Friday, November 27, 2009

FRAGMEN 20: DETIK DEBAR


FRAGMEN 20
DETIK DEBAR


Kawasan Hutan Sipo, Narathiwat, Thailand

FARIZ menyusun langkah. Begitu juga lelaki itu. Pada jarak dua langkah di antara satu sama lain, masing-masing mula menapak berkeliling. Bagai dua ekor ayam laga yang hendak berjuang. Kedua-dua tangan lelaki itu tersilang di depan wajahnya. Fariz mengagak, tindakan lelaki itu bukannnya untuk melindungi diri, tetapi sebenarnya ingin menyembunyikan gerak mata untuk mengabui tekaannya.


Fariz mula melibaskan kakinya. Sambil melibas, Fariz bergerak mengacah untuk menolak lelaki itu ke tepi dinding. Apabila menyedari dirinya terhimpit, tiba-tiba lelaki itu memutarkan tubuhnya lalu melompat melintasi kepala Fariz. Tindakannya membuatkan Fariz tergamam.


Tanpa sempat melakukan apa-apa, Fariz terasa bahunya diterajang dari arah belakang. Meskipun hentaman lelaki itu sungguh padu, Fariz sempat mempersiapkan kuda-kudanya. Dia hanya terlangkah setapak ke hadapan untuk menyerap impak tendangan.


Fariz segera memutar tubuhnya menghadap lelaki itu. Namun, tindakannya lambat. Belum sempat dia mendaratkan kedua-dua kakinya, Fariz hanya nampak tapak kasut deras menghampiri wajahnya. Kepalanya tertolak ke belakang dan Fariz jatuh terlentang.


Lelaki itu terus melompat untuk mendaratkan kedua-dua kakinya ke tubuh Fariz yang terngadah. Dia bergolek. Namun lelaki itu lebih pantas. Dia terus merebahkan tubuhnya lalu menghenyak belakang Fariz dengan kedua-dua lututnya pula. Dengan pantas lelaki itu mengilas kedua-dua tangannya dan menghantukkan kepalanya ke kepala Fariz. Mata Fariz berpinar-pinar.


‘Ini bukan Muay Thai!’ kata hati Fariz.
“Ini bukan Muay Thai!” kata lelaki itu seolah-olah mendengar suara hati Fariz.
“Ini seni mempertahankan diri orang Khmer. Pradal Serey.”
Dengan kata-kata itu, lelaki itu terus memancung leher Fariz dengan tangannya !

FARIZ tersedar bila berasa tubuhnya dihumban ke atas meja simen. Dia memandang tubuhnya yang tidak berbaju. Lalu terasa yang dia juga tidak berseluar, kecuali seluar dalam! Tangannya sudah terikat dan terkilas ke belakang.
‘Apa dah jadi?’ Fariz tertanya di dalam hati.
‘Sretttttt…’


Bunyi itu menangkap telinga dan pandangan Fariz. Matanya mencerlang memandang sebilah parang yang berkilat yang dilenser ke tubir meja simen ini oleh lelaki yang bertubuh rendang itu. Dialah lelaki yang menetak lehernya sebentar tadi. Lelali itu mengetuk-ngetuk parang itu ke simen meja. Berdenting-denting bunyinya.


Dada Fariz berdegup kencang. Bila tubuhnya ditelanjangkan dan diletak di tempat seperti meja, Fariz dapat mengagak apakah kesudahannya. Dia tahu apa akan terjadi kerana dia pernah menonton video-video siksaan tawanan. Situasi begini menandakan yang dia akan dibunuh. Lebih tepat lagi, dia akan disembelih sebagai korban!


“Masanya dah sampai…” tenang sahaja lelaki itu bertutur.
“Sampai? Sampai ke mana?” soal Fariz inginkan kepastian walaupun dia sudah dapat mengagak maksud lelaki itu.
“Kamu orang Islam… mengucap sahajalah…” kata lelaki itu sambil melurut mata parangnya dengan ibu jari.
“Wei! Apa ni?” pekik Fariz spontan.


Fariz segera meronta-ronta untuk bangun. Tetapi dia terasa ada tangan-tangan yang menangkap tubuhnya. Dia menggelupur. Cuba untuk melepaskan dirinya. Namun, tangan-tangan yang menekan tubuhnya semakin kuat menghenyak. Malah, paha, pinggang dan bahunya dipukul berkali-kali hingga Fariz terasa tubuhnya kebas.


Akhirnya Fariz keletihan. Dalam keadaan pandangannya yang berpinar, Fariz nampak empat wajah-wajah yang menekan tubuhnya memandangnya dengan mata terbelalak. Dia terasa dirinya seperti bermimpi. Mimpi buruk yang mengerikan.


‘Inikah kesudahan aku? Apa sebab aku tiba-tiba disiksa begini? Aku tidak tahu apa-apa mengenai Tuan Aziz atau Khunpol Rachotai. Sebenarnya aku tak perlu disiksa sampai begini. Seharusnya mereka tangkap sahaja Tuan Aziz di Putrajaya. Habis cerita. Mengapa mereka siksa aku sampai begini. Sungguh tak maksud akal! Gila! Ya, mereka ini semuanya gila!’


“Arghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh…” Fariz melaung. Melontarkan suaranya. Menggaung dan menggema di sekitar kawasan berbatu ini.
Fariz terasa pandangannya gelap. Kepalanya sudah disarung dengan kain guni berwarna hitam. Tali yang mengikat mulut kain itu terus dijerut ke lehernya. Fariz ditelentangkan. Dada Fariz semakin berdegup kencang. Peluh sudah membasahi tubuhnya yang telanjang.
“Lepaskan aku!”


“Apa kamu mau?” tanya lelaki yang berambut putih dan bertrubuh rendang itu. Fariz dapat mengecam suara lelaki itu walaupun dengan mata yang tertutup.
“Lepaskan aku. Aku tak tahu menahu tentang semua ini.”
“Apa yang kamu mahu!”
“Aku mahu dilepaskan!”
“Kau tak boleh lepas. Aku sembelih kau.”
“Hei! Lepaskan aku!”
“Apa kamu mahu?”
“Lepaskan aku! Lepaskan aku! Lepaskan aku!”
“Itu saja yang kamu mahu?”
“Ya, lepaskan aku!”
“Apa kamu mahu?”


Soalan sama yang bertubi-tubi itu membuatkan Fariz naik darah. Dia memekik panjang hingga suaranya serak. Tanpa disedari, air matanya mengalir deras. Biarlah. Ajalnya sudah sampai kali ini. Sebagai seorang ejen perisik dia rela mati demi negara. Cuma, dia tidak mengerti apakah nilainya sebagai ejen hingga hendak dibunuh seperti ini. Bukankah mudah kalau dia ditembak sahaja?
“Arghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh…”
“Jangan susah hati, kawan. Mati hanya sekali!”


Suara yang perlahan itu membuatkan Fariz terhenti meraung. Tiba-tiba dia teringatkan ALLAH. Tuhan yang menghidupkannya. Tuhan yang mematikannya. Ya Muhyi! Ya Mumiit!
Tiba-tiba telinganya tidak mendengar apa-apa. Hanya bunyi desingan di dalam telinga. Sayup-sayup dia terdengar suara lelaki itu memerintah agar mereka yang lain terus memegang tubuhnya kerana dia hendak melaksanakan tugasnya.


Fariz mula terasa lehernya sejuk disentuh mata parang. Fariz menahan nafas. Airmatanya seolah-olah terus terhenti. Bulu roma di seluruh tubuhnya terasa berdiri. Dia harus sabar menerima hukuman. Dia harus reda dengan ketentuan. Dia harus pasrah menghadapi mati. Demi Tuhan yang menjadikannya. Dia sudah bersedia untuk mengucap sebaik sahaja terasa lehernya dihiris!


“Apa yang kamu mahu?” bisik suara lelaki itu.
Fariz tidak menjawab.
“Apa yang kamu mahu?”
Fariz terus mendiamkan diri.
“Apa yang kamu mahu?”
“A-L-L-A-H…”
“Apa yang kamu mahu?”
“ALLAH! ALLAH!”
“Apa dia? Apa yang kamu mahu?”
“ALLAH! ALLAH! ALLAH!”
“Apa?”
“ALLAH! ALLAH! ALLAH! Lailahailallah….”


FARIZ terasa mata parang yang sejuk menyusur di lehernya. Dia menahan nafas. Menanti rasa pedih dan sakit mengiringi. Sungguh. Dia sudah bersedia untuk mati. Mati untuk bertemu dengan Illahi. Mata parang sudah terangkat daripada lehernya. Rasa bisa akan mengiringi seketika lagi. Fariz menunggu rasa sakit itu. Sesaat… dua saat… tiga saat…
“Subhanallah walhamdulilah walailahaillah wallah huakbar!” kedengaran suara yang dikenalinya. Bukan suara lelaki yang berambut putih dan bertubuh rendang itu. Tetapi…


Tiba-tiba, kain yang menutup kepalanya disentap. Serta merta pandangannya terang benderang. Tubuhnya terus dilingkari dengan selimut.
“Alhamdulilah, Fariz!”
Seorang lelaki terus menerpa dan memeluk tubuhnya. Mengusap kepalanya. Fariz kenal siapakah lelaki ini.
“Tu… Tuan Aziz?”
“Ya, ya, Fariz. Mengucap, Fariz… mengucap…”


Fariz memeluk lelaki itu sambil mengucap dua kalimah syahadah di dalam hati. Dia memejam mata untuk melafazkan ucapan itu sepenuh jiwanya. Agar kalimah itu meresap dan beredar ke seluruh pembuluh darahnya. Kedengaran bunyi tepukan di sekelilingnya. Fariz membuka mata. Lalu bertembung pandangan dengan Tuan Aziz yang merenungnya dengan senyuman bangga.


Fariz memandang mereka yang berada di sekelilingnya. Lelaki-lelaki yang menyiksanya turut tersengih-sengih sambil bertepuk tangan. Lelaki yang berambut putih dan lelaki yang berambut panjang, kedua-dua lelaki yang menyiksanya terus tampil dan bersalaman dengannya.
“Apa semua ini, tuan?” tanya Fariz kehairanan.
“Selamat datang ke Pusat Latihan BISIK di Narathiwat!” ujar Tuan Aziz.
“Latihan? Oh, tidak!” ujar Fariz sambil menepuk dahinya.
“Smile! You are on candid camera!”


Suara itu membuatkan Fariz berpaling. Dia sempat menangkap tangan yang hendak menumbuk bahunya. Lalu memutar jejarinya untuk bersalaman dengan orang ini.
“Kak Mala? Saya ingat akak dah…”
“Ha-ah, akak dah mati. Ini hantu dia!” jawab Normala selamba.
Kata-kata itu mengundang hilai tawa mereka di sekeliling.
“Tapi, macam mana…”


“Ala… sejak kat Rantau Panjang lagi akak dah keluar dari bonet kereta. Akak bersembang dengan engkau menggunakan alat komunikasi, kan? Sejak dari sempadan lagi akak dah duduk kat bilik operasi untuk pantau pergerakan engkau, Fariz!”
“Oh, selama ini, rupa-rupanya…”
“Apa, engkau ingat, Hollywood aje yang pandai buat trick?”
Tawa mereka semua berderai lagi.


“Fariz…” kata Tuan Aziz.
Mereka semua mendiamkan diri bila bos memulakan kata.
“Tidak ada yang lebih besar dan utama daripada menyerah diri kepada ALLAH. Apabila kamu disiksa, rahsia boleh terbongkar kalau kamu hanya memegang rahsia kerana ikrar BISIK. Ikrar profesyen tidak kukuh sebenarnya.


Yang kuat dan padu adalah ikrar kita sebagai hamba-NYA. Sumpah kita sebagai hamba ALLAH adalah ikrar yang tak boleh dimakan oleh apa jua siksaan. Dengan lafaz laillahailallah, apa jua siksaan dan kepedihan akan terubat. Bila kita berserah nyawa kepada Yang Maha Hidup, insya-ALLAH kita akan dapat menyimpan rahsia sampai ke mati. Oleh itu, bila berdepan dengan interogasi, deraan dan siksaan… jangan lupa kepada ALLAH!”


Fariz dan mereka yang lain terangguk-angguk mendengar tazkirah daripada Tuan Aziz.
“Okey… Ini adalah hari pertama latihan Fariz. Kamu akan jalani dua minggu latihan di sini bersama lain-lain anggota BISIK. Selesai sahaja latihan, kamu akan pulang ke Kuala Lumpur. Ada tugas besar sedang menanti!”
“Apa dia tugas tu, Tuan?”


Tuan Aziz menoleh. Menerkamkan pandangannya ke arah ejen muda itu.
Membuatkan Fariz tidak berani bertanya lagi.


Bersambung di minggu hadapan...


FROM ME TO YOU:
Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.


KISAH SETAKAT INI:

Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap dan diinterogasi.


Jalur 2: Oleh kerana menimbulkan masalah, Jennifer Miles, seorang wartawan perang telah ditukarkan ke meja bisnes. Namun, sikapnya yang tegas dan lantang tetap mengundang kurang senang orang walau di mana dia berada.

8 comments:

akimsensei November 27, 2009 at 4:34 PM  

wow, marvellous (betul ke eja nih?) en.norden. kak mala yg cun tu ropenya still hidup. gembira saya. fragmen ini membuatkan saya bernafas lega. dah tercungap2 dah tadi, ingatkan en.norden nak mematikan hero mcm abg ram matikan amiruddin dlm tombiruo. selamatla sejarah tu xberulang dlm detik debar. 5stars untuk fragmen ni, best gilak.

saya menjangkakan tugas besar fariz tu nanti ada kaitan dengan kedatangan jennifer milez (adakah wajahnya seiras jennifer lopez, haha?) ke malaysia..

eyman hykal November 27, 2009 at 7:00 PM  

Akim,
Terima kasih kerana senantiasa singgah ke mari dengan setianya. Fragmen ini dihabiskan kira2 jam 4.00 pagi tadi. Inilah klimaks pertama novel ini. Selepas ini terus kepada fasa kedua yang diharapkan akan mendebarkan juga.

Ada ketikanya sebelum ini saya rasa tak sampai hati bila Akim dan teman-teman yang lain bertanya mengenai mengapa Normala 'mati.' Rasa hati macam nak cerita apa yang terjadi, tapi bila memikirkan suspen 'kematian Normala' itu akhirnya akan melegakan Akim dan teman2 yang lain, saya pendamkan sahaja daripada bercerita mengenainya.

Jennifer Miles tu saya bayangkan Jennifer Garner ketika berlakon dalam siri Alias.

Oh ya, ketika melayan mata yang tak mahu tidur, saya pun google nama Jennifer Miles. Kelakar jugak melihat wajah-wajah Jennifer Miles yang 'baik' di alam nyata.

Thanks so much dari saya. Saya amat menghargai minat dan masa yang Akim telah peruntukan untuk membaca setiap fragmen DD.

*Ejaan marvellous tu betul. :)

CikLie November 27, 2009 at 11:45 PM  

salam eyman..

fragmen detik debar kali ini memang best!!.. dah lama xmembaca detik debar.. kali neh memang amat hebat!!..

tahniah eyman.. harap xperlu menunggu lama untuk mendapatkan MM2 di pasaran.. insya'allah..

eyman hykal November 28, 2009 at 1:09 AM  

Terima kasih CikLie. Doakan semoga dikurniakan idea yang melimpah ruah supaya novel ini cepat siap. ;)

urangbahari December 3, 2009 at 2:36 AM  

Fragmen yang menarik..

eyman hykal December 4, 2009 at 2:22 AM  

Terima kasih, sdra Urangbahari!

Anonymous December 12, 2009 at 7:52 PM  

Salam..SubhanaAllah..kelu lidah berkta2..rasa tak percaya semua ni hanya satu latihan..
Nak nangis pun ada...
All the best, en. Eyman!

eyman hykal December 13, 2009 at 6:46 PM  

Sdra Anonymous,
Alhamdulilah kerana dapat merasa. Semoga ia merangsang jiwa pada Yang Esa. Itulah tujuan saya.

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP