Wednesday, November 11, 2009

FRAGMEN 18: DETIK DEBAR


Foto:film-forward.com


FRAGMEN 18
DETIKDEBAR


“TENGOK sana!” perintah lelaki yang bertubuh besar itu seraya mencekak rambutnya. Memaksa kepala Fariz terdongak memandang skrin. Paparan di layar bertukar kepada ketika dia berkunjung ke rumah Tuan Aziz di Putrajaya pada satu malam. Pasti imej itu dirakam menerusi CCTV. Oleh kerana dia menyamar di dalam tugasnya, waktu yang sesuai bagi Fariz menemui bosnya itu hanyalah pada waktu malam.

Fariz nampak dirinya menyelit di celah-celah pokok, melangkahi parit dan mengepil di balik tembok. Menanti sehingga Tuan Aziz pulang. Kehadirannya nyaris disambut dengan peluru bila bosnya terkejut dengan kemunculannya. Fariz dibawa masuk ke dalam rumah dan keluar untuk menghilang seketika kemudian.

“Khunpol adalah penyangak besar. Dia menjadi jutawan dengan kerjanya itu! Khunpollah yang memalsukan kad pengenalan mereka yang diculik dan diseludup supaya mudah dibawa keluar ke Thailand. Dari Thailand, mangsa-mangsa culik akan dibawa ke merata dunia.

Khunpol juga membuat money laundering kesemua wang yang dibawa masuk ke Malaysia untuk dilaburkan ke dalam pelbagai perusahaan. Dan Khunpol membunuh sesiapa sahaja yang menentangnya! Kau tengok siapa tali barut Khunpol!”

Paparan di skrin bertukar sekali lagi. Wajah Normala yang melambaikan tangannya muncul. Fariz terkedu melihat wajah itu. Normala mengenyitkan matanya dan memberi senyuman menggoda. Kelihatan wanita itu menuju ke kereta limosin. Lalu dia mengetuk cermin kereta itu. Apabila cermin kereta itu melorot, tampil wajah Tuan Aziz atau Khunpol!

Fariz menelan liurnya. Memerhati imej tayangan yang beralih lagi. Kali ini terpampang wajah dua orang lelaki dengan AK-47 mengarahkan senjata masing-masing ke but kenderaan pacuan empat roda!
“Argh!” Fariz terjerit.

Dia tahu apakah adegan yang akan dimainkan selepas ini. Bunyi dentuman mesin gun mula menghingari bilik itu. Tampak jelas di matanya bagaimana dua orang lelaki berpakaian hitam memuntahkan peluru ke arah but kenderaan. Babak itu begitu menyesak jiwanya. Fariz meronta-ronta hingga dia dapat tunduk untuk menutup matanya dari memandang ke layar perak.

Namun telinganya boleh mendengar rentetan dentuman muntahan peluru dari senjata itu. Mata hatinya dapat melihat tubuh Normala meronta-ronta bila dihujani peluru yang tak bermata dan hati.

“Sudahhhhhhhhhhh...” jerit Fariz.
Dadanya berombak kencang. Fariz benar-benar keliru. Hatinya tidak mahu percaya, tetapi fikirannya mengiyakan. Manusia perisikan boleh sahaja berlakon menjadi baik ataupun jahat hingga sebati ke dalam jiwa. Tentu tidak mustahil jika seseorang yang jahat pun berlakon baik! Dan, Tuan Aziz pun tidak terkecuali!

Tanpa disedari, air matanya mengalir. Geram dan sedih bercampur baur. Di antara percaya dengan tidak. Di antara sayangkan Normala atau membencinya. Apakah selama ini dia tertipu? Tertipu dengan sandiwara mereka yang telah membina keyakinan dirinya terhadap nilai-nilai amanah untuk mempertahankan bangsa dan negaranya? Ah, fikirannya berkecamuk dan bergumpal dengan pelbagai persoalan. Namun, tiada jawapan yang melintas di fikirannya yang semakin kusut.

“Apa yang kau sedihkan? Apa yang kau tangiskan? ” ujar lelaki yang bertubuh besar itu dengan lantang. “Tuan Aziz bukan bos kamu! Sebab dia adalah Khunpol! Khunpol akan kami hapuskan. Sebelum itu, kami sudah hapuskan Normala.”

Lelaki itu menghampiri Fariz dan merentap rambutnya. Memaksa Fariz bertentang mata dengannya. Fariz bingung. Sama ada untuk mempercayai atau sebaliknya. Lelaki itu menghampirkan mulutnya ke telinga Fariz. Lalu dia berbisik, “Kau kena tolong kami, Fariz. Bersihkan BISIK dari ancaman pembelot besar seperti Tuan Aziz atau nama Siamnya, Khunpol.”
“Siapa kamu?” Fariz juga bertanya perlahan.
Kata-kata itu sendiri terluah tanpa Fariz sedari. Meskipun video yang terpapar begitu meyakinkan, hati kecilnya masih ragu-ragu dengan tiga lelaki yang mengelilinginya.

“Kami semua bekas anggota BISIK yang telah disisihkan oleh Khunpol. Kami diarahkan oleh PM sendiri untuk membersihkan BISIK. Kami sayang pada BISIK, Fariz.” Lelaki itu berkata perlahan diiringi dengan satu keluhan yang panjang. Dia berpaling dan melontarkan pandangannya ke arah skrin. Melihat babak dua orang lelaki melepaskan tembakan ke arah kenderaan panduan empat rodanya yang kini sudah terhenti.

“Aku tak percaya!” kata Fariz tegas.
Lelaki itu menoleh. Merenung Fariz buat beberapa ketika lalu menggeleng kesal.
“Okey, teruskan...” perintah lelaki itu seraya memetik jarinya beberapa kali.

Tayangan di skrin bertukar lagi. Kali ini pandangan dari halaman sebuah rumah kampung. Mulut Fariz ternganga kerana dia tahu rumah siapakah yang tertayang di depan matanya. Itulah rumahnya di Kampung Rhu Teduh, Terengganu. Sejurus kelihatan seorang wanita berusia lanjut menuruni tangga rumah itu sambil memegang sebuah bakul.
“Nek...” ucapan itu terpacul dari mulutnya.

Fariz terpaku melihat wajah neneknya. Wanita itu tenang melangkah ke tepian rumah untuk menyidai baju. Sejurus, wanita itu menjejak tangga memasuki rumah kembali. Fariz memerhati keadaan rumah neneknya yang kelihatan begitu sunyi. Kelihatan pepohon kelapa melambai ditiup angin. Kedengaran bunyian ombak melanda pantai. Tiba-tiba kedengaran pekikan nyaring.

Mata Fariz terbelalak. Fikirannya sudah membayangkan sesuatu yang buruk bakal ditontonnya. Sejurus kelihatan dua orang lelaki menuruni rumah sambil mengendong sesusuk tubuh yang dibalut seluruhnya dengan kain batik. Tubuh itu kelihatan meronta-ronta.
“Wei! Apa tu? Wei! Tu nenek aku!” Fariz terpekik.

Darah menyirap ke kepalanya. Dadanya berombak semula. Dia cemas bercampur marah bila melihat neneknya diperlakukan begitu. Kedua-dua lengan yang terlekap di kerusi cuba direntap dari ikatan. Tubuhnya digoyang-goyang agar terlepas dari ikatan. Dia bangun. Membawa kerusinya sekali. Dia duduk dan bangun beberapa kali. Menghentak-hentak kaki kerusi ke lantai untuk melahirkan kemarahannya.

“Nek Tijah akan dilepas kalau kau membantu kami,” kata lelaki itu sambil tersengih.
“Mana boleh macam tu! Tugasan adalah tugasan! Tidak perlu anggota keluarga dijadikan tebusan. Kamu kata kamu bekas anggota BISIK. Mana ada BISIK bertindak begini ke atas anggota keluarganya?” bantah Fariz.

“Kau diam! Kau siapa yang hendak mengajar aku? Bodoh!” jerkah lelaki itu sambil menjegil matanya.
“Arghhhh...”

DENGAN sekali rentap, ikatan di pergelangan tangannya tercabut. Mereka yang berada di sekelilingnya jadi panik. Kini hanya kakinya sahaja yang terikat di kaki kerusi. Dengan menggunakan kemahiran parkour yang dimilikinya, Fariz menggunakan kedua-dua tangannya untuk melekap ke lantai. Tindakan pantasnya menghasilkan momentum. Bagai seorang penari breakdance, yang melakukan gerak coffee grinder, Fariz memutar kerusi dengan kakinya sebelum menghayunnya mengenai dua orang yang ada berhampiran.

Hentaman kerusi itu membuatkan kerusi itu patah dan tali ikatan pun terburai. Kini Fariz telah bebas kembali. Dia sudah bersedia untuk menyerang. Melihatkan Fariz mengamuk, dua orang lelaki itu bingkas bangun dan mengorak langkah seribu.

Tanpa membuang masa, Fariz melompat dan menendang kaki skrin menyebabkan layarnya tumbang dan koyak menghempap kedua-dua lelaki itu. Sekali lagi Fariz melompat dan menggunakan kedua-dua kakinya untuk mengacip kedua-dua kepala lelaki yang masih bingung itu. Kedua-dua kepala mereka terhantuk dan mereka rebah. Fariz tersenyum seketika melihat hasil kerjanya.

“Dek chaiiiiii!”
Kedengaran suara di belakangnya. ‘Budak?’ Fariz mentafsir bahasa Thai itu seraya menoleh. Memandang lelaki yang bertubuh besar berdiri gagah. Jari telunjuk lelaki itu terkuit-kuit menggamitnya.

“Gert keun!”
‘Mari sini...’ Fariz menterjemah lagi bahasa itu.
Lelaki itu lalu terus mengepalkan kedua-dua penumbuknya. Kakinya terangkat-angkat silih berganti melibas-libas ke udara.
‘Muay Thai?’ kata Fariz di dalam hati.
“Rao.... gaan dtor soo!” jawab Fariz, tidak mahu kalah.

Mata lelaki itu mencerlang bila mendengar jawapan Fariz yang bermaksud ‘mari kita berlawan.’
“Huh!” Begitulah reaksinya sambil mencebir bibir.
Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH.
........................................
FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.
KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala terkorban dan Fariz ditangkap dan diinterogasi.
Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya. Akibatnya demonstrasi mengutuk Jennifer dan Amerika terjadi di mana-mana. Ia turut menjadi perhatian The Group, sebuah kumpulan pelobi Yahudi...

13 comments:

akimsensei November 11, 2009 at 4:22 PM  

Rao.... gaan dtor soo! wah, best2.. fariz siap ada skill parkour lagi tuh, hope babak pertarungan muay thai & silat lepas ni dapat diceritakan dengan baik dlm next2 fragment. pening kepala jap psl normala & tuan aziz tu awal2, tapi rasanya diorang di pihak yang benar kan. haha. terasa sayu jap time terbayang normala kene tembak tu.

eyman hykal November 11, 2009 at 5:07 PM  

Akim... terima kasih kerana membaca & beri komen. Ingatkan nak buat surprise pada fragmen ini. Tapi idea pulak sedang mencurah2. Next fragmen tentunya akan dipaparkan surprisenya.

Anonymous November 12, 2009 at 7:45 AM  

cerita makin menarik..bila nak publish nie..tak sabar nak cerita disebalik nya...

eyman hykal November 12, 2009 at 8:54 AM  

Anonymous... terima kasih. Novel dipublish tahun hadapan. Setakat itu sahaja yang boleh saya katakan.

MK November 13, 2009 at 7:31 AM  

syabas en eyman ,mm2 best.

eyman hykal November 13, 2009 at 2:44 PM  

Terima kasih, MK. ;)

Web Sutera November 14, 2009 at 1:32 AM  

FUH! :-)

Web Sutera November 14, 2009 at 1:35 AM  

Akim, relax, relax. Tuan Eyman saja buat kita gigit jari & hentak tapak tangan ke dahi.

FUH!

akimsensei November 14, 2009 at 12:49 PM  

itulah, betul tu abg web. rasa sekejap je baca, dah abis fragmen ni, wpun bila belek2 balik ke atas, kelihatannya cukup panjang.

eyman hykal November 14, 2009 at 2:53 PM  

Sdra WS,
Kadang2 rasa nak hantukkan kepala kat dinding keluarkan idea. ;)
Akim,
Kalau fragmen panjang pun rasa pendek, maknanya kena panjangkan lagi la ye? (sambil lap peluh kat dahi ;))

akimsensei November 15, 2009 at 12:03 AM  

en.norden,
kalau fragmen panjang pun rasa pendek, means, dah cukup padat. in case kalau nanti penerbit kata kena tambah page lagi, ya, kembangkan lagi sub-plotnya (bak soalan en.bakar) dengan menambahkan insiden2 baru. kan. hehe.

Web Sutera November 15, 2009 at 1:04 AM  

Sdr Akim,

Namanya pun fragmen, mana boleh panjang sangat. Nanti jadi kurang umphh!

Hendak baca panjang, tunggu novel ini keluar di pasaran. :-)

eyman hykal November 15, 2009 at 5:55 AM  

Sdra Akim,
Betul tu. Sub-plot umpama kuntum-kuntum bunga di rimbunan pepohon.

Sdra WS,
Saya sedang menulis bab surprise.
Tungguuuuuu... ;)

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP