Friday, November 27, 2009

FRAGMEN 20: DETIK DEBAR


FRAGMEN 20
DETIK DEBAR


Kawasan Hutan Sipo, Narathiwat, Thailand

FARIZ menyusun langkah. Begitu juga lelaki itu. Pada jarak dua langkah di antara satu sama lain, masing-masing mula menapak berkeliling. Bagai dua ekor ayam laga yang hendak berjuang. Kedua-dua tangan lelaki itu tersilang di depan wajahnya. Fariz mengagak, tindakan lelaki itu bukannnya untuk melindungi diri, tetapi sebenarnya ingin menyembunyikan gerak mata untuk mengabui tekaannya.


Fariz mula melibaskan kakinya. Sambil melibas, Fariz bergerak mengacah untuk menolak lelaki itu ke tepi dinding. Apabila menyedari dirinya terhimpit, tiba-tiba lelaki itu memutarkan tubuhnya lalu melompat melintasi kepala Fariz. Tindakannya membuatkan Fariz tergamam.


Tanpa sempat melakukan apa-apa, Fariz terasa bahunya diterajang dari arah belakang. Meskipun hentaman lelaki itu sungguh padu, Fariz sempat mempersiapkan kuda-kudanya. Dia hanya terlangkah setapak ke hadapan untuk menyerap impak tendangan.


Fariz segera memutar tubuhnya menghadap lelaki itu. Namun, tindakannya lambat. Belum sempat dia mendaratkan kedua-dua kakinya, Fariz hanya nampak tapak kasut deras menghampiri wajahnya. Kepalanya tertolak ke belakang dan Fariz jatuh terlentang.


Lelaki itu terus melompat untuk mendaratkan kedua-dua kakinya ke tubuh Fariz yang terngadah. Dia bergolek. Namun lelaki itu lebih pantas. Dia terus merebahkan tubuhnya lalu menghenyak belakang Fariz dengan kedua-dua lututnya pula. Dengan pantas lelaki itu mengilas kedua-dua tangannya dan menghantukkan kepalanya ke kepala Fariz. Mata Fariz berpinar-pinar.


‘Ini bukan Muay Thai!’ kata hati Fariz.
“Ini bukan Muay Thai!” kata lelaki itu seolah-olah mendengar suara hati Fariz.
“Ini seni mempertahankan diri orang Khmer. Pradal Serey.”
Dengan kata-kata itu, lelaki itu terus memancung leher Fariz dengan tangannya !

FARIZ tersedar bila berasa tubuhnya dihumban ke atas meja simen. Dia memandang tubuhnya yang tidak berbaju. Lalu terasa yang dia juga tidak berseluar, kecuali seluar dalam! Tangannya sudah terikat dan terkilas ke belakang.
‘Apa dah jadi?’ Fariz tertanya di dalam hati.
‘Sretttttt…’


Bunyi itu menangkap telinga dan pandangan Fariz. Matanya mencerlang memandang sebilah parang yang berkilat yang dilenser ke tubir meja simen ini oleh lelaki yang bertubuh rendang itu. Dialah lelaki yang menetak lehernya sebentar tadi. Lelali itu mengetuk-ngetuk parang itu ke simen meja. Berdenting-denting bunyinya.


Dada Fariz berdegup kencang. Bila tubuhnya ditelanjangkan dan diletak di tempat seperti meja, Fariz dapat mengagak apakah kesudahannya. Dia tahu apa akan terjadi kerana dia pernah menonton video-video siksaan tawanan. Situasi begini menandakan yang dia akan dibunuh. Lebih tepat lagi, dia akan disembelih sebagai korban!


“Masanya dah sampai…” tenang sahaja lelaki itu bertutur.
“Sampai? Sampai ke mana?” soal Fariz inginkan kepastian walaupun dia sudah dapat mengagak maksud lelaki itu.
“Kamu orang Islam… mengucap sahajalah…” kata lelaki itu sambil melurut mata parangnya dengan ibu jari.
“Wei! Apa ni?” pekik Fariz spontan.


Fariz segera meronta-ronta untuk bangun. Tetapi dia terasa ada tangan-tangan yang menangkap tubuhnya. Dia menggelupur. Cuba untuk melepaskan dirinya. Namun, tangan-tangan yang menekan tubuhnya semakin kuat menghenyak. Malah, paha, pinggang dan bahunya dipukul berkali-kali hingga Fariz terasa tubuhnya kebas.


Akhirnya Fariz keletihan. Dalam keadaan pandangannya yang berpinar, Fariz nampak empat wajah-wajah yang menekan tubuhnya memandangnya dengan mata terbelalak. Dia terasa dirinya seperti bermimpi. Mimpi buruk yang mengerikan.


‘Inikah kesudahan aku? Apa sebab aku tiba-tiba disiksa begini? Aku tidak tahu apa-apa mengenai Tuan Aziz atau Khunpol Rachotai. Sebenarnya aku tak perlu disiksa sampai begini. Seharusnya mereka tangkap sahaja Tuan Aziz di Putrajaya. Habis cerita. Mengapa mereka siksa aku sampai begini. Sungguh tak maksud akal! Gila! Ya, mereka ini semuanya gila!’


“Arghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh…” Fariz melaung. Melontarkan suaranya. Menggaung dan menggema di sekitar kawasan berbatu ini.
Fariz terasa pandangannya gelap. Kepalanya sudah disarung dengan kain guni berwarna hitam. Tali yang mengikat mulut kain itu terus dijerut ke lehernya. Fariz ditelentangkan. Dada Fariz semakin berdegup kencang. Peluh sudah membasahi tubuhnya yang telanjang.
“Lepaskan aku!”


“Apa kamu mau?” tanya lelaki yang berambut putih dan bertrubuh rendang itu. Fariz dapat mengecam suara lelaki itu walaupun dengan mata yang tertutup.
“Lepaskan aku. Aku tak tahu menahu tentang semua ini.”
“Apa yang kamu mahu!”
“Aku mahu dilepaskan!”
“Kau tak boleh lepas. Aku sembelih kau.”
“Hei! Lepaskan aku!”
“Apa kamu mahu?”
“Lepaskan aku! Lepaskan aku! Lepaskan aku!”
“Itu saja yang kamu mahu?”
“Ya, lepaskan aku!”
“Apa kamu mahu?”


Soalan sama yang bertubi-tubi itu membuatkan Fariz naik darah. Dia memekik panjang hingga suaranya serak. Tanpa disedari, air matanya mengalir deras. Biarlah. Ajalnya sudah sampai kali ini. Sebagai seorang ejen perisik dia rela mati demi negara. Cuma, dia tidak mengerti apakah nilainya sebagai ejen hingga hendak dibunuh seperti ini. Bukankah mudah kalau dia ditembak sahaja?
“Arghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh…”
“Jangan susah hati, kawan. Mati hanya sekali!”


Suara yang perlahan itu membuatkan Fariz terhenti meraung. Tiba-tiba dia teringatkan ALLAH. Tuhan yang menghidupkannya. Tuhan yang mematikannya. Ya Muhyi! Ya Mumiit!
Tiba-tiba telinganya tidak mendengar apa-apa. Hanya bunyi desingan di dalam telinga. Sayup-sayup dia terdengar suara lelaki itu memerintah agar mereka yang lain terus memegang tubuhnya kerana dia hendak melaksanakan tugasnya.


Fariz mula terasa lehernya sejuk disentuh mata parang. Fariz menahan nafas. Airmatanya seolah-olah terus terhenti. Bulu roma di seluruh tubuhnya terasa berdiri. Dia harus sabar menerima hukuman. Dia harus reda dengan ketentuan. Dia harus pasrah menghadapi mati. Demi Tuhan yang menjadikannya. Dia sudah bersedia untuk mengucap sebaik sahaja terasa lehernya dihiris!


“Apa yang kamu mahu?” bisik suara lelaki itu.
Fariz tidak menjawab.
“Apa yang kamu mahu?”
Fariz terus mendiamkan diri.
“Apa yang kamu mahu?”
“A-L-L-A-H…”
“Apa yang kamu mahu?”
“ALLAH! ALLAH!”
“Apa dia? Apa yang kamu mahu?”
“ALLAH! ALLAH! ALLAH!”
“Apa?”
“ALLAH! ALLAH! ALLAH! Lailahailallah….”


FARIZ terasa mata parang yang sejuk menyusur di lehernya. Dia menahan nafas. Menanti rasa pedih dan sakit mengiringi. Sungguh. Dia sudah bersedia untuk mati. Mati untuk bertemu dengan Illahi. Mata parang sudah terangkat daripada lehernya. Rasa bisa akan mengiringi seketika lagi. Fariz menunggu rasa sakit itu. Sesaat… dua saat… tiga saat…
“Subhanallah walhamdulilah walailahaillah wallah huakbar!” kedengaran suara yang dikenalinya. Bukan suara lelaki yang berambut putih dan bertubuh rendang itu. Tetapi…


Tiba-tiba, kain yang menutup kepalanya disentap. Serta merta pandangannya terang benderang. Tubuhnya terus dilingkari dengan selimut.
“Alhamdulilah, Fariz!”
Seorang lelaki terus menerpa dan memeluk tubuhnya. Mengusap kepalanya. Fariz kenal siapakah lelaki ini.
“Tu… Tuan Aziz?”
“Ya, ya, Fariz. Mengucap, Fariz… mengucap…”


Fariz memeluk lelaki itu sambil mengucap dua kalimah syahadah di dalam hati. Dia memejam mata untuk melafazkan ucapan itu sepenuh jiwanya. Agar kalimah itu meresap dan beredar ke seluruh pembuluh darahnya. Kedengaran bunyi tepukan di sekelilingnya. Fariz membuka mata. Lalu bertembung pandangan dengan Tuan Aziz yang merenungnya dengan senyuman bangga.


Fariz memandang mereka yang berada di sekelilingnya. Lelaki-lelaki yang menyiksanya turut tersengih-sengih sambil bertepuk tangan. Lelaki yang berambut putih dan lelaki yang berambut panjang, kedua-dua lelaki yang menyiksanya terus tampil dan bersalaman dengannya.
“Apa semua ini, tuan?” tanya Fariz kehairanan.
“Selamat datang ke Pusat Latihan BISIK di Narathiwat!” ujar Tuan Aziz.
“Latihan? Oh, tidak!” ujar Fariz sambil menepuk dahinya.
“Smile! You are on candid camera!”


Suara itu membuatkan Fariz berpaling. Dia sempat menangkap tangan yang hendak menumbuk bahunya. Lalu memutar jejarinya untuk bersalaman dengan orang ini.
“Kak Mala? Saya ingat akak dah…”
“Ha-ah, akak dah mati. Ini hantu dia!” jawab Normala selamba.
Kata-kata itu mengundang hilai tawa mereka di sekeliling.
“Tapi, macam mana…”


“Ala… sejak kat Rantau Panjang lagi akak dah keluar dari bonet kereta. Akak bersembang dengan engkau menggunakan alat komunikasi, kan? Sejak dari sempadan lagi akak dah duduk kat bilik operasi untuk pantau pergerakan engkau, Fariz!”
“Oh, selama ini, rupa-rupanya…”
“Apa, engkau ingat, Hollywood aje yang pandai buat trick?”
Tawa mereka semua berderai lagi.


“Fariz…” kata Tuan Aziz.
Mereka semua mendiamkan diri bila bos memulakan kata.
“Tidak ada yang lebih besar dan utama daripada menyerah diri kepada ALLAH. Apabila kamu disiksa, rahsia boleh terbongkar kalau kamu hanya memegang rahsia kerana ikrar BISIK. Ikrar profesyen tidak kukuh sebenarnya.


Yang kuat dan padu adalah ikrar kita sebagai hamba-NYA. Sumpah kita sebagai hamba ALLAH adalah ikrar yang tak boleh dimakan oleh apa jua siksaan. Dengan lafaz laillahailallah, apa jua siksaan dan kepedihan akan terubat. Bila kita berserah nyawa kepada Yang Maha Hidup, insya-ALLAH kita akan dapat menyimpan rahsia sampai ke mati. Oleh itu, bila berdepan dengan interogasi, deraan dan siksaan… jangan lupa kepada ALLAH!”


Fariz dan mereka yang lain terangguk-angguk mendengar tazkirah daripada Tuan Aziz.
“Okey… Ini adalah hari pertama latihan Fariz. Kamu akan jalani dua minggu latihan di sini bersama lain-lain anggota BISIK. Selesai sahaja latihan, kamu akan pulang ke Kuala Lumpur. Ada tugas besar sedang menanti!”
“Apa dia tugas tu, Tuan?”


Tuan Aziz menoleh. Menerkamkan pandangannya ke arah ejen muda itu.
Membuatkan Fariz tidak berani bertanya lagi.


Bersambung di minggu hadapan...


FROM ME TO YOU:
Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.


KISAH SETAKAT INI:

Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap dan diinterogasi.


Jalur 2: Oleh kerana menimbulkan masalah, Jennifer Miles, seorang wartawan perang telah ditukarkan ke meja bisnes. Namun, sikapnya yang tegas dan lantang tetap mengundang kurang senang orang walau di mana dia berada.

Sunday, November 22, 2009

FRAGMEN 19: DETIK DEBAR


Foto: diytrade.com
FRAGMEN 19
DETIKDEBAR


Denver Convention Center, USA
CAHAYA lampu di dewan ini mula dimalapkan. Ratusan para jemputan yang asyik berbual mula berpaling dan menumpukan perhatian ke hadapan. Cahaya terang sebuah lampu sorot memancar ke arah sebuah skrin yang mula bergerak perlahan-lahan berlabuh dari lelangit pentas.
Cahaya dari pelbagai warna mula memanah bersilang-seli ke layar perak. Dan sebuah animasi untuk gimik persembahan pelancaran produk pun terpapar. Sejurus asap ais kering terhembus meliputi pentas dan kerlipan cahaya laser pun menyilau. Dengan iringan bunyi dentuman muzik, maka muncul produk yang dinanti-nantikan ~ sebuah kasut sukan terkini ciptaan syarikat NeoSteps Corporation.

Semua para hadirin bertepuk tangan bila seorang lelaki muncul di pentas seraya melambaikan tangannya. Paparan di skrin terus menukar imej daripada produk kasut ke wajah lelaki yang kelihatan begitu ceria itu.

Dialah Smith Dawson, CEO NeoSteps Corporation. Dan tepukan semakin bergemuruh bila dia berdiri di samping produk syarikatnya. Tersenyum simpul bergaya santai sambil membiarkan kerlipan kamera para jurufoto memercik ke wajahnya. Sambil berdehem, dia membetulkan mikrofon. Petanda dia akan memulakan ucapan untuk memperkenalkan produknya.

Jennifer Miles tersenyum sinis memerhatikan semua ini. Dia sudah kerap sangat menghadiri majlis-majlis sebegini. Baginya, ia tidak mempunyai apa-apa makna melainkan sebuah majlis promosi yang klise. Sebuah majlis keraian yang tampaknya gah, tetapi belum tentu menjamin produk yang benar-benar berkualiti.

Jika pun ia sebuah produk yang bagus, belum tentu lagi pengeluarannya menuruti peraturan dan undang-undang di tempat ia dibuat. NeoSteps Corporation juga adalah sebuah syarikat antarabangsa yang mempunyai kilang-kilang pengeluaran di merata dunia khususnya di negara-negara membangun. Jennifer tahu cerita di sebalik kehebatan syarikat itu. Dan Jennifer mahukan jawapannya.

“And now... question time...” kata CEO NeoSteps Corporation menghabiskan ucapan lalu melangkah turun dari pentas ke ruang sofa di mana satu sidang akhbar akan berlangsung.
Mendengarkan itu, Jennifer melangkah ke hadapan. Dia ingin bertanyakan soalan. Soalan-soalan yang menarik perhatian CEO itu. Soalan-soalan yang bakal merobah wajah lelaki yang kelihatan begitu seronok itu!

Jennifer hanya mengukir senyuman plastik bila mendengar para wartawan lain bertanya pelbagai soalan. Kesemua soalan-soalan yang dikemukakan berbaur puji-pujian yang mengundang rasa gembira dan kembang hidung lelaki itu. Dan para hadirin bertepuk tangan setiap kali lelaki itu menyudahkan jawapan. Hebatnya NeoSteps Corporation. Seolah-olah ia begitu gemilang dan tiada danu.

“One last question...” ujar lelaki itu sambil tersenyum lagi.
“Ya... one more question, Mr. Smith...”
Wajah Smith Dawson serta merta berubah bila bertembung mata dengan Jennifer. Dia tertunduk seketika memandang ke lantai. Ada riak bimbang diwajahnya. Sambil mengusap dagunya yang tentunya tidak gatal, Smith mengukir senyuman. Senyuman plastik.

“Saya terbaca laporan sebuah NGO mengenai reban kasut tuan di Indonesia...”
Perkataan 'reban' sudah cukup membuatkan Smith berasa terpukul. Para wartawan yang berada berhampiran dengan Jennifer mula memandang sinis ke arah wanita itu. Mereka kenal siapakah Jennifer Miles. Lalu mereka menginjak untuk menjauhi Jennifer kerana berasa tidak selesa dengan perkataan yang dipilih wartawan wanita itu.

“Dia ni tak sudah-sudah dengan kontroversi,” bisik seorang wartawan kepada rakan sejawatnya. “Sepatutnya dia berada di neraka Palestin. Tempatnya bukan di sini,” jawab rakannya pula.

Jennifer terdengar kata-kata memperli itu. Namun dia tidak peduli. Baginya, wartawan-wartawan yang membuat liputan dunia perniagaan adalah mereka yang mudah digula-gulakan dengan material. Mereka yang membuat liputan produk akan menerima pelbagai cenderahati yang dipanggil 'door gift.'

Akibatnya, mereka yang termakan budi akan melaporkan yang muluk-muluk mengenai syarikat penaja majlis. Kerana hadiah yang diterima, pelancaran yang gah itu akan diberi ruang lalu tersebar sebagai sebuah berita yang dibaca dan ditonton ramai. Padahal, ia adalah sebuah gimik pemasaran di mana si tuan punya majlis tidak perlu mengeluarkan bajet yang besar. Cukup sekadar memberikan cenderahati yang murah harga dan nilainya.

“What is your name, young lady?” Smith bertanya nama Jennifer. Seolah-olah dia tidak mengenali wartawan yang terkenal itu.
“Jennifer... Jennifer Miles...”
“The Legendary Jennifer?”
Jennifer hanya mengukir sekilas senyuman kerana diberi gelaran 'lagenda.' Dia tahu lelaki itu sengaja cuba memujinya untuk melengah-lengahkan masa. Sengaja tidak mahu menjawab soalannya. Satu petanda yang dia akan berdolak-dalik.

“Maafkan saya, err... Jennifer. Saudari mengistilahkan kilang pengeluaran saya di Indonesia sebagai reban? Reban ayam? Maaf. Saya tidak mengeluarkan bulu tangkis!”

Jawapan Smith membuatkan keseluruhan para hadirin tertawa. Namun, perasaan Jennifer tidak berasa tergugat pun. Dengan lantang dia bersuara, “NeoSteps adalah jenama global. Jenamanya sudah mengatasi lain-lain jenama kasut di dunia. Produknya berkualiti. Malah, NeoSteps memperoleh keuntungan berbilion ringgit. Dan, saham NeoSteps kini di antara saham yang paling menguntungkan di Bursa Saham New York.

Tetapi, mengapa NeoSteps menganiaya tenaga buruhnya? Mengapa membayar mereka gaji harian yang kecil yang nilainya lebih rendah daripada sebuku roti? Oleh kerana gaji yang kecil, mereka tinggal merempat di dalam rumah-rumah yang diperbuat daripada kotak kertas!

Mereka tinggal di tepi-tepi sungai dan mandi di celah-celah timbunan sampah sarap. NeoSteps sebagai jenama global yang kaya raya, apa yang NeoSteps lakukan untuk masa depan para pekerjanya? Dan tuan sebagai CEOnya, apakah yang tuan pernah saksikan sendiri kehidupan daif mereka?” soal Jennifer dengan suara yang lantang.

“NeoSteps tidak bertanggungjawab dengan kehidupan peribadi para pekerjanya di Indonesia. Apa yang penting, mereka setuju dengan bayaran gaji yang diberi. Kalau mereka tidak mahu, mereka boleh sahaja berhenti kerja.

Kalau mereka berhenti kerja, ada ramai lagi mereka yang mahu bekerja di kilang kami di sana. Bagaimana pun, kami telah memenuhi tuntutan piawaian antara bangsa hak-hak para pekerja. Jadi, apa masalah awak, Jennifer?” soal Smith dengan matanya yang mula mencerlang.

“Saya tiada apa-apa masalah... sebaliknya, tuan yang punyai masalah! Tuan sudah hilang jiwa sebagai manusia! Kerana wang dan keuntungan, tuan membiarkan para pekerja yang membuat kasut syarikat tuan hidup bagai gelandangan.”

“Apa yang awak cakapkan ini, Jennifer?” soal Smith.
“Laporan NGO Workers World menunjukkan NeoSteps adalah salah sebuah konglomerat Amerika yang menganiaya para pekerja!” bantah Jennifer.
“Workers World? Kamu kata, Workers World? Rupa-rupanya kamu membaca laporan NGO yang itu ke?” soal Smith.
“Ya!”

“Sebenarnya, saya sudah membaca laporan itu. Kami dapati Workers World telah tersilap lapor! Peguam kami telah menghubungi mereka dan mereka akan menarik balik laporan kaji selidik itu. Err... kebetulannya, pemimpin Workers World, Mr. Roger Parker ada di sini sebagai tetamu saya. Roger... dipersilakan Mr. Roger Parker ke mari...”

Para hadirin yang asyik mendengar perdebatan Jennifer dan Smith tertoleh-toleh mencari orang yang bernama Roger Parker. Lampu sorot di lelangit dewan turut berkeliaran mencari pemimpin NGO itu. Akhirnya, kelihatan seorang lelaki mengangkat tangan. Dengan malu-malu, dia melangkah perlahan ke pentas. Smith terus merangkul bahu lelaki yang menghampirinya.

“Ini dia, Mr. Roger Parker. Beliau telah membuat kaji selidik mengenai tanggungjawab NeoSteps ke atas para pekerja di Indonesia. Pada mulanya, Workers World berpendapat NeoSteps telah melanggar hak asasi para pekerja.
Tetapi setelah mereka menyelidik kembali dengan bantuan Jabatan Sumber Manusia kami, Workers World mendapati NeoSteps telah memenuhi piawaian antara bangsa hak asasi para pekerja!”

Kata-kata Smith disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin. Jennifer ternganga memandang drama yang berlaku di depan matanya. Hatinya semakin memberontak.
“Oleh kerana seorang wartawan terhormat telah mempersoalkan kredibiliti kami, biarlah pemimpin Workers World, Mr. Roger Parker menerangkan kedudukan sebenar. Dipersilakan...” ujar Smith lalu menghulurkan mikrofon kepada pemimpin NGO itu.

‘Oh, my God... rupa-rupanya Workers World telah dibeli. Ia sudah tiada roh perjuangan...’ desis Jennifer di dalam hati.
Dengan perasaan yang membungkam, Jennifer berpaling dan melangkah keluar dari dewan itu. Dia tidak mahu mendengar pengakuan palsu ketua NGO itu. Di laluan keluar, Jennifer disapa oleh seorang petugas NeoSteps.
“Maafkan saya, puan...”
“Hmm...” jawab Jennifer sambil tersenyum sebagai tanda hormat.

“Saya tengok, puan masih belum lagi memperoleh cenderahati sepasang kasut daripada NeoSteps. Silalah pilih mana satu kasut yang puan ingini...” kata petugas itu seraya mengunjuk ke arah susunan kasut yang tersedia sebagai cenderahati.
“Thank you. How I wish I don’t have any legs!” jawab Jennifer dengan wajah yang mencuka. Meninggalkan petugas yang terpinga-pinga itu.

BARU sahaja Jennifer membuka pintu kereta, dia menerima panggilan daripada ayahnya.
“Ya, papa...”
“Jenny... apakah sayang hendak melancong?”
“Melancong? Alah, papa ni janganlah bergurau!”
“Maksud papa, Jenny hendak tak ke sebuah negara di Asia Tenggara?”
“Indonesia?”
“Bukan Indonesia, tetapi ke sebuah negara yang berhampiran dengannya.”
“Malaysia?”
“Ya, Malaysia!”
Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...




FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap dan diinterogasi.

Jalur 2: Oleh kerana menimbulkan masalah, Jennifer Miles, seorang wartawan perang telah ditukarkan ke meja bisnes. Namun, sikapnya yang tegas dan lantang tetap mengundang kurang senang orang walau di mana dia berada.

Wednesday, November 11, 2009

FRAGMEN 18: DETIK DEBAR


Foto:film-forward.com


FRAGMEN 18
DETIKDEBAR


“TENGOK sana!” perintah lelaki yang bertubuh besar itu seraya mencekak rambutnya. Memaksa kepala Fariz terdongak memandang skrin. Paparan di layar bertukar kepada ketika dia berkunjung ke rumah Tuan Aziz di Putrajaya pada satu malam. Pasti imej itu dirakam menerusi CCTV. Oleh kerana dia menyamar di dalam tugasnya, waktu yang sesuai bagi Fariz menemui bosnya itu hanyalah pada waktu malam.

Fariz nampak dirinya menyelit di celah-celah pokok, melangkahi parit dan mengepil di balik tembok. Menanti sehingga Tuan Aziz pulang. Kehadirannya nyaris disambut dengan peluru bila bosnya terkejut dengan kemunculannya. Fariz dibawa masuk ke dalam rumah dan keluar untuk menghilang seketika kemudian.

“Khunpol adalah penyangak besar. Dia menjadi jutawan dengan kerjanya itu! Khunpollah yang memalsukan kad pengenalan mereka yang diculik dan diseludup supaya mudah dibawa keluar ke Thailand. Dari Thailand, mangsa-mangsa culik akan dibawa ke merata dunia.

Khunpol juga membuat money laundering kesemua wang yang dibawa masuk ke Malaysia untuk dilaburkan ke dalam pelbagai perusahaan. Dan Khunpol membunuh sesiapa sahaja yang menentangnya! Kau tengok siapa tali barut Khunpol!”

Paparan di skrin bertukar sekali lagi. Wajah Normala yang melambaikan tangannya muncul. Fariz terkedu melihat wajah itu. Normala mengenyitkan matanya dan memberi senyuman menggoda. Kelihatan wanita itu menuju ke kereta limosin. Lalu dia mengetuk cermin kereta itu. Apabila cermin kereta itu melorot, tampil wajah Tuan Aziz atau Khunpol!

Fariz menelan liurnya. Memerhati imej tayangan yang beralih lagi. Kali ini terpampang wajah dua orang lelaki dengan AK-47 mengarahkan senjata masing-masing ke but kenderaan pacuan empat roda!
“Argh!” Fariz terjerit.

Dia tahu apakah adegan yang akan dimainkan selepas ini. Bunyi dentuman mesin gun mula menghingari bilik itu. Tampak jelas di matanya bagaimana dua orang lelaki berpakaian hitam memuntahkan peluru ke arah but kenderaan. Babak itu begitu menyesak jiwanya. Fariz meronta-ronta hingga dia dapat tunduk untuk menutup matanya dari memandang ke layar perak.

Namun telinganya boleh mendengar rentetan dentuman muntahan peluru dari senjata itu. Mata hatinya dapat melihat tubuh Normala meronta-ronta bila dihujani peluru yang tak bermata dan hati.

“Sudahhhhhhhhhhh...” jerit Fariz.
Dadanya berombak kencang. Fariz benar-benar keliru. Hatinya tidak mahu percaya, tetapi fikirannya mengiyakan. Manusia perisikan boleh sahaja berlakon menjadi baik ataupun jahat hingga sebati ke dalam jiwa. Tentu tidak mustahil jika seseorang yang jahat pun berlakon baik! Dan, Tuan Aziz pun tidak terkecuali!

Tanpa disedari, air matanya mengalir. Geram dan sedih bercampur baur. Di antara percaya dengan tidak. Di antara sayangkan Normala atau membencinya. Apakah selama ini dia tertipu? Tertipu dengan sandiwara mereka yang telah membina keyakinan dirinya terhadap nilai-nilai amanah untuk mempertahankan bangsa dan negaranya? Ah, fikirannya berkecamuk dan bergumpal dengan pelbagai persoalan. Namun, tiada jawapan yang melintas di fikirannya yang semakin kusut.

“Apa yang kau sedihkan? Apa yang kau tangiskan? ” ujar lelaki yang bertubuh besar itu dengan lantang. “Tuan Aziz bukan bos kamu! Sebab dia adalah Khunpol! Khunpol akan kami hapuskan. Sebelum itu, kami sudah hapuskan Normala.”

Lelaki itu menghampiri Fariz dan merentap rambutnya. Memaksa Fariz bertentang mata dengannya. Fariz bingung. Sama ada untuk mempercayai atau sebaliknya. Lelaki itu menghampirkan mulutnya ke telinga Fariz. Lalu dia berbisik, “Kau kena tolong kami, Fariz. Bersihkan BISIK dari ancaman pembelot besar seperti Tuan Aziz atau nama Siamnya, Khunpol.”
“Siapa kamu?” Fariz juga bertanya perlahan.
Kata-kata itu sendiri terluah tanpa Fariz sedari. Meskipun video yang terpapar begitu meyakinkan, hati kecilnya masih ragu-ragu dengan tiga lelaki yang mengelilinginya.

“Kami semua bekas anggota BISIK yang telah disisihkan oleh Khunpol. Kami diarahkan oleh PM sendiri untuk membersihkan BISIK. Kami sayang pada BISIK, Fariz.” Lelaki itu berkata perlahan diiringi dengan satu keluhan yang panjang. Dia berpaling dan melontarkan pandangannya ke arah skrin. Melihat babak dua orang lelaki melepaskan tembakan ke arah kenderaan panduan empat rodanya yang kini sudah terhenti.

“Aku tak percaya!” kata Fariz tegas.
Lelaki itu menoleh. Merenung Fariz buat beberapa ketika lalu menggeleng kesal.
“Okey, teruskan...” perintah lelaki itu seraya memetik jarinya beberapa kali.

Tayangan di skrin bertukar lagi. Kali ini pandangan dari halaman sebuah rumah kampung. Mulut Fariz ternganga kerana dia tahu rumah siapakah yang tertayang di depan matanya. Itulah rumahnya di Kampung Rhu Teduh, Terengganu. Sejurus kelihatan seorang wanita berusia lanjut menuruni tangga rumah itu sambil memegang sebuah bakul.
“Nek...” ucapan itu terpacul dari mulutnya.

Fariz terpaku melihat wajah neneknya. Wanita itu tenang melangkah ke tepian rumah untuk menyidai baju. Sejurus, wanita itu menjejak tangga memasuki rumah kembali. Fariz memerhati keadaan rumah neneknya yang kelihatan begitu sunyi. Kelihatan pepohon kelapa melambai ditiup angin. Kedengaran bunyian ombak melanda pantai. Tiba-tiba kedengaran pekikan nyaring.

Mata Fariz terbelalak. Fikirannya sudah membayangkan sesuatu yang buruk bakal ditontonnya. Sejurus kelihatan dua orang lelaki menuruni rumah sambil mengendong sesusuk tubuh yang dibalut seluruhnya dengan kain batik. Tubuh itu kelihatan meronta-ronta.
“Wei! Apa tu? Wei! Tu nenek aku!” Fariz terpekik.

Darah menyirap ke kepalanya. Dadanya berombak semula. Dia cemas bercampur marah bila melihat neneknya diperlakukan begitu. Kedua-dua lengan yang terlekap di kerusi cuba direntap dari ikatan. Tubuhnya digoyang-goyang agar terlepas dari ikatan. Dia bangun. Membawa kerusinya sekali. Dia duduk dan bangun beberapa kali. Menghentak-hentak kaki kerusi ke lantai untuk melahirkan kemarahannya.

“Nek Tijah akan dilepas kalau kau membantu kami,” kata lelaki itu sambil tersengih.
“Mana boleh macam tu! Tugasan adalah tugasan! Tidak perlu anggota keluarga dijadikan tebusan. Kamu kata kamu bekas anggota BISIK. Mana ada BISIK bertindak begini ke atas anggota keluarganya?” bantah Fariz.

“Kau diam! Kau siapa yang hendak mengajar aku? Bodoh!” jerkah lelaki itu sambil menjegil matanya.
“Arghhhh...”

DENGAN sekali rentap, ikatan di pergelangan tangannya tercabut. Mereka yang berada di sekelilingnya jadi panik. Kini hanya kakinya sahaja yang terikat di kaki kerusi. Dengan menggunakan kemahiran parkour yang dimilikinya, Fariz menggunakan kedua-dua tangannya untuk melekap ke lantai. Tindakan pantasnya menghasilkan momentum. Bagai seorang penari breakdance, yang melakukan gerak coffee grinder, Fariz memutar kerusi dengan kakinya sebelum menghayunnya mengenai dua orang yang ada berhampiran.

Hentaman kerusi itu membuatkan kerusi itu patah dan tali ikatan pun terburai. Kini Fariz telah bebas kembali. Dia sudah bersedia untuk menyerang. Melihatkan Fariz mengamuk, dua orang lelaki itu bingkas bangun dan mengorak langkah seribu.

Tanpa membuang masa, Fariz melompat dan menendang kaki skrin menyebabkan layarnya tumbang dan koyak menghempap kedua-dua lelaki itu. Sekali lagi Fariz melompat dan menggunakan kedua-dua kakinya untuk mengacip kedua-dua kepala lelaki yang masih bingung itu. Kedua-dua kepala mereka terhantuk dan mereka rebah. Fariz tersenyum seketika melihat hasil kerjanya.

“Dek chaiiiiii!”
Kedengaran suara di belakangnya. ‘Budak?’ Fariz mentafsir bahasa Thai itu seraya menoleh. Memandang lelaki yang bertubuh besar berdiri gagah. Jari telunjuk lelaki itu terkuit-kuit menggamitnya.

“Gert keun!”
‘Mari sini...’ Fariz menterjemah lagi bahasa itu.
Lelaki itu lalu terus mengepalkan kedua-dua penumbuknya. Kakinya terangkat-angkat silih berganti melibas-libas ke udara.
‘Muay Thai?’ kata Fariz di dalam hati.
“Rao.... gaan dtor soo!” jawab Fariz, tidak mahu kalah.

Mata lelaki itu mencerlang bila mendengar jawapan Fariz yang bermaksud ‘mari kita berlawan.’
“Huh!” Begitulah reaksinya sambil mencebir bibir.
Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH.
........................................
FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.
KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap dan diinterogasi.
Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya. Akibatnya demonstrasi mengutuk Jennifer dan Amerika terjadi di mana-mana. Ia turut menjadi perhatian The Group, sebuah kumpulan pelobi Yahudi...

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP