Saturday, December 26, 2009

FRAGMEN 23: DETIK DEBAR


nurnana.wordpress

FRAGMEN 23
DETIK DEBAR




Lebuhraya Persekutuan, Kuala Lumpur

SEBAIK sahaja teksinya memasuki Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kelang, Fariz mula hilang sabar. Sudah 30 minit dia meminta maklumat tambahan mengenai Jennifer Miles daripada Suren, Pegawai Penyelidik yang berada di ibupejabat BISIK. Namun, Suren masih belum menghubunginya meskipun melalui SMS.

Fariz memandang limosin yang membawa Jennifer Miles yang kini berada kira-kira 15 meter di hadapannya. Sebentar tadi, sebaik sahaja mendapat akhbar, Jennifer kelihatan tercari-cari sesuatu berita di dalamnya. Tidak lama kemudian, dia kelihatan menelefon seseorang sebelum bergegas menaiki sebuah teksi. Sepantas Jennifer, Fariz turut mendapatkan sebuah teksi untuk mengekorinya.

BISIK telah mengarahkan Fariz melakukan intipan ke atas Jennifer Miles di tahap Pintas 3. Pintas 3 adalah kod di mana subjek sasaran hanya dikepung tetapi pergerakkannya dilorongkan agar dapat melepaskan diri. Ia dilakukan untuk mengelak kesan yang mengakibatkan masalah lebih besar kepada negara. Ia berbeza dengan kod Pintas 2 di mana subjek diekori dan kemudian ditangkap atau dilarikan. Pintas 1 pula bermakna subjek dihapuskan serta merta. Fariz terasa fonselnya bergetar.

“Kenapa lambat sangat, Suren?” soal Fariz sebaik sahaja fonselnya dilekap ke telinga.
“Sibuklah, Fariz. Aku sedang berurusan dengan kedutaan Amerika. Kau tak tau ke, Presiden US nak datang ke Malaysia?,” jawab Suren, Pegawai Penyelidik yang kini berada di ibupejabat BISIK.

“Aku pernah dengar dari Tuan Aziz. Tapi, apa kena mengena Jennifer Miles dengan lawatan Presiden tu?”
“Engkau fikirlah sendiri, Riz. Kau ini pun... aku benar-benar sibuk, Riz. Yang aku boleh beritahu engkau ialah... Jennifer Miles adalah wartawan terkenal yang pernah menggemparkan dunia dengan laporannya dari bumi Palestin.”
“Apa yang dia dah buat?” tanya Fariz.
“Engkau carilah sendiri dalam internet. Yang penting ialah... BISIK mahu kau bayangi dia sehingga ada arahan seterusnya.”
“Tapi, kenapa aku asyik kena jaga orang perempuan? Dulu, aku disuruh menjaga Faryna, anak Tan Sri, tu,”

“Eh, patutnya engkau seronok. Lagipun, engkau tu hensem, Jennifer pun lawa. Padanlah dengan engkau,” jawab Suren sambil tergelak-gelak.
“Iyalah tu. Eh, Suren! Aku nampak kereta Jennifer dah membelok ke Taman Sri Andalas. Apa cerita ni, Suren?”
“Wei, engkau tu ejen perisik. Aku ni penyelidik. Ha, engkau carilah sendiri. Aku dah dapat banyak mesej dari ejen-ejen lain ni. Okey, bye!”

Fariz mematikan fonsel dengan rasa jengkel. Teksi yang dinaiki Jennifer kelihatan berhenti berhampiran sebuah simpang. Kelihatan wanita itu tergesa-gesa keluar dan melangkah pantas. Fariz terus mengarahkan pemandunya berhenti. Setelah membayar tambangnya, Fariz segera keluar mengekori Jennifer. Kelihatan ramai orang di sebuah rumah berbandung di hujung jalan. Fariz mematikan langkah bila terpandang suasana di rumah itu.

‘Ada kematian? Siapa yang mati? Kenapa Jennifer ke mari?’ kata Fariz di dalam hati seraya memandang Jennifer memasuki pekarangan rumah itu.
“Assalamualaikum... boleh tumpang tanya?” sapa Fariz kepada seorang pemuda yang berdiri berhampiran dengannya.
“Saya...” pemuda itu menoleh.

“Brother ni, wartawan Sinar Harian, ya?” soal Fariz sebaik sahaja terpandang baju-T berwarna merah yang tertera logo akhbar itu.
“Ya, saya bertugas buat berita follow-up. Boleh saya bantu, bang?” Pemuda itu tersenyum manis seraya menghulurkan tangannya. “Nama saya Fazli... panggil saja Pali.”
“Amrizal...” Fariz memperkenalkan dirinya dengan menggunakan nama samaran yang terlintas di hatinya. “Siapa yang meninggal, Pali?”

“Jenazahnya adalah kelasi kapal dagang Iran. Kapal itu pulak ditembak kapal perang Amerika kerana disyaki kapal lanun di Selat Melaka, dua hari lepas. Dah jadi isu diplomatik Iran-Amerika. Eh, abang tak baca paper ke?” Sambil tersenyum, Pali menempelak.
“Err... tak. Tak sempat sebab baru balik dari oversea. Dalam Sinar Harian, ada ke ceritanya?” kata Fariz lalu membuka akhbar Sinar Harian yang dibawanya.

“Ada. Ceritanya, saya yang tulis,” jawab wartawan itu sambil tersenyum bangga melihat Fariz membuka akhbar tempatnya bertugas. Dia segera menghampiri dan membantu Fariz membuka halamannya.

Fariz segera membaca berita yang diunjukkan Pali. Tanpa disedarinya, Jennifer sudah pun keluar daripada rumah itu. Sambil berjalan, Jennifer segera menyimpan kamera kecil ke dalam tas tangannya. Bunyi pintu kereta ditutup menyedarkan Fariz.

‘Alamak...’ kata Fariz sebaik sahaja terpandang teksi yang dinaiki Jennifer berlalu. Baharu dia tersedar yang Jennifer meminta pemandunya menunggu, sedangkan dia telah pun membayar tambang teksinya. Bagaimana dia mahu mengekori Jennifer?
“Awat kelam kabut, bang. Nak pi mana?” tegur Pali bila nampak Fariz tidak tentu arah.
“Err, nak ke KL.”

“Abang ni pelik sungguh. Saya perhati tadi abang turun dari teksi. Saya ingatkan abang saudara si mati. Bila abang nampaknya tak tau apa yang berlaku, mungkin abang ke taman ini untuk ke rumah saudara.
Sekarang ni, abang nak balik pulak bila nampak mat salih tu naik teksi. Saya mula tertanya, apa kaitan abang dengan mat salih tu?”

Fariz berasa bengang kerana ditanya dengan pelbagai soalan. Mahu sahaja dia menengking wartawan yang baru dikenalinya itu. Namun, dia tidak mati akal.
“Ha, kenapa Pali tak tanya siapakah mat salih perempuan tu? Mungkinkah dia wakil dari majikannya? Mungkinkah dia daripada kedutaan Amerika? Atau yang paling menarik, mungkinkah dia kekasih gelap si mati?”

Fariz merenung Pali. Menanti reaksi. Seketika sahaja mata Pali mencerlang. Nampaknya wartawan itu sudah menghidu berita susulan menarik yang boleh ditulisnya. Fariz tersenyum di dalam hati kerana berjaya mengalih perhatian wartawan muda itu.
“Eh, menarik jugak story tu bang. Err... macam mana saya nak contact mat salih tu?”

“Abang tau caranya. Jom! Kita naik kereta kau.”


Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Friday, December 18, 2009

FRAGMEN 22: DETIK DEBAR


FRAGMEN 22:
DETIK DEBAR


KLIA, Sepang, Selangor


FARIZ ZAFAR berasa lega setelah melewati pintu pemeriksaan. Hatinya gembira sebaik sahaja menjejakkan kakinya ke tanah tumpah darahnya. Tiada kata yang boleh dilafazkan betapa bahagianya apabila berada di negara sendiri. Keletihannya setelah menamatkan latihan di Narathiwat, Thailand terus menghilang apabila menara KLIA dapat dilihat dari angkasa sebentar tadi.

Dia bercadang untuk ke pejabat BISIK terlebih dahulu untuk membuat laporan sebelum pulang ke rumah. Pada petang esok, dia bercadang hendak pulang ke kampungnya pula di Terengganu. Nenek yang dirindui terasa lama tidak ditemui meskipun baru dua minggu dia meninggalkan tanah air untuk mengikuti latihan.

“Saya nak ke kedai surat khabar sekejap, Mala. Tunggu saya, ya? Kita naik teksi sama-sama,” ujar Fariz kepada rakan setugasnya.

Normala yang berjalan mendahuluinya hanya mengangguk tanpa menoleh. Fariz memandang wanita itu menolak troli dan begnya menuju ke kaunter teksi sebelum dia berpaling dan terus menapak ke kedai akhbar untuk mendapatkan akhbar Sinar Harian.

Fonselnya bergetar. Fariz menyeluk saku dan mengeluarkannya. Wajah seorang wanita berkulit putih terpapar di skrin. Dahi Fariz terkerut. Fikirannya deras menyimpangsiurkan soalan-soalan mengenai siapakah wanita ini. Fariz mencuit-cuit skrin fonselnya untuk membaca teks yang disertakan.

‘Jennifer Miles, wartawan WorldLiveLine, kini di KLIA. Bayangi dia.’

Fonsel segera dimatikan. Kacamata hitamnya dibuka dan disisip ke dalam poketnya. Fariz mencari kerusi dan terus duduk memangku kepalanya. Kepalanya diramas-ramas. Kemudian dia mengeluh. Penat belum hilang, satu tugas baru sudah menyusul. Belum pun sempat dia berehat, kerja baru sudah sampai. Ah, penatnya.

Beberapa ketika dia tertunduk dengan matanya yang terpejam. Fariz cuba merasionalkan fikirannya. Ya. Betapa penat pun tubuh, dia mesti patuh kepada arahan. Tugas tetap tugas. Ia adalah tanggungjawab yang mesti dipikul. Dia mesti memegang amanah. Jenis tugasnya bukan kerja yang mudah.

‘Selain saya, hanya kamu sahaja yang tahu arahan yang diterima. Setiap arahan mestilah dipatuhi. Ia adalah tugas yang mesti dibereskan. Tidak boleh tidak. Amanah ke atas kamu adalah satu jihad fisabilillah. Dengan lafaz bismillah… dengan sumpah la illaha illallah, bangun dan melangkahlah!’

Bisikan Tuan Aziz ke telinganya mula terngiang-ngiang. Fariz menghembuskan nafasnya. Matanya terbuka luas. Secara spontan, Fariz mendongak dan memandang ke sekeliling. Matanya berlari-lari untuk mengimbas mana-mana wanita berambut perang yang terjangkau pandangannya.

Wajah Jennifer Miles yang terpapar di skrin fonselnya sudah terakam di mindanya. Sebagai ejen yang terlatih, dia cepat menangkap dan mengingat sesuatu imej yang terpapar walaupun muncul secara sekali imbas. Namun, tiada seorang pun wanita kulit putih yang kelihatan ketika itu.

Fariz mula berjalan. Pandangannya terhala ke hadapan. Namun, ekor matanya menyaring imej-imej orang ramai yang melewati pergerakannya. Dia menoleh ke arah kaunter teksi yang sudah kelihatan sayup pada pandangan mata. Mencari kelibat Normala. Namun, bayang wanita itu sudah tidak kelihatan.

JENNIFER MILES berasa amat letih. Penerbangan Royal Dutch Airlines daripada Hopkins International Airport Cleveland, Ohio ke KLIA mengambil masa 33 jam setelah transit di Memphis, Tennessee dan juga di Amsterdam. Di sepanjang perjalanan, dia hanya menonton video yang terpasang di belakang kerusi di hadapannya. Bila bosan menonton, dia tidur untuk menghabiskan masa.

Kedatangannya ke Malaysia adalah untuk membuat liputan mengenai pelaburan syarikat-syarikat Amerika di Malaysia. Dia perlu ke Kedutaan Amerika di Ampang sebelum ke pejabat Majlis Perniagaan Malaysia-Amerika.

Sebagai wartawan meja bisnes, ayahnya mahukan dia membuat liputan berita perniagaan semata-mata. Tidak lagi melaporkan pergolakan politik dan juga peperangan. Ayahnya, Miles Steward, sengaja mahu dia pergi jauh dari Amerika dan juga Timur Tengah. Lagi jauh, lagi bagus! Biarlah isu anaknya ini akan tenggelam dan dilupakan. Orang tua itu tidak mahu kehilangan Jennifer, sepertimana dia kehilangan isterinya, Nancy.

Kini, setelah mengalas perut di The Coffee Bean, dia berehat seketika di salah sebuah kerusi menanti. Sambil itu, jejarinya menekan-nekan butang fonselnya untuk membuat tempahan hotel menerusi internet. Paparan siaran televisyen Bernama TV di ruang legar menarik perhatiannya.

‘Kelasi kapal al-Bahr yang tercedera akibat tembakan dari kapal perang Amerika USS Lakota, telah meninggal dunia. Nizam Abdul Samad, 27 tahun, warganegara Malaysia, sebelum ini mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Kelang kerana cedera parah akibat terkena serpihan peluru senjata dari kapal Amerika tersebut…’

“What the…” gumam Jennifer.

Dia bingkas bangun dan berjalan pantas. Beg pakaiannya diheret. Sesekali beg berlerengnya tergolek-golek apabila hilang imbangan. Jennifer tidak peduli. Dia terus berjalan kerana mahu cepat. Matanya tertoleh-toleh mencari kedai surat khabar. Dia mahu dapatkan akhbar tempatan untuk memperoleh berita terperinci mengenai kapal al-Bahr itu. Sejurus dia tiba ke kedai yang dicari.

“Give me a newspaper… any newspaper, quick!” kata Jennifer kepada petugas di situ.

Suaranya menarik perhatian seseorang. Fariz menolak kacamata hitamnya dan memandang tepat ke arah Jennifer dari jarak tiga meter daripada wanita itu. Setelah memperoleh The Star, Jennifer lantas berjalan ke luar kedai surat khabar itu. Sambil mengepit Sinar Harian, Fariz turut melangkah menjejaki wanita itu.

Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

Friday, December 11, 2009

FRAGMEN 21: DETIK DEBAR


fOTO: SPACE4SPACE
FRAGMEN 21
DETIK DEBAR


The White House, Washington DC
JOHN MARTINEZ menatap skrin televisyen dengan wajah sugul. Di situ terpapar imej beberapa orang Palestin sedang meratap dan meraung. Mereka bersedih kerana 15 anggota keluarga mereka maut setelah dihujani peluru dari sebuah jet pejuang Israel.

Wartawan melaporkan bahawa rakyat Palestin itu sebenarnya sedang dalam perjalanan dari sebuah upacara pengkebumian keluarga di kawasan perbukitan. Setelah mengkebumikan mayat, mereka berjalan kaki beramai-ramai membawa peralatan seperti pengusung dan cangkul. Tiba-tiba mereka diserang oleh jet Israel kerana disangkakan mereka kumpulan pengganas yang sedang merancang melancarkan bedilan roket ke arah Israel.

“Bila benda-benda seperti ini hendak tamat, David?” soal John separuh merungut.
“Presiden-presiden sebelum Tuan pun bertanya soalan yang serupa, John,” jawab David Doron yang berada di sisinya.

John Martinez mengeluh dalam bila mendengar jawapan itu. Dia tahu, masalah Israel dan Palestin tidak akan berkesudahan sehingga kiamat.
“Tapi yang pasti, masyarakat antarabangsa akan salahkan Amerika,” ujar David lagi seraya menukar saluran televisyen untuk menjelaskan apa yang dimaksudkan.

Kali ini terpapar pula imej-imej demonstrasi masyarakat Islam dari merata dunia. David Doron sengaja menukar-nukar saluran televisyen agar bosnya mendapat gambaran betapa seriusnya reaksi masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman Israel lalu memalingkan kebencian mereka kepada Amerika kerana berasakan Amerika adalah pelindung Israel.

‘And now... breaking news...’ umum seorang wartawan ketika skrin televisyen memaparkan saluran WorldLiveLine. John dan David terus menumpukan perhatian.
‘Sebuah kapal perang Amerika, USS Lakota telah tertembak kapal kecil Iran di perairan Selat Melaka. Kapal yang pada mulanya dipercayai kapal lanun Selat Melaka itu ditembak kerana dikatakan cuba melarikan diri. Dua orang anak kapal dilaporkan terkorban.’

“Apa yang dibuat oleh kapal kita kat Selat Melaka, tu?” tanya John.
“Agaknya... meronda.”
“Meronda? Mana mungkin? Negara-negara Malaysia, Singapura dan Indonesia tidak pernah setuju dengan kehadiran kita di situ!”

“Secara rasminya, kita hormati pendirian negara-negara itu. Tapi secara praktiknya, kita perlu hadir di situ kerana kepentingan kita.”
“Sejak bila kita tidak hormati persefahaman dengan negara-negara di sana? Dapatkan Ketua Turus Angkatan Tentera!”
“Err... Tuan Presiden...” David cuba menjelaskan...
“Now!” bantah John dengan wajah yang memerah.

LEFTENAN JENERAL Tack Scott muncul di pintu. John Martinez hanya mendepangkan tangannya sebagai tanda mengizinkan Tack Scott duduk. David Doron sempat menjeling ke arah pegawai tinggi tentera itu lalu kedua-duanya saling bertukar-tukar pandangan. Kedua-duanya mengangguk perlahan.

“Perjelaskan...” ujar John dengan nada mendatar sebelum Tack Scott sempat menghela nafasnya.
“Kami hanya belayar di sana menuju ke Singapura lalu terserempak dengan kapal itu. Kapal al-Bahar didaftarkan di Iran, Tuan Presiden.”

“Ia bukan kapal lanun seperti yang dinyatakan dalam berita?” desak John.
“Itu laporan kami kepada pihak maritim Malaysia,” jawab Tack dengan tenang. Atas sebab-sebab keselamatan, dia yang menyampaikan kepada pihak media seolah-olah mereka tersilap tembak. Padahal, mereka tahu sejak mula ia adalah kapal Iran.

“Kenapa kamu tembak?”
“Ia mencurigakan, Tuan Presiden. Sebab itu kami terpaksa membedil ketika ia cuba lari.”
“Soalnya, apa hak kamu bertindak di sana?” Suara John mula meninggi. “Malaysia, Indonesia dan Singapura adalah negara-negara berdaulat. Mengapa kamu membelakangkan mereka? Tidak bolehkah kamu menghubungi pihak maritim mereka kalau benar kapal Iran itu mendatangkan masalah?”

“Keadaan memaksa, Tuan Presiden!”
“Apakah saya tidak penting? Sebuah kapal perang Amerika, menembak sebuah kapal dagang Iran di perairan Selat Melaka. Mengapa saya tidak diberitahu?”
“Ia rahsia, Tuan!”

“Rahsia? Sebuah kapal perang Amerika menembak sebuah kapal dagang di selat yang paling sibuk di dunia... kamu kata itu rahsia? Apa yang kamu buat di sana?” desak John.
“Mempastikan keselamatan Tuan Presiden!”

“Apa? Keselamatan saya? Kalau begitu, tentera Amerika boleh menembak sesiapa sahaja di dunia ini dan meletakkan alasan bahawa ia adalah untuk menjaga keselamatan saya? Apakah kamu ni siuman, Tacky?”
“Err... sepatutnya David sudah beritahu Tuan...” jawab Tack Scott seraya menjeling ke arah David Doron.

John Martinez menjadi terpinga-pinga. “Apa ni, David? Saya tak mengerti...”
David Doron terus mengukir sebuah senyuman bagi menenangkan hati Presidennya.
“Apakah Tuan sudah lupa yang Tuan akan ke Malaysia pada minggu hadapan?”

“Well...” John terdiam seketika. Wajahnya berubah tenang. Baru dia sedar mengapa pihak tenteranya sudah berada di perairan Selat Melaka. “Saya tau yang saya akan di Malaysia selama setengah hari. Forum Ekonomi Dunia Islam itu tidak lama. Tidak perlulah berkawal sampai begitu...”

“Itu adalah tanggungjawab kami, Tuan Presiden. Walaupun Tuan akan berada di sesebuah tempat dalam masa seminit... kami tidak sekali-kali akan berkompromi dengan prosedur keselamatan Presiden kami!” celah Tack Scott dengan nada penuh bersemangat.
Kata-kata itu membuatkan John Martinez kembang dada kerana berasa bangga dengan kecekapan anak buahnya.

“Kalau begitu, saya boleh terima jawapan awak, Tacky,” ujar John seraya menumbuk perlahan lengan pegawai tinggi tentera itu sebagai tanda bergurau. “Tapi, apa yang perlu saya nyatakan pada dunia nanti? Satu lagi maaf?”

“Bukan maaf, Tuan...” celah David. “Hanya penyataan kesal di atas kesilapan pihak tentera Amerika. Sebuah kenyataan yang umum sahaja.”
“Bagaimana kalau kerajaan Iran membuat bantahan?” tanya John.

“Lewatkan permohonan maaf sehingga dunia terlupa.
Bila dunia terlupa, maaf sudah tidak perlu lagi!” jawab David.
Bersambung di minggu hadapan...

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP