Sunday, December 26, 2010

FRAGMEN 53: DETIK DEBAR


Foto: ahmadzul.net

Pusat Media Polis DiRaja Malaysia,
Bukit Aman, Kuala Lumpur

SEPERTI yang dijangka oleh pihak media, PDRM pasti akan memanggil sidang akhbar menjelang Hari Merdeka. Apabila Jabatan Perhubungan Awam PDRM Bukit Aman mengirim e-mel dan pesanan ringkas kepada pihak media, mereka segera mengunjungi Pusat Media ini.

Mereka mengharapkan PDRM akan membuat kenyataan berhubung dengan rancangan SAKA menganjurkan demonstrasi pada Hari Merdeka untuk mengusir Presiden Amerika, John Martinez. Apabila Komisioner Polis, Datuk Farush Khan, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam muncul, mereka semakin teruja kerana beliaulah orang yang selayaknya memberi kenyataan akhbar mengenai rancangan SAKA itu.

Tripod-tripod kamera sudah terdiri, lampu-lampu sorot mula terpasang dan sebaris mikrofon sudah tersusun di atas meja. Dengan senyuman, Datuk Farush memulakan,

“Terima kasih kepada tuan-tuan kerana menghadiri sidang akhbar ini. Ini adalah sidang akhbar biasa untuk memberi taklimat kepada tuan-tuan mengenai persiapan yang akan pihak polis lakukan.

Jalan-jalan menuju ke Dataran Merdeka akan kami tutup mulai jam 6.00 pagi esok. Nama-nama jalan yang terlibat ada saya sediakan di dalam siaran akhbar. Saya tak mahu membacakan dengan panjang lebar nama-nama jalan tersebut. Sila dapatkan salinan kenyataan PDRM di kaunter Pusat Media ini.”

Pelbagai soalan dikemukakan oleh para wartawan mengenai kawalan keselamatan lebih-lebih lagi kerana Presiden Amerika akan turut sama menyaksikan perarakan itu. Kesemuanya dijelaskan dengan panjang lebar oleh Datuk Farush.

“Baiklah... jika tiada apa-apa soalan lagi, saya ucapkan terima ka...”
“Nanti dulu, Datuk!” Palie mencelah. “Jangan pergi lagi. Kami semua ada soalan penting nak tanya...”
“Apa dia, Palie?” jawab Datuk Farush seraya tersengih.

Sebagai pegawai polis yang kerap bertemu dengan media, Datuk Farush kenal dengan sebilangan para wartawan. Bila dia tidak jadi bangun, para wartawan berkerumun menghampiri mejanya.

“Datuk tentu maklum SAKA mempunyai rancangan mengadakan demonstrasi esok untuk menghalau Presiden Amerika. Apakah langkah-langkah keselamatan pihak polis?”

“Inilah yang tak seronoknya. Kita semua ingin menyambut Hari Merdeka dengan rasa gembira, dalam suasana yang berwarna-warni dengan perasaan bangga. Malangnya ada pihak yang mengambil kesempatan untuk merosakkan kegembiraan itu.

Pihak yang ingin mengadakan demonstrasi tidak pernah mendapatkan permit dan pihak polis tentu sekali tidak akan membenarkan apa jua bentuk demonstrasi diadakan pada Hari Merdeka. Oleh itu, saya menyeru kepada mana-mana pihak yang ingin mengadakan demonstrasi agar membatalkan hasrat mereka.

Kalau hendak tunjuk perasaan pun, tunggulah selepas Hari Merdeka. Pihak polis sedia mempertimbangkan permohonan rapat umum yang mereka kemukakan.”

“Apa yang akan pihak polis lakukan sekiranya berlaku juga demonstrasi?” tanya Palie lagi.
“Seperti yang saya kata tadi, pihak polis bertanggungjawab untuk menjaga ketenteraman awam. Oleh itu, kami akan mengambil tindakan terhadap pihak yang sengaja cuba mencemarkan upacara yang gilang gemilang itu,” jawab datuk Farush dengan tenang tetapi tegas.

“Apakah pihak polis akan mengenakan ISA terhadap mereka yang terlibat di dalam demonstrasi esok?” Palie cuba mendesak dengan soalan berbentuk provokasi.
“Itu soalan spekulasi. Saya tak mahu jawab soalan berbentuk spekulasi. Sekian, terima kasih,” jawab Datuk Farush dengan senyuman sinis seraya bangun.

Beberapa orang wartawan cuba mengejar dan melontarkan beberapa soalan.
Namun, Datuk Farush hanya tersengih lantas berlalu.

Bersambung lagi, insya-ALLAH...

Saturday, December 18, 2010

FRAGMEN 52: DETIK DEBAR


Foto: Eramuslim.com

Sekretariat Anti-Keganasan Amerika (SAKA), Wangsa Maju


KIRA-KIRA 30 orang wartawan sudah berkeliaran di luar pejabat SAKA. Mereka daripada akhbar arus perdana, alternatif, rangkaian televisyen, internet malah wartawan daripada luar negara kini sedia menanti sebuah sidang akhbar penting yang akan diadakan sebentar lagi.

Beberapa orang petugas kelihatan sedang mempersiapkan kerusi dan meja yang diletak di kaki lima pejabat NGO itu. Oleh kerana pejabat SAKA yang kecil, sidang akhbar NGO itu biasanya dibuat di luar sahaja.

“Eh, abang ada kat sini pulak? Nak buat liputan jugak ke?”
Fariz tersenyum seraya bersalaman dengan Palie. Dari tadi lagi dia sudah nampak Palie dari jauh. Fariz sengaja menghampiri wartawan itu agar Palie sedar akan kehadirannya. Dia tidak mahu Palie terkejut akan kedatangannya pada waktu yang tidak sesuai hingga mencuri tumpuan orang lain.

Pandangan wartawan itu segera tertarik dengan kehadiran Jennifer di sisi Fariz. Dari gerak laku Palie, Fariz tahu, Palie tertanya-tanya apa kaitan Fariz dengan wartawan mat salih ini. Tanda tanya yang boleh menimbulkan kecurigaan perlu segera Fariz matikan agar tidak mengundang masalah hingga di luar jangkaan.

“Saya perkenalkan... Jennifer Miles dari WorldLiveLine! Jennifer... this is my friend, Palie from Sinar Harian.”
“Hi!” Kedua-duanya saling menyapa serentak sambil tersenyum.

Perbualan mereka terhenti apabila beberapa orang wartawan mula bertumpu ke hadapan di mana sidang akhbar akan dibuat. Kelihatan Buang Bakar sudah sedia duduk di kerusi sambil tersenyum-senyum. Seronok melihat begitu ramai para pemberita menghadiri majlisnya. Bangga kerana dirinya mendapat perhatian media, lebih-lebih lagi media dari luar negara.

“Tuan-tuan sekalian...” Buang Bakar memulakan ucapan ringkasnya. “Terima kasih kerana datang ke sidang akhbar ini. Esok, adalah 31 Ogos... hari merdeka bagi negara Malaysia. Tetapi hari merdeka kali ini tiada erti apabila kita mempelawa satu kuasa besar untuk sama-sama hadir. Kita semua tahu bahawa pada hari esok, Presiden Amerika, John Martinez akan berdiri di pentas utama bersama-sama dengan para pemimpin negara kita.

SAKA berpendirian untuk tidak mengiktiraf kehadiran John Martinez kerana dia adalah simbol paksi kejahatan Amerika. Malah, sikap kerajaan kita menerima kehadiran John Martinez menggambarkan seolah-olah kita tunduk kepada kuasa perosak dunia ini!

SAKA tidak rela perarakan Hari Merdeka kita dicemari dengan kedatangan Presiden sebuah negara kuku besi. Malah, SAKA berasa malu kerana kita seolah-olah tiada maruah kerana membenarkan ketua negara yang bertopengkan syaitan hadir untuk ditabik dan dihormati dalam majlis yang suci di negara kita yang berdaulat ini!”

“Bukankah Amerika telah menunjukkan sikap pragmatiknya kerana baru beberapa hari yang lalu telah mengumumkan pendiriannya untuk menerima sistem ekonomi Islam?” seorang wartawan mencelah.
“Itu semua lakonan! Mana mungkin John Martinez mengubah sistem ekonomi Amerika sedangkan seluruh sistem kewangannya dicengkam oleh kuasa Yahudi sejak berkurun lamanya?”

“Tapi John Martinez juga telah menemui keluarga mangsa kapal al-Bahr untuk menunjukkan rasa simpati Amerika! Bukankah itu satu lagi petanda bahawa Amerika secara tidak langsung telah meminta maaf di atas kesilapannya?” sampuk seorang wartawan lagi.
“Apakah nyawa boleh dikembalikan dengan sebuah senyuman dan tepukan di bahu? Apakah kita mudah digula-gulakan dengan sebuah majlis minum petang?” jawab Bakar, lantang.

“Jadi, apa kaitan sidang akhbar ini dengan Presiden Amerika dan Hari Merdeka?” Tiba-tiba Palie mencelah.
“Maksud saudara?” soal Bakar kembali.
“Apa yang SAKA ingin lakukan apabila melihat John Martinez di pentas utama esok?” jelas Palie. Sambil tersenyum, Bakar menjawab, “Kita akan pastikan John Martinez turun dari pentas dan terus balik ke Amerika!”

“Bagaimana kalau dia tak mahu turun?”
Pertanyaan itu membuatkan Bakar tersentap. Dia merenung Palie sambil mengetap bibirnya. Menzahirkan rasa geramnya kerana Palie meningkah jawapannya dengan soalan.
“Jangan kita pandang rendah kepada kuasa rakyat! Kuasa rakyat akan dapat kita lihat esok!” jawab Bakar, lantang. “Next question!”
“Apakah kuasa rakyat yang saudara maksudkan itu? Apakah ia bermakna SAKA akan berdemonstrasi untuk memaksa John Martinez turun daripada pentas?” soal Jennifer pula.

Bakar tersenyum lega. Lakonannya memancing minat seorang wartawan asing bertanyakan soalan. “Ya! Kita akan berarak bersama-sama rakyat untuk menunjukkan bahawa kita benar-benar merdeka! Kita akan laungkan kata-kata yang akan membuatkan John Martinez tertunduk ke tanah!”

“Bukankah perarakan SAKA esok akan mengganggu satu upacara murni negara anda sendiri? Tidakkah ia nanti akan memalukan Malaysia kerana dunia juga akan memancarkan perarakan Hari Merdeka apabila Presiden Amerika hadir?”

“Atas nama demokrasi, atas nama kebebasan, atas nama maruah… SAKA tidak akan mengizinkan John Martinez berdiri lama di pentas utama. Kami akan turunkan dia daripada pentas walau apapun yang terjadi!”

Jawapan Buang Bakar membuatkan para wartawan saling berpandangan. Ada yang kelihatan seronok kerana bakal mendapat cerita yang menarik pada hari esok. Tidak kurang juga yang mencemuh.
Bersambung lagi, insya-ALLAH...

Sunday, December 12, 2010

FRAGMEN 51: DETIK DEBAR


Foto: exmsft.com

Apartment Selesa, Kota Damansara

PAGI. Omar melangkah perlahan sambil membaca akhbar. Di tangan kirinya ada sebungkus plastik berisi capati yang baru dibeli di restoran berhampiran dengan apartment tempat tinggalnya. Biasanya, pada sebelah pagi, Omarlah yang membelikan sarapan untuk diri dan teman-temannya.
Tumpuan bacaannya terganggu apabila melewati laman rekreasi. Kedengaran suara seorang lelaki memberi instruksi kepada sekumpulan warga tua dari kaum Cina yang sedang beriadah taici. Beberapa orang remaja sedang bersembang di bangku. Dan tiga orang kanak-kanak sedang bermain badminton.

Omar melangkah ke dalam lif. Seketika sahaja dia sudah tiba ke aras tempat kediamannya. Ketika menghampiri ke pintu apartmennya, Omar ternampak seorang kanak-kanak sedang terlompat-lompat hendak menggapai sesuatu dengan reket badmintonnya.

Dia cam, kanak-kanak itu tinggal di hadapan biliknya. Kanak-kanak itu terlompat lagi. Omar tersenyum bila melihat kanak-kanak itu sedang cuba menguis sebiji bulu tangkis yang tersangkut di celah kotak lampu kalimantang di siling.

“Mari… biar uncle tolong…” sapa Omar.
Kanak-kanak itu menoleh dengan wajah yang terkejut. Memang dia tidak sedar langsung akan kehadiran Omar kerana begitu asyik berusaha untuk menggugurkan bulu tangkis itu ke lantai. Sebentar tadi, ketika menanti lif untuk turun ke bawah bermain bersama kawan-kawannya, dia melambung-lambung bulu tangkis. Kerana terlalu kuat lambungannya, bulu tangkis itu tersangkut.

Tanpa berkata apa-apa kanak-kanak itu menghulurkan reketnya kepada Omar. Hanya dengan menjengketkan kakinya, Omar dapat menjulurkan reket itu ke celah kotak lampu kalimantang lalu menguis bulu tangkis itu ke bawah.

Tanpa bersuara juga, kanak-kanak itu terus mencapai reket dari tangan Omar dan segera mengambil bulu tangis lalu berlari memasuki lif yang sudah terbuka. Omar hanya tersenyum dan tergeleng-geleng melihat ulah kanak-kanak itu. Dia tidak kisah walaupun kanak-kanak itu tidak berbahasa untuk mengucapkan terima kasih kepadanya.

Sambil memutar kunci pintu apartment, Omar tertoleh semula ke arah lampu kalimantang. Ada sesuatu yang menarik pandangan matanya. Terdapat seutas wayar hitam terjuntai dari celah kotak lampu itu. Dia tidak sedap hati. Lantas Omar menghampiri lampu itu untuk memeriksa wayar yang terjuntai itu.

Tiba-tiba dia melompat dan merentap putus wayar itu. Diamati hujung wayar yang mempunyai bentuk bulat seperti guli. Permukaannya berkilat bila dipanah cahaya.
‘Lensa?’ kata hatinya. Dahi Omar berkerut. Dia mengesyaki sesuatu. Lantas dia menerpa masuk ke apartmentnya. “We are in trouble!” pekiknya.

Omar mencampak akhbar dan bungkusan makanan ke atas meja. Kerana balingannya tidak cermat, bungkusan capati itu jatuh ke lantai. Omar tidak peduli. Dia berlari ke dalam bilik pula. Ditariknya selimut Ali dan Moussa. Kedua-duanya celik dan terpisat-pisat. Masing-masing menggeliat dan menguap.

Omar memanjat kerusi dan mencapai alat pendingin hawa lalu dibuka penutupnya. Di situ terdapat seutas lagi wayar berlensa. “Spycam! Kita diintip! Kita mesti keluar dari sini! Sekarang!”

Pekikannya kali ini benar-benar mengejutkan Ali dan Moussa. Kedua-duanya bingkas bangun dan berpandangan sesama sendiri. Kemudian memandang Omar dengan wajah yang cemas.

OMAR menghidupkan enjin kenderaan pacuan empat rodanya. Ali dan Moussa kelam-kabut menjinjing beg masing-masing sebelum masuk ke dalam kenderaan dan menutup pintu. Pandangan Omar teralih ke kisi-kisi penghawa dingin di dalam kenderaannya. Lantas dia mencabutnya. Dia menjulurkan jejarinya ke dalam lubang penghawa dingin kenderaan. Lalu dikeluarkan satu lagi kamera intipan.

“Cis! Polis Malaysia dah intip kita!” ujar Omar lalu mencebir.
Kenderaan segera terundur. Bunyi tayarnya berdecit. Omar memutar stering dan kenderaan mula bergerak laju meninggalkan kawasan parkir. Apabila ia melewati persimpangan, Omar membaling wayar spycam ke luar tingkap!

“Damn!” katanya sambil menggigit bibirnya.

Pusat Kawalan BISIK, Putrajaya

SEORANG pegawai Unit Pemantauan terkial-kial menekan butang-butang di papan kekunci komputernya kerana tiada imej yang terpapar. Dia menekan-nekan lagi. Tetapi imej di skrin sudah tiada. Yang kelihatan hanyalah bintik-bintik kelabu seperti televisyen yang tamat siaran.

“Imej Pak Arab tu dah hilang! Kamera 1, 2 dan 3 sudah tidak berfungsi!” kata teman di meja sebelahnya. “Biar aku panggil Encik Suren!”
Ketua Pegawai Penyelidik itu segera dipanggil ke Unit Pemantauan. “Kalau imej kamera dah tak ada, cuba pantau dengan GPS,” gesa Suren.

Kedua-dua pegawai itu mencuba pula pemantauan dengan isyarat GPS. Namun, mereka tidak dapat mencerap lokasi kenderaan pacuan empat roda yang membawa Omar, Ali dan Moussa itu. Dahi Suren berkerut. Dia hairan bagaimana mereka boleh hilang isyarat intipan secara tiba-tiba.

KIRA-KIRA 5 kilometer perjalanan, Omar menghentikan kenderaan di sebuah padang letak kereta lalu mengarahkan Ali dan Moussa untuk keluar. Omar mengajak rakan-rakannya untuk masuk ke sebuah kereta Proton Saga yang terparkir berhampiran. Seketika sahaja kereta curi itu bergerak meninggalkan Kota Damansara.

Bersambung lagi, insya-ALLAH...

Saturday, December 4, 2010

FRAGMEN 50: DETIK DEBAR


Foto: picasaweb.com

Hotel Pan-Pacific, KLIA,Sepang, Selangor

JAM 12.00 malam. Sudah lebih setengah jam David Doron di Traveller’s Bar & Grill. Menanti orang yang dikatakan akan turun dari bilik hotel untuk menemuinya. Sambil menunggu, dia hanya membiarkan pelayan menuang air mineral ke dalam gelasnya. Dia tidak berselera hendak minum mahu pun makan.

Yang lebih penting ialah bertemu dengan orang yang berjanji dengannya. Alvaro. Itulah orang yang mesti disambutnya. Ketua The Group di Amerika, Gluke Chayim mengarahkan beliau bertemu dengan lelaki itu sebaik sahaja beliau tiba di Kuala Lumpur.

Sambil duduk, dia melayani hatinya yang mula tidak sabar dengan mendengar muzik live band di sudut restoran. Pandangannya turut memantau suasana sekeliling restoran. Mana tahu, Alvaro pula sedang menantinya.

Apabila ada seseorang melangkah masuk pintu restoran, David pasti menjeling dengan harapan itulah Alvaro. Namun, setiap kali juga dia mengeluh dalam kerana yang menjengah, bukannya Alvaro, tetapi para pelanggan yang datang berdua, bertiga mahupun berkeluarga.

“Encik David Doron?”
“Ya…” jawab David seraya mendongak. Memandang pelayan yang menuang air di gelasnya tadi. Pandangannya menjalar dan turun ke tangan pelayan itu. Ada sehelai kertas yang dihulur kepadanya.
“Ada seseorang yang memberi tuan nota ini…” kata pelayan itu.
“Di mana dia?”
“Dia baru sahaja berlalu ke luar sana…”
“Terima kasih,” jawab David Doron seraya membuka kertas nota itu.

David Doron bingkas bangun. Sambil menyeluk ke poket mencapai fonselnya, dia melangkah pantas keluar dari restoran itu. Di pintu besar hotel, dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Tercari-cari kalau-kalau kelibat Alvaro kelihatan.

Helo…” sapa David Doron apabila panggilannya disambut. “Kamu di mana?”
“Change of plan!” kedengaran Alvaro menjawab. “Kini aku dengan seseorang menuju ke Kuala Lumpur. Aku dengar KL di waktu malam amat indah. Lebih-lebih lagi kini sedang berhias untuk menyambut Hari Merdekanya. Aku rasa rugi kalau tak tengok sendiri.”

David tercebir mendengar kata-kata itu. Dia tahu apakah yang akan dilakukan Alvaro. Petang tadi Gluke Chayim menghubunginya mengenai rancangannya yang akan dilunaskan oleh Alvaro.

Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

LAMA
juga Fariz menunggu Jennifer yang menemui Tuan Presiden. Meskipun bosan dan terasa tugasnya ini semakin tidak mencabar mental dan fizikalnya, Fariz terpaksa akur dengan arahan BISIK agar Jennifer dilayani seperti seorang teman rapat. Kerana itu, sebaik sahaja Jennifer muncul di sisi keretanya, Fariz memaksa senyuman manis di bibirnya agar wartawan itu tidak rasa bersalah sehingga membuat Fariz menunggunya begitu lama.

Kini, kereta yang dipandu Fariz memasuki Lebuhraya Damansara-Puchong dan kemudian menghala ke Kuala Lumpur. Suasana Lebuhraya Persekutuan yang agak lengang di waktu malam memudahkan perjalanan yang lancar. Sebentar sahaja mereka sudah memasuki Jalan Bangsar dan kemudian ke Jalan Hishamuddin menuju ke Dataran Merdeka.

LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur

SUASANA di stesen ini sudah sunyi. Tiada lagi manusia yang ada di situ seperti pada waktu siangnya apabila masing-masing menggunakan perkhidmatan LRT sebagai kenderaan pengangkutan. Lampu-lampu utamanya telah dipadamkan. Yang tinggal hanyalah lampu-lampu kecil di beberapa tempat sekadar untuk menerangi kawasan sekeliling.

Satu lembaga kelihatan bergerak lincah menyelinap menghampiri pletform. Pergerakannya dilakukan secara berhati-hati kerana tersilap langkah, wajahnya akan dirakam CCTV di stesen itu. Bunyi kenderaan menghampiri membuatkan lembaga itu mematikan langkah. Dia terus mengepilkan diri di balik tiang di ruang yang gelap. Menghaibkan kehadirannya dari mata manusia dan juga kamera.

Dari hujung landasan, kelihatan sebuah cahaya bergerak menghampiri stesen. Ia bukan lampu tren, tetapi lampu sorot dari sebuah koc penyenggaraan LRT. Tren itu berhenti sebaik sahaja tiba di stesen ini. Dua orang orang petugas menuruninya dan melangkah ke atas landasan. Langkah mereka begitu berhati-hati. Walaupun aliran elektrik telah dimatikan kerana proses penyenggaraan dilakukan, namun sikap berhati-hati mereka itu adalah prosedur operasi yang mesti dipatuhi.

Seorang petugas melangkah ke atas pletform, menuju ke peti kawalan. Dia membuka peti itu dan memeriksa semua suis-suis dan lampu-lampu kecil untuk mempastikan sama ada ia masih berfungsi dengan baik.

Petugas yang seorang lagi menyusuri landasan. Sambil melangkah, dia menyuluh ke sekitar kawasan untuk mempastikan keadaan rel secara fizikalnya dalam keadaan baik. Langkahnya terhenti apabila dia tersuluh sebuah kotak rokok di celah landasan.

Diambil kotak itu lalu dimasukkan ke dalam plastik sampah yang dibawanya. Para penumpang yang tidak berdisiplin selalu sahaja membuang sampah merata-rata. Apabila malam tiba, petugas sepertinyalah yang perlu memeriksa dan membersihkan landasan. Kadangkala, dia bukan sahaja menemui sampah. Ada masanya dia menemui puting susu, selipar, malah dompet duit.

Petugas yang berada di pletform mula menaiki kenderaan, diikuti oleh petugas yang berada di atas landasan. Oleh kerana tugas itu sudah menjadi rutin, masing-masing terus melakukan kerja tanpa berbual-bual. Mereka juga mengejar masa. Ada lebih kurang 15 kilometer lagi perjalanan yang harus ditempoh dan 12 lagi stesen yang harus diperiksa yang mana stesen yang akhir sekali ialah Terminal Putra, di Gombak.

Enjin koc penyenggara dihidupkan, lampu sorot terpasang dan ia mula bergerak menuju ke stesen berikutnya. Suasana sepi kembali seperti asal. Dan lembaga yang menanti di balik tiang tadi muncul kembali. Dengan perlahan tetapi berhati-hati, dia menuruni landasan dan melangkah menuju ke arah terowong gelap menuju ke Stesen Masjid Jamek. Sambil melangkah, dia terus memakai kacamata night vision untuk membantu pandangannya.

Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

JAM besar di Bangunan Sultan Abdul Samad menunjukkan pukul 1.00 pagi. Meskipun keadaannya lebih sunyi daripada siangnya, masih ramai lagi manusia yang bersantai di padang Dataran Merdeka. Selain daripada melepak, terdapat juga pasangan-pasangan yang berdating.
Pentas untuk menyambut Hari Merdeka sedang disiapkan. Para pekerja bertungkus lumus bertukang bagi mempastikan pentas kehormat itu siap menjelang 31 Ogos. Tambahan pula kontraktor binaan baharu sahaja menerima maklumat bahawa Presiden Amerika akan turut hadir bagi menyaksikan sambutan yang gilang gemilang itu.

Fariz menjadi seperti pemandu pelancong bila menerangkan kepada Jennifer bangunan-bangunan yang berada di sekeliling Dataran Merdeka. Serba sedikit mengenai latar belakang bangunan juga diterangkannya. Banyak juga soalan Jennifer. Dan bukan semua dapat dijawab Fariz. Kini mereka melangkah ke padang hijau Dataran Merdeka.

“Lintas hormat akan bermula daripada sana…” ujar Fariz seraya menunjukkan arah hujung Jalan Raja. “Ia berakhir di hujung sana…” kata Fariz lagi lalu menuding ke arah Jalan Raja Laut.

“Mereka tidak berarak?” soal Jennifer sambil mencekak pinggangnya. Matanya tertumpu ke arah pentas utama, melihat para pekerja memasang kayu rusuk sebelum meletakkan papan lapis tebal di atasnya. “Di negara saya, perarakan Hari Kemerdekaan berkilometer jauhnya dari 7th Street hingga ke 17th Street.”

“Oh, tidak di sini. Tapi segala persembahan yang berwarna-warni dilakukan di atas padang ini,” jawab Fariz sambil mendepangkan tangannya dan memutar dirinya 360 darjah bagi menggambarkan keseluruhan padang ini akan digunakan buat persembahan.

“Ayuh kita ke sana… saya nak tengok jam besar itu dari dekat,” kata Jennifer seraya melangkah menuju ke Jalan Raja.

Sambil memerhati jam besar dan Bangunan Sultan Abdul Samad yang disirami cahaya indah, mereka juga asyik melihat para pekerja menyiapkan pentas. Sebuah lori tiba. Beberapa orang para pekerja segera memanjat lori dan memunggah bergulung-gulung permaidani.

“Boleh kita balik?” Tanya Fariz setelah beberapa ketika mereka berlegar-legar di kawasan pentas.
“Jom… awak dah mengantuk, kan?” usik Jennifer.

SEBUAH penutup lubang perparitan yang terdapat di Jalan Raja kelihatan bergerak-gerak. Tidak lama kemudian ia terbuka sedikit. Dari dalam lubang itu terjengol kepala seseorang. Dia memerhati ke sekeliling dan kemudian mendongak.

Dia tersenyum kecil kerana kontaknya di sini telah memberinya peta perparitan bawah tanah Kuala Lumpur yang lengkap. Ya. Dia kini muncul dari lubang yang betul, iaitu lubang yang berada di bawah pentas kehormat.

Perlahan-lahan, lubang itu ditutup kembali. Malam esok, dia akan kembali semula ke tempat ini. Esok juga, setelah permaidani pentas sudah terbantang dia akan menebuk lubang kecil ~ cukup untuk menjulurkan pistol automatik.

Tembakan akan dilakukan dari bawah. Peluru akan meluncur tepat menembusi kelengkang John Martinez dan hinggap di jantung lelaki itu. Dia tersenyum kecil lagi. Ya, selama ini Alvaro tidak pernah gagal dalam melaksanakan misinya.

Hotel Prominent, Putrajaya

SATU ketukan perlahan kedengaran di pintu. John Martinez hanya memasang telinga. Tidak mahu bangkit dari pembaringannya. Dia dapat mengagak siapakah yang datang ke biliknya. Kedengaran tombol pintu diputar. Kemudian bunyi langkah kaki yang perlahan menginjak permaidani bilik tidur suitenya semakin menghampiri.

“Hello…” kedengaran suara menyapanya.
“My God… you’re late…”
Perlahan-lahan John menoleh dan memandang orang yang menegurnya.
“I need you... sit down, here beside me, Jack!” bisik John.

Bersambung lagi, insya-ALLAH

Saturday, November 27, 2010

FRAGMEN 49: DETIK DEBAR


Foto: onekingwest.com

Hotel Prominent, Putrajaya

JENNIFER
mengeluh lega apabila John muncul akhirnya. Sudah lebih sejam dia menanti Tuan Presiden, baru kini dia kembali ke suitenya. Kebosanan yang sudah lama menyelinap di hati Jennifer mula reda. Petang tadi, ketika jamuan minum petang, John mengajaknya untuk bertemu.

Walaupun bersetuju, Jennifer tidak menyangka pertemuan pada jam 11.00 malam seperti yang dijanjikan begitu terlewat. Kalau tidak kerana Ed Arden yang menghubunginya, dia tidak terfikir John benar-benar ingin berjumpa dengannya. Maklumlah orang politik. Ketika di hadapan, macam-macam pelawaan boleh dibuat. Sebaik sahaja berpaling, apa yang diperkata dalam seminit boleh dilupakan.

Sambil menjeling ke arah jam tangannya yang sudahpun menunjukkan jam 12.10 malam, Jennifer melontarkan sebuah senyuman ke arah lelaki itu. Senyuman untuk menyenangkan hatinya dan senyuman perli untuk lelaki yang tidak menepati waktu itu.
“Maafkan saya kerana terlambat, Jennifer,” ujar John seraya duduk di sofa di hadapan wartawan itu. “Mahu minum, Cik Miles?”
Jennifer menggeleng.

“Makan?”
Jennifer menggeleng lagi. Kalau boleh dia mahu segera tahu apa yang ingin disampaikan oleh John. Setelah itu, dia ingin sekali beredar. Fariz telah berjanji untuk membawanya berjalan-jalan di Kuala Lumpur. Melihat Dataran Merdeka di waktu malam.

John mencapai dua buah gelas yang terletak di sisi meja. Kemudian dia mengambil sebotol air mineral. Setelah kedua-dua gelas itu penuh, dia meletakkan satu daripadanya di hadapan Jennifer.
“Terima kasih,” ujar Jennifer.

“Rasalah sedikit,” kata John seraya menghulurkan sebotol kecil kacang pinyon pula.
Jennifer tidak terasa untuk makan apa-apa pada saat ini. Namun dia mengambil dua butir sekadar mengambil hati. Perlahan-lahan dia mengunyah sambil ternanti-nanti apakah tujuan John ingin bertemu dengannya.

“Awak wartawan terkenal, Jennifer,” John memulakan kata. “Kami di kalangan orang politik pun mengenali dan mengikuti perkembangan kamu. Nama kamu meniti di bibir kami lebih-lebih lagi sejak kisah kamu dengan dua kanak-kanak Palestin itu tercetus.”
“Boleh saya tanya, Tuan Presiden?” soal Jennifer. “Apakah benar, kisah saya sengaja dibiarkan mendapat liputan meluas media supaya pandangan dunia teralih daripada isu sokongan Amerika terhadap Israel?

Apakah tuan yang mengatur untuk keluarkan saya dari Palestin... agar saya tak boleh lagi menceritakan penderitaan rakyat Palestin? Dan apakah tuan penyokong negara Israel seperti mana-mana Presiden Amerika sebelum ini?”

Pandangan mereka bertembung. Mata Jennifer jelas tajam menikam. Dadanya pula mula berombak. Segala perasaan membungkam di dadanya telah diluahkan kepada Presidennya.
Dia melihat mata John yang redup menahan resah di hati. Kelihatan dia mengeluh dalam setelah mendengar kritikan Jennifer. Kemudian dia menegur liur sebelum menjawab, “Tidak. Itulah jawapan kepada semua soalan kamu, Miles. Saya tidak ada apa-apa agenda terhadap kamu…”

“Tapi, segala tindakan Tuan…”
Kata-kata Jennifer terhenti apabila John mengangkat tangannya sebagai isyarat agar Jennifer tidak menyambung kata. “Janganlah kita beretorik pada malam ini. Kalau saya nafikan pun, kamu tidak akan mahu percaya. Mari kita ketepikan perkara itu, sekurang-kurangnya buat seketika ini. Sebab… saya ada sesuatu yang penting yang hendak saya sampaikan.”

Rasa ingin tahu, segera menyelinap di sanubari Jennifer. Apakah perkara yang penting sangat yang ingin disampaikan oleh John? Kepentingan peribadi? Kepentingan nasional? Atau, kepentingan dunia?

“Kamu sudah maklum akan pengaruh Yahudi di Amerika. Kamu tentu tahu yang saya tak sukakan pengaruh mereka hingga menjejaskan segala apa yang pentadbiran saya putuskan. Malah, semua Presiden Amerika amat benci dengan pengaruh Yahudi di dalam pentadbiran masing-masing. Mereka hanya berani bersuara selepas meletak jawatan.

Saya tak mahu jadi seperti mereka. Sebab itu saya berani nyatakan pendirian saya. Kemuncaknya ialah pada hari ini bila mana saya menunjukkan sokongan saya terhadap sistem kewangan Islam.”

Jennifer hanya memerhati John bersuara dengan nada perlahan namun tegas. Lelaki itu memandangnya pula seolah-olah untuk memeriksa sama ada dia hanya setakat mendengar ataupun menganalisa sekali apa yang telah dijelaskan John.

“Saya tahu kini saya menjadi ancaman kepada puak Yahudi yang menguasai ekonomi konvensional Amerika, malah ekonomi dunia. Tetapi, saya tiada pilihan. Saya ingin selamatkan Amerika dan juga dunia. Dan saya bersedia untuk menerima padahnya. Jennifer…” kata John semakin perlahan.

Jennifer mengangkat keningnya sebagai isyarat agar John meneruskan kata-katanya. Lelaki itu mengeluh sekali lagi sebelum menyambung kata, “Saya sedang menghitung hari. Saya sedang menunggu mati!”

“Kenapa Tuan bercakap begitu?” Secara spontan sahaja Jennifer bertanya. Rasa ingin tahu mula menguasai fikirannya.
“Saya sudah menerima ancaman maut! Malah, sebelum saya ke Malaysia pun, puak usahawan Yahudi sudah pun tahu akan hasrat saya yang menentang sistem ekonomi konvensional.

Mereka tahu yang saya sudah mewujudkan jawatankuasa pemandu ekonomi Islam di dalam jabatan pentadbiran saya. Sebelum ke terbang ke mari, saya sudah menerima ancaman yang melarang saya menzahirkan hasrat saya ini. Tengah hari tadi, saya mendapat panggilan yang mengugut nyawa saya berikutan dengan ucapan saya di PICC.

Jennifer… seandainya saya dapat hidup sebulan lagi… ia adalah
satu keajaiban. Sebab itu, saya memilih awak untuk berada hampir dengan saya untuk merakam peristiwa bersejarah seandainya apa-apa terjadi kepada saya di negara Malaysia ini.”
“Tapi, kenapa saya? Bukankah tuan punyai pasukan media tuan sendiri?” soal Jennifer.
“Kamu tentu bijak untuk memikirkan mengapa saya tidak memilih mereka, bukan?” jawab John dengan senyuman bermakna.

Kini, Jennifer pula yang mengeluh. Berbagai persoalan bersimpang-siur di fikirannya. Sebagai wartawan, dia tahu yang dia sudah bersedia untuk merakam dan melapor apa jua yang berlaku.

Tetapi, di sepanjang pengalamannya menjadi pemberita, dia tidak pernah diberikan tip apa yang akan terjadi oleh mana-mana pihak yang beliau ingin liputkan. Lebih-lebih lagi tip dari seorang pemimpin besar negaranya, John Martinez.

Bila memikirkan itu, bulu tengkuknya tiba-tiba meremang.
Ada rasa bersemangat. Ada juga terasa gerun.
Bersambung, insya-ALLAH...

Sunday, November 21, 2010

FRAGMEN 48: DETIK DEBAR


Foto: mirakimura.blogspot.com

Seri Perdana, Putrajaya

SELEPAS jamuan makan malam sempena Persidangan WIEC, PM memperlawa John Martinez untuk singgah ke kediamannya. Kini, mereka berdua berada di laman Seri Perdana. Duduk-duduk menikmati suasana malam.

Dalam keadaan yang santai, perkara-perkara rasmi tidak lagi dibicarakan. Sebaliknya, banyak kisah-kisah lama sewaktu mereka menuntut yang dibualkan. Sebenarnya ada sesuatu yang hendak diperkatakan oleh John kepada sahabatnya. Namun, dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan.

“Aku nampak engkau susah hati, John. Ada apa-apa yang sedang mengganggu fikiran engkau?” tanya PM perlahan setelah melihat beberapa kali John termenung melayani fikirannya.
John tersenyum tawar setelah meneguk minumannya. Kacang pinyon yang ada semangkuk diambil sebutir dan disuap ke mulutnya.

“Engkau tahu… menjadi Presiden Amerika membuatkan aku jadi robot… masa aku diatur hingga ke setiap minit, langkah aku disusun laju dan lambatnya… sembilan daripada sepuluh patah perkataan yang aku tutur mesti daripada teks. Aku dah mula bosan.

Aku tahu apa yang bagus untuk Amerika. Dan, orang Amerrika pun ramai yang tahu apa yang bagus untuk negaranya. Yang jadi masalahnya ialah cengkaman golongan Yahudi terhadap ekonomi Amerika.

Tindakan aku mengumumkan hasrat negara aku untuk merombak sistem ekonomi mengikut sistem kewangan Islam sudah tentu sekali membuatkan ramai pelobi Yahudi di Dewan Senat marah kepada aku. Tapi aku mahu selamatkan negara aku. Cukuplah kita berlakon kononnya segala-galanya okey sedangkan kita orang Amerika tahu kita semua sedang menuju ke jurang ekonomi yang dalam. Sebab itu, aku bersedia bila tiba harinya…”

PM memandang John Martinez dengan kerutan di dahinya. “Bersedia untuk ketibaan hari apa, John?”
John memandang PM. Bahunya diangkat seiring dengan keningnya. “Hari di mana aku… ditentang oleh mereka di dalam parti aku hingga aku dijatuhkan…”

John menghirup lagi minumannya. Dia bangun dan melangkah ke tebing bukit. Melihat pemandangan Putrajaya yang berbalam-balam. Angin malam berhembus. Mengibarkan jalur gemilang yang berada tidak jauh daripada tempat dia berdiri. Bunyi kibaran bendera itu menarik perhatian Presiden Amerika itu. John mendongak memandang bendera keagungan Malaysia.

“Setiap kali aku terpandang Jalur Gemilang, pasti aku akan teringatkan Star-Sprangled Banner. Jalur merah putihnya serupa. Bendera kita akan berbeza bila ia berkibar. Bendera kamu mempunyai bulan dan bintang, sementara benderaku punyai 50 bintang-bintang kecil.

Oh, tiap kali aku memandang bendera mana-mana negara pun, aku akan berasa bersemangat kerana bendera melambangkan semua nilai-nilai agung sesebuah negara… keberaniannya… kesetiaannya… kemerdekaannya…” John berfalsafah pula.

“John…” PM bangkit daripada bangkunya dan melangkah menghampiri John. “Kebetulannya lusa negara aku akan menyambut Hari Kemerdekaannya. Sekarang, aku nak jemput kau hadiri dan saksikan hari bersejarah negara aku.”

“Oh, kenapa kau tidak beritahu aku lebih awal? Kalau tidak, boleh aku peruntukan masa untuk menghadirinya. Tapi…” John menoleh. Melontarkan pandangannya ke arah anjung sisi Seri Perdana. Kelihatan beberapa kelibat manusia sedang berlegar-legar di situ. Mereka adalah para pegawai Presiden yang menemani beliau. “Doron!”

Seseorang kelihatan bergegas menghampiri John. Apabila menghampiri, barulah kelihatan yang orang itu adalah David Doron, Setiausaha Politik John Martinez.
“Apa rancangan saya esok?” tanya John. “Tuan seharusnya berada di Filipina menghadiri pertemuan dengan Pertubuhan Usahawan Amerika-Filipina pada sebelah pagi. Pada sebelah petang, tuan harus menemui tentera kita di Clark Air Base. Pada sebelah malam pula Jamuan Makan Malam Presiden Filipina,” kata David.

“Tangguhkan kesemuanya lusa,” kata John ringkas tetapi tegas.
“Tapi, tuan…” ujar David. Wajahnya jelas kelihatan terkejut dengan arahan Tuan Presiden.
“Saya ingin meluangkan masa lebih lama sedikit di Malaysia. Saya ingin saksikan Hari Kemerdekaan Malaysia. Kita berangkat ke Manila pada petang esok!”

“Baik, Tuan Presiden. Kalau begitu, saya akan aturkan kesemuanya,” jawab David Doron seraya mencapai fonsel di poketnya. Setelah beberapa langkah meninggalkan PM dan John Martinez, David Doron mula mendail seseorang.

“Halo, Encik Buang Bakar… mahukah awak muncul di kaca televisyen di seluruh dunia kerana menentang Amerika?”
Bersambung, insya-ALLAH...

Sunday, November 14, 2010

FRAGMEN 47: DETIK DEBAR


Foto:mountalexander.vic.gov.au

World Economic Islamic Conference, PICC Putrajaya

PARA wartawan yang sedia menanti John Martinez terus mengerumuni beliau sebaik sahaja beliau keluar daripada dewan persidangan. Masing-masing mengemukakan soalan. Namun, John hanya tersenyum dan menggeleng penuh hormat.

“Tuan Presiden tidak akan membuat kenyataan akhbar pada petang ini. Tunggu esok pagi, jam 9.00 di Hotel Prominent,” kata David Doron dengan lantang kepada para wartawan.

Para wartawan yang bersesak-sesak di laluan John Martinez jelas kecewa. Masing-masing berhenti melangkah mengejar Tuan Presiden. Pada ketika itulah John terpandang Jennifer yang datang menghampirinya.
“Young lady! Saya tak sangka kita bertemu lagi,” sapa John lantas tersenyum.
“Saya ingin bertanya dengan tuan beberapa soalan…”
“Esok, Jenny… esok,” celah David Doron seraya menghadang Jennifer menghampiri John.

“It’s okey, Doron…” ujar John. Dia pula yang melangkah menghampiri Jennifer.
“Kita tak dapat minum kopi di White House, Jennifer… jadi… apa kata kita minum the tarik Malaysia, malam ini di hotel saya?”

Jennifer terpaku dengan pelawaan John. Benar. Dia menolak pelawaan John untuk minum kopi bersama di White House beberapa minggu lalu. Tetapi kali ini, situasinya sudah berbeza. Sebagai wartawan, kini dia pula yang lebih memerlukan John.
“Why not, Mr. President… why not?” jawab Jennifer seraya mengukir sebuah senyuman paling manis.

Hotel Prominent, Putrajaya

MAJLIS minum petang itu diadakan di dalam sebuah bilik kecil hotel ini, yang boleh memuatkan 40 orang. Hanya terdapat enam buah meja makan. Tiap satu menempatkan lapan buah kerusi. Ia sudah dipenuhi dengan para jemputan yang terdiri daripada para pegawai tinggi Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Penerangan dan Kementerian Dalam Negeri.

Di meja paling hampir dengan meja utama, terdapat beberapa orang pegawai daripada Kedutaan Amerika Syarikat yang ditemani oleh beberapa orang pegawai tinggi Kementerian Luar Negeri.
Masing-masing tidak berbual dengan gelak ketawa. Malah, perbualan hanya secara perlahan dengan penuh tertib kerana ia adalah sebuah majlis rasmi yang ringkas. Sesekali, pandangan masing-masing tertoleh ke arah sepasang suami isteri yang duduk penuh tertib di meja utama.

Mereka adalah Encik Abdul Samad bin Abdul Syukur dan isterinya Puan Sakinah binti Mustajab. Mereka adalah ibubapa Zamir Abdul Samad, kelasi yang terbunuh akibat terkena serpihan peluru dari kapal perang Amerika USS Nakota. Allahyarham adalah pekerja di kapal dagang Iran, al-Bahr yang ditembak oleh komando Amerika.

Kedua-duanya dijemput oleh pihak Kedutaan Amerika ke majlis ini kerana Presiden Amerika John Martinez, berhasrat untuk menemui mereka bagi mengucapkan takziah.

Beberapa orang petugas katering pihak hotel sedang sibuk mempersiapkan meja dan juadah berupa kuih-kuih Melayu seperti kuih lopis, kasui dan puding buah-buahan. Mr. Cook, tukang masak Presiden pun turut sibuk menuang kekacang pinyon ke dalam mangkuk-mangkuk kecil terutamanya di meja utama, di mana akan diduduki oleh John Marrtinez.

DI SEBUAH bilik hotel di tingkat 15 yang dijadikan bilik pemantauan BISIK, beberapa orang pegawainya sedang meneliti keadaan di dalam bilik jamuan itu melalui kamera CCTV rahsia yang tersemat di butang-butang para petugas catering jamuan, yang sebenarnya adalah anggota BISIK juga.

“Jennifer ni… cantik ya?” kata Darren, Eksekutif IT BISIK sambil menekur ke arah skrin. Memandang keayuan wartawan wanita itu.
“Jangan tengok lama-lama Darren. Nanti ada orang cemburu!” Normala yang turut berada di bilik itu mengusik.
Pandangannya teralih ke arah Fariz yang juga sedang memerhati keadaan di bilik jamuan itu. Fariz perlahan-lahan mengukir senyuman seraya menjeling ke arah Normala.

DAVID Doron, Setiausaha Politik Tuan Presiden muncul di ambang pintu. Menarik perhatian para hadirin. David mengangguk perlahan ke arah para hadirin tatkala melangkah masuk. Bersama-samanya ialah Jennifer Miles, wartawan WorldLiveLine yang turut dijemput oleh Tuan Presiden ke majlis itu.

Jennifer dibawa duduk di meja bersama dengan ibu bapa allahyarham. Wartawan itu kelihatan teragak-agak kerana berasa tidak layak ditempatkan di meja utama bersama-sama dengan Tuan Presiden. Namun, David Doron mengisyaratkan agar gadis itu duduk di sebelah Puan Sakinah. Jennifer menghulurkan senyuman kepada Puan Sakinah dan bersalaman dengannya sebelum duduk.

Belum pun sempat David melangkah kembali ke pintu, John Martinez sudah muncul bersama-sama dengan Perdana Menteri Malaysia. Semua para hadirin berdiri sebagai tanda hormat. John mengisyaratkan agar semuanya duduk kembali. Beliau terus bersalaman dengan Encik Abdul Samad sebelum melabuhkan punggungnya di sebelah Jennifer.

“Apa khabar, Tuan Presiden?” sapa Jennifer seraya menyambut tangan John Martinez untuk bersalaman.
“Bagus. Bagus sekali,” jawab John.
“Mengapa Tuan Presiden tidak mahu membuat kenyataan akhbar selepas persidangan pagi tadi?”
“Saya fikir tidak perlu mengulang apa yang saya cakapkan.”
“Bukankah pihak media inginkan ulasan lanjut mengenai pendirian Tuan?”

“Ha-ha,” John tertawa sinis. “Lihatlah di TV, akhbar dan internet. Para pemimpin dunia, pakar ekonomi, kewangan, wartawan dan blogger di seluruh dunia sudah mentafsirkan kesemuanya untuk saya. Saya rasa itu sudah lebih daripada cukup.”

Jennifer mengangkat kening dan mencebirkan bibirnya. Walaupun seharusnya John membuat kenyataan media, tetapi lelaki itu memang tidak sukakan formaliti. Inilah keunikan John Martinez yang tiada pada Presiden Amerika sebelum ini.

“Saya nak jumpa dengan awak, Jennifer,” tiba-tiba John berbisik ke telinga Jennifer.
Jennifer terkejut. Hampir tersedak air mineral yang sedang dihirupnya. “Err… boleh, Tuan Presiden,” jawab Jennifer.
“In private!”
Sekali lagi mata Jennifer mencerlang memandang John Martinez. Presiden itu tersenyum sedikit seraya mengenyitkan matanya. Dada Jennifer berderau. Pelbagai persoalan bersimpang-siur melintasi layar mindanya.

“Good evening ladies and gentleman...” juruacara majlis memulakan acara. “Kita bertuah kerana pada petang yang bermakna ini, kita dapat mengadakan sebuah majlis ringkas.
Pada petang ini, Kedutaan Amerika di Malaysia menjemput sepasang suami isteri, Encik Abdul Samad Abdul Syukur dan Puan Sakinah Mustajab bagi pihak Jabatan Presiden Amerika.

Pertemuan ini adalah di atas kehendak peribadi John Matinez, Presiden Amerika bagi menyampaikan rasa simpati yang amat mendalam terhadap apa yang berlaku terhadap anak kesayangan Tuan Abdul Samad dan Puan Sakinah. Bagi menyampaikan rasa simpati ini, saya dengan hormatnya mempersilakan Tuan Presiden, John Martinez untuk menyampaikan ucapan.”

John Martinez berdiri diiringi dengan tepukan para hadirin. Dia terus berjabat salam dengan Encik Abdul Samad lalu membisikkan sesuatu seraya memeluk bahu bapa itu dan mengajaknya ke rostrum. Kemudian dia melambai Puan Sakinah agar turut serta. Kini, kedua-dua mereka berdiri di sebelah kiri John.

“Selamat petang kepada semua.” John Martinez memulakan ucapan. “Kesilapan berlaku di mana-mana dan pada setiap ketika. Kesilapan adalah pengajaran yang amat berguna buat manusia. Tanpa kesilapan, manusia tidak akan tahu kelemahan diri dan berusaha memperbaikinya.

Amerika... dalam usahanya menjamin keselamatan manusia di seluruh dunia akan melakukan apa sahaja agar dunia sentiasa aman. Pada hari ini, malah pada saat ini kita berdepan dengan ancaman daripada seluruh pelosok dunia.

Amerika tidak sanggup melihat umat manusia hidup dalam ketakutan. Oleh kerana itu, kita akan bekerjasama dengan mana-mana negara untuk mengawal kesejahteraan umat manusia. Dalam melaksanakan tugasnya, kita akan bertindak dengan penuh tanggungjawab.

Tetapi, dalam proses melakukan apa yang sepatutnya, kita akan melakukan kesilapan yang tentunya tidak disengajakan. Baru-baru ini, dalam satu operasi di Selat Melaka, kapalperang USS Lakota telah bertindak ke atas sebuah kapal dagang al-Bahr.

Operasi menahan kapal itu terpaksa dilakukan kerana kapal dagang itu sebenarnya adalah sebuah kapal perisik pengganas yang pernah cuba mengintip kapalperang kami di Teluk Parsi. Ketika berlaku adegan tembak-menembak itulah anak Encik Abdul Samad dan Puan Sakinah yang disayangi itu telah terkorban.”

John berhenti seketika untuk meminum air yang disediakan di meja rostrum sebelum menyambung ucapannya. “Meskipun saya belum lagi menjadi seorang bapa...”
Kata-kata itu mengundang bisikan di kalangan para hadirin. Masing-masing berbicara kerana tahu John Martinez masih membujang. Ada di kalangan para hadirin yang tersenyum-senyum. Membuatkan John turut terenyum apabila pandangan mereka bertembung.
John menoleh ke arah PM yang sedang memerhatinya. Lelaki itu turut melemparkan senyuman lalu mengisyaratkan agar John meneruskan ucapannya.

“Meskipun saya belum lagi menjadi seorang bapa, saya juga mempunyai tujuh orang anak-anak saudara yang saya amat sayangi. Salah seorang daripadanya adalah Sheera, anak abang saya yang paling kecil.

Si kecil yang berusia 4 tahun ini cukup saya sayangi kerana saya pernah tinggal dengan keluarga abang saya ketika menuntut di kolej. Pada hujung minggu, apabila abang saya dan isterinya pergi membuat kerja-kerja kebajikan kira-kira empat jam di kelab, sayalah yang menjaga Sheera.

Pada setiap Sabtu, Sheera akan menceritakan kepada saya apa yang dia pelajari di tadikanya di sepanjang minggu itu. Permainan barunya, kawan-kawannya, dan apa sahaja yang dia lalui akan diceritakan kepada saya. Malah dia pernah cuba memadankan saya dengan cikgu tadikanya kerana Sheera kata, saya ini lelaki yang hensem!”

Kata-kata John mengundang tawa para hadirin. John tersenyum juga buat seketika. Namun kemudian wajahnya berubah sugul.

“Setelah saya melanjutkan pelajaran di universiti, Sheera kerap bersembang dengan saya di internet. Sehinggalah pada satu hari, apabila saya melihat kotak sembangnya terbuka dan saya mengucapkan ‘hi…’ tiba-tiba ucapan itu dijawab oleh abang saya sendiri.

Katanya, pada hari itu, Sheera tidak akan dapat lagi bersembang dengan saya. Malah, dia tidak akan dapat bersembang dengan saya sampai bila-bila. Saya bertanya ‘mengapa’ kepada abang saya.

Jawapannya adalah kata-kata yang saya tidak ingin dengari. Katanya, baru sebentar tadi, Sheera menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat lelah. Saya terkedu… memikirkan bagaimana orang yang paling saya sayangi telah pergi buat selama-lamanya.

Saya menangis bila teringatkan Sheera. Tidak mungkin saya akan menemui lagi anak kecil yang petah dan bijak seperti Sheera. Berminggu-minggu fikiran saya terganggu akibat kehilangan Sheera…

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian… apa yang dialami oleh Encik Abdul Samad dan Puan Sakinah adalah sama seperti yang saya lalui. Kami kehilangan orang yang amat dikasihi. Alangkah bahagianya andainya kita dapat bertemu lagi dengan mereka yang pergi meninggalkan kita.

Kerana itu, saya amat bersimpati terhadap apa yang berlaku ke atas Encik Abdul Samad dan Puan Sakinah...”
John menyeluk poket kotnya lalu mengeluarkan sepucuk sampul surat.

“Sebagai orang yang turut bersimpati terhadap apa yang terjadi, saya ingin menyampaikan sumbangan, bukannya sebagai Presiden Amerika, tetapi sebagai seorang insan yang turut berasakan kehilangan anda berdua...”

John melangkah menghampiri Encik Abdul Samad lalu menghulurkan sampul surat itu. Bapa malang itu nyata terharu dengan pemberian John. Kelihatan dia mengetap bibirnya ketika bersalaman dengan John. Seluruh para hadirin terdiam kerana turut bersimpati dengan kesedihan kedua ibubapa itu.

PINTU bilik terbuka. Para wartawan yang sedang melepak di lobi hotel kesemuanya tertoleh. Ada yang memanjangkan leher masing-masing untuk meninjau-ninjau kelibat John Martinez. Beberapa orang jurufoto sudah terlari-lari ke arah pintu. Pergerakan mereka terhenti apabila dihalang beberapa orang pegawai keselamatan Presiden.

“It’s okey guys…” gesa David Doron kepada para pegawai keselamatan yang membentengi laluan. “Silakan masuk, tuan-tuan para wartawan…”

Lampu sorot segera terpasang menerangi bilik ini. Para hadirin sudahpun menjamu selera. Hanya hidangan kopi dan manisan yang tinggal terhidang. John melambai ke arah para wartawan dan membenarkan mereka meletakkan alat perakam dan mikrofon masing-masing ke atas meja.

Mulutnya tidak henti-henti mengunyah kacang pinyon. Setelah meminta PM, Jennifer, Encik Abdul Samad dan Puan Sakinah turut sama menjamah kacang yang dibawanya daripada Amerika, dia mendepangkan tangannya seraya tersenyum simpul.

“Let’s start with the press conference…” katanya riang.
Maka lensa kamera pun berkelip-kelip memancarkan cahaya. Merakam wajahnya beraksi. Alat perakam pun turut berputar untuk merakam apa yang bakal diperkatakan oleh John mengenai pertemuan beliau dengan kedua ibubapa malang itu.

Apartmen Selesa, Kota Damansara

“HEI, hei, hei!” pekik Ali memecah kesunyian ruang tamu apartmen ini. “Cepat tengok apa yang aku nampak!”

Seketika sahaja Moussa terkocoh-kocoh muncul daripada bilik masing-masing. Mata mereka menyelusuri jari telunjuk Ali yang terarah ke skrin TV. Di kaca TV, tertayang siaran berita. Kelihatan John Martinez sedang tersenyum sambil menjawab soalan-soalan para wartawan dalam sidang akhbarnya. Mulutnya masih mengunyah kacang pinyon!”

“Nampak tak apa yang aku nampak?” tanya Ali lagi.
“Nampak apa?” soal Moussa kembali.
“Bodoh! Engkau tak nampak ke John Martinez sedang mengunyah kacang pinyon?”
“Habis tu?” Moussa bertanya kerana tidak mengerti.
“Maknanya dia tak mati… bahalul!” jerit Ali seperti orang histeria.

Baharulah Moussa terangguk-angguk faham. Kedua-duanya terkebil-kebil kecewa memandang John Martinez ketawa gembira. Racun polonium yang disembur Ali ke dalam botol kekacang pinyon bukannya tidak berkesan. Tetapi botol kacang itu telah diganti oleh BISIK. Ia dilakukan oleh Normala ketika menyambut beg berisi kacang itu daripada tukang masak Presiden, Mr. Cook apabila dia menyamar sebagai pemandu.

“Sepatutnya kita tembak sahaja Presiden Amerika tu. Tak payah pakai racun. Cara tu susah!” bebel Moussa.
“Engkau ingat, senang ke nak pergi tembak Presiden Amerika yang dikelilingi berpuluh-puluh pengawal?” bentak Ali.
“Boleh… kalau kena dengan caranya…”

Ali dan Moussa tertoleh apabila terdengar suara Omar. Lelaki itu baru sahaja keluar daripada biliknya. Dia melangkah perlahan lalu duduk di sofa bersama-sama Ali dan Moussa. Tangannya mencapai alat kawalan jauh lalu menghalanya ke TV. Seketika sahaja suara di TV diperlahankan.
“Kita masih berpeluang untuk menamatkan riwayat John Martinez, Presiden Amerika!” ujar Omar.

“Macam mana?” soal Ali dan Moussa serentak.
Omar mengeluh perlahan. Kemudian dia memandang Ali di kanannya dan Moussa di kirinya.
“Melalui jarak jauh…”
“Jarak jauh?” tanya Ali dan Moussa serentak.
“Hmm…”
“Bila kita boleh mulakan?” tanya Ali tidak sabar.
“Itu cerita esoklah pulak…” jawab Omar tenang.

Sekali lagi alat kawalan jauh dihalakan ke TV. Saluran TV bertukar daripada saluran berita di saluran WorldLiveLine ke saluran TV Arab Astro Art yang menayangkan drama Arab.

Bersambung lagi, insya-ALLAH...

Sunday, November 7, 2010

DETIK DEBAR: FRAGMEN 46



Foto: NMnetwork.org

World Islamic Economic Conference, PICC Putrajaya

WORLD
Islamic Economic Conference sudah tiba ke penghujungnya. Seluruh peserta daripada 60 negara-negara Islam sudah sepakat untuk mengadaptasi sistem kewangan Islam secara total menggantikan sistem kewangan konvensional yang dijana melalui sistem riba. Bagi memeterai komitmen negara-negara peserta, sebuah deklarasi yang diberi nama Deklarasi Ekonomi Putrajaya telah diumumkan.

Malaysia sebagai negara penganjur dan dipilih sebagai peneraju sistem kewangan Islam sedunia telah mendapat pujian daripada kesemua negara yang terlibat. Sebaik sahaja PM Malaysia mengakhiri ucapan penangguhannya, beliau telah diberikan tepukan yang bergemuruh oleh para hadirin. PM tersenyum bangga sebelum menamatkan ucapannya…

“... dan, sebelum mengakhiri, ingin saya nyatakan bahawa pada petang ini, kita amat bertuah kerana negara yang memacu sistem kewangan konvensional dunia telah sudi hadir sebagai pemerhati. Amerika Syarikat amat berminat untuk menukar sistem kewangannya kepada sistem kewangan Islam kerana sistem konvensional yang ada telah menimbulkan pelbagai masalah yang tidak berkesudahan.

Jadi apa kata, kalau kita dengar sendiri sepatah dua kata yang berupa komitmen Amerika. Dipersilakan… sahabat lama saya… tidak lain dan tidak bukan, Mr. Presiden, John Martinez!” ucap PM sambil mendepangkan tangannya, mempersilakan John ke rostrum untuk memberikan ucapannya.

Pengumuman PM Malaysia itu telah mendapat tepukan bergemuruh daripada para peserta. Kesemua para hadirin mula bangun memberi standing ovation kerana mengagumi ucapan PM. Pada waktu yang sama mereka ingin memberi perangsang kepada John Martinez menyampaikan fikirannya.

John bangkit dan separuh berlari lalu bersalaman dengan PM. Mereka bertukar senyuman. Tangan PM digoncang beberapa kali tanda gembira dan mereka saling berpelukan.

“Sahabat-sahabat saya sekalian para pemimpin daripada negara-negara Islam...” John memulakan kata. “Saya telah mengikuti persidangan anda ini dengan penuh minat. Dan saya berasa teruja... amat teruja melihat komitmen tuan-tuan sekalian untuk memperluaskan sistem kewangan Islam bukan sahaja di kalangan negara-negara Islam, malah ke seluruh dunia.

Saya sanjung Malaysia sebagai negara yang menerajui usaha ini bersama-sama negara lain termasuk Pakistan, Turki dan Qatar. Tidak lupa juga negara-negara lain seperti Mesir, Emiriyah Arab Bersatu dan err... Iran!”

“Yes!” kedengaran satu suara pekikan persetujuan dari arah belakang dewan bila Presiden Amerika menyebut negara musuh politiknya. Pekikan itu disahut oleh para perwakilan lain. Beberapa perwakilan mula memberi tepukan dan ia berjangkit sehingga seluruh dewan memberi tepukan bergemuruh.

“Mengapa tuan-tuan begitu teruja bila saya menyebut nama Iran?” soal John.

Kata-kata itu membuatkan seluruh para perwakilan mendiamkan diri. Masing-masing menumpukan perhatian ke arah Yousef Masdeh, Presiden Iran yang duduk tenang di penjuru kanan dewan persidangan. Memerhati wajah Presiden Amerika itu di skrin besar yang terpampang di kanan dan kiri dewan. Dewan jadi sunyi sepi. Masing-masing tertanya-tanya mengapa John menampilkan soalan tersebut.
“Iran... ya... semua pihak tahu Iran adalah musuh Amerika! Dan Amerika adalah musuh Iran!” Kata-kata John membeliakkan mata ramai mereka yang berada di dalam dewan itu termasuk David Doron.

Masing-masing terkejut kerana tidak terfikir kata-kata sebegitu akan diucapkan secara terang-terangan. Jurukamera di dewan itu juga cekap menghidu apa yang ingin ditonton oleh para hadirin di skrin. Sekejap sahaja, wajah Yousef Masdeh pula yang terpampang di skrin. Yousef pula mengukir senyuman lalu melambai ke arah jurukamera.

Dan tertayanglah wajah Yousef yang tersengih. Meredakan kegusaran para perwakilan. John pula berhenti berucap kerana sengaja ingin memberi ruang kepada para hadirin menghayati suasana yang separuh suspens itu.

David Doron yang berada di sisi pentas mula kelihatan gusar. Sekejap dia memandang wajah John secara terus, seketika lagi dia memandang wajah John di skrin. Dagunya diurut-urut. Bimbang John Martinez tersilap kata. John yang dikenalinya amat berani bercakap secara terus terang. Malah tidak berlapik mengikut susun kata yang berdiplomatik.

“Tetapi benarkah begitu?” tanya John. Mengalihkan perhatian David Doron kembali ke arahnya. “Pernahkah Iran dan Amerika melancarkan peluru berpandu di antara satu sama lain? Pernahkah kami bertempur?”

Kata-kata John itu disambut dengan anggukan para hadirin. “Pertelingkahan di antara Amerika dan Iran selama ini tidak menyelesakan banyak pihak. Biarkan saya perjelaskan di sini bahawa, negara Iran hanyalah musuh daripada segi politik. Ia bukan negara musuh daripada segi ekonomi, sosial, sains, penyelidikan dan lain-lain lagi.

Sama juga dengan negara-negara lain di bumi ini. Amerika tidak mahu lagi memusuhi mana-mana negara dalam apa jua bidang pun! Amerika mahu bersahabat dengan semua negara di dunia ini. Kita mahu bersama-sama China, Jepun, Korea, India dan Malaysia di Asia… Komuniti Ekonomi Eropah… Negara-negara Arab… Negara-negara Afrika, Amerika Selatan dan Australasia… kita mahu bersahabat dengan semua negara.

Kesemuanya untuk kepentingan dunia dan umat manusia hari ini dan esok. Kita perlu bina dunia yang aman sebagai tempat tinggal anak cucu kita.”
Sambil mengangkat jari telunjuknya ke atas dan mengibar-ngibarnya, John menyambung kata,

“Oleh kerana itu, kita perlu sama-sama memperbetulkan segala kepincangan kerana kesilapan semua pemimpin terdahulu. Kita perlu bina dunia dengan asas yang kukuh… yang mana asas yang kukuh dan padu itu mestilah bermula dengan sistem kewangan yang mantap, yang adil, yang anti riba!”

Kata-kata itu mendapat tepukan yang bergemuruh.

“Pada hari ini… pada petang ini… saya, John Martinez sebagai Presiden Amerika ingin melafazkan komitmen untuk sama-sama memperbetul sistem ekonomi dunia. Amerika akan merombak seluruh sistem kewangan konvensionalnya secara berperingkat mulai tahun hadapan. Dengan bantuan pakar-pakar ekonomi daripada negara-negara Islam yang menyertai WIEC ini, Amerika akan mengganti sistem kewangannya dengan sistem kewangan Islam yang lebih adil dan saksama!”

Apabila John Martinez tunduk sebagai tanda hormat setelah menghabiskan ucapan, sekali lagi seluruh para perwakilan bangkit memberi standing ovation. Kali ini lebih lama daripada yang sebelumnya.

PARA wartawan yang sedia menanti John Martinez terus mengerumuni beliau sebaik sahaja beliau keluar daripada dewan persidangan. Masing-masing mengemukakan soalan. Namun, John hanya tersenyum dan menggeleng penuh hormat.

“Tuan Presiden tidak akan membuat kenyataan akhbar pada petang ini. Tunggu esok pagi, jam 9.00 di Hotel Prominent,” kata David Doron dengan lantang kepada para wartawan.
Para wartawan yang bersesak-sesak di laluan John Martinez jelas kecewa. Masing-masing berhenti melangkah mengejar Tuan Presiden. Pada ketika itulah John terpandang Jennifer yang datang menghampirinya.

“Young lady! Saya tak sangka kita bertemu lagi,” sapa John lantas tersenyum.
“Saya ingin bertanya dengan tuan beberapa soalan…”
“Esok, Jenny… esok,” celah David Doron seraya menghadang Jennifer menghampiri John.
“It’s okey, Doron…” ujar John. Dia pula yang melangkah menghampiri Jennifer.
“Kita tak dapat minum kopi di White House, Jennifer… jadi… apa kata kita minum the tarik Malaysia, malam ini?”

Jennifer terpaku dengan pelawaan John. Benar. Dia menolak pelawaan John untuk minum kopi bersama di White House beberapa minggu lalu. Tetapi kali ini, situasinya sudah berbeza. Sebagai wartawan, kini dia pula yang lebih memerlukan John.

“Why not, Mr. President… why not?” jawab Jennifer seraya mengukir sebuah senyuman paling manis.
Bersambung lagi... insya-ALLAH...

Saturday, October 30, 2010

DETIK DEBAR: FRAGMEN 45


Foto: mad4food.com

HOTEL PROMINENT, PUTRAJAYA

MR. COOK
berasa gembira kerana dapat menikmati sarapan pagi yang berbeza daripada biasanya. Pada pagi ini, dia berpeluang merasa masakan Malaysia yang disediakan oleh Mr Chef. Sebagai tuan rumah, Mr. Chef seronok bila melihat Mr. Cook makan dengan begitu berselera.

Dua keping roti bom yang dicicah dengan kuah dal cukup menyelerakan. Kuahnya dihirup hingga habis. Pencuci mulut berupa kuih koleh kacang, seri muka dan beranika buah-buahan seperti ciku, tembikai dan betik dirasanya satu persatu. Air belimbing tanpa gula yang ditelan begitu menyegarkan.

“Inilah sarapan yang paling enak pernah saya rasa sejak begitu lama,” ujar Mr. Cook seraya tersenyum puas.
“Terima kasih, Mr. Cook. Jika sudi, tuan dipelawa untuk makan tengah hari. Pilihlah sama ada tuan inginkan masakan Melayu, Cina atau India. Saya yang akan sediakan sendiri buat tuan,” jawab Mr. Chef sambil tersenyum bangga.

“Saya ingin sekali andainya ada kesempatan. Malangnya, masa tidak mengizinkan. Tetapi saya ingin sekali kembali ke Malaysia untuk bercuti pula. Dan, tentu saya akan menginap di hotel yang indah ini,” jawab Mr. Cook penuh hormat.

Pada ketika itu, fonselnya bergetar. Sebuah mesej daripada David Doron muncul di skrin. Mesej yang meminta Mr. Cook untuk segera pergi ke PICC kerana John Martinez inginkan sebotol lagi kacang pinyon.
‘Oh… kenapa dia tidak tunggu waktu lain? Bukankah dia di majlis rasmi sekarang?’ kata Mr. Cook di dalam hati.

Walaupun berasa sedikit terganggu, Mr Cook segera mengelap mulutnya dengan napkin. Kehendak Tuan Presiden mesti mengatasi kepentingan diri sendiri. Lantas dia bangun dan dengan penuh hormat meminta diri.

KAWALAN keselamatan yang ketat di hotel ini membataskan pergerakan Fariz. Meskipun hatinya menggesa agar dia berlari, namun dia perlu memperlahankan langkahnya agar tidak kelihatan tergesa-gesa supaya tidak menarik perhatian.

Di pintu lif, Fariz menanti dengan fikiran yang bersimpang-siur. Mencongak-congak segala kemungkinan yang harus dilakukan untuk memusnahkan botol kacang yang mengandungi racun itu. Yang pasti, dia tidak boleh masuk ke dalam bilik penginapan Mr. Cook melalui pintu hadapan. Pasukan keselamatan Amerika pasti menjaga laluan itu. Untuk itu, dia perlu masuk melalui tingkap.

'Ya, ALLAH... apa peralatan yang aku ada kalau nak masuk melalui tingkap?' cetus hatinya. 'Lagipun, tindakan aku memanjat tingkap di siang hari akan menarik perhatian orang! Bagaimana kalau aku masuk melalui lubang penghawa dingin?
Macam mana aku nak masuk ke situ? Ah, aku perlukan bantuan BISIK untuk mencadangkan jalan terbaik!'

Sedang Fariz memegang fonsel untuk menghubungi ibupejabatnya, pintu lif terbuka. Di dalamnya, seorang lelaki berdiri kaku menanti pintu lif terkuak. Fariz terpempan melihat lelaki itu.
'Mr.Cook!' kata hatinya.

Pandangannya menekur ke tangan lelaki itu. Dia sedang memegang sebuah beg kertas cantik. Fariz membetulkan kaca matanya. Memfokus kepada isi beg itu.
'Hmm... dalam beg itu ada imej botol.... imej bulat-bulat seperti kacang... dan warna perak... polonium!”
Sah! Apa yang dicarinya itu kini sedang dibawa oleh Mr. Cook. Dia tidak perlu naik ke bilik lelaki itu. Sebaliknya dia perlu mencari jalan bagaimana untuk merampas beg itu dari tangan Mr. Cook dan memusnahkannya.
'Dia hendak ke mana?' soal Fariz apabila melihat lelaki itu melangkah ke kereta.

Mr. Cook menyerahkan beg kertasnya kepada si pemandu kereta itu sebelum masuk ke perutnya. Fariz dapat mengecam plet kenderaan yang menggunakan nombor daftar Malaysia ~ menandakan ia adalah kenderaan rasmi yang disediakan oleh pihak kerajaan kepada delegasi Presiden.

Tanpa membuang masa, Fariz bergegas ke kenderaannya. Dia mesti mengejar kereta yang dinaiki Mr. cook. Di kawasan parkir, Jennifer sedang menanti.
“Kenapa tergesa-gesa, ni?” tanya Jennifer bila melihat Fariz terlari-lari.
“Kita dah lambat, kan?”

“Persidangan sedang berjalan. Temubual akan diadakan selepas persidangan. Kita ada masa,” kata Jennifer.
“Err... sebenarnya saya ingin menemui seseorang,” jawab Fariz tanpa menyatakan orang yang ingin ditemuinya ialah Mr. Cook!

Kenderaan yang dipandunya membelok keras hingga mendecitkan bunyi tayarnya. Seketika sahaja kenderaan itu sudah meninggalkan kawasan parkir hotel. Meninggalkan juga Moussa yang terhendap-hendap cuba menghampiri Jennifer. Moussa mendengus kerana niatnya untuk mengapa-apakan Jennifer gagal lagi.

PICC, Putrajaya

SAMBIL membelok ke kawasan parkir, matanya tidak lepas menjeling ke arah kereta yang dinaiki oleh Mr. Cook. Kereta itu kini bergerak menuju ke pintu utama.
“Saya hendak buat satu panggilan, Jenny. Awak pergilah dulu. Bila selesai tugas, hubungilah saya, ya?” Fariz memberi alasan sambil berpura-pura mendail seseorang.

Sebaik sahaja Jennifer berlalu, Fariz segera bergerak ke lain hala, menuju ke arah kereta rasmi yang dinaiki oleh Mr. Cook. Sambil melangkah, dia nampak pemandu kenderaan itu menghulurkan beg kertas yang mengandungi kacang pinyon kepada Mr. Cook. Kemudian si pemandu masuk kembali ke dalam keretanya.

'Walau apa pun yang terjadi, aku mesti musnahkan botol kacang itu. Biar aku ditangkap. Yang penting, botol itu mesti berkecai!'
Fariz memasang niat. Dia nekad untuk bertindak. Yang penting, tugasnya harus diselesaikan walaupun dirinya terancam. Dengan pantas, dia bergegas mengejar Mr. Cook yang kini mula melangkah memasuki foyer bangunan.

Namun, apabila dia menghampiri kereta rasmi kerjaan yang dinaiki oleh Mr. Cook, pintunya terbuka secara tiba-tiba, langsung menghalang laluan Fariz. Namun, sebaik sahaja Fariz mengelak dan terus menapak, satu suara menyapanya,

“Kau nak pergi mana?”
Fariz menghentikan langkah. Suara itu memang dikenalinya. Tak mungkin dia!
“Dah settle. Kacang yang beracun tu ada dalam kereta ni! Aku dah tukarkan dengan botol lain. Engkau pergilah kejar makwe minah saleh engkau tu!”

Fariz ingin sekali ketawa berdekah-dekah kerana lega masalah yang mengancam fikirannya sudah selesai. Memang. BISIK mesti ada pelan B, atau pelan C atau pelan apa-apa lagi bagi mempastikan rancangannya berjaya!

Fariz menoleh untuk menghulurkan senyuman kepada si pemandu. Namun, kereta yang bercermin gelap itu mula bergerak. Ia membunyikan hon sekali sebelum mengaum meninggalkan Fariz.

'Terima kasih, Kak Mala! Akak memang bengong!'
Itu sahaja yang mampu diucapkan Fariz sambil memerhati kenderaan yang semakin menjauh.

Bersambung lagi, insya-ALLAH.

Sunday, October 24, 2010

FRAGMEN 44: DETIK DEBAR


Foto: periodictable.com

BISIK, Putrajaya

“TUAN! Kita sudah lakukan pengecaman cap jari mereka dengan data daripada INTERPOL.”

Tuan Aziz menyahut kata-kata Suren dengan sebuah anggukan. Wajah Suren yang kelihatan jelas di komputernya itu diperhati lagi. Keningnya terangkat sebagai isyarat agar Suren meneruskan taklimatnya.

“Dua daripada cap-cap jari itu adalah kepunyaan Moussa Arafat dan Ali Fattah. Mereka adalah anggota Gerakan Lashkar Jihad, sebuah kumpulan militan yang baru. Tetapi, kami tidak dapat menemui cap jari lelaki yang seorang lagi,” kata Suren lagi.

“Dan ini ada dua maklumat yang penting dan mustahak! Foto kekacang yang ditemui itu adalah jenis kacang pinyon. Ia adalah kacang kegemaran John Martinez. Debu yang ditemui di dalam bola boling itu adalah racun polonium…”

“Polonium? Awak kata polonium?” celah Tuan Aziz.
“Ya, tuan! Tapi, mengapa?”
“Itulah jenis racun yang membunuh Alexander Litvinenko, bekas perisik Russia yang mendapat perlindungan politik di Britain pada 2006!” kata Tuan Aziz separuh terjerit. “Saya tidak mahu apa-apa yang terjadi terhadap Presiden Amerika di bumi Malaysia. Imej negara kita bakal terancam! Implikasinya besar! Amat besar!

Letakkan semua para pegawai kita di semua bahagian dalam keadaan bersedia! Pantau ketiga-tiga lelaki Arab itu sehingga arahan selanjutnya. Cari Fariz!”

Hotel Prominent, Putrajaya

SEPATUTNYA Fariz dan Jennifer kini sudah berada di PICC untuk membuat liputan persidangan WIEF. Tetapi, Jennifer menerima panggilan daripada Ed Arden memintanya menemui lelaki itu.

“Rizal pergilah ke PICC dulu. Jangan tunggu saya. Mana tau kalau saya lewat, kerja Rizal pula yang tergendala,” kata Jennifer ketika ingin keluar daripada kenderaan.
“Tak mengapa. Temujanji saya dengan ketua pihak penganjur persidangan hanya dalam sejam lagi. Saya boleh tunggu Jenny di sini,” Fariz memberi alasan.

“Kalau begitu, saya akan cuba segerakan pertemuan saya, okey?” ujar Jeniffer seraya melangkah pantas menuju ke ruang lobi hotel.

“JENNIFER! Nyawa awak kini terancam! Awak mesti tinggalkan negara ini!” kata Ed Arden sebaik sahaja wartawan itu melabuhkan punggungnya.
“Apa yang tuan cakapkan ini? Saya tak mengerti!”

Kata-kata Ed Arden itu sungguh mengejutkan Jennifer. Dia tidak terfikir langsung apa yang diperkatakan oleh pegawai itu adalah benar. Lagipun, dia tidak suka dimomok- momokkan begitu.
“Anggota Gerakan Lashkar Jihad sedang memburu awak! Mereka mahu awak mati!”
“Lashkar Jihad? Mati? Tuan bergurau, ke?” jawab Jennifer, selamba.

“Dua hari lepas, mereka cuba cederakan awak!”
“Mana ada?” bantah Jennifer. Dia sengaja tidak mahu mengaku.
“Jangan membohongi saya. Dan jangan bohongi diri awak sendiri! Awak ingat saya tak tahu apa yang terjadi pada diri awak?”

“Tuan janganlah paranoid. Mereka mungkin perompak biasa. Lagipun, saya tak takut mati kalau setakat diserang sebegitu. Seperti tuan jugak, saya sudah biasa berdansa dengan maut ketika menjalankan tugas saya!” jawab Jennifer, tegas.
“Dengar sini, Jennifer. Saya serius dengan apa yang saya katakan. Sebenarnya, saya sudah tempahkan tiket penerbangan awak untuk kembali ke Amerika!”

“Hah! Sekarang, tuan hendak melawak pulak. Kalau benar, tuan sudah tempah tiket penerbangan saya, mana tiketnya? Saya nak tengok!”
Jawapan Jennifer itu membuatkan Ed Arden terkebil-kebil. Jennifer lantas bangun dan melangkah ke pintu.

“Okeylah, kalau itu yang awak mahu, Jennifer. Tapi saya akan pinta seseorang menjaga awak.”
Jennifer menoleh. “Tak payahlah tuan menghabiskan tenaga manusia tuan untuk saya. Jaga sahaja John Martinez sebaik-baiknya. Dia penting. Saya hanya rakyat biasa.” Dengan kata-kata itu, Jennifer memutar tombol pintu.

“Jennifer...”
Wartawan itu tidak menyahut. Menoleh pun tidak. Dia hanya terhenti sambil memasang telinga. Menanti untuk mendengar apa lagi yang ingin dibebelkan oleh pegawai keselamatan tertingi Amerika itu.
“Hati-hati dengan teman lelaki baru awak tu! Dia ejen perisik Malaysia!”

“Whatever!”

RASA bosan menyelinap kembali di sanubarinya. Buat diri Fariz, kerja yang dilakukan ini tidak mencabar langsung. Sudah berhari-hari dia menjadi peneman kepada Jennifer. Apakah relevannya dia melakukan itu, dia masih belum mengerti. Tugasnya menyamar sebagai wartawan untuk majalah Eksekutif pun tidak dilaksanakannya langsung.

Kalau ada pun thrill yang dia alami hanyalah ketika berlengan dengan Moussa Arafat. Itupun hanya sekejap. Buku limanya tidak terasa sakit-sakit pun. Belum pun tubuhnya panas beraksi, Moussa sudah cabut lari. Fariz mengeluh perlahan. Sesekali dia memandang cermin pandang belakang untuk memerhati kalau-kalau Jennifer sudah selesai bertemu seseorang dan bersedia untuk bertolak ke PICC yang jaraknya hanya tiga kilometer dari hotel ini.

Fonselnya bergetar. Wajah Tuan Aziz terpapar di skrin. Lantas dia tersenyum. Bukannya senyum gembira kerana bosnya itu menghubunginya, tetapi kerana menjangka, apabila bos sendiri yang menghubungi, pasti ada sesuatu tugas yang besar sedang menunggu. Ah, Fariz jadi tak sabar. Lekas-lekas fonselnya terlekap di telinga.

“Fariz berada di Prominent?” tanya Tuan Aziz untuk memastikan sedangkan lelaki itu dapat memantau setiap gerak ejennya walaupun di mana berada di negara ini.
“Ya… saya bersedia!” jawab Fariz ringkas. Dadanya berombak suspens.
“Pergi ke bilik Mr. Cook, tukang masak Presiden Amerika. Di situ terdapat beberapa botol kacang kegemaran Presiden Amerika.”
“Botol kacang?” soal Fariz ingin tahu.

“Dengar arahan ini sampai habis!” tegas Tuan Aziz.
Kata-kata itu membuatkan Fariz terdiam. Tersedar akan kesilapannya yang menyampuk tidak kena masanya.
“Salah sebuah botol kacang yang terdapat di bilik itu mengandungi serbuk racun polonium. Musnahkan botol kacang itu sebelum sampai ke tangan pemimpin itu!”

Talian diputuskan. Fariz mengeluh dalam-dalam. Sambil itu matanya meneliti mesej susulan yang mengandungi maklumat nombor bilik Mr. Cook dan mengenai racun polonium. Kemudian Fariz meneliti kiriman foto-foto melalui MMS yang mengandungi imej Mr. Cook dan sebotol kacang pinyon.

Otaknya bergerak pantas untuk mengumpul maklumat-maklumat yang diperoleh. Untuk mendapatkan botol kacang itu, dia perlu ke bilik Mr. Cook. Fariz meraba poketnya lalu mengeluarkan infra-red spectacles atau kacamata infra-red yang boleh melihat serbuk berwarna perak iaitu warna polonium.

Lantas dia bergegas memasuki ruang lobi, langsung ke pintu lif untuk menuju ke bilik Mr. Cook.

JENNIFER tercangak-cangak memanjangkan lehernya ke kiri dan ke kanan. Mencari kelibat Fariz yang tiada di dalam keretanya. Dia cuba mendail Fariz, namun tiada jawapan. Sambil menanti, dia mundar-mandir ke sekitar kawasan untuk membuang waktu. Tanpa disedarinya, sepasang mata sedang memerhati…
Bersambung, insya-ALLAH...

Thursday, October 21, 2010

FRAGMEN 43: DETIK DEBAR


Foto: desertusa.com

FRAGMEN 43
DETIK DEBAR
BISIK, Putrajaya

WAKTU
baru menunjukkan jam 7.30 pagi. Tetapi Tuan Aziz sudah berada di Bilik Operasi. Berjalan ke hulu ke hilir melihat sekalian petugas yang menghadap skrin komputer masing-masing. Bagi mereka yang menoleh dan memberi hormat kepadanya, Tuan Aziz menyambutnya dengan sedikit senyuman dan anggukan.

Buat mereka yang tidak menyedari kehadirannya di sisi, Tuan Aziz hanya berlalu secara diam-diam. Tidak mahu mengganggu konsentrasi para petugasnya. Bagi Ketua Pengarah BISIK itu, dirinya tidak mustahak dilayani ketika masing-masing sibuk. Sebaliknya, kerja adalah lebih utama daripada segala-galanya.
“Tuan…” Suren menegurnya.

Tuan Aziz menoleh ke arah Ketua Penyelidiknya. Memandang Suren yang ingin menunjukkan sesuatu di sebuah skrin komputer berhampiran. Petugas yang berada di komputer itu segera bangun dan beranjak. Membenarkan Suren menggunakan komputernya buat seketika.
Sebuah fail di skrin disentuh dengan jejarinya. Pautan fail window media player terbuka. Sebuah video tertayang. Paparan itu menarik perhatian Tuan Aziz. Lantas dia melangkah menghampiri. Video menunjukan ruang tamu apartmen yang didiami Moussa, Ali dan Omar.

“Ini ruang tamu tiga orang warga Arab di Apartmen Selesa…” ujar Suren.
Kelihatan seorang ejen BISIK menggeledah ruang tamu. Daripada sudut fokus kamera, Tuan Aziz maklum yang ia diambil dari kamera video yang terpasang di kepala seorang lagi ejennya. Kelihatan ejen itu menghalakan surveillance equipment instrument atau SEINS ke pelbagai arah. Alat itu dapat mengesan sama ada terdapat alat intipan berbentuk kamera, audio mahupun gelombang laser terpasang di apartmen itu.

Meja yang dipenuhi dengan tin-tin minuman berkarbonat yang menindih kertas-kertas di atas meja dialihkan ke samping. Kertas-kertas yang bertaburan di atas meja diperiksa. Mencari petunjuk-petunjuk mengenai siapakah Omar, Ali dan Moussa ini. Kusyen di ruang tamu diangkat untuk melihat kalau ada apa-apa di bawahnya.

Setelah berpuashati tiada apa-apa di situ, ejen-ejen BISIK memasuki bilik utama. Fokus kamera tertumpu ke arah sebuah bola boling yang sudah terbelah di atas meja kecil di sisi katil. Jejari ejen yang bersarung tangan itu kelihatan meraba-raba permukaan dalam bola itu. Paparan visual serta merta bertukar menjadi kelabu.

Menandakan ejen BISIK yang merakam dengan kamera itu menggunakan kacamata infra merah ~ untuk mengenalpasti sama ada apa-apa bukti kimia yang terdapat pada bola itu. Kelihatan debu-debu halus berwarna perak di permukaan dalam bola itu. Terdapat juga debu-debu daripada warna yang sama melekat di jejari ejen BISIK. Ejen itu segera memasukkan sedikit debu itu sebagai specimen ke dalam sebuah plastik kecil.

Penggeledahan kini tertumpu ke almari pakaian. Laci di dalam almari itu dibuka. Seikat pasport dikeluarkan. Ia dibuka satu persatu. Yang pasti, tiga daripada pasport itu dipunyai oleh ketiga-tiga lelaki itu. Sementara pasport yang lain mengandungi nama dan wajah orang lain. Mungkin dokumen orang lain, mungkin juga kepunyaan mereka bertiga tetapi dengan identity penyamaran yang lain.

Sebuah sampul surat besar di dinding almari itu diambil. Isinya dikeluarkan. Beberapa beberapa keping gambar menggelongsor keluar. Ejen itu menjarak-jarakkan foto-foto itu di atas meja. Terdapat gambar-gambar John Martinez ketika dia menuruni Air Force One, para delegasi Presiden termasuk tukang masaknya. Kesemua foto-foto itu dirakam kembali dengan kamera.

Operasi penggeledahan dilakukan dengan penuh hati-hati. Mereka tidak seperti perompak yang mengirai dan menteraburkan kesemua yang ada di depan mata. Ataupun seperti yang dilakukan oleh ejen-ejen perisik di dalam filem fiksyen. Sebaliknya bahan-bahan bukti hanya disalin dalam bentuk fotografi. Ini adalah supaya tuan punya barangan tidak akan tahu langsung premis mereka telah digeledah. Dengan cara itu, mereka tidak berasa diri mereka dipantau. Ini memudahkan BISIK mengekori mereka.

Di antara foto-foto itu terdapat sekeping gambar beberapa butir kacang pinyon. Ejen yang meneliti foto itu jelas berasa pelik. Kepalanya terteleng-teleng memikirkan mengapa foto kekacang itu ada bersama foto-foto yang mengandungi gambar Presiden Amerika. Aksi ejen itu turut membingungkan Tuan Aziz yang menonton rakaman itu. Ejen itu berbisik-bisik dengan rakannya penuh kehairanan. Rakannya juga menggeleng kerana tidak dapat mengagak apakah relevannya foto itu berada di situ. Namun kerana mematuhi standard prosedur operasi, akhirnya dia merakam juga foto kacang pinyon itu dengan kameranya.

“Ini pula imej-imej Pak-pak Arab yang dapat kita ambil,” kata Suren sebaik sahaja tayangan video itu tamat. Jejarinya terus menyentuh fail di skrin. Tertayang imej Omar, Ali dan Moussa.
Tuan Aziz mengangkat kacamatanya. Ingin mengamati wajah lelaki-lelaki Palestin itu secara dekat.

“Tuan… kami tiada rekod siapakah lelaki-lelaki itu. Ia adalah wajah-wajah baru. Tetapi ejen-ejen kita di lokasi tadi dapat mengesan dan mengambil spesimen cap jari di beberapa tempat di premis itu. Makmal kita sedang menganalisa kesan-kesan yang ada. Kita akan hubungi INTERPOL untuk mendapat kerjasama,” ujar Suren.
“Mungkin juga Pihak Keselamatan Presiden,” kata Tuan Aziz.
“Pihak Keselamatan Presiden?” tanya Suren.
“Hmm-hmm,” jelas Tuan Aziz. Di matanya terbayang wajah Ed Arden.

“I KNOW THEM! I know Moussa and Ali!” kata Ed Arden penuh yakin. “Di mana tuan menemui mereka?”
“Dua hari lepas, salah seorang daripada mereka telah menyerang Jennifer Miles, wartawan WorldLiveLine...”
“Saya kenal wartawan itu...” sampuk Ed Arden.

“Kami tidak tahu mengapa Jennifer diserang. Tetapi jangan bimbang… lelaki-lelaki Arab itu sentiasa dipantau 24/7,” Tuan Aziz cuba meredakan hati pegawai keselamatan Amerika itu. Dia tidak mahu Ed Arden berasa bimbang dengan keselamatan Presidennya pula. Maklumlah, pihak Amerika sentiasa menganggap negara mereka adalah negara yang paling penting di dunia. Dan, Presiden mereka pula adalah manusia yang paling agung di dunia. Seolah-olah, dunia akan kiamat seandainya apa-apa berlaku terhadap Presiden mereka.

Ed Arden tersandar dengan kedua-dua tangannya memangku kepala. Pandangannya menekur ke arah tiga keping foto wajah Moussa, Ali dan Omar yang bertebaran di atas meja Tuan Aziz. Kemudian dia merenung wajah Ketua Pengarah BISIK itu tanpa berkelip-kelip. Dia cuba menghantar mesej kegusaran di hatinya melalui anak matanya. Tuan Aziz dapat membaca apa yang bersarang di sanubari pegawai keselamatan tinggi Amerika itu. Tetapi Tuan Aziz itu berbuat selamba sahaja. Dia pula begitu yakin dengan kewibawaan agensi keselamatan Malaysia khususnya BISIK.

“Moussa Abdel Qadir… bekas askar Iraq berpangkat Sarjan. Setelah Saddam Hussein tewas, dia pulang ke Al Muntaseer, Palestin di kampung halaman isterinya. Keluarganya semua mati dalam serangan Israel,” ujar Ed Arden setelah beberapa ketika berdiam diri.

“Mungkin dialah yang menyerang Jennifer, kerana wartawan itu pernah bertugas di Palestin. Pasti ada sebab mengapa dia mengekori Jennifer hingga ke mari,” ujar Ed Arden dengan panjang lebar.

“Laporan daripada pegawai saya menyatakan Jennifer cuba ditarik daripada kenderaan untuk dicederakan Mengapa dia tidak terus membunuh Jennifer setelah mengekorinya begitu jauh hingga ke mari? Mengapa Jennifer hanya ingin dicederakan sahaja?” soal Tuan Aziz.

Kening Ed Arden berkerut seribu. Dia juga tertanya-tanya mengapa Jennifer diserang begitu. Dia memandang ke luar jendela. Memerhati lanskap indah Putrajaya. Seolah-olah jawapan kepada persoalannya ada di pepohon di luar bilik itu. Sejurus dia terangguk-angguk. “Saya akan hubungi Jennifer. Mungkin dia tahu apa yang terjadi,” katanya.

“Bagaimana dengan dua lelaki lagi?” tanya Tuan Aziz.
“Ali Fattah pula pernah muncul sekurang-kurangnya di dua tempat,” Ed Arden menyambung kata. “Pertama, di Pashtun, Afghanistan ketika dia cuba menyusup masuk ke dalam pos kawalan Britain ketika lawatan seorang pembesar negara itu ke sana. Kali kedua, wajahnya muncul ketika cuba memasuki Amerika melalui penerbangan dari Ottawa. Dia hilang bila menyedari yang dia diekori. Kami tidak tahu apakah yang ingin dilakukannya.”

“Mengapa pihak tuan mengekori mereka? Apakah mereka daripada mana-mana kumpulan?” tanya Tuan Aziz.
“Mereka anggota Gerakan Lashkar Jihad. Ia adalah kumpulan militan yang baru! Walaupun tak lama ditubuhkan, ia begitu cepat merekrut ahli-ahli baru. Kami mengesyaki Othman Hussaini, orang kanan Ruwais ben Khalaf menjadi pemimpin kumpulan ini,” jelas Ed Arden.

“Mengapa dia tubuhkan kumpulan yang baru pula? Apakah Othman meninggalkan al-Khaleefa yang dia tubuhkan bersama-sama dengan Ruwais?” tanya Tuan Aziz.
Ed Arden memandang Tuan Aziz. Rasa hormatnya terhadap lelaki itu menyelinap di sanubarinya kerana ketua BISIK itu juga mempunyai pengetahuan yang baik mengenai organisasi militan dunia.

“Dalam mana-mana kumpulan yang semakin besar, akan wujud puak-puak yang didalangi oleh seseorang ketua. Apabila mereka cukup besar dan kuat, maka kumpulan serpihan akan wujud dan terpisah dari kumpulan asal,” ujar Ed Arden. Tidak mahu kalah dengan pengetahuannya dalam bidang ilmu perilaku organisasi.

“Bagaimana pula dengan lelaki yang ketiga... maksud saya lelaki gempal yang berjanggut itu?” soal Tuan Aziz. Mengalih perhatian terhadap Omar pula.
“Kami tidak pernah melihatnya di mana-mana,” jawab Ed Arden seraya mengambil foto Omar dan membeleknya. Kemudian Ed Arden menggeleng dan mencebir bagi mengesahkan kata-katanya. “Mungkin dia hanya petugas biasa. Mungkin kontak Gerakan Lashkar Jihad di Malaysia. Mungkin juga dia orang Malaysia walaupun dia kelihatan seperti orang Arab. Di Malaysia pun terdapat ramai orang-orang Arab yang menjadi warga negara ini.”

Kata-kata itu seolah-olah satu sindiran kepada Tuan Aziz bahawa terdapat anggota militan yang terdiri daripada rakyat Malaysia. Betapa pun, dia perlu rasional dengan andaian itu kerana ada rakyat Malaysia yang pernah menjadi anggota militan dan ditangkap.
Tuan Aziz terangguk-angguk setuju. Pada saat ini, mesej daripada Suren menjelma di skrin komputernya. Walaupun dia tahu Suren akan mengkhabarkan sesuatu yang penting kepadanya, namun Tuan Aziz hanya berlagak santai. Tidak mahu menarik perhatian pegawai itu.
“Jangan bimbang. Pihak keselamatan Malaysia akan segera mengambil tindakan untuk menahan ketiga-tiga lelaki itu. Segala-galanya akan selamat buat Presiden tuan, John Martinez.”
Dengan kata-kata itu, Tuan Aziz bangun dengan senyuman dan berjabat salam dengan Ed Arden sebagai isyarat bahawa perbincangan sudah selesai.
Bersambung nanti, insya-ALLAH...

Sunday, October 10, 2010

FRAGMEN 42


Foto: nothernstarhotel.com

FRAGMEN 42
DETIK DEBAR

Hotel Prominent, Putrajaya

KENDERAAN pacuan empat roda yang dipandu Omar membelok dan berhenti di kawasan belakang hotel. Dengan berhati-hati, Moussa dan Ali keluar dari kenderaan dan berjalan pantas lalu menyelinap di sebalik sebuah pintu kecil yang menghala ke bilik kakitangan hotel itu.

Mereka bertiga tidak menyedari pergerakan mereka diintip di sepanjang masa oleh BISIK. Malah, sebaik sahaja keluar dari bilik hotel mereka sebentar tadi, wajah ketiga-tiga mereka dapat dirakam sepenuhnya melalui kamera yang terpasang di hadapan bilik hotel. Pergerakan mereka turut diekori secara bersilih ganti oleh team ejen-ejen BISIK dari hotel penginapan hingga ke mari.

Setelah Moussa dan Ali berlalu, Omar mendail nombor Ketua Chef hotel.
“Selamat pagi. Itu Mr. Chef?” tanya Omar sebaik sahaja penggilan disambut.
“Ya, saya…” kedengaran suara Mr. Chef menjawab panggilan.

“Saya mewakili Mr. Cook, Tukang Masak Tuan Presiden,” ujar Omar dengan suara yang menyakinkan. “Pada pagi ini, Mr. Cook tidak bertugas menyediakan sarapan untuk Tuan Presiden. Tuan Presiden akan bersarapan bersama para delegasi Persidangan WIEF di PICC. Oleh itu, apa… bolehkah Mr. Cook bertemu dengan tuan untuk bersembang-sembang dan mencuba citarasa Malaysia?”

“Oh, tentu sekali,” jawab Mr. Chef dengan suara ceria. “Ini satu penghormatan buat saya dan Malaysia. Saya persilakan Mr. Cook untuk datang bersarapan di Bilik Anggerik. Saya sendiri amat ingin berbual-bual dengan Mr. Cook.”
“Terima kasih, Mr. Chef. Sepuluh minit nanti, Mr. Cook akan ke sana.”

Omar tersenyum apabila rancangannya mempertemukan Mr. Chef dan Tukang Masak Presiden Amerika bakal berjaya. Setelah memutuskan talian, Omar mendail pula Mr. Cook.
“Selamat pagi, Mr. Cook. Saya mewakili pihak Hotel Prominent… kami amat berbesar hati mempelawa tuan untuk datang bersarapan dan berkenal-kenalan dengan Ketua Tukang Masak kami, Mr. Chef.”

“Bersarapan? Oh, mengapa tidak,” jawab Mr. Cook. “Saya pun tidak bertugas pada pagi ini. Ya… saya ingin sekali menemui Mr. Chef.”
“Kalau begitu, tuan dipersilakan ke Bilik Anggerik. Sebentar nanti, seorang petugas kami akan ke bilik untuk mengajak tuan ke sana,” kata Omar.
“Bagus. Izinkan saya bersiap-siap. Saya akan tunggu petugas anda,” jawab Mr. Cook.

Omar tersenyum lagi tatkala memutuskan panggilan. Setakat ini, rancangan untuk mengheret Mr. Cook keluar daripada biliknya tampak menjadi. Apabila Mr. Cook tiada di biliknya, mudahlah mereka menyelongkar bilik kakitangan Presiden itu. Kini, giliran Ali dan Moussa pula melaksanakan pelan seterusnya.

MOUSSA muncul dari bilik pekerja dengan berpakaian kemeja putih berlengan panjang dan berseluar slack hitam ~ uniform petugas di hotel ini. Dia segera ke tingkat 35 di mana kesemua para petugas Presiden Amerika menginap. Sebaik sahaja melangkah keluar lif, dia dihampiri pihak keselamatan Presiden.

“Mau ke mana?” soal seorang pegawai keselamatan yang bermisai tebal dengan renungan tajam menikam.
“Saya ke mari atas arahan pihak pengurusan hotel ini untuk menjemput Mr. Cook bersarapan dengan Chef hotel kami,” jawab Moussa.

Pegawai itu hanya menjeling Moussa dengan wajah curiga. Kemudian dia menghubungi bilik Mr. Cook dengan walkie-talkie. Sejurus dia berpuas hati dengan jawapan Mr. Cook, dia segera menggamit Moussa untuk mengekorinya.
“Selamat pagi, Mr. Cook… saya…”

“Okey…saya tau awak ke mari untuk menjemput saya, bukan?” kata Mr. Cook belum pun sempat Moussa menghabiskan kata-katanya. “Beri saya lima minit untuk menyudahkan cukuran saya,” kata Mr. Cook lalu terus menuju ke bilik air. Tangannya memegang pisau cukur elektrik yang berwayar. Pada kesempatan itu, Moussa merenggangkan sedikit kad pintar bilik itu dari kotaknya. Mengakibatkan aliran eletrik di bilik itu terputus.

“Apa yang terjadi?”tanya Mr. Cook dengan kepalanya terjengul di balik pintu bilik air.
“Mungkin fius tuan. Izinkan saya panggil pihak penyenggaraan, ya?”
Mr. Cook terpaksa mengizinkan. Dia hanya memerhati Moussa menghubungi seseorang menggunakan fonselnya. Sebentar sahaja Ali muncul, menyamar sebagai seorang petugas bahagian penyenggaraan, siap dengan sebuah beg bimbit yang berisi peralatan membaiki elektrik.

Ali segera menjangkau kotak fius yang berada di belakang pintu. Sambil itu, dia segera meletakkan seketul ais kering. Lalu ais itu mengeluarkan asap yang berkepul-kepul.
“Tuan…” kata Ali seraya menoleh ke arah Mr. Cook. “Ada sedikit litar pintas. Apakah tuan ada menggunakan apa-apa peralatan elektrik?”

“Err… ya… ya…” jawab Mr. Cook lalu mengunjukkan pisau cukur elektriknya. Dengan wajah yang kesal, dia berkata lagi, “Err… maafkan saya.”
“Tak mengapa tuan. Izinkan saya membaikpulihnya,” kata Ali. “Tapi ia tentu mengambil sedikit masa.”
“Masa agak suntuk, tuan,” desak Moussa pula dengan wajah yang sedikit cemas. “Oleh kerana tiada elektrik, saya cadangkan tuan menggunakan sahaja pisau cukur yang disediakan oleh pihak hotel sebelum saya bawa tuan bersarapan.”

Mr. Cook terangguk-angguk seperti orang bodoh. Lantas memasuki kembali ke bilik air untuk bercukur. Sebentar sahaja dia sudah keluar menuju ke Moussa yang sedang menanti.
“Buatlah apa yang patut,” kata Mr. Cook kepada Ali. “Saya akan beritahu pihak keselamatan yang awak sedang membaikpulih aliran elektrik di bilik ini. Bila selesai, tutup sahaja pintu, ya?”

“Baik, tuan,” jawab Ali tanpa menoleh. Kepalanya masih terdongak ke arah kotak fius. Berlakon seolah-olah sedang membaiki fius dengan menggunakan sebatang pemutar skru.
Sebaik sahaja Mr. Cook dan Moussa berlalu, Ali segera membuka almari yang ada di sebelah katil. Benar seperti jangkaannya. Di dalam almari itu terdapat dua baling balang berisi kacang pinyon.

Tanpa membuang masa, Ali membuka salah sebuah balang kacang pinyon dengan berhati-hati. Kemudian dia mengeluarkan sebuah botol sprei polonium ~ racun dalam bentuk semburan dari poketnya. Lalu disemburnya racun itu ke dalam balang. Dengan berhati-hati juga, Ali melilit kembali pelekat kedap udara balang itu sebelum memasukkannya kembali ke dalam almari.

Sebelum meninggalkan bilik, Ali mengetatkan kembali kad pintar bilik itu ke dalam kotaknya. Bilik itu terang benderang kembali bila karan elektrik mengalir semula.

Bersambung lagi, insya-ALLAH...

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP