Saturday, November 27, 2010

FRAGMEN 49: DETIK DEBAR


Foto: onekingwest.com

Hotel Prominent, Putrajaya

JENNIFER
mengeluh lega apabila John muncul akhirnya. Sudah lebih sejam dia menanti Tuan Presiden, baru kini dia kembali ke suitenya. Kebosanan yang sudah lama menyelinap di hati Jennifer mula reda. Petang tadi, ketika jamuan minum petang, John mengajaknya untuk bertemu.

Walaupun bersetuju, Jennifer tidak menyangka pertemuan pada jam 11.00 malam seperti yang dijanjikan begitu terlewat. Kalau tidak kerana Ed Arden yang menghubunginya, dia tidak terfikir John benar-benar ingin berjumpa dengannya. Maklumlah orang politik. Ketika di hadapan, macam-macam pelawaan boleh dibuat. Sebaik sahaja berpaling, apa yang diperkata dalam seminit boleh dilupakan.

Sambil menjeling ke arah jam tangannya yang sudahpun menunjukkan jam 12.10 malam, Jennifer melontarkan sebuah senyuman ke arah lelaki itu. Senyuman untuk menyenangkan hatinya dan senyuman perli untuk lelaki yang tidak menepati waktu itu.
“Maafkan saya kerana terlambat, Jennifer,” ujar John seraya duduk di sofa di hadapan wartawan itu. “Mahu minum, Cik Miles?”
Jennifer menggeleng.

“Makan?”
Jennifer menggeleng lagi. Kalau boleh dia mahu segera tahu apa yang ingin disampaikan oleh John. Setelah itu, dia ingin sekali beredar. Fariz telah berjanji untuk membawanya berjalan-jalan di Kuala Lumpur. Melihat Dataran Merdeka di waktu malam.

John mencapai dua buah gelas yang terletak di sisi meja. Kemudian dia mengambil sebotol air mineral. Setelah kedua-dua gelas itu penuh, dia meletakkan satu daripadanya di hadapan Jennifer.
“Terima kasih,” ujar Jennifer.

“Rasalah sedikit,” kata John seraya menghulurkan sebotol kecil kacang pinyon pula.
Jennifer tidak terasa untuk makan apa-apa pada saat ini. Namun dia mengambil dua butir sekadar mengambil hati. Perlahan-lahan dia mengunyah sambil ternanti-nanti apakah tujuan John ingin bertemu dengannya.

“Awak wartawan terkenal, Jennifer,” John memulakan kata. “Kami di kalangan orang politik pun mengenali dan mengikuti perkembangan kamu. Nama kamu meniti di bibir kami lebih-lebih lagi sejak kisah kamu dengan dua kanak-kanak Palestin itu tercetus.”
“Boleh saya tanya, Tuan Presiden?” soal Jennifer. “Apakah benar, kisah saya sengaja dibiarkan mendapat liputan meluas media supaya pandangan dunia teralih daripada isu sokongan Amerika terhadap Israel?

Apakah tuan yang mengatur untuk keluarkan saya dari Palestin... agar saya tak boleh lagi menceritakan penderitaan rakyat Palestin? Dan apakah tuan penyokong negara Israel seperti mana-mana Presiden Amerika sebelum ini?”

Pandangan mereka bertembung. Mata Jennifer jelas tajam menikam. Dadanya pula mula berombak. Segala perasaan membungkam di dadanya telah diluahkan kepada Presidennya.
Dia melihat mata John yang redup menahan resah di hati. Kelihatan dia mengeluh dalam setelah mendengar kritikan Jennifer. Kemudian dia menegur liur sebelum menjawab, “Tidak. Itulah jawapan kepada semua soalan kamu, Miles. Saya tidak ada apa-apa agenda terhadap kamu…”

“Tapi, segala tindakan Tuan…”
Kata-kata Jennifer terhenti apabila John mengangkat tangannya sebagai isyarat agar Jennifer tidak menyambung kata. “Janganlah kita beretorik pada malam ini. Kalau saya nafikan pun, kamu tidak akan mahu percaya. Mari kita ketepikan perkara itu, sekurang-kurangnya buat seketika ini. Sebab… saya ada sesuatu yang penting yang hendak saya sampaikan.”

Rasa ingin tahu, segera menyelinap di sanubari Jennifer. Apakah perkara yang penting sangat yang ingin disampaikan oleh John? Kepentingan peribadi? Kepentingan nasional? Atau, kepentingan dunia?

“Kamu sudah maklum akan pengaruh Yahudi di Amerika. Kamu tentu tahu yang saya tak sukakan pengaruh mereka hingga menjejaskan segala apa yang pentadbiran saya putuskan. Malah, semua Presiden Amerika amat benci dengan pengaruh Yahudi di dalam pentadbiran masing-masing. Mereka hanya berani bersuara selepas meletak jawatan.

Saya tak mahu jadi seperti mereka. Sebab itu saya berani nyatakan pendirian saya. Kemuncaknya ialah pada hari ini bila mana saya menunjukkan sokongan saya terhadap sistem kewangan Islam.”

Jennifer hanya memerhati John bersuara dengan nada perlahan namun tegas. Lelaki itu memandangnya pula seolah-olah untuk memeriksa sama ada dia hanya setakat mendengar ataupun menganalisa sekali apa yang telah dijelaskan John.

“Saya tahu kini saya menjadi ancaman kepada puak Yahudi yang menguasai ekonomi konvensional Amerika, malah ekonomi dunia. Tetapi, saya tiada pilihan. Saya ingin selamatkan Amerika dan juga dunia. Dan saya bersedia untuk menerima padahnya. Jennifer…” kata John semakin perlahan.

Jennifer mengangkat keningnya sebagai isyarat agar John meneruskan kata-katanya. Lelaki itu mengeluh sekali lagi sebelum menyambung kata, “Saya sedang menghitung hari. Saya sedang menunggu mati!”

“Kenapa Tuan bercakap begitu?” Secara spontan sahaja Jennifer bertanya. Rasa ingin tahu mula menguasai fikirannya.
“Saya sudah menerima ancaman maut! Malah, sebelum saya ke Malaysia pun, puak usahawan Yahudi sudah pun tahu akan hasrat saya yang menentang sistem ekonomi konvensional.

Mereka tahu yang saya sudah mewujudkan jawatankuasa pemandu ekonomi Islam di dalam jabatan pentadbiran saya. Sebelum ke terbang ke mari, saya sudah menerima ancaman yang melarang saya menzahirkan hasrat saya ini. Tengah hari tadi, saya mendapat panggilan yang mengugut nyawa saya berikutan dengan ucapan saya di PICC.

Jennifer… seandainya saya dapat hidup sebulan lagi… ia adalah
satu keajaiban. Sebab itu, saya memilih awak untuk berada hampir dengan saya untuk merakam peristiwa bersejarah seandainya apa-apa terjadi kepada saya di negara Malaysia ini.”
“Tapi, kenapa saya? Bukankah tuan punyai pasukan media tuan sendiri?” soal Jennifer.
“Kamu tentu bijak untuk memikirkan mengapa saya tidak memilih mereka, bukan?” jawab John dengan senyuman bermakna.

Kini, Jennifer pula yang mengeluh. Berbagai persoalan bersimpang-siur di fikirannya. Sebagai wartawan, dia tahu yang dia sudah bersedia untuk merakam dan melapor apa jua yang berlaku.

Tetapi, di sepanjang pengalamannya menjadi pemberita, dia tidak pernah diberikan tip apa yang akan terjadi oleh mana-mana pihak yang beliau ingin liputkan. Lebih-lebih lagi tip dari seorang pemimpin besar negaranya, John Martinez.

Bila memikirkan itu, bulu tengkuknya tiba-tiba meremang.
Ada rasa bersemangat. Ada juga terasa gerun.
Bersambung, insya-ALLAH...

Sunday, November 21, 2010

FRAGMEN 48: DETIK DEBAR


Foto: mirakimura.blogspot.com

Seri Perdana, Putrajaya

SELEPAS jamuan makan malam sempena Persidangan WIEC, PM memperlawa John Martinez untuk singgah ke kediamannya. Kini, mereka berdua berada di laman Seri Perdana. Duduk-duduk menikmati suasana malam.

Dalam keadaan yang santai, perkara-perkara rasmi tidak lagi dibicarakan. Sebaliknya, banyak kisah-kisah lama sewaktu mereka menuntut yang dibualkan. Sebenarnya ada sesuatu yang hendak diperkatakan oleh John kepada sahabatnya. Namun, dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan.

“Aku nampak engkau susah hati, John. Ada apa-apa yang sedang mengganggu fikiran engkau?” tanya PM perlahan setelah melihat beberapa kali John termenung melayani fikirannya.
John tersenyum tawar setelah meneguk minumannya. Kacang pinyon yang ada semangkuk diambil sebutir dan disuap ke mulutnya.

“Engkau tahu… menjadi Presiden Amerika membuatkan aku jadi robot… masa aku diatur hingga ke setiap minit, langkah aku disusun laju dan lambatnya… sembilan daripada sepuluh patah perkataan yang aku tutur mesti daripada teks. Aku dah mula bosan.

Aku tahu apa yang bagus untuk Amerika. Dan, orang Amerrika pun ramai yang tahu apa yang bagus untuk negaranya. Yang jadi masalahnya ialah cengkaman golongan Yahudi terhadap ekonomi Amerika.

Tindakan aku mengumumkan hasrat negara aku untuk merombak sistem ekonomi mengikut sistem kewangan Islam sudah tentu sekali membuatkan ramai pelobi Yahudi di Dewan Senat marah kepada aku. Tapi aku mahu selamatkan negara aku. Cukuplah kita berlakon kononnya segala-galanya okey sedangkan kita orang Amerika tahu kita semua sedang menuju ke jurang ekonomi yang dalam. Sebab itu, aku bersedia bila tiba harinya…”

PM memandang John Martinez dengan kerutan di dahinya. “Bersedia untuk ketibaan hari apa, John?”
John memandang PM. Bahunya diangkat seiring dengan keningnya. “Hari di mana aku… ditentang oleh mereka di dalam parti aku hingga aku dijatuhkan…”

John menghirup lagi minumannya. Dia bangun dan melangkah ke tebing bukit. Melihat pemandangan Putrajaya yang berbalam-balam. Angin malam berhembus. Mengibarkan jalur gemilang yang berada tidak jauh daripada tempat dia berdiri. Bunyi kibaran bendera itu menarik perhatian Presiden Amerika itu. John mendongak memandang bendera keagungan Malaysia.

“Setiap kali aku terpandang Jalur Gemilang, pasti aku akan teringatkan Star-Sprangled Banner. Jalur merah putihnya serupa. Bendera kita akan berbeza bila ia berkibar. Bendera kamu mempunyai bulan dan bintang, sementara benderaku punyai 50 bintang-bintang kecil.

Oh, tiap kali aku memandang bendera mana-mana negara pun, aku akan berasa bersemangat kerana bendera melambangkan semua nilai-nilai agung sesebuah negara… keberaniannya… kesetiaannya… kemerdekaannya…” John berfalsafah pula.

“John…” PM bangkit daripada bangkunya dan melangkah menghampiri John. “Kebetulannya lusa negara aku akan menyambut Hari Kemerdekaannya. Sekarang, aku nak jemput kau hadiri dan saksikan hari bersejarah negara aku.”

“Oh, kenapa kau tidak beritahu aku lebih awal? Kalau tidak, boleh aku peruntukan masa untuk menghadirinya. Tapi…” John menoleh. Melontarkan pandangannya ke arah anjung sisi Seri Perdana. Kelihatan beberapa kelibat manusia sedang berlegar-legar di situ. Mereka adalah para pegawai Presiden yang menemani beliau. “Doron!”

Seseorang kelihatan bergegas menghampiri John. Apabila menghampiri, barulah kelihatan yang orang itu adalah David Doron, Setiausaha Politik John Martinez.
“Apa rancangan saya esok?” tanya John. “Tuan seharusnya berada di Filipina menghadiri pertemuan dengan Pertubuhan Usahawan Amerika-Filipina pada sebelah pagi. Pada sebelah petang, tuan harus menemui tentera kita di Clark Air Base. Pada sebelah malam pula Jamuan Makan Malam Presiden Filipina,” kata David.

“Tangguhkan kesemuanya lusa,” kata John ringkas tetapi tegas.
“Tapi, tuan…” ujar David. Wajahnya jelas kelihatan terkejut dengan arahan Tuan Presiden.
“Saya ingin meluangkan masa lebih lama sedikit di Malaysia. Saya ingin saksikan Hari Kemerdekaan Malaysia. Kita berangkat ke Manila pada petang esok!”

“Baik, Tuan Presiden. Kalau begitu, saya akan aturkan kesemuanya,” jawab David Doron seraya mencapai fonsel di poketnya. Setelah beberapa langkah meninggalkan PM dan John Martinez, David Doron mula mendail seseorang.

“Halo, Encik Buang Bakar… mahukah awak muncul di kaca televisyen di seluruh dunia kerana menentang Amerika?”
Bersambung, insya-ALLAH...

Sunday, November 14, 2010

FRAGMEN 47: DETIK DEBAR


Foto:mountalexander.vic.gov.au

World Economic Islamic Conference, PICC Putrajaya

PARA wartawan yang sedia menanti John Martinez terus mengerumuni beliau sebaik sahaja beliau keluar daripada dewan persidangan. Masing-masing mengemukakan soalan. Namun, John hanya tersenyum dan menggeleng penuh hormat.

“Tuan Presiden tidak akan membuat kenyataan akhbar pada petang ini. Tunggu esok pagi, jam 9.00 di Hotel Prominent,” kata David Doron dengan lantang kepada para wartawan.

Para wartawan yang bersesak-sesak di laluan John Martinez jelas kecewa. Masing-masing berhenti melangkah mengejar Tuan Presiden. Pada ketika itulah John terpandang Jennifer yang datang menghampirinya.
“Young lady! Saya tak sangka kita bertemu lagi,” sapa John lantas tersenyum.
“Saya ingin bertanya dengan tuan beberapa soalan…”
“Esok, Jenny… esok,” celah David Doron seraya menghadang Jennifer menghampiri John.

“It’s okey, Doron…” ujar John. Dia pula yang melangkah menghampiri Jennifer.
“Kita tak dapat minum kopi di White House, Jennifer… jadi… apa kata kita minum the tarik Malaysia, malam ini di hotel saya?”

Jennifer terpaku dengan pelawaan John. Benar. Dia menolak pelawaan John untuk minum kopi bersama di White House beberapa minggu lalu. Tetapi kali ini, situasinya sudah berbeza. Sebagai wartawan, kini dia pula yang lebih memerlukan John.
“Why not, Mr. President… why not?” jawab Jennifer seraya mengukir sebuah senyuman paling manis.

Hotel Prominent, Putrajaya

MAJLIS minum petang itu diadakan di dalam sebuah bilik kecil hotel ini, yang boleh memuatkan 40 orang. Hanya terdapat enam buah meja makan. Tiap satu menempatkan lapan buah kerusi. Ia sudah dipenuhi dengan para jemputan yang terdiri daripada para pegawai tinggi Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Penerangan dan Kementerian Dalam Negeri.

Di meja paling hampir dengan meja utama, terdapat beberapa orang pegawai daripada Kedutaan Amerika Syarikat yang ditemani oleh beberapa orang pegawai tinggi Kementerian Luar Negeri.
Masing-masing tidak berbual dengan gelak ketawa. Malah, perbualan hanya secara perlahan dengan penuh tertib kerana ia adalah sebuah majlis rasmi yang ringkas. Sesekali, pandangan masing-masing tertoleh ke arah sepasang suami isteri yang duduk penuh tertib di meja utama.

Mereka adalah Encik Abdul Samad bin Abdul Syukur dan isterinya Puan Sakinah binti Mustajab. Mereka adalah ibubapa Zamir Abdul Samad, kelasi yang terbunuh akibat terkena serpihan peluru dari kapal perang Amerika USS Nakota. Allahyarham adalah pekerja di kapal dagang Iran, al-Bahr yang ditembak oleh komando Amerika.

Kedua-duanya dijemput oleh pihak Kedutaan Amerika ke majlis ini kerana Presiden Amerika John Martinez, berhasrat untuk menemui mereka bagi mengucapkan takziah.

Beberapa orang petugas katering pihak hotel sedang sibuk mempersiapkan meja dan juadah berupa kuih-kuih Melayu seperti kuih lopis, kasui dan puding buah-buahan. Mr. Cook, tukang masak Presiden pun turut sibuk menuang kekacang pinyon ke dalam mangkuk-mangkuk kecil terutamanya di meja utama, di mana akan diduduki oleh John Marrtinez.

DI SEBUAH bilik hotel di tingkat 15 yang dijadikan bilik pemantauan BISIK, beberapa orang pegawainya sedang meneliti keadaan di dalam bilik jamuan itu melalui kamera CCTV rahsia yang tersemat di butang-butang para petugas catering jamuan, yang sebenarnya adalah anggota BISIK juga.

“Jennifer ni… cantik ya?” kata Darren, Eksekutif IT BISIK sambil menekur ke arah skrin. Memandang keayuan wartawan wanita itu.
“Jangan tengok lama-lama Darren. Nanti ada orang cemburu!” Normala yang turut berada di bilik itu mengusik.
Pandangannya teralih ke arah Fariz yang juga sedang memerhati keadaan di bilik jamuan itu. Fariz perlahan-lahan mengukir senyuman seraya menjeling ke arah Normala.

DAVID Doron, Setiausaha Politik Tuan Presiden muncul di ambang pintu. Menarik perhatian para hadirin. David mengangguk perlahan ke arah para hadirin tatkala melangkah masuk. Bersama-samanya ialah Jennifer Miles, wartawan WorldLiveLine yang turut dijemput oleh Tuan Presiden ke majlis itu.

Jennifer dibawa duduk di meja bersama dengan ibu bapa allahyarham. Wartawan itu kelihatan teragak-agak kerana berasa tidak layak ditempatkan di meja utama bersama-sama dengan Tuan Presiden. Namun, David Doron mengisyaratkan agar gadis itu duduk di sebelah Puan Sakinah. Jennifer menghulurkan senyuman kepada Puan Sakinah dan bersalaman dengannya sebelum duduk.

Belum pun sempat David melangkah kembali ke pintu, John Martinez sudah muncul bersama-sama dengan Perdana Menteri Malaysia. Semua para hadirin berdiri sebagai tanda hormat. John mengisyaratkan agar semuanya duduk kembali. Beliau terus bersalaman dengan Encik Abdul Samad sebelum melabuhkan punggungnya di sebelah Jennifer.

“Apa khabar, Tuan Presiden?” sapa Jennifer seraya menyambut tangan John Martinez untuk bersalaman.
“Bagus. Bagus sekali,” jawab John.
“Mengapa Tuan Presiden tidak mahu membuat kenyataan akhbar selepas persidangan pagi tadi?”
“Saya fikir tidak perlu mengulang apa yang saya cakapkan.”
“Bukankah pihak media inginkan ulasan lanjut mengenai pendirian Tuan?”

“Ha-ha,” John tertawa sinis. “Lihatlah di TV, akhbar dan internet. Para pemimpin dunia, pakar ekonomi, kewangan, wartawan dan blogger di seluruh dunia sudah mentafsirkan kesemuanya untuk saya. Saya rasa itu sudah lebih daripada cukup.”

Jennifer mengangkat kening dan mencebirkan bibirnya. Walaupun seharusnya John membuat kenyataan media, tetapi lelaki itu memang tidak sukakan formaliti. Inilah keunikan John Martinez yang tiada pada Presiden Amerika sebelum ini.

“Saya nak jumpa dengan awak, Jennifer,” tiba-tiba John berbisik ke telinga Jennifer.
Jennifer terkejut. Hampir tersedak air mineral yang sedang dihirupnya. “Err… boleh, Tuan Presiden,” jawab Jennifer.
“In private!”
Sekali lagi mata Jennifer mencerlang memandang John Martinez. Presiden itu tersenyum sedikit seraya mengenyitkan matanya. Dada Jennifer berderau. Pelbagai persoalan bersimpang-siur melintasi layar mindanya.

“Good evening ladies and gentleman...” juruacara majlis memulakan acara. “Kita bertuah kerana pada petang yang bermakna ini, kita dapat mengadakan sebuah majlis ringkas.
Pada petang ini, Kedutaan Amerika di Malaysia menjemput sepasang suami isteri, Encik Abdul Samad Abdul Syukur dan Puan Sakinah Mustajab bagi pihak Jabatan Presiden Amerika.

Pertemuan ini adalah di atas kehendak peribadi John Matinez, Presiden Amerika bagi menyampaikan rasa simpati yang amat mendalam terhadap apa yang berlaku terhadap anak kesayangan Tuan Abdul Samad dan Puan Sakinah. Bagi menyampaikan rasa simpati ini, saya dengan hormatnya mempersilakan Tuan Presiden, John Martinez untuk menyampaikan ucapan.”

John Martinez berdiri diiringi dengan tepukan para hadirin. Dia terus berjabat salam dengan Encik Abdul Samad lalu membisikkan sesuatu seraya memeluk bahu bapa itu dan mengajaknya ke rostrum. Kemudian dia melambai Puan Sakinah agar turut serta. Kini, kedua-dua mereka berdiri di sebelah kiri John.

“Selamat petang kepada semua.” John Martinez memulakan ucapan. “Kesilapan berlaku di mana-mana dan pada setiap ketika. Kesilapan adalah pengajaran yang amat berguna buat manusia. Tanpa kesilapan, manusia tidak akan tahu kelemahan diri dan berusaha memperbaikinya.

Amerika... dalam usahanya menjamin keselamatan manusia di seluruh dunia akan melakukan apa sahaja agar dunia sentiasa aman. Pada hari ini, malah pada saat ini kita berdepan dengan ancaman daripada seluruh pelosok dunia.

Amerika tidak sanggup melihat umat manusia hidup dalam ketakutan. Oleh kerana itu, kita akan bekerjasama dengan mana-mana negara untuk mengawal kesejahteraan umat manusia. Dalam melaksanakan tugasnya, kita akan bertindak dengan penuh tanggungjawab.

Tetapi, dalam proses melakukan apa yang sepatutnya, kita akan melakukan kesilapan yang tentunya tidak disengajakan. Baru-baru ini, dalam satu operasi di Selat Melaka, kapalperang USS Lakota telah bertindak ke atas sebuah kapal dagang al-Bahr.

Operasi menahan kapal itu terpaksa dilakukan kerana kapal dagang itu sebenarnya adalah sebuah kapal perisik pengganas yang pernah cuba mengintip kapalperang kami di Teluk Parsi. Ketika berlaku adegan tembak-menembak itulah anak Encik Abdul Samad dan Puan Sakinah yang disayangi itu telah terkorban.”

John berhenti seketika untuk meminum air yang disediakan di meja rostrum sebelum menyambung ucapannya. “Meskipun saya belum lagi menjadi seorang bapa...”
Kata-kata itu mengundang bisikan di kalangan para hadirin. Masing-masing berbicara kerana tahu John Martinez masih membujang. Ada di kalangan para hadirin yang tersenyum-senyum. Membuatkan John turut terenyum apabila pandangan mereka bertembung.
John menoleh ke arah PM yang sedang memerhatinya. Lelaki itu turut melemparkan senyuman lalu mengisyaratkan agar John meneruskan ucapannya.

“Meskipun saya belum lagi menjadi seorang bapa, saya juga mempunyai tujuh orang anak-anak saudara yang saya amat sayangi. Salah seorang daripadanya adalah Sheera, anak abang saya yang paling kecil.

Si kecil yang berusia 4 tahun ini cukup saya sayangi kerana saya pernah tinggal dengan keluarga abang saya ketika menuntut di kolej. Pada hujung minggu, apabila abang saya dan isterinya pergi membuat kerja-kerja kebajikan kira-kira empat jam di kelab, sayalah yang menjaga Sheera.

Pada setiap Sabtu, Sheera akan menceritakan kepada saya apa yang dia pelajari di tadikanya di sepanjang minggu itu. Permainan barunya, kawan-kawannya, dan apa sahaja yang dia lalui akan diceritakan kepada saya. Malah dia pernah cuba memadankan saya dengan cikgu tadikanya kerana Sheera kata, saya ini lelaki yang hensem!”

Kata-kata John mengundang tawa para hadirin. John tersenyum juga buat seketika. Namun kemudian wajahnya berubah sugul.

“Setelah saya melanjutkan pelajaran di universiti, Sheera kerap bersembang dengan saya di internet. Sehinggalah pada satu hari, apabila saya melihat kotak sembangnya terbuka dan saya mengucapkan ‘hi…’ tiba-tiba ucapan itu dijawab oleh abang saya sendiri.

Katanya, pada hari itu, Sheera tidak akan dapat lagi bersembang dengan saya. Malah, dia tidak akan dapat bersembang dengan saya sampai bila-bila. Saya bertanya ‘mengapa’ kepada abang saya.

Jawapannya adalah kata-kata yang saya tidak ingin dengari. Katanya, baru sebentar tadi, Sheera menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat lelah. Saya terkedu… memikirkan bagaimana orang yang paling saya sayangi telah pergi buat selama-lamanya.

Saya menangis bila teringatkan Sheera. Tidak mungkin saya akan menemui lagi anak kecil yang petah dan bijak seperti Sheera. Berminggu-minggu fikiran saya terganggu akibat kehilangan Sheera…

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian… apa yang dialami oleh Encik Abdul Samad dan Puan Sakinah adalah sama seperti yang saya lalui. Kami kehilangan orang yang amat dikasihi. Alangkah bahagianya andainya kita dapat bertemu lagi dengan mereka yang pergi meninggalkan kita.

Kerana itu, saya amat bersimpati terhadap apa yang berlaku ke atas Encik Abdul Samad dan Puan Sakinah...”
John menyeluk poket kotnya lalu mengeluarkan sepucuk sampul surat.

“Sebagai orang yang turut bersimpati terhadap apa yang terjadi, saya ingin menyampaikan sumbangan, bukannya sebagai Presiden Amerika, tetapi sebagai seorang insan yang turut berasakan kehilangan anda berdua...”

John melangkah menghampiri Encik Abdul Samad lalu menghulurkan sampul surat itu. Bapa malang itu nyata terharu dengan pemberian John. Kelihatan dia mengetap bibirnya ketika bersalaman dengan John. Seluruh para hadirin terdiam kerana turut bersimpati dengan kesedihan kedua ibubapa itu.

PINTU bilik terbuka. Para wartawan yang sedang melepak di lobi hotel kesemuanya tertoleh. Ada yang memanjangkan leher masing-masing untuk meninjau-ninjau kelibat John Martinez. Beberapa orang jurufoto sudah terlari-lari ke arah pintu. Pergerakan mereka terhenti apabila dihalang beberapa orang pegawai keselamatan Presiden.

“It’s okey guys…” gesa David Doron kepada para pegawai keselamatan yang membentengi laluan. “Silakan masuk, tuan-tuan para wartawan…”

Lampu sorot segera terpasang menerangi bilik ini. Para hadirin sudahpun menjamu selera. Hanya hidangan kopi dan manisan yang tinggal terhidang. John melambai ke arah para wartawan dan membenarkan mereka meletakkan alat perakam dan mikrofon masing-masing ke atas meja.

Mulutnya tidak henti-henti mengunyah kacang pinyon. Setelah meminta PM, Jennifer, Encik Abdul Samad dan Puan Sakinah turut sama menjamah kacang yang dibawanya daripada Amerika, dia mendepangkan tangannya seraya tersenyum simpul.

“Let’s start with the press conference…” katanya riang.
Maka lensa kamera pun berkelip-kelip memancarkan cahaya. Merakam wajahnya beraksi. Alat perakam pun turut berputar untuk merakam apa yang bakal diperkatakan oleh John mengenai pertemuan beliau dengan kedua ibubapa malang itu.

Apartmen Selesa, Kota Damansara

“HEI, hei, hei!” pekik Ali memecah kesunyian ruang tamu apartmen ini. “Cepat tengok apa yang aku nampak!”

Seketika sahaja Moussa terkocoh-kocoh muncul daripada bilik masing-masing. Mata mereka menyelusuri jari telunjuk Ali yang terarah ke skrin TV. Di kaca TV, tertayang siaran berita. Kelihatan John Martinez sedang tersenyum sambil menjawab soalan-soalan para wartawan dalam sidang akhbarnya. Mulutnya masih mengunyah kacang pinyon!”

“Nampak tak apa yang aku nampak?” tanya Ali lagi.
“Nampak apa?” soal Moussa kembali.
“Bodoh! Engkau tak nampak ke John Martinez sedang mengunyah kacang pinyon?”
“Habis tu?” Moussa bertanya kerana tidak mengerti.
“Maknanya dia tak mati… bahalul!” jerit Ali seperti orang histeria.

Baharulah Moussa terangguk-angguk faham. Kedua-duanya terkebil-kebil kecewa memandang John Martinez ketawa gembira. Racun polonium yang disembur Ali ke dalam botol kekacang pinyon bukannya tidak berkesan. Tetapi botol kacang itu telah diganti oleh BISIK. Ia dilakukan oleh Normala ketika menyambut beg berisi kacang itu daripada tukang masak Presiden, Mr. Cook apabila dia menyamar sebagai pemandu.

“Sepatutnya kita tembak sahaja Presiden Amerika tu. Tak payah pakai racun. Cara tu susah!” bebel Moussa.
“Engkau ingat, senang ke nak pergi tembak Presiden Amerika yang dikelilingi berpuluh-puluh pengawal?” bentak Ali.
“Boleh… kalau kena dengan caranya…”

Ali dan Moussa tertoleh apabila terdengar suara Omar. Lelaki itu baru sahaja keluar daripada biliknya. Dia melangkah perlahan lalu duduk di sofa bersama-sama Ali dan Moussa. Tangannya mencapai alat kawalan jauh lalu menghalanya ke TV. Seketika sahaja suara di TV diperlahankan.
“Kita masih berpeluang untuk menamatkan riwayat John Martinez, Presiden Amerika!” ujar Omar.

“Macam mana?” soal Ali dan Moussa serentak.
Omar mengeluh perlahan. Kemudian dia memandang Ali di kanannya dan Moussa di kirinya.
“Melalui jarak jauh…”
“Jarak jauh?” tanya Ali dan Moussa serentak.
“Hmm…”
“Bila kita boleh mulakan?” tanya Ali tidak sabar.
“Itu cerita esoklah pulak…” jawab Omar tenang.

Sekali lagi alat kawalan jauh dihalakan ke TV. Saluran TV bertukar daripada saluran berita di saluran WorldLiveLine ke saluran TV Arab Astro Art yang menayangkan drama Arab.

Bersambung lagi, insya-ALLAH...

Sunday, November 7, 2010

DETIK DEBAR: FRAGMEN 46



Foto: NMnetwork.org

World Islamic Economic Conference, PICC Putrajaya

WORLD
Islamic Economic Conference sudah tiba ke penghujungnya. Seluruh peserta daripada 60 negara-negara Islam sudah sepakat untuk mengadaptasi sistem kewangan Islam secara total menggantikan sistem kewangan konvensional yang dijana melalui sistem riba. Bagi memeterai komitmen negara-negara peserta, sebuah deklarasi yang diberi nama Deklarasi Ekonomi Putrajaya telah diumumkan.

Malaysia sebagai negara penganjur dan dipilih sebagai peneraju sistem kewangan Islam sedunia telah mendapat pujian daripada kesemua negara yang terlibat. Sebaik sahaja PM Malaysia mengakhiri ucapan penangguhannya, beliau telah diberikan tepukan yang bergemuruh oleh para hadirin. PM tersenyum bangga sebelum menamatkan ucapannya…

“... dan, sebelum mengakhiri, ingin saya nyatakan bahawa pada petang ini, kita amat bertuah kerana negara yang memacu sistem kewangan konvensional dunia telah sudi hadir sebagai pemerhati. Amerika Syarikat amat berminat untuk menukar sistem kewangannya kepada sistem kewangan Islam kerana sistem konvensional yang ada telah menimbulkan pelbagai masalah yang tidak berkesudahan.

Jadi apa kata, kalau kita dengar sendiri sepatah dua kata yang berupa komitmen Amerika. Dipersilakan… sahabat lama saya… tidak lain dan tidak bukan, Mr. Presiden, John Martinez!” ucap PM sambil mendepangkan tangannya, mempersilakan John ke rostrum untuk memberikan ucapannya.

Pengumuman PM Malaysia itu telah mendapat tepukan bergemuruh daripada para peserta. Kesemua para hadirin mula bangun memberi standing ovation kerana mengagumi ucapan PM. Pada waktu yang sama mereka ingin memberi perangsang kepada John Martinez menyampaikan fikirannya.

John bangkit dan separuh berlari lalu bersalaman dengan PM. Mereka bertukar senyuman. Tangan PM digoncang beberapa kali tanda gembira dan mereka saling berpelukan.

“Sahabat-sahabat saya sekalian para pemimpin daripada negara-negara Islam...” John memulakan kata. “Saya telah mengikuti persidangan anda ini dengan penuh minat. Dan saya berasa teruja... amat teruja melihat komitmen tuan-tuan sekalian untuk memperluaskan sistem kewangan Islam bukan sahaja di kalangan negara-negara Islam, malah ke seluruh dunia.

Saya sanjung Malaysia sebagai negara yang menerajui usaha ini bersama-sama negara lain termasuk Pakistan, Turki dan Qatar. Tidak lupa juga negara-negara lain seperti Mesir, Emiriyah Arab Bersatu dan err... Iran!”

“Yes!” kedengaran satu suara pekikan persetujuan dari arah belakang dewan bila Presiden Amerika menyebut negara musuh politiknya. Pekikan itu disahut oleh para perwakilan lain. Beberapa perwakilan mula memberi tepukan dan ia berjangkit sehingga seluruh dewan memberi tepukan bergemuruh.

“Mengapa tuan-tuan begitu teruja bila saya menyebut nama Iran?” soal John.

Kata-kata itu membuatkan seluruh para perwakilan mendiamkan diri. Masing-masing menumpukan perhatian ke arah Yousef Masdeh, Presiden Iran yang duduk tenang di penjuru kanan dewan persidangan. Memerhati wajah Presiden Amerika itu di skrin besar yang terpampang di kanan dan kiri dewan. Dewan jadi sunyi sepi. Masing-masing tertanya-tanya mengapa John menampilkan soalan tersebut.
“Iran... ya... semua pihak tahu Iran adalah musuh Amerika! Dan Amerika adalah musuh Iran!” Kata-kata John membeliakkan mata ramai mereka yang berada di dalam dewan itu termasuk David Doron.

Masing-masing terkejut kerana tidak terfikir kata-kata sebegitu akan diucapkan secara terang-terangan. Jurukamera di dewan itu juga cekap menghidu apa yang ingin ditonton oleh para hadirin di skrin. Sekejap sahaja, wajah Yousef Masdeh pula yang terpampang di skrin. Yousef pula mengukir senyuman lalu melambai ke arah jurukamera.

Dan tertayanglah wajah Yousef yang tersengih. Meredakan kegusaran para perwakilan. John pula berhenti berucap kerana sengaja ingin memberi ruang kepada para hadirin menghayati suasana yang separuh suspens itu.

David Doron yang berada di sisi pentas mula kelihatan gusar. Sekejap dia memandang wajah John secara terus, seketika lagi dia memandang wajah John di skrin. Dagunya diurut-urut. Bimbang John Martinez tersilap kata. John yang dikenalinya amat berani bercakap secara terus terang. Malah tidak berlapik mengikut susun kata yang berdiplomatik.

“Tetapi benarkah begitu?” tanya John. Mengalihkan perhatian David Doron kembali ke arahnya. “Pernahkah Iran dan Amerika melancarkan peluru berpandu di antara satu sama lain? Pernahkah kami bertempur?”

Kata-kata John itu disambut dengan anggukan para hadirin. “Pertelingkahan di antara Amerika dan Iran selama ini tidak menyelesakan banyak pihak. Biarkan saya perjelaskan di sini bahawa, negara Iran hanyalah musuh daripada segi politik. Ia bukan negara musuh daripada segi ekonomi, sosial, sains, penyelidikan dan lain-lain lagi.

Sama juga dengan negara-negara lain di bumi ini. Amerika tidak mahu lagi memusuhi mana-mana negara dalam apa jua bidang pun! Amerika mahu bersahabat dengan semua negara di dunia ini. Kita mahu bersama-sama China, Jepun, Korea, India dan Malaysia di Asia… Komuniti Ekonomi Eropah… Negara-negara Arab… Negara-negara Afrika, Amerika Selatan dan Australasia… kita mahu bersahabat dengan semua negara.

Kesemuanya untuk kepentingan dunia dan umat manusia hari ini dan esok. Kita perlu bina dunia yang aman sebagai tempat tinggal anak cucu kita.”
Sambil mengangkat jari telunjuknya ke atas dan mengibar-ngibarnya, John menyambung kata,

“Oleh kerana itu, kita perlu sama-sama memperbetulkan segala kepincangan kerana kesilapan semua pemimpin terdahulu. Kita perlu bina dunia dengan asas yang kukuh… yang mana asas yang kukuh dan padu itu mestilah bermula dengan sistem kewangan yang mantap, yang adil, yang anti riba!”

Kata-kata itu mendapat tepukan yang bergemuruh.

“Pada hari ini… pada petang ini… saya, John Martinez sebagai Presiden Amerika ingin melafazkan komitmen untuk sama-sama memperbetul sistem ekonomi dunia. Amerika akan merombak seluruh sistem kewangan konvensionalnya secara berperingkat mulai tahun hadapan. Dengan bantuan pakar-pakar ekonomi daripada negara-negara Islam yang menyertai WIEC ini, Amerika akan mengganti sistem kewangannya dengan sistem kewangan Islam yang lebih adil dan saksama!”

Apabila John Martinez tunduk sebagai tanda hormat setelah menghabiskan ucapan, sekali lagi seluruh para perwakilan bangkit memberi standing ovation. Kali ini lebih lama daripada yang sebelumnya.

PARA wartawan yang sedia menanti John Martinez terus mengerumuni beliau sebaik sahaja beliau keluar daripada dewan persidangan. Masing-masing mengemukakan soalan. Namun, John hanya tersenyum dan menggeleng penuh hormat.

“Tuan Presiden tidak akan membuat kenyataan akhbar pada petang ini. Tunggu esok pagi, jam 9.00 di Hotel Prominent,” kata David Doron dengan lantang kepada para wartawan.
Para wartawan yang bersesak-sesak di laluan John Martinez jelas kecewa. Masing-masing berhenti melangkah mengejar Tuan Presiden. Pada ketika itulah John terpandang Jennifer yang datang menghampirinya.

“Young lady! Saya tak sangka kita bertemu lagi,” sapa John lantas tersenyum.
“Saya ingin bertanya dengan tuan beberapa soalan…”
“Esok, Jenny… esok,” celah David Doron seraya menghadang Jennifer menghampiri John.
“It’s okey, Doron…” ujar John. Dia pula yang melangkah menghampiri Jennifer.
“Kita tak dapat minum kopi di White House, Jennifer… jadi… apa kata kita minum the tarik Malaysia, malam ini?”

Jennifer terpaku dengan pelawaan John. Benar. Dia menolak pelawaan John untuk minum kopi bersama di White House beberapa minggu lalu. Tetapi kali ini, situasinya sudah berbeza. Sebagai wartawan, kini dia pula yang lebih memerlukan John.

“Why not, Mr. President… why not?” jawab Jennifer seraya mengukir sebuah senyuman paling manis.
Bersambung lagi... insya-ALLAH...

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP