Friday, August 28, 2009

FRAGMEN 10: DETIK DEBAR

FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap.

Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya. Ayah kedua kanak-kanak itu merintih akibat kehilangan dua cahaya matanya.



Foto: letustalk.files.wordpress

FRAGMEN 10
DETIK DEBAR

Pesisiran Sungai Bang Nara, Narathiwat, Thailand

‘MOOOOOOOOO…’
Mata Fariz tercelik bila terdengar suara anak lembu. Tetapi dia tidak nampak apa-apa. Malah, pandangannya gelap. Fariz cuba menggenyeh matanya. Namun, dia tidak dapat menggerakkan tangannya kerana berasa terikat ke belakang. Pergelangan tangannya mula berasa pedih. Terasa kulit tangannya melecet. Pinggangnya terasa bisa, mungkin kerana terlalu lama dia tertiarap. Kepalanya berdenyut-denyut.

Fariz mula menggagau ingatan mengapa kepalanya berasa seperti dihempap batu. Perlahan-lahan, memorinya terkumpul. Ya, sebentar tadi, tengkuknya telah dihentak sesuatu yang keras. Pukulan itulah yang membuatkan kepalanya terasa berdengung hingga kini.

Fariz menelan liur. Tekaknya berasa kering. Tubuhnya kini terasa panas membakar kerana cahaya mentari terus menerus menikam tubuhnya. Fariz cuba berguling dengan segala kepayahan untuk baring menelentang. Dengan susah payah, Fariz menggunakan kakinya untuk membantunya berdiri. Beberapa kali dia mencubanya namun tidak berjaya.

'ALLAH...' Nama agung itu melintas di hatinya lalu menerawang di fikirannya.
Tiba-tiba tergambar imej-imej kejadian yang berlaku pada hari ini. Jelas di layar mindanya. Tertayang, bagai pancaran di layar perak.
................................

Imbaskembali: Pusat Pemeriksaan Imigresen Rantau Panjang, Kelantan

FARIZ memandu perlahan mendekati pos pemeriksaan imigresen. Seorang pegawai muncul dari tepi bangunan dan mengisyaratkan dia memarkir kenderaan di petak letak kereta yang agak jauh daripada pejabat pentadbiran. Anggukan perlahan pegawai itu adalah isyarat bahawa dia adalah anggota BISIK. Dialah yang akan mengawal kenderaan Fariz. Kerana itu, Fariz tidak bimbang meninggalkan Normala di dalam bonet untuk ke pejabat pemeriksaan untuk mengecop dokumen perjalanan.
TIBA-TIBA bunyi tembakan yang bertali arus mengasak fikirannya. Wajah Fariz berkerut menahan bunyi kebisingan yang menerpa di mindanya. Dadanya terasa sesak. Jantungnya mula berdegup kencang.
“Mala… Mala…”

Itu sahaja yang mampu diucapkan. Di layar mindanya terbayang wajah Normala yang menyeringai menahan sakit bila tubuhnya ditembusi berpuluh-puluh butir peluru. Ditembak oleh dua orang lelaki yang tidak berhati dan berperasaan. Akhirnya bunyi tembakan itu terhenti. Suasana jadi sepi.

“Bawak dia balik ke kem. Malam ini kita habiskan dia!”
Serentak dengan itu Fariz terasa satu pukulan mengenai tengkuknya. Kepalanya terasa sengal. Telinganya terus berdesing. Pandangannya jadi gelap.

................................

'DUM!'
Rayauan fikirannya terhenti bila telinganya menangkap bunyi pintu kenderaan ditutup. Fariz tidak menyedari sejak bila ada kenderaan berhampiran dengannya. Dia mematikan diri sambil memasang telinga. Kedengaran bunyi derap tapak kaki menghampiri. Berat bunyi hentakannya seperti but yang menggeser tanah. Semakin lama, bunyi itu kian menghampiri. Kedengaran bunyi batu-batu berkeretup dipijak kasut mendekati dirinya. Bau tengik lumpur tiba-tiba menangkap hidungnya.

“Dia dah bangun?” kedengaran satu suara.
Dalam keadaan berbaring, Fariz dapat berasakan yang suara itu datang dari lelaki yang berdiri betul-betul berhampiran dengan kepalanya.
“Belum,” jawab satu suara lain dari arah kakinya.
“Bibir dia dah kering! Bagi dia air.”

'Air?' kata hati Fariz. Tekaknya mula berasa haus. 'Alhamdulilah, ada peluang hilangkan dahaga.'
Fariz terasa bahunya ditunjal dengan but. Membuatkan tubuhnya bergolek dan menelentang.
'Wooooooosh…'

Serentak dengan itu, Fariz terasa tubuhnya dibasahi air. Dia terdongak-dongak menangkap titisan air yang menghujaninya. Agaknya kerana kasihan, Fariz dapat rasakan yang jirusan air mula dicurahkan ke mulutnya. Dengan lahap, Fariz membuka mulutnya luas-luas. Mengemam dan meneguk air yang dijirus dengan sepuas-puasnya.

Bila hausnya hilang, Fariz memalingkan wajahnya sebagai isyarat tidak mahu minum lagi . Namun, sebaik sahaja dia mengiringkan tubuhnya, rambutnya ditarik hingga kepalanya terdongak. Ketika itu juga semburan air menerpa ke wajahnya. Fariz tercungap-cungap. Lantas meronta-ronta menggerakkan kakinya untuk bangun.

“Arghhh...” pekik Fariz bila terasa kedua-dua kepala lututnya dihenyak agar lurus ke tanah. “Arghhh...” jeritnya lagi bila terasa kedua-dua pergelangan kakinya pula dihempap sesuatu. Mungkin dengan batang kayu agar kakinya tidak dapat bergerak. Kemudian dia berasa seseorang yang beertubuh berat sedang duduk di atas pahanya.

“Woi! Sakitlah!”
Bantahannya tidak mendapat jawapan. Fikiran Fariz berlari-lari mencari jalan untuk melepaskan diri. Namun dengan matanya yang tertutup, dia tidak dapat meneka berapa orangkah yang berada di sekelilingnya, di manakah dia berada dan apakah keadaan sekeliling membolehkan dia mengeluskan dirinya.

Rambut Fariz dicengkam kuat bagai hendak tercabut hingga dia tidak dapat berpaling lagi. Jirusan air yang pada mulanya perlahan sudah bertukar menjadi semburan yang tiada hentinya. Membuatkan Fariz sukar bernafas hingga dia terbatuk-batuk.

'Waterboarding...' kata hati Fariz dalam kepayahan. Mengingatkan dirinya mengenai sejenis deraan di mana jirusan air yang tiada henti dihalakan ke wajah mangsa hingga menimbulkan perasaan lemas.

Hidung Fariz kembang kempis menahan nafas. Mungkin penderanya menyedari akan tindakannya menahan nafas. Serta-merta hidungnya berasa dipicit. Memaksa dirinya ternganga kembali untuk bernafas melalui mulut.
“Arghhhhhhhhh...” Dia meraung panjang.

Saturday, August 22, 2009

DETIK DEBAR: FRAGMEN 9

FROM ME TO YOU:
Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.


KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap.

Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya.
Ayah kedua kanak-kanak itu merintih akibat kehilangan dua cahaya matanya.


FOTO: mysyshriratwordpressdotcom

FRAGMEN 9
DETIK DEBAR
Al-Muntaseer, Selatan Gaza, Palestin

HAMPIR seluruh rumah ini sudah tidak berbumbung. Malah, hanya sedikit sahaja bahagian ruang tamunya yang berlitup dengan plastik. Cukup untuk melindungi cahaya matahari pada sore ini. Lantainya sudah dipenuhi timbunan serpihan batu batan yang terjadi akibat letupan bom dari jet Israel. Keadaan rumah yang begini memang tidak layak lagi dihuni.

Inilah yang Moussa temui sebaik sahaja bergegas pulang dari kota bila mendengar khabar kampungnya diserang jet Israel. Dia mencari kedua-dua anaknya. Namun, hatinya luluh bila mendapat tahu Naeem dan Nazeem telah menjadi mangsa serangan Israel.

Moussa menguak sedikit ruang. Cukup sekadar untuk tempatnya bersolat. Dalam keadaan sedih, Moussa bersembahyang buat kali terakhir sebelum meninggalkan rumah ini. Ke mana tujuannya selepas ini, dia tidak pasti. Lalu Moussa menitiskan air mata pada sujud yang terakhir. Mengadu untung nasib kehilangan dua orang anak lelakinya kepada Yang Maha Memelihara.

“Ya, ALLAH, Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang…” bisik Moussa ketika menadah tangan setelah memberi salam. “Pada hari ini, hambamu ini kehilangan lagi anggota keluarganya. Naeem dan Nazeem adalah putera-putera kesayanganku. Yang aku tidak pernah didik sejak kecil untuk tidak gentar dengan bunyi senapang, bom dan kapal terbang. Yang aku tidak pernah asuh untuk membenci mereka yang Kau murkai.

Yang aku tidak pernah ajar cara membaling batu dengan kuat dan tepat ke arah tentera dan kenderaan Israel dengan niat seolah-olah melontar jamrah untuk merejam Iblis laknatullah… yang aku tidak pernah bimbing agar bersedia untuk berjihad membela agamaMu. Kerana itu aku rasa bersalah, Ya ALLAH…”

Air mata Moussa mula bercucuran membasahi pipinya. Seluruh tubuhnya sejuk. Badannya menggigil dan bahunya terhenjut-henjut menahan sedu sedan. Wajah-wajah Naeem dan Nazeem tertayang buat sekian kalinya di layar mindanya.
“Aku kesal, aku insaf dan aku bertaubat kerana terlalu sibuk dengan kehidupan dunia yang fana ini. Tatkala teman-teman di sekelilingku berjihad membela agamaMu… aku sibuk mencari laba dunia dengan membawa apa sahaja dari Gaza untuk dijual di kampung ini.

Tatkala orang-orang di kampung ini membenci kepada bom, aku yang jahil ini sibuk mengambil serpihan besi darinya untuk dijual. Tatkala kanak-kanak di kampung ini bernasyid untuk meniupkan roh jihad, aku biarkan anak-anakku sibuk mengumpul wang.

Namun, Engkaulah Yang Maha Mengetahui. Aku, hamba yang bodoh ini mengejar dunia, seolah-olah akulah yang mengatur kehidupan ini. Padahal, Engkaulah yang menyusun segalanya. Lalu Kau ambil anggota keluargaku seorang demi seorang demi memberi ingatan kepadaku, Ya ALLAH Yang Maha Terpuji. Kerana itu aku benar-benar terharu, Ya ALLAH…” sedu sedan Moussa mula kedengaran.

“Aku terharu kerana Engkau masih mengasihani aku. Kau ambil nyawa isteriku, kau ambil nyawa puteriku, dan kini kau ambil nyawa putera-putera kesayanganku. Kau ambil mereka semua sebagai peringatan kepadaku.

Kerana peringatanMu inilah maka aku mulai sedar dan insaf serta bertaubat nasuha. Kerana itu aku berjanji Ya ALLAH. Aku berjanji kepadaMu bahawa sesungguhnya mulai detik ini, aku Amr Moussa Arafat akan berserah diri kepadaMu. Ya, ALLAH… aku sedia menerima rancanganMu, takdirMu dan kehendakMu, untuk terus berjihad mempertahankan bumi mulia ini dari angkara durjana tentera Zionis yang kau laknati. Perkenankan doaku, Ya ALLAH… perkenankan… perkenankan…”

Lalu Moussa terus menelungkup dirinya dan sujud kembali. Bisikan perasaan yang diperdengarkan kepada ALLAH terus diluahkan di dalam hati. Lama juga dia berdoa, memohon keampunan terhadap dosa-dosanya, dosa ahli keluarganya dan dosa teman-teman seperjuangannya yang telah syahid. Setelah mengucapkan sejahtera terhadap Rasulullah s.a.w, Moussa pun duduk dalam keadaan bertahiyat lalu menoleh ke kanan dan kiri memberi salam.

Buat beberapa ketika Moussa menekur ke tanah tempatnya bersujud. Membiarkan fikirannya bebas merayau bagai helang di angkasa. Tanpa disedarinya, sepasang kaki perlahan-lahan menghampiri dari belakangnya. Si empunya diri menanti dengan sabar. Malah sejak tadi lagi dia turut mendengar rintihan Moussa dengan teliti.

“AKU bersimpati, wahai Moussa…”
Suara parau itu membuatkan Moussa menoleh. “Siapa kamu?”
“Aku sahabat yang simpati.” Ujar lelaki yang bermisai dan berjanggut itu. “Aku akan pelawa kamu bersama berjihad mempertahankan bumi Palestin. Aku akan ajak kamu berjuang hingga ke penjuru dunia di mana sahaja ada Zionis yang dilaknati!”

Mata Moussa bercahaya mendengar pelawaan lelaki yang tidak pernah ditemui di kampungnya ini. Lalu Moussa segera bangkit dan menerpa ke arah lelaki itu. Mereka berjabat salam dan berpelukan. Moussa memeluk erat lelaki itu, seolah-olah lelaki itu adalah jawapan kepada rintihannya sebentar tadi.

“Katakan, apa yang perlu aku lakukan, wahai sahabat yang baru kukenali. Aku sedia membantumu,” ujar Moussa penuh bersemangat.
Lelaki itu tersenyum manis lalu terangguk-angguk. Perlahan-lahan tangannya menyeluk poket jubahnya. Lalu dikeluarkan sekeping foto dan diunjukkan kepada Moussa.

“Kamu kenal wanita ini, Moussa?” soalnya.
Moussa menatap buat seketika. Lalu dia menggeleng. “Sesungguhnya, aku tidak pernah melihat wanita ini. Tentu sekali dia bukannya wanita di kampung ini, kerana semua wanita di sini memakai jilbab.”

Lelaki itu terangguk-angguk lagi tanda bersetuju.
“Benar, katamu. Kalau kamu hendak tahu… wanita ini adalah perempuan Amerika! Namanya Jennifer Miles. Dan dialah yang membunuh kedua-dua puteramu!”
“Apa?” Moussa terjerit kerana terkejut. Darahnya tiba-tiba menyirap ke mukanya. Jantungnya mula berdegup kencang.

“Kamu ingin menemuinya?” tanya lelaki itu.
“Pasti!” jawab Moussa.
“Untuk apa?” lelaki itu memprovok.
“Untuk mematah-matahkan lehernya!” jawab Moussa seraya mendengus kerana nafasnya mula menyesak dada.
“Hmm..” ujar lelaki itu lalu melangkah beberapa tapak menjauhi Moussa. Tiba-tiba dia berpaling lalu menuding ke arah Moussa. “Kalau begitu, aku akan temukan kamu dengannya.”

“Apakah benar kata-katamu?”
“Demi ALLAH yang menyaksikan… bilaku bawa kamu menemuinya, lakukanlah sesuka hatimu! Lakukan apa sahaja meskipun hingga nyawanya bercerai daripada tubuhnya! Aku akan sentiasa bersamamu… melindungimu.”

MOUSSA benar-benar terharu dengan kenyataan lelaki itu. Lalu dia menghampiri lelaki itu. Dia memeluk dan mencium lelaki itu dengan erat dan penuh kesyukuran. Kemudian dia menghadap kiblat lalu menadah tangannya mengucapkan syukur ke hadrat Illahi. Ketika dia tenggelam dalam kekusyukan berdoa, tanpa disedarinya lelaki itu hanya memandangnya dengan renungan yang tajam.

Kemudian dia tersenyum sinis dan tertawa di dalam hatinya.

Saturday, August 15, 2009

DETIK DEBAR: FRAGMEN 8

FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ lebih satu plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap.

Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya. Ia menjejaskan imej Amerika. Kerana itu, Presidennya terpaksa menghubungi bos WLL.



Foto: traveljournals.net

FRAGMEN 8

DETIK DEBAR
Ibupejabat World Live Line, Cleveland, Ohio

MILES STEWARD duduk tersandar sambil memangku kepalanya. Memandang ke dinding di mana terdapat 20 skrin TV yang memenuhi ruangnya. Matanya meliar sambil memantau dari satu skrin ke satu skrin TV-TV itu. Kesemuanya memaparkan imej-imej tunjuk perasaan. Tunjuk perasaan akibat paparan stesyen Al-Kiraat mengenai Jennifer Miles yang dikatakan tidak berperikemanusiaan kerana membiarkan dua kanak-kanak Palestin mati demi mengejar glamour sebagai wartawan.

Malam tadi, John Martinez, Presiden Amerika menghubunginya secara peribadi. Menyampaikan rasa simpatinya terhadap serangan media terhadap anak dan juga WLL. Namun, dalam pada menyuarakan rasa itu, John sempat membayangkan hasrat sebenarnya.

“Miles…” ujar John dengan suara paraunya. “Apa-apa sahaja boleh berlaku. Saya tidak akan mengirim tentera untuk mencari Jennifer kalau puteri kesayangan kamu hilang tanpa berita!
Do something!”

Miles mengeluh bila suara John Martinez terngiang-ngiang di fikirannya. Mulutnya berkerinyut. Mempamerkan perasaan hatinya yang membungkam. Sesekali, wajah Jennifer Miles menerjah ke layar mindanya.

Tanpa dia sedari, anaknya itu melangkah masuk tanpa mengetuk pintu. Dia memerhati ayahnya yang juga CEO World Live Line sedang resah gelisah. Dia melihat ayahnya asyik memerhati skrin-skrin TV yang memaparkan berita-berita tunjuk perasaan mengenai dirinya. Namun, dia tak peduli. Tidak langsung mahu menatap walaupun satu skrin TV. Biarlah satu dunia berdemonstrasi dan mengecamnya. Egonya mengatakan apa yang dilakukannya itu betul.

JENNIFER berdehem kecil. Menarik perhatian ayahnya. Lelaki itu terus menoleh. Serta merta wajahnya mempamerkan raut yang garang. Bagai singa yang mahu menelan anaknya. Sesekali matanya teralih kembali ke skrin-skrin TV di sebelahnya. Memberi isyarat tubuh bahawa hati dan perasaannya kini terdera dengan apa yang ditontonnya.

“Jenny nampak tak, apa yang terjadi?”
“Nampak, papa,” jawab Jennifer selamba. “So what?”
“So what?” Suara Miles meninggi. Lalu dia terus berdiri sambil mencekak pinggangnya. “Don’t you see, Jenny? Satu dunia sedang memarahi dirimu! Rakyat Muslim di Pakistan, Afghanistan, Iran, Indonesia dan Malaysia semuanya berarak menuntut kamu dikenakan hukuman mati!”
“Dan NGO-NGO di London, Perancis, Sepanyol, Turkey, Jepun dan di negara kita, Amerika turut menuntut kau disingkirkan dari jawatan!
And you said, so what?”

“Seperti yang Jenny cakap pada papa dalam telefon kelmarin… tindakan Jenny tu spontan… tak ada niat pun nak menganiaya kanak-kanak tu! Waktu untuk ke udara ketika itu terlalu singkat. Jenny mesti ambil keputusan. Malah… lepas itu Jenny masih bawa dua kanak-kanak tu ke hospital!”

“Jenny bukan bawa kanak-kanak tu untuk berubat, tapi untuk dibedah siasat! Sebab kedua-duanya dah meninggal dunia, kerana lambat menerima rawatan, bukan?” kata Miles dengan suara yang masih meninggi. Urat-urat di dahi dan lehernya yang memerah sudah timbul.

“I’m not God!” jawab Jennifer seraya mengangkat bahunya. “Saya tak boleh tentukan mereka terus hidup.”
“Sebab Jenny bukan Tuhanlah maka Jenny sepatutnya tangguhkan kerja dan bawa kedua-dua kanak-kanak itu ke hospital!”
“Saya wartawan, ayah! Bukan anggota Palang Merah!” bantah Jennifer. Meskipun suaranya belum meninggi, namun nadanya sudah mula keras.

“Wartawan bukan manusia yang tiada perasaan? Ah, betapa ironinya, Jenny! Kamu melaporkan peristiwa-peristiwa duka tentang ibu-ibu, orang-orang tua, orang-orang yang terlantar, dan kesemuanya, dari medan pertempuran… tiba-tiba kamu tak peduli pada dua orang kanak-kanak yang berdepan dengan maut di depan matamu! Selama ini, satu dunia menangis bersamamu setiap kali melihat laporan-laporanmu!

Tetapi, bila Al-Kiraat memaparkan kebenaran, satu dunia juga melihat realiti personaliti yang mereka puja selama ini. Satu dunia bertanya, di mana kemanusiaanmu? Di mana keprihatinanmu?” ujar Miles dengan tergeleng-geleng kesal. Kedua-dua tangannya sudah mencengkam kepala dan meramas-ramas rambutnya hingga kusut masai.

“Ini hari mereka, papa. You know it! Kalau media kita boleh mengorkestrakan kebongkakan Saddam, Ahmadinejad, Mugabe, Mahathir… hari ini media mereka memainkan pula kejahatan Amerika, keganasan Israel, kelembaban PBB dan korporatokrasi golongan kapitalis!
Ini perang media, papa! Perang media untuk mendapatkan rating kepopularan, imej dan wang iklan! Bukankah ayah sendiri salah seorang daripada maestro peperangan ini?”

Miles tersentap mendengar pandangan anaknya. Dia terpempan. Seolah-olah baru sedar daripada mimpi. Miles kehilangan kata-kata.
“Well…” kata Jennifer seraya bangkit berdiri. “Kalau ini sahaja yang papa hendak katakan pada saya, kenapa tidak telefon sahaja?”
“Where are you going?”
“Penerbangan saya ke Beirut hanya dua jam lagi.
I’ve got to go!”

“You are not going anywhere, Jenny!”
kata Miles tanpa menoleh ke arah anaknya. “Sit down!”
Kini, Jennifer pula yang terkedu dengan kata-kata ayahnya. Perlahan-lahan dia melabuhkan pungungnya kembali. Tergaris wajah bimbang di anak matanya.
“Papa dah tukarkan Jenny ke meja lain!”
“What?” Jenny inginkan kepastian.
“Mulai sekarang, Jenny akan ke meja politik!”

“Papa! Kenapa buat Jenny macam ni?” soal Jenny separuh merengek.
“Untuk kebaikan Jenny jugak,” ujar Miles.
“You can’t do this to me! You are not being fair to me!”
Jenny bingkas bangun. Dia menggumam di sepanjang langkahnya ke pintu. Dengan kasar tombol pintu dipulas. Daun pintu terkuak. Kemudian tertutup dengan satu dentuman yang membingitkan telinga Miles.

Lelaki itu mengeluh dan menekur ke lantai. Rautnya yang yang garang seketika tadi berubah menjadi sugul bila wajah arwah isterinya, Nancy terbayang di mata. Wanita cintanya itu adalah juga seorang wartawan seperti juga anaknya kini. Terlalu banyak persamaan di antara Nancy dan Jennifer.

Kecantikan, kecerdikan, kecekapan, malah sifat keras hati Nancy ada pada Jennifer. Seolah-oleh Jennifer adalah jelmaan Nancy. Namun, Miles amat berharap, biar itulah sahaja persamaan di antara isterinya dan Jennifer. Dia tidak ingin persamaan takdir menimpa Jennifer pula.

“I just don’t want you suffer the same fate as mommy, Jenny,” gumam Miles dengan nafas yang tertahan-tahan.

The Making of fragmen 8:
Inspirasi latar tempat : CNN CEO room
Lagu adangan ketika membaca fragmen ini: You.Tube. Ninja Gaiden, Death of a hero

Saturday, August 8, 2009

DETIK DEBAR: FRAGMEN 7

FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap.

Jalur 2: Jennifer Miles, seorang wartawan perang dari WorldLiveLine telah dengan selamba menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya walaupun dia tahu mereka perlu diberi rawatan kecemasan.



Foto: imemc.org

FRAGMEN 7:
DETIK DEBAR

Media Centre, West Wing, White House, Amerika Syarikat

JOHN MARTINEZ, baru sahaja selesai memperoleh taklimat semasa dari Jabatan Keselamatan Negara. Dia hanya punyai 15 minit untuk berehat sebelum menerima kunjungan beberapa orang usahawan dan para pelobi. Masa yang terluang itu digunakannya bersantai di bilik ini bersama dengan para pegawainya.

Sebagai Presiden Amerika Syarikat yang pertama dari etnik Hispanik, dia ingin sekali mempamerkan kelainan. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu melayani kakitangan pejabatnya secara formal, khususnya kakitangan bawahan. Meskipun dia punyai kuasa untuk menghentikan kesemua para pegawai di sini sebaik sahaja beliau menang pilihanraya, lalu membawa masuk pasukannya, John lebih suka bekerjasama dengan kakitangan yang sedia ada. Kebaikan hatinya menjadikan John popular di kalangan seluruh warga kerja Rumah Putih.

“What’s up, Mike?” sapanya sambil menumbuk bahu Mike Dougall, Ketua Bilik Media secara bergurau.
“You come at the right time, Mr. President. Jennifer Miles is on air!” jawab Mike lalu mengunjuk ke skrin televisyen plasma yang terlekap di dinding dengan alat kawalan jauhnya. Wajah Jennifer Miles sudah terpapar. Suara TV dikuatkan.

“Setengah jam yang lalu, sebuah jet Israel muncul secara solo untuk melakukan kemusnahan di Al-Muntaseer, sebuah perkampungan di Selatan Gaza. Belum ada laporan rasmi mengenai angka kematian dan nilai kerosakan. Tetapi anda lihatlah di sekeliling saya.

Untuk makluman para penonton, terowong-terowong yang berselirat di Al-Muntaseer ini bukannya terowong penyeludupan. Malah, ia adalah terowong kehidupan. Ia umpama saluran pernafasan yang amat anda perlukan jika anda ditakdirkan terbaring di wad ICU! Tanpa terowong-terowong ini, dari manakah mereka akan memperoleh makanan, pakaian dan ubat-ubatan?


Rumah-rumah, kedai-kedai, masjid kesemuanya hancur musnah. Ranap angkara prasangka Israel! Di sini, tiada kem askar… saya ulang… tiada kem askar! Malah tiada seorang askar Palestin pun yang berada di sini. Dan Israel sudah menggugurkan berpuluh-puluh butir bom ke kawasan yang dipenuhi terowong untuk menutupnya. Seolah-olah mencekik saluran penafasan mereka!

Lihatlah mayat kanak-kanak yang tidak berdosa ini. Mereka menjadi mangsa perang walaupun tidak mengetahui apa-apa…”

JOHN dan Mike memandang aksi Jennifer yang duduk bersimpuh sambil mengusap kepala dua orang kanak-kanak yang kononnya sudah meninggal dunia. Padahal, mereka masih bernyawa. Jennifer sanggup berlakon untuk memberi kesan terhadap laporannya.

“Jennifer Miles sepatutnya bertugas di stesyen Al-Kiraat,” komen Mike Dougall seraya mengecilkan suara televisyen.
“Kenapa awak cakap macam tu?” tanya John seraya mencapai sekeping biskut yang dihulur salah seorang pegawai wanita di situ.

“Dia punyai lebih semangat Palestin dari orang Palestin! Mengusap mayat kanak-kanak Palestin tetapi tidak pernah melakukan begitu pada kanak-kanak Israel!” ujar Mike yang termakan dengan lakonan wartawan wanita itu. “Laporannya kerap mengkritik Israel! Lebih lantang daripada pelapor dari stesyen Al-Kiraat sendiri!” jelas Mike.

“Ya,” John terangguk-angguk. “Saya setuju! Sekarang, cuba kita tengok apa yang Al-Kiraat kata, pulak!”

Mike memetik butang. Saluran stesyen Al-Kiraat, sebuah stesyen berita alternativf yang turut dikenali sebagai ‘TV Islam’ terpapar dengan logonya di kiri skrin TV. Wajah Jennifer Miles tiba-tiba muncul. Tertayang memenuhi skrin.
“Apa pulak tu?” tanya John seraya menuding ke TV.

Mike segera menekan-nekan butang alat kawatan jauh untuk meninggikan suara TV. Kesemua pegawai media di dalam bilik itu terpaku. Masing-masing memandang ke arah skrin.

“Jennifer Miles telah melakonkan sebuah drama yang paling hodoh untuk tatapan dunia! Seorang rakyat Palestin yang sedang mencari saki baki hartanya yang musnah telah ternampak drama buruk ini. Beliau telah mengirim sebuah rakaman yang diambil menggunakan telefon bimbitnya. Lihatlah lakonan yang paling jijik ini…”

Kaca TV menayangkan gambar Ahmed melekapkan telinganya ke kedua-dua kanak-kanak yang cedera. Dia menjerit menggesa Jennifer menghantar kanak-kanak itu ke hospital. Namun, Jennifer enggan. Sebaliknya dia mahu meneruskan kerjanya. Rakaman menunjukkan Jennifer sempat menggincu bibirnya sebelum duduk bertinggung di sebelah dua orang kanak-kanak Palestin untuk membuat sebuah laporan keganasan Israel. Padahal, dia juga tidak berperikemanusiaan!

“Oh, no! Oh, no! Jennifer telah memburukkan profesion wartawan!” kata Mike seraya tergeleng-geleng dengan wajah kesal.
Mereka di dalam bilik ini turut tercebir dan berasa malu dengan gelagat wartawan popular yang disanjung sebagai wartawan yang berani dan telus selama ini.

“Mike!” ujar John dengan wajah sugul. Bibirnya diketap geram. “Hubungkan saya dengan CEO WLL! Siapa namanya?”
“Miles Steward!”
“What? Another Miles?” soal John kerana nama itu ada persamaan dengan nama Jennifer Miles.
“Oh, Miles Steward ialah ayah Jennifer Miles!”
“Hmm! So much the better!”kata John perlahan.

Namun, wajahnya memerah menahan kemarahan. Kakitangan di bilik itu semuanya menikus bila melihat muka menyinga presiden mereka.

John Martinez tidak pernah kelihatan marah sebegitu!


The Making of fragmen 7:
Inspirasi latar tempat :
White House, Wikipedia
Musik cadangan ketika membaca fragmen ini: You.Tube. WestWing Theme Song

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP