Saturday, December 4, 2010

FRAGMEN 50: DETIK DEBAR


Foto: picasaweb.com

Hotel Pan-Pacific, KLIA,Sepang, Selangor

JAM 12.00 malam. Sudah lebih setengah jam David Doron di Traveller’s Bar & Grill. Menanti orang yang dikatakan akan turun dari bilik hotel untuk menemuinya. Sambil menunggu, dia hanya membiarkan pelayan menuang air mineral ke dalam gelasnya. Dia tidak berselera hendak minum mahu pun makan.

Yang lebih penting ialah bertemu dengan orang yang berjanji dengannya. Alvaro. Itulah orang yang mesti disambutnya. Ketua The Group di Amerika, Gluke Chayim mengarahkan beliau bertemu dengan lelaki itu sebaik sahaja beliau tiba di Kuala Lumpur.

Sambil duduk, dia melayani hatinya yang mula tidak sabar dengan mendengar muzik live band di sudut restoran. Pandangannya turut memantau suasana sekeliling restoran. Mana tahu, Alvaro pula sedang menantinya.

Apabila ada seseorang melangkah masuk pintu restoran, David pasti menjeling dengan harapan itulah Alvaro. Namun, setiap kali juga dia mengeluh dalam kerana yang menjengah, bukannya Alvaro, tetapi para pelanggan yang datang berdua, bertiga mahupun berkeluarga.

“Encik David Doron?”
“Ya…” jawab David seraya mendongak. Memandang pelayan yang menuang air di gelasnya tadi. Pandangannya menjalar dan turun ke tangan pelayan itu. Ada sehelai kertas yang dihulur kepadanya.
“Ada seseorang yang memberi tuan nota ini…” kata pelayan itu.
“Di mana dia?”
“Dia baru sahaja berlalu ke luar sana…”
“Terima kasih,” jawab David Doron seraya membuka kertas nota itu.

David Doron bingkas bangun. Sambil menyeluk ke poket mencapai fonselnya, dia melangkah pantas keluar dari restoran itu. Di pintu besar hotel, dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Tercari-cari kalau-kalau kelibat Alvaro kelihatan.

Helo…” sapa David Doron apabila panggilannya disambut. “Kamu di mana?”
“Change of plan!” kedengaran Alvaro menjawab. “Kini aku dengan seseorang menuju ke Kuala Lumpur. Aku dengar KL di waktu malam amat indah. Lebih-lebih lagi kini sedang berhias untuk menyambut Hari Merdekanya. Aku rasa rugi kalau tak tengok sendiri.”

David tercebir mendengar kata-kata itu. Dia tahu apakah yang akan dilakukan Alvaro. Petang tadi Gluke Chayim menghubunginya mengenai rancangannya yang akan dilunaskan oleh Alvaro.

Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

LAMA
juga Fariz menunggu Jennifer yang menemui Tuan Presiden. Meskipun bosan dan terasa tugasnya ini semakin tidak mencabar mental dan fizikalnya, Fariz terpaksa akur dengan arahan BISIK agar Jennifer dilayani seperti seorang teman rapat. Kerana itu, sebaik sahaja Jennifer muncul di sisi keretanya, Fariz memaksa senyuman manis di bibirnya agar wartawan itu tidak rasa bersalah sehingga membuat Fariz menunggunya begitu lama.

Kini, kereta yang dipandu Fariz memasuki Lebuhraya Damansara-Puchong dan kemudian menghala ke Kuala Lumpur. Suasana Lebuhraya Persekutuan yang agak lengang di waktu malam memudahkan perjalanan yang lancar. Sebentar sahaja mereka sudah memasuki Jalan Bangsar dan kemudian ke Jalan Hishamuddin menuju ke Dataran Merdeka.

LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur

SUASANA di stesen ini sudah sunyi. Tiada lagi manusia yang ada di situ seperti pada waktu siangnya apabila masing-masing menggunakan perkhidmatan LRT sebagai kenderaan pengangkutan. Lampu-lampu utamanya telah dipadamkan. Yang tinggal hanyalah lampu-lampu kecil di beberapa tempat sekadar untuk menerangi kawasan sekeliling.

Satu lembaga kelihatan bergerak lincah menyelinap menghampiri pletform. Pergerakannya dilakukan secara berhati-hati kerana tersilap langkah, wajahnya akan dirakam CCTV di stesen itu. Bunyi kenderaan menghampiri membuatkan lembaga itu mematikan langkah. Dia terus mengepilkan diri di balik tiang di ruang yang gelap. Menghaibkan kehadirannya dari mata manusia dan juga kamera.

Dari hujung landasan, kelihatan sebuah cahaya bergerak menghampiri stesen. Ia bukan lampu tren, tetapi lampu sorot dari sebuah koc penyenggaraan LRT. Tren itu berhenti sebaik sahaja tiba di stesen ini. Dua orang orang petugas menuruninya dan melangkah ke atas landasan. Langkah mereka begitu berhati-hati. Walaupun aliran elektrik telah dimatikan kerana proses penyenggaraan dilakukan, namun sikap berhati-hati mereka itu adalah prosedur operasi yang mesti dipatuhi.

Seorang petugas melangkah ke atas pletform, menuju ke peti kawalan. Dia membuka peti itu dan memeriksa semua suis-suis dan lampu-lampu kecil untuk mempastikan sama ada ia masih berfungsi dengan baik.

Petugas yang seorang lagi menyusuri landasan. Sambil melangkah, dia menyuluh ke sekitar kawasan untuk mempastikan keadaan rel secara fizikalnya dalam keadaan baik. Langkahnya terhenti apabila dia tersuluh sebuah kotak rokok di celah landasan.

Diambil kotak itu lalu dimasukkan ke dalam plastik sampah yang dibawanya. Para penumpang yang tidak berdisiplin selalu sahaja membuang sampah merata-rata. Apabila malam tiba, petugas sepertinyalah yang perlu memeriksa dan membersihkan landasan. Kadangkala, dia bukan sahaja menemui sampah. Ada masanya dia menemui puting susu, selipar, malah dompet duit.

Petugas yang berada di pletform mula menaiki kenderaan, diikuti oleh petugas yang berada di atas landasan. Oleh kerana tugas itu sudah menjadi rutin, masing-masing terus melakukan kerja tanpa berbual-bual. Mereka juga mengejar masa. Ada lebih kurang 15 kilometer lagi perjalanan yang harus ditempoh dan 12 lagi stesen yang harus diperiksa yang mana stesen yang akhir sekali ialah Terminal Putra, di Gombak.

Enjin koc penyenggara dihidupkan, lampu sorot terpasang dan ia mula bergerak menuju ke stesen berikutnya. Suasana sepi kembali seperti asal. Dan lembaga yang menanti di balik tiang tadi muncul kembali. Dengan perlahan tetapi berhati-hati, dia menuruni landasan dan melangkah menuju ke arah terowong gelap menuju ke Stesen Masjid Jamek. Sambil melangkah, dia terus memakai kacamata night vision untuk membantu pandangannya.

Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

JAM besar di Bangunan Sultan Abdul Samad menunjukkan pukul 1.00 pagi. Meskipun keadaannya lebih sunyi daripada siangnya, masih ramai lagi manusia yang bersantai di padang Dataran Merdeka. Selain daripada melepak, terdapat juga pasangan-pasangan yang berdating.
Pentas untuk menyambut Hari Merdeka sedang disiapkan. Para pekerja bertungkus lumus bertukang bagi mempastikan pentas kehormat itu siap menjelang 31 Ogos. Tambahan pula kontraktor binaan baharu sahaja menerima maklumat bahawa Presiden Amerika akan turut hadir bagi menyaksikan sambutan yang gilang gemilang itu.

Fariz menjadi seperti pemandu pelancong bila menerangkan kepada Jennifer bangunan-bangunan yang berada di sekeliling Dataran Merdeka. Serba sedikit mengenai latar belakang bangunan juga diterangkannya. Banyak juga soalan Jennifer. Dan bukan semua dapat dijawab Fariz. Kini mereka melangkah ke padang hijau Dataran Merdeka.

“Lintas hormat akan bermula daripada sana…” ujar Fariz seraya menunjukkan arah hujung Jalan Raja. “Ia berakhir di hujung sana…” kata Fariz lagi lalu menuding ke arah Jalan Raja Laut.

“Mereka tidak berarak?” soal Jennifer sambil mencekak pinggangnya. Matanya tertumpu ke arah pentas utama, melihat para pekerja memasang kayu rusuk sebelum meletakkan papan lapis tebal di atasnya. “Di negara saya, perarakan Hari Kemerdekaan berkilometer jauhnya dari 7th Street hingga ke 17th Street.”

“Oh, tidak di sini. Tapi segala persembahan yang berwarna-warni dilakukan di atas padang ini,” jawab Fariz sambil mendepangkan tangannya dan memutar dirinya 360 darjah bagi menggambarkan keseluruhan padang ini akan digunakan buat persembahan.

“Ayuh kita ke sana… saya nak tengok jam besar itu dari dekat,” kata Jennifer seraya melangkah menuju ke Jalan Raja.

Sambil memerhati jam besar dan Bangunan Sultan Abdul Samad yang disirami cahaya indah, mereka juga asyik melihat para pekerja menyiapkan pentas. Sebuah lori tiba. Beberapa orang para pekerja segera memanjat lori dan memunggah bergulung-gulung permaidani.

“Boleh kita balik?” Tanya Fariz setelah beberapa ketika mereka berlegar-legar di kawasan pentas.
“Jom… awak dah mengantuk, kan?” usik Jennifer.

SEBUAH penutup lubang perparitan yang terdapat di Jalan Raja kelihatan bergerak-gerak. Tidak lama kemudian ia terbuka sedikit. Dari dalam lubang itu terjengol kepala seseorang. Dia memerhati ke sekeliling dan kemudian mendongak.

Dia tersenyum kecil kerana kontaknya di sini telah memberinya peta perparitan bawah tanah Kuala Lumpur yang lengkap. Ya. Dia kini muncul dari lubang yang betul, iaitu lubang yang berada di bawah pentas kehormat.

Perlahan-lahan, lubang itu ditutup kembali. Malam esok, dia akan kembali semula ke tempat ini. Esok juga, setelah permaidani pentas sudah terbantang dia akan menebuk lubang kecil ~ cukup untuk menjulurkan pistol automatik.

Tembakan akan dilakukan dari bawah. Peluru akan meluncur tepat menembusi kelengkang John Martinez dan hinggap di jantung lelaki itu. Dia tersenyum kecil lagi. Ya, selama ini Alvaro tidak pernah gagal dalam melaksanakan misinya.

Hotel Prominent, Putrajaya

SATU ketukan perlahan kedengaran di pintu. John Martinez hanya memasang telinga. Tidak mahu bangkit dari pembaringannya. Dia dapat mengagak siapakah yang datang ke biliknya. Kedengaran tombol pintu diputar. Kemudian bunyi langkah kaki yang perlahan menginjak permaidani bilik tidur suitenya semakin menghampiri.

“Hello…” kedengaran suara menyapanya.
“My God… you’re late…”
Perlahan-lahan John menoleh dan memandang orang yang menegurnya.
“I need you... sit down, here beside me, Jack!” bisik John.

Bersambung lagi, insya-ALLAH

0 comments:

  © Blogger template 'Isfahan' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP