagus untuk kita sebagai penjulang demokrasi,” jawab David.
“Kau orang media, sememangnya gila. Aku tak akan izinkan mana-mana pihak mengkritik Amerika dan Presiden kita. Nampaknya pihak di Malaysia perlukan bantuan orang seperti aku!” ujar Ed seraya mencebir bibirnya.
“You’re welcomed to Malaysia…”

Kedutaan Amerika, Jalan Ampang

HIRUK-PIKUK pendemonstrasi semakin membingit telinga bila lebih 1,000 orang mengambil bahagian. Terdapat beberapa orang yang terjerit-jerit berucap dengan menggunakan hailer secara serentak hingga menghingari suasana. Meskipun suara mereka saling bertindih, namun tujuan pekikan mereka hanyalah satu – mengutuk kemungkaran Amerika di Selat Melaka.

Jalan Ampang yang selalunya sibuk semakin sesak kerana banyak kenderaan terpaksa mengurangkan kelajuan apabila menghampiri kawasan ini. Ada juga pemandu yang sengaja memperlahankan kereta kerana ingin tahu apa yang terjadi.

Perhatian orang ramai menjadikan para pendemonstrasi semakin naik semangat. Jika tadi, mereka hanya mengibarkan sepanduk, kini ada yang sudah mula menahan kenderaan dan memaksa pemandunya membunyikan hon. Pihak FRU yang pada awalnya hanya mengawal keadaan terpaksa membina benteng manusia sebagai tindakan menghalang mereka yang berdemonstrasi mengganggu lalu lintas.

Oleh kerana jumlah yang ramai, mereka yang berdemonstrasi jadi semakin berani. Anggota polis yang berkawal mula menerima ejekan dan herdikan yang sengaja diluahkan untuk memprovok pihak keselamatan. Pihak polis terus memberi amaran demi amaran agar mereka bersurai. Namun, bila ada sepanduk mula dibakar, pihak polis terpaksa bertindak. Beberapa orang pendemonstrasi mula ditangkap. Akibatnya mereka yang lain mula bercempera lari menyelamatkan diri kecuali seorang pemuda yang masih garang berdiri di atas tembok sambil terjerit-jerit berucap dengan nada yang sungguh bersemangat.

Seorang pegawai polis yang nampak aksi pemuda itu terus bergegas untuk menangkapnya. Namun, pemuda itu tiba-tiba terjun daripada tembok sebaik sahaja pegawai polis itu menghampirinya.

Pegawai itu sempat merentap tangan pemuda itu lalu memaksa dia membaling hailernya ke arah pegawai polis itu. Ketika pegawai itu mengelak, pemuda itu dapat mengeluskan dirinya. Tetapi langkahnya mati kerana tidak menemui jalan keluar kerana dipenuhi rakan-rakannya. Dia tertoleh-toleh memandang keadaan di sekeliling.

Ketika pandangannya terpaling ke arah pintu masuk kecil berhampiran dengan pos kawalan kedutaan, dia nampak seseorang menggamitnya. Tanpa berfikir panjang, dia berlari melepasi pintu pagar itu. Lelaki yang menggamitnya itu terus merapatkan pintunya.
“Tahniah… saya nampak keberanian kamu.”

“Terima kasih,” jawab pemuda itu dengan termengah-mengah.
Dia memandang mat salih yang berkacamata hitam itu. Tiba-tiba baru dia sedari apa yang dilakukannya. Dia mengkritik Amerika, tetapi kini telah memasuki halaman kedutaan negara yang dibencinya! Lantas dia tertoleh-toleh ke arah luar pagar kedutaan.

“Jangan bimbang. Kami percayakan demokrasi. Kami tak marah kamu menyuarakan kebodohan kami. Kami hormati kamu.”
Kata-kata itu membuatkan pemuda itu memandang lelaki mat salih itu penuh kehairanan. Mat Salih itu lantas menghulurkan tangannya.

“Siapa nama kamu?”
“Err… nama saya Bakar… Bakar Buang.”
“Oh, itu nama yang sangat unik. Bukankah dalam bahasa Malaysia, Bakar bermaksud burn. Buang pula bermaksud throw. Bakar Buang boleh bermaksud burn and thrash?”
Pemuda itu tersengih-sengih malu bila mendengar namanya ditafsirkan begitu. Seketika kemudian, dia bertanya…

“What’s your name, sir?”
“My name? Hmm… I’m David. David Doron!”

Sunday, January 17, 2010

FRAGMEN 26: DETIK DEBAR


FOTO: vacationplanning.net

FRAGMEN 26

DETIK DEBAR

Klang Valley Hotel, Kuala Lumpur

FARIZ
baharu sahaja merapat pintu bilik 2022 tatkala Jennifer keluar dari bilik mandi. Sebentar tadi, dia menyelinap ke bilik Jennifer untuk melekatkan alat intipan microbug yang berfungsi untuk mengenalpasti lokasi seseorang. Beberapa alat curi dengar sebesar kepala jarum peniti juga dilekatkan di pelbagai tempat bilik itu termasuk di barangan peribadi Jennifer.

Dengan perlahan-lahan Fariz bergerak ke bilik sebelah di mana Normala berada. Wanita itu sedang menatap skrin monitor yang memaparkan imej di bilik Jennifer. Fariz langsung menghampirkan pandangannya ke skrin monitor. Menumpukan perhatian melihat pergerakan Jennifer di dalam biliknya.

“Wei! Tengok ke tempat lain, cepat!” sergah Normala.
Darah panas terasa naik ke mukanya. Fariz segera menoleh ke arah jendela. Malu bila terpandang gadis mat salih itu berkemban!

JENNIFER hanya mengenakan pakaian kasual. Berblaus dan berjaket serta berjean. Meskipun di malam hari, cuaca panas tropika membuatkan dia lebih selesa berpakaian tipis. Sambil menyisir rambutnya, Jennifer menghantar berita dan gambar-gambar liputannya di Kelang sebentar tadi melalui e-mel. Dalam beberapa saat sahaja dia menerima panggilan daripada ayahnya.

“Jennifer! Tak payahlah kirim berita insiden di Selat Melaka tu,” kata ayahnya sebaik sahaja Jennifer mengangkat telefon. “Papa hendak kau buat liputan bisnes syarikat-syarikat Amerika di Malaysia. Bukan yang lain daripada itu.”

Jennifer mendengus tidak puashati. Baginya, berita yang dikirimkan itu lebih mustahak. Mahu sahaja dia menjawab dengan kasar bagi melepaskan geram terhadap ayahnya kerana cuba mengekang kebebasannya sebagai wartawan. Namun, dipendam sahaja perasaan itu.

“Jennifer… are you still there?”
“Papa… saya tahulah apa yang saya buat. Berita itu saya dapat secara kebetulan. Liputan perniagaan akan saya mulakan esok, okey?”
“Ha, macam itulah anak papa. Be a good girl!”
“Hmm… saya ada temujanji sebentar lagi…” jawab Jennnifer seraya mematikan talian. Tidak peduli sama ada tindakannya itu akan mengecilkan hati bapanya.

Sambil berlangir, Jennifer bernyanyi-nyanyi kecil. Menyenangkan hatinya yang jengkel. Namun, satu alunan suara di TV menghentikan nyanyiannya. Lantas dia mengalihkan pandangannya ke arah peti kaca itu.

Perlahan-lahan Jennifer melangkah lalu duduk di birai katil. Terpegun dengan lagu yang dialunkan dari kaca TV. Azan di TV 1! Sudah lama dia tidak mendengar suara azan sejak sekembalinya ke Amerika. Pada senja ini, dia mendengar lagi alunan suara yang memanggil kaum muslimin menunaikan solat.

Fikirannya segera terimbau suasana di Palestin. Bunyi jet pejuang Israel tiba-tiba menderu lalu membingitkan telinganya. Bunyi desiran peluru roket, petikan senjata api, bom dan suara hiruk-pikuk mangsa-mangsa peperangan yang meratap dan menangis mula terngiang-ngiang di telinganya. Jennifer memejam mata dan menutup telinganya. Tidak tertahan dengan kebisingan peperangan. Dahinya berkerut melihat tragedi yang diulangtayang di mindanya.

Namun, perlahan-lahan suara azan menyelit di pendengarannya. Suara itu kian nyaring dan mendayu-dayu. Menenggelamkan bunyi hiruk-pikuk kemelut di Palestin. Perlahan-lahan hatinya menjadi tenang. Jennifer menghela nafasnya dalam-dalam. Perasaan sunyi dan nyaman terasa menyelinap di sanubarinya. Jennifer membuka matanya. Lalu menatap montaj yang tertayang di kaca TV sehingga selesai.

Tanpa dia sedari, air matanya merembes mengalir di pipi. Perlahan-lahan Jennifer mengelap kelopak matanya dengan jejarinya. Lalu menekur melihat kesan air mata di jari telunjuknya. ‘What the…’ kata hatinya. Dia tersenyum. Hairan mengapa dia menangis.

The Rendezvous, Hotel Empire, Bukit Bintang, Kuala Lumpur

JENNIFER baharu sahaja meletakkan punggungnya bila tersedar seseorang menghampiri mejanya. Dia mendongak. Memandang lelaki yang tersenyum kepadanya. Tampak sangat yang lelaki itu hanya menghadiahkannya senyuman plastik. Jennifer segera menoleh ke arah lain.

“Well, I never expect to meet you here in Kuala Lumpur…” ujar Jennifer dengan selamba. Dia juga mempamerkan rasa jengkel di hatinya dengan suara yang mendatar.
“Surprised?” jawab lelaki itu.
“Maafkan saya, Mr. David Doron… sebenarnya saya ada temujanji dengan seseorang daripada kedutaan.”
“Sayalah orangnya,” kata Setiausaha Akhbar Presiden Amerika itu.
“Janganlah bergurau. Sekarang bukan masanya,” ujar Jennifer spontan.
“Betul. Saya yang pinta pihak kedutaan mengaturkan pertemuan ini.”

Lelaki itu menarik kerusi dan terus duduk tanpa dipelawa. Jennifer mengeluh. Mempamerkan wajah meluatnya. Tidak suka bertemu dengan lelaki ini. Pertengkarannya dengan David Doron di Pusat Media, White House masih jelas terbayang di matanya.

“Listen here, young lady… awak jangan buat kecoh di Malaysia. Saya tau, awak membuat liputan mengenai kematian rakyat Malaysia dalam insiden di Selat Melaka.”
“Itu kerja saya. Macamlah awak tak tau!”
“Jangan bermain api, Jennifer. Awak tak tau kesan pemberitaan awak terhadap imej Amerika!”
“Hah! Imej, konon! Itu sahaja yang dipentingkan oleh orang macam awak!”

“Please, Jennifer…”
David mengendurkan suaranya. Seakan-akan berbisik dan merayu. Jennifer kehairanan. Berkerut dahinya melihat David yang menatapnya dengan penuh harap. “Awak tau, tak… esok Presiden kita akan ke mari,” bisik David. “Biarlah John Martinez menyelesaikan kes itu dengan Perdana Menteri Malaysia. Ia adalah soal diplomatik. Lagipun, Amerika adalah pelabur yang terbesar di Malaysia. Tolonglah, Jennifer…”

Jennifer menekur. Memandang alas meja berwarna merah jambu. Dia mendongak dan memandang ke sekeliling. Melihat para pelanggan lain yang sedang menjamu selera. Kemudian dia mengalihkan pandangannya ke arah David Doron. Perlahan-lahan dia mengorak senyuman.

“Okey, David. Saya akan fokus dengan tugasan saya sebagai wartawan bisnes. Saya berjanji tidak akan mengganggu ketenteraman Amerika yang saya sayangi!”
“Oh, terima kasih, Jennifer,” jawab David dengan senyuman. Tangannya segera dihulur untuk berjabat dengan gadis itu.

Jennifer mengekori langkah David meninggalkan mejanya dan hilang ditelan kesibukan manusia di kafe ini. Setelah pasti lelaki itu sudah menjauh, Jennifer lantas berdiri. Setelah menghempas napkin ke atas meja, dia melangkah pergi.

Sunday, January 10, 2010

FRAGMEN 25: DETIK DEBAR


Foto: padang-today.com
FRAGMEN 25
DETIK DEBAR


Saperah Cafe, Klang Valley Hotel, Kuala Lumpur

PALI yang baik hati sempat menghantar Fariz ke stesen komuter Shah Alam bagi memudahkan lelaki itu sampai ke Kuala Lumpur. Dia tampak begitu bersalah, seolah-olah telah mengecewakan Fariz.

“Saya betul-betul mintak maaf kat abang. Sungguh... berita yang saya dapat di Kelang ni penting. Kematian mangsa rakyat Malaysia tu mencetus kemarahan NGO-NGO kat negara kita terhadap Amerika. Bos saya dok tunggu laporan daripada saya. Kalaulah saya tak ada hal, mesti saya hantar abang ke KL tu,” ujar Pali.

Tangan Fariz digenggam dan digoncangnya berkali-kali sebagai tanda memohon maaf. Fariz hanya tersenyum. Peribadi Pali amat menyenangkan hatinya.
‘Masih ada lagi insan yang baik di dunia ini. Aku akan bantu kau kalau memerlukan, Pali...’ kata hati Fariz ketika dia melangkah memasuki foyer hotel bertaraf lima bintang ini. Bertukar senyuman dengan Normala yang sedang menunggunya.

“DIA duduk di bilik 2023. Kita boleh tempah bilik 2021 kat sebelahnya. Pejabat dah sediakan bilik tu untuk kita,” kata Normala sebaik sahaja Fariz melabuhkan punggungnya.
“Untuk kita? Wah! Bagus!” mencerlang mata Fariz mendengarnya. “Kita boleh tempah bilik sama-sama. Menyamar sebagai suami isteri... macam dalam cerita James Bond, tu!”
“Ah, sudah! James Bond ke, Mat Bond ke... kalau engkau nak menggatal, aku belasah engkau nanti!” jawab Normala sambil mengepal penumbuk dan mengetap bibirnya.

Fariz terkekeh-kekeh tertawa. Dia suka sangat menyakat wanita ibu tunggal ini. Baginya, wanita cantik ini boleh dibawa bergurau. Kemesraan mereka dalam bertugas membuatkan Fariz begitu rapat dengan wanita ini. Perhubungan platonic mereka pun sudah diketahui di kalangan anggota BISIK.

“Pukul 7.00 malam nanti, Jennifer akan menemui seseorang dari kedutaan Amerika Syarikat...”
“Pukul 7.00? Kat mana?” soal Fariz.
“Kat restoran Hotel Empire,” ujar Normala seraya menjuihkan bibirnya ke arah Hotel Empire yang sebenarnya terletak bersebelahan dengan hotel ini.
“Pukul 7.00 tu dah nak masuk Maghrib. Maghrib, pukul berapa, kak?”
“Engkau sembahyanglah, Riz. Biar akak bayangi dia dulu.”
“Oh, okey. Lepas saya sembahyang, saya akan ganti tempat akak.”
“Ah, tak payah. Akak cuti!”

Pulau Sembilan, Pangkor, Selat Melaka

PULAU Sembilan sebenarnya mengandungi sembilan pulau-pulau kecil iaitu, Pulau Agas, Pulau Payong, Pulau Nipis, Pulau Rumbia, Pulau Lalang, Pulau Saga, Pulau Buluh, Batu Puteh dan Batu Hitam. Pulau-pulau yang tidak berpenghuni ini amat popular sebagai tempat perkhemahan dan kawasan menyelam. Ia juga popular di kalangan para pemancing terutamanya sebagai tempat berteduh jikalau rebut melanda Selat Melaka.

Di pantai Pulau Lalang yang terkenal dengan pantainya yang cantik, kelihatan sesusuk tubuh terdampar di pantai. Pukulan ombak yang melanda tubuhnya membuatkan si empunya diri tersedar. Dia menggelupur dan menelentang menghadap langit senja. Mulutnya ternganga merebut udara. Dadanya mula berombak kencang. Dia kelihatan letih. Teramat letih.

TIDAK lama kemudian kelihatan seorang lelaki terlari-lari ke arah tubuh yang terdampar itu. Dia terus duduk bertinggung dan menekan-nekan perut lelaki yang lemas itu. Apabila lelaki itu mula memuntahkan air, tubuhnya segera ditelungkupkan.

Menyebabkan lebih banyak air yang keluar daripada mulutnya. Lelaki itu terbatuk-batuk lalu tersedar.

“Alhamdulilah, kau tidak lemas,” ujar lelaki yang memulihkannya. “Cuma terbanyak minum air laut dan keletihan. Ambil ni,” ujarnya lagi lalu mencampakkan sebotol air mineral yang diambil daripada poketnya.
Lelaki yang lemas itu segera membuka botol minuman lalu menggogoknya.

“Terlupa menyebut nama ALLAH?” tegur lelaki si penyelamat kepadanya kerana tidak mengucapkan ‘bismillah.’
“Dah baca. Dalam hati…” jawab lelaki yang lemas itu lalu menjirus mukanya dengan baki air yang tidak habis diminum. “Nasib baik aku sempat terjun ke laut. Jika tidak, nahas aku.”

Lelaki si penyelamat itu terus bangun seraya menarik tubuh si mangsa agar sama-sama berdiri.
“Amerika ada di mana-mana, wahai sahabatku. Dia akan buru orang macam kita. Ya… terlupa aku hendak perkenalkan… namaku Ali. Assalamualaikum…” katanya lalu memeluk erat tubuh si mangsa.
“Alaykumsalam…”
Kedua-duanya saling bertatapan. Lalu sama-sama tersenyum. Menzahirkan rasa setiakawan. Padahal, inilah kali pertama mereka bertemu.

“Selamat datang ke Malaysia, wahai Moussa Arafat…” kata Ali.


Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Sunday, January 3, 2010

FRAGMEN 24: DETIK DEBAR


Foto: my-rummy
FRAGMEN 24
DETIK DEBAR


Bandar Kelang, Selangor

TEKSI yang membawa Jennifer Miles sudah menjauh. Namun, Pali juga cekap memandu Kancilnya. Kereta yang kecil itu mudah sahaja menyelit di tengah-tengah lorong dan memotong kenderaan lain. Sekejap sahaja, kereta ini dapat mendekati teksi yang membawa Jennifer di kawasan yang trafiknya sesak.

“Abang Amrizal ni, kerja kat mana?” tanya Pali dengan senyuman yang tak lekang di bibirnya.
Fariz jadi serba-salah ditanya soalan itu. Sepulangnya ke Malaysia, dia belum lagi menerima apa-apa tugas penyamaran. Oleh itu, Fariz belum terfikir lagi untuk membayangkan identiti baru kecuali nama Amrizal yang terlintas di fikirannya sebentar tadi.

“Saya agak-agaklah... abang ni polis, kan? Mungkin dari Cawangan Khas, kot?” teka Pali lalu tergelak-gelak.
Sambil tertawa, dia terjeling ke arah Fariz. Bimbang juga kalau-kalau gurauannya itu membuatkan Fariz berasa hati. Fariz tahu. Tetapi dia buat-buat selamba sambil memikir-mikir apakah jawapan yang perlu dia sampaikan kepada wartawan muda ini.

“Kalau abang tak mahu bagi tahu, tak mengapalah. Saya tak kisah. Tapi, kalau abang bagi tahu saya apa kerja abang, tak mungkin saya akan hebahkan. Nak buat apa? Saya ni wartawan. Kami ada etika.”
Dalam berceloteh, sempat juga Pali melakarkan peribadinya. Dalam pada dia mendesak, Pali menzahirkan sikap ketidakapaannya. Sempat juga dia memperkatakan mengenai prinsipnya sebagai seorang wartawan. Fariz membaca dan menelah lelaki yang berada di sebelahnya ini. Akhirnya, Fariz tersenyum.

“Sebenarnya abang ni bukannya anggota polis. Jauh sekali menganggotai Cawangan Khas. Abang cuma informer aje.”
“Oh, lagu tu. Fahamlah saya.”
Kini kenderaan mereka menyeberangi Jambatan Kota. Sebentar lagi, mereka akan sampai di kawasan Bandar Baru Klang yang begitu sesak kerana binaan jejambatnya yang masih tidak siap-siap itu.

“Sebenarnya, saya nak bagi tau... tapi saya nak minta maaf dulu...”
Kata-kata Pali itu membuatkan Fariz tertanya-tanya. Apa pula kisah yang akan disampaikan Pali kali ini.
“Cakaplah, Pali,” ujar Fariz dengan tenang.
“Saya minta maaf sebab saya tak boleh ikut teksi mat salih tu walau ke mana ia pergi!”

Ketenangan Fariz melayang. Pandangan mereka bertembung. Masing-masing terkelip-kelip. Fariz terkelip-kelip kerana akalnya sedang berlari memikirkan bagaimana dia hendak mengekori Jennifer Miles tanpa bantuan Pali sekurang-kurang buat ketika ini. Pali pula terkelip-kelip kerana khuatir dimarahi. Sambil meneguk liur, Pali menyambung, “Sebabnya, saya kena balik ke pejabat untuk siapkan berita. Sekarang dah lebih pukul 5.00 petang. Berita saya ni kena sampai pada penyunting. Kalau saya lewat, nanti editor akan bambu saya. Penyunting pun akan tumpang semangkuk meleteri saya.”

Fariz tahu dia bakal kehilangan Jennifer. Ini memang tidak disukainya. Tugasannya gagal di hari pertama! Dia teringat akan kata-kata pujian Tuan Aziz sebaik sahaja tamat latihan di Thailand semalam. Kononnya, dia antara ejen yang tercekap pernah menganggotai BISIK. Kehilangan subjek akan menjejaskan reputasinya. Apa yang perlu dia lakukan?

‘Kalau tak dapat cara baik... terpaksalah aku buat cara kasar!’ kata hatinya.
Fariz menjeling ke arah Pali. Kasihan pula kalau dia berubah watak menjadi bengis dan mengugut Pali agar membawanya terus mengekori Jennifer. Wartawan ini menampakkan peribadi yang mulia. Sanggup menolong orang. Tidak sampai hati pula dia hendak mengapa-apakan Pali. Namun, Fariz tiada pilihan. Lalu dia mengeluh dalam-dalam. Mencari rasa amarah di dalam dirinya agar dapat dizahirkan sebagai watak yang digeruni. Tiba-tiba fonselnya bergetar.

“Fariz... kau kat mana?” kedengaran suara Normala di hujung talian.
“Saya sedang...”
“Tak payahlah kejar teksi Jennifer tu. Datang aje kat Klang Valley Hotel ni...”
“Ada apa kat hotel tu?” tanya Fariz ingin tahu.
“Jennifer menginap kat sinilah,” jawab Normala selamba.
“Mana akak tau?”

“Drebar teksi tu orang kita!”
Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH.

Saturday, December 26, 2009

FRAGMEN 23: DETIK DEBAR


nurnana.wordpress

FRAGMEN 23
DETIK DEBAR




Lebuhraya Persekutuan, Kuala Lumpur

SEBAIK sahaja teksinya memasuki Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kelang, Fariz mula hilang sabar. Sudah 30 minit dia meminta maklumat tambahan mengenai Jennifer Miles daripada Suren, Pegawai Penyelidik yang berada di ibupejabat BISIK. Namun, Suren masih belum menghubunginya meskipun melalui SMS.

Fariz memandang limosin yang membawa Jennifer Miles yang kini berada kira-kira 15 meter di hadapannya. Sebentar tadi, sebaik sahaja mendapat akhbar, Jennifer kelihatan tercari-cari sesuatu berita di dalamnya. Tidak lama kemudian, dia kelihatan menelefon seseorang sebelum bergegas menaiki sebuah teksi. Sepantas Jennifer, Fariz turut mendapatkan sebuah teksi untuk mengekorinya.

BISIK telah mengarahkan Fariz melakukan intipan ke atas Jennifer Miles di tahap Pintas 3. Pintas 3 adalah kod di mana subjek sasaran hanya dikepung tetapi pergerakkannya dilorongkan agar dapat melepaskan diri. Ia dilakukan untuk mengelak kesan yang mengakibatkan masalah lebih besar kepada negara. Ia berbeza dengan kod Pintas 2 di mana subjek diekori dan kemudian ditangkap atau dilarikan. Pintas 1 pula bermakna subjek dihapuskan serta merta. Fariz terasa fonselnya bergetar.

“Kenapa lambat sangat, Suren?” soal Fariz sebaik sahaja fonselnya dilekap ke telinga.
“Sibuklah, Fariz. Aku sedang berurusan dengan kedutaan Amerika. Kau tak tau ke, Presiden US nak datang ke Malaysia?,” jawab Suren, Pegawai Penyelidik yang kini berada di ibupejabat BISIK.

“Aku pernah dengar dari Tuan Aziz. Tapi, apa kena mengena Jennifer Miles dengan lawatan Presiden tu?”
“Engkau fikirlah sendiri, Riz. Kau ini pun... aku benar-benar sibuk, Riz. Yang aku boleh beritahu engkau ialah... Jennifer Miles adalah wartawan terkenal yang pernah menggemparkan dunia dengan laporannya dari bumi Palestin.”
“Apa yang dia dah buat?” tanya Fariz.
“Engkau carilah sendiri dalam internet. Yang penting ialah... BISIK mahu kau bayangi dia sehingga ada arahan seterusnya.”
“Tapi, kenapa aku asyik kena jaga orang perempuan? Dulu, aku disuruh menjaga Faryna, anak Tan Sri, tu,”

“Eh, patutnya engkau seronok. Lagipun, engkau tu hensem, Jennifer pun lawa. Padanlah dengan engkau,” jawab Suren sambil tergelak-gelak.
“Iyalah tu. Eh, Suren! Aku nampak kereta Jennifer dah membelok ke Taman Sri Andalas. Apa cerita ni, Suren?”
“Wei, engkau tu ejen perisik. Aku ni penyelidik. Ha, engkau carilah sendiri. Aku dah dapat banyak mesej dari ejen-ejen lain ni. Okey, bye!”

Fariz mematikan fonsel dengan rasa jengkel. Teksi yang dinaiki Jennifer kelihatan berhenti berhampiran sebuah simpang. Kelihatan wanita itu tergesa-gesa keluar dan melangkah pantas. Fariz terus mengarahkan pemandunya berhenti. Setelah membayar tambangnya, Fariz segera keluar mengekori Jennifer. Kelihatan ramai orang di sebuah rumah berbandung di hujung jalan. Fariz mematikan langkah bila terpandang suasana di rumah itu.

‘Ada kematian? Siapa yang mati? Kenapa Jennifer ke mari?’ kata Fariz di dalam hati seraya memandang Jennifer memasuki pekarangan rumah itu.
“Assalamualaikum... boleh tumpang tanya?” sapa Fariz kepada seorang pemuda yang berdiri berhampiran dengannya.
“Saya...” pemuda itu menoleh.

“Brother ni, wartawan Sinar Harian, ya?” soal Fariz sebaik sahaja terpandang baju-T berwarna merah yang tertera logo akhbar itu.
“Ya, saya bertugas buat berita follow-up. Boleh saya bantu, bang?” Pemuda itu tersenyum manis seraya menghulurkan tangannya. “Nama saya Fazli... panggil saja Pali.”
“Amrizal...” Fariz memperkenalkan dirinya dengan menggunakan nama samaran yang terlintas di hatinya. “Siapa yang meninggal, Pali?”

“Jenazahnya adalah kelasi kapal dagang Iran. Kapal itu pulak ditembak kapal perang Amerika kerana disyaki kapal lanun di Selat Melaka, dua hari lepas. Dah jadi isu diplomatik Iran-Amerika. Eh, abang tak baca paper ke?” Sambil tersenyum, Pali menempelak.
“Err... tak. Tak sempat sebab baru balik dari oversea. Dalam Sinar Harian, ada ke ceritanya?” kata Fariz lalu membuka akhbar Sinar Harian yang dibawanya.

“Ada. Ceritanya, saya yang tulis,” jawab wartawan itu sambil tersenyum bangga melihat Fariz membuka akhbar tempatnya bertugas. Dia segera menghampiri dan membantu Fariz membuka halamannya.

Fariz segera membaca berita yang diunjukkan Pali. Tanpa disedarinya, Jennifer sudah pun keluar daripada rumah itu. Sambil berjalan, Jennifer segera menyimpan kamera kecil ke dalam tas tangannya. Bunyi pintu kereta ditutup menyedarkan Fariz.

‘Alamak...’ kata Fariz sebaik sahaja terpandang teksi yang dinaiki Jennifer berlalu. Baharu dia tersedar yang Jennifer meminta pemandunya menunggu, sedangkan dia telah pun membayar tambang teksinya. Bagaimana dia mahu mengekori Jennifer?
“Awat kelam kabut, bang. Nak pi mana?” tegur Pali bila nampak Fariz tidak tentu arah.
“Err, nak ke KL.”

“Abang ni pelik sungguh. Saya perhati tadi abang turun dari teksi. Saya ingatkan abang saudara si mati. Bila abang nampaknya tak tau apa yang berlaku, mungkin abang ke taman ini untuk ke rumah saudara.
Sekarang ni, abang nak balik pulak bila nampak mat salih tu naik teksi. Saya mula tertanya, apa kaitan abang dengan mat salih tu?”

Fariz berasa bengang kerana ditanya dengan pelbagai soalan. Mahu sahaja dia menengking wartawan yang baru dikenalinya itu. Namun, dia tidak mati akal.
“Ha, kenapa Pali tak tanya siapakah mat salih perempuan tu? Mungkinkah dia wakil dari majikannya? Mungkinkah dia daripada kedutaan Amerika? Atau yang paling menarik, mungkinkah dia kekasih gelap si mati?”

Fariz merenung Pali. Menanti reaksi. Seketika sahaja mata Pali mencerlang. Nampaknya wartawan itu sudah menghidu berita susulan menarik yang boleh ditulisnya. Fariz tersenyum di dalam hati kerana berjaya mengalih perhatian wartawan muda itu.
“Eh, menarik jugak story tu bang. Err... macam mana saya nak contact mat salih tu?”

“Abang tau caranya. Jom! Kita naik kereta kau.”


Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Friday, December 18, 2009

FRAGMEN 22: DETIK DEBAR


FRAGMEN 22:
DETIK DEBAR


KLIA, Sepang, Selangor


FARIZ ZAFAR berasa lega setelah melewati pintu pemeriksaan. Hatinya gembira sebaik sahaja menjejakkan kakinya ke tanah tumpah darahnya. Tiada kata yang boleh dilafazkan betapa bahagianya apabila berada di negara sendiri. Keletihannya setelah menamatkan latihan di Narathiwat, Thailand terus menghilang apabila menara KLIA dapat dilihat dari angkasa sebentar tadi.

Dia bercadang untuk ke pejabat BISIK terlebih dahulu untuk membuat laporan sebelum pulang ke rumah. Pada petang esok, dia bercadang hendak pulang ke kampungnya pula di Terengganu. Nenek yang dirindui terasa lama tidak ditemui meskipun baru dua minggu dia meninggalkan tanah air untuk mengikuti latihan.

“Saya nak ke kedai surat khabar sekejap, Mala. Tunggu saya, ya? Kita naik teksi sama-sama,” ujar Fariz kepada rakan setugasnya.

Normala yang berjalan mendahuluinya hanya mengangguk tanpa menoleh. Fariz memandang wanita itu menolak troli dan begnya menuju ke kaunter teksi sebelum dia berpaling dan terus menapak ke kedai akhbar untuk mendapatkan akhbar Sinar Harian.

Fonselnya bergetar. Fariz menyeluk saku dan mengeluarkannya. Wajah seorang wanita berkulit putih terpapar di skrin. Dahi Fariz terkerut. Fikirannya deras menyimpangsiurkan soalan-soalan mengenai siapakah wanita ini. Fariz mencuit-cuit skrin fonselnya untuk membaca teks yang disertakan.

‘Jennifer Miles, wartawan WorldLiveLine, kini di KLIA. Bayangi dia.’

Fonsel segera dimatikan. Kacamata hitamnya dibuka dan disisip ke dalam poketnya. Fariz mencari kerusi dan terus duduk memangku kepalanya. Kepalanya diramas-ramas. Kemudian dia mengeluh. Penat belum hilang, satu tugas baru sudah menyusul. Belum pun sempat dia berehat, kerja baru sudah sampai. Ah, penatnya.

Beberapa ketika dia tertunduk dengan matanya yang terpejam. Fariz cuba merasionalkan fikirannya. Ya. Betapa penat pun tubuh, dia mesti patuh kepada arahan. Tugas tetap tugas. Ia adalah tanggungjawab yang mesti dipikul. Dia mesti memegang amanah. Jenis tugasnya bukan kerja yang mudah.

‘Selain saya, hanya kamu sahaja yang tahu arahan yang diterima. Setiap arahan mestilah dipatuhi. Ia adalah tugas yang mesti dibereskan. Tidak boleh tidak. Amanah ke atas kamu adalah satu jihad fisabilillah. Dengan lafaz bismillah… dengan sumpah la illaha illallah, bangun dan melangkahlah!’

Bisikan Tuan Aziz ke telinganya mula terngiang-ngiang. Fariz menghembuskan nafasnya. Matanya terbuka luas. Secara spontan, Fariz mendongak dan memandang ke sekeliling. Matanya berlari-lari untuk mengimbas mana-mana wanita berambut perang yang terjangkau pandangannya.

Wajah Jennifer Miles yang terpapar di skrin fonselnya sudah terakam di mindanya. Sebagai ejen yang terlatih, dia cepat menangkap dan mengingat sesuatu imej yang terpapar walaupun muncul secara sekali imbas. Namun, tiada seorang pun wanita kulit putih yang kelihatan ketika itu.

Fariz mula berjalan. Pandangannya terhala ke hadapan. Namun, ekor matanya menyaring imej-imej orang ramai yang melewati pergerakannya. Dia menoleh ke arah kaunter teksi yang sudah kelihatan sayup pada pandangan mata. Mencari kelibat Normala. Namun, bayang wanita itu sudah tidak kelihatan.

JENNIFER MILES berasa amat letih. Penerbangan Royal Dutch Airlines daripada Hopkins International Airport Cleveland, Ohio ke KLIA mengambil masa 33 jam setelah transit di Memphis, Tennessee dan juga di Amsterdam. Di sepanjang perjalanan, dia hanya menonton video yang terpasang di belakang kerusi di hadapannya. Bila bosan menonton, dia tidur untuk menghabiskan masa.

Kedatangannya ke Malaysia adalah untuk membuat liputan mengenai pelaburan syarikat-syarikat Amerika di Malaysia. Dia perlu ke Kedutaan Amerika di Ampang sebelum ke pejabat Majlis Perniagaan Malaysia-Amerika.

Sebagai wartawan meja bisnes, ayahnya mahukan dia membuat liputan berita perniagaan semata-mata. Tidak lagi melaporkan pergolakan politik dan juga peperangan. Ayahnya, Miles Steward, sengaja mahu dia pergi jauh dari Amerika dan juga Timur Tengah. Lagi jauh, lagi bagus! Biarlah isu anaknya ini akan tenggelam dan dilupakan. Orang tua itu tidak mahu kehilangan Jennifer, sepertimana dia kehilangan isterinya, Nancy.

Kini, setelah mengalas perut di The Coffee Bean, dia berehat seketika di salah sebuah kerusi menanti. Sambil itu, jejarinya menekan-nekan butang fonselnya untuk membuat tempahan hotel menerusi internet. Paparan siaran televisyen Bernama TV di ruang legar menarik perhatiannya.

‘Kelasi kapal al-Bahr yang tercedera akibat tembakan dari kapal perang Amerika USS Lakota, telah meninggal dunia. Nizam Abdul Samad, 27 tahun, warganegara Malaysia, sebelum ini mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Kelang kerana cedera parah akibat terkena serpihan peluru senjata dari kapal Amerika tersebut…’

“What the…” gumam Jennifer.

Dia bingkas bangun dan berjalan pantas. Beg pakaiannya diheret. Sesekali beg berlerengnya tergolek-golek apabila hilang imbangan. Jennifer tidak peduli. Dia terus berjalan kerana mahu cepat. Matanya tertoleh-toleh mencari kedai surat khabar. Dia mahu dapatkan akhbar tempatan untuk memperoleh berita terperinci mengenai kapal al-Bahr itu. Sejurus dia tiba ke kedai yang dicari.

“Give me a newspaper… any newspaper, quick!” kata Jennifer kepada petugas di situ.

Suaranya menarik perhatian seseorang. Fariz menolak kacamata hitamnya dan memandang tepat ke arah Jennifer dari jarak tiga meter daripada wanita itu. Setelah memperoleh The Star, Jennifer lantas berjalan ke luar kedai surat khabar itu. Sambil mengepit Sinar Harian, Fariz turut melangkah menjejaki wanita itu.

Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Friday, December 11, 2009

FRAGMEN 21: DETIK DEBAR


fOTO: SPACE4SPACE
FRAGMEN 21
DETIK DEBAR


The White House, Washington DC
JOHN MARTINEZ menatap skrin televisyen dengan wajah sugul. Di situ terpapar imej beberapa orang Palestin sedang meratap dan meraung. Mereka bersedih kerana 15 anggota keluarga mereka maut setelah dihujani peluru dari sebuah jet pejuang Israel.

Wartawan melaporkan bahawa rakyat Palestin itu sebenarnya sedang dalam perjalanan dari sebuah upacara pengkebumian keluarga di kawasan perbukitan. Setelah mengkebumikan mayat, mereka berjalan kaki beramai-ramai membawa peralatan seperti pengusung dan cangkul. Tiba-tiba mereka diserang oleh jet Israel kerana disangkakan mereka kumpulan pengganas yang sedang merancang melancarkan bedilan roket ke arah Israel.

“Bila benda-benda seperti ini hendak tamat, David?” soal John separuh merungut.
“Presiden-presiden sebelum Tuan pun bertanya soalan yang serupa, John,” jawab David Doron yang berada di sisinya.

John Martinez mengeluh dalam bila mendengar jawapan itu. Dia tahu, masalah Israel dan Palestin tidak akan berkesudahan sehingga kiamat.
“Tapi yang pasti, masyarakat antarabangsa akan salahkan Amerika,” ujar David lagi seraya menukar saluran televisyen untuk menjelaskan apa yang dimaksudkan.

Kali ini terpapar pula imej-imej demonstrasi masyarakat Islam dari merata dunia. David Doron sengaja menukar-nukar saluran televisyen agar bosnya mendapat gambaran betapa seriusnya reaksi masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman Israel lalu memalingkan kebencian mereka kepada Amerika kerana berasakan Amerika adalah pelindung Israel.

‘And now... breaking news...’ umum seorang wartawan ketika skrin televisyen memaparkan saluran WorldLiveLine. John dan David terus menumpukan perhatian.
‘Sebuah kapal perang Amerika, USS Lakota telah tertembak kapal kecil Iran di perairan Selat Melaka. Kapal yang pada mulanya dipercayai kapal lanun Selat Melaka itu ditembak kerana dikatakan cuba melarikan diri. Dua orang anak kapal dilaporkan terkorban.’

“Apa yang dibuat oleh kapal kita kat Selat Melaka, tu?” tanya John.
“Agaknya... meronda.”
“Meronda? Mana mungkin? Negara-negara Malaysia, Singapura dan Indonesia tidak pernah setuju dengan kehadiran kita di situ!”

“Secara rasminya, kita hormati pendirian negara-negara itu. Tapi secara praktiknya, kita perlu hadir di situ kerana kepentingan kita.”
“Sejak bila kita tidak hormati persefahaman dengan negara-negara di sana? Dapatkan Ketua Turus Angkatan Tentera!”
“Err... Tuan Presiden...” David cuba menjelaskan...
“Now!” bantah John dengan wajah yang memerah.

LEFTENAN JENERAL Tack Scott muncul di pintu. John Martinez hanya mendepangkan tangannya sebagai tanda mengizinkan Tack Scott duduk. David Doron sempat menjeling ke arah pegawai tinggi tentera itu lalu kedua-duanya saling bertukar-tukar pandangan. Kedua-duanya mengangguk perlahan.

“Perjelaskan...” ujar John dengan nada mendatar sebelum Tack Scott sempat menghela nafasnya.
“Kami hanya belayar di sana menuju ke Singapura lalu terserempak dengan kapal itu. Kapal al-Bahar didaftarkan di Iran, Tuan Presiden.”

“Ia bukan kapal lanun seperti yang dinyatakan dalam berita?” desak John.
“Itu laporan kami kepada pihak maritim Malaysia,” jawab Tack dengan tenang. Atas sebab-sebab keselamatan, dia yang menyampaikan kepada pihak media seolah-olah mereka tersilap tembak. Padahal, mereka tahu sejak mula ia adalah kapal Iran.

“Kenapa kamu tembak?”
“Ia mencurigakan, Tuan Presiden. Sebab itu kami terpaksa membedil ketika ia cuba lari.”
“Soalnya, apa hak kamu bertindak di sana?” Suara John mula meninggi. “Malaysia, Indonesia dan Singapura adalah negara-negara berdaulat. Mengapa kamu membelakangkan mereka? Tidak bolehkah kamu menghubungi pihak maritim mereka kalau benar kapal Iran itu mendatangkan masalah?”

“Keadaan memaksa, Tuan Presiden!”
“Apakah saya tidak penting? Sebuah kapal perang Amerika, menembak sebuah kapal dagang Iran di perairan Selat Melaka. Mengapa saya tidak diberitahu?”
“Ia rahsia, Tuan!”

“Rahsia? Sebuah kapal perang Amerika menembak sebuah kapal dagang di selat yang paling sibuk di dunia... kamu kata itu rahsia? Apa yang kamu buat di sana?” desak John.
“Mempastikan keselamatan Tuan Presiden!”

“Apa? Keselamatan saya? Kalau begitu, tentera Amerika boleh menembak sesiapa sahaja di dunia ini dan meletakkan alasan bahawa ia adalah untuk menjaga keselamatan saya? Apakah kamu ni siuman, Tacky?”
“Err... sepatutnya David sudah beritahu Tuan...” jawab Tack Scott seraya menjeling ke arah David Doron.

John Martinez menjadi terpinga-pinga. “Apa ni, David? Saya tak mengerti...”
David Doron terus mengukir sebuah senyuman bagi menenangkan hati Presidennya.
“Apakah Tuan sudah lupa yang Tuan akan ke Malaysia pada minggu hadapan?”

“Well...” John terdiam seketika. Wajahnya berubah tenang. Baru dia sedar mengapa pihak tenteranya sudah berada di perairan Selat Melaka. “Saya tau yang saya akan di Malaysia selama setengah hari. Forum Ekonomi Dunia Islam itu tidak lama. Tidak perlulah berkawal sampai begitu...”

“Itu adalah tanggungjawab kami, Tuan Presiden. Walaupun Tuan akan berada di sesebuah tempat dalam masa seminit... kami tidak sekali-kali akan berkompromi dengan prosedur keselamatan Presiden kami!” celah Tack Scott dengan nada penuh bersemangat.
Kata-kata itu membuatkan John Martinez kembang dada kerana berasa bangga dengan kecekapan anak buahnya.

“Kalau begitu, saya boleh terima jawapan awak, Tacky,” ujar John seraya menumbuk perlahan lengan pegawai tinggi tentera itu sebagai tanda bergurau. “Tapi, apa yang perlu saya nyatakan pada dunia nanti? Satu lagi maaf?”

“Bukan maaf, Tuan...” celah David. “Hanya penyataan kesal di atas kesilapan pihak tentera Amerika. Sebuah kenyataan yang umum sahaja.”
“Bagaimana kalau kerajaan Iran membuat bantahan?” tanya John.

“Lewatkan permohonan maaf sehingga dunia terlupa.
Bila dunia terlupa, maaf sudah tidak perlu lagi!” jawab David.
Bersambung di minggu hadapan...

Friday, November 27, 2009

FRAGMEN 20: DETIK DEBAR


FRAGMEN 20
DETIK DEBAR


Kawasan Hutan Sipo, Narathiwat, Thailand

FARIZ menyusun langkah. Begitu juga lelaki itu. Pada jarak dua langkah di antara satu sama lain, masing-masing mula menapak berkeliling. Bagai dua ekor ayam laga yang hendak berjuang. Kedua-dua tangan lelaki itu tersilang di depan wajahnya. Fariz mengagak, tindakan lelaki itu bukannnya untuk melindungi diri, tetapi sebenarnya ingin menyembunyikan gerak mata untuk mengabui tekaannya.


Fariz mula melibaskan kakinya. Sambil melibas, Fariz bergerak mengacah untuk menolak lelaki itu ke tepi dinding. Apabila menyedari dirinya terhimpit, tiba-tiba lelaki itu memutarkan tubuhnya lalu melompat melintasi kepala Fariz. Tindakannya membuatkan Fariz tergamam.


Tanpa sempat melakukan apa-apa, Fariz terasa bahunya diterajang dari arah belakang. Meskipun hentaman lelaki itu sungguh padu, Fariz sempat mempersiapkan kuda-kudanya. Dia hanya terlangkah setapak ke hadapan untuk menyerap impak tendangan.


Fariz segera memutar tubuhnya menghadap lelaki itu. Namun, tindakannya lambat. Belum sempat dia mendaratkan kedua-dua kakinya, Fariz hanya nampak tapak kasut deras menghampiri wajahnya. Kepalanya tertolak ke belakang dan Fariz jatuh terlentang.


Lelaki itu terus melompat untuk mendaratkan kedua-dua kakinya ke tubuh Fariz yang terngadah. Dia bergolek. Namun lelaki itu lebih pantas. Dia terus merebahkan tubuhnya lalu menghenyak belakang Fariz dengan kedua-dua lututnya pula. Dengan pantas lelaki itu mengilas kedua-dua tangannya dan menghantukkan kepalanya ke kepala Fariz. Mata Fariz berpinar-pinar.


‘Ini bukan Muay Thai!’ kata hati Fariz.
“Ini bukan Muay Thai!” kata lelaki itu seolah-olah mendengar suara hati Fariz.
“Ini seni mempertahankan diri orang Khmer. Pradal Serey.”
Dengan kata-kata itu, lelaki itu terus memancung leher Fariz dengan tangannya !

FARIZ tersedar bila berasa tubuhnya dihumban ke atas meja simen. Dia memandang tubuhnya yang tidak berbaju. Lalu terasa yang dia juga tidak berseluar, kecuali seluar dalam! Tangannya sudah terikat dan terkilas ke belakang.
‘Apa dah jadi?’ Fariz tertanya di dalam hati.
‘Sretttttt…’


Bunyi itu menangkap telinga dan pandangan Fariz. Matanya mencerlang memandang sebilah parang yang berkilat yang dilenser ke tubir meja simen ini oleh lelaki yang bertubuh rendang itu. Dialah lelaki yang menetak lehernya sebentar tadi. Lelali itu mengetuk-ngetuk parang itu ke simen meja. Berdenting-denting bunyinya.


Dada Fariz berdegup kencang. Bila tubuhnya ditelanjangkan dan diletak di tempat seperti meja, Fariz dapat mengagak apakah kesudahannya. Dia tahu apa akan terjadi kerana dia pernah menonton video-video siksaan tawanan. Situasi begini menandakan yang dia akan dibunuh. Lebih tepat lagi, dia akan disembelih sebagai korban!


“Masanya dah sampai…” tenang sahaja lelaki itu bertutur.
“Sampai? Sampai ke mana?” soal Fariz inginkan kepastian walaupun dia sudah dapat mengagak maksud lelaki itu.
“Kamu orang Islam… mengucap sahajalah…” kata lelaki itu sambil melurut mata parangnya dengan ibu jari.
“Wei! Apa ni?” pekik Fariz spontan.


Fariz segera meronta-ronta untuk bangun. Tetapi dia terasa ada tangan-tangan yang menangkap tubuhnya. Dia menggelupur. Cuba untuk melepaskan dirinya. Namun, tangan-tangan yang menekan tubuhnya semakin kuat menghenyak. Malah, paha, pinggang dan bahunya dipukul berkali-kali hingga Fariz terasa tubuhnya kebas.


Akhirnya Fariz keletihan. Dalam keadaan pandangannya yang berpinar, Fariz nampak empat wajah-wajah yang menekan tubuhnya memandangnya dengan mata terbelalak. Dia terasa dirinya seperti bermimpi. Mimpi buruk yang mengerikan.


‘Inikah kesudahan aku? Apa sebab aku tiba-tiba disiksa begini? Aku tidak tahu apa-apa mengenai Tuan Aziz atau Khunpol Rachotai. Sebenarnya aku tak perlu disiksa sampai begini. Seharusnya mereka tangkap sahaja Tuan Aziz di Putrajaya. Habis cerita. Mengapa mereka siksa aku sampai begini. Sungguh tak maksud akal! Gila! Ya, mereka ini semuanya gila!’


“Arghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh…” Fariz melaung. Melontarkan suaranya. Menggaung dan menggema di sekitar kawasan berbatu ini.
Fariz terasa pandangannya gelap. Kepalanya sudah disarung dengan kain guni berwarna hitam. Tali yang mengikat mulut kain itu terus dijerut ke lehernya. Fariz ditelentangkan. Dada Fariz semakin berdegup kencang. Peluh sudah membasahi tubuhnya yang telanjang.
“Lepaskan aku!”


“Apa kamu mau?” tanya lelaki yang berambut putih dan bertrubuh rendang itu. Fariz dapat mengecam suara lelaki itu walaupun dengan mata yang tertutup.
“Lepaskan aku. Aku tak tahu menahu tentang semua ini.”
“Apa yang kamu mahu!”
“Aku mahu dilepaskan!”
“Kau tak boleh lepas. Aku sembelih kau.”
“Hei! Lepaskan aku!”
“Apa kamu mahu?”
“Lepaskan aku! Lepaskan aku! Lepaskan aku!”
“Itu saja yang kamu mahu?”
“Ya, lepaskan aku!”
“Apa kamu mahu?”


Soalan sama yang bertubi-tubi itu membuatkan Fariz naik darah. Dia memekik panjang hingga suaranya serak. Tanpa disedari, air matanya mengalir deras. Biarlah. Ajalnya sudah sampai kali ini. Sebagai seorang ejen perisik dia rela mati demi negara. Cuma, dia tidak mengerti apakah nilainya sebagai ejen hingga hendak dibunuh seperti ini. Bukankah mudah kalau dia ditembak sahaja?
“Arghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh…”
“Jangan susah hati, kawan. Mati hanya sekali!”


Suara yang perlahan itu membuatkan Fariz terhenti meraung. Tiba-tiba dia teringatkan ALLAH. Tuhan yang menghidupkannya. Tuhan yang mematikannya. Ya Muhyi! Ya Mumiit!
Tiba-tiba telinganya tidak mendengar apa-apa. Hanya bunyi desingan di dalam telinga. Sayup-sayup dia terdengar suara lelaki itu memerintah agar mereka yang lain terus memegang tubuhnya kerana dia hendak melaksanakan tugasnya.


Fariz mula terasa lehernya sejuk disentuh mata parang. Fariz menahan nafas. Airmatanya seolah-olah terus terhenti. Bulu roma di seluruh tubuhnya terasa berdiri. Dia harus sabar menerima hukuman. Dia harus reda dengan ketentuan. Dia harus pasrah menghadapi mati. Demi Tuhan yang menjadikannya. Dia sudah bersedia untuk mengucap sebaik sahaja terasa lehernya dihiris!


“Apa yang kamu mahu?” bisik suara lelaki itu.
Fariz tidak menjawab.
“Apa yang kamu mahu?”
Fariz terus mendiamkan diri.
“Apa yang kamu mahu?”
“A-L-L-A-H…”
“Apa yang kamu mahu?”
“ALLAH! ALLAH!”
“Apa dia? Apa yang kamu mahu?”
“ALLAH! ALLAH! ALLAH!”
“Apa?”
“ALLAH! ALLAH! ALLAH! Lailahailallah….”


FARIZ terasa mata parang yang sejuk menyusur di lehernya. Dia menahan nafas. Menanti rasa pedih dan sakit mengiringi. Sungguh. Dia sudah bersedia untuk mati. Mati untuk bertemu dengan Illahi. Mata parang sudah terangkat daripada lehernya. Rasa bisa akan mengiringi seketika lagi. Fariz menunggu rasa sakit itu. Sesaat… dua saat… tiga saat…
“Subhanallah walhamdulilah walailahaillah wallah huakbar!” kedengaran suara yang dikenalinya. Bukan suara lelaki yang berambut putih dan bertubuh rendang itu. Tetapi…


Tiba-tiba, kain yang menutup kepalanya disentap. Serta merta pandangannya terang benderang. Tubuhnya terus dilingkari dengan selimut.
“Alhamdulilah, Fariz!”
Seorang lelaki terus menerpa dan memeluk tubuhnya. Mengusap kepalanya. Fariz kenal siapakah lelaki ini.
“Tu… Tuan Aziz?”
“Ya, ya, Fariz. Mengucap, Fariz… mengucap…”


Fariz memeluk lelaki itu sambil mengucap dua kalimah syahadah di dalam hati. Dia memejam mata untuk melafazkan ucapan itu sepenuh jiwanya. Agar kalimah itu meresap dan beredar ke seluruh pembuluh darahnya. Kedengaran bunyi tepukan di sekelilingnya. Fariz membuka mata. Lalu bertembung pandangan dengan Tuan Aziz yang merenungnya dengan senyuman bangga.


Fariz memandang mereka yang berada di sekelilingnya. Lelaki-lelaki yang menyiksanya turut tersengih-sengih sambil bertepuk tangan. Lelaki yang berambut putih dan lelaki yang berambut panjang, kedua-dua lelaki yang menyiksanya terus tampil dan bersalaman dengannya.
“Apa semua ini, tuan?” tanya Fariz kehairanan.
“Selamat datang ke Pusat Latihan BISIK di Narathiwat!” ujar Tuan Aziz.
“Latihan? Oh, tidak!” ujar Fariz sambil menepuk dahinya.
“Smile! You are on candid camera!”


Suara itu membuatkan Fariz berpaling. Dia sempat menangkap tangan yang hendak menumbuk bahunya. Lalu memutar jejarinya untuk bersalaman dengan orang ini.
“Kak Mala? Saya ingat akak dah…”
“Ha-ah, akak dah mati. Ini hantu dia!” jawab Normala selamba.
Kata-kata itu mengundang hilai tawa mereka di sekeliling.
“Tapi, macam mana…”


“Ala… sejak kat Rantau Panjang lagi akak dah keluar dari bonet kereta. Akak bersembang dengan engkau menggunakan alat komunikasi, kan? Sejak dari sempadan lagi akak dah duduk kat bilik operasi untuk pantau pergerakan engkau, Fariz!”
“Oh, selama ini, rupa-rupanya…”
“Apa, engkau ingat, Hollywood aje yang pandai buat trick?”
Tawa mereka semua berderai lagi.


“Fariz…” kata Tuan Aziz.
Mereka semua mendiamkan diri bila bos memulakan kata.
“Tidak ada yang lebih besar dan utama daripada menyerah diri kepada ALLAH. Apabila kamu disiksa, rahsia boleh terbongkar kalau kamu hanya memegang rahsia kerana ikrar BISIK. Ikrar profesyen tidak kukuh sebenarnya.


Yang kuat dan padu adalah ikrar kita sebagai hamba-NYA. Sumpah kita sebagai hamba ALLAH adalah ikrar yang tak boleh dimakan oleh apa jua siksaan. Dengan lafaz laillahailallah, apa jua siksaan dan kepedihan akan terubat. Bila kita berserah nyawa kepada Yang Maha Hidup, insya-ALLAH kita akan dapat menyimpan rahsia sampai ke mati. Oleh itu, bila berdepan dengan interogasi, deraan dan siksaan… jangan lupa kepada ALLAH!”


Fariz dan mereka yang lain terangguk-angguk mendengar tazkirah daripada Tuan Aziz.
“Okey… Ini adalah hari pertama latihan Fariz. Kamu akan jalani dua minggu latihan di sini bersama lain-lain anggota BISIK. Selesai sahaja latihan, kamu akan pulang ke Kuala Lumpur. Ada tugas besar sedang menanti!”
“Apa dia tugas tu, Tuan?”


Tuan Aziz menoleh. Menerkamkan pandangannya ke arah ejen muda itu.
Membuatkan Fariz tidak berani bertanya lagi.


Bersambung di minggu hadapan...


FROM ME TO YOU:
Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.


KISAH SETAKAT INI:

Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap dan diinterogasi.


Jalur 2: Oleh kerana menimbulkan masalah, Jennifer Miles, seorang wartawan perang telah ditukarkan ke meja bisnes. Namun, sikapnya yang tegas dan lantang tetap mengundang kurang senang orang walau di mana dia berada.

Sunday, November 22, 2009

FRAGMEN 19: DETIK DEBAR


Foto: diytrade.com
FRAGMEN 19
DETIKDEBAR


Denver Convention Center, USA
CAHAYA lampu di dewan ini mula dimalapkan. Ratusan para jemputan yang asyik berbual mula berpaling dan menumpukan perhatian ke hadapan. Cahaya terang sebuah lampu sorot memancar ke arah sebuah skrin yang mula bergerak perlahan-lahan berlabuh dari lelangit pentas.
Cahaya dari pelbagai warna mula memanah bersilang-seli ke layar perak. Dan sebuah animasi untuk gimik persembahan pelancaran produk pun terpapar. Sejurus asap ais kering terhembus meliputi pentas dan kerlipan cahaya laser pun menyilau. Dengan iringan bunyi dentuman muzik, maka muncul produk yang dinanti-nantikan ~ sebuah kasut sukan terkini ciptaan syarikat NeoSteps Corporation.

Semua para hadirin bertepuk tangan bila seorang lelaki muncul di pentas seraya melambaikan tangannya. Paparan di skrin terus menukar imej daripada produk kasut ke wajah lelaki yang kelihatan begitu ceria itu.

Dialah Smith Dawson, CEO NeoSteps Corporation. Dan tepukan semakin bergemuruh bila dia berdiri di samping produk syarikatnya. Tersenyum simpul bergaya santai sambil membiarkan kerlipan kamera para jurufoto memercik ke wajahnya. Sambil berdehem, dia membetulkan mikrofon. Petanda dia akan memulakan ucapan untuk memperkenalkan produknya.

Jennifer Miles tersenyum sinis memerhatikan semua ini. Dia sudah kerap sangat menghadiri majlis-majlis sebegini. Baginya, ia tidak mempunyai apa-apa makna melainkan sebuah majlis promosi yang klise. Sebuah majlis keraian yang tampaknya gah, tetapi belum tentu menjamin produk yang benar-benar berkualiti.

Jika pun ia sebuah produk yang bagus, belum tentu lagi pengeluarannya menuruti peraturan dan undang-undang di tempat ia dibuat. NeoSteps Corporation juga adalah sebuah syarikat antarabangsa yang mempunyai kilang-kilang pengeluaran di merata dunia khususnya di negara-negara membangun. Jennifer tahu cerita di sebalik kehebatan syarikat itu. Dan Jennifer mahukan jawapannya.

“And now... question time...” kata CEO NeoSteps Corporation menghabiskan ucapan lalu melangkah turun dari pentas ke ruang sofa di mana satu sidang akhbar akan berlangsung.
Mendengarkan itu, Jennifer melangkah ke hadapan. Dia ingin bertanyakan soalan. Soalan-soalan yang menarik perhatian CEO itu. Soalan-soalan yang bakal merobah wajah lelaki yang kelihatan begitu seronok itu!

Jennifer hanya mengukir senyuman plastik bila mendengar para wartawan lain bertanya pelbagai soalan. Kesemua soalan-soalan yang dikemukakan berbaur puji-pujian yang mengundang rasa gembira dan kembang hidung lelaki itu. Dan para hadirin bertepuk tangan setiap kali lelaki itu menyudahkan jawapan. Hebatnya NeoSteps Corporation. Seolah-olah ia begitu gemilang dan tiada danu.

“One last question...” ujar lelaki itu sambil tersenyum lagi.
“Ya... one more question, Mr. Smith...”
Wajah Smith Dawson serta merta berubah bila bertembung mata dengan Jennifer. Dia tertunduk seketika memandang ke lantai. Ada riak bimbang diwajahnya. Sambil mengusap dagunya yang tentunya tidak gatal, Smith mengukir senyuman. Senyuman plastik.

“Saya terbaca laporan sebuah NGO mengenai reban kasut tuan di Indonesia...”
Perkataan 'reban' sudah cukup membuatkan Smith berasa terpukul. Para wartawan yang berada berhampiran dengan Jennifer mula memandang sinis ke arah wanita itu. Mereka kenal siapakah Jennifer Miles. Lalu mereka menginjak untuk menjauhi Jennifer kerana berasa tidak selesa dengan perkataan yang dipilih wartawan wanita itu.

“Dia ni tak sudah-sudah dengan kontroversi,” bisik seorang wartawan kepada rakan sejawatnya. “Sepatutnya dia berada di neraka Palestin. Tempatnya bukan di sini,” jawab rakannya pula.

Jennifer terdengar kata-kata memperli itu. Namun dia tidak peduli. Baginya, wartawan-wartawan yang membuat liputan dunia perniagaan adalah mereka yang mudah digula-gulakan dengan material. Mereka yang membuat liputan produk akan menerima pelbagai cenderahati yang dipanggil 'door gift.'

Akibatnya, mereka yang termakan budi akan melaporkan yang muluk-muluk mengenai syarikat penaja majlis. Kerana hadiah yang diterima, pelancaran yang gah itu akan diberi ruang lalu tersebar sebagai sebuah berita yang dibaca dan ditonton ramai. Padahal, ia adalah sebuah gimik pemasaran di mana si tuan punya majlis tidak perlu mengeluarkan bajet yang besar. Cukup sekadar memberikan cenderahati yang murah harga dan nilainya.

“What is your name, young lady?” Smith bertanya nama Jennifer. Seolah-olah dia tidak mengenali wartawan yang terkenal itu.
“Jennifer... Jennifer Miles...”
“The Legendary Jennifer?”
Jennifer hanya mengukir sekilas senyuman kerana diberi gelaran 'lagenda.' Dia tahu lelaki itu sengaja cuba memujinya untuk melengah-lengahkan masa. Sengaja tidak mahu menjawab soalannya. Satu petanda yang dia akan berdolak-dalik.

“Maafkan saya, err... Jennifer. Saudari mengistilahkan kilang pengeluaran saya di Indonesia sebagai reban? Reban ayam? Maaf. Saya tidak mengeluarkan bulu tangkis!”

Jawapan Smith membuatkan keseluruhan para hadirin tertawa. Namun, perasaan Jennifer tidak berasa tergugat pun. Dengan lantang dia bersuara, “NeoSteps adalah jenama global. Jenamanya sudah mengatasi lain-lain jenama kasut di dunia. Produknya berkualiti. Malah, NeoSteps memperoleh keuntungan berbilion ringgit. Dan, saham NeoSteps kini di antara saham yang paling menguntungkan di Bursa Saham New York.

Tetapi, mengapa NeoSteps menganiaya tenaga buruhnya? Mengapa membayar mereka gaji harian yang kecil yang nilainya lebih rendah daripada sebuku roti? Oleh kerana gaji yang kecil, mereka tinggal merempat di dalam rumah-rumah yang diperbuat daripada kotak kertas!

Mereka tinggal di tepi-tepi sungai dan mandi di celah-celah timbunan sampah sarap. NeoSteps sebagai jenama global yang kaya raya, apa yang NeoSteps lakukan untuk masa depan para pekerjanya? Dan tuan sebagai CEOnya, apakah yang tuan pernah saksikan sendiri kehidupan daif mereka?” soal Jennifer dengan suara yang lantang.

“NeoSteps tidak bertanggungjawab dengan kehidupan peribadi para pekerjanya di Indonesia. Apa yang penting, mereka setuju dengan bayaran gaji yang diberi. Kalau mereka tidak mahu, mereka boleh sahaja berhenti kerja.

Kalau mereka berhenti kerja, ada ramai lagi mereka yang mahu bekerja di kilang kami di sana. Bagaimana pun, kami telah memenuhi tuntutan piawaian antara bangsa hak-hak para pekerja. Jadi, apa masalah awak, Jennifer?” soal Smith dengan matanya yang mula mencerlang.

“Saya tiada apa-apa masalah... sebaliknya, tuan yang punyai masalah! Tuan sudah hilang jiwa sebagai manusia! Kerana wang dan keuntungan, tuan membiarkan para pekerja yang membuat kasut syarikat tuan hidup bagai gelandangan.”

“Apa yang awak cakapkan ini, Jennifer?” soal Smith.
“Laporan NGO Workers World menunjukkan NeoSteps adalah salah sebuah konglomerat Amerika yang menganiaya para pekerja!” bantah Jennifer.
“Workers World? Kamu kata, Workers World? Rupa-rupanya kamu membaca laporan NGO yang itu ke?” soal Smith.
“Ya!”

“Sebenarnya, saya sudah membaca laporan itu. Kami dapati Workers World telah tersilap lapor! Peguam kami telah menghubungi mereka dan mereka akan menarik balik laporan kaji selidik itu. Err... kebetulannya, pemimpin Workers World, Mr. Roger Parker ada di sini sebagai tetamu saya. Roger... dipersilakan Mr. Roger Parker ke mari...”

Para hadirin yang asyik mendengar perdebatan Jennifer dan Smith tertoleh-toleh mencari orang yang bernama Roger Parker. Lampu sorot di lelangit dewan turut berkeliaran mencari pemimpin NGO itu. Akhirnya, kelihatan seorang lelaki mengangkat tangan. Dengan malu-malu, dia melangkah perlahan ke pentas. Smith terus merangkul bahu lelaki yang menghampirinya.

“Ini dia, Mr. Roger Parker. Beliau telah membuat kaji selidik mengenai tanggungjawab NeoSteps ke atas para pekerja di Indonesia. Pada mulanya, Workers World berpendapat NeoSteps telah melanggar hak asasi para pekerja.
Tetapi setelah mereka menyelidik kembali dengan bantuan Jabatan Sumber Manusia kami, Workers World mendapati NeoSteps telah memenuhi piawaian antara bangsa hak asasi para pekerja!”

Kata-kata Smith disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin. Jennifer ternganga memandang drama yang berlaku di depan matanya. Hatinya semakin memberontak.
“Oleh kerana seorang wartawan terhormat telah mempersoalkan kredibiliti kami, biarlah pemimpin Workers World, Mr. Roger Parker menerangkan kedudukan sebenar. Dipersilakan...” ujar Smith lalu menghulurkan mikrofon kepada pemimpin NGO itu.

‘Oh, my God... rupa-rupanya Workers World telah dibeli. Ia sudah tiada roh perjuangan...’ desis Jennifer di dalam hati.
Dengan perasaan yang membungkam, Jennifer berpaling dan melangkah keluar dari dewan itu. Dia tidak mahu mendengar pengakuan palsu ketua NGO itu. Di laluan keluar, Jennifer disapa oleh seorang petugas NeoSteps.
“Maafkan saya, puan...”
“Hmm...” jawab Jennifer sambil tersenyum sebagai tanda hormat.

“Saya tengok, puan masih belum lagi memperoleh cenderahati sepasang kasut daripada NeoSteps. Silalah pilih mana satu kasut yang puan ingini...” kata petugas itu seraya mengunjuk ke arah susunan kasut yang tersedia sebagai cenderahati.
“Thank you. How I wish I don’t have any legs!” jawab Jennifer dengan wajah yang mencuka. Meninggalkan petugas yang terpinga-pinga itu.

BARU sahaja Jennifer membuka pintu kereta, dia menerima panggilan daripada ayahnya.
“Ya, papa...”
“Jenny... apakah sayang hendak melancong?”
“Melancong? Alah, papa ni janganlah bergurau!”
“Maksud papa, Jenny hendak tak ke sebuah negara di Asia Tenggara?”
“Indonesia?”
“Bukan Indonesia, tetapi ke sebuah negara yang berhampiran dengannya.”
“Malaysia?”
“Ya, Malaysia!”
Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...




FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap dan diinterogasi.

Jalur 2: Oleh kerana menimbulkan masalah, Jennifer Miles, seorang wartawan perang telah ditukarkan ke meja bisnes. Namun, sikapnya yang tegas dan lantang tetap mengundang kurang senang orang walau di mana dia berada.

Wednesday, November 11, 2009

FRAGMEN 18: DETIK DEBAR


Foto:film-forward.com


FRAGMEN 18
DETIKDEBAR


“TENGOK sana!” perintah lelaki yang bertubuh besar itu seraya mencekak rambutnya. Memaksa kepala Fariz terdongak memandang skrin. Paparan di layar bertukar kepada ketika dia berkunjung ke rumah Tuan Aziz di Putrajaya pada satu malam. Pasti imej itu dirakam menerusi CCTV. Oleh kerana dia menyamar di dalam tugasnya, waktu yang sesuai bagi Fariz menemui bosnya itu hanyalah pada waktu malam.

Fariz nampak dirinya menyelit di celah-celah pokok, melangkahi parit dan mengepil di balik tembok. Menanti sehingga Tuan Aziz pulang. Kehadirannya nyaris disambut dengan peluru bila bosnya terkejut dengan kemunculannya. Fariz dibawa masuk ke dalam rumah dan keluar untuk menghilang seketika kemudian.

“Khunpol adalah penyangak besar. Dia menjadi jutawan dengan kerjanya itu! Khunpollah yang memalsukan kad pengenalan mereka yang diculik dan diseludup supaya mudah dibawa keluar ke Thailand. Dari Thailand, mangsa-mangsa culik akan dibawa ke merata dunia.

Khunpol juga membuat money laundering kesemua wang yang dibawa masuk ke Malaysia untuk dilaburkan ke dalam pelbagai perusahaan. Dan Khunpol membunuh sesiapa sahaja yang menentangnya! Kau tengok siapa tali barut Khunpol!”

Paparan di skrin bertukar sekali lagi. Wajah Normala yang melambaikan tangannya muncul. Fariz terkedu melihat wajah itu. Normala mengenyitkan matanya dan memberi senyuman menggoda. Kelihatan wanita itu menuju ke kereta limosin. Lalu dia mengetuk cermin kereta itu. Apabila cermin kereta itu melorot, tampil wajah Tuan Aziz atau Khunpol!

Fariz menelan liurnya. Memerhati imej tayangan yang beralih lagi. Kali ini terpampang wajah dua orang lelaki dengan AK-47 mengarahkan senjata masing-masing ke but kenderaan pacuan empat roda!
“Argh!” Fariz terjerit.

Dia tahu apakah adegan yang akan dimainkan selepas ini. Bunyi dentuman mesin gun mula menghingari bilik itu. Tampak jelas di matanya bagaimana dua orang lelaki berpakaian hitam memuntahkan peluru ke arah but kenderaan. Babak itu begitu menyesak jiwanya. Fariz meronta-ronta hingga dia dapat tunduk untuk menutup matanya dari memandang ke layar perak.

Namun telinganya boleh mendengar rentetan dentuman muntahan peluru dari senjata itu. Mata hatinya dapat melihat tubuh Normala meronta-ronta bila dihujani peluru yang tak bermata dan hati.

“Sudahhhhhhhhhhh...” jerit Fariz.
Dadanya berombak kencang. Fariz benar-benar keliru. Hatinya tidak mahu percaya, tetapi fikirannya mengiyakan. Manusia perisikan boleh sahaja berlakon menjadi baik ataupun jahat hingga sebati ke dalam jiwa. Tentu tidak mustahil jika seseorang yang jahat pun berlakon baik! Dan, Tuan Aziz pun tidak terkecuali!

Tanpa disedari, air matanya mengalir. Geram dan sedih bercampur baur. Di antara percaya dengan tidak. Di antara sayangkan Normala atau membencinya. Apakah selama ini dia tertipu? Tertipu dengan sandiwara mereka yang telah membina keyakinan dirinya terhadap nilai-nilai amanah untuk mempertahankan bangsa dan negaranya? Ah, fikirannya berkecamuk dan bergumpal dengan pelbagai persoalan. Namun, tiada jawapan yang melintas di fikirannya yang semakin kusut.

“Apa yang kau sedihkan? Apa yang kau tangiskan? ” ujar lelaki yang bertubuh besar itu dengan lantang. “Tuan Aziz bukan bos kamu! Sebab dia adalah Khunpol! Khunpol akan kami hapuskan. Sebelum itu, kami sudah hapuskan Normala.”

Lelaki itu menghampiri Fariz dan merentap rambutnya. Memaksa Fariz bertentang mata dengannya. Fariz bingung. Sama ada untuk mempercayai atau sebaliknya. Lelaki itu menghampirkan mulutnya ke telinga Fariz. Lalu dia berbisik, “Kau kena tolong kami, Fariz. Bersihkan BISIK dari ancaman pembelot besar seperti Tuan Aziz atau nama Siamnya, Khunpol.”
“Siapa kamu?” Fariz juga bertanya perlahan.
Kata-kata itu sendiri terluah tanpa Fariz sedari. Meskipun video yang terpapar begitu meyakinkan, hati kecilnya masih ragu-ragu dengan tiga lelaki yang mengelilinginya.

“Kami semua bekas anggota BISIK yang telah disisihkan oleh Khunpol. Kami diarahkan oleh PM sendiri untuk membersihkan BISIK. Kami sayang pada BISIK, Fariz.” Lelaki itu berkata perlahan diiringi dengan satu keluhan yang panjang. Dia berpaling dan melontarkan pandangannya ke arah skrin. Melihat babak dua orang lelaki melepaskan tembakan ke arah kenderaan panduan empat rodanya yang kini sudah terhenti.

“Aku tak percaya!” kata Fariz tegas.
Lelaki itu menoleh. Merenung Fariz buat beberapa ketika lalu menggeleng kesal.
“Okey, teruskan...” perintah lelaki itu seraya memetik jarinya beberapa kali.

Tayangan di skrin bertukar lagi. Kali ini pandangan dari halaman sebuah rumah kampung. Mulut Fariz ternganga kerana dia tahu rumah siapakah yang tertayang di depan matanya. Itulah rumahnya di Kampung Rhu Teduh, Terengganu. Sejurus kelihatan seorang wanita berusia lanjut menuruni tangga rumah itu sambil memegang sebuah bakul.
“Nek...” ucapan itu terpacul dari mulutnya.

Fariz terpaku melihat wajah neneknya. Wanita itu tenang melangkah ke tepian rumah untuk menyidai baju. Sejurus, wanita itu menjejak tangga memasuki rumah kembali. Fariz memerhati keadaan rumah neneknya yang kelihatan begitu sunyi. Kelihatan pepohon kelapa melambai ditiup angin. Kedengaran bunyian ombak melanda pantai. Tiba-tiba kedengaran pekikan nyaring.

Mata Fariz terbelalak. Fikirannya sudah membayangkan sesuatu yang buruk bakal ditontonnya. Sejurus kelihatan dua orang lelaki menuruni rumah sambil mengendong sesusuk tubuh yang dibalut seluruhnya dengan kain batik. Tubuh itu kelihatan meronta-ronta.
“Wei! Apa tu? Wei! Tu nenek aku!” Fariz terpekik.

Darah menyirap ke kepalanya. Dadanya berombak semula. Dia cemas bercampur marah bila melihat neneknya diperlakukan begitu. Kedua-dua lengan yang terlekap di kerusi cuba direntap dari ikatan. Tubuhnya digoyang-goyang agar terlepas dari ikatan. Dia bangun. Membawa kerusinya sekali. Dia duduk dan bangun beberapa kali. Menghentak-hentak kaki kerusi ke lantai untuk melahirkan kemarahannya.

“Nek Tijah akan dilepas kalau kau membantu kami,” kata lelaki itu sambil tersengih.
“Mana boleh macam tu! Tugasan adalah tugasan! Tidak perlu anggota keluarga dijadikan tebusan. Kamu kata kamu bekas anggota BISIK. Mana ada BISIK bertindak begini ke atas anggota keluarganya?” bantah Fariz.

“Kau diam! Kau siapa yang hendak mengajar aku? Bodoh!” jerkah lelaki itu sambil menjegil matanya.
“Arghhhh...”

DENGAN sekali rentap, ikatan di pergelangan tangannya tercabut. Mereka yang berada di sekelilingnya jadi panik. Kini hanya kakinya sahaja yang terikat di kaki kerusi. Dengan menggunakan kemahiran parkour yang dimilikinya, Fariz menggunakan kedua-dua tangannya untuk melekap ke lantai. Tindakan pantasnya menghasilkan momentum. Bagai seorang penari breakdance, yang melakukan gerak coffee grinder, Fariz memutar kerusi dengan kakinya sebelum menghayunnya mengenai dua orang yang ada berhampiran.

Hentaman kerusi itu membuatkan kerusi itu patah dan tali ikatan pun terburai. Kini Fariz telah bebas kembali. Dia sudah bersedia untuk menyerang. Melihatkan Fariz mengamuk, dua orang lelaki itu bingkas bangun dan mengorak langkah seribu.

Tanpa membuang masa, Fariz melompat dan menendang kaki skrin menyebabkan layarnya tumbang dan koyak menghempap kedua-dua lelaki itu. Sekali lagi Fariz melompat dan menggunakan kedua-dua kakinya untuk mengacip kedua-dua kepala lelaki yang masih bingung itu. Kedua-dua kepala mereka terhantuk dan mereka rebah. Fariz tersenyum seketika melihat hasil kerjanya.

“Dek chaiiiiii!”
Kedengaran suara di belakangnya. ‘Budak?’ Fariz mentafsir bahasa Thai itu seraya menoleh. Memandang lelaki yang bertubuh besar berdiri gagah. Jari telunjuk lelaki itu terkuit-kuit menggamitnya.

“Gert keun!”
‘Mari sini...’ Fariz menterjemah lagi bahasa itu.
Lelaki itu lalu terus mengepalkan kedua-dua penumbuknya. Kakinya terangkat-angkat silih berganti melibas-libas ke udara.
‘Muay Thai?’ kata Fariz di dalam hati.
“Rao.... gaan dtor soo!” jawab Fariz, tidak mahu kalah.

Mata lelaki itu mencerlang bila mendengar jawapan Fariz yang bermaksud ‘mari kita berlawan.’
“Huh!” Begitulah reaksinya sambil mencebir bibir.
Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH.
........................................
FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.
KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap dan diinterogasi.
Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya. Akibatnya demonstrasi mengutuk Jennifer dan Amerika terjadi di mana-mana. Ia turut menjadi perhatian The Group, sebuah kumpulan pelobi Yahudi...

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP