Saturday, August 22, 2009

DETIK DEBAR: FRAGMEN 9

FROM ME TO YOU:
Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.


KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap.

Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya.
Ayah kedua kanak-kanak itu merintih akibat kehilangan dua cahaya matanya.


FOTO: mysyshriratwordpressdotcom

FRAGMEN 9
DETIK DEBAR
Al-Muntaseer, Selatan Gaza, Palestin

HAMPIR seluruh rumah ini sudah tidak berbumbung. Malah, hanya sedikit sahaja bahagian ruang tamunya yang berlitup dengan plastik. Cukup untuk melindungi cahaya matahari pada sore ini. Lantainya sudah dipenuhi timbunan serpihan batu batan yang terjadi akibat letupan bom dari jet Israel. Keadaan rumah yang begini memang tidak layak lagi dihuni.

Inilah yang Moussa temui sebaik sahaja bergegas pulang dari kota bila mendengar khabar kampungnya diserang jet Israel. Dia mencari kedua-dua anaknya. Namun, hatinya luluh bila mendapat tahu Naeem dan Nazeem telah menjadi mangsa serangan Israel.

Moussa menguak sedikit ruang. Cukup sekadar untuk tempatnya bersolat. Dalam keadaan sedih, Moussa bersembahyang buat kali terakhir sebelum meninggalkan rumah ini. Ke mana tujuannya selepas ini, dia tidak pasti. Lalu Moussa menitiskan air mata pada sujud yang terakhir. Mengadu untung nasib kehilangan dua orang anak lelakinya kepada Yang Maha Memelihara.

“Ya, ALLAH, Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang…” bisik Moussa ketika menadah tangan setelah memberi salam. “Pada hari ini, hambamu ini kehilangan lagi anggota keluarganya. Naeem dan Nazeem adalah putera-putera kesayanganku. Yang aku tidak pernah didik sejak kecil untuk tidak gentar dengan bunyi senapang, bom dan kapal terbang. Yang aku tidak pernah asuh untuk membenci mereka yang Kau murkai.

Yang aku tidak pernah ajar cara membaling batu dengan kuat dan tepat ke arah tentera dan kenderaan Israel dengan niat seolah-olah melontar jamrah untuk merejam Iblis laknatullah… yang aku tidak pernah bimbing agar bersedia untuk berjihad membela agamaMu. Kerana itu aku rasa bersalah, Ya ALLAH…”

Air mata Moussa mula bercucuran membasahi pipinya. Seluruh tubuhnya sejuk. Badannya menggigil dan bahunya terhenjut-henjut menahan sedu sedan. Wajah-wajah Naeem dan Nazeem tertayang buat sekian kalinya di layar mindanya.
“Aku kesal, aku insaf dan aku bertaubat kerana terlalu sibuk dengan kehidupan dunia yang fana ini. Tatkala teman-teman di sekelilingku berjihad membela agamaMu… aku sibuk mencari laba dunia dengan membawa apa sahaja dari Gaza untuk dijual di kampung ini.

Tatkala orang-orang di kampung ini membenci kepada bom, aku yang jahil ini sibuk mengambil serpihan besi darinya untuk dijual. Tatkala kanak-kanak di kampung ini bernasyid untuk meniupkan roh jihad, aku biarkan anak-anakku sibuk mengumpul wang.

Namun, Engkaulah Yang Maha Mengetahui. Aku, hamba yang bodoh ini mengejar dunia, seolah-olah akulah yang mengatur kehidupan ini. Padahal, Engkaulah yang menyusun segalanya. Lalu Kau ambil anggota keluargaku seorang demi seorang demi memberi ingatan kepadaku, Ya ALLAH Yang Maha Terpuji. Kerana itu aku benar-benar terharu, Ya ALLAH…” sedu sedan Moussa mula kedengaran.

“Aku terharu kerana Engkau masih mengasihani aku. Kau ambil nyawa isteriku, kau ambil nyawa puteriku, dan kini kau ambil nyawa putera-putera kesayanganku. Kau ambil mereka semua sebagai peringatan kepadaku.

Kerana peringatanMu inilah maka aku mulai sedar dan insaf serta bertaubat nasuha. Kerana itu aku berjanji Ya ALLAH. Aku berjanji kepadaMu bahawa sesungguhnya mulai detik ini, aku Amr Moussa Arafat akan berserah diri kepadaMu. Ya, ALLAH… aku sedia menerima rancanganMu, takdirMu dan kehendakMu, untuk terus berjihad mempertahankan bumi mulia ini dari angkara durjana tentera Zionis yang kau laknati. Perkenankan doaku, Ya ALLAH… perkenankan… perkenankan…”

Lalu Moussa terus menelungkup dirinya dan sujud kembali. Bisikan perasaan yang diperdengarkan kepada ALLAH terus diluahkan di dalam hati. Lama juga dia berdoa, memohon keampunan terhadap dosa-dosanya, dosa ahli keluarganya dan dosa teman-teman seperjuangannya yang telah syahid. Setelah mengucapkan sejahtera terhadap Rasulullah s.a.w, Moussa pun duduk dalam keadaan bertahiyat lalu menoleh ke kanan dan kiri memberi salam.

Buat beberapa ketika Moussa menekur ke tanah tempatnya bersujud. Membiarkan fikirannya bebas merayau bagai helang di angkasa. Tanpa disedarinya, sepasang kaki perlahan-lahan menghampiri dari belakangnya. Si empunya diri menanti dengan sabar. Malah sejak tadi lagi dia turut mendengar rintihan Moussa dengan teliti.

“AKU bersimpati, wahai Moussa…”
Suara parau itu membuatkan Moussa menoleh. “Siapa kamu?”
“Aku sahabat yang simpati.” Ujar lelaki yang bermisai dan berjanggut itu. “Aku akan pelawa kamu bersama berjihad mempertahankan bumi Palestin. Aku akan ajak kamu berjuang hingga ke penjuru dunia di mana sahaja ada Zionis yang dilaknati!”

Mata Moussa bercahaya mendengar pelawaan lelaki yang tidak pernah ditemui di kampungnya ini. Lalu Moussa segera bangkit dan menerpa ke arah lelaki itu. Mereka berjabat salam dan berpelukan. Moussa memeluk erat lelaki itu, seolah-olah lelaki itu adalah jawapan kepada rintihannya sebentar tadi.

“Katakan, apa yang perlu aku lakukan, wahai sahabat yang baru kukenali. Aku sedia membantumu,” ujar Moussa penuh bersemangat.
Lelaki itu tersenyum manis lalu terangguk-angguk. Perlahan-lahan tangannya menyeluk poket jubahnya. Lalu dikeluarkan sekeping foto dan diunjukkan kepada Moussa.

“Kamu kenal wanita ini, Moussa?” soalnya.
Moussa menatap buat seketika. Lalu dia menggeleng. “Sesungguhnya, aku tidak pernah melihat wanita ini. Tentu sekali dia bukannya wanita di kampung ini, kerana semua wanita di sini memakai jilbab.”

Lelaki itu terangguk-angguk lagi tanda bersetuju.
“Benar, katamu. Kalau kamu hendak tahu… wanita ini adalah perempuan Amerika! Namanya Jennifer Miles. Dan dialah yang membunuh kedua-dua puteramu!”
“Apa?” Moussa terjerit kerana terkejut. Darahnya tiba-tiba menyirap ke mukanya. Jantungnya mula berdegup kencang.

“Kamu ingin menemuinya?” tanya lelaki itu.
“Pasti!” jawab Moussa.
“Untuk apa?” lelaki itu memprovok.
“Untuk mematah-matahkan lehernya!” jawab Moussa seraya mendengus kerana nafasnya mula menyesak dada.
“Hmm..” ujar lelaki itu lalu melangkah beberapa tapak menjauhi Moussa. Tiba-tiba dia berpaling lalu menuding ke arah Moussa. “Kalau begitu, aku akan temukan kamu dengannya.”

“Apakah benar kata-katamu?”
“Demi ALLAH yang menyaksikan… bilaku bawa kamu menemuinya, lakukanlah sesuka hatimu! Lakukan apa sahaja meskipun hingga nyawanya bercerai daripada tubuhnya! Aku akan sentiasa bersamamu… melindungimu.”

MOUSSA benar-benar terharu dengan kenyataan lelaki itu. Lalu dia menghampiri lelaki itu. Dia memeluk dan mencium lelaki itu dengan erat dan penuh kesyukuran. Kemudian dia menghadap kiblat lalu menadah tangannya mengucapkan syukur ke hadrat Illahi. Ketika dia tenggelam dalam kekusyukan berdoa, tanpa disedarinya lelaki itu hanya memandangnya dengan renungan yang tajam.

Kemudian dia tersenyum sinis dan tertawa di dalam hatinya.

3 comments:

akimsensei August 23, 2009 at 11:35 PM  

siapa lelaki itu? ni mesti agen yahudi jugak ni..

Anonymous August 24, 2009 at 1:40 AM  

Salam...SubhanaAllah..
hebat2..
Satu pembawakan cerita yang sangat kritis..
Teruskan karya terbaik dengan merungkai segala persoalan di benak pembaca!

eyman hykal August 24, 2009 at 3:29 PM  

Sdra Akim,
Ye! Tepat sekali tekaan anda! Tapi apa dia nak lakukan terhadap Moussa? ;)

Sdra Anonymous,
Terima kasih, sdra. Mudah-mudahan idea di minda ini terus mengalir laju. Alhamdulilah.

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP