Sunday, January 25, 2009

DUA BUKU YANG GANGGU SAYA!

DUA BUKU

YANG GANGGU SAYA!

ECONOMIC HITMAN adalah istilah yang diperkenalkan oleh John Perkins di dalam bukunya Confessions of an Economic Hitman. Tulisan keduanya iaitu The Secret of the American Empire melanjutkan pengakuannya terhadap korupsi dunia yang didalangi US. Kedua-dua buku ini mengganggu saya hingga menulis MENITI MAUT ~ fiksyen, tetapi boleh berlaku pula terhadap Malaysia!

John adalah bekas pakar ekonomi yang pernah bertugas di syarikat perunding MAIN. Setelah bertahun-tahun bertugas sebagai pemutar alam untuk menipu negara-negara mundur, kejadian September 11 membuatkan dirinya kesal dan berhenti dari kerjanya. Kerjanya sebagai economic hitman adalah untuk meyakinkan negara-negara mundur di serata dunia untuk menerima pinjaman bernilai berjuta dolar kononnya untuk membina prasarana seperti logi elektrik, empangan, lebuhraya di dalam negara tersebut.

Pemimpin-pemimpin negara-negara itu akan dirasuah. Pinjaman yang diluluskan oleh Bank Dunia, IMF mahupun bank-bank perdagangan untuk negara tersebut sebenarnya tidak sampai pun kepada negara itu. Sebaliknya ia terus masuk ke kantung syarikat-syarikat kejuruteraan besar untuk membina prasarana seperti Bechtel, Halliburton dan lain-lain. Ini menjebakkan negara-negara mundur itu ke kancah hutang dan muflis.

Apabila ekonomi negara tersebut merudum dan rakyat memberontak, pemimpin yang rasuah itu akan jatuh. Tetapi seandainya dia berpaling dan menentang kembali dengan memiliknegarakan atau menghalang syarikat-syarikat yang beroperasi untuk membaham hasil mahsul negara tersebut, pembunuh sebenar atau apa yang dikenali sebagai jackal akan muncul.

Pemimpin itu akan dibunuh melalui keracunan, diguling, kemalangan seperti helikopter terhempas mahupun ditembak. Siapakah di sebalik semua ini? Menurut John, kerajaan Amerika, bank-bank serta syarikat besar adalah dalangnya. Pendekatan yang digelar corporatocracy inilah yang merosakkan banyak negara-negara di dunia ketiga yang antaranya ialah Indonesia, Panama, Ecuador, Colombia, Guatemala dan Iran.

Justeru itu, economic hitman mahupun jackal, bukan fiksyen, malah perkara benar yang terjadi di dunia hari ini. Akhirnya terlahirlah MENITI MAUT ~ tafsiran kejahatan Amerika mengikut kaca mata saya.




Saturday, January 24, 2009

Mengapa saya menulis novel perisikan

MENGAPA SAYA MENULIS
NOVEL PERISIKAN


SAYA begitu teruja bila membaca buku, artikel mahupun berita mengenai agensi-agensi perisikan atau polis rahsia sesebuah negara. Episod dan insiden di sebalik tirai CIA-US, MI5-Britain, KGB-Russia, MOSSAD-Israel, SAVAK-Iran (di zaman Shah Iran), ISI (Pakistan) termasuk juga Cawangan Khas PDRM jauh lebih hebat dari fiksyen.

Ada rahsia di sebalik rahsia, operasi di sebalik operasi, pembunuhan di sebalik pembunuhan yang berlaku dan diperlakukan oleh mereka yang terlibat di dalam agensi-agensi perisikan ini. Justifikasi apa yang mereka laksanakan hanya bertunjangkan premis ‘demi mempertahankan negara’ masing-masing. Filem-filem perisikan ringan seperti triologi Bourne, James Bond (khususnya lakonan Daniel Craig), Enemy of the State ~ Will Smith, Shooter ~ Mark Wahlberg, The Kingdom ~ Jamie Foxx, malah Infernal Affairs ~ Tony Leung, boleh membuat saya menontonnya berkali-kali kerana saya tak jemu cerita-cerita sebegini.

Begitu juga filem-filem perisikan berat seperti Charlie Wilson’s War ~ Tom Hanks, The Good Shepard ~ Matt Damon, A Mighty Heart ~ Angelina Jolie, Body of Lies ~ Leonardo de Caprio dan Syriana ~ George Clooney; menjadi filem-filem koleksi saya. Bila saya bosan, saya akan tonton filem-filem yang membosankan ini!

Saya tak sedar, minat menonton saya beranjak paradigma dari filem-filem komedi, kemudian terhadap filem-filem superhero, kepada filem-filem psikologi dan akhirnya kepada filem-filem perisikan. Saya juga tak sedar yang saya sebenarnya berminat dan ada banyak idea untuk menulis cerita-cerita perisikan.

MENITI MAUT, meskipun cubaan pertama, namun ia adalah ramuan yang terperam selama bertahun-tahun. Saya mengambil masa yang lebih lama untuk menggarap cerita ini. Idea yang terlahir pun agak pekat, mengikut penilaian editor. Justeru itu, saya perlu cairkan sedikit supaya lebih lancar masuk ke perut minda. Kini, novel ketiga saya ini sudah lulus untuk diterbitkan setelah ada beberapa olahan.

Friday, January 23, 2009

SELAMAT DATANG

TERIMA KASIH kerana sudi singgah ke blog ini.
TERIMA KASIH kerana datang sebaik sahaja mengetahui alamat blog ini.
TERIMA KASIH kerana sampai ke mari setelah membaca novelnya.

Blog ini saya bina kerana ingin bercerita dan memberi penerangan mengenai novel ketiga saya ini. Tapi, saya tak tahu yang mana satu saya hendak ceritakan. Apakah saya hendak dahulukan perkara-perkara di sebalik MENITI MAUT atau proses penulisannya?

Dan yang ingin saya ketahui juga adalah apakah pandangan anda mengenai MENITI MAUT? Komen atau kritik pun okey, asalkan anda beri komen membina supaya saya boleh menulis cerita yang lebih baik lagi.

Cukup dahulu sebagai pengenalan. Saya akan sambung lagi.

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP