Wednesday, October 14, 2009

FRAGMEN 15: DETIK DEBAR

FROM ME TO YOU: Saya menulis menggunakan lateral plotting ~ tiga plot yang bergerak seiring sebelum ia dicantum menjadi sebuah cerita. Untuk mudah difahami, saya namakan setiap plot sebagai jalur.

KISAH SETAKAT INI:
Jalur 1: FARIZ ZAFAR dan Normala Mustakim, ejen-ejen perisik Biro Risikan Negara (BISIK) ditugaskan ke selatan Thailand, menyamar sebagai penyeludup manusia. Mereka telah diserang oleh kumpulan penjahat. Normalaterkorban dan Fariz ditangkap dan ditempatkan di sebuah sel.


Jalur 2: Tindakan, Jennifer Miles seorang wartawan TV Amerika, menggunakan dua orang kanak-kanak yang sedang nazak sebagai prop untuk liputan beritanya telah mendapat kecaman bila stesen TV Al-Kiraat menghebahkannya. Akibatnya demonstrasi mengutuk Jennifer dan Amerika terjadi di mana-mana hingga pihak media memaksa Presiden Amerika membuat kenyataan. Pada sidang akhbar itu, Tuan Presiden terkejut bila Jennifer Miles muncul...


Foto: doshi-urfriend.blog

FRAGMEN 15:
DETIKDEBAR

Kawasan Hutan Sipo, Narathiwat, Thailand
FARIZ membuka matanya. Tidak perasan langsung sejak bila dia tidur tersandar di dinding sel ini. Kepenatan dan kesakitan membuatnya terlelap. Tiba-tiba telinganya menangkap satu suara laungan yang panjang. Suara itu datang dari arah atas. Fariz mendongak.


Kelihatan ruang besar sayup di atas kepalanya. Tingginya separas bumbung bangunan dua tingkat. Tampak dedaun pokok yang melitupi sebahagian daripada ruang itu. Fariz terus memeriksa tembok bilik ini. Namun, dia hanya menyentuh tanah lembut yang berlumut mengelilingi bilik ini. Tiada cara untuknya memanjat ke atas untuk melepaskan diri.

Suara itu kedengaran lagi. Fariz memicing telinga. Matanya terkelip-kelip mengamati suara itu. Kedengaran pula bunyi berdetas yang diikuti dengan suara seseorang dalam kesakitan. Kini bunyinya bukan laungan, tetapi raungan.


Matanya terkelip-kelip mengamati suara itu. Kedengaran pula bunyi berdetas yang diikuti dengan suara seseorang dalam kesakitan. Kini bunyinya bukan laungan, tetapi raungan.

Fariz membuat kesimpulan yang bunyi berdetas itu adalah alat menyebat. Dan suara manusia yang meraung itu adalah seseorang yang didera. Setiap kali kedengaran bunyi sebatan, suara meraung itu kedengaran bercakap-cakap dengan penuh ratapan.

Fikirannya menghantar imej seseorang yang sedang diikat dengan kedua-dua tangannya ke atas. Seorang lelaki sedang menderanya dengan tali tas. Siapakah yang didera? Siapa pula yang mendera? Fikirannya mula teringat kembali siapakah mereka yang menangkapnya.
‘Sekejap lagi, aku pulak yang akan jadi mangsa dera...’ detik hatinya.

Fariz duduk dan membuka kasut kanannya. Tangannya meraba tapaknya dan menarik sebuah kompartmen kecil. Lalu mengeluarkan sebuah alat komunikasi sebesar kotak mancis. Alat itu dibukanya. Tiada cahaya lampu yang bernyala.

Dia menjentik-jentik alat itu. Namun ia tetap begitu. Nampaknya alat itu sudah rosak. Fariz mengeluh. Hilang harapannya untuk menghubungi BISIK mahupun melihat lokasinya melalui pancaran GPS daripada alat itu.

Suara raungan dari arah atas semakin kuat bunyinya. Fariz mendongak. Tiba-tiba dia nampak satu lembaga seperti tubuh manusia melayang jatuh dengan lolongan yang menakutkan. Fariz lekas-lekas bergolek. Dan lembaga itu jatuh berdebuk di depan mata.

Fariz melepaskan nafas lega kerana sempat mengelak. Tetapi dia tidak sempat menarik kasutnya yang kini ditindih tubuh itu. Perlahan-lahan dia merangkak menghampiri tubuh yang berbalut kain putih seperti mumia itu. Dengan hati-hati dia menyentuh tubuh yang terbaring kaku itu.

“Bangun!”

Seiring dengan itu, Fariz terasa kolar bajunya ditarik. Kehadiran mengejut musuhnya itu menyebabkan Fariz memberi reaksi spontan. Tangan yang memegang kolar bajunya ditarik. Fariz membongkok dan dengan kekuatan tangannya, dia membanting musuhnya ke lantai. Lelaki itu jatuh terlentang dan mengaduh kesakitan. Belum pun sempat Fariz membetulkan kedudukan tubuhnya, seseorang menendang pinggangnya dari arah belakang. Fariz jatuh tersungkur. Dia mendongak dan melihat seorang lagi musuhnya. Oh, lelaki yang bermisai putih itu muncul lagi untuk menyusahkannya.

‘Klik’
Lelaki itu memetik picu pistolnya.
“Get up!”
Fariz bingkas bangun dan menghampiri lelaki itu.
“Angkat tangan! Kalau kau melawan, aku tembak!” gesa lelaki itu.
Fariz tidak mengendahkan amaran lelaki itu. Tanpa memberi apa-apa amaran, Fariz segera menerpa ke arah lelaki itu. Menekan perutnya ke muncung pistol!

“Tembak aku! Tembaklah!”
Fariz berjaya membuat tindakan yang mengejutkan itu. Lelaki itu terundur-undur. Jelas sekali wajahnya yang garang kini bertukar cemas. Melalui ilmu mengenai modus operandi seseorang tahanan, Fariz tahu, dirinya adalah aset. Sebagai tawanan, dia tidak akan ditembak kecuali setelah maklumat penting diperoleh. Dan, lelaki yang bermisai putih itu adalah petugas biasa yang tidak ada kuasa langsung untuk membunuhnya kecuali setelah maklumat berjaya atau gagal dicungkil daripada dirinya.

Bila mengingatkan itu, Fariz menerpa lagi. Kali ini dengan tujuan yang lain.
“Kalau kau tak mahu tembak aku…”
Dengan kepantasan kilasan jejarinya, pistol digenggaman lelaki itu sudah bertukar tangan! Tanpa membuang masa, Fariz mengasak perut lelaki itu dengan lututnya. Lelaki itu terhenyak ke tembok. Fariz terus menghimpit tubuh lelaki itu. Lalu menekan dahi lelaki itu dengan muncung pistol.

“Aku boleh sahaja bunuh kau, tau tak?”
“Okey… okey… kalau engkau nak keluar dari bilik ini, pergilah. Aku menyerah!” kata lelaki itu dengan suara yang lemah.
Fariz berundur selangkah. Pistol itu diputar-putar seperti seorang hero koboi.
“Pandailah engkau! Engkau ingat aku boleh lepas lari?” Fariz tersenyum sinis. “Engkau pun tahu ada ramai lagi samseng yang menunggu aku di luar sana. Nah!”

Lalu pistol itu dilambung kembali ke arah lelaki itu. Tanpa teragak-agak lelaki itu menyambutnya.
“Jangan risau," kata Fariz. "Aku akan ikut cakap kau! Tapi, oleh kerana aku dah selamatkan nyawa kau, engkau perlu tolong aku…”
“Apa yang kau mahu?”
“Beri aku sebotol air…”

Lelaki itu menoleh ke arah rakannya yang masih terbaring di lantai. Dengan menggunakan isyarat mata, dia menyuruh rakannya itu keluar mendapatkan air. Seketika sahaja rakan lelaki itu muncul kembali dengan sebotol air.

Perlahan-lahan, Fariz membuka tudung botol itu. Dia minum seteguk sebelum melangkah ke sudut bilik. Lelaki yang bermisai putih dan rakannya mengekori dan memerhati apa yang akan dilakukan Fariz. Mereka juga bersedia kalau-kalau Fariz ingin melakukan sesuatu yang akan menyusahkan mereka.

Tanpa menghiraukan mereka yang memerhatinya, Fariz menuang air ke dalam tudung botol itu. Setelah botol itu diletakkan di sisi, Fariz menuang pula air itu ke telapak tangannya. Kemudian, perlahan-lahan Fariz menyapu wajahnya.

Melihatkan itu, kedua-dua lelaki itu berpandangan sesama sendiri sambil terggeleng-geleng. Kemudian mereka tersenyum bila mendapati Fariz berdiri di sudut sel untuk menunaikan solat...
Bersambung pada 18.10.09, insya-ALLAH...

9 comments:

akimsensei October 14, 2009 at 8:18 AM  

en norden,

time ni fariz still dlm sel yg sama kan? luas ke sel tu ye smpi boleh nampak orang berdebuk jatuh depan mata ek. tangan fariz still terikat lagi dlm fragmen lepas if xsalah, so, camne dia boleh buka kasut dia pulak. one more thing, camne fariz xsedar ada orang datang masuk dlm sel tu, maybe ada bunyi pintu berkeriut time buka tu, xkan dia xsedar kut. rasanya, suasana sekeliling mesti gelap gelita kan time ni, tp camne fariz bleh nampak muka geng jahat tu..

hehe..

eyman hykal October 14, 2009 at 6:17 PM  

Akim,
1. Sel itu besar seperti sebuah bilik. Saya bayangkan, macam bilik bujang. :)
2. Ikatan di tangan dan mata telah dibuka. Rujuk fragmen 14, 6 para dari bawah.
3. Ya, Fariz x sedar bila penjahat memasuki sel. Memang betul lah ada bunyi berkeriut. Tapi saya tiadakan. Ini aspek 'suspended disbelieve' dalam pembacaan novel.
4. Bilik tu tak gelap. Ada lubang yang tinggi di atas. Yang ini saya silap sebab tak describe. Saya 'nampak' bentuk bilik itu tapi tak nyatakan. Sebab itu seluruh 'mayat' boleh jatuh dari atas. Saya akan masukkan satu para mengenainya dalam para kedua sat lagi.
5. TQ kerana prihatin, Akim. Saya sanjunginya. Kalau ada aspek lain yang Akim nampak, sila beritahu agar kita dapat enjoy cerita ini.

Salam. :)

akimsensei October 14, 2009 at 8:00 PM  

ok en norden, just tanya, sebab xdapat nak gambarkan sangat sebelum ni.. feel ada, tapi xsempurna. btw, semoga dipermudahkan segalanya.. xsabar tunggu 18/10 untuk fragmen seterusnya..

akimsensei October 14, 2009 at 8:01 PM  

one more thing, ingatkan fariz nak buat apa laa dengan botol air tu.. haha.. agak makan dalam.. bagus2, keep up a good work en.norden ye..

eyman hykal October 14, 2009 at 11:21 PM  

Akim,
Tak mengapa komen cam tu. 4 u pulak, keep up the good comments.

MK October 15, 2009 at 8:18 AM  

MM2 mmg lebih mencabar nampaknya.

akimsensei October 16, 2009 at 4:40 PM  

day by day, makin berdebar2. haha. jgn berhenti mengarang en.norden. kami menunggu detik debar physically dinovelkan.

lalala,
akimottt,
mental mesti kuat

Anonymous October 20, 2009 at 10:56 AM  

salam..
syukur, elemen solat pastinya sumber kekuatan utama untuk kita terus bertahan dan kuat...
seronoknya.....
Teruskan en.Eyman kepada kemantapan idea dan olahan cerita yang menyentuh jiwa..
All the Best!!

eyman hykal October 21, 2009 at 3:47 AM  

MK... terima kasih.
Akim... lambat lagi fizikalnya. Tengah kayuh nii...
Anonymous... terima kasih.

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP