Wednesday, October 28, 2009

FRAGMEN 17: DETIK DEBAR

FROM ME TO YOU:
Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normala

terkorban dan Fariz ditangkap dan ditempatkan di sebuah sel. Menanti masa untuk diinterogasi.

Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya. Akibatnya demonstrasi mengutuk Jennifer dan Amerika terjadi di mana-mana. Ia turut menjadi perhatian The Group, sebuah kumpulan pelobi Yahudi...



FRAGMEN 17
DETIK DEBAR

Kawasan Hutan Sipo, Narathiwat, Thailand

BUNYI deguman pintu besi menggema dalam kesunyian. Dengan mata yang tertutup dan tangan yang bergari, Fariz ditolak untuk melangkah. Meskipun penuh dengan pelbagai persoalan, Fariz patuh pada arahan. Berdasarkan kuliah yang dikuti di BISIK, Fariz tahu dia akan dibawa ke bilik soalsiasat.

Di situ, dia akan disoal. Biasanya, akan ada dua orang yang akan menyoalsiasatnya. Orang pertama akan memainkan peranan sebagai orang jahat atau the bad guy. Dia akan menggertak, mengugut, malah memukulnya. Bila maklumat gagal diperoleh daripadanya, orang kedua pula akan muncul.

Orang ini pula akan memainkan peranan sebagai orang baik atau the good guy yang bersikap lembut. Dia akan memujuk, menasihat dan akan mengumpannya dengan hadiah andainya dia bekerjasama. Jika dia berkeras, orang pertama akan muncul kembali.

Jika dia terus berdegil, orang ketiga dipanggil. Orang yang ketiga ini tidak akan menyoal. Tetapi tugasnya adalah untuk menyiksanya. Andainya dia masih berkeras, orang yang ketiga ini akan membawanya ke sebuah tempat lain untuk dihapuskan!

Suara raungan dari arah kanan menggema ke telinganya. Fariz terpaling ke arah itu. Bunyi tubuh dipukul kedengaran bertubi-tubi diiringi dengan suara rintihan yang begitu menyayat hati.

Tiba-tiba bunyi desah seperti dapur gas menerkam dari arah kirinya. Kedengaran pula bunyi percikan seperti dari bunga api. Tetapi bunyinya begitu kuat di sisinya. Fariz terkejut bila terasa bintik-bintik kecil yang panas mengenai lengannya. Walaupun dia boleh menahan kesakitan percikan api itu, namun dia tidak dapat meneka dengan pasti apakah api-api kecil yang menyentuhnya itu benar-benar api yang datang daripada alat memateri logam.

Kedengaran bunyi selak pintu ditarik. Bunyi besi berdentum menandakan beratnya pintu. Fariz diasak lagi untuk melangkah. Kedengaran bunyi jentera yang mengaum. Serta merta, deruan angin yang kuat menerpa ke tubuhnya. Seolah-olah datang dari sebuah kipas angin yang besar. Fariz terasa kedinginan. Pakaiannya berkibaran.

“Dudukkan dia!” kedengaran satu suara memerintah.
Fariz ditolak untuk duduk. Gari di tangannya dibuka. Tetapi ia tidak dilepaskan begitu sahaja. Sebaliknya kedua-dua tangannya dilekap dan diikat ke tempat pemegang kerusi. Kakinya diikat. Kemudian penutup matanya direntap.

Cahaya putih yang terang menyilaukan matanya. Fariz terus memejam mata. Tetapi kepalanya disentap dari belakang oleh seseorang. Fariz mendengus dan meronta-ronta. Kelopak matanya mula ditarik dengan jari orang yang mendongakkan kepalanya. Memaksa matanya terbuka untuk menerima panahan cahaya dari lampu sorot yang amat menyakitkan itu.

“Kunphol Rachotai? Kau kenal dia?” tengking satu suara.
Meskipun Fariz tidak dapat melihat siapakah yang bertanya, Fariz pasti, si penyoal berdiri di belakang lampu sorot itu.
“Tak. Tak pernah dengar nama dia,” jawab Fariz seraya menggeleng.

“Bohong!” kata si penyoal lalu melangkah menghampirinya. Tubuh lelaki itu besar dan tinggi. Namun Fariz tidak dapat mengecam wajah yang bertopeng itu. “Kamu berbohong!”
“Buat apa aku berbohong?”
“Sebab kamu talibarut dia!” Satu tamparan keras hinggap ke pipi Fariz.
“Kenal Kunphol?”
“Tak tahu!”

Satu tumbukan lain singgah ke pipi Fariz. Tangan yang memegang kepalanya kini mengemaskan cengkaman agar Fariz tidak dapat bergerak. Akibat tumbukan itu, pipinya terasa kebas dan sengal.
“Kenal dia?”
“Tak tahu!”
Kali ini tiga penumbuk sampai ke kiri dan kanan dagunya.

“Aku tak tahulah! Sampai mati pun aku tak boleh beritahu siapa dia Kunphol Rachotai sebab aku tak kenal dia!” jawab Fariz dengan suara yang terteran-teran menahan sakit. Fariz terasa bibirnya masin. Dia tahu mulutnya telah berdarah.
“Kamu kena beritahu aku siapa dia Kunphol Rachotai!”
“Aku tak tahu…”

“Kalau kau tak beritahu aku, kau akan diseksa dengan lebih berat lagi!” gertak lelaki itu.
“Jangan seksa, seksa. Bunuh sahaja aku!” bantah Fariz. Giginya berkeretup menahan geram.
“Hei! Apa hal kau buat macam tu? Tak payah seksa dia.”
Entah dari mana, muncul seorang lelaki yang bertubuh gempal. Dia tersenyum-senyum menghampiri. Wajahnya tidak menggambarkan langsung yang dia seorang penjahat. Bahu Fariz ditepuk-tepuk. Membuatkan lelaki yang bertubuh tinggi dan besar itu memandang dengan jelek. Seolah-olah cara yang digunakannya itu salah.

Walhal, Fariz sudah mengerti taktik dan teknik menyeksa tawanan. Dia tahu, lelaki yang baru muncul itu adalah the good guy yang hanya memainkan peranan sebagai orang baik sedangkan dia juga penyeksa yang berlakon baik. Fariz yang dapat menghidu taktik itu hanya berbuat selamba.

“Padamkan lampu tu!” Lelaki itu mengarahkan seseorang.
Serta merta, lampu terpadam. Suasana jadi gelap gelita. Tetapi, pandangan Fariz masih lagi belum pulih. Dia nampak kesan cahaya berwarna putih pada pandangannya.
“Jom, tengok wayang…” kata lelaki itu lagi.
Sebuah skrin perlahan muncul dari sisi. Kemudian cahaya projektor bernyala dan tumpah ke skrin. Muncul wajah seorang lelaki.

“Mari saya perkenalkan… inilah dia wajah Kunphol Rachotai… penyangak nombor satu yang paling dikehendaki oleh perisikan Thailand! Kami tahu, awak kenal dia!”
Fariz bagai tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Matanya membulat memandang imej itu. Mulutnya ternganga terkejut.

“Tidakkkkkkkkkkk!” jerit Fariz secara spontan.
Tidak mahu melihat wajah di skrin yang seolah-olah tersenyum mengejek kepadanya.
Tidak mungkin Tuan Aziz sebenarnya adalah Kunphol Rachotai!

Bersambung di minggu hadapan, insya-ALLAH...

12 comments:

akimsensei October 28, 2009 at 5:10 PM  

uiks..

eyman hykal October 28, 2009 at 5:55 PM  

Erk! ;)

CikLie October 28, 2009 at 10:52 PM  

wah.. Tuan Aziz adalah Kunphoi Rachotai?.. semakin mendebarkan.. xsabar menanti MM2!.. tahniah eyman..

akimsensei October 29, 2009 at 3:03 PM  

pemburu jadi yang diburu, yang diburu jadi pemburu.. ana fenin.. haha, seems like fariz telah digula2kan oleh tuan aziz dalam fragmen ni tapi fikiran saya tetap mengatakan tuan aziz di pihak yang baik. might be some kind of mental torture ke atas fariz? betul tak en norden?

akimsensei October 29, 2009 at 3:08 PM  

saya dapat merasakan percikan api tu terkena saya, diikuti mata yang berbinar2 saat dipaksa buka setelah lama dibiarkan dalam hitam kegelapan. penceritaan latar yang dapat saya resapi. tahniah. saya mengharapkan aksi yang lebih dahsyat selepas ini, mungkin sebuah pertarungan yang mempertaruhkan pertembungan antara kick boxing dengan silat melayu. ada berani en norden? mental mesti kuat ;p

eyman hykal October 29, 2009 at 8:48 PM  

CikLie,
Terima kasih. Saya berdebar2 bila teringatkan bila la nak siap DDebar nih!

eyman hykal October 29, 2009 at 9:00 PM  

Akim...
Ya, husnul dzan ~ bersangka baik ke atas Tuan Aziz. Ingat tak episod Mission Imppossible/MI versi baru lakonan Tom Cruise? Bos jadi jahat? It is possible...

eyman hykal October 29, 2009 at 9:03 PM  

Akim,
Mudah-mudahan imaginasi saya sampai secara psikik kepada anda. Kalau pembaca lain turut terasa, alhamdulilah. Namun silat vs Muay Thai? Wah! Bersepai nanti bilik interogasi tuh! But... why not? Ya, mental mesti kuat untuk menulis! Fuh! :)

din October 31, 2009 at 5:48 AM  

wah, wah wah. semakin bnyk kejutan dlm MM2. saya mmg terkejut king kong bila Tuan Aziz dkatakn sbg Kunphoi Rachotai, sama mcm terkejutnya Fariz.cerita2 mcmnilah kagemaran saya. muay thai vs silat, mcm best je. teringat saya akan Tony Jaa. hero filem Thailand kesukaan saya.

eyman hykal November 11, 2009 at 11:08 PM  

Din...
Terima kasih kerana meminati DD. Saya akan cuba buat kejutan demi kejutan. Harap harap ia bukannya kejutan untuk membuat Din bangun sebab tertidur tatkala menatap fragmen2 ini. ;)

Din November 13, 2009 at 7:34 AM  

ya,saya sdng menunggu buah tangan En. Eyman, DD.

eyman hykal November 15, 2009 at 4:28 PM  

Din...
Terima kasih.

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP